Jumaat, 23 Ogos 2013

Bab 11-BIMA

Oktober 2003 (Aku di tingkatan enam atas)
“Intan!!!” pekikan emak menyentak dan menganggu tumpuan ku. Aku  lantas memandang ke arah pintu bilik yang ternganga luas. Sebuah keluhan terkeluar dari mulut ku apabila siren emak sudah kedengaran lantang.
Tidak lama kemudian tampang emak kelihatan di mata ku. “Apa kau buat memerap aja dalam bilik ni?” nada suara emak kedengaran kasar menyoal aku dari ambang pintu bilik kecil ku ini.
“Intan tengah study, mak..” aku sekadar menjawab hambar kerana sebahagian daripada semangat bagaikan hilang dek kerana kelantangan suara emak. Terasa terganggu lagi waktu belajar ku dengan kehadiran suara emak yang kasar itu.
“Tengokkan adik-adik ni kejap. Aku nak ke kedai..” perintah emak kepada ku yang masih tercangak-cangak di meja kecil itu.
“Yalah..” akur dengan arahannya aku lantas menutup buku prinsip akaun yang sedang terbentang di hadapan ku itu. Perintah emak lekas dituruti dengan rasa sabar. Adik-adik ku Isha dan Elmina di ruang tamu segera aku dekati sementelah bayang emak sudah tidak kelihatan lagi di bilik itu. Mungkin emak sudah pun berlalu ke kedai seperti yang dikatakannya sebentar tadi.
Aku menemani adik-adik ku yang sedang bermain di ruang tamu itu. Daripada setengah jam mula menjadi berjam-jam emak menghilang ke kedai. Aku pula selagi emak ku itu tidak pulang dari kedai aku akan terus setia di situ melayan adik-adik yang masih kecil jika tidak mahu sebarang masalah melanda ku nanti. Bukannya aku tidak tahu baran emak jika aku gagal melunaskan kerja yang diarahkan seperti yang dimahukan emak. Adik ku Farisya berusia lapan tahun asyik menonton rancangan tv sementara Elmina baru tiga tahun membelek anak patung di tangannya itu. Adik lelaki ku, Fariz yang muda setahun daripada Qistina entah ke mana perginya. Petang-petang begini biasanya Fariz bersama dengan teman-temannya menghabiskan masa melepak. Anak remajalah katakan! Qistina pula mungkin masih di sekolah dengan aktiviti sukannya.
Aku hanya memandang Elmina yang bermain dengan patung lusuh yang seiras patung Barbie itu. Seingat aku patung itu emak membelikan Isya bertahun-tahun dahulu di pasar malam dan kini sudah berpindah milik kepada Elmina. Kasihan Elmina yang terpaksa menerima ‘bekas’ kakak-kakaknya.
Sedang aku asyik memandang mereka begitu aku terdengar bunyi motor masuk ke kawasan rumah ku itu. Aku mengagak mungkin abah sudah pulang dari kerjanya. Serta merta jam di dinding menjadi tempat singgahan bola mata ku. Tidak sedar aku rupanya waktu sudah mencecah hampir ke jam enam setengah petang. Sudah petang benar nampaknya. Patutlah aku sudah terdengar bunyi motor abah kerana waktu kerja abah ku itu sudah tamat kira-kira sejam yang lalu.
“Mak mana, Intan?” soal abah kepada ku sebaik sahaja dia melangkah masuk ke rumah kampung itu. Bekas makanan yang sudah kosong di tangannya itu diletakkan di atas meja sambil abah memanjangkan leher mengintai ke dapur mencari kelibat emak.
“Entah. Tadi mak kata pergi kedai,” jawab ku tanpa memandang abah lama. Pandangan mata ku kembali kepada adik-adik di hadapannya itu setelah aku memandang abah sekilas. Sempat mata ku menangkap gelengan abah kepada jawapan ku sebentar tadi.
“Pergi kedai atau pergi bersembang rumah orang?” abah membalas seperti mengomel sendirian. Mungkin dia tidak senang kerana isterinya tiada apabila dia pulang ke rumah.
Aku hanya mendengar sahaja omelan sang ayah. Aku tahu sangat rungutan seperti itu memang sudah biasa ku dengari dari mulut abah ku itu namun abah hanya berani bercakap di belakang emak sahaja. Di depan abah langsung tidak berani kerana tidak cukup dengan kami, seluruh kampung ini tahu perangai singa betina emak ku itu. Kalau dia sudah mengamuk gegak gempitalah kampung ini tanpa mengira segan silu lagi. Kalau ada masalah dengan jiran habislah jiran diserangnya. Jika ada masalah dalam rumah suaranya lantang sehingga menarik perhatian jiran tetangga untuk bercerita mengenainya.
“Fariz mana?” kedengaran soalan abah berkisar tentang Fariz pula.
Aku menghela nafas perlahan. “Entah. Daripada tadi Intan tak nampak dia. Qistina belum balik sekolah lagi..” jawab ku agak hambar. Jelas sekali ada rasa cemburu di hati ku ini apabila sang ayah sering bertanya tentang Fariz berbanding diri ku yang berada di hadapannya.
Abah diam sahaja setelah mendengar jawapan ku itu. Setelah itu dia duduk di antara antara kami di ruang tamu itu. Tanpa menukar pakaian kerjanya abah mula melayan anak bongsunya Elmina. Elmina sememangnya manja dengan abah. Mungkin kerana dia yang paling kecil jadi banyak keletah manjanya yang menjadi penghibur sang ayah. Anak bongsu memang selalulah dimanja-manja.
Aku hanya memandang sepi perbuatan abah ku itu. Seperti kebiasaannya kehadiran ku di situ tidak begitu diberi perhatian oleh abah. Abah hanya sibuk melayan adik ku itu. Aku hanya diam sahaja sambil memandang tiga ahli keluarga ku itu. Sememangnya semenjak dahulu aku sudah sering ‘diketepikan’ oleh emak dan abah ku itu. Ditambah lagi semenjak kejadian yang menimpa Arwah Syuhadah aku bagaikan terus dibezakan oleh emak dan abah. Bukan sehari dua aku mengalami perkara ini tetapi semenjak bertahun-tahun yang lalu. Sehinggakan aku bagaikan sudah terbiasa dengan keadaan ini. Empat tahun ini empat tahun yang cukup derita bagi ku. Tiada siapa yang mengerti apa yang sering mendera batin ku ini. Tiada siapa yang bertanya apa yang menimpa diri ku ini semenjak aku menyaksikan kejadian yang menakutkan itu. Emak tidak pernah peduli dan abah apatah lagi.
“Intan!!!” sekali lagi kelantangan suara emak memanggil mengejutkan aku yang sedang asyik dengan diri ku sendiri. Aku terus tersentak dengan debaran dada yang sudah tidak sekata. Jika nada emak seperti itu bermakna adalah kesalahan aku yang sudah dikesannya. Alamat pekaklah telinga ku ini dengan tengking herdik sang emak yang garang itu. Entah bila masanya emak pulang aku tidak tahu. Mungkin emak masuk dari pintu dapur.
‘Dah balik dah...’ desis hati ku amat sebal dan bosan dengan layanan emak. Entah kenapa setiap kali aku mendengar suara emak memanggil begitu hati ku membengkak geram. Mengapa emak tidak memanggil dengan suara yang lebih perlahan atau lebih lembut. Mengapa mesti terjerit-jerit begitu? Tidak sakitkah tekak emak?
 “Intan....!!!!” kali ini suara emak lebih lantang memanggil apabila aku hanya membisu tidak menjawab. Aku tersentak lagi dalam lamunan ku.
“Mak panggil tu, Intan. Tak dengar ke?” tegur abah yang tidak tahan dengan tahap kelantangan suara emak. Matanya tajam memandang aku yang terbedik-bedik di ruang tamu itu.
“Ya, mak..” saat itu barulah aku menyahut. Lemah sekali nada ku bagaikan sudah tidak berupaya lagi menadah siksaan batin ku dengan kelantangan suara emak. Kebisingan emak cukup-cukup menekan perasaan ku. Ketajaman suara emak benar-benar mendera emosi ku yang kian rapuh saban hari.
“Kau tak masak nasi lagi ke?” soal emak sewaktu tubuh ku terjengul di dapur itu. “Tengok dapur ni. Apa pun takde. Apa nak dimakan malam ni kalau nasi pun takde?” emak menyambung lagi.
Aku terkesima apabila dihambat dengan soalan-soalan itu. Barulah aku teringat yang waktu sudah hampir maghrib. Memang selalunya sudah lazimnya aku harus memasak nasi diwaktu ini untuk makan malam nanti tetapi dek kerana asyik termenung tadi aku langsung terlalai. Sedikit sebanyak aku kesal dengan kealpaan ku sendiri sehingga mengundang halilintar memanah pendengaran sendiri. Silap aku juga! Siapa suruh aku berangan sehingga terlalai?
“Belum. Intan masak sekarang,” aku segera akur dengan kekesalan sendiri. Terkocoh-kocoh aku mendekati periuk nasi eletrik di sudut dapur itu untuk memasak nasi. Kesal benar hati ku kerana kesilapan sendiri yang kemungkinan besar akan mengundang leteran yang lebih panjang lagi.
“Ada anak dara ramai pun tak berguna! Masak nasik pun tak boleh. Berapa banyak bapak kau bayar aku untuk jadi hamba abdi korang? Semua kerja aku nak kena buat. Korang sedap aja mengangkang kat depan tu macam raja!” bermula sudah sesi ‘pendidikan sivik’ untuk aku.
Aku hanya mampu menghela nafas perlahan dan berdiam sambil menadah telinga. Kerja tetap aku lakukan walaupun telinga ku ini bagaikan bernanah mendengar leteran emak. Memang sakit telinga jika emak sudah mula membebel begini. Bebelannya selalunya akan disertakan dengan kata-kata yang kesat dan memedihkan. Itu belum lagi dikira bila memukul anak-anak. Cuma apabila aku, Qistina dan Fariz sudah remaja begini emak jarang lagi memukul kami sebaliknya mulutnya sahaja yang semakin lantang dengan bermacam-macam jenis caci makinya jika kami ada berbuat salah.
Aku menoleh apabila tertangkap kehadiran abah di ambang dapur. Lama mata ku memandang sang ayah namun aku hanya sekadar memandang sahaja. Aku terus membasuh beras yang sudah dimasukkan ke dalam periuk nasi sambil terus setia menadah telinga kepada leteran emak.
