Ahad, 24 September 2017

ENGKAU KESUMATKU BAB 32

BAB 32
SANGKA Lamia lelaki itu akan lemah akibat rayuannya. Duganya Aqmal akan kembali menjadi suaminya yang dulu setelah dia menyerahkan tubuh badannya. Jauh panggang dari api.
Sebal. Hubungan bertunjangkan nafsu, tidak lagi kerana kasih sayang. Aqmal lebih banyak berdiam kebanyakan masa. Hanya hanyut dengan keperluan dirinya sendiri. Dek kerana mereka berada di rumah keluarga Aqmal, Lamia akur saja dengan rentak suaminya itu.
Usai sarapan pagi Aqmal keluar dengan Syamel tanpa memberitahunya. Tahu-tahu suaminya sudah lesap entah ke mana. Tinggal dia bersendirian dengan emak mentuanya.
“Mia, kenapa termenung?” tegur Maria tatkala dia ternampak Lamia bersendirian merenung ke halaman rumah. Lamia menoleh. Senyuman diberikan namun hambar. Sehambar perasaannya ini.
“Tak ada apa-apa, mak.”
“Mia tak gembira ke ada di sini?” teka Maria lantas mendekati menantunya itu.
“Mia cuma rasa sunyi aja,” jawab Lamia perlahan.
“Mak ni dah hidup lama, Mia. Pernah rasa kecewa dengan seorang lelaki suatu masa dulu. Riak wajah tu dah lali dengan mak.”
Lamia tunduk seketika sebelum kembali memandang emak mentuanya.
“Abang Aqmal dah tak macam dulu.”
“Memang betul,” sambut Maria lantas membalas pandangan Lamia.
“Sebab Mia?”
“Banyak sebabnya. Bukan Mia seorang saja puncanya,” luah Maria perlahan.
“Sebab apa lagi?”
“Arwah abah meninggal, Aqmal tak sempat jumpa dia. Terlalu cepat. Waktu mak beritahu dia, suruh dia balik kampung, dia tak tahu pun abah rupanya dah tak ada. Mak tak sampai hati nak cakap. Waktu abah meninggal, dia masih terlalu sukar nak biasakan diri hidup tanpa Mia.”
Lamia diam mendengar itu.
“Itu semua dugaan yang amat besar untuk dia, Mia. Mak tahu, biarpun dah lama abah pergi... dia tak pernah dapat lupakan keadaan tu. Kali terakhir dia jumpa arwah abah, arwah abah masih marah-marahkan Aqmal. Tapi mak percaya, marah macam mana pun abah tetap sayangkan Aqmal. Cuma abah tu ego sikit nak mengaku.”
“Mia tak pernah tahu semua tu,” ucap Lamia rendah. Sedih. Tika itu dia lebih rela melarikan diri daripada berhadapan dengan Aqmal akan kesalahannya.
“Mak dah banyak kali nasihatkan dia. Tak ada apa lagi yang boleh kita buat dengan masa lalu. Masa depan nilah yang penting untuk kita corakkan baik-baik. Aqmal anak yang baik pada mak dan abah selama ni. Mak tak mahu masa depan dia hancur kerana masalah yang sudah selesai.”
“Mia salah seorang yang menyebabkan Abang Aqmal jadi begitu.”
“Mia, biar apapun sebabnya, mak percaya Aqmal masih sayangkan Mia. Mak nampak layanan dia pada Mia memang dah tak macam dulu. Tapi sikit banyak kekurangan tu janganlah kamu berdua jadikan sebab untuk berpatah arang. Carilah jalan penyelesaian yang lebih baik. Untuk apa kita diuji Tuhan kalau akhirnya kita mengalah juga,” nasihat Maria lembut. Dahulu dia nampak Aqmal selalu memanjakan Lamia. Sekarang sudah tidak lagi. Dia tahu anak lelakinya itu masih tidak mampu memujuk rajuk di hatinya.
“Mia tak sekuat mana, mak. Kadang-kadang Mia rasa malu terhegeh-hegeh pada orang yang dah tak sudi,” ujar Lamia perlahan.
“Kalau dia dah tak sayangkan Mia, dah lama dia lepaskan Mia. Mia kadang-kadang orang lelaki ni suka memendam rasa. Kerana kita ni seolah-olah macam tak peduli pada perasaan dia.”
Lamia tunduk mendengar bicara emak mentuanya. Mungkin itulah yang Aqmal rasa selama ini. Dia hanya mementingkan kehendak dan perasaannya sahaja. Aqmal sudah biasa mengalah semenjak dulu.
“Mak katakan pada Mia semalam, jangan biarkan dia jadi orang terakhir dalam hidup Mia. Seharusnya dia sebahagian dari hidup Mia. Tetapi dia merasa tidak dipedulikan selama ni,” ujar Maria lagi.
Mata Lamia berkaca saat memandang ke halaman rumah itu. Ya, dia tahu itu. Dia pernah merasa rindukan Aqmal tetapi dia berdiam diri kerana tidak ingin hilang apa yang sudah ada digenggamannya. Pernah dia merasakan dia tidak akan pulang kepada Aqmal selagi dia tidak dapat menggenggam cita-citanya. Demi itu, dia rela mengorbankan rasa sayang dan rindunya kepada Aqmal.
“Mia, dalam rumahtangga memang akan ada masalahnya. Jangan susah hati. Minta dari Allah jalan keluarnya. Insya-Allah, Allah akan bantu asalkan hati kita ikhlas,” ujar Maria lantas menyentuh pundak menantunya itu. Lamia mengangguk akhirnya kepada kata-kata ibu mentuanya itu.
“Mak nak masak ni. mak ke dapur dulu.”
Lamia ikut berpaling. Daripada dia termenung tiada berkesudahan, lebih baik dia ke dapur menolong emak mentuanya.
“Mak, kalau Mia tanya sesuatu boleh?”
“Tanyalah, Mia.”
“Mengenai sekolah Tahfiz... semenjak bila?”
“Semenjak arwah abah tak ada. Tanah tu sebetulnya arwah abah wasiatkan untuk Aqmal. Itulah satu-satunya tanah sebidang yang dia tidak berkongsi dengan adik-adik yang lain. Tapi dia niat nak wakafkan atas nama abah dan arwah ayah Mia. Sekolah tu Haji Maarof yang uruskan. Aqmal berikan duit setiap bulan untuk kebajikan budak-budak yang belajar di situ.”
“Dari mana Abang Aqmal dapat duit?”
“Dari syarikat yang dia dan Marissa jaga sekarang. Duit hasil sawit, duit keuntungan dari kedai yang Marissa jaga sekarang. Bahagian dia, itulah yang dia gunakan untuk tanggung sekolah tu,” ujar Maria dengan senyum lembut. Lamia terpana mendengar itu.
“Mia tak sangka Abang Aqmal sanggup dermakan duit dia untuk orang lain.”
“Sifat kedekut arwah abah dulu ada juga kebaikannya untuk anak-anak mak, Mia. Memang arwah abah yang tanggung dia belajar. Tapi abah beri dia duit setiap bulan banyak itu aja. Cukup atau tidak, abah tak ambil tahu. Tanyalah Marissa. Kalau dia mintak duit lebih, arwah abah tak pernah layan. Mia tahu kenapa Aqmal sayang sangat kereta yang Mia ambil dari dia tu? Sebab itulah satu-satunya hadiah yang abah beri pada dia bila dia berjaya dalam sesuatu. Adik-adik lain tak pernah rasa bawa kereta tu, Mia. Dia tak bagi.”
Sekali lagi Lamia terpana mendengar itu. Sesuatu yang dia tidak pernah tahu selama ini. Dia larikan kereta Aqmal ketika dia nekad meninggalkan lelaki itu. Dia tahu kereta itu berharga bagi Aqmal. Tetapi tidak tahu harganya setinggi itu.
“Mia dah buat salah pada dia,” ucap Lamia seolah-olah bercakap dengan diri sendiri.
“Semua tu boleh dibincangkan semula, kan? Tak ada salah sesama manusia yang tak ada maafnya, Mia.”
“Kesannya sangat teruk bila kita sakiti orang yang terlalu baik pada kita, mak. Mia bermusuhan dengan arwah abah. Tapi Mia balas pada orang yang sayangkan Mia.”
“Macam yang mak katakan tadi. Tak ada salah yang tak ada maafnya. Mak tak mahu kamu berdua terus bergelut mengenang kisah yang lepas. Semua tu dah berlalu, Mia. Kalau masih rasa sakit, carilah ubatnya.”
Benar kata-kata emak mentuanya. Jika masih rasa sakit, haruslah dicari ubatnya. Bukannya berputus asa.

