Jumaat, 22 September 2017

ENGKAU KESUMATKU BAB 28

BAB 28
MEMANG benar. Bukan senang untuk mendekati Aqmal setelah dia begitu mudah menyingkirkan lelaki itu dari hidupnya. Hidup serba tidak kena. Begitulah Lamia. Aqmal begitu mudah mengelak darinya. Berjiran tiada ertinya dia mudah mendekati lelaki itu. Sama sekali tidak.
Sudahnya dia jadi pengintip tegar pula. Awal pagi itu dia lihat Aqmal masuk ke dalam kereta sambil berbual di talian. Bukan main gembira lagi Aqmal. Hari Sabtu begini Aqmal tidak berkerja. Jadi dia sibuk nak tahu ke mana Aqmal pergi sementelah dia melihat Aqmal tidak mengenakan pakaian untuk ke pejabat.
Lamia pun mulalah mengekori dengan keretanya. Tetapi puas mengekori, Aqmal rupanya hanya ke pejabat sahaja. Lamia nekad untuk menunggu. Rela duduk di dalam kereta selama berjam-jam sehingga dia mula kebosanan. Kerja sebagai spy sememangnya tidak sesuai untuknya.
Jam 11 pagi kelihatan kelibat Aqmal keluar dari lobi bangunan Bank Negara. Di sebelahnya ada seorang perempuan. Buntang luas mata Lamia melihat wanita itu masuk ke dalam kereta Aqmal. Seterusnya Aqmal memandu pergi.
“Dia ada perempuan lain rupanya!” desis Lamia dengan mata membulat. Terus sahaja dia menghidupkan enjin untuk mengekori. Tetapi di pertengahan jalan, bayang kereta Aqmal hilang dari pandangan matanya. Sudahnya Lamia sesat entah di mana.
Hampa. Berderai air mata Lamia saat memandu pulang ke rumah. Barulah dia tahu rasanya bila diri diduakan. Sakitnya tidak tertahan. Sudahnya dia ke rumah ibunya. Ingin diadukan rasa hampa dan lukanya ini.
Naela ketawa pula saat mendengar luahan anaknya itu.
“Kenapa ibu ketawa ni? Apa yang lucu? Ibu tak kesiankan Mia pun!”
“Padanlah dengan muka Mia sendiri. ni namanya kifarah. Bila kita sakitkan hati orang, akan ada balasannya.”
Lamia mencebik hampa. Ingatkan dapatlah meminta simpati. Dipadankan pula dengan mukanya.
“Belum apa-apa Mia dah syak yang bukan-bukan. Entah-entah itu kawan dia tak?” ujar Naela lagi.
“Selama ni Abang Aqmal tak pernah bawa perempuan naik kereta dia.”
“Mana Mia tahu? Mia dah lama tinggalkan dia,” jawab Naela biasa. Lamia diam pula.
“Mia, bertanya dulu pada Aqmal. Jangan jatuhkan hukuman membuta tuli.”
“Macam mana nak tanya? Dia bukannya nak jumpa Mia pun. Jahat sangat Mia ni,” jawab Lamia rendah.
“Sabarlah. Bukan mudah untuk kita ambil hati orang yang dah kita lukakan, Mia.”
“Mia tahu Mia dah buat salah. Tapi takkanlah macam ni sekali dia layan Mia? Tiap-tiap hari Mia tertunggu-tunggu dia balik. Kadang-kadang dia tak balik. Entah di mana dia tidur,” luah Lamia lagi.
“Mungkin Aqmal ada rumah lain.”
“Tak mungkin! Mia tahu berapa banyak gaji dia. Mia tahu dia mampu beli rumah ke tidak.”
“Mia rasa lepas arwah abah dia meninggal, Aqmal masih macam dulu? Berdikit-dikit hidup untuk penuhi semua keperluan Mia? Dia tak berganti baju tak apa asalkan dapat belikan Mia buku rujukan. Mia mampu beli rumah sampai dua tiga buah tapi Mia lebih rela susahkan Aqmal hanya untuk buku rujukan,” leter Naela.
Lamia terdiam pula. Tunduk merenung hujung jemari kakinya. Tersedar akan khilafnya semula. Bukan sedikit silapnya kepada Aqmal.