“Sudahlah tu, Nab. Dah Maghrib ni..” abah menegur agar emak mengawal suaranya kepada ku. Mungkin abah juga lemas dengan leteran emak yang semakin memanjang walaupun halnya hanya sedikit sahaja. Memang begitulah kebiasaan emak yang aku kenali. Kalau sudah mula meleter leterannya akan panjang berjela-jela sehingga dia akhirnya kepenatan berleter.
“Ni anak dara awak ni. Duduk melangut aja tahunya. Pemalas! Esok kahwin tak tahulah macamana rumahtangganya nanti. Entah-entah lintang pukang tak tentu hala. Pot..pet.. pot.. pet..” emak menambah lagi leterannya yang masih tidak lengkap.
Aku dalam menahan kesabaran terus menahan telinga dalam pada aku sibuk menyiapkan kerja. Malu dan sakit hati bergaul menjadi satu apabila buat kesekain kalinya aku lagi yang menjadi bahan cercaan emak. Aku rasa aku ini bagaikan pounching bag yang paling sesuai untuk emak meluahkan kemarahannya kerana sikap ku yang lebih suka berdiam diri apabila emak meleter.
“Assalamualaikum...” suara Qistina kedengaran mencelah keriuhan suara emak. Pandangan mata ku terus terarah ke arah datangnya suara itu.
“Ha! Ni lagi satu anak dara! Main sukan aja kau tahu. Dah maghrib baru nak balik. Daripada kau terkinja-kinja melompat sana sini main net ball kat sekolah tu baik kau duduk rumah jaga adik ni, Tina. Lagi ada faedahnya! Bola tu bukannya boleh kenyangkan perut kau!” kali ini leteran sang emak terhala kepada Qistina yang berada di muka pintu dapur itu.
Qistina terpinga-pinga dengan jerkahan emak yang menerpa tiba-tiba kepadanya. Dia sempat memandang aku yang berwajah seperti orang tertelan tungau. “Kenapa mak?” dia menyoal emak tidak faham.
“Kenapa? Kau dah tak reti nak balik awal? Pergi terkinja-kinja di padang sekolah sana bila dah nak maghrib baru nak balik. Kau ingat rumah ni tak perlu nak buat kerja? Ada berapa puluh orang gaji yang boleh masakkan makan minum kau?” emak berkata dalam herdikan yang lantang kepada adik kedua ku itu. Kasihannya Qistina. Dia yang tidak salah apa-apa terkena juga.
Qistina diam sahaja namun sewaktu dia meletakkan kasutnya di tempat kasut. Wajahnya sudah berubah. Agaknya kerana malas melayan emaknya itu, dia terus ke ruang tamu tanpa menunggu lagi. Aku juga ikut berbuat perkara yang sama setelah nasi selesai ku basuh dan ku tekan suisnya. Sesungguhnya tiada siapa yang mampu melayan ngauman suara emak diwaktu maghrib begini.
“Kenapa mak bising tu, akak?” Qistina menyoal aku ketika kami di dalam bilik. Nadanya jelas sekali yang dia sedang bengang kerana tiba-tiba ditekan emak begitu sedangkan dia tidak tahu apa-apa.
“Akak terlambat masak nasi..” aku hanya menjawab biasa.
“Terlambat masak nasi salahnya macam bos terlambat bayar gaji! Macam besar sangat salah kita ni sampai nak dibahasakan macam tu. Tina ni balik penat-penat aja dah kena. Bukannya dia nak tanya kita buat apa kat sekolah tu. Main sedap bercakap aja. Hari ni Tina bukannya main net ball. Hari ni Tina ada kelas tambahan biologi dengan cikgu Maria. Mak tu suka jerkah kita macam tu. Dia ingat kita ni tunggul agaknya!” Qistina merungut mengenai sikap si emak.
“Mak memang macam tu. Nak buat macamana. Sabar ajalah..” aku hanya mampu menjawab hambar. Bukannya aku ada kuasa untuk mengubah sikap emak kami yang begitu. Aku sendiri paling sering dikenakan emak jika dia ada berbuat kesilapan. Bagi ku itu semua sudah lumrah hidup ku. Selagi aku boleh bersabar, bersabar sahajalah..
“Hi!! Kita ni macam hidup dengan Hitler. Tengoklah nanti.. Tina dapat belajar kat asrama memang Tina pergi. Tina dah tak tahan hidup kat rumah ni lagi. Asyik kena membebel aja. Tina balik lambat sikit dah kena. Fariz kat simpang tu masih melepak lagi dia tak membebel pulak. Dia tu lagilah perangai mengalahkan anak jin. Tahu makan tidur aja tak pernah bantu apa-apa kat rumah ni,” sambung Qistina yang masih tidak berpuas hati dengan sikap emak yang amat berat sebelah.
“Dahlah tu. Kita mandilah. Karang kalau lambat kena lagi..” aku segera menegur adik ku itu. Bukannya aku tidak faham dengan rungutan Qistina tetapi apalah daya ku untuk membantu jika aku sendiri pun selalu dikenakan lebih teruk lagi.
Qistina akur dengan kata-kata ku. Dia terus mengambil tuala dan dibelitkan di pinggangnya. Seluar track suit yang dipakainya dilemparnya ke dalam bakul kain kotor.
Setelah selesai membersihkan diri adik-adik ku masing-masing sudah berkumpul di hadapan menonton tv. Sewaktu pulang dari bilik air aku sempat memandang tv yang menyiarkan azan maghrib namun Isya dengan pantas menukarnya ke siaran lain yang memaparkan rancangan kartun antarabangsa. Abah juga masih berteleku di hadapan tv tanpa mempedulikan azam maghrib itu. Malah abah ku itu masih dengan pakaian yang sama yang dipakainya sewaktu berkerja di kilang siang tadi.
“Kita sembahyang nak?” soal Qistina agak perlahan nadanya kepada ku.
“Bukannya akak tak nak tapi makanan belum siap lagi. Nanti kalau lambat takut mak lagi menyinga..” jawab ku juga agak perlahan sambil mengenakan pakaian ke tubuh ku. Qistina hanya diam mengeluh mendengar jawapan ku. Dia juga takut perkara yang sama. Lalu kami sama-sama akur dengan meninggalkan tuntutan yang utama itu demi kerana takutkan emak.
Aku dan Qistina setelah selesai mengenakan pakaian mula ke dapur bagi menyiapkan makan malam. Setelah selesai menghidangkan lauk pauk dan nasi aku segera meminta Qistina memanggil ahli keluarga yang lain.
“Fariz mana? Belum balik lagi?” abah mula menyoal apabila dia mulai perasan yang ahli keluarga kami masih kekurangan seorang lagi ahli.
“Belum. Ada hal kat luarlah tu..” emak menyambut soalan abah biasa. Nadanya selamba sahaja seolah-olah tiada sebarang kepelikan atau kesalahan dengan tingkah laku anak lelakinya itu. Tidak kedengaran pula leteran emak kerana anak lelakinya itu sudah berjam-jam tidak balik ke rumah. Malah dia langsung tidak kisah walaupun Fariz seperti tidak kenal siang dan malam apabila sudah bergaul dengan anak-anak yang seusia dengannya itu.
“Ni dah maghrib. Dia tak reti nak balik ke?” abah menyoal emak lagi.
“Kejap lagi baliklah tu. Dia buat kerja sekolah dengan kawan dia agaknya..” emak menjawab selamba.
Abah diam sahaja. Kami memulakan makan apabila abah selesai membaca doa. Aku seperti kebiasaan hanya berdiam sahaja di tengah-tengah keluarga itu. Aku hanya menadah telinga sahaja kepada perbualan emak dan abah yang sedang berkisar kepada soal kerja abah di kilang tempatnya mencari rezeki buat kami. Seketika kemudian kedengaran pula suara emak bercerita tentang jiran kami yang sudah membeli peti ais baru. Cukup tajam ingatan emak sehingga emak boleh mengingati jenama dan model peti ais yang baru dibeli oleh jiran kami itu.
Saat mendengar cerita emak aku segera menuntaskan pandangan ku kepada peti ais milik kami. Masih elok cumanya peti ais itu lebih rendah jika diukur dengan diri ku. Kapasiti peti ais itu sudah tentulah tidak mampu menampung keperluan kami sekeluarga kerana kekecilan saiz peti ais itu. Namun aku akui peti ais kecil itu masih elok biarpun peti ais itu dibeli ketika aku berada di darjah dua. Aku akui kemampuan abah memang tidak semana untuk memenuhi rumah kami ini dengan pekakas rumah yang mengikut peredaran zaman.
Tetapi ada kerunsingan yang aku rasakan apabila emak sudah mula membuka cerita mengenai jiran yang membeli peti ais itu. Selalunya jika dia bercerita begitu bermakna abah juga harus siap membelikan peti ais yang seperti itu. Aku memang selalu faham dengan sikap emak yang tidak boleh melihat orang lain mempunyai kelebihan daripada kami dalam soal material. Lebih dasyat lagi jika abah buat pekak aja dengan keinginannya itu akibatnya emak dan abah akan bergaduh besar. Apabila sudah tidak tahan akhirnya abah turutkan sahaja kehendak emak.
Begitulah selalunya..
Baik aku mahupun abah hanya diam sahaja menadah cerita emak mengenai peti ais baru jiran itu. Aku tahu abah juga sudah cukup memahami tabiat emak itu. Jika emak sudah mula membuka cerita begitu alamatnya terpaksalah abah menyediakan duit untuk membeli peti ais baru untuk emak. Kemudian cerita emak berkisar kepada hal tetangga orang lain pulak. Bermulalah kisah anak si polan yang suka menumpang motor lelaki kemudian anak si polan yang dipaksa berkahwin oleh emak dan ayahnya kerana telah ditangkap berdua-duaan dengan lelaki. Kemudian cerita si polan dan si polan di tambah lagi dengan si polan yang berkahwin lagi tanpa pengetahuan isteri...
Aku dan Qistina berpandangan berdua. Masing-masing tersenyum sinis dengan sikap emak yang suka mengata orang itu. Kami sudah maklum sangat dengan kegemaran emak bercerita mengenai keburukan orang kampung itu. Seolah-olah dia tidak sedar ada juga diantara anak-anaknya yang bermasalah. Malangnya tiada sesiapa pun yang mampu untuk menahan emak daripada bercerita dan tiada siapa yang mampu menegur tabiat emak itu.