“MAK...” panggil Aqmal dari luar rumah.
“Ya.” Maria terkedek-kedek datang dari dapur ke arah pintu hadapan.
“Barang dapur,” ucap Aqmal lantas memasukkan satu demi satu beg plastik ke dalam rumah. Namun hanya diletakkan di muka pintu.
“Mal nak hantar barang ke sekolah ni, mak.” Aqmal kembali memandang ibunya setelah semua beg plastik itu sudah dipindahkan dari kereta.
“Mal...”
“Ya, mak.”
“Mak tak dengar satu soalan yang patutnya kamu tanya pada mak.”
Aqmal terpaku memandang emaknya. Tidak faham. Maria berdiri merenung tepat tampang anaknya itu.
“Mak tak suka macam ni, Mal.”
“Apa maksud, mak?”
“Kamu pedulilah orang di luar sana. Sebaik mana pun kamu di mata orang, tak cukup kalau kamu tak peduli orang yang patut kamu peduli.”
Wajah Aqmal berubah sedikit. Kini dia tahu apa yang dimaksudkan ibunya.
“Mia mana, mak?”
“Jangan buat untuk jaga hati mak, Mal. Buatlah demi diri kamu sendiri. Setiap penyakit ada ubatnya,” ucap Maria lembut.
“Ya, mak...” jawab Aqmal perlahan. Kepalanya digaru perlahan sambil memandang sekilas ibunya itu. Agaknya Lamia ada mengadu kepada ibunya.
“Janganlah kamu hukum dia berlebihan sangat. Dia tu rapuh, Mal.”
“Orang yang kita bela nasib dia rupanya selama ni mahu menghancurkan hidup kita. Mal kecil hati, mak.”
“Mak faham, nak. Tapi yang sudah tu sudahlah,” ucap Maria lagi.
“Mal pergi dulu, mak.”
Maria hanya mengangguk sedikit. Nafas dihela panjang. Sebelum dia mengangkut sebahagian beg plastik itu ke dapur. Namun dalam fikirannya sesak. Hatinya risau dengan masalah Lamia dan Aqmal. Jelas di matanya Aqmal seperti tidak pedulikan Lamia. Tidak bertanya langsung tentang Lamia.
Dua jam kemudian Aqmal pulang ke rumah sendirian. Syamel pergi menolong kakaknya di pasar mini. Dari pintu pagar dia sudah nampak Lamia termenung di ambang pintu.
“Mengadu apa kat mak?”
Lamia hanya diam. Tiba-tiba dia rasa nak menangis saja. Cara Aqmal bertanya seolah-olah dia isteri yang suka mengadu domba.
“Mia cakap apa pada mak pasal kita?”
“Mia nak balik!” ucap Lamia tiba-tiba. Aqmal terpaku memandang wajah Lamia. Mulalah rasa nak marah datang.
“Kita balik esok.”
“Abang balik esok. Mia nak balik hari ni. Mia naik bas. Abang pun tak suka tengok muka Mia, kan? Jadi, biar Mia balik aja.”
“Mia!” desis Aqmal dengan dada turun naik menahan marah.
“Memang Mia ni teruk, mengadu pada mak. Sebab Mia dah tak tahan. Mia tak tahu apa nak buat untuk ambil hati abang!”
Aqmal memandang ke dalam. Emaknya sedang berjalan ke arah mereka. Lekas-lekas mengubah reaksi wajahnya.
“Mal, nak makan?” tegur Maria tanpa sedar apa yang berlaku pada Lamia dan Aqmal.
“Ya, mak...” jawab Aqmal lembut. Jemari Lamia dicapainya.
“Masuk dalam...” ucap Aqmal bersungguh. Lamia cuba menarik tangannya. Namun Aqmal tetap tidak melepaskannya.
“Abang kata masuk dalam,” tegas Aqmal dalam nada tertahan. Mahu tidak mahu Lamia akur juga.
“Mak, Mal ada kerja penting nak siapkan di KL. Mal nak kena balik petang ni,” ucap Aqmal setelah duduk di meja makan.
“Ha?” terkejut Maria mendengar itu. Segera dia memandang Lamia. Lamia hanya terkebil-kebil mengunci mulut.
“Kereta kamu tu macam mana?”
“Mal suruh Mel pergi tengok hari Selasa nanti. Mal call tauke bengkel tu nanti. Dah siap nanti, Mal balik ambil.”
“Yalah,” jawab Maria perlahan. Terkilan. Baru dua hari anak dan menantunya pulang. Sudah hendak balik semula. Tetapi mungkin memang benar Aqmal ada kerja penting yang mesti didulukan.
Jam lima petang Aqmal sudah memandu pulang ke Kuala Lumpur. Mereka berdua lebih banyak berdiam sepanjang perjalanan. Lamia pura-pura tidur. Namun hati terus berkata-kata sendiri.
“Abang nak semula kereta abang? Mia boleh bagi,” ucap Lamia setelah sekian lama tiada suara antara mereka.
Aqmal hanya diam tidak menyahut. Tidak berminat untuk mengenang tentang kereta itu semula.
“Mia minta maaf. Mia tak tahu betapa besarnya erti kereta tu pada abang selama ni,” ujar Lamia lagi.
“Berhenti cakap pasal tu semua. Abang tak nak dengar lagi,” balas Aqmal perlahan.
“Okay. Abang tak suka dengar suara Mia, kan?”
Aqmal menoleh ke sebelahnya. Lamia bersandar di kerusi sambil memejamkan matanya. Sungguh hatinya sayu. Bukan semudah itu dapat menawan lelaki ini semula. Setakat ini dia rasa dia masih tidak berjaya.
Kebekuan hubungan itu berterusan sehingga tiba di KL. Lamia terus pulang ke rumahnya sebaik sahaja Aqmal memberhentikan kereta di hadapan rumah. Langsung tiada kata-kata pamitan diberikan kepada sang suami.
Namun sebaik sahaja masuk ke rumahnya, dia merasakan hidupnya kian sepi. Kian menyedihkan sehingga menyeksa jiwa. Suatu masa dulu dia merasakan kehidupan seperti ini mampu dihadapinya. Tetapi mengapa kini, semua ini telah menghancurkan jiwanya?

