Jumaat, 23 Ogos 2013

Bab 8-BIMA

Sekali lagi aku ternampak lelaki yang sama di taman itu. Seperti yang ku jangka dia mendekati ku apabila ternampak aku yang sedang berjalan kaki untuk pulang ke rumah. Kalau selalunya aku melarikan diri tetapi tidak dengan kali ini. Aku hanya menonong sahaja berjalan tanpa mempedulikan dia yang mengekori langkah ku.
“Rina pergi mana tadi?”
“Mana-manalah!” aku menjawab sedikit kasar. Lemas dengan kehadirannya. Kali ini entah ceramah agama bab mana pula yang mahu dipersembahkan buat halwa telinga ku ini.
“Rina pergi cari kerja ke? Dah dapat kerja?” lelaki itu tetap mahu beramah tamah dengan ku biar pun aku enggan melayannya. Entah kenapa aku benci benar melihat lelaki itu yang tidak mahu faham yang aku enggan melayannya.
“Sarjana dalam jurusan yang Rina cakapkan hari tu ada bawak sekali? Penting untuk rujukan penemuduga tu..” dia cuba mengusik ku.
“Apa yang abang nak dari saya lagi ni?” aku menyoal sebal lelaki yang sekali lagi suka menyibuk tentang diri ku ini. Langkah ku terhenti dan aku berpaling menghadapnya. Bukannya aku suka mahu melayannya tetapi aku sedar jika aku tidak berhenti berjalan tidak mustahil dia akan mengekori aku sehingga ke muka pintu rumah memandangkan kami kini sudah terlalu hampir dengan rumah ku.
“Abang nak kawan dengan Rina..” Adam Zaffran tanpa segan silu meluahkan hasrat murninya itu kepada ku. Selamba sahaja dia biarpun dia sedar aku pernah berkasar dengannya sebelum ini dan tidak mustahil kali ini aku akan melakukannya lagi.
Aku terus tergelak mendengar kata-katanya itu. Lagaknya seperti anak-anak remaja belasan tahun yang mahu berkenalan dengan gadis-gadis sebaya. Aku tidak tahu mengapa aku meluat sekali memandangnya walaupun aku sedar dia boleh diketegorikan sebagai lelaki yang ‘gentleman’ dengan gaya dan paras rupanya. Sayang sekali aku bukanlah perempuan yang gemar melayan lelaki walaupun lelaki ini agak tampan pada mata perempuan ku.
Adam Zaffran menanti jawapan ku dengan rasa sabar. Dia terus memandang wajah ku seolah-olah memandang aku yang sedang tertawa ini merupakan satu keseronokan baginya.
“Dah habis ketawa?” terkeluar perlian itu dari mulutnya saat aku hampir usai mentertawakannya. Ada rasa tidak senang dengan kelakuan ku saat itu. Agaknya dia tercabar apabila aku tanpa rasa bersalah mempersendakan keinginan murninya itu.
Adam Zaffran hanya memandang namun tiada secebis pun senyuman saat dia menatap ku. Aku tahu dia masih bengang dengan tingkah ku.
“Eh! Janganlah marah. Saya ketawa sebab saya rasa lucu pulak bila ada lelaki yang nak membazirkan masa berkawan dengan perempuan yang bernaluri songsang macam saya ni..” aku membalas sindiran itu dengan nada bersahaja.
“Kalau dah tahu songsang masih nak teruskan juga?”
“Saya suka macam ni..”
“Tak takut siksaan api neraka? Api neraka tu panas tau..” dengan selamba Adam Zaffran mengenakan aku.
Aku memandangnya tajam. Sakit hati ku dengan soalannya itu. “Lantak sayalah nak masuk api neraka ke apa! Abang sibuk apa? Bukannya abang masuk neraka sama dengan saya. Jangan sibuk hal oranglah!!” aku sekali lagi menjerkahnya kerana sakit hati dengan lagak ustaznya itu.
Adam Zaffran menggeleng perlahan melihat sikap ku yang langsung tidak mencerminkan kelembutan seorang perempuan.
“Jangan sesekali takbur, Rina. ALLAH mendengar segala yang kita katakan. Rina tak suka abang, takpe.. Rina boleh katakan seberapa banyak pun yang Rina mahu. Abang tak ambil hati tapi dengan ALLAH jangan sesekali Rina takbur kerana nyawa yang ada di badan kita ni milik ALLAH. Udara yang kita sedut ini pun hak ALLAH. Takde sesiapa pun diantara kita termasuklah Rina mampu menanggung azab ALLAH. Dah bersedia untuk bertemu dengan ALLAH dengan sifat takbur kita tu? Jangan sesekali Rina kata macam tu hanya kerana nak menyakitkan hati abang. Jangan kerana mulut yang tak bertapis nanti badan yang  binasa! Api neraka tu panasnya berganda-ganda dari panasnya api dunia ni dan neraka ALLAH ciptakan tanpa rasa belas kasihan. Fikir tentang itu baik-baik!”
Aku terus terdiam dengan tegurannya itu. Ada terbesit rasa malu kerana terlanjur berkata-kata. Nampak sangat aku bercakap tanpa menggunakan akal fikiran. “Maaf! Saya tak sengaja tercakap macam tu..” perlahan sahaja suara ku saat aku meluahkan rasa bersalah ku di atas keterlanjuran aku meluahkan kata-kata sebentar tadi.
“Mohon ampun dengan ALLAH. Mengampunkan orang yang berdosa dengan ALLAH ni bukan hak abang. Itu hak ALLAH..” Adam Zaffran membalas tanpa senyuman kepada ku.
“Abang sebenarnya nak apa dengan saya?”
“Kan abang dah cakap apa yang abang nak tadi?”
“Saya tak berminat, bang. Maaflah. Saya tak mahu berkurang ajar dengan abang tapi abang pun tolonglah jangan naikkan darah saya. Bila saya cakap saya tak mahu maknanya saya tak mahu. Tolong jangan ganggu saya.”
“Apa masalahnya dengan abang ni? Hanya sebab abang ni lelaki Rina langsung tak mahu berkawan dengan abang? Itu tak masuk akal. Sekurang-kurangnya Rina kena jelaskan mengapa Rina tak suka berkawan dengan lelaki. Abang tak minta lebih, hanya setakat kawan aja. Takkan itu pun salah?” Adam Zaffran seperti yang ku duga tidak akan semudah itu menerima alasan ku. Aku mengagak yang dia ini jenis lelaki yang tidak mudah mengalah.
“Ramai lagi orang lain yang boleh abang jadikan kawan. Kenapa abang sibuk-sibuk nak kawan dengan saya pulak?” seperti tadi pertikaian itu tetap aku teruskan.
“Err.. mungkin sebab abang suka tengok Rina.”
Aku tergelak sinis dengan jawapannya itu. “Suka tengok saya atau pun suka nak jadi ustaz saya? Nanti bila saya nak belajar agama saya cari abang ya?” aku memerlinya.
“Kenapa dengan Rina ni? Abang nampak ada yang tak kena dengan Rina. Tak sepatutnya Rina balas niat baik orang lain dengan tengkik herdik. Ini bukan amalan orang islam. Dalam islam tiada istilah individualiti. Islam mengajar kita berbaik-baik antara satu sama lain dan mengambil berat antara satu sama lain. Rina tak fikir perasaan orang yang Rina tengking tu macamana?”
Aku memandangnya lama. Entah kenapa aku kelu apabila mendengar ayatnya yang terakhir itu. Adakah aku memikirkan perasaan orang lain selama ini? Apakah emak memikirkan perasaan ku selama ini apabila emak mengherdik ku? Tidak! Emak tidak pernah memikirkan aku semasa melemparkan kata-kata cacian dan mengherdik aku. Emak tidak pernah berasa simpati saat menghalau aku keluar dari rumah dahulu. Emak tidak pernah memikirkan untung nasib ku apabila emak sudah nekad mahu menghalau aku dari rumah. Emak tidak..
“Rina..” suara Adam Zaffran mematikan hayalan ku.
Aku memandangnya dengan terpinga-pinga.
“Kenapa dengan Rina ni? Pandang muka abang tapi fikiran ke tempat lain..” Adam Zaffran menegur kelakuan ku.
“Maaf! Saya tak sengaja..” luah ku perlahan. Terasa malu kepadanya kerana membiarkan dia melihat kelakuan ku sebentar tadi.
“Ada apa ni, Rina? Abang tahu Rina ada masalah. Ceritalah dengan abang. Mana tahu abang boleh tolong?” pujuk Adam Zaffran.
“Saya tak sepatutnya menceritakan hal peribadi saya pada orang luar. Saya tak kenal abang dan abang pun tak perlu tahu apa masalah saya. Maaf, saya nak balik..” sebaik sahaja berkata begitu aku segera meneruskan perjalanan ku yang tergendala sebentar tadi.
“Rina, abang takkan berputus asa sampailah Rina lenturkan sedikit kedegilan Rina tu. Abang bukan orang yang senang mengaku kalah. Abang tetap akan cari Rina lagi. Apa salahnya kalau kita berkawan?”
Aku menghela nafas berat apabila dia mengekori ku lagi. Sekali lagi kaki ku berhenti melangkah. Bosannya aku dengan lelaki ini! “Saya tak tahulah mengapa saya ni diketemukan dengan orang yang muka tembok, tak reti bahasa, sengal macam abang ni! Bila saya menengking abang, abang ambil hati tapi bila saya cakap baik-baik abang buat tak tahu. Saya tak mahu, fahamkan apa maknanya?” aku dengan penuh perasaan meluahkan rasa geram ku kepadanya.
“Abang tetap nak kawan dengan Rina walau apa pun Rina labelkan abang. Abang tak kisah dan selagi niat abang ni tak menyalahi undang-undang abang tetap akan teruskan. Fahamkan apa maknanya tu?” ucap Adam Zaffran lembut dan dia tersenyum manis kepada ku.
“Saya tak nak kawan dengan abanglah! Pergilah sana!” tegas ku.
“Abang nak kawan dengan Rina.”
“Hi!!! Geramnya! Wahai, alam semesta.. kenapalah ada makhluk lelaki yang datang dekat aku sekarang ni?? Menyampahnya!!!” aku menjerit kepada alam sekeliling kerana tertekan dengan ulah Adam Zaffran.