Selesai mengemas meja aku kembali ke bilik ku. Di dalam bilik itu Qistina sudah mula membuka bukunya untuk menelaah. Aku juga lantas duduk bersebelahan dengannya, berkongsi meja yang sama. Sememangnya antara adik beradik aku dan Qistina agak rapat. Kami tidak kisah berkongsi bilik dan meja belajar. Mungkin kerana usia kami juga tidak jauh berbeza dan kami sama-sama perempuan. Aku kini di tingkatan enam atas dan Qistina di tingkatan lima.
Namun baru sahaja aku hendak memulakan ulang kaji emak sudah melaung nama ku. Keluhan sekali lagi terluah dari mulut ku ini.
“Apa, mak?” aku menyambut apabila berada di ruang tamu.
“Tu. Kerja engkau..” emak lantas menunjukkan timbunan kain baju yang perlu aku kerjakan.
Lemah longlai aku jadinya apabila melihat kain baju itu yang sedang menanti aku. Aku mahu menurut arahan emak tetapi aku perlu menyiapkan esei yang diberikan oleh Puan Sabariah. Esei itu harus dihantar kepada Puan Sabariah esok tetapi aku masih belum menyiapkan sebahagian besar darinya.
“Esok Intan lipat, mak. Intan ada kerja sekolah,” kata ku lembut cuba memenangi pengertian emak. Bukannya aku malas tetapi essei itu sangat penting untuk ku.
“Esok bila? Kau nak tunggu ada ular dalam kain baju tu baru kau nak lipat? Kau nak semua orang dalam rumah ni pakai baju ronyok tak berlipat ke? Kau tu pun bukannya reti balik sekolah awal,” bidas emak sengit.
Qistina keluar dari bilik apabila mendengar kekecohan yang dibikin oleh emak. “Ada apa, kak?” soalnya kepada ku.
“Ha, bagus! Kau dua orang lipat kain baju tu. Kau dari petang tadi takde buat apakan Tina? Sekarang tolong akak kau lipat baju,” terus emak mengenakan arahan itu kepada Qistina juga.
Wajah Qistina berubah segera. “Tina banyak kerja sekolah, mak...”
“Pergilah buat kerja Tina. Biar akak lipat baju tu..” aku akur mengalah sahaja demi melihat adik ku itu yang sedang terbeban dengan kerja yang diberi oleh guru. Aku sedar pelajar kelas sains seperti Qistina memang banyak dibekalkan dengan kerja rumah oleh guru.
“Tak payah nak mengelak. Kau ni memang pemalaskan, Tina? Bila aku suruh kau lipat baju ada aja alasan kau. Banyak kerjalah! Itulah! Inilah! Tadi petang masa kau sibuk dengan net ball kau tu, kau tak ingat kerja sekolah kau banyak?” emak dengan lantang mengenakan Qistina.
Aku menghela nafas perlahan memandang Qistina. Jika aku punya suara di dalam rumah ini sudah tentu aku akan membantunya. Tetapi sayang! Aku bukanlah anak kesayangan seperti Fariz, Farisha atau Elmina. Aku hanya anak yang menyusahkan emak selama ini. Sepatah suara aku menjawab akan mengakibatkan aku akan dihalau keluar dari rumah ini bila-bila masa sahaja.
Qistina akur membantu aku juga walaupun aku lihat mukanya mencuka menahan hati yang membengkak marah. Wajahnya yang masam mencuka langsung tidak dipedulikan emak sebaliknya aku pula yang tidak sedap hati melihatnya. Kami berdua sama-sama merapikan timbunan baju itu. Tangan ku lincah menyudahkan kain baju itu agar lekas siap.
“Lipat elok-elok baju tu, Tina. Jangan main sedap kau melipat aja! Kerja cincai! Ini namanya anak dara?” kedengaran lagi suara emak menegur hasil kerja Qistina yang tidak kemas. Qistina mencebik di sebalik pandangan emak. Baju abah yang dilipatnya tadi dirungkaikannya semula dengan agak kasar sebagai tanda protes. Aku hanya mampu menggeleng sahaja melihat angin adik ku itu.
Aku tidak tahu mengapa saat berada di dalam rumah ini hati ku tidak aman. Jika tidak kerana aku masih bersekolah ditingkatan enam sudah lama aku keluar mencari hidup ku. Kadang-kala aku cemburu dengan teman-teman yang lain. Mereka juga bukanlah dilahirkan dalam keluarga yang hebat namun aku jarang melihat mereka ditempelak oleh emak mereka setiap masa. Tidak seperti aku. Sungguh menyiksakan kerana sikap emak ku yang suka menyinga hampir sepanjang masa.
Arwah Syuhadah juga teman sebaya ku. Semenjak dari sekolah rendah aku mengenalinya. Emaknya juga cukup aku kenal. Arwah Syuhadah sewaktu hidupnya dilayan baik oleh emaknya. Aku tidak pernah mendengar emaknya memaki hamun Syuhadah. Jauh sekali mahu memanggil Syuhadah dengan panggilan yang tidak elok.
Tetapi mengapa emak melayan aku dan Qistina begini? Mengapa? Apa yang berbezanya aku berbanding Fariz dan adik-adik ku yang lain? Adakah aku anak pungut? Rasanya tidak. Aku anak kandung emak. Tetapi setiap kali emak marah tidak ada bahasa yang sedap didengar keluar dari mulutnya. Hanya ada maki hamun dan caci cerca sahaja seolah-olah aku ini tiada perasaan.
Masih aku ingat empat tahun lalu sewaktu Arwah Syuhadah meninggal. Aku disoal siasat oleh polis begitu lama di balai polis sehingga emak menyangka akulah yang membunuh Syuhadah. Akibatnya di hadapan anggota polis aku dibantai emak. Mujurlah abah dan beberapa anggota polis meleraikan kami. Emak tanpa usul periksa telah memalukan aku di hadapan orang lain. Tidak terkata jerihnya perasaan ku dengan perbuatan emak waktu itu sedangkan aku perlukan sokongan emak untuk mengembalikan semangat yang hilang.
Aku tidak tahu mengapa emak berbuat begitu dengan ku. Malah sehingga kini aku tetap tidak tahu sebabnya walaupun puas aku memikirkan sebabnya. Tetapi apa yang aku tahu semenjak kematian Arwah Syuhadah hidup ku ibarat di dalam neraka. Emak tidak pernah mengetahui apa yang terjadi kepada ku. Malahan tidak pernah bertanya. Emak dan abah sama sekali tidak pernah peduli. Tidak pernah!

Julai 2001 (Aku di tingkatan lima)
“Buat apa kau nak menyibuk menyusahkan diri naik ke mahkamah tu? Takde faedah satu senpun! Menyusahkan diri lagi ada,” lantang suara emak mempertikaikan keputusan ku.
“Mak, Syuhadah tu kawan Intan. Takkan Intan nak biarkan macam tu aja? Intan ni saksi besar kes tu. Intan nampak semuanya jadi Intan kena beri keterangan untuk mendakwa Zaki tu,” tekan ku agar emak menerima pendirian ku itu.
“Tak kisahlah kau nampak atau apa. Jangan masuk campur hal orang lain. Diorang nak merogol ke, nak meliwat ke.. kau jangan sibuk nak dakwa-dakwa orang tu. Aku tak mahu disebabkan perkara ni kita dengan keluarga Zaki tu bermusuhan. Orang yang dah mati ni tetap mati walaupun kau naik mahkamah berpuluh kali pun..” semakin lantang suara emak menegah aku daripada meneruskan apa yang mahu aku lakukan itu.
Aku beristighfar di dalam hati mendengar kata-kata emak itu. Angkuh sungguh emak. Tidakkah emak tahu selain aku ada lagi yang lebih berkuasa yang mendengar kata-kata kami. Emak bagaikan tidak berfikir langsung saat meluahkan perasaannya. Dia hanya bercakap mengikut lidahnya yang tidak bertulang itu.
“Kenapa pulak keluarga Zaki tu nak bermusuhan dengan kita? Intan cuma bercakap yang benar aja, mak. Zaki tu pembunuh dan dia patut dihukum. Salah ke apa yang Intan buat ni?” aku cuba memenangi pendirian emak dengan pujukan itu.
“Salah tak salah itu bukan urusan kita. Diorang tu nak naik mahkamah ke apa ke lantakkan mereka. Tak payah kita pulak nak menyibuk untuk jadi saksi pula. Tak pasal-pasal sebabkan budak tu kita dapat musuh,” emak tetap berdegil mempertahankan pendapatnya.
“Mak, kalau penjahat macam Zaki tu tak didakwa tak mustahil dia akan buat pada orang lain pulak. Mak tak takut ke?”
“Kau jaga aja diri kau! Jangan nak masuk campur hal orang lain. Orang apa dia nak buat itu pedulikan. Tak kena mengena dengan kita!” emak mencantas pendapat ku dengan cukup sinis.
Aku terdiam menelan rasa terkilan. Namun di dalam hati aku tetap mahu meneruskan apa yang sudah aku janjikan kepada diri ku. Aku tidak akan menarik diri sebagai saksi utama kes pembunuhan Arwah Syuhadah. Aku tidak akan membiarkan arwah Syuhadah mati tanpa sebarang pembelaan di atas penganiayaan kepadanya.
Malam itu aku terdengar perbualan emak yang meminta abah masuk campur dalam hal yang kami bincangkan siang tadi. Dengan kuasa ‘veto’ emak, abah tunduk juga dengan kata-kata emak apabila aku terdengar abah berjanji akan bercakap dengan aku nanti.
Aku tahu, abah memang lemah jika dengan emak. Walaupun aku berada dipihak yang benar tetapi jika emaklah yang menjadi penghalang utamanya maka abah juga akan tunduk kepada emak. Semuanya kerana takut emak mengamuk.
Seperti yang aku jangkakan sewaktu aku mahu bersarapan untuk ke sekolah abah menasihati aku supaya mendengar cakap emak. Kata abah, jangan jadi anak derhaka. Syurga di bawah telapak kaki ibu! Aku hanya diam sahaja tetapi di dalam hati aku memberontak dengan sikap emak dan abah. Inikah yang dipanggil derhaka? Tahukah emak apa itu derhaka sebenarnya?