Jiwa tega mengukir luka. Tetapi tidak kuat untuk menahan duka. 

Sabtu, 23 September 2017

ENGKAU KESUMATKU BAB 31

BAB 31
SEKELUARGA berkumpul pada malam hari. Seronok juga. Dia tidak pernah merasa ada adik beradik. Melihat adik beradik Aqmal bergurau sesama sendiri dia tumpang bahagia. Marissa juga menerima baik kehadirannya.
Aqmal suka duduk di halaman rumah sambil menikmati kopi pada malam hari. Melihat adiknya mengerjakan kereta Naza Ria milik arwah abah mereka. Aqmal mula berminat untuk ikut ambil tahu.
“Enjin baru ke ni?”
“Ha’ah... masuk enjin Toyota 2.5 6 silinder. Enjin lama Mel dah buang.”
“Berapa ribu beli enjin?”
“5 ribu.”
“Mana dapat duit?” tanya Aqmal hairan.
“Mintak dengan mak. Campur duit gaji kat kedai sikit. Senang sikit. Tak adalah problem macam dulu dah,” jawab Syamel. Aqmal mengangguk.
“Belum ada tawaran sambung belajar?” Aqmal mula mengubah topik.
“Belum.”
“Tak try di KL?”
“Tengoklah nanti. Mel nak siapkan kereta ni dulu.”
“Jangan makin jahanam kereta ni kau buat dahlah. Abang nak pakai kereta ni  sementara kereta abang masih kat bengkel,” ujar Aqmal. Baru dia berangan hendak meminjam kereta arwah abahnya ini. Rupanya sudah dikerjakan adiknya.
“Try dulu. Takut nanti abang menyesal cakap macam tu,” ujar Syamel lantas menyeringai. Aqmal hanya mencebik sambil ikut memandang enjin kereta itu. Sudah hampir siap.
Sedang dua beradik itu tertonggeng-tonggeng membelek enjin kereta itu, Lamia keluar. Saja hendak dengar apa yang dibualkan oleh dua beradik itu.
“Bayar baliklah. Banyak duit Mel habis kat kereta ni tau.”
“Alah... berkira. Kau jugak yang lanyak kereta ni sampai jahanam,” balas Aqmal.
“Mel dah tak ada duit ni. Mak kata nanti abang pergi luar negara. Balik nanti mesti dapat banyak duit. Hulurlah sikit,” rungut Syamel. Aqmal diam sambil mengusik-usik salah satu bahagian pada enjin itu.
“Siapa lagi pergi nanti?” tanya Syamel.
“Bos abang pergi juga.”
“Janda tu?” celah Lamia. Aqmal menoleh spontan. Lamia menjeling tajam sebelum berpaling masuk ke dalam. Gelagat Lamia itu sempat dilihat oleh Syamel. Hairan.
“Apasal?” tanya Syamel hairan.
“Tak ada apalah.”
“Ha... ni mesti ada apa-apa. Kak Mia sebut pasal janda tu semua. Abang ada skandal dengan janda pulak ke? Nak kena cakap dengan mak kalau macam ni.”
“Hish! Mulut kau ni elok disumbat dengan part enjin aja!” marah Aqmal. Takut benar perkara itu terdengar oleh ibunya. Jenuh dia nak menjawab.
“Ada apa sebenarnya?” tanya Syamel.
“Orang perempuan ni kadang-kadang suka memeningkan kepala dengan benda remeh temeh,” ucap Aqmal perlahan. Termenung sambil memandang ke arah enjin bisu itu.
“Maksudnya?”
Aqmal menoleh ke belakang. Seolah-olah mahu memastikan Lamia tiada di situ.
“Kak Mia... dia mengamuk waktu abang nak hantar bos abang balik ofis. Siap bertarik rambut kat tepi jalan. Malu besar abang, Mel!”
Ironisnya Syamel tergelak lantang serta merta. “Siapa suruh angkut perempuan lain? Dah tahu perangai Kak Mia tu macam tu yang abang tempah maut siapa suruh?” ujar Syamel. gelihati pula mendengar itu. Aqmal mendecit pula.
“Tapi bagus jugaklah. Bos abang tu pun dah tak merengek-rengek, mengada-ada nak tumpang kereta abang semenjak dia kena tarik rambut dengan Kak Mia,” luah Aqmal. Kadang kala gelagat Fariza juga memeningkan kepalanya. Sering membuat dia serba salah.
“Bos abang tu okay ke?” tanya Syamel perlahan.
“Entah. Lonely kut. Perempuan tu umur lagi banyak dari abang. Dekat 40 dah.”
Syamel ketawa semacam faham apa yang dimaksudkan abangnya itu. “Habis tu pergi Dubai berdua aja dengan dia ke?”
Aqmal mengangguk. Itu juga sedikit meresahkannya. Tugasnya membuat dan mengkaji mana-mana sektor untuk pelaburan memungkinkan dia kerap bertemu dengan orang luar bersama Fariza. Bukannya dia tidak nampak Fariza kerap menghimpitnya. Tetapi dia hanya buat tidak tahu. Melayan pun tidak.
“Pandai-pandailah. Mel pun tak tahu nak cakap apa,” ujar Syamel perlahan.
Aqmal menghela nafas perlahan. “Abang nak masuk ni. kau jangan lupa bersihkan lantai ni nanti. Licin dengan minyak.”
Syamel sekadar mengangguk. Aqmal segera menjengah ke ruang tamu. Hanya Marissa ada di situ sedang menonton tv.
“Kak Mia mana?”
“Entah. Dah tidur kut?”
“Mak?”
“Dah naik. Penat katanya.”
Aqmal segera berlalu ke arah tangga. Sebaik sahaja pintu kamarnya dibuka, dia terpandangkan bantalnya bertaburan di lantai. Sudah diagaknya. Lamia sedang tunjuk protes. Aqmal masuk ke kamar mandi. Tangannya dibersihkan di sinki.
Setelah dia keluar semula, dia lihat Lamia sedang berkelubung selimut sampai ke hujung kepala. Agaknya hati tengah sakit. Tidak mahu memandang dia. aqmal menaikkan bantalnya ke atas katil sebelum dia ke almari. Mencari baju tee dan seluar tidur untuk digantikan dengan baju melayu yang tersarung di tubuhnya.
Namun dia terdengar bunyi sesuatu di belakangnya. Setelah dia menoleh, bantalnya jatuh lagi di lantai. Aqmal merenung seketika bungkusan selimut yang pegun sahaja semenjak tadi.
Usai menggantikan pakaian, Aqmal mendekati bantal itu. Dikutipnya lalu dinaikkan semula ke atas tilam. Buat seketika dia berdiri merenung gelagat Lamia.
“Tak lemas ke berkelubung macam tu?”
“Biarlah! Buat apa abang nak peduli?” balas Lamia dari bawah selimut. Sakit hati! Rasa macam hendak dicakar-cakarnya wajah Aqmal kala ini.
Aqmal menghela nafas perlahan sebelum melabuhkan duduk di birai katil. Bantalnya diatur di kepala katil sebelum dia melabuhkan tubuhnya di situ.
“Jauhlah sikit! Kata tak suka!” marah Lamia lantas menyelak selimut. Bahu lelaki itu ditolaknya.
Aqmal segera menjauhkan bantalnya sedikit jarak dari Lamia. Lamia segera meletakkan bantal sehingga bantal itu membataskan pandangan mata mereka berdua. Seterusnya tubuhnya dihempas-hempas di tilam membuatkan tilam itu bergoyang. Beberapa ketika berdiam, Lamia buat hal lagi. Bantal peluk itu ditolaknya ke tempat Aqmal.
“Sanalah sikit. Sempit!” tukas Lamia.
Aqmal bingkas mengambil bantal peluk itu lalu dicampaknya ke lantai agak kasar. Lamia terdiam melihat Aqmal sudah mula naik angin dengan perangainya.
“Apa lagi yang tak cukup? Mia nak abang tidur kat bawah ke? Baru luas sikit katil ni.”
“Orang tengah marah ni, tak faham-faham lagi ke? Pujuklah cepat! Asyik kita aja nak kena pujuk dia!” marah Lamia lantas menghempas tubuhnya ke tilam. Saat itu dia terasa ingin menangis sahaja dengan kebekuan lelaki itu.
Aqmal menghela nafas perlahan. Dia tahu Lamia hanya inginkan perhatiannya. Dia tahu semua itu. Bukannya dia tidak mengerti. Tetapi bila masanya pula Lamia ingin mengerti akan perasaannya?
“Mia...” panggil Aqmal lantas mendekatkan tubuhnya kepada isterinya itu. bahu Lamia ditariknya namun Lamia menepis kasar.
“Cukup! Jangan buat abang ni macam tunggul.”
“Selama ni abang memang suka berlagak macam tunggul pun, kan?” balas Lamia.
“Dahlah tu...” ucap Aqmal perlahan.
“Mia ni jahat. Apa pun Mia buat, semuanya tak kena pada mata abang! Biar Mia jadi gila aja, baru puas hati abang.”
“Sudah. Abang kata sudah.”
Lamia menolak tangan lelaki itu dari bahunya. Dia mahu bangun dari situ. Dia mahu menangis agar beban di hatinya ini dapat reda. Namun Aqmal menarik tangannya sehingga dia terduduk semula. lelaki itu segera memeluk Lamia erat.
“Cukup. Abang tak mahu gaduh di rumah mak,” ucap Aqmal perlahan.
Lamia menangis juga akhirnya di dalam pelukan lelaki itu. Sungguh dia tidak kuat untuk dibenci Aqmal. Tidak berdaya. Puas menangis, Lamia jadi liar pula.
“Mia...” Aqmal cuba menepis tangan Lamia saat Lamia menarik bajunya ke atas. Tetapi perempuan itu tidak peduli. Dia tahu di mana kelemahan lelaki ini. Seperti dahulu, dia akan menakluki kelemahan itu lagi.