“Baru diuji dengan susah sikit, Mia dah mengalah macam ni. Bertahun-tahun dia berkorban untuk Mia, dia sabar. Mia tinggalkan dia pun dia tetap sabar. Mia, ibu tahu... susah untuk Mia lepaskan Aqmal sebab semenjak dulu dia senang untuk dipergunakan. Dia buat apa saja untuk Mia sebab sayang. Ibu tahu tu.”
“Mia tak dapat nak buktikan keikhlasan hati Mia kalau dia tak berikan Mia peluang, bu.”
“Itu bayarannya, Mia. Berbeza sebelum dan selepas Mia lukai hati orang. Mia kena terima hakikat tu.”
Lamia menekup wajahnya sambil menggeleng berkali-kali. Sukar untuk menerima hakikat jika benar Aqmal ada pilihan lain.
“Mia tak boleh terima kalau betul Abang Aqmal cintakan orang lain, bu. Mia nak dia jadi hak Mia seorang saja! Apa yang patut Mia buat, bu? Dia tak mahu bercakap dengan Mia,” keluh Lamia lantas meletakkan kepalanya di atas paha Naela.
“Mia tak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Jangan beranggapan melulu,” jawab Naela sambil mengusap rambut Lamia. Lamia diam sambil matanya terkerdip-kerdip beberapa kali. Fikirannya selalu terbayangkan Aqmal.
“Mia, pertahankanlah apa yang Mia mahukan. Insya-Allah, Aqmal akan kembali semula kepada Mia. Mata mampu menipu. Tetapi hati kita tidak, Mia. Jangan lekas putus asa begini.”
“Terima kasih, bu.” Lamia mencapai tangan Naela. Jemari ibu kesayangannya itu dikucupnya tanda terima kasih dan sayang.
Petang itu Lamia pulang ke rumahnya. Namun hampa hatinya melihat kereta Aqmal masih tiada di ruangan porch. Ke mana Aqmal pergi? adakah Aqmal pergi berhibur dengan wanita itu? Hatinya terlalu mendambakan jawapan.
Sehingga ke malam dia berlegar di ruang tamu rumahnya. Mengintai di cermin pintu gelangsar. Hanya setelah jam menunju ke angka 11 barulah kelibat kereta Aqmal kelihatan. Lamia segera keluar dari rumahnya.
“Abang...”
Aqmal yang sedang membuka pintu pagar segera menoleh. Terlihat Lamia mendekatinya. Aqmal kembali memandang mangga pada selak pintu pagar yang masih terbuka.
“Ada apa?” tanya Aqmal setelah Lamia berada dekat dengannya.
“Abang pergi mana?”
Aqmal menegakkan tubuhnya sebelum dia memusingkan tubuhnya menghadap Lamia.
“Abang ada hal di luar. Ada apa, Mia?” soalan tadi diulangi lagi oleh Aqmal.
“Mia tunggu abang balik...”
“Kenapa tunggu? Siapa suruh tunggu?” balas Aqmal tanpa menunggu Lamia berkata lebih lanjut lagi.
“Abang dah bencikan Mia?”
“Apa jenis soalanlah ni.” Aqmal menggeleng sambil mendekati keretanya semula. Lamia meminggir, membiarkan Aqmal memindahkan kereta masuk ke kawasan rumah. Lamia ikut masuk.
“Abang, janganlah layan Mia macam ni. Mia dah cuba perbaiki kesilapan Mia. Apa yang abang nak Mia buat lagi?” luah Lamia setelah lelaki itu keluar dari kereta.
Aqmal diam tanpa menjawab. Barang-barang dari dalam keretanya diambil lalu diletakkan di atas bumbung keretanya. Lamia terkebil-kebil memandang gelagat Aqmal. Ingin saja dia bertanya tentang wanita itu. Tetapi dia takut jawapannya akan menyakiti hatinya lagi.
“Abang, cakaplah sesuatu dengan Mia.”
“Untuk apa?” balas Aqmal sebelum barang-barang yang sudah disusun tadi dikautnya. Sedia untuk dibawa masuk bersamanya.
“Mia nak tahu apa yang ada dalam hati abang.”
“Mia lupa abang ni siapa? Abang ni anak pak long. Abang ni salah seorang yang menyebabkan hidup Mia susah selama ni,” jawab Aqmal.
“Mia dah buat salah, abang. Mia tak sepatutnya cakap dengan abang macam tu.”