Tidak! Emak dan abah tidak tahu apa makna derhaka sebenarnya. Kata-kata abah tiada satu pun yang ku sambut. Apabila melihat aku berdegil abah mulai berkeras mengugut aku. Kata abah, abah tidak akan menghantar aku ke mahkamah lagi untuk sesi perbicaraan yang seterusnya. Semakin emak dan abah berkeras semakin itulah aku melawan dalam diam. Aku tidak berkata sepatah pun untuk menjawab kepada mereka.
Hari yang sama juga selepas aku dan Qistina pulang dari sekolah kami melihat keluarga Zaki datang lagi ke rumah kami. Semuanya kerana mahu memujuk aku agar menarik diri dari kes itu. Apa yang paling menyebalkan aku bila emak dengan manis mulutnya berkata yang aku tidak akan ke mahkamah lagi. Emak tiada pun bertanya kepada ku? Saat itu aku menganggap yang emak tidak ada hak untuk menghalang aku daripada menjadi saksi kes itu.
Emak sanggup mengenepikan kebenaran dengan membiarkan pembunuh kejam itu terlepas semata-mata kerana tidak mahu bermusuhan dengan jiran sekampung? Oh, tidak! Huh! Aku tahu semua ini bukan mudah. Aku sudah bersiap sedia dari awal lagi. Aku sudah memaklumkan pegawai pendakwa kes Syuhadah tentang masalah ku dan dia berjanji akan membantu.
“Kenapa emak cakap Intan tak akan pergi ke mahkamah lagi? Mak takde tanya Intan apa-apa pun?” aku yang tidak berpuas hati lantas bertanya kepada emak setelah rombongan keluarga pakcik Zamberi berlalu.
“Hai.. nak tanya apa lagi?? Kan abah kau kata jangan pergi?” dengan selamba emak berkata kepada ku seolah-olah keputusan muktamad abah itu adalah keputusan ku juga. Gaya emak saat itu amat menyakitkan hati ku.
“Abah dengan mak yang kata jangan pergi tapi Intan kata Intan tetap nak pergi. Apa mak dengan abah nak kata Intan tak peduli. Apa yang Intan tahu Intan di pihak yang benar..” aku memberanikan diri membalas tegahan emak.
“Kau jangan nak cari pasal, Intan. Jangan nak melawan cakap aku. Aku kata jangan pergi, jangan pergi! Jangan nak berlagak pandai. Kau masih budak lagi apa kau tahu?” seperti kebiasaan kelantangan emak akan mula membingitkan suasana rumah kami.
“Mak, Zaki tu dah bunuh kawan Intan. Apa mak nak Intan pejam mata macam tu aja? Kalau perkara tu jadi pada Intan macamana?”
“Baguslah kalau kau yang mampus tu. Takdelah esok aku malu ada anak macam kau. Kalau kau dah kejung kat dalam semak tu aku tanam aja, habis cerita! Tak payah nak menyusahkan diri nak naik mahkamah sana sini. Nak bayar lawyer lagi.. hakim lagi.. semua tu membazir! Lepas mati tanam, reput jugak dalam kubur tu. Bukannya lepas menang di mahkamah kau boleh hidup semula..” tanpa sebarang perasaan bersalah emak berkata begitu kepada ku. Berdesing telinga ku mendengar kata-kata emak itu. Semudah itukah?
“Mak, apa mak cakap ni??” Qistina mulai masuk campur.
Aku sudah tidak terkata. Saat itu hanya ALLAH sahaja yang tahu betapa berkecainya perasaan ku setelah mendengar kata-kata emak. Sampainya hati emak berkata begitu? Apakah aku sememangnya tiada kepentingan sedikit pun kepada emak sehingga emak sanggup berkata begitu kepada ku.
“Inilah natijahnya bila melawan kata-kata orang tua..” emak membebel sendirian. Agaknya dia terperasan yang dia sudah terlebih bicara. Namun salah itu juga kini sudah emak letakkan di pundak ku.

Tanpa menunggu di situ lagi aku terus masuk ke dalam bilik. Di dalam bilik aku menangis sepuas-puas hati ku. Hanya ALLAH sahaja yang tahu betapa terlukanya aku dengan emak. Qistina hanya mampu memandang aku yang sedang kesedihan. Dia bagaikan mengerti perasaan ku tetapi kami sama-sama tidak mampu untuk berbuat apa-apa.

Bab 10-BIMA

Kata ustazah...
“Salah satu syarat untuk mencari hubungan yang diredhai ALLAH ialah dengan menjaga kemaluan. Jangan sesekali membiarkan kemaluan terjerumus ke lembah maksiat kerana hubungan antara suami isteri akan bermula daripada percintaan yang diredhai ALLAH. Sekiranya pasangan kekasih itu mencemarkan hubungan itu dengan maksiat maka bagaimana kita akan dapat keredhaan ALLAH? Jagalah kemaluan kamu kerana itu adalah lubuk nafsu. Manusia akan hilang kewarasan kerana lubuk nafsu itu.”


Ogos 2000
“Tolong...!!!” jeritan itu kedengaran jelas berselang seli dengan bunyi tawa beberapa lelaki. Masing-masing berkumpul mengelilingi gadis itu. Masing-masing keseronokan bagaikan menyaksikan sarkas.
Aku terus menyaksikan di sebalik rimbunan semak samun. Untuk melarikan diri aku amat takut dan untuk membantu apatah lagi. Aku hanya terpaku di situ mendiamkan diri dan memandang perbuatan jahanam lima lelaki itu beberapa orangnya sempat aku kenali wajahnya. Salah seorangnya adalah Zaki anak kepada Pakcik Zamberi. Rumahnya tidak jauh daripada rumah ku.
“Tolong jangan buat aku macam ni!!! Apa dosa aku pada korang??” soalan itu seperti kedengaran seperti sang perempuan itu sedang benar-benar tersiksa. Namun bagi lelaki-lelaki bajingan itu hanya satu jenaka kepada lelaki-lelaki itu. Mereka terus tertawa dan keseronokan melihat gadis yang tidak berdaya itu. Semakin gadis itu meminta tolong semakin bermaharaja lela iblis di hati mereka.
Ha! Ha! Ha! Ha! Mereka berlima terus ketawa suka sedangkan Syuhadah meronta-ronta untuk melepaskan diri. Sebahagian tubuhnya sudah tidak berpakaian dan begitu juga dengan lelaki-lelaki itu.
“Jangan!!!!! Tolonglah!!!! Ya ALLAH....!!!” Syuhadah menjerit kuat. “Jangan!!!!” semakin lantang jeritan Syuhadah. Esakannya bergema di segenap belukar itu.
“Diam!!!” jerkah sang lelaki keras. Lelaki yang lain ada yang menahan tangan si gadis ke tanah dan dua lagi lelaki membuka kedua-dua kaki gadis malang itu agar mudah temannya menjadi orang yang terkutuk.
“Jangan, Zaki!! Jangan buat aku macam ni. Apa dosa aku pada kau!!!” dalam jeritan itu sang gadis merayu secebis perikemanusiaan lelaki itu. Namun seketika kemudian jeritannya terkulum kerana mulutnya ditutup oleh teman Zaki.
“Aku ajak buat elok-elok kau taknak! Kau caci aku macam anjing. Sekarang kau rasa sendiri!” bentak Zaki kasar.
Aku terus memandang dengan deraian air mata. Aku teresak di dalam senyap dengan tangan yang menekup kuat mulut kerana aku bimbang jika esakan ku terlepas dan akhirnya mereka mengetahui kewujudan aku di situ. Namun melihat bagaimana gadis itu diperlakukan oleh lima lelaki itu hati ku amat tersiat diantara kepiluan, kengerian dan ketakutan yang teramat sangat. Hanya lelehan air mata sahaja yang dapat mengambarkan betapa tersiksanya aku melihat Syuhadah diperlakukan seperti binatang. Aku benar-benar mahu membantunya tetapi aku ketakutan. Aku hanya sendirian sedangkan lelaki itu ada lima orang untuk aku kalahkan. Jadilah pengecut yang terketar-ketar bersembunyi di celahan semak itu sedangkan Syuhadah memerlukan aku untuk membantunya daripada disiksa tanpa belas kasihan oleh lelaki-lelaki itu. Mereka bergilir-gilir memperlakukan Syuhadah seperti binatang.
‘Aku pengecut!’ hati ku meraung sekuatnya.
Alangkah bajingannya mereka kerana ada di antara lima lelaki itu aku kenali. Ada yang sekampung dengan kami dan kami saling mengenali selama ini. Tergamaknya dia menganiaya Syuhadah seperti itu. Aksi jijik serupa binatang itu tidak sanggup ku pandang lagi. Aku menggigil di situ dengan mata yang dilindungi oleh kedua-dua tangan ku.
Tangisan Syuhadah semakin perlahan. Lolongannya juga sudah kelayuan. Hanya erangan suaranya yang sedang kesakitan kedengaran. Namun erangan itu juga semakin lama semakin tenggelam hingga penghabisannya Syuhadah diam kaku di situ.
“Wei!! Dia mati ke?” soal salah seorangnya.
“Entah!” jawab entah siapa di antara mereka.
“Biar dia mati. Kalau dia hidup nanti dia bocorkan rahsia kita pada orang..” itu suara Zaki yang aku kenali.
“Blah la woi!! Mampus kita kalau ada orang nampak!” aku sempat terdengar nada kegelabahan salah seorang dari mereka.
Tidak sampai seminit kesemua mereka mengenakan semula seluar dan melarikan diri meninggalkan Syuhadah di situ. Selepas aku yakin lima lelaki itu sudah melarikan diri barulah aku keluar dari tempat aku bersembunyi. Aku terus menerpa kepada Syuhadah untuk membantunya. Tetapi sebaik sahaja aku memangkunya aku dapati dia sudah kaku. Matanya tetap terpejam walaupun aku terus memanggilnya.
“Syuhadah!!” aku menggerakkannya lagi. Namun dia terus kaku.