Dan malam itu, sekali lagi Aqmal kalah kepada kuasa yang ada di tangan Lamia.

ENGKAU KESUMATKU BAB 30

BAB 30
“MAK...” tegur Lamia setelah masuk ke dapur. Maria menoleh. Senyum.
“Mia tak tidur ke? Tak penat?”
“Tak mengantuk pun,” jawab Lamia lantas mendekati emak mentuanya itu.
“Aqmal buat apa?”
“Tidur,” jawab Lamia sepatah. Lelaki itu mengadu masih mengantuk. Mahu lena sekejap.
“Sunyi aja. Mana Mar dengan Mel?”
“Mel tolong Mar kat kedai.”
“Mak nak masak apa?”
“Gulai tempoyak. Sebelum ni Mal ada call mak, minta masakkan gulai tempoyak.”
Lamia diam sambil memandang gulai yang sudah hampir siap di dalam periuk itu. Bau dan rupanya memang menyelerakan.
“Mia dengan Aqmal macam mana sekarang?” tanya Maria perlahan.
“Macam biasa aja, mak.” Lamia menjawab rendah. Malu hendak beritahu lebih-lebih. Dia percaya emak mentuanya sudah tahu keadaannya.
“Mal ada cakap hujung bulan ni dia nak ke Dubai.”
“Ha?” Lamia terpaku. Dia tidak tahu pun tentang itu.
“Dia tak ada cakap dengan Mia pun,” ujar Lamia perlahan. Maria lekas memandang Lamia. Nada itu segera dapat diertikannya. Rajuk. Kecil hati.
“Berbaik-baiklah kau orang berdua. Mak tak suka kau orang bergaduh lama-lama. Yang sudah tu sudahlah. Mia, Aqmal tu sayangkan Mia. Terlalu sayang. Tapi Mia kena sedar sesuatu. Jangan jadikan dia sebagai orang yang terakhir dalam hidup Mia,” ucap Maria lembut. Lamia diam mendengar bicara wanita itu.
“Mak nak ke rumah jiran lepas ni. Menantu Hajah Juriah tu baru bersalin. baru balik dari hospital tadi dengarnya,” ujar Maria seketika kemudian.
“Nak ikut?”
“Tak penat ke? Malam tadi kamu tu tak tidur?”
“Mia ada tidur sekejap dalam kereta semalam. Mata ni tak mengantuk,” jawab Lamia lantas mencapai senduk di dalam periuk. Gulai yang sedang menggelegak itu digaulnya.
“Bolehlah matikan api tu, Mia. Kering pulak kuahnya nanti. Pergilah siap kalau nak ikut mak. Mak nak pakai tudung sekejap.”
Lamia segera mematikan api dapur. Kemudian dia berlari naik ke kamar. Sekadar menukar pakaian yang lebih sopan untuk ke rumah jiran. Aqmal dilihatnya masih lena sambil memeluk bantal peluk.
“Abang...” panggil Lamia sambil tubuh lelaki itu digerakkan sedikit. Aqmal terjaga serta merta. Segera menoleh mencari wajah Lamia.
“Mia nak ikut mak pergi rumah sebelah ya?”
Aqmal sekadar mengangguk sebelum kembali menyambung tidur. Lamia bangkit dari duduknya lalu keluar dari kamar itu. Rajin mengekori emak mentuanya dek kerana bosan. Rumah itu sunyi sekali.
Kehadiran Maria dan Lamia disambut oleh Hajah Juriah.
“Ni ke isteri Aqmal? Tak pernah Aqmal bawa balik kampung. Risau orang kampung puji bini dia cantik sangat ke apa? Simpan dalam gobok kat rumah dia di KL nun?” ucap Hajah Juriah senang. Maria hanya ketawa kecil sambil memandang Lamia. Merona hangat wajah Lamia mendengar seloroh wanita itu.
“Marilah masuk.”
“Anak lelaki ke perempuan, Yah?”
“Lelaki. Syukurlah. Yang sulung dah ada perempuan. Ni lelakilah pulak,” jawab Hajah Juriah sambil membawa tetamunya itu ke dalam kamar menantunya.
“Masuklah. Ambil berkat. Mana tahu esok giliran kamu pulak,” ujar Hajah Juriah sambil menepuk bahu Lamia. Lamia ketawa kecil mendengar jenaka wanita itu.
Di dalam kamar itu, Lamia berkesempatan memegang anak kecil yang masih merah. Betapa indahnya memandang raut yang sedang lena itu.
“Comelnya, mak.”
“Baby memanglah comel, Mia. Mana ada baby tak comel. Nak tengok baby yang paling comel, cuba beranak sendiri. Tengok muka anak tu, tak ada anak orang lain yang lebih cantik melainkan anak sendiri,” jawab Maria sambil tersenyum. Belum ada rezekinya menimang cucu walaupun orang sekeliling sudah bertambah-tambah.
“Usahakanlah supaya dapat baby cepat. Seronok tau ada anak ni. Betul cakap Acik Ma tu. Kalau baby sendiri ni, kita rasa baby kitalah yang paling comel,” ujar si ibu kepada Lamia. Lamia ketawa kecil mendengar bicara Nafisah.
“Insya-Allah... belum ada rezeki lagi,” jawab Lamia perlahan.
“Tak pernah nampak Mia kat sini? Mia duduk di mana?” tanya Nafisah kepada Lamia.
“Saya baru balik dari UK. Baru lima bulan,” ujar Lamia.
“Oh... patutlah tengok Abang Aqmal selalu balik kampung seorang. Mia kerja di mana sekarang?” tanya Nafisah lagi. Langsung tidak tahu menahu kisah di sebalik itu.
“Ofis dekat Mid Valley.”
“Kami menetap di Sungai Buluh. Maklumlah, suami saya tu askar.”
Panjang bualan mereka di kamar itu. Tidak sedar ada lagi tetamu datang.
“Ha... ni lagi seorang datang nak ambil berkat. Nafisah, pakai tudung elok-elok. Ni Aqmal datang nak tengok budaknya.”
“Dah pakai tudung pun, mak.”  
Lamia segera menoleh ke belakang. Hajah Juriah menyelak langsir ambang pintu itu. Aqmal ikut menjengah dengan salam dan senyuman. Nafisah menjawab mesra salam lelaki itu.
“Anak lelaki ke perempuan?” tanya Aqmal lantas melabuhkan duduk di belakang isterinya.
“Lelaki.”
“Bak sini abang nak pegang sekejap,” pinta Aqmal kepada isterinya. Bayi itu masih lena di dalam pelukan Lamia.
“Subhanallah... comel budaknya,” ucap Aqmal saat memandang anak kecil itu. Ubun-ubun anak kecil itu diciumnya berkali-kali. Maria sempat mencuit paha Lamia, menyuruh Lamia memandang gelagat Aqmal.
Lamia tersenyum sendiri melihat gelagat suaminya. Ralit benar membelek anak kecil itu. Tiba-tiba teringat satu nyawa yang pernah berada di dalam rahimnya. Senyumannya memudar sedikit.