Aqmal ketawa kecil. Namun hatinya pedih. “Apa yang sepatutnya Mia cakap dan apa yang sepatutnya Mia buat, itu dua perkara yang abang harapkan semenjak dulu. Tapi Mia larikan diri. Abang terkapai-kapai sendiri. Sehari rasa macam setahun. Ah... nak buat apa abang sebut semua ni? Bukan ke itu matlamat Mia? Mia nak hidup abang hancur.”
Lamia terdiam mendengar bicara suaminya.
“Baliklah. Abang ada banyak kerja nak buat selain dari bercakap tentang ini.”
“Soal kita dah tak penting lagi ke untuk abang?”
“Ya,” jawab Aqmal perlahan.
“Kalau betul abang dah bencikan Mia, kenapa abang tak lepaskan aja Mia? Jangan buat Mia macam ni!” tekan Lamia mula terasa sebak dengan bicara Aqmal.
“Mia nak begitu ke? Betul?” balas Aqmal bersungguh.
Lamia berpaling serta merta. Dia terasa ingin meraung sahaja. Aqmal di hadapannya ini sudah jauh berubah. Laju kakinya berjalan untuk kembali ke rumah.
Aqmal hanya memandang sebelum dia menggeleng sendiri. dia tahu Lamia menangis. Tetapi dia tidak ingin pergi memujuknya. Cukuplah selama tiga tahun ini dia memujuk hatinya sendiri.

NEKAD! Sekali itu Lamia terlihat Aqmal singgah di rumah. Keretanya dipakirkan di luar rumah semata. Lamia ternampak wanita yang sama berada di dalam kereta Aqmal. Aqmal keluar semula dari rumah tidak sampai lima minit kemudian dan memandu pergi.
Lamia menjejaki kereta Aqmal dari belakang. Hatinya benar-benar sakit. Jika benar Aqmal mencintai wanita itu, dia rela dilepaskan Aqmal. Ketika keretanya sudah berada dekat dengan kereta Aqmal, Lamia membunyikan hon sekuat-kuat tidak.
Aqmal terkejut lantas menoleh ke sebelah kanannya. Terkedu dia melihat kereta Lamia sedang bersaing dengan keretanya. Malah Lamia menghimpit keretanya membuatkan dia hampir terbabas ke tepi. Aqmal akhirnya memberhentikan keretanya. 
“Siapa tu?”
Aqmal menghela nafas perlahan sambil menarik brek tangan. “Isteri saya.”
“Wife you?” terbeliak mata Fazira mendengar itu. Terpandangkan seorang perempuan terburu-buru keluar dari kereta lalu mendekati tempat duduk Aqmal. Cermin kereta itu diketuknya ganas!
“Gangsternya wife you...”
“Jangan keluar,” ucap Aqmal perlahan sebelum dia membuka pintu kereta. Tetapi Fariza juga ikut keluar mahu mendengar pertelagahan dua manusia itu.
“Kau!!!” Naik hantu Lamia sebaik sahaja ternampak perempuan itu. Tidak jadi mahu menyerang Aqmal dia sibuk mahu pergi menyerang Fariza pula. Kelam kabut Aqmal mengekori isterinya itu.
“Eh! Eh! Apa ni??? Mal, tolonggg!!!” tidak sempat Aqmal menahan, jemari Lamia lebih lancang menarik rambut Fariza.
“Mia!!!” marah Aqmal lantas menarik isterinya menjauhi Fariza.
“Siapa perempuan tu ha? Dah banyak kali Mia nampak dia naik kereta abang!!!”
“Dia bos abang!!!” tekan Aqmal lantas cuba menjauhkan isterinya dari Fariza.
“Bos tak bos! Tak tahu malu keluar dengan suami orang. Kau tak ada kereta sendiri ke kena tumpang laki orang???” terjerit-jerit Lamia memuntahkan kemarahannya.
“Cukup!!!” tengking Aqmal. Tubuh isterinya digegarnya kuat. Lamia terus terpaku memandang Aqmal. Tidak pernah suaminya sekasar ini dengannya.
“Abang marah Mia demi perempuan tu?”
“Kita dah lama berpisah. Mia yang tinggalkan abang. Mia ingat lagi? Abang cari Mia, tapi Mia dengan lelaki lain!!! Mia ingat abang ni patung ke???” marah Aqmal. Tubuh Lamia longlai tiba-tiba.