Adam Zaffran memandang ku dengan senyuman. Dia berdiri di hadapan ku sambil berselok poket. Sedikit pun dia tidak peduli dengan kelantangan suara ku sebentar tadi. “Rina tahu dah beberapa hari abang tunggu Rina kat taman tadi tu. Abang ingat abang akan dapat jumpa Rina.”
“Siapa suruh tunggu?” bentak ku benci kepadanya.
“Abang yang nak tunggu. Bila abang boleh keluar dengan Rina?” Adam Zaffran masih mahu menebalkan muka bertanya kepada ku sedangkan saat ini dia tahu yang aku teramat-amat menyampah kepadanya. Lelaki ini sememangnya bermuka tembok!
“Tak nak!”
“Bolehlah.. Kat kedai mamak biasa tu pun boleh asalkan abang dapat keluar dengan Rina.”
“Eeeii! Tidak! Kalau kawan-kawan saya nampak nanti habislah saya.”
“Habis tu kat mana?”
“Kenapa abang nak keluar dengan saya pulak ni?”
“Oklah. Kalau macam tu boleh abang mintak nombor telefon Rina?”
“Tak boleh!”
Adam Zaffran tersengih. “Kalau Rina tak nak bagi abang tanya dengan kawan-kawan Rina. Abang bukannya tak tahu yang Rina tinggal di mana. Mana yang senang? Tanya dengan Rina sendiri atau dengan kawan-kawan Rina?”
Aku mengertap bibir geram dengan ulah lelaki ini. Dia bijak menggunakan kelemahan ku sebagai kesempatan untuknya. Mendesak ku dengan cara yang halus begini membuatkan aku kalah.
“Muka tak malu! Orang tak sudi dia main paksa pulak! Cepatlah!” dalam keadaan yang bengang dengan perangainya aku tetap akur memberikan nombor telefon ku walaupun mulut ku asyik membentak marah dengan sikapnya yang suka mendesak itu.
Adam Zaffran tersenyum senang. Dia menyeluk poketnya dan mengeluarkan telefon bimbitnya. Setelah menyalin nombor telefon yang aku sebutkan dia terus mendailnya bagaikan memastikan nombor yang sudah ku sebut kepadanya itu adalah nombor yang masih ada di dalam perkhidmatan.
Aku memandang wajahnya dengan rasa jengkel. “Abang ingat saya bagi nombor telefon tipu ke?” aku mengejeknya geram.
“Taklah! Abang cuma nak pastikan yang telefon Rina tu berdering apabila abang call. Sekarang baru abang puas hati sebab abang yakin yang Rina takkan beri alasan telefon rosak bila abang call sebab abang dengar dengan jelas bunyi telefon tu dari dalam beg Rina tu..” Adam Zaffran menjawab dengan cara yang amat menyakitkan hati aku.
Aku menggeleng perlahan. Penat memarahinya aku kini memutuskan untuk bersabar sahaja dengan ulahnya. Tiada gunanya aku menengking herdik dia kerana dia sememangnya tidak faham bahasa.
“Nanti abang call bolehkan?”
“Janganlah tanya soalan bodoh! Dah ada nombor tu telefon ajalah!”
Adam Zaffran tersengih lagi. “Maksud abang tadi, bila abang call Rina jawab ya? Jangan biarkan aja macam tu. Tak baik hampakan orang. Berdosa! Esok abang tunggu Rina kat taman ya? Nanti kalau Rina balik dari cari kerja kita borak lagi.”
Aku menjeling menyampah kepadanya. Mengapalah aku diketemukan dengannya? Mengapalah dalam kebanyakan wanita di Malaysia ini dia memberi perhatian kepada ku? “Tengoklah kalau rajin. Rasanya esok saya lalu jalan lain kot..”
“Kalau macam tu abang tunggu depan rumah ya?”
Aku memandangnya dengan rasa mahu menyinga. Sekali lagi dia menggunakan desakan halusnya itu. Dia memang sengaja mahu menyakitkan hati ku. Dia enggan faham yang aku tidak suka dengannya sebaliknya dia memaksa ku untuk menerima kehadirannya dengan bermacam helah. Dia memang bijak menggunakan kesempatan yang ada!
“Jangan pandai-pandai nak tunggu depan rumah pulak!”
“Kalau macam tu kita jumpa kat taman esok?”
Aku menghela nafas berat. Desakkannya membuatkan aku serba salah kini. Kalau aku tidak menurutnya tidak mustahil dia akan menunggu aku di hadapan rumah seperti yang ‘diugut’nya kepada ku sebentar tadi. Aku tahu jika tidak bijak berhelah aku sememangnya tidak mampu melepaskan diri dari lelaki ini. Masalahnya aku bukannya jenis orang yang pandai memutar belit. 
“Bolehlah..” Adam Zaffran yang sudah menghidu kelemahan ku segera menggunakan peluang yang ada. Dia merayu-rayu pula agar aku kalah dengannya.
“Yalah! Tapi ingat, jangan sesekali abang nak datang rumah saya.”
“Kalau Rina datang ke taman petang esok seperti yang dijanjikan abang takde sebab nak ‘jemput’ Rina di rumah. Betulkan? Orang yang beriman dia akan berpegang kepada janji..” balas Adam Zaffran sambil tersenyum senang kepada ku.
Aku terdiam. Ya! Aku dikira sudah berjanji kepadanya. Bermakna aku akan menepatinya. Aku tidak tahulah untuk apa aku memenuhi undangannya itu tetapi apa yang aku tahu semua itu bagaikan tidak dapat ditolak lagi.
“Insyaallah, saya akan datang.”
“Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya abang yakin Rina akan berusaha untuk menepati janji Rina dengan abangkan? Insyaallah, abang akan tunggu Rina di taman..” lembut sekali suara Adam Zaffran menyambut kata-kata ku.
“Ada apa-apa lagi yang abang nak dari saya ni? Kalau takde saya nak balik!” tegas ku.
Adam Zaffran tersengih sedikit. “Sebelum ni abang dengar Rina kata Rina ni lesbian. Abang tak percaya! Abang tahu Rina tipu dan abang ada bukti yang Rina menipu..”
Berkerut dahi ku mendengar bicaranya itu. “Bukti apa pulak?” soal ku dengan rasa hairan yang menggunung.
“Abang dah add Rina dalam Facebook abang. Dalam Facebook Rina tu ada gambar seorang lelaki yang kalau tak silap abang itu pelakon Hollywood. Abang nampak Rina labelkan dia sebagai my love, betul tak? Kalau lesbian kenapa ada gambar lelaki? Muka sama macam muka abang pulak tu..”
“Eeeii... perasannya! Muka abang macam muka Alex O’laughlin ke? Tak malu ke kata muka sendiri macam muka pelakon Holywood?” ejek ku geram. Tidak sangka dia menyelongkar laman peribadi ku di Facebook. Memang dihamparan buku itu aku letakkan gambar Alex O’loughlin sebagai wakil diri ku dan aku letakkan perkataan ‘Alex my love’ di situ kerana aku memang cintan habis dengan pelakon itu. Sengaja aku tidak letakkan wajah ku sebaliknya aku menggunakan wajah lelaki itu tetapi nama sebenar tetap aku kekalkan supaya aku senang dicari.
“Tapi memang muka dia lebih kurang seiras dengan muka abangkan?” Adam Zaffran berkata selamba. Tersenyum manis sehingga aku seperti merasakan lelaki yang berada di hadapan ku ini adalah Alex yang aku minati itu. Orakan senyumannya memang memikat.
Sebuah jelingan aku lemparkan kepadanya kerana aku malas mahu melayannya lagi. Aku mahu pulang. “Saya nak balik. Abang sambunglah perasan abang tu seorang diri. Saya malas nak layan..”
“Baliklah.. jalan baik-baik ya? Jangan ikut orang yang Rina tak kenal...” pesannya lembut.
Aku mengangguk dan saat itu entah kenapa aku tersenyum kepadanya. Seperti diluar kawalan buat seketika tanpa kata kami berpandangan lama sebelum akhirnya aku memutuskan untuk berlalu. Saat berjalan menuju ke rumah ku yang cuma tinggal beberapa meter sahaja dari ku aku asyik berfikir mengapa aku membalas renungannya sebentar tadi. Mengapa aku seakan berkhayal pula saat menikmati renungannya itu.
Aku tidak faham dengan diri ku ini?
“Jangan ikut orang yang adik tak kenal..” pesanan lelaki misteri malam itu kedengaran lagi. Hampir sama seperti yang diucapkan oleh Adam Zaffran. Diakah lelaki malam itu? Sebelum aku masuk ke dalam rumah sempat lagi aku menoleh kepadanya yang masih tetap di situ memandang ku. Dia tersenyum dan melambaikan tangannya kepada ku apabila ternampak aku memandangnya semula.
Entah kenapa saat itu hati ku bagaikan terusik dengan kelakuannya. Tidak pernah aku berperasaan begini kepada mana-mana lelaki. Aku sempat membayangkan betapa indahnya hidup ku jika aku mempunyai kekasih yang akan menanti ku sehingga aku selamat masuk ke dalam rumah sebagai tanda dia amat mengambil berat akan keselamatan ku. Eh! Tadi aku yang jual mahal sangat. Sekarang aku bayangkan dia adalah kekasih aku? Biar betul? Darina... dah biol agaknya otak kau ini.
Ah! Apa salahnya berangan-angan? Tak luak apa-apa pun. Itu hanyalah sekadar bayangan ku sedangkan hakikatnya aku amat takut untuk merisikokan apa-apa mengenai diri ku kepada mana-mana lelaki. Aku masih fobia untuk berdekatan dengan mana-mana lelaki dan aku amat sukar untuk mempercayai mereka.