Melihat anak kecil itu sudah mula terjaga Aqmal segera memulangkan kepada Nafisah. Dia bangun untuk keluar. Tidak mahu menganggu ibu itu menyusukan anaknya.
Setelah pulang ke rumah, Aqmal terus naik ke tingkat atas. Pejabat kecil itu dijejakinya semula. Banyak urusan yang perlu disudahkan. Lamia muncul tidak lama kemudian bersama muk air.
“Abang tak mahu makan ke?”
“Kejap lagi. Abang ada kerja nak buat,” balas Aqmal tanpa memandang Lamia. Dia sibuk membuka komputer di atas meja itu. Lamia mengambil peluang itu untuk melihat sekeliling kamar itu setelah meletakkan air suaminya di atas meja.
“Mia dah lapar ke?” tanya Aqmal seketika kemudian. Dia bangkit dari duduknya lalu pergi ke rak buku. Peti deposit keselamatan itu dibukanya.
“Mia tunggu abang ajalah,” ujar Lamia lantas mendekati suaminya. Dia lebih berminat untuk melihat isi kandungan peti itu berbanding soal makan. Aqmal mengeluarkan beberapa buku dari dalam peti itu. Kemudian peti itu sengaja dibiarkan terbuka.
Lamia menjengah ke dalam. Terpandangkan beberapa dokumen lain ditindih dengan tiga gumpalan duit.
“Kenapa simpan banyak cash dalam ni, bang?”
Aqmal menoleh sekilas. “Duit untuk kedai dan sekolah. Untuk waktu kecemasan juga,” ujar Aqmal. Serta merta terimbau keadaan ketika waktu pengkebumian arwah abahnya. Hanya keluarga ini yang tahu, mereka sebenarnya tiada berduit ketika itu dek kerana peti deposit keselamatan itu tidak dapat dibuka. Emaknya pula memang semenjak dari muda tidak diberi memegang wang yang banyak. Semua keperluan pengkebumian arwah abahnya bergantung kepada duit gajinya yang mana ketika itu... sudah tengah bulan, sudah tinggal sedikit. Selebihnya dihulur oleh tok penghulu.
Luaran nampak kaya. Hakikatnya mereka sangat menyedihkan waktu itu. Sebagai anak lelaki sulung, dia benar-benar merasa tertekan. Kini dia belajar dari pengalaman. Kunci peti deposit keselamatan itu turut dikongsikan dengan Marissa dan ibunya.
“Mia nak tengok ni ya?”
Aqmal hanya diam setelah melihat apa yang dipegang Lamia. Lamia terpaku memandang beberapa geran tanah dinamakan atas nama Aqmal.
“Semua ni tanah abang seorang?”
“Tak. Hanya nama abang seorang. Tapi ada bahagian adik-adik abang. Abang hanya pemegang kuasa. Kita tak letak nama semua pemilik atas geran, Mia. Harga tanah akan turun.”
“Oh...” Lamia termangu. Kurang tahu tentang itu.
“Tanah apa ni?”
“Sawit.”
“Yang dalam envelope ni tanah siapa? Kenapa nama orang lain?” tanya Lamia lagi.
“Tanah tu dah dijadikan sekolah tahfiz.”
“Oh...” Lamia termangu memandang gumpalan wang itu pula. Terkejut. Patutlah dia dengar Aqmal kata wang itu untuk kegunaan sekolah. Mungkin sekolah Tahfiz itu yang dimaksudkan Aqmal.
Seterusnya Lamia meletakkan semula semua geran tanah itu di dalam peti deposit keselamatan. Lamia mendekati Aqmal, berdiri di tepi kerusi lelaki itu.
“Abang buat apa?”
“Cek akaun syarikat,” ujar Aqmal perlahan. Lamia diam memerhatikan skrin komputer itu. Namun kemudian dia lebih berminat memerhatikan gelagat Aqmal pula. Jemarinya dikalihkan ke atas bahu Aqmal. Aqmal menoleh sekilas.
“Selalu abang balik kampung untuk selesaikan semua ni ke?”
Aqmal mengangguk sambil kembali memandang komputer itu semula. Namun tiba-tiba ada jemari mula meliar di tengkoknya.
“Mia...” tegur Aqmal, kurang senang diusik ketika dia sedang sibuk.
Lamia senyum. Aqmal sudah lupa hendak marah dia agaknya. Inilah peluang terbaik untuk dia memujuk lelaki itu. Dari sekadar mengusik tengkok, dia mengalihkan tangan ke rambut Aqmal.
“Abang tengah kerja ni,” keluh Aqmal lantas menurunkan semula jemari Lamia. Tetapi Lamia lebih cepat melabuhkan punggungnya di atas paha lelaki itu. Tanpa segan silu. Malah tidak takut jika lelaki itu naik angin.
Aqmal terpaku sebelum dia menghela nafas perlahan. Kepala digelengkan seketika. Lamia bersandar ke tubuh lelaki itu sambil sebelah tangan Aqmal ditarik agar melingkari pinggangnya.
“Abang marah Mia lagi tak?”
“Marah.” Aqmal menjawab sepatah. Lamia terdiam pula.
“Bila baru abang nak berhenti marah Mia?”
“Entah,” jawab Aqmal sekadar sambil lewa. Marah kononnya. Tetapi gelagat Lamia sekadar dibiarkannya. Tidak pula ditolak Lamia dari atas pahanya.  
“Mia nak abang yang dulu,” pinta Lamia dalam nada rendah.
“Abang yang dulu tak tahu dah pergi mana,” jawab Aqmal tanpa mengalihkan perhatian dari skrin komputer itu.
“Mia tahu dia masih ada kat sini. Dia sengaja tak mahu dekat dengan Mia.”
Aqmal diam pula. Lamia bersandar ke tubuh lelaki itu. Kepala dihadapkan ke arah Aqmal. Membuatkan lelaki itu mula tidak senang duduk saat merasakan wajah Lamia begitu dekat dengan lehernya.
“Pintu tu tak kunci, Mia.”
“Abang nak Mia kunci pintu ke?”
Aqmal menghela nafas perlahan. “Jomlah kita turun makan,” ucap lelaki itu lembut.
“Kenapa abang nak larikan diri? Mengaku ajalah yang abang masih perlukan Mia.”
“Ya, abang perlukan Mia. Mia perlukan abang? Atau Mia hanya perlukan abang sekarang?” perli Aqmal pantas.
“Mia dah berubah, abang. Abang masih tak percayakan Mia.”
Aqmal menghela nafas panjang. Wanita itu dibangunkannya sebelum dia ikut bangun. Komputer itu dimatikan sebelum dia menjauhi Lamia.
“Mia sayangkan abang.”