“Dia cuma kawan Mia.”
“Fariza bos abang, Mia. Mia memalukan abang.”
“Abang keluar dengan dia banyak kali. Jangan tipu Mia!!!” jerit Lamia lantas menangis. Dia mahu memeluk Aqmal tetapi lelaki itu lebih cepat meleraikan pelukannya.
“Cukuplah. Jangan bersandiwara lagi. Abang dah pulangkan apa yang Mia nakkan. Apa lagi Mia nak dari abang???” bentak Aqmal dengan jegilan mata kepada isterinya itu.
“Mia nak abang! Kenapa abang tak faham!!!”
“Mia nak abang? Cakap sekali lagi???” Aqmal ketawa sinis.
“Mia hanya sudi datang pada abang lepas semua yang Mia nak Mia dah dapat. Abang ni hanya boneka aja pada Mia. Demi kehendak diri Mia, Mia sanggup lukai hati abang. Abang tak akan mampu lupakan semua itu, Mia!”
“Mia minta maaf, abang.” Tersedu-sedu Lamia menangis. Setiap kali dia mahu menyentuh wajah Aqmal, lelaki itu pasti mengelak.
Melihat Lamia menangis, Aqmal segera melepaskan pegangannya.
“Pergi balik!” ucap Aqmal, sedikit mengendur nadanya.
“Mia tak mahu abang pergi dengan perempuan lain!”
“Dia bos abang. Abang kena hantar dia balik ke pejabat! Abang tak suka Mia buat macam ni!” tekan Aqmal kembali keras nadanya.
“Ceraikan Mia kalau betul abang dah tak sayang Mia lagi! Tapi jangan seksa Mia macam ni. Abang tahu Mia tunggu abang hari-hari. Sampai hati abang layan Mia macam ni!” jerit Lamia dalam tangisan sayunya.
Aqmal diam merenung gelagat isterinya. Ikutkan hatinya Lamia memang sudah ditengkingnya. Tetapi dia tidak sampai hati.
“Pergi balik. Kita bincang nanti,” ucap Aqmal perlahan. Isterinya itu dibawa semula ke keretanya.
“Jangan pergi pada dia. Mia tak mahu abang sayang orang lain selain dari Mia. Abang, tolonglah...” rayu Lamia saat Aqmal sibuk menariknya ke kereta.
“Dia bos abang. Mia faham ke tidak ni??? Mia nak abang tinggal dia tepi jalan ni???” ucap Aqmal dalam nada tertahan.
“Mia sayangkan abang. Hanya abang seorang yang pernah ada dalam hati Mia.”
“Bohong!” ucap Aqmal pantas.
“Kenapa abang tak percaya? Mia tak pernah duakan abang. Mia tak pernah lupakan abang.”
“Cinta tu tak ada maknanya bila Mia lebih utamakan kehendak hati Mia. Mia ada cita-cita. Cita-cita Mia tinggi. Abang ni hanya penghalang segala apa yang Mia hendakkan. Kenapa menyesal? Mia dah buat keputusan dulu. Mia tak peduli apa yang abang rasa. Mia kembali semula ke sini setelah apa saja yang Mia nak, berjaya Mia kecapi. Sayangnya, hati abang ni dah hancur, Mia!” balas Aqmal bersungguh.
Lamia menekup wajahnya sambil menggeleng berkali-kali. Bicara Aqmal itu, biarpun benar... ibarat belati mencincang hatinya.
“Mia salah. Waktu tu Mia tak cukup berani untuk mengaku kesalahan Mia, abang. Maafkan Mia,” ucap Lamia sambil tersedu-sedu menangis. Lelaki itu cuba disentuhnya. Namun Aqmal memilih untuk berundur setapak dari Lamia.
“Jujurlah pada diri Mia sendiri. Kalau abang yang tinggalkan Mia, kalau abang yang lakukan kesalahan tu... boleh Mia maafkan abang dan terima abang semula?” ucap Aqmal sedikit tajam nadanya.
Lamia terdiam sambil menekup mulutnya. Air matanya terus murah tanpa dapat ditahan lagi.
“Beritahulah... kalau abang yang tinggalkan Mia, adakah Mia akan maafkan abang?”