“Syuhadah, bangun!! Jangan buat aku macam ni. Aku minta maaf..” rayu ku dalam kekalutan. Namun rayuan ku tidak merubah apa-apa. Mata Syuhadah tidak terbuka sedikit pun. Tanpa dapat ku tahan kesedihan ku aku menangis mengongoi di situ. Jasad kaku itu aku pangku dengan deraian air mata. Aku tahu Syuhadah mungkin sudah tiada. Alangkah peritnya untuk aku menelan hakikat itu. Syuhadah dalam kesusahan dan aku bacul membiarkan dia disitu tanpa membantunya. Aku hanya menyaksikannya.
Aku bacul!
Aku pengecut!
Aku tak berguna!

“Syuhadah!!” aku meraung sekuat-kuat hati ku. 

Bab 9-BIMA

Di belakang pentas yang dibina di tengah-tengah shopping mall itu kecoh dan sibuk. Jurumekap dan tukang jahit masing-masing sibuk dengan kerja sendiri bersama model-model yang mahu membuat pertunjukkan. Masuk kali ini sudah pusingan ke tiga memaksudkan rekaan berkonsepkan batik yang ke tiga bakal aku peragakan. Setiap kali pakaian rekaan ditukar aku yang terpaksa mengambil alih tempat Amanda yang paling seksa di situ kerana aku dikerumuni tiga tukang jahit yang sedang memadankan gaun labuh biru muda yang harus ku peragakan. Masalahnya gaun itu sebelum ini disesuaikan mengikut bentuk badan Amanda terpaksa diubah kepada saiz ku yang sedikit kurang berisi berbanding Amanda yang mula mahu bersaiz L itu.
“Pat, kat sini longgar. Terkeluar pulak breast I nanti..” tegur ku kepada lelaki lembut itu. Aku tunjukkan bahagian gaun yang masih tidak sempurna. Aku merasa tidak selesa. Penat juga terpacak berdiri sementara tiga tukang jahit itu menjahit gaun ditubuh ku.
“Mana, yang? Lah.. Nor, bahagian depan ni terkulai. Nampak pulak buah dia kang. Itulah.. macamana Randell boleh ambik si Amanda yang tembam tu? Tengok.. breast dia pun tak matching dengan you..” kecoh mulut Pat mengadu kepada Nor.
Just put a silicon, Pat. Tak sempat dah nak repair tu..” balas Nor seorang lagi tukang jahit yang sibuk membantu membetulkan rekaan pereka dari luar yang baru mahu mencipta nama di Malaysia iaitu Randell Thomas itu. “Kau ni pun satulah, Darina. Besarkanlah sikit buah kau tu. Barulah senang kerja aku..” kata Nor kepada ku.
Terbeliak mata ku memandang wanita itu. “Nak besarkan pakai apa? Silikon? Tak naklah I. Nanti tak pasal kena cancer pulak..” balas ku sedikit terkejut dengan lawak spontannya itu. Nor sempat tersenyum sambil memasukkan ‘buah dada’ palsu ke dalam lekok gaun di hadapan dada ku itu. Pat dan Amirul sibuk melihat bahagian lain yang sudah dibetulkan.
“Cepat! Your turn was about to come, Darina...” laung Miriam Young yang menyelia peragaan pentas itu. Aku menoleh seketika ke arah Miriam yang berdiri di ambang pintu masuk ke pentas peragaan itu.
“Hurry up, guys! Miriam dah panggil I..” gesa ku mula menggelabah. Seketika kemudian tiga tukang jahit itu melepaskan aku. Setelah mengambil giliran aku mula berjalan di atas pentas yang dibina memanjang ke hadapan itu. Gaun bercorak batik itu ku gayakan seperti yang diajarkan kepada ku semenjak bertahun-tahun lalu. Seperti biasa tepukan bergema apabila nama pereka disebut bersama konsep rekaannya. Aku pula dengan lenggok anggun dan ekspresi wajah tanpa senyuman menayangkan gaun itu dengan sesungguhnya kerana model juga penyumbang utama kepada lakunya hasil rekaan seseorang pereka itu.
Seketika kemudian aku kembali semula ke belakang pentas. Randell pereka lelaki yang berasal dari Australia itu ada di situ bersama tailornya. Tetapi sebaik sahaja tiba di situ aku terkejut besar kerana Randell tidak datang ke situ saja-saja. Sebaliknya dia membawa seseorang bersamanya.
“Is this what you're looking for, Zaff?” dengan mesranya Randell bertanya kepada Adam Zaffran. Randell tersenyum sambil merenung ku.
Yes..” balas Adam Zaffran sambil merenung ku dari atas ke bawah. Aku sedikit terpaku kerana tidak sangka dia ada di belakang pentas yang hiruk pikuk ini. Selalunya bukan senang orang luar boleh masuk ke sini kerana model perempuan juga menyalin pakaian di belakang ini.
“Abang buat apa di sini?” soal ku kepada lelaki itu.
“Saja tengok apa yang ditayangkan di sini. Cantik baju Rina tu..”
“Kalau cantik belikanlah..” sindir Pat selamba. Tanpa memandang kami aku lihat ada senyuman bermakna terukir di bibirnya.
Aku tidak sempat menjawab kata-kata Pat itu kerana Nor sudah menyerahkan sehelai lagi rekaan Randell kepada ku. “Cepat! Kau ada lima belas minit aja lagi..” pesan Nor tanpa mempedulikan tujuan Adam Zaffran berada di situ.
“Rina kena pergi. Nak salin baju..”
“Pergilah. Abang bukannya nak ganggu kerja Rina..” balas Adam Zaffran lembut. Aku lantas pergi. Berdebar dada ku saat itu kerana aku tidak menyangka dia akan mencari ku di situ. Sebelum masuk ke bilik persalinan aku sempat memandangnya semula. Kelihatan dia sedang berbual dengan Randell. ‘Siapa lelaki itu sebenarnya? Apa pula hubungannya dengan Randell Thomas itu?’ diri ku diasak oleh pertanyaan itu oleh hati ku sendiri.
Selesai mengenakan gaun pendek hitam bercorak batik berwarna putih yang disulami labuci di dada itu aku lantas kembali ke tempat tadi. Aku lihat Adam Zaffran masih ada di situ bersama Randell. Aku benar-benar tidak faham mengapa dia berada di situ dan masih menunggu di situ. Masakan mahu memberi ceramah kepada ku lagi dalam saat begini? Dalam keadaan aku yang amat sibuk begini aku memang tiada masa untuknya.
Seperti tadi aku dikelilingi oleh tiga tukang jahit yang sudah bersiap sedia menukar saiz baju itu dan memperbetulkan kedudukan baju itu. Pet dan Amirul mula membetulkan bahagian belakang. Malangnya aku mulai dihujani rasa malu apabila mata Adam Zaffran asyik memerhatikan Nor yang sedang menjahit bahagian tepi baju itu agar baju itu muat-muat di tubuh ku. Kemudian Nor mula berpindah ke bahagian dada. Begitu juga dengan mata lelaki itu. Seperti tadi dia memasukkan lagi ‘buah’ palsu itu agar bahagian hadapan baju tidak gelebeh.
Please.. jangan tengok..” kata ku kepada lelaki itu yang asyik memandang. Serta merta Adam Zaffran mengalihkan pandangan ke arah lain namun secangkir senyuman terhias di bibirnya tanpa dapat ditahan.
Darina, you go after Mitchel..” pesan Miriam dan aku memandang ke arah pintu masuk ke pentas untuk melihat kelibat Mitchel. Apabila melihat giliran Mitchel masih jauh aku kembali menumpukan perhatian kepada tukang-tukang jahit yang masih sibuk di tubuh ku itu. Kemudian pandangan ku terhala kepada Adam Zaffran yang berbual dengan Randell. Serentak kami berpandang seketika. Biarpun telinganya mendengar bicara Randell namun matanya asyik kepada ku sehingga naik malu aku dengannya.
“Kasut I mana, Pat?” aku meminta kasut dari Pat yang mula menyimpas pekakas kegunaannya.
“Alamak, yang. Lupalah. Sekejap! Sekejap! I ambil kasut you..” Pat baru tersedar dia masih belum menyerahkan kasut kepada ku. Beberapa saat kemudian sepasang sandal bertumit tinggi diserahkan kepada ku. Alamak! Memakai kasut ni pun satu hal. Fesyen berbelit di betis membuatkan aku terpaksa mengambil masa untuk memakainya. Terkial-kial aku menyarungkan kasut itu ke kaki.
“Just stand straight. I pakaikan untuk you, Darina..” Pat berkata menegah aku dari menunduk kerana bimbang baju akan rosak. Lega aku seketika. Mujurlah Nor dan Pat sedia membantu. Seronok juga jika dari atas hingga ke bawah dipakaikan oleh orang lain seperti ini. Setelah selesai aku meninggalkan kawasan itu tanpa memandang lagi lelaki yang masih menunggu di situ.
Jam tiga petang selesai acara itu dan aku mula dapat bernafas lega. Buat seketika aku duduk bersama Nor dan Pat sambil meneguk mineral water di belakang pentas itu. Amirul pula sibuk mengemaskan rekaan-rekaan yang sudah aku gunakan. Segala perhiasan yang aku pakai disimpan semula.
“Yang, siapa mamat hensem tadi tu? Boyfreind you ya?” Pat bertanya dengan lagak ala-ala maknyahnya.
“Emm.. bukanlah. Itu kawan I..”
“Ye ke kawan? Bukan main lagi dia pandang kau..” Nor menyampuk tidak percaya. Mulutnya mencebik sambil melirik kepada ku.
“Takdelah! Dia kawan I. Betul!” tekan ku bersungguh.
Pat tersengih memandang Nor seketika. Kemudian dia memandang ku semula. “Bukan main caring lagi dia, yang. Sanggup tunggu you kat sini. Kalau you kata dia cuma kawan.. passlah dekat I. Mana tahu dengan I dia bukan cuma kawan. Hensem gila macam tu you kata dia cuma kawan you? Lembabnya you ni, Darina! Kalau I.. I dah ikat dia atas katil I. Jangan bagi dia pergi mana-mana..” kata Pat kemudian dia terkekeh ala-ala wanitanya. Terbeliak mata ku mendengar jenakanya itu.
“Pat, kau ni gelojoh betul. Pantang nampak yang macho mulalah kau jadi ulat bulu. Semua jantan kau nak ikat kat katil kau. Habis tu katil kitorang ni macamana?” kata Nor tidak puas hati.