Tetapi mengapa agaknya apabila dengan Adam Zaffran aku kalah? Apa kehebatan lelaki itu sebenarnya sehingga dalam kemarahan dan kebencian yang ada di dalam hati ku ini aku tetap lemah kepadanya. Dengan Jabar suatu masa dahulu aku tidak pernah merasa begini biarpun dia berusaha keras menunjukkan kebudimanannya. Dengan Jeremy aku tetap tidak mampu mempercayainya biarpun dia meluahkan kata-kata yang manis. Ah! Apakah aku sedang kalah? Mana buktinya aku sedang kalah? Hanya kerana wajahnya serupa Alex O’loughlin aku merasakan aku sedang kalah? Murahnya aku! Hati ku tertawa sendiri menafikan apa yang sedang bermain di fikiran ku ini.
Tidaklah! Ini baru permulaan. Dia bukanlah sesiapa. Dia hanya seorang lelaki yang akan kecewa jika dia menggantung harapan kepada ku kerana aku sama sekali tidak akan melayan perasaannya!
Sama sekali tidak akan!

“Siapa lelaki tadi tu, wak?” suara Remy kedengaran mengejut aku yang sedang bersiap mahu mandi. Aku lantas menoleh dan aku terlihat Remy sedang berdiri di pintu bilik ku yang terbuka luas. Aku tidak sedar bila masanya dia datang ke rumah ku ini. Cepat-cepat aku mengambil kain tuala bagi menutupi bahu ku yang terdedah.
Bukannya aku malu dengan aurat ku kepadanya. Aku sedar dia juga wanita sama seperti aku tetapi Remy, Boy, Max dan teman-teman ku yang lain mereka memiliki nafsu kepada wanita seperti aku. Nafsu mereka sama seperti lelaki yang suka melihat wanita seksi dan aku tidak suka Remy memandang ku seperti saat ini. Matanya meliar memandang aku yang sedang berkemban tuala.
Remy masuk ke bilik ku tanpa dijemput. Lebih mengilukan hati ku apabila melihat dia menutup pintu bilik itu. Aduhai... aku tidak sanggup membiarkan dia memegang aku seperti lelaki memegang perempuan.
Sama sekali aku tidak rela!
“Siapa lelaki tadi tu?” Remy menyoal lagi apabila dia berdiri dekat dengan ku. Hembusan nafasnya yang hangat menyaluti bahu ku membuatkan aku semakin ngeri. Oh! Tidak! Minta jauhlah aku dari perempuan seorang ini..
“Lelaki mana pulak?” aku buat-buat tidak tahu padahal saat menyalin pakaian sebentar tadi aku masih terfikir-fikir tentangnya.
“Mamat yang bercakap dengan awak kat bawah pokok besar tu. Saya nampak awak bercakap dengan dia tadi. Dia nak apa dengan awak?” Remy menyoal ku dengan lagak sebagai teman lelaki yang cemburu.
Aku memandang Remy dengan pandangan yang malas. Jika boleh aku sememangnya tidak mahu menjelaskan apa-apa kepadanya supaya dia tahu yang aku bukanlah ‘teman wanita’nya seperti yang dianggap olehnya.
“Siapa dia?” Remy mendesak agar aku menjawabnya.
“Dia cuma menegur aja. Bukannya dia nak apa-apa.”
“Menegur? Lamanya dia menegur awak? Saya perhatikan dari tadi dekat sepuluh minit awak layan dia?” Remy dengan lagak sebagai teman lelaki ku segera menunjukkan kuasanya bersoal jawab dengan tingkah ku.
Aku mengeluh sedikit kuat bagaikan kebosanan dengan sikap Remy. “Dia tinggal kat sini sama macam kita dan dia selalu nampak saya. Apa salahnya dia tegur saya dan apa salahnya saya bercakap dengan dia?”
“Orang lain dia tegur tak?” Remy seakan menyindir jawapan ku. Jelas sekali dia mempertikaikan kewajipan aku untuk melayan lelaki itu.
“Remy, keluar boleh tak? Saya nak mandi..” Aku memandangnya tajam sebagai ingatan yang aku memang tidak gemar dengan kelakuannya yang melebih-lebih itu. Dia tiada hak untuk menegah aku daripada melayani Adam Zaffran.
“Jangan layan dia lagi. Saya tak suka!” tanpa mempedulikan kata-kata ku Remy tetap meneruskan apa sebenarnya yang mahu disampaikan kepada ku semenjak tadi.
Aku tersenyum sinis kerana aku sudah boleh membaca apa sebenarnya yang dia mahukan dari ku. Baik Adam Zaffran mahupun lelaki palsu ini sama-sama membuatkan aku jengkel dengan kelakuan mereka. Siapa dia mahu menegah aku?
“Dengar tak saya cakap ni?” tekan Remy apabila aku diam sahaja.
Aku mengeluh keras. “Saya tak pekak. Tak perlulah nak cakap banyak kali.”
Remy dengan lagak lelakinya menarik lengan ku agar memandangnya. Aku menurut sahaja namun pandangan mata ku singgah hanya seketika sahaja di wajahnya. Aku amat-amat tidak gemar dengan kelakuannya ini. Dia lelaki celup dan aku perempuan asli. Kami mempunyai batas yang lebih kurang sama antara lelaki dan wanita walaupun pada hakikatnya bersentuhan aku dan dia tidak membatalkan air sembahyang. Hakikatnya aku tidak memiliki perasaan yang ada di dalam hatinya itu. Langsung tidak! Aku hanya menganggap Remy sekadar kawan sama seperti Max dan Boy. Tetapi Remy tidak begitu. Semakin aku tidak melayan semakin itu dia menunjukkan kelakuannya yang dianggapnya sebagai perihatin tetapi bagi ku itu adalah sikap mahu memonopoli.
“Jangan layan dia. Saya tak suka tengok awak bercakap dengan orang lain apatah lagi lelaki. Awak tahukan yang saya sukakan awak semenjak dulu?” lembut sahaja Remy berbicara kepada ku.
“Saya tahu awak suka saya tapi saya nasihatkan awak supaya jangan membazir masa dengan saya.”
“Kenapa?”
“Sebab saya ni bermasalah. Tolong jangan tanya apa masalahnya sebab saya takkan ceritakan pada orang yang tak boleh memberikan saya jalan untuk menyelesaikan masalah saya ni.”
“Jadi lelaki tu boleh selesaikan masalah awak?”
“Dia dengan awak lebih kurang sama aja. Kalau bercakap suka nak menaikkan darah saya. Kalau awak tak tahu apa yang awak cakap lebih baik awak diam. Sebab saya malas nak mengusutkan fikiran saya yang dah sedia kala kusut ni dengan masalah yang tak wujud! Tolong keluar sebab saya nak mandi.”
“Rina!!!” kami berdua terkejut apabila Max menerobos masuk ke bilik ku tiba-tiba. Ada telefon di tangannya.
“Apasal dengan kau ni?” soal ku hairan.
“Kau kena ganti Amanda esoklah. Amanda accident. Tangan dia patah. Show kat Pavillion besok takde siapa nak ganti. Model lain semua pax..” keluh Max dengan muka semacam. Bimbang mungkin aku menolak permintaannya itu. “Boleh ya, Rina? Esok last. Aku takkan minta kau ambil job lagi. Lepas habis show esok, aku bagi payment kat kau terus. Amacam?”
Aku hanya mengangguk sahaja. “Pukul berapa?”
Show start jam sebelas. Pukul sembilan pagi kau ready. Kita pergi sama..” kata Max sebelum berlalu pergi meninggalkan aku dan Remy di situ. Aku kembali memandang Remy. Dia masih tiada tanda-tanda mahu berambus dari bilik ku.
“Saya tidur sini boleh tak, wak?” dengan lembut Remy meminta keizinan ku untuk tidur di bilik ku. Namun aku sebenarnya sangat mengerti yang dia sebenarnya mahu meniduri ku seperti kelazimannya bagi pasangan kekasih.
“Boleh...” aku menjawab meleret sambil berjalan ke bilik air.
Saat berada di muka pintu bilik air aku memandang Remy semula.
“Boleh blah!!! Saya tak mahu awak ada dalam bilik saya. Tolong keluar!” kata ku tegas.
Selesai mandi terhendap-hendap aku keluar dari kamar mandi. Aku bimbang Remy masih ada di dalam bilik ku. Tetapi saat aku menjengukkan kepala keluar aku tidak terlihat sesiapa. Lega perasaan ku kerana makhluk yang paling tidak aku inginkan itu sudah tiada di dalam bilik tidur ku.
“Reti pun bahasa!” aku berkata sambil tersenyum kelegaan.
Sedang aku mengenakan pakaian aku kini diganggu pula oleh panggilan seseorang melalui telefon bimbit ku. Saat aku menelek nama si pemanggil yang tertera hanyalah nombor yang tidak pernah ku lihat sebelum ini.
Aku lantas menekan butang hijau untuk menjawabnya. Terus sahaja pancaindera ku ini menangkap suara seorang lelaki. Sekali imbas sahaja aku sudah tahu siapa si pemilik suara ini.
“Sembahyang maghrib dah?” Tanpa salam dia berkata begitu kepada ku. Aku terus terkejut mendengarnya.
“Saya uzur!” aku menjawab kasar melalui corong gadget itu. Sakit hati ku kerana dia selalu sahaja berlagak seperti ustaz kepada ku.
“Oh! Abang ingatkan Rina boleh sembahyang. Saja je abang nak ingatkan..” tenang sahaja suara Adam Zaffran berkata kepada ku.
“Terima kasih banyak-banyaklah Ustaz Adam Zaffran. Saya tak boleh sembahyang sekarang. Nanti kalau saya nak sembahyang saya sembahyang ya?”
“Sembahyang tu tiang agama, Rina. Hukum sembahyang ni wajib melainkan bagi yang uzur. Abang nak Rina sedar yang Allah selalu melihat kepada hamba-Nya. DIA tahu setiap apa yang dikerjakan oleh hamba-Nya. Walau apapun yang berlaku abang tak mahu Rina abaikan solat kerana solat ini adalah kunci kepada kesejateraan hidup umat manusia. Dengan solat hati akan bersih dan kita akan beroleh kedamaian pada hati. Orang yang solatnya sempurna dia akan mampu menolak untuk melakukan dosa dan dia akan sentiasa redha dengan apa yang Allah berikan kepadanya. Abang tahu Rina faham apa yang abang maksudkan ni. Abang harap Rina akan fikirkan apa yang baik daripadanya.”