Lamia tidak dapat menjawab pertanyaan itu.
“Datang pada abang bila Mia dah ada jawapan yang jujur. Sekarang pergilah balik. Abang ada banyak urusan penting sekarang,” ucap Aqmal lantas menolak isterinya masuk ke dalam kereta.
Seterusnya Aqmal kembali semula ke keretanya. Fariza masih setia berdiri di antara pintu yang terbuka sambil memandang Aqmal dan Lamia.
“Saya minta maaf atas apa yang dia buat tadi,” ucap Aqmal lantas masuk ke dalam kereta.

Wanita itu hanya diam. Tidak berani mahu bertanya Aqmal dalam keadaan riak wajah lelaki itu ketat semacam. Aqmal terus memandu keretanya pergi dengan segala macam kekusutan di benaknya. 

ENGKAU KESUMATKU BAB 27

BAB 27
AWAL pagi itu Aqmal ingin ke tempat kerja seperti biasa. Pintu pagar dibuka kuncinya. Namun ketika dia sedang terbongkok-bongkok di hadapan pintu pagar itu, dia ternampak kelibat Lamia di hadapan pintu pagar rumahnya.
Aqmal terpaku. Lamia sedang menyengih sambil melambai kepadanya.
“Astaghfirullah...” keluh Aqmal perlahan. Namun dia terus membuka luas pintu pagarnya untuk segera berlalu.
Setelah kereta dikeluarkan, Aqmal kembali untuk mengunci pintu pagar. Saat dia berpaling, terlihat Lamia sedang berjalan ke arahnya. Aqmal berdiri memandang gelagat wanita itu.
“Abang, tolong Mia. Kereta tak boleh hidup,” ujar Lamia penuh dengan nada manis dan manja.
Aqmal menghela nafas perlahan. Tanpa mematikan enjin keretanya, dia segera menuju ke rumah Lamia.
“Mia tinggal kat sini sekarang,” ujar Lamia saat berjalan di belakang Aqmal.
‘Tak tanya pun...’ jawab Aqmal sekadar dalam hati.
Bukan main laju Lamia mengejar langkah suaminya. Bukan main bergaya dia hari ini. Dengan kemeja putih agak mengikut bentuk tubuh dan skirt separas lutut ketat dan kasut bertumit halus, bersolek pula lain macam tebalnya. Dengan harapan Aqmal tergoda. Tapi lelaki itu macam tidak sudi memandangnya. Kecewa!
Aqmal cuba menghidupkan enjin kereta itu. Tetapi memang tidak boleh. Bonet segera dibuka. Pertama yang lihat, wayar pada bateri telah dicabut. Macam sengaja dicabut. Aqmal kembali memasangkan wayer itu kepada bateri.
“Start...”
Lamia segera menekan butang untuk menghidupkan enjin. Dan enjin terus menyala.
“Wayar bateri tu jangan dicabut lain kali,” ujar Aqmal sambil menurunkan semula penutup bonet. Lamia segera mencapai tisu dari dalam kereta.
“Mana ada Mia usik,” jawab Lamia lantas mendekati suaminya. Tetapi Aqmal terus menjauhi Lamia. Haruman yang dikenakan Lamia begitu pekat seolah-olah sengaja mahu menggoda naluri lelakinya.
“Tangan abang tu kotor,” ucap Lamia. Aqmal memandang tangannya spontan. Tidaklah kotor. Dalam pada itu jemari lelaki itu sudah dicapai Lamia. Hujung jari Aqmal dilap dengan tisu. Aqmal terpaku dengan kelembutan sentuhan Lamia pada jemarinya. Saat terpandangkan wajah Lamia, wanita itu turut membalas pandangannya. Cahaya pada bola mata yang hitam pekat itu memang menggoda.
Namun Aqmal segera tersedar sesuatu. Perempuan ini sememangnya cukup-cukup pandai menggunakan kelemahannya. Pandai bersandiwara. Bijak memanipulasi orang sekelilingnya. Dan satu hakikat yang amat penting, Lamia tidak pernah mencintainya selama ini. Jemarinya lekas-lekas ditarik dari Lamia. Wanita itu dijauhinya tanpa kata.
“Abang...” panggil Lamia. Aqmal hanya menoleh tanpa menyahut.
“Terima kasih,” ucap Lamia lembut.