“Kita turun. Abang nak makan,” ucap Aqmal tanpa membalas ucapan itu. Lamia mengertap bibir menahan kehampaan. Puas lelaki itu digodanya. Aqmal masih liar lagi kepadanya!

Jumaat, 22 September 2017

ENGKAU KESUMATKU BAB 29

BAB 29
CELARU.
Sepanjang minggu itu hubungan itu kian renggang. Kian celaru. Masalah yang ada tidak juga selesai. Lamia membawa rajuknya sendiri. Aqmal pula tetap dengan tidak peduli. Tatkala hatinya lembut, dia mampu menjadi selembut-lembut seorang lelaki. Tetapi apabila hatinya sudah keras. Dia sudah tidak peduli lagi.
 Namun setelah dua minggu mereka saling tidak bercakap, Lamia kembali mendekati lelaki itu. terlihat kelibat Aqmal pulang lebih awal dari biasa.
“Abang...” sapa Lamia.
Aqmal hanya menoleh tanpa menyahut. Bukannya dia tidak nampak Lamia semenjak tadi.
“Awal abang balik hari ni?” tegur Lamia.
“Abang nak balik kampung malam nanti.”
Oh ya... dia terlupa minggu ini cuti umum pada hari Jumaat dan bersambung pada hari Isnin. Sudah tentulah Aqmal akan pulang menjenguk ibunya.
“Mia nak ikut, boleh tak?”
“Ha?” Aqmal terpaku seketika.
“Mia nak pergi pusara ayah Mia,” ujar Lamia perlahan. Disamping itu dia ingin menjengah pusara ayah Aqmal juga.
“Betul ke? Abang gerak tengah malam nanti. Hari Ahad baru balik sini,” balas Aqmal sekadar acuh tidak acuh.
“Betullah. Mia ikut abang ya?”
“Pukul 12,” balas Aqmal lantas membuka pintu pagar rumahnya.
“Okay.” Lamia tersenyum serta merta. Tanpa kata, dia berpaling untuk kembali ke rumahnya. Bukan main bersemangat lagi Lamia mengemas pakaian ke dalam beg. Menanti detik tengah malam itu seperti berabad lamanya.
Namun ketika jam hampir ke angka dua belas, dia terdengar suara memanggilnya dari luar. Lamia segera menjengah melalui pintu gelangsar.
“Dah siap ke belum?” tanya Aqmal dari luar pagar.
“Dah. Sekejap,” jawab Lamia lantas mengambil beg tangannya. Lelaki itu mengambil beg pakaian dari tangan Lamia lalu dibawa ke keretanya yang terpakir di luar pagar rumah.
“Pakai macam ni, tak sejuk ke nanti?” tegur Aqmal sambil memandang Lamia dari atas ke bawah. Lamia hanya mengenakan blaus longgar dan nipis di tubuhnya. Selain dari seluar jeans dan sandal bertumit.
“Selendang ada dalam beg,” jawab Lamia.
Setelah memasukkan beg pakaian Lamia ke dalam but di belakang, Aqmal segera duduk di tempat pemandu. Lamia sudah masuk dahulu tanpa dipelawa. Rupanya jalan menuju ke Pantai Timur agak sesak malam ini.
Namun sewaktu memandu, Aqmal merasakan ada sesuatu yang tidak kena pada keretanya. Gear automatik kereta itu kerap bertukar tanpa sebab. Hairan. Dia baru selesai servis enjin kereta semalam.
Perasaan aku aja agaknya... bisik hati Aqmal.
“Kenapa, abang?” tegur Lamia setelah dia perasan Aqmal bersikap lain macam.
“Entah. Macam ada yang tak kena pada enjin,” balas Aqmal perlahan. Dia sibuk menelinga bunyi enjin yang sudah berubah. Sekali lagi dia merasakan gear telah bertukar sedangkan kelajuan kereta itu sekata semenjak tadi.
Perjalanan diteruskan. Yakin. Tiada apa yang tidak kena dengan kereta itu.
“Bos abang tu apa khabar?” tanya Lamia setelah beberapa ketika sepi sahaja antara mereka.
“Biasa aja,” jawab Aqmal tanpa memandang Lamia.
“Dia dah bersuami ke?” tanya Lamia lagi.
“Pernah bersuami. Janda anak satu.”
“Oh... patutlah.” Lamia termangu seketika. Patutlah sibuk menghimpit suami orang. Janda rupanya!
“Patutlah? Apa yang patutlah?”
“Patutlah suka tumpang kereta orang. Suami tak ada nak jemput,” perli Lamia selamba. Aqmal mendengus sedikit dengan perlian itu. Malas hendak melayan, dia diam saja.
“Abang sukakan dia ke?”
“Buat apalah tanya soalan yang menyakitkan hati sendiri?” keluh Aqmal perlahan.
“Mia cuma nakkan kepastian. Salah ke?”
“Abang dah kata hari tu, dia tu bos abang. Abang tak ada cakap apa-apa yang lebih dari itu. Kalau abang ada hati dengan dia, depan dia hari tu abang dah jawab soalan Mia,” ujar Aqmal sedikit keras lontaran perkataannya.
“Jadi, kenapa abang asyik keluar dengan dia?”
“Bila masa abang asyik keluar dengan dia?” Aqmal menoleh seketika kepada isterinya.
“Mia nampak abang dengan dia naik kereta sama-sama. Entah pergi mana,” rungut Lamia sambil berpeluk tubuh. Aqmal diam seketika. Cuba mengingat semula. Rasanya tiada pula dia keluar pergi makan-makan dengan perempuan itu. melainkan mereka ada beberapa kali pergi bertemu dengan klien di luar.
“Mana Mia tahu abang keluar dengan dia?”
“Mia nampaklah.”
“Nampaknya Mia lebih tahu dari abang. Abang tak tahu pulak yang abang pernah keluar dengan Fariza tu,” jawab Aqmal sekadar sambil lewa.
“Jadi, abang naik kereta dengan dia tu pergi mana?”