Sorry, yang. Siapa cepat dia dapat. Siapa lambat dia melopong...” terkekeh lagi Pat sehingga aku ketawa bukan kerana jenakanya sebaliknya aku ketawa kerana lucu mendengar dia mengilai seperti itu.
Namun keseronokan ku berbual dengan dua tukang jahit profesional itu terencat sedikit apabila aku didekati Max. Dia menghulurkan sekeping cek bernilai tujuh belas ribu kepada ku. Tersenyum aku menyambutnya kerana dia telah menunaikan janjinya seperti semalam.
“Rina, kau kena balik dulu. Aku ada kerja lagi ni. Lambat lagi aku nak balik..” kata Max.
Memudar terus kegembiraan ku saat itu. “Alah! Habis tu aku nak naik apa? Naik teksi taknaklah..”
“Kalau kau nak tunggu aku boleh tapi aku balik petang nanti. Mungkin dalam jam enam kot sebab kat sini ada banyak kerja nak buat lagi. Lepas tu aku singgah office kejap..”
Semakin memudar sinar di wajah ku mendengar itu. Alamat kalau aku menunggunya berjanggutlah aku di situ sedangkan aku benar-benar sudah keletihan. “Takpelah. Aku balik sendiri aja..” balas ku dalam keterpaksaan.
Max akur. Dia terus berlalu. Aku dapat lihat dia memang benar-benar sibuk saat itu. Mood ku mahu berbual menghilang. Termenung aku seketika kerana memikirkan dengan apa aku mahu pulang? Tetapi aku tiba-tiba dicuit-cuit pula oleh Pat.
“Yang, kawan biasa you datang. Bolehlah dia hantarkan you balik..” bisik Pat sambil tersenyum-senyum ke satu arah.
Aku menoleh ke arah yang dipandang oleh Pat. Memang benar. Adam Zaffran datang mendekati kami di situ dengan senyumannya. Dengan blazer hitam dan kemeja putih tanpa tali leher dia kelihatan berbeza dari apa yang pernah aku lihat.
“Rina, belum nak balik lagi ke?” Adam Zaffran terus menyoal ku apabila berada dekat dengan ku.
“Dah.. er.. dah nak balik..” aku menjawab teragak-agak kerana aku terkesan mimik muka Pat yang menggelikan hati. Terus tangan ku menjalar mengetil pahanya. “Auuww...” suara garau ala-ala maknyahnya terkeluar akibat cubitan ku.
Adam Zaffran tersenyum. “Abang hantarkan?”
“Ok! Tadi kawan dia Max tak dapat hantar dia dan dia kata dia taknak naik teksi..” Pat terus mencelah menjawab bagi pihak diri ku. Dia tersengih memandang aku. Terbutang mata ku memandangnya. Pandai-pandai aja si maknyah ni! getus hati ku geram.
“Oh! Ok. Kalau macam tu abang hantar Rina balik?”
“Abang??? Romantiknya? Kawan biasa konon!” serentak Nor dan Pat terus tergelak berdua. Pat mengilai kuat sambil menolak bahu ku sehingga kelakuan mereka menarik rasa hairan Adam Zaffran dan aku pula sudah malu dibuatnya.
Come..”
Enggan membiarkan diri ku menjadi bahan jenaka Pat dan Nor aku akur sahaja dengan ajakan Adam Zaffran itu. Kami beriringan keluar dari bangunan Pavillion. Langkah ku terhenti apabila dia hanya berdiri di hadapan pintu utama itu. Sangka ku dia akan mahu menanti budak jokey menyerahkan keretanya tetapi tidak. Sebuah kereta BMW X6 berhenti di hadapan kami dan dia membukakan pintu buat ku. Teragak-agak aku masuk ke dalam kereta itu. Tidak sangka rupanya dia kaya! Eh! Semenjak bila pula aku hairan dengan harta orang?
“Abang saja je datang sebab abang nak tengok cara Rina kerja..” jelas Adam Zaffran tanpa disuruh.
Aku yang memandang ke luar menoleh kepadanya di sebelah ku. Hanya anggukan yang aku balas kepadanya. Kerana aku kekok untuk berbual dengannya.
“Rupanya susah juga kerja macam Rina ni ya? Abang tengok tadi pun macam kesian. Kesian tengok Rina dijahit-jahit macam tu..”
Aku mahu tergelak mendengar bicaranya. Namun persoalan mengenai hubungannya dengan Randell bagaikan tidak sabar mahu terluah dari mulut ku ini. “Apa hubung kait abang dengan Randell Thomas tu? Cara dia panggil abang macam dia kenal abang dah lama.”
“Dia bekas rakan serumah dan seuniversiti abang waktu abang di UK dulu. Cuma kami berlainan course. Abang memang tahu dia ada di sini semenjak dia mula-mula datang. Kemudian semalam bila Rina sebut yang Rina ada show di Pavillion abang terus decide nak datang jumpa dia sebab dia ada mention dengan abang yang dia ada terlibat dengan pertunjukkan di Pavillion. Perhaps to see you also. Tapi tak sangka pula rupanya Rina kerja untuk Randell..”
“Patutlah abang macam rapat dengan dia..”
“Kami selalu contact walaupun dah tak tinggal di negara yang sama. Kadang-kadang abang ada chat dengan dia bila ada masa. Dia memang dah famous sekarang. Cepat betul masa berlalu. Tahu-tahu Randell dah jadi pereka terkenal di negara dia. Sekarang dia dah mencipta nama di tempat kita pulak.”
Aku mengangguk bersetuju dengan kenyataan Adam Zaffran itu.
“So lepas ni Rina nak kemana?” suara Adam Zaffran kedengaran lagi.
“Balik rumah. Saya dah penat..” aku menjawab lembut.
“Tak nak makan dulu?” pelawa sang lelaki lembut.
“Takpelah. Saya betul-betul penat sekarang..”
Adam Zaffran mengangguk akur dengan pendirian ku. “Jadikan kita jumpa esok?” dia menyoal lagi sambil merenung tampang ku dengan pandangan lunak. Tidak keruan aku dibuatnya dengan renungan lelaki ini.
“Insyaallah jadi..”
“Abang akan tunggu Rina esok di tempat biasa. Abang ingat nak ajak Rina makan dulu sebab abang rasa dari tadi Rina tak makan. Nanti kalau lambat makan Rina sakit pulak,” Adam Zaffran berkata dalam nada yang amat lembut menunjukkan keperihatinannya kepada ku.
Aku tersenyum hambar. Sukar ku kawal diri yang sudah mula terpaut dengan keperibadian lelaki itu. Caranya melayani ku membuatkan aku merasa begitu dihargai olehnya. “Saya dah biasa makan lambat. Abang jangan risau. Tadi sebelum mula show saya ada makan protein bar. Banyak juga saya makan. Insyaallah saya tak apa-apa..”
“Tapi protein bar tu hanya untuk mengalas perut semasa Rina kerja tadi. Sekarang Rina perlukan heavy food untuk isi perut tu. Kalau Rina malas nak keluar abang boleh singgah sekejap di kedai belikan nasi untuk Rina. Balik rumah nanti Rina makan ya?” sekali lagi dia menyerlahkan kelunakan sikapnya sebagai lelaki yang memiliki sifat perihatin dan penyayang.
Aku memejam mata perlahan. Resah dengan perasaan sendiri. Mengapa dia melayani aku begini? Siapa aku dengannya? Pentingkah aku kepadanya?
Tanpa menanti jawapan ku Adam Zaffran meminta pemandu berhenti di sebuah restoran yang diketahuinya. Aku hanya diam membiarkan apa sahaja yang mahu dilakukannya. Sementara menanti dia membeli makanan aku duduk di dalam kereta. Hayalan ku terbang jauh kepada peristiwa malam aku bersama Jeremy itu. Aku mengesyaki lelaki yang membantu ku malam itu adalah lelaki ini.
Kenderaan empat roda itu kembali bergerak apabila Adam Zaffran kembali semula ke dalam kereta itu bersama bekas polistrin makanan. Diletakkan makanan itu di tengah-tengah kusyen kereta itu.
“Abang, saya nak tanya abang sesuatu boleh?”
“Kenapa pulak tak boleh, sayang? Tanyalah banyak mana pun. Abang tak marah,” dalam sedikit canda dia menjawab lembut.
Menyerbu darah ke wajah ku mendengar dia memanggil ku begitu. Malu sendiri aku dibuatnya. Namun ku kawal segala reaksi ku agar tidak terpapar di wajah ku. Masakan baru seketika aku sudah jatuh cinta kepadanya? Ke mana pergi pendirian ku yang anti kepada kaum Adam? Entah..
 “Malam itu abang saya keluar dengan Jeremy dulu, abang ke yang ada di taman tu? Abang ke yang tolong saya?”
“Baru hari ni Rina nak tanya? Malam tu Rina pergi macam tu aja. Langsung tak ucap terima kasih pada abang sebab abang dah tolong Rina..” sindir lelaki itu kepada ku.
Sahlah! Memang dia. Malunya aku dengan kelakuan buruk ku itu. “Maaf, saya tak berniat nak kurang ajar dengan abang. Tapi waktu tu saya betul-betul fobia. Saya takut sebab saya tak kenal abang dan keadaan waktu tu gelap..” jelas ku dengan nada kesal. Aku sedar aku memang biadap kerana mengabaikan kebaikannya.
Adam Zaffran ketawa perlahan. “Takpe. Abang faham. Kalau abang jadi Rina pun mungkin abang terlupa nak ucap terima kasih. Abang sebenarnya tak ambil hati pun. Cuma lain kali hati-hatilah. Jangan ikut sembarangan orang..” lelaki itu merenung ku lembut. Nasihatnya dialunkan dengan sebuah keikhlasan yang terpancar dari matanya. Aku merasa seolah-olah aku begitu bermakna buatnya.
Aku tersenyum sahaja dalam keharuan perasaan. Terasa bersalah pula kerana berkurang ajar dengannya sebelum ini sedangkan dia sudah menyelamatkan maruah ku. Masih aku ingat teruk juga Jeremy dibantai Adam Zaffran malam itu. Sehingga ke saat ini lelaki itu tidak ada menghubungi aku lagi.
“Saya tak sepatutnya ikut dia. Sebelum ini pun dia dah menunjukkan sikap tak tahu hormatkan saya. Tapi malam tu entah kenapa saya bodoh sangat..” lauh ku perlahan.