Aku terdiam mendengar kata-katanya itu. Entah kenapa saat ini aku bagaikan hilang upaya untuk melawan bilah bicaranya itu. Aku kekeluan dan kata-kata itu meresap jauh ke dalam hati ku.
“Saya dah lama tak bersolat. Dah berbelas tahun..” aku menjawab perlahan. Pengakuan yang jujur dari lubuk hati ku.
“Beristighfarlah. Minta ampun kepada Allah.” Adam Zaffran membalas tanpa sedikit pun merasa terkejut dengan pengakuan ku itu.
Aku terdiam mendengar itu.
“Nur Darina, sekali bila kita buat dosa Allah akan letakkan titik hitam di hati kita. Semakin banyak kita lakukan dosa semakin hitamlah hati kita. Apabila sampai suatu masa Allah akan menarik balik kenikmatan yang Allah berikan kepada kita. Rezeki akan disempitkan, hati akan susah, wajah akan kusam kerana tidak pernah dibasahi oleh wuduk dan kita akan semakin banyak ditimpa kesusahan. Apa yang paling teruk ialah kita tak mampu melihat kebenaran kerana hati sudah terlalu hitam. Nilailah diri kita di mana kita sekarang? Bagaimana hati kita? Abang tak mahu Rina terus membiarkan solat sedangkan azab Allah menanti bagi orang yang melalaikan solat. Mulakan perubahan sekarang. Rina akan temui ketenangan yang tidak boleh didapati di mana-mana. Ketenangan ni hanya akan kita dapati jika kita berdekatan dengan Allah iaitu sujud kepada Allah. Cubalah sekali. Dengar cakap abang. Ambil wuduk, istiqamahlah dengan niat yang tulus dan ikhlas kerana Allah dan berdiri di atas sejadah dengan tekad untuk menghambakan diri kepada Allah. Insya-Allah, Rina akan temui keajaiban solat tu setelah Rina bersujud dengan seikhlas hati kepada Allah. Rina akan merasakan ketenangan dan keresahan yang Rina rasakan tu akan hilang. Bila hati kita tidak tenang itu kerana kerana kita rindu kepada Allah. Cuba lembutkan hati Rina untuk melawan bisikan yang mahu menghalang Rina dari menunaikan perintah Allah. Insya-Allah, Allah akan bantu Rina menemui ketenangan yang Rina cari selama ini. Percayalah cakap abang ni.”
Aku semakin terdiam saat menekap telefon itu ke telinga ku. Kata-katanya meresap semakin jauh ke dalam hati ku. Apakah keresahan hati yang sering ku alami ini kerana aku terlalu jauh dari Allah dan aku merindui Tuhan yang mencipta diri ku ini.
“Terima kasih sebab abang mengingatkan saya..” balas ku dalam suara yang amat rendah. Terharu hati ku dengan nasihatnya.
“Abang hanya mahu Rina jalani hidup ni sebaik-baiknya. Berjalanlah di atas landasan yang benar. Jangan sesekali kita melawan kekuasaan Allah kerana kita adalah hamba Allah yang lemah. Orang yang ingkar perintah Allah adalah orang yang takbur dan mahu melawan kekuasaan Allah. Kita patut sedar yang kita takkan mampu melawan kuasa Allah. Jangan menanti sehingga Allah mengunci hati kita sehingga kita tidak boleh berubah lagi. Selagi ada peluang gunakanlah sebaik-baiknya. Masih ada peluang untuk Rina berubah. Abang tahu Rina sekarang sedang terleka dengan keadaan sekeliling yang tidak elok bagi Rina. Tetapi tiada siapa yang mampu merubah keadaan ni melainkan diri kita sendiri. Abang mahu Rina buka mata hati Rina dan lihat di sekeliling Rina dan lihat ke dalam diri Rina. Jangan biarkan keadaan ini berterusan lagi. Semakin lama Rina biarkan semakin susah Rina nanti.”
Aku terus terdiam memikirkan kata-kata Adam Zaffran itu. Aku sedar kata-katanya itu benar belaka. Aku tersesat di jalan yang terang. Aku sudah lama lemas di dalam kekufuran dan dosa-dosa. Aku terlalu jauh dari rahmat Allah kerana itulah aku sering tidak tenang.
“Maafkan abang kalau apa yang abang katakan tadi tu menyakitkan hati Rina tapi sebagai manusia kita ada tanggungjawab untuk saling mengingatkan apa yang wajib. Itulah niat abang. Abang bukannya nak menghina Rina atau nak berlagak pandai dengan Rina. Abang cuma mahu Rina ambil kebaikan daripada kata-kata abang tadi. Abang cuma mahu Rina hidup dalam kehidupan yang lebih bermakna. Itu sahaja.”
“Saya tahu niat abang baik. Saya ni yang terlalu ego untuk mengakui kebenaran kata-kata abang tu. Saya ni banyak dosa..” aku sebak untuk mengakuinya. Entah kenapa aku mudah pula untuk mengakui itu kepadanya sedangkan sebelum ini aku amat bencikan dia.
“Allah Maha Pengasih dan Maha Pengampun, Rina. Selagi nafas kita masih ada ini gunakanlah peluang ini sebaiknya untuk bertaubat kepada Allah. Tiada siapa yang tahu bilakah kematian akan datang kepada kita tetapi amat menakutkan jika kita mati dalam keadaan kita kufur dan tidak sempat meminta ampun kepada Allah. Bukankah setiap dari kita patut mengangankan usul khatimah iaitu kematian dalam keadaan yang baik? Minta Allah jauhkan kita dari kematian dalam keadaan berdosa. Bersolatlah kerana solat itu akan membersihkan dosa. Solat adalah cara yang terbaik untuk kita memohon keampunan kepada Allah.”
“Saya tahu, bang. Terima kasih sebab nasihatkan saya.”
“Tak perlu berterima kasih pada abang sebab apa yang abang buat ni hanya percuma. Tak perlu dibayar. Abang benar-benar mahu melihat Rina berubah.”
“Kenapa saya?”
“Anggap ajalah ini adalah sebahagian dari kerja Allah. Allah temukan kita dan kebaikan dari pertemuan ini adalah anugerah Allah,” Adam Zaffran menyambut lembut bagaikan memujuk aku agar mendengar nasihatnya.
Aku akur. Ya! Sukar untuk aku menolak yang lelaki ini adalah lelaki yang baik. Suaranya selalu kedengaran ikhlas dan melambangkan kesungguhannya. Aku sahaja yang sering menolaknya.
Saat itu hati ku yang sepi ini mulai berbisik sayu. Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosa ku selama ini. Aku selalu khilaf dengan kekuasaan Mu. Aku bermohon keampunan kepada Mu..’
“Abang, saya minta maaf. Janji kita esok terpaksa ditunda..”
“Kenapa?” soal Adam Zaffran.
“Saya ada show kat Pavillion tengahari esok. Saya tak tahu pukul berapa saya balik..” kata ku perlahan.
Adam Zaffran diam seketika. “Show pukul berapa?” soalnya.
“Jam sebelas..” ringkas sahaja jawapan ku.
“Carilah kerja lain, Rina. Kerja macam tu tak berkat. Cari kerja ni kena sabar sebab rezeki ni hak Allah. Kalau kita sabar bila meminta kepada Allah, insya-Allah, akan ada jalannya..” nasihat Adam Zaffran lembut.
“Saya tahu. Selama ni itulah yang saya usahakan. Tapi saya takut kalau saya tak ambil job tu nanti saya susah kalau masih tak dapat kerja. Niat saya bila saya dapat kerja lain saya akan berhenti..”
“Baguslah kalau begitu. Jadi bila kita boleh jumpa?”
“Lusalah..”
“Okay. Lusa abang tunggu Rina kat sana. Kita jumpa. Jangan tak jadi pulak ya? Penat abang tunggu Rina hari-hari..” bisik lelaki itu lembut. Terselit lagi usikannya.


Aku tersenyum dalam diam. Cara lelaki ini yang amat lembut benar-benar menguja perasaan ku. Cara dia membahasakan diri kedengaran amat romantis. Entah kenapa perasaan ku terbuai seketika. “Okaylah. Lusa kita jumpa..”

Bab 7-BIMA

Aku berjalan sendirian menyusuri jalan untuk ke rumah ku dengan langkah yang amat longlai. Letih seharian aku bergelut dengan ragam mencari perkerjaan tidak semana namun aku kehampaan kerana apa yang aku harapkan masih juga tidak kunjung tiba. Jika tidak terus menjawat jawatan sebagai model peragaan lagi aku terpaksa pula menggalas jawatan sebagai penganggur. Setakat ini memang ada tawaran yang datang aku pula yang bermasalah untuk memenuhi jawatan itu kerana di luar kawasan yang aku ketahui. Aduh! Runsing sungguh kerana aku benar-benar enggan meneruskan kerja peragaan lagi. Tetapi jika keadaan terus begini masakan aku harus menjadi penganggur pula?
Bila difikirkan semula mahu sahaja aku berpindah rumah ke kawasan yang lebih mudah memandangkan kawasan tempat tinggal ku ini agak jauh dari pusat bandar Kuala Lumpur. Setakat ini kebanyakan tawaran kerja meminta aku memulakan kerja di Kuantan dan Penang sedangkan aku kini tinggal di Shah Alam. Masakan aku harus berpindah lagi buat kesekian kalinya? Kalau sebelum ini aku berpindah dari kondo ke rumah Max kerana mahu memudahkan aku pergi kerja, apakah kali ini aku harus berpindah semula ke tempat lain? Atau berpindah semula ke kondo itu? ‘Alah! Entah-entah tuan rumah tu dah dapatkan penyewa baru..’ bisik hati ku sendiri.