Aqmal segera mengangguk dan berpaling untuk ke keretanya.
“Malam ni kita dinner sama, boleh tak?” pelawaan itu segera dilontarkan Lamia sebelum Aqmal menjauh. Namun Aqmal hanya menonong pergi ke arah keretanya tanpa melayan ajakan itu.
Lamia terpaku sambil mengertap bibir. Sedih. Dia rasa seperti hendak menangis sahaja melihat Aqmal tidak mempedulikannya. Terlalu dingin seolah-olah sudah benci kepadanya. Sudahnya Lamia hanya terkebil-kebil memandang Aqmal memandu pergi keretanya.
“Buat tak tahu aja dengan kita!” desis Lamia sambil dia berpaling ke arah keretanya.
Bertugas sebagai akauntan di sebuah syarikat broker saham. Kecantikan Lamia memanglah sangat mudah menarik perhatian kumbang lain.
“Hai...” sapa seorang lelaki di dalam lif.
Lamia hanya memandang. Sengihan itu entah kenapa membikin rasa meluat.
“You baru kat sini ke? Tak pernah nampak?”
“Hmm... baru dua minggu kat sini.” Lamia menjawab acuh tak acuh. Setelah lif terbuka Lamia segera keluar. Lelaki itu sempat menahan pintu lif.
“Boleh I dapatkan nombor you?”
Lamia menoleh semula. Spontan dia mengangkat jemarinya.
“Apa maksudnya tu?” lelaki itu ketawa kecil. Dia terlihat ada cincin di jari manis yang sengaja diusik oleh ibu jari Lamia.
“Sorry. Anak dah lima. Dalam perut ni ada lagi seorang...” jawab Lamia selamba sebelum dia kembali berjalan untuk ke pejabatnya.
Terkedu lelaki itu mendengar bicara Lamia. “Kut ya pun tak mahu layan, tak payahlah nak bohong aku kata anak lima bagai,” keluh lelaki itu hampa. Isteri orang rupanya! Melepas lagi!

PETANG itu Lamia lekas-lekas pulang ke rumah. Dek kerana tempat kerjanya dekat, perjalanan ke rumah amatlah singkat. Sampai di rumah, mulalah dia berhempas pulas berperang di dapur. Dia tahu Aqmal akan pulang sekitar jam 9 malam. Setiap hari begitu.
Menjelang waktu yang dinanti, dia mula berdiri di sebalik pintu gelangsar. Mengintai ke rumah Aqmal penuh setia. Menunggu lelaki itu pulang. Jam 9 sepuluh minit malam, kelibat kereta Aqmal pun tiba.
Lamia bergegas naik ke atas. Wajahnya dihias sebaik-baiknya. Pakaian ditukar kepada yang seksi-seksi. Kemudian dia berlari turun ke bawah. Mangkuk berisi pai ayam kegemaran Aqmal dibawa ke pintu.
Penuh lenggok lemah gemalai sebagai kaum wanita yang tidak berdaya, dia menghampiri rumah Aqmal.
“Assalamualaikum... abang... abang...” laung Lamia dari luar rumah. seketika kemudian dia terpandangkan seseorang menyelak langsir pintu gelangsar.
Aqmal menghela nafas perlahan melihat kelibat Lamia di hadapan pintu pagar. Mahu tidak mahu dia keluar juga.
“Abang dah makan? Mia bawakan pai ayam kegemaran abang ni.”
“Abang dah makan.”
Berubah wajah Lamia. Sentap! Sampai hati Aqmal jawab begitu. Sekurang-kurangnya jawablah belum untuk menjaga hatinya. Susah payah dia memasak.
“Abang tak sudi ke makanan yang Mia masakkan ni?”
Aqmal mengeluh sendirian mendengar nada rendah seolah-olah sedang berjauh hati itu. Sudahnya dia menghulurkan tangan untuk mengambil mangkuk itu.
“Tak ajak ke Mia masuk?”
“Dah malam. Abang penat ni, Mia.”
“Sampainya hati?”
“Mia masih sudi ke nak jejak rumah yang Mia pernah tinggalkan dulu?” ujar Aqmal separuh memerli. Lamia terdiam mendengar jawapan yang tidak disangka itu.
“Pergilah balik. Abang nak rehat.”
“Abang, Mia nak temankan abang makan. Biarlah Mia masuk.”