“Laillahaillallah... abang kerja dengan dia, Mia. Bukan pergi bersuka ria!” tegas Aqmal mula bosan bercakap tentang itu.
“Perlu ke naik kereta sama-sama?”
Aqmal diam. Malas hendak menjelaskan panjang lebar. Tidak ada kepentingan untuk dia menjawab tentang semua itu kepada Lamia.
“Mia jelous. Abang tak peduli pun. Mia merajuk. Abang buat tak tahu aja.”
Aqmal hanya mendengar. Namun dalam hati dia merungut juga. ‘Aku pulak kena pujuk dia...’
Pertengahan perjalanan, Lamia sempat terlena selama sejam. Aqmal terkebil-kebil seorang diri. Pandangan matanya juga sudah mula kelabu. Mengantuk. Tetapi baki perjalanan hanya tinggal dua jam lebih sahaja untuk tiba di kampungnya.
Namun rasa mengantuk Aqmal melenyap serta merta setelah terasa ada sesuatu telah berlaku kepada enjin kereta. tiba-tiba sahaja gear menghasilkan bunyi yang agak kuat sehingga Lamia terjaga. Ketika ditekan pedal minyak, tiada apa-apa tindak balas kepada gear seolah-olah kedudukan gear sedang berada pada N. Sedangkan dia lihat gear sedang berada di kedudukan D. Dan bunyi terus terhasil seolah-olah enjin di dalam bonet itu sedang patah riuk.
“Ah... sudah,” ucap Aqmal mula berdebar dadanya. Kereta itu mula perlahan sehingga tiba di satu persimpangan. Aqmal membiarkan kereta itu merayap sehingga ke tepi jalan. Mujurlah kawasan itu diterangi oleh lampu jalan.
Gear cuba ditukarnya kepada N sebelum ditukar semula kepada D. Tetapi setelah ditekan pedal minyak, bunyi enjin hanya mengaum tanda gear masih berada dalam keadaan bebas.
“Masak aku macam ni...” bisik Aqmal.
“Kenapa, abang?” tanya Lamia.
“Tak tahu.” Aqmal membuka bonet enjin. Enjin kereta dimatikan. Dia keluar untuk melihat apa yang berlaku pada enjin itu. Dengan bantuan lampu suluh dan lampu jalan, Aqmal memeriksa minyak pada bahagian gear. Beberapa kali dia memeriksa kehadiran minyak, namun batang pengukur aras minyak itu kering kontang dan kelihatan hangus.
“Macam mana pulak boleh jadi macam ni? Baru semalam tukar minyak,” keluh Aqmal seorang diri. Puas dia tertonggeng-tonggeng untuk melihat tumpahan minyak di bawah kereta. tetapi tiada.
Sudahnya dia bangun semula sambil memandang sekeliling. Hanya ada perhentian bas terdekat dengannya. Simpang jalan itu menuju ke sebuah pusat pengajian tinggi.
Dalam pada Aqmal masih sibuk memeriksa enjin keretanya, Lamia asyik memandang sekeliling. Sepi sekali. Jam segini sudah lengang jalan. Tidak lama kemudian Aqmal masuk ke dalam kereta.
“Macam mana?”
“Tunggulah pagi nanti,” jawab Aqmal lantas memandang jam di pergelangan tangannya. Sudah jam empat setengah pagi. Pekan Temerloh cuma beberapa batu sahaja lagi di hadapan. Jadi dia memilih untuk menunggu sehingga siang untuk mendapatkan mekanik.
“Kita nak tunggu sini? Apa yang rosak?”
“Gear box pecah,” jawab Aqmal lantas menutup pintu. Dia mahu melenakan diri seketika.
“Tutup pintu tu. Abang nak tidur sekejap,” ucap Aqmal kepada isterinya. Lamia akur juga. Aqmal menurunkan punat pada pintu. Semua pintu terkunci.
“Janganlah tidur. Sunyinya. Seramlah.”
“Nak seram apanya? Lampu jalan tengah menyala-nyala tu,” jawab Aqmal perlahan. Kerusi terus direbahkan sebelum dia meletakkan tangan di atas dahi.
“Bila nak sampai kalau macam ni?”
Aqmal menoleh kepada isterinya. “Siapa suruh ikut?”
Sudahnya Lamia terkebil-kebil memandang sekeliling. Sejuk tak usah katalah. Dalam waktu sebegini, enjin kereta sengaja dibiarkan hidup oleh Aqmal dalam keadaan aircond menyala. Seketika kemudian Lamia memandang suaminya. Aqmal sudah pegun di kerusinya. Tidak lama kemudian dengkuran lelaki itu mula kedengaran.
“Sedap aja tidur. Kita ni tak boleh tidur pun,” rungut Lamia sambil memeluk tubuhnya sendiri. Tidak tahan. Kakinya terkepit-kepit menahan kedinginan. Sudahnya dengan muka tak malu dia merebahkan tubuhnya di atas dada Aqmal. Terkejut lelaki itu serta merta. Aqmal mengangkat kepala.
“Sejuk...” bisik Lamia sambil meletakkan kepalanya di atas dada lelaki itu. Sekadar mahu berkongsi kehangatan tubuh sang suami.
Aqmal mengeluh perlahan sebelum dia kembali meletakkan kepala di penyandar dan lengannya diletakkan di atas dahi. Tetapi Lamia lebih cepat menarik tangan lelaki itu agar memeluknya. Aqmal hanya akur begitu sahaja. Wanita itu tidak juga dipeluknya.
“Peluk Mia, abang. Sejuk...”
Aqmal hanya diam tanpa melakukan apa yang dikehendaki wanita itu. Matanya sudah tidak mampu lena pula dibuat oleh Lamia. Tetapi kehangatan tubuh Lamia turut menawarkan kedinginan yang menggigit tubuhnya. Perlahan sebelah tangannya memaut tubuh Lamia agar lebih rapat kepadanya.
Lamia tersenyum dalam pada matanya terpejam. Daripada tidak boleh tidur, dia ikut terlena juga akhirnya.