Sambil berjalan aku asyik memikirkan tentang diri ku. Fikiran ku terus berpusar hebat tentang keanehan yang ku rasakan. Aku bosan dengan hidup ku. Aku muak! Kalau boleh aku mahu ke mana-mana yang boleh aku dapatkan sedikit kegembiraan. Aku merasakan hidup ku amat kosong sekali. Aku sama sekali tidak ada semangat lagi untuk meneruskan hidup. Aku tidak tahu mengapa perasaan ini semakin lama semakin mengongsi ruang hati ku. Aku seperti kesunyian. Aku mahukan teman yang mampu mendengar suara hati ku tetapi buat masa ini aku tidak merasakan Max, Boy dan Remy adalah teman persis seperti yang aku mahukan. Bagi ku mereka hanyalah teman untuk berseronok. Teman untuk sama-sama menghabiskan wang namun bukan teman yang bagus untuk mendapat nasihat bagi masalah kejiwaan seperti yang ku alami ini.
Aku sedar aku sudah mengalami masalah ini agak lama. Cumanya semenjak kebelakangan ini masalah ini semakin memberat. Aku suka menyendiri dan berfikir. Aku mulai mahu menjauhi Max, Boy dan teman-teman yang lain. Aku bagaikan bosan dengan mereka semua.
Apa kenanya dengan aku ini? Mengapa aku begini? Aku dah sakit jiwa ke? Bukan ke depression ni salah satu simptom masalah jiwa? Agaknya betullah aku sakit jiwa.. telah hati ku sendiri. Aku sedar sebahagian diri ku menolak apa yang ada di dalam hidup ku kini. Jiwa ku bagaikan kesepian dan hidup ku teramat tidak bermakna. Hidup ku berjalan tanpa arah dan aku tidak tahu kemana harus aku bawakan diri ku ini.
Mungkin benar telahan lelaki itu sebelum ini. Segala apa yang dia katakan tepat mengena batang hidung ku tetapi aku sahaja yang enggan mengakuinya secara terang-terangan. Namun walaupun luaran ku sengaja membentak menunjukkan kedegilan ku kepadanya hakikatnya aku kerap memikirkan segala nasihatnya.
“Rina...” aku tersentak lantas menoleh apabila terdengar nama ku di panggil dari jauh. Namun aku tidak nampak sesiapa yang berada dekat dengan ku.
“Rina..” suara itu kedengaran lebih kuat dari tadi.
Aku memandang sekeliling untuk mencari si pemilik suara itu. Saat itu barulah aku sedari aku sudah berada di taman rekreasi tidak jauh dari rumah ku. Aku terpandangkan lelaki yang tempohari menganggu ku di taman ini. Dia sedang berdiri dengan pakaian untuk bersukan dan melambai kepada ku dari taman itu.
“Dia lagi!” aku mendegus marah. Dengan jelingan yang tajam aku tidak memperdulikan lambaiannya itu sebaliknya aku terus berjalan laju untuk meninggalkan kawasan taman itu.
“Rina!” lelaki itu memanggil lagi nama ku sambil mengejar ku pantas.
“Joging?” Adam Zaffran menyapa ku dengan soalan itu setelah berjaya menyaingi langkah ku.
“Saya tak minat berjoging!” aku menjawab keras tanda tidak suka kepadanya. Langkah kaki ku semakin laju.
“Lah.. tak minat joging? Abang ingat Rina memang tengah joging. Tengok cara Rina berjalan ni.. macam berjoging aja? Baguslah. Kita kena selalu jaga kesihatan tubuh badan dan jantung kita. Berjoging adalah salah satu darinya,” Adam Zaffran cuba menyakat ku.
Aku lantas menghentikan langkah ku apabila terasa dipersendakan olehnya. “Abang ni nak apa dari saya ni? Saya penatlah! Nak balik!” aku dengan lantang mengherdiknya tanpa sedikit pun perasaan belas kasihan.
Berubah terus wajah Adam Zaffran saat itu. “Rina, orang perempuan tak baik berperangai kasar macam ni. Abang cakap elok-elok, kenapa Rina nak tengking abang ni?” Adam Zaffran membalas dengan reaksi wajah yang sudah tidak senang dengan kelakuan ku yang kasar.
Aku diam dan menjelingnya. Sakit hati melihat kelembutannya. Kenapa tidak dia jauhkan diri dari ku? Jangan dekati aku! Jangan ganggu aku! Aku benci lelaki yang merimaskan macam dia!
“Sekurang-kurangnya Rina kena hormatkan abang sebab abang lebih tua dari Rina,” sambung Adam Zaffran lebih lembut kepada ku.
“Kepala otak saya tengah runsing sekarang. Jangan menyemak boleh tak? Suka hati sayalah nak berkasar ke atau apa! Siapa suruh abang kacau saya!” aku masih tetap berkasar walaupun sudah tidak sekasar tadi.
“Abang tegur Rina elok-elokkan? Mana ada abang kacau Rina. Kot ya pun tak suka abang takkan senyum sikit pun tak boleh? Cakap elok-elok tak payah jerit-jerit macam ni. Abang ni ada telinga dan telinga ni masih boleh mendengar dengan jelas. Tak payah Rina nak menyusahkan diri menengking macam tu. Orang yang suka marah ni berpotensi mati cepat tau sebab marah ni sebahagian daripada stress yang menyebabkan penyakit jantung..” Adam Zaffran menggerutu geram dengan perangai ku.
Aku terus tersengih seperti kerang kepadanya. “Nak apa, abang sayang? Saya penat ni. Nak balik cepat..” aku berkata dengan kelembutan yang sengaja ku buat-buat untuk mengejeknya. Tetapi dalam hati betapa membaranya aku dengan keletahnya itu.
Adam Zaffran tersenyum tiba-tiba. Kemudian dia ketawa pula seperti ada yang menggelikan hatinya setelah melihat wajah ku. Aku pula yang hairan melihat sikapnya. Aku cuba menyakitkan hatinya tetapi dia biasa sahaja.
Aku mulai hairan bercampur bengang apabila melihat dia ketawa tanpa sebab. Aku tahu dia mahu mengenakan aku. “Kenapa ketawa pulak ni?”
“Muka Rina kelakar pulak abang tengok bila tersegih macam tu. Sebab tu ALLAH kata senyum tu sedekah. ALLAH tak kata sengih tu sedekah sebab senyum ni melambangkan keikhlasan hati. Sengih ni pulak menggelikan hati.. Kah! Kah! Kah!” Adam Zaffran menyambung tawanya setelah meluahkan kata-katanya.
Terus masam mencuka wajah ku apabila dikenakan lagi olehnya. Geram betul aku melihat lelaki ini. Mengapa dia suka mengekori ku dan sekarang mentertawakan aku pula? Apa yang dia mahu dari ku? Terasa menyampah pula aku melihat dia ketawa.
“Saya nak balik. Saya malas nak layan abang!” Aku memutuskan untuk pulang sahaja kerana aku muak untuk melayan jenakanya yang amat tidak kelakar di pendengaran ku ini.
“Abang nak ajak Rina keluar dengan abang malam ni, boleh tak?” Adam Zaffran sempat memberanikan dirinya melontarkan keinginannya sebelum aku melangkah lebih jauh lagi.
Kali ini aku cuba sedaya upaya untuk mempamirkan keikhlasan dalam senyuman ku. Aku teringin sekali untuk mengenakannya yang memandang ku dengan pandangan mengharap.
Keluar dengannya? Tidak! Ingatan ku masih utuh dengan peristiwa bersama Jeremy baru-baru ini. Kerana menyambut pelawaan yang kononnya ikhlas itulah aku jadi begitu. Apakah aku mahu mengulangi sejarah yang sama? Sama sekali tidak dengan lelaki yang tidak aku kenali ini. “Maaf, saya tak suka lelaki dan saya tak keluar dengan lelaki..” ujar ku cukup bersahaja agar lelaki itu sakit hati dengan lagak ku.
Adam Zaffran mendekati ku yang berdiri dua tiga langkah jauh darinya itu. “Dah banyak kali abang dengar Rina kata Rina tak suka lelaki. Sampai sekarang abang masih tak dapat jawapannya. Kenapa macam tu, Rina?”
“Abang tanya kenapa saya tak suka lelaki? Oh! Sebab saya ni lesbian..” dengan semakin selamba aku mengucapkannya. Alasan yang sama yang aku gunakan dengan lelaki-lelaki lain. Tanpa sebarang rasa malu dan segan aku mengakui hakikat itu. Malah ku selitkan sedikit kebanggaan di atas pengakuan itu. Semua itu kerana mahu menyakitkan hatinya. Agar dia berputus asa mendekati ku. 
Wajah Adam Zaffran serta merta berubah. “Lesbian?” Adam Zaffran menyebut semula perkataan itu namun agak kelat nadanya. Dia bagaikan cuba untuk menolak hakikat itu. Kerdipan matanya mengecil memandang ku bagaikan tidak percaya dengan apa yang aku akui.
Aku tersenyum menang. Hati ku bersorak suka dengan perubahan reaksi wajahnya itu. “Ya, lesbian. Tahu apa makna lesbian? Lesbian ni..”
“Ya! Perempuan yang menjalinkan hubungan dengan kaum sejenis macam kawan-kawan serumah Rina tu. Abang tahu!” dengan sedikit keras Adam Zaffran memintas kata-kata itu. Ada kelukaan dan kemarahan yang ku dengari dalam suaranya. Kami berpandangan lama. Perasaan ku agak tidak aman dengan perubahan di wajahnya. Dia seperti hampa. Mengapa dia harus hampa?
“Kenapa?” lelaki itu menyoal ku perlahan. Dia semakin mendekati ku dan berdiri tegap di hadapan ku.
“Kenapa apa?” cuba ku kuatkan diri untuk bertanya biar pun kekukuhan hati sudah mula dikocak oleh kehadirannya.
Adam Zaffran membuang pandangan ke tepi seketika bagi melindungi reaksi wajahnya. Dia jadi kepayahan seketika untuk meluahkan kata-kata. Hanya rengkungnya sahaja yang bergerak bagaikan mahu berkata sesuatu.