Aqmal menoleh semula kepada perempuan itu. “Abang dah biasa makan seorang diri.”
“Abang, Mia minta maaf atas segala yang berlaku pada kita.”
“Abang penat ni, Mia. Jangan sebut pasal tu semua. Abang tak nak dengar lagi.”
“Abang tak mahu maafkan Mia?”
“Abang maafkan Mia. Tapi abang pun sedar, hidup Mia, hak itu ada pada tangan Mia. Bila-bila masa Mia mahu, Mia akan datang. Bila rasa tak mahu, Mia akan pergi. Tak kisahlah apa yang akan jadi pada orang lain.”
Lamia terdiam mendengar bicara Aqmal. Lelaki itu berpaling untuk masuk ke dalam rumah. Namun Lamia tetap pegun di situ. Tidak juga berganjak untuk pulang. Dua kali Aqmal menyelak langsir pintu gelangsar, Lamia masih ada di situ.
“Apa dia nak lagi?” bisik Aqmal. Resah. Bukannya dia tidak tahu akal perempuan seorang itu. Tidak susah mengikatnya kepada Lamia. Lamia hanya perlu menggodanya sehingga dia meniduri Lamia. Sedangkan itulah yang paling tidak diingininya.
Melihat Lamia masih berada di hadapan rumahnya, Aqmal keluar juga. Dia lihat Lamia menangis.
“Apa lagi yang Mia harapkan dari abang? Pergilah pada hidup Mia. Mia dah buang abang lama dulu,” ucap Aqmal setelah berada di pintu pagar.
“Mia cuba harap abang akan beri Mia peluang untuk perbaiki kesilapan Mia.”
Aqmal ketawa kecil sambil menggeleng. “Susah untuk abang terima setelah abang tahu perempuan yang abang sayang hanya mempergunakan kelemahan abang untuk kepentingan diri dia sendiri. Tanpa abang pun Mia bahagia dengan lelaki lain. jadi, untuk apa semua ni lagi?”
“Mia minta maaf, abang.”
“Abang maafkan Mia. Cuma pergilah balik. Abang tak akan buka pintu ni untuk bawa Mia masuk ke dalam hidup abang semula.”
“Tak akan tak ada peluang lagi untuk Mia?”
“Mia sayangkan abang selama ni?” tanya Aqmal lantas ketawa kecil. Lamia tunduk.
“Tipulah kalau tiba-tiba Mia kembali semula ke sini dan meminta untuk kembali semula abang kerana sayangkan abang. Abang tak mahu lelaki yang tak ada maruah lagi, Mia. Abang pun ada perasaan. Pergilah balik.”
“Abang...” Lamia memaut pintu pagar di hadapannya itu. Aqmal berlalu ke pintu rumahnya. Lamia tersedu menahan duka di hatinya melihat ketidaksudian lelaki itu untuk menerimanya semula.

Dia sesal. Kerana suatu masa dahulu, lelaki itulah yang paling banyak menyayangi dirinya. 

Khamis, 21 September 2017

ENGKAU KESUMATKU BAB 26

BAB 26
MASA tetap akan terus berlalu tidak menunggu sesiapa. Biar sejauh mana manusia itu terperuk di dalam kelukaannya, masa tetap tidak akan duduk bersamanya.
“Ibu...”
Naela memandang lama raut sang anak di hadapan matanya. Hampa hatinya. Terlalu hampa. Namun kerana sayang dia tidak tega untuk terus menghukum Lamia.
“Masuklah...” ucap Naela lantas berpaling semula untuk masuk.
Lamia memandang persekitaran rumah itu. Masih tidak jauh berbeza biarpun sudah tiga tahun dia tidak menjejaki rumah ini.
“Bila Mia balik?” tanya Naela sambil dia melabuhkan duduk di sofa.
“Semalam,” jawab Lamia lantas mendekati wanita itu. Lamia duduk di hujung kaki Naela. Jemari Naela dicapainya lalu dikucupnya. Air matanya jatuh ke pipi saat mengucupi tangan Naela. Naela hanya keras bungkam walaupun dadanya sesak oleh rasa sedih dengan dugaan hidup semenjak kebelakangan ini.
“Kenapa Mia menangis? Ibu ingat setelah apa yang Mia buat, Mia akan pulang dalam keadaan gembira,” ujar Naela saat dia memandang susuk anak itu.