“MIA...” lelaki itu mengalihkan kepala Lamia dari atas tubuhnya perlahan-lahan. Namun Lamia terjaga juga.
“Abang nak solat ni,” ucap Aqmal lantas menaikkan semula kerusinya. Kemudian dia keluar pula. Sudah lebih jam enam setengah pagi. Dia perlu bersolat segera. Tetapi di sekelilingnya tiada surau.
Sudahnya Aqmal mengambil botol mineral dari dalam kereta. Cukuplah untuk dia berwuduk. Kemudian dia naik ke atas bukit di tepi jalan itu bersama sehelai sejadah. Lamia hanya memandang gelagat suaminya dari dalam kereta.
Tidak sampai lima minit, Aqmal turun semula dari bukit berumput di tepi jalan itu. Dia mengeluarkan telefon dari poket seluarnya. Nombor towing trak yang tertera pada cermin keretanya segera didail.
“Abang call siapa?” tanya Lamia setelah Aqmal kembali ke tempat duduknya. Sebelah kakinya sengaja dibiarkan di luar.
“Towing truck. Sekejap lagi sampai,” jawab Aqmal perlahan. Matanya ralit memandang ke arah jalan raya. Hari sudah siang. Kereta sudah banyak di atas jalan. hampir sejam juga menanti, barulah towing truk yang dinanti tiba. Selama itu, sudah beberapa towing truk lain singgah mahu menghulurkan khidmat. Tetapi terpaksa ditolak oleh Aqmal.
Beberapa minit berbincang, kereta itu segera diangkat naik ke atas lori. Mereka dihantar ke Termerloh. Kira-kira 40 KM sahaja dari tempat mereka tersadai. Dalam perjalanan itu, Aqmal sempat menelefon adik bongsunya, meminta Syamel datang menjemput mereka di bandar Temerloh.
Setelah dihantar ke bengkel, kereta itu diperiksa.
“Aiyo... ini banyak berat. Gear box sudah habis, bos.”
“Macam mana jadi begitu?”
“Minyak tak ada. Saya tengok pada itu lidi, minyak kering. Itu kedai lupa mahu taruk minyak. Bawah tak ada kesan minyak tumpah,” ujar tauke bengkel tempat mereka berurusan. Aqmal hanya mampu menepuk dahi. Salah dia juga kerana tidak periksa sebelum meninggalkan bengkel.
“Jadi sekarang macam mana you nak buat?”
“Gear box kena ganti baru, bos. Tapi itu gear box mahu order dulu. Ambil masa dua minggu juga. Ini hari, Ahad sama Isnin kedai banyak tutup. Ini model kereta, gear box bukan senang boleh cari di sini. Harga pun belum tahu,” kata lelaki Cina itu.
Aqmal terdiam mendengar itu. soal harga tidak begitu difikirkan dalam keadaan dia terdesa, sudah tiada pilihan lain. Sebaliknya soal masa itu memang menjadi masalah. Dia tidak boleh berlama-lama di kampung semata-mata untuk menanti keretanya siap dibaiki. Nampaknya terpaksalah dia meminjam kereta arwah abahnya untuk sementara waktu.
“Apa macam, bos?”
“Bolehlah. Janji itu rosak you mesti repair baik-baik,” jawab Aqmal akur akhirnya. Lamia sekadar memandang urusan suaminya dengan tauke bengkel itu. Mujur jugalah bengkel ini buka. Kebanyakan bengkel lain tutup oleh kerana hari ini cuti umum.
Tidak lama kemudian, Syamel muncul di situ. Terkejut dia melihat kelibat Lamia. Dia terus mendapatkan Aqmal. Dua beradik itu sempat melihat keadaan kereta Aqmal. Kebetulan Syamel sedang melanjutkan pelajaran di Kolej Vokasional dalam bidang automotif. Agak mahir dengan enjin kereta.
“Mia, jom kita pergi makan,” ajak Aqmal setelah selesai urusannya di bengkel itu.
Lamia sekadar akur. Syamel agak janggal dengan wanita itu, langsung tidak menegur. Sekadar menikmati roti canai di kedai Melayu, mereka duduk berbual di situ seketika. Aqmal dan Syamel yang banyak bercakap berdua. Dari gaya lelaki itu, Aqmal sememangnya seorang abang yang suka bertanya perkembangan adik-adiknya. Penuh kasih sayang.
Melihat itu Lamia termenung pula memandang ke luar. Suatu masa dahulu dia juga mempunyai tempat di dalam perhatian Aqmal. Sayangnya sekarang, semua itu sudah berlalu. Dia rasa tersisih begitu sahaja.
Perjalanan dari Bandar Temerloh ke rumah Aqmal, mengambil masa lagi empat puluh minit. Seperti biasa, Aqmal tidak terus pulang ke rumah. Dia singgah seketika di tanah perkuburan. Menjengah pusara abahnya tanpa pernah merasa jemu.
Lamia mengambil selendang dari dalam beg pakaiannya sebelum ikut ke pusara itu.
“Tu kubur arwah ayah Mia.” Aqmal menunding pusara di sebelah pusara itu.
Lamia segera ke pusara yang ditunjukkan Aqmal. Selama ini dia tidak pernah datang ke sini menjenguk pusara ayah kandungnya. Entah kenapa hatinya sayu melihat pusara itu. Seketika kemudian dia memandang suaminya. Aqmal sibuk membersihkan pusara abahnya. Daun-daun kering dialihkan dari atas pusara itu. Jelas terbentang di hadapan matanya kasih sayang dari seorang anak.
“Kita balik?” ajak Aqmal. Matahari sudah mula bersinar garang.

Lamia sekadar mengangguk akur. Sempat memandang pusara ayah kandungnya. Sebekas rindu telah tertinggal di situ.