“Abang nak tahu kenapa Rina benci lelaki? Kenapa memilih untuk jadi seperti ini? Kenapa berkawan dengan orang yang menentang fitrah asal kejadian mereka? Jalan yang Rina lalui ini salah. Tengoklah cara Rina berpakaian selama ini. Terbuka sana sini. Bahaya kalau Rina terus berpakaian macam tu. Orang lain tengok pun tak selesa kerana tubuh wanita adalah pemangkin nafsu lelaki. Memilih untuk menjadi model cat walk tak salah tapi memaparkan sebahagian daripada tubuh untuk tontonan lelaki itu yang salah. Perempuan wajib menutup aurat. Perempuan tak boleh berlagak berpelukan mesra dengan model lelaki yang bukan muhrim di atas pentas peragaan. Itu berdosa besar. Sekarang ni abang dapat tahu yang Rina ni lesbian pula. Ini semua salah, Rina. Bertaubatlah sebelum ALLAH tarik semula nyawa di badan,” akhirnya terluah juga bicaranya itu diakhir penantian ku. Tidak keterlaluan jika aku andaikan suaranya seperti kecewa dengan pengakuan ku itu.
“Perlu ke saya jawab semua tu?”
“Memang takde hukum yang mengatakan wajib Rina menjawab kata-kata abang ni tapi abang nak tahu sebabnya mengapa Rina memilih untuk jadi begini. Hidup Rina takde arah!” tekan Adam Zaffran tidak berpuas hati dengan jawapan ku.
“Takde apa yang menarik untuk diceritakan tentang hidup saya yang tak berpedoman ni. Hakikatnya saya memang tak suka lelaki dan saya lesbian. Memang saya bergaul dengan ramai lelaki di dalam dunia kerja saya tapi itu semua plastik! Saya memang perempuan keji kerana kerja saya sehari-hari mempertontonkan tubuh badan saya di atas pentas untuk mata-mata asing. Itu aja yang perlu abang tahu..” aku enggan menuruti kehendaknya. Bagi ku tiada kewajipan untuk aku melunaskan kehendaknya itu.
“Oh! Jadi ini memang naluri semula jadilah? Memilih untuk hidup macam perempuan barat ni adalah naluri Rina, kehendak semula jadi Rina? Seronok ke?” dia menyoal ku lagi. Ada sedikit kesinisan dalam suaranya dan yang sedikit itulah mampu menghidupkan rasa benci ku kepadanya.
“Ya! Memang naluri semula jadi saya sukakan kaum sejenis dan hidup macam perempuan barat yang terdedah sana sini. Ada masalah dengan abang ke?” aku dengan berani mencabarnya.
Adam Zaffran hanya diam. Namun aku sudah mengesan kemarahan di dalam matanya dengan sikap biadap ku kepadanya. Namun dia punya cara untuk mengalahkan aku. Menunjukkan kemarahan secara berhadapan bukanlah dirinya sebaliknya matanya merenung ke dalam mata ku agak lama dan cukup dalam sehingga aku sedar perasaan ku mulai berkocak. Dada ku berdegup kencang tanpa dapat dikawal rentaknya. Ada suara yang menyeru agar aku menjauhkan diri segera. Namun itu bukanlah ketakutan yang sering aku alami. Bukan juga fobia kepada kaum lelaki. Peliknya aku tidak pernah berasa takut kepadanya selama kami saling berbalah begini. Tetapi perasaan itu sudah membuatkan aku tidak tentu arah dan aku tidak mahu dia mengesannya. Aku yang mahu mencabarnya kini aku pula yang dicabar diri ku sendiri.
“Saya nak balik!” aku lantas berundur untuk menjauhinya.
“Kenapa, Rina? Tolong jawab soalan abang tadi..” Adam Zaffran melaung kepada ku apabila aku sudah menjauhinya. “Kenapa Rina benci lelaki? Abang pun lelaki, Rina. Apa salah abang?”
Soalan yang kedengaran lagi itu juga tidak ku layan sebaliknya aku melajukan langkah kaki ku.
“Rina...” dia melaung lagi. “Jangan jadi seperti umat di zaman Nabi Luth, Rina. Mereka ditimpa bencana kerana perbuatan keji itu..” laung Adam Zaffran kepada ku.
Aku hanya memandang sekilas sahaja lelaki itu. Langkah kaki terus ku atur walaupun aku sedar dia masih setia bediri di situ menagih jawapan ku. Apa yang pernah terjadi di dalam hidup ku biarlah aku sahaja yang tahu. Aku tiada sebab untuk bercerita dengannya kerana aku tidak pernah memiliki biar sedikit pun kepercayaan kepada kaum lelaki termasuklah Adam Zaffran. 


Bab 6-BIMA

Mana ada emak tak sayangkan anak.. hati ku menyebut semula kata-kata yang pernah abah luahkan kepada ku beberapa tahun lalu. Semenjak kebelakangan ini aku asyik mengingatinya. Namun semakin aku mengingatinya semakin itu hati ku pedih. Sememangnya semenjak aku pulang dari Ireland aku tidak pernah pulang menemui keluarga ku. Nasihat Puan Kalsom kepada ku tidak aku hiraukan. Mungkin aku masih berdendam dengan kisah lama itu atau sebenarnya aku takut kepulangan ku tidak diterima oleh kedua ibu dan ayah.
Emak sayangkan aku namun sebagai tanda sayang akhirnya aku dihalau begitu sahaja dari rumah tanpa wang sesen pun untuk aku mulakan hidup. Itulah tanda sayang emak. Itulah bukti aku ini anak emak.
“Assalamualaikum..” aku terkejut apabila disapa seseorang. Suaranya macam pernah aku dengari tetapi tidak pasti bila dan di mana. Lantas aku menoleh mencari orang yang memberi salam itu.
Aku terpaku memandang lelaki yang kerap aku lihat sebelum ini. Malahan aku perasan dia kerap memandang ku ketika aku dan teman-teman ku melepak di kedai mamak tempohari. Dia juga yang aku temui di pasar malam minggu lalu.
“Waalaikumussalam..” aku menjawab agak perlahan kerana diri ku masih dikerumuni oleh rasa terkejut melihatnya.
“Boleh abang duduk sini?” dia menyoal ku sambil menunding kepada sebahagian tempat yang masih kosong di tepi ku itu.
Sekilas cara dia membahasakan diri aku bagaikan terkenang lelaki yang membantu ku malam itu. Suara juga hampir serupa. Diakah lelaki itu? Ah! Bukan kot.. tak mungkin dia.. bisik hati ku menolak apa yang ditelah oleh fikiran ku saat ini.
“Kan banyak lagi tempat lain? Buat apa duduk sini?” aku membalas kasar. Amat tidak senang sekali kerana aku merasa terganggu dengan kehadirannya di situ. Aku hanya mahu bersendirian. Mengapa dia menyibuk datang kepada ku?
“Abang tengok adik ni seorang aja jadi abang ingat nak berbual dengan adik. Bolehkan?” dia tetap lembut kepada ku walaupun aku sudah berkasar dengannya.
“Nak buat apa berbual dengan saya. Saya tak suka berbual dengan orang yang saya tak kenal. Tolong pergi! Jangan ganggu saya!” aku tanpa rasa bersalah menyatakan rasa tidak suka ku kepadanya.
Lelaki itu tetap duduk bersebelahan dengan ku walaupun ada ruang yang menjarakkan kami. “Ini tempat orang berjogingkan?” dia bertanya kepada ku.
“Yalah, takkan tempat bergusti pulak. So?” aku membalas jengkel.
“Orang lain sibuk beriadah kat sini. Ada yang berjoging ada yang main kat play ground tapi adik ni termenung aja. Muka pun sedih aja. Ada masalah ke?” tanyanya lembut penuh perihatin.
Namun entah kenapa aku berang dengan sikapnya itu. Pada ku dia hanya penyibuk! “Kalau saya termenung dengan muka sedih pun ada masalah dengan awak? Saya menyusahkan awak? Buat apa nak sibuk hal saya? Pergilah jaga hidup sendiri..” aku amat benci mendengar soalannya itu. Semakin dia menunjukkan keikhlasannya semakin itulah aku benci melihatnya. Entah kenapa aku benci melihatnya padahal dia tidak ada berbuat salah atau biadap kepada ku. Mungkin kerana aku terasa dia selalu memerhatikan aku itulah yang membuatkan aku benci kepadanya.
“Bukan abang nak menyibuk tapi abang nampak adik ni seorang aja berfikir jadi abang datang sini. Kadang-kadang kita tak mampu fikirkan masalah kita seorang diri. Semakin kita fikir semakin itulah kita tak dapat jawapannya. Kadang-kala kita perlukan jawapan daripada orang lain.” Lelaki itu masih tetap berlembut dengan ku.
“Saya tak tahulah awak ni siapa. Tapi tolong jangan ganggu saya boleh tak? Saya tak suka bercakap dengan lelaki.”
“Tapi yang selalu bersama dengan adik tu pun lelaki jugakan? Lelaki tapi perempuan!” dia lebih pantas mengenakan aku dengan kata-katanya itu.
Aku memandangnya tajam. Sakit betul hati ku dengan lagak lelaki ini. Siapa dia yang mahu menyindir aku begini? Tanpa mahu terus melayannya aku bingkas bangun dari kerusi itu. Laju langkah ku meninggalkannya. Lega hati ku kerana dia tidak membuntuti ku lagi.
Lelaki itu.. aku tidak kenal dia siapa tetapi aku selalu ternampak dia di kawasan perumahan ku ini. Selalunya dia ada di kedai mamak yang selalu menjadi tempat aku dan teman-teman melepak. Sikapnya benar-benar membuatkan aku tertanya-tanya. Selama ini dia hanya kelihatan di hadapan mata ku tetapi tidak pernah menegur ku. Kali ini barulah dia menegur ku.
Aku duduk pula di sebuah kerusi lain. Kawasan itu agak sunyi tanpa kehadiran orang lain. Aku kira aku akan aman di situ tetapi tidak. Kelibat beberapa lelaki yang membawa topi keledar di tangan mereka melepak di kawasan bersemak di tepi taman itu membuatkan keamanan itu terganggu. Kenangan masa lalu itu kembali menerpa ke benak ku tambahan pula dari cara mamat-mamat itu berpakaian aku lantas teringatkan seseorang dari kisah masa lalu ku. Dada ku mulai tidak enak.