“Siapa dia tu sebenarnya? Apa dia mahu dari Rina?”
“Dia salah seorang bekas klien agensi tempat saya berkerja. Sebelum ini kami memang pernah bekerjasama dalam satu pertunjukkan. Dia mengaku sukakan saya dan mahu menjalinkan hubungan istimewa dengan saya. Tapi saya menolak. Mungkin kerana itu dia buat macam tu pada saya. Telahan awal saya tentang dia memang tepat. Saya tahu dia bukannya suka sangat dengan saya. Dia hanya nakkan tubuh badan saya aja. Lelaki macam dia memang banyak di sekeliling saya selama ini. Saya pun hairan kenapa dalam ramai-ramai perempuan dia memilih saya sedangkan yang lain ada yang sanggup buat apa sahaja untuk dia,” ujar ku.
Adam Zaffran memandang ku sekilas sebelum kembali memandang ke hadapan. “Selera manusia ni kompleks, Rina. Kadang-kadang lelaki ni dia sukakan cabaran dalam merebut hati perempuan. Semakin perempuan menolak semakin itu dia mahu. Cuma caranya saja yang tak betul. Dia tak cukup bersabar..” komen Adam Zaffran.
“Kalau dia bersabar sekali pun saya tak mungkin akan pilih dia. Dia bukan orang islam. Kalau saya kahwin dengan dia siapa yang nak membimbing dia? Sedangkan diri saya sendiri pun kantoi inikan pula nak carry tanggungjawab mendidik orang lain. Tak mungkin..” desis ku perlahan.
Adam Zaffran tersenyum. “Kalau dengan abang?”
Aku tersentak sedikit mendengar soalannya itu. Merona wajah ku seketika. Apa yang harus aku jawab? Aku memandangnya seketika. “Apa maksud abang cakap macam tu?” tanya ku tidak senang.
Lelaki itu tertawa pula. “Abang bergurau aja. Jangan ambil hati ya?” pujuk Adam Zaffran apabila melihat reaksi ku yang seakan tidak senang dengan gurauannya.
“Nak mendidik ni bukan semestinya kita perlu berkahwin, Rina. Asalkan kita menjaga batas pergaulan kita itu dah cukup. Dalam pergaulan seharian ada banyak ilmu yang kita akan dapat asalkan kita tahu dengan siapa kita berkawan,” tambah Adam Zaffran lagi.
Aku mengangguk. Mata ku kembali aku halakan ke luar kereta. ‘Dia memang baik..’ hati ku membisikkan pujian itu. Aku terus hanyut dengan perasaan ku sehingga akhirnya kereta berhenti di hadapan rumah ku. Aku halakan semula pandangan mata ku kepada lelaki yang baik budi itu. Aku hargai dengan budinya yang membuatkan aku tiba di rumah ku dengan selamat. “Terima kasih, bang. Terima kasih untuk setiap apa yang abang dah buat untuk saya. Maafkan saya kalau saya keterlaluan sebelum ni..” ucap ku lirih.
“Sama-sama. Abang dah lama maafkan Rina. Cuma abang harap esok kita boleh berjumpa lagi seperti yang kita janjikan sebelum ni..” balas Adam Zaffran lembut. Suara itu kian membelai perasaan ku.

Aku mengangguk dan segaris senyuman manis aku hadiahkan buatnya. Setelah itu aku terus keluar dari kereta itu. Sebuah lambaian aku hadiahkan untuknya sebelum kereta itu berlalu pergi. Entah kenapa saat ini perasaan ku kian mekar kepadanya. Mengapa perasaan ku begini? Cepatnya aku berubah hati? Entah! Aku tidak tahu...



Seperti yang dijanjikan sebelum ini kami bertemu di taman rekreasi yang berdekatan dengan rumah ku. Aku menunaikan janji bukan kerana kasihan dengannya atau mahu menjaga hatinya sebaliknya aku juga sebenarnya memerlukan seseorang untuk mendengar luahan hati ku. Semakin lama aku pendam semakin meroyak-royak kesakitan yang aku rasakan di dalam jiwa ku ini.
Lantas kami duduk di kerusi yang sama yang pernah kami duduki dahulu. Perbualan bermula apabila dia bertanya lagi tentang keadaan diri ku. Bertanya khabar ku dan akhirnya bertanya tentang kisah peribadi ku. Aku tahu dia memang terlalu ingin mengenali aku secara mendalam.
“Abang tahu soalan abang ni kedengaran agak sinis tapi abang nak tahu kenapa Rina jadi macam ni? Apa yang membuatkan Rina memilih untuk jadi begini?”
“Kalau nak diceritakan satu persatu sebulan agaknya tak habis..” ucap ku perlahan sahaja. Akur juga dengan kehendaknya itu walaupun sebahagian diri terasa amat malu untuk membuka pekung di dada sendiri.
“Ceritalah. Sebulan pun abang sanggup tunggu sampai Rina habis bercerita,” Adam Zaffran membalas ikhlas. Riak di wajahnya memang memaparkan rasa ingin tahu yang kian menggunung.
Aku lantas memandang lelaki di sebelah ku ini. Ada perasaan aneh yang ku rasakan dengan kesungguhannya itu. Walaupun dimaki hamun oleh ku dia tetap begitu. Tetap tenang dan sabar. Untuk apa dia bersusah payah begini? Apa faedah yang didapatinya? “Apa yang membuatkan abang berminat sangat dengan cerita saya ni? Bukannya cerita yang menarik pun untuk didengar,” kata ku hairan sambil memandangnya.
Adam Zaffran menghela nafas seketika. “Abang tahu Rina ada masalah. Mungkin masalah yang membabitkan soal kerohanian. Abang nampak cara Rina ni amat bertentangan dengan kehendak diri Rina. Kerana itu abang sungguh-sungguh nak tengok Rina kembali kepada diri Rina yang sebenarnya. Kembali ke jalan yang benar iaitu ke jalan ALLAH..” balas Adam Zaffran dengan nada tenang.
Aku terdiam mendengar kata-katanya itu. Ada rasa malu terbesit pada diri ku yang serba daif ini. Ya! Kembali kepada siapa aku sebenarnya. Apakah aku seteruk ini sebenarnya? Tidak! Aku masih tidak pernah mencuba untuk mengubah diri ku untuk menjadi yang lebih baik. Siapa yang mahu hidup tanpa arah? Tetapi jika tidak mencuba bagaimana untuk ketemu arah yang benar?
Aku menyeka air mata ku perlahan. Ada sedikit perasaan malu menyelit di sanubari ku apabila melihat panahan matanya yang sedang setia merenung wajah ku. Namun air mata ku menjadi semakin murah apabila terkenangkan peristiwa lama itu. “Susah saya nak cerita sebab itu kisah lama saya yang memeritkan..” ujar ku kepada lelaki yang masih setia memerhatikan aku itu.
“Kalau susah nak cerita takpe. Abang tak mahu paksa Rina. Mungkin bila Rina dah bersedia nak berkongsi cerita dengan abang nanti Rina boleh ceritakan pada abang. Cuma nasihat abang, janganlah kerana apa yang ALLAH dah tentukan dalam hidup kita ni kita jadikan alasan untuk melupakan siapa diri kita sebenarnya, milik siapa kita ni sebenarnya, dari mana kita datang dan ke mana kita akan kembali suatu hari nanti. Jangan sesekali lupakan semua itu. Sebab apabila sampai masanya janji ALLAH sampai kepada kita, takde tanah yang boleh menyembunyikan kita daripada menjawab kepada ALLAH suatu hari nanti.
Jika kesusahan yang Rina rasakan selama ini, ingatlah yang kesusahan itu datang sebagai ujian kerana ALLAH rindu untuk mendengar suara kita. ALLAH mahu kita meminta kepada-NYA kerana DIAlah tempat kita meminta pertolongan. Setiap yang berlaku tu ada hikmahnya dan hikmah tu akan didapati sekiranya kita redha. Inilah masanya, Rina. Mulakan menadah tangan sekarang. Memintalah kepada Yang Berhak. Semakin lama Rina menanti hati akan semakin mati. Jangan menunggu sehingga hati kita menjadi batu. Waktu tu hanya ihsan ALLAH sahaja yang boleh mengubah hati kita.”
Aku terdiam mendengar nasihatnya. Namun rasa hati ku sukar untuk aku gambarkan apabila dia sekali lagi menasihati aku agar berubah.
“Rina, abang tak mahu Rina terus tersesat lagi. Mulakanlah hidup baru bermula dari sekarang. Bukannya susah, sekadar mengambil wuduk dan mengangkat takbiratulihram kemudian sujud menyembah ALLAH. Abang rasa sekarang ni Rina sepatutnya sedar dan tahu apa jawapannya kepada hati yang selalu resah, kosong dan jiwa yang tak tenteram. Hati ni juga perlukan makanan. Makanan hati adalah kalimah zikrullah. Kalau sudah lama lidah kita kelu daripada menyebut nama ALLAH, hati akan semakin kelaparan dan akhirnya mati. Inilah sebabnya mengapa sikap Rina tak menentu. Suka marah, suka termenung dan selalu murung. Apabila hati semakin kontang kita tidak akan menemui ketenangan walaupun saat kita sedang bergembira. Kita tetap akan resah walaupun duit bertimbun-timbun. Inilah pentanda hati sudah menjadi hitam. Dalam hidup ni takde satu manusia pun yang akan terlepas dari dugaan tapi mengapa ada yang gagal dan ada yang berjaya melepasinya? Jawapannya senang saja. Tunggak utama di dalam hidup kita adalah iman. Bagaimana untuk menjadi orang yang beriman kalau kita tak pernah ingat ALLAH? Bagaimana ALLAH mahu membantu kita kalau kita tak pernah ingat pada DIA?”
Semakin laju air mata ku mengalir apabila mendengar bicaranya yang kedengaran cukup ikhlas itu. Lama kelamaan esakan ku mulai kedengaran. Entah kenapa saat mengingati ALLAH aku terlalu sayu. Kesayuan yang terlalu dalam dan sukar untuk ku gambarkan. Aku lebih sayu saat ini berbanding saat aku dihalau emak dahulu. Aku lebih sayu mendengar kata-kata Adam Zaffran berbanding saat aku dicerca emak dengan bahasa makian. Kesayuan ini amat dalam dan tangisan ku bagaikan tidak tertahan. Betapalah selama ini aku tidak pernah mengingati ALLAH. Aku mengabaikan tanggungjawabku kepada-NYA selama hidup ku ini.
“Abang takde niat untuk mengecilkan hati Rina dengan kata-kata abang tadi. Abang cuma tak mahu Rina terus begini. Jangan sia-siakan hidup yang ALLAH dah berikan pada kita. Suatu hari nanti ALLAH akan bertanya kepada kita semula. Sanggup ke kita menahan azab ALLAH nanti? Tanyalah diri Rina sendiri seikhlasnya. Jawab soalan itu sejujurnya. Siapa diantara kita manusia yang mampu menahan azab ALLAH di akhirat nanti? Susah di dunia sahaja dah membuatkan kita sesat apatah lagi waktu di akhirat nanti. Takde tempat yang dapat kita sembunyikan diri dari ALLLAH, Rina.”
Lama aku berkeadaan begitu dan Adam Zaffran terus sabar menanti sehingga aku selesai menangis.
“Terima kasih sebab abang nasihatkan saya..” luah ku setelah reda tangisan ku.
“Ingatan ni abang berikan secara percuma, Rina. Tak perlu berterima kasih pada abang. Tanggungjawab kita sesama manusia ialah saling mengingatkan. Abang faham Rina perlukan teman untuk bercerita dan abang sedia mendengar. Abang tahu sebelum ni Rina sangsi dengan abang. Rina ingat mungkin abang ni jahat sebab Rina tak kenal abangkan? Abang nak Rina tahu, abang bukan orang jahat. Abang takkan menganiaya orang kerana itu perbuatan yang berdosa. Orang menganiaya orang ni dosanya hanya boleh diampunkan oleh orang yang aniayanya dan bukan semua orang suka memaafkan. Abang tak mahu Rina pandang abang ni sama macam orang lain. Abang bukan begitu..” Adam Zaffran menjawab lembut sambil memerhatikan aku.
Aku mengangguk akur dengan kata-katanya itu.
“Pertama kali abang nampak Rina dulu hati kecil abang kata Rina bagaikan tersesat diantara mereka semua. Ada kepuraan-puraan yang dipamirkan dalam tingkah laku Rina dan abang tahu Rina tak gembira dengan hidup Rina. Abang tahu bukan itu yang Rina mahu sebenarnya..” sambung Adam Zaffran lagi apabila melihat aku hanya diam.
“Abang pakar menilik orang lain? Apa lagi yang abang nampak pada saya ni? Lesbian, masih ingat dengan makna lesbian tu?”
“Astaghafirullahaladzim.. Rina, Rasullullah SAW takkan mengaku kita umatnya jika kita menafikan kewujudan makhluk yang berlainan jantina dengan kita. Kita tak boleh melawan fitrah yang dah ALLAH tentukan untuk diri kita. Hubungan sesama jenis ni amat dikeji dalam islam. Lelaki dan perempuan dilahirkan berpasangan-pasangan tetapi bukan dengan sesama jenis. Berhubungan sesama jenis ini adalah salah satu dari dosa besar, Rina. Ingatlah azab ALLAH tidak akan mengira siapa dan tak akan kasihankan sesiapa,” suara Adam Zaffran sedikit menekan tegas mahu menyedarkan aku akan hakikat itu.
“Ya! Semua makhluk yang ALLAH cipta akan ada pasangannya. Tak terkecuali juga manusia. Tapi saya dah lama hilang kepercayaan kepada kaum lelaki. Saya benci lelaki!” aku juga bertegas dengan apa yang aku simpan di dalam dada ku.
“Mengapa benci lelaki? Cakap dengan abang. Abang juga lelaki, sebab itu ke Rina selalu cakap kasar pada abang?” Adam Zaffran menjawab semula kepada ku.
“Ya! Semua lelaki saya benci termasuklah abang. Lelaki semuanya sama aja. Lelaki ni makhluk yang kejam!” tekan ku agak lantang kepadanya.
“Abang masih tak jelas dengan sebabnya Rina bencikan lelaki tapi abang nak tegaskan di sini yang bukan semua lelaki sama. Abang tak sama dengan lelaki lain!” sebagai mana aku tegas begitu juga dia menekan aku agar mempercayai dirinya.
Aku tersenyum sinis kepadanya. “Apa yang tak sama? Lelaki gunakan perempuan untuk apa? Untuk nafsukan? Itu aja! Lebih dari itu takde. Saya memang benci lelaki. Bagi saya lelaki ni keji. Bajingan!” luah ku agak meninggi bagi meluahkan perasaan yang sekian lama terkurung di dada ku ini. Entah kenapa saat itu air mata ku jadi murah pula. Aku menangis lagi di hadapan matanya.
Adam Zaffran terpaku memandang ku. Lama kami hanya berdiam dan aku hanya menangis. Sesungguh tiada siapa yang pernah tahu bahawa aku juga memerlukan lelaki di dalam hidup ku tetapi aku takut. Terlalu takut dengan apa yang telah aku saksikan dahulu. Aku masih ingat dengan jelas bagaimana teman ku arwah Syuhadah diperkosa, diliwat dan dibunuh. Raungan perih deritanya itu masih terngiang-ngiang ditelinga ku ini. Aku masih ingat bagaimana Jabar memujuk aku agar membuktikan kesetian ku dengan membenarkan dia meratah keseluruhan tubuh ku. Aku masih ingat bagaimana rakusnya pandangan bapa saudara ku sendiri kepada ku. Aku masih ingat semua itu. Lelaki hanya membuatkan aku merasa terancam.
“Rina rasa apa sekarang?” Adam Zaffran menyoal ku apabila tangisan ku sedikit reda. Lembut suaranya membuatkan aku merasa sedikit yakin yang dia memang ikhlas mahu membantu ku.
“Rasa sakit! Sakit jiwa dengan apa yang ada dalam hidup saya sekarang. Kalau boleh saya nak pergi jauh ke tempat yang boleh membuatkan saya hidup aman. Kalau boleh saya tak mahu sesiapa ganggu saya dan saya tak mahu ingat lagi semua peristiwa yang menyakitkan jiwa saya selama ini..” luah ku masih tertekan apabila teringatkan peristiwa lama.
“Tempat yang paling aman di atas dunia ini adalah yang berhampiran dengan ALLAH. Rina tahu di mana tempat yang paling dekat dengan ALLAH?”
Aku memandangnya seketika sebelum menggeleng. Aku memang naif. Aku mana tahu semua itu. Selama ini aku hanya dengan diri ku. Aku sama sekali lupa kepada Pencipta ku.
“Tempat yang paling dekat dengan ALLAH adalah tempat kita bersujud apabila kita bersolat. Tak perlu pergi begitu jauh, Rina. Hanya di tikar sembahyang sudah cukup dekat dengan ALLAH. Hanya di situ sahaja ada ketenangan yang hakiki. Ketenangan yang lain hanya luaran sahaja tidak akan sama dengan ketenangan apabila kita mengingati ALLAH,” nada Adam Zaffran semakin lembut mendayu menasihati ku.
“Tapi saya malu pada ALLAH.”
“Apa yang nak dimalukan?”
“Mahu ke ALLAH maafkan saya? Saya terlalu banyak dosa. Mahu ke ALLAH ampunkan saya? Saya dah tak bersolat dah bertahun-tahun. Semenjak saya kecil solat memang tak pernah ada dalam agenda hidup saya. Saya hidup dalam keluarga yang teruk. Mak saya tak adil kepada saya. Mak dengan ayah saya tak sayangkan saya. Saya dihalau keluar dari rumah macam sampah. Hidup saya kacau bilau. Saya ni hina!” ada terbesit kesebakan di dalam nada ku. Saat mengingati ALLAH betapa aku merasai dunia ini terlalu luas dan aku sedang tersesat di jalan hitam dan hanya dengan menyebut kalimah ALLAH aku bagaikan terlihat sejalur cahaya yang sedang memanggil aku pulang ke jalan yang benar.
“Subhanallah! ALLAH Maha Pengampun, Rina. Kerana kita banyak dosalah kita kena selalu sujud kepada ALLAH untuk meminta kepada-NYA. Seharusnya apabila kita susah semakin itulah kita ingat kepada ALLAH dan bukannya menafikan..” lelaki itu terus memujuk ku dengan lembut dan sabar.
Aku terdiam namun dada ku sebak lagi apabila dia menyebut nama ALLAH dengan ku. Aku memang sudah bertahun tidak bersolat. Malahan telekung sembahyang dan sejadah juga tidak wujud di dalam bilik tidur ku.
“Boleh abang tahu apa peristiwa yang berlaku yang menyebabkan Rina bencikan lelaki. Mengapa Rina merasakan lelaki ni bajingan?”
“Ini rahsia saya. Mungkin tak patut saya ceritakan rahsia ni pada orang yang saya tak kenal.”
“Ini rahsia atau masalah sebenarnya? Fikir baik-baik. Kalau benar ini sekadar rahsia peribadi abang takkan paksa Rina ceritakan tentang itu tapi kalau itu sebenarnya masalah, abang mahu Rina ceritakan supaya kita sama-sama mencari penyelesaiannya..” Adam Zaffran menjawab serius.

Lama aku berdiam memikirkan apa yang diucapkan oleh Adam Zaffran. Cuba ku perhalusi apa sebenarnya yang melanda diri ku selama ini. Benar kata Adam Zaffran. Jika ini sekadar rahsia tidak wajib untuk aku membukanya. Namun jika ini satu masalah yang maka aku harus meminta bantuan seseorang untuk mencari penyelesaiannya. Namun aku akhirnya aku menemukan jawapan yang pasti buat diri ku setelah aku fikir sedalam-dalamnya. Aku tahu ini bukan sekadar rahsia peribadi. Sikap sukar mempercayai orang di sekeliling ku adalah hasil dari kenangan hitam itu semua. Truama dan fobia yang aku rasakan membuatkan aku merasa gentar jika melihat kelompok lelaki yang duduk beramai-ramai. Aku prejudis kepada semua lelaki yang ada di sekeliling ku sehingga aku tidak pernah membiarkan diri ku dikenali oleh mana-mana lelaki sebelum Adam Zaffran. Ini bukan rahsia tetapi sebenarnya masalah. Aku bermasalah. Aku menghela nafas seketika sebelum aku memutuskan untuk membuka cerita itu kepadanya.