Dari jarak yang agak jauh aku terdengar mereka bersiul-siul memanggil ku kepada mereka. Tidak cukup itu ada di antara mereka yang nakal mulai mengeluarkan bahasa yang tidak sedap didengar. Aku cuba mendiamkan diri tanpa memberi reaksi kepada kenakalan lelaki-lelaki itu. Kemudian dari tempat longgokan mereka itu salah seorangnya menjerit lagi kepada ku. “Peeiiwiitt.. ‘$%^%’  jom...”
Seriau darah ku mendengarnya. Serta merta ketakutan itu melanda lagi. Ajakan yang sangat aku mengerti maksudnya itu membuatkan aku fobia untuk terus bersendirian di situ.
Menyedari aku hanya sendirian di situ dan jauh pula dari keramaian manusia, aku bingkas bangun. Aku hanya mampu memikirkan lelaki tadi. Walaupun dia juga lelaki tetapi entah kenapa aku rasakan dia lebih baik daripada lelaki-lelaki yang bersiul itu. Lagipun kerusi yang aku duduki tadi berada di laluan orang ramai. Aku lebih selamat. Biarlah.. biarlah rebah ego ku di hadapan lelaki itu asalkan aku selamat.
“Kenapa?” lelaki itu bertanya hairan apabila melihat aku kembali semula ke kerusi batu bertulisan MBSA pada penyandarnya itu. Namun ada sinar kegembiraan di matanya apabila melihat aku kembali semula ke situ.
“Err.. saya takut. Ada orang kacau saya kat situ,” jawab ku dalam rasa malu yang tak terkira sambil menunding ke arah datangnya aku sebentar tadi. Malu.. kerana sebentar tadi aku yang menyombong sangat kepadanya padahal dia berada di sebelah ku menegur dengan cara baik sedangkan lelaki-lelaki itu berada jauh mengajak ku melakukan perkara yang kurang ajar.
“Situkan sunyi? Kenapa duduk situ?”
Aku hanya diam sahaja tanpa menjawabnya.
“Nama abang, Adam Zaffran. Nama adik ni?”
“Darina..”
“Hmm.. sedap nama tu. Macam nama mentega roti pun ada. Kalau selet kat roti kemudian letak pulak gula memang sedap buat makan sarapan pagi.”
Berang aku dengan jenaka bodohnya itu. “Itu Dorinalah...” jerkah ku mulai geram apabila dia menjadikan nama ku sebagai bahan lawaknya. Beraninya lelaki ini mempersendakan aku?
Adam Zaffran ketawa seketika. Dia tidak kisah dengan kemarahan ku. Wajahnya ceria apabila aku mulai mahu melayannya. Walaupun layanan yang negatif. “Rina kerja di mana?” soalnya mesra.
“Abangkan selalu ikut saya? Takkan tak tahu saya kerja ke tak.” Sakita hati dengan tingkahnya, aku memerlinya. Mata ku mengerling untuk melihat reaksinya dengan telahan ku itu.
Adam Zaffran tersenyum memandang ku. “Rina tak kerja ya?”
Aku hanya diam sahaja sambil tersenyum sinis. Malas mahu menjawab soalannya itu. Aku biarkan sahaja apa yang sedang bermain di fikirannya itu. Spy tak bertauliah macam kau takkan tak tahu? Ejek hati ku meluat.
“Dah berapa lama tak berkerja?”
“Mind your own businesslah!” Aku segera menjawab sinis. Geram dengan telahan rambangnya. Mentang-mentanglah dia selalu melihat aku melepak dengan teman-teman di kedai Barakah, lalu dia mengandaikan yang aku tidak berkerja. Ah! Tetapi salah aku juga kerana aku yang tidak menjawab soalannya.
Adam Zaffran tersenyum lagi. Dia mengangguk seketika dengan jawapan ku yang tidak mesra itu. Tetapi aku tahu dia tidak mahu mengalah semudah itu.
“Abang banyak tanya sebab manalah tahu abang boleh bantu. Kalau Rina tak berterus-terang macamana abang nak bantu? Rina ada kelulusan apa-apa?”
Degree..” pendek sahaja balasan ku.
“Ada degree? Bagus! Memang sekarang ni orang yang berkelulusan lebih susah mencari pekerjaan berbanding yang berkelulusan biasa aja. Tapi rezeki ni Allah yang tentukan. Kita kena banyak bersabar dalam meminta sesuatu yang datangnya dari Allah,” komen Adam Zaffran lembut sekali. “Degree dalam apa?” Adam Zaffran bersuara lagi dengan pertanyaan itu.
Aku tersenyum sinis seketika. “Degree dalam pengangguran,” jawab ku selamba. Tampangnya ku pandang untuk melihat reaksinya. Jelas sekali dia terkejut dan ada sedikit perubahan di raut itu kerana dia sedar aku sudah mengenakannya. Aku pulak yang terasa mahu ketawa melihat dia.
“Tak pernah dengar pun jurusan tu? Universiti mana yang ada jurusan tu?”
“Kenapa abang selalu ikut saya?” aku memberanikan diri menyoalnya tanpa mahu menjawab soalannya tadi. Jika aku tidak salah perkiraan pertemuan kali ini sememangnya disengajakan. Dia menyimpan sebab untuk mendekati aku.
“Rina rasa abang ikut Rina ke selama ni?” dia menyoal ku kembali.
“Saya rasa begitu. Kalau tak takkanlah ke mana aja saya pergi mesti saya selalu nampak abang. Takkanlah semuanya kebetulan?” kata ku dengan lagak macam bagus saja.
Adam Zaffran diam seketika. Setelah puas memandang ku dia memerhatikan pula kanak-kanak yang riang bermain di taman pemainan di hadapan kami. Dia seolah-olah sedang cuba untuk menyusun kata-kata yang sesuai untuk diucapkan kepadaku. Aku pula tiba-tiba menjadi seorang yang penyabar. Aku terus menantinya dalam keinginan untuk tahu yang semakin melonjak-lonjak.
“Abang minta maaf kalau Rina tak senang dengan apa yang abang lakukan tu. Ya! Abang mengaku memang abang selalu perhatikan Rina selama ni. Abang ada sebab kenapa abang buat macam tu. Abang harap Rina tak marah abang buat macam tu..”
“Well.. please let me know what’s the reason beside that attitude?” sepantas kilat aku menyoalnya apabila dia semacam sengaja tidak meneruskan bicaranya.
“Rina merokok?” dia tidak menjawab soalan ku sebaliknya dia menyoal aku semula dengan soalan itu.
“Kenapa abang nak tahu saya merokok ke tak? Abang nak belikan saya rokok ke?” aku menyoal dengan niat mahu mengejeknya. Wajah seriusnya ku mamah dengan pandangan jengkel.
“Ada sebabnya abang tanya. Rina merokok?”
“Tak!” aku membalas pantas. Jawapan yang jujur kerana aku sememangnya tidak pernah merasai apa nikmatnya merokok melainkan asap rokok yang sering dihidu dari perokok lain yang menyebabkan aku sering terbersin.
“Suka orang yang merokok?” sekali lagi dia memberi aku soalan yang memelikkan aku.
“Tak suka..” tetapi pelik! Aku tetap menjawabnya walaupun aku hairan dengan dia yang menyoal aku dengan soalan-soalan pelik. Semakin itu aku bingung dengan persoalan-persoalan yang ditanyakan olehnya.
“Habis tu kenapa berkawan dengan orang yang kuat merokok kalau Rina tak suka orang yang merokok? Kenapa mesti berpura-pura senang hati dengan tabiat buruk itu bila di hadapan orang yang merokok?” dia bertanya lagi.
Aku terasa seperti diperangkap oleh soalan-soalannya itu. Hati ku mulai panas kerana tidak faham dengan lelaki ini walaupun apa yang telah disampaikan olehnya semakin ku mengertikan. “Saya tak fahamlah dengan semua ni. Apa kena mengenanya orang merokok dengan abang ni? Sebab orang lain merokok depan saya, abang ikut saya? Perhatikan saya?” aku meluahkan rasa tidak puas hati ku kepadanya dengan nada lantang.
“Kena mengena dengan Rina bukan dengan abang.”
“Yalah! Tapi itu saya bukannya abang. Jadi kenapa abang selalu pandang saya? Bukannya saya yang suruh diorang tu merokok! Moreover, any bad habits of people around me, it's not your business to corncen, mister!” aku mula membentak kasar apabila mulai hilang sabar dengan bicaranya yang memeningkan aku.
“Kajian ada mengatakan antara perokok dengan orang yang terdedah kepada asap rokok, orang yang terdedah kepada asap rokok itu berpotensi yang sama seperti si perokok untuk mendapat kanser. Abang selalu nampak Rina tutup hidung bila kawan-kawan Rina merokok di depan Rina. Abang tahu Rina tak suka dengan suasana tu. malah kadang-kadang abang nampak Rina macam tersiksa menahan perasaan. Tentu ada sebab mengapa Rina memaksa diri untuk berkawan dengan mereka. Betulkan?” soalnya dengan kepelikkan tingkah laku ku selama dilihatnya.
“Hei! Hei! Siapa cakap saya berpura-pura? Ahli nujum mana yang kata macam tu?” aku lantas menafikan apa yang dikatakan Adam Zaffran itu. “Lagipun masakan sebab diorang tu merokok saya dah tak boleh kawan langsung dengan diorang?” tambah ku dengan nada kasar.
“Takde ahli nujum yang kata begitu tapi Allah berikan kita akal untuk menilai. Kadang-kala sesetengah perkara kita akan kenal dengan sekali pandang sahaja. Abang tahu sebab kadang-kadang pada diri kita, mulut ni lebih banyak berbohong berbanding bahasa tubuh kita. Dengan orang lain kita boleh menipu tetapi tidak pada hati kita sendiri. Jadi tanya diri semula. Suka tak dengan apa yang ada di sekeliling Rina sekarang?”
Aku lantas tergelak mendengar bicaranya. Tawa yang ku buat-buat untuk menolak andaiannya itu. “Pandainya baca reaksi orang? Abang ni pakar psikologi ke?” aku mengejeknya lagi. Tercabar benar aku dengan telahannya itu.
Adam Zaffran tersenyum sedikit. Langsung tidak terkesan rasa marah atau sakit hati dengan sikap biadap ku kepadanya. “Kita tak perlukan ijazah dari mana-mana universiti untuk memahami reaksi sebenar seseorang. Bukankah manusia ini dikatakan sebagai ciptaan Allah yang paling sempurna. Kerana Allah mencipta manusia berserta dengan akal dan hati. Berbeza dengan makhluk lain. Abang tahu Rina tak gembira dengan semua tu. Dunia mereka bukan untuk Rina. Kenapa nak berpura-pura di hadapan mereka?”
“Siapa kata saya berpura-pura? Saya gembira dengan mereka selama ni. Abang mana tahu saya ni berpura-pura atau tak. Abang bukannya pernah bercakap dengan saya sebelum ni. You don’t know me at all!” tekan ku enggan membenarkan dia terus menafsir diri ku mengikut firasatnya.
Adam Zaffran tersenyum lagi namun seperti yang dia katakan tadi bahasa senyumannya itu mengatakan dia sedikitpun tidak mempercayai apa yang aku katakan kepadanya.
“Apa yang menyebabkan abang rasa saya ni berpura-pura dengan mereka?” kali ini aku pula menduganya. Sengaja mahu melihat apa jenis kepandaian yang dia ada sehingga boleh membaca diri orang lain.
“Abang tahu.. cuba tanya diri Rina sendiri pernahkah sekali dalam diri Rina merasakan dunia ini begitu asing kepada Rina?”
“Abang ni memang suka jawab soalan orang dengan soalan ya? Abang ni memang jenis suka memeningkan kepala orang lain? Jugde orang macam ni, kerja part time atau full time abang?” perli ku tajam. Semakin teruji kesabaran ku apabila dia tidak memberikan jawapan yang aku mahukan.
“Jawab dulu soalan abang. Nanti abang akan jelaskan apa maksud soalan abang tadi. Abang takkan tanya semua ni hanya untuk membuat Rina semakin seronok meninggi suara pada abang,” ujar Adam Zaffran serius sambil memandang ku.
“Saya tak tahu perasaan jenis apa yang abang maksudkan tu..” aku menjawab mudah. Ego lagi untuk membiarkan dia menang.
“Itu jawapan yang paling jujur yang Rina boleh bagi pada abang?”
“Yalah!” sambut ku pantas.
“Abang tak percaya. Rina sebenarnya cuba mengelak dari menjawab soalan abang dengan jujur. Betulkan?” duganya sinis. Matanya terus meratah reaksi ku dengan senyuman santainya.
“Okay! Ya, memang kadang-kala saya rasa hidup saya ni membosankan...”
“Hidup terasa kosong dan tidak berseri. Kadang-kala hati resah tidak menentu dan fikiran kusut tanpa sebab. Murung dan sering merasa nak pergi jauh ke tempat yang boleh memberi ketenangan dan aman tanpa sebarang masalah. Duit ada, segalanya cukup tapi hati tetap tak bahagia. Bukan setakat itu sahaja. Jiwa resah dan memberontak dengan keadaan di sekeliling, suka marah-marah orang lain tanpa sebab, betulkan?” dia terus memintas kata-kata ku sebelum sempat aku menghabiskannya.
Aku benar-benar terpaku memandangnya dalam pada terkumpal-kumpal mencari kata-kata yang dapat menyangkal telahannya namun aku tidak berupaya. Saat itu aku tertanya-tanya siapakah gerangan lelaki muda ini yang pandai membaca pemikiran orang lain? Bagaimana dia tahu semua ini?
“Sekarang abang jawab soalan Rina tadi. Tak susah untuk abang tahu yang Rina berpura-pura dengan mereka selama ini kerana selalunya abang perhatikan bila Rina bersama dengan budak-budak yang berlagak serupa lelaki tu, Rina seakan tenggelam dalam dunia sendiri. Mereka semua sama tapi Rina hanya sendirian di situ yang berbeza. Mereka merokok tapi Rina tak. Mereka ketawa gembira tapi Rina hanya tersenyum. Mereka berbual tapi Rina hanya mendengar. Rina takde di situ. Tempat Rina di tempat lain dan abang rasa Rina sebenarnya sedang tersesat. Untuk pengetahuan Rina apabila kita berada dalam situasi sekeliling yang menggembirakan tetapi hati tidak mampu gembira, itu tandanya hati kita ada masalah. Mungkin hati sedang menghidapi penyakit yang melibatkan masalah kerohanian. Semuanya jelas di hadapan mata abang. Wajah Rina sering memberitahu apa yang ada di hati Rina dan sesiapa pun sebenarnya akan dapat membacanya yang Rina bagaikan terpaksa berada di antara mereka. Kali kedua abang nampak Rina di tempat yang sama abang memang teringin nak mendekati Rina. Abang nak tahu apa yang membuatkan Rina ada di situ. Apa yang membuatkan Rina sanggup bersembunyi dan berpura-pura menjadi orang lain? Abang nak tahu mengapa? Sebab tu Rina selalu nampak abang sebab abang sentiasa mencari peluang untuk dekati Rina. Hanya kali ini bila abang nampak Rina sendirian barulah abang dekati Rina.”
“Kenapa nak dekati saya? Buat apa abang nak membazir masa untuk ambil tahu tentang saya?” aku menyoalnya kerana aku masih tidak jelas dengan niat sebenarnya.
“Sebab abang rasa Rina perlukan seseorang yang boleh tolong Rina.”
Aku memandangnya dengan mata yang mengecil. “Tolong apanya? Siapa yang minta tolong? Saya okay!” mendengar bicaranya, emosiku mendadak naik dengan suara yang meninggi. Sengaja enggan mengakui kelemahan diri ku di hadapannya. Jatuhlah maruah ku jika aku benarkan itu terjadi.
“Benarkah? Hati Rina tak meronta-ronta meminta segala persoalan dalam diri Rina berjawab?” dia menyoal ku dengan pandangan mata yang bersinar tajam. “Kata-kata yang kita luahkan memang boleh menipu orang sekeliling kita tetapi bagaimana pula dengan perasaan kita sendiri? Tapi kadang-kadang kata-kata pun tak mampu mengaburi pandangan mata hati orang lain pada kita. Bila keinginan hati tak seiring dengan perbuatan itulah yang kita namakan pura-pura,” Adam Zaffran menambah lagi.
“Oh! Sekarang abang tahu isi hati saya pulak? Tadi abang baca fikiran saya, perwatakan saya dan sekarang isi hati saya pun abang tahu? Lebih dasyat lagi abang tahu pa yang hati saya mahu dan apa yang hati saya tak mahu. Macam tu?” aku menyoalnya dengan nada berang. Entah kenapa aku amat marah kepada lelaki ini kerana dia bagaikan sudah menggali sebahagian rahsia hidup ku dan aku tidak suka diri ku dinilai oleh lelaki asing.
“Rina boleh tipu abang tapi tidak dengan diri Rina. Semakin banyak masa yang Rina bazirkan semakin banyak kerugian yang akan Rina dapat nanti. Ingatlah firman Allah dalam surah AL-Arsh ayat 1 hingga 3 yang ada mengatakan sesungguhnya demi masa manusia itu dalam kerugian. Kecuali bagi orang yang beriman, yang berwasiat dan berpesan-pesan dalam kebaikan penuh kesabaran. Rina tak boleh selamanya membiarkan masa itu berlalu begitu sahaja tanpa merubah hidup Rina. Masa yang ada Allah berikan pada kita dengan percuma tidak berhak kita gunakan untuk ke jalan yang salah. Berjalan berlanggang lenggok di atas pentas peragaan dengan baju yang membuka aurat itu adalah salah, Rina. Berdosa! Sedarlah kewajipan wanita adalah menutupi auratnya. Carilah kerja yang boleh memberi keberkatan kepada apa yang kita makan. Berkerja dengan menayangkan tubuh badan di hadapan lelaki-lelaki yang bukan muhrim itu bukan kerja yang baik. Rezeki yang didapati juga tidak berkat. Benda yang tidak elok masuk ke dalam tubuh kita akan mempengaruhi diri kita dan hati. Itu yang membuatkan kadang-kadang manusia ni ada duit banyak tapi jiwa tetap tak bahagia.”
Aku memandang Adam Zaffran dengan pandangan yang amarah. Pandai-pandai pula lelaki ini mahu menasihati aku. Awal pertemuan tadi dia bertanya apakah aku berkerja. Seolah-olah dia tidak tahu apa-apa tentang diri ku. Tetapi kini dia mengatakan yang dia tahu apa pekerjaan yang aku lakukan.
“Terima kasihlah atas nasihat abang tu. Saya hargai segala teguran abang tu tapi maaflah, saya tak percaya pada orang asing apatah lagi lelaki. Lelaki ni manusia yang tak boleh dipercayai! Jadi janganlah abang nak nilaikan saya sesuka hati abang sebab abang tak tahu apa-apa pun tentang diri saya. You know nothing about me! So berhentilah perhatikan saya selepas ini!” dengan tegas aku menjawab kepadanya.
“Jadi perkenalkan diri Rina pada abang. Abang sentiasa menunggu saat itu.” Enggan kalah perdebatan ini, Adam Zaffran membalas pantas. Ada sedikit cabaran dalam suaranya itu.
“Saya tak berminat nak kenalkan diri saya pada sesiapa pun. Tolong jangan ikut saya lagi sebab saya ni tak suka lelaki. Saya bencikan lelaki. Kalau abang rasa abang ni lelaki, tolong jangan dekati saya lagi. Fahamkan?” balas ku semakin kasar kepadanya.
“Apa masalahnya dengan lelaki?” Adam Zaffran tidak mahu mengalah. Dia langsung tidak mengerti dengan bicara ku itu. “Allah tak mencipta lelaki untuk dibenci oleh kaum Hawa..” sambung Adam Zaffran lagi.
“Jangan sibuk hal oranglah! Saya tak kacau abang jadi abang jangan kacau saya. Kalau nak jadi kaunselor pergilah rumah orang gila atau mana-mana tempat yang bersesuaian. Sini bukan tempatnya!”

Tanpa menunggu dia membalas kata-kata ku, aku terus bangun dan meninggalkannya di situ. Kali ini aku memilih untuk pulang sahaja ke rumah kerana aku sudah kehilangan minat untuk terus berada di situ lagi.