Lamia tidak menjawab pertanyaan itu. air matanya dikesat dengan hujung jarinya.
“Mia, sungguh ibu tak tahu siapa sebenarnya yang berada di hadapan ibu sekarang. Ibu didik Mia dengan agama. Tetapi inilah yang ibu dapat. Bertahun berlalu, ibu tak mampu padamkan setiap persoalan yang ada dalam fikiran ibu ni. Mengapa, Mia? Mengapa Mia sampai hati buat begini???”
“Mia cuma nak hak Mia semula, bu.” Lamia menjawab rendah. Pandangannya tidak mampu diangkat kepada Naela.
“Beginikah caranya Mia dapat hak Mia? Gembirakah Mia sekarang? Mia sakiti hati Aqmal sedangkan dia begitu setia sayangkan Mia. Takkan tak ada sedikit pun belas kasihan Mia pada dia? Apa salah dia pada Mia???” tekan Naela.
Lamia diam. Dia tahu dia telah mengecewakan Naela. Dia sedar dia telah mencemarkan nama baik Naela dengan perbuatannya.
“Lepas Aqmal balik dari London dulu, dia beritahu ibu yang Mia ada orang lain. Naif benar kamu sehingga tak tahu hukum hakam, Mia. Naif benar kamu!” marah Naela lagi.
“Tak ada orang yang mengerti apa yang Mia rasa selama ni.”
“Allah mengerti, Mia. Ibu tahu, hak kamu tidak boleh ditidakkan. Ya, ibu memang faham benar. Tetapi cubalah buka mata pandang sekeliling. Memang kita susah dulu. Tapi kerana sabar akhirnya Allah gantikan kekurangan hidup kita dengan kegembiraan yang lain. Kamu ada suami yang ikhlas sayangkan kamu. Kamu ada duit. Kita bukannya miskin benar! Sentiasa ada Allah berikan rezeki. Apa lagi yang kamu nakkan? Takkan tak ada biar secebis pun erti syukur dalam jiwa kamu tu?” ucap Naela membuatkan Lamia tunduk tidak menjawab.
“Biar seteruk mana ujian yang kita lalui dulu, ibu tak pernah ajar kamu membalas dendam kepada lelaki yang menjadi tunjang kehidupan kamu! Kamu tipu dia hidup-hidup. Dia tak bersalah dalam hal itu, Lamia!”
“Mia sakit hati. Dia adik beradik hidup senang sedangkan Mia...”
“Selama ni kamu kurang kasih sayang? ibu tak pernah sayangkan kamu? Kamu minta takdir yang Allah tak berikan. Kamu tak tahu bagaimana pula putaran hidup kamu jika kamu berada di dalam keluarga Hamsan. Syukur, Mia. Syukur dengan apa yang dah tentukan oleh Allah. Itu yang terbaik untuk kamu!”
“Mia minta maaf, bu.”
“Pada ibu ke sepatutnya ucapan maaf tu?”
“Mia malu nak jumpa dia.” Lamia menjawab rendah.
Naela menghela nafas panjang. “Mia sedar sesuatu tak? Aqmal tu bermusuhan dengan arwah abah dia semata-mata kerana mahu membela nasib Mia. Tapi Mia balas sakit hati Mia pada dia. Hidup tak ketentuan sebab Mia. Beberapa bulan lepas Mia pergi, abah dia meninggal tiba-tiba. Banyak yang dia kena lalui demi Mia. Takkan secebis pengorbanan dia tak ada ertinya langsung pada Mia?”
Lamia tunduk menekup wajahnya. Sedih. Jangan disebut nama Aqmal. Dia hanya ingin menangis.
Naela menghela nafas perlahan. Tanpa kata dia bangkit untuk ke dapur. Sengaja dibiarkan Lamia memuntahkan kesedihannya di situ. Tiada apa yang dia hendakkan lagi. Dia hanya mahu Lamia berubah, kembali kepada fitrah sebagai seorang isteri.
“Mia tinggal di mana sekarang?” tanya Naela setelah dia kembali membawa air ke hadapan.
“Mia ada beli rumah di Serdang,” jawab Lamia perlahan.
“Jadi, Mia menetap di sana?”
“Tak.”
“Jadi?”
“Mia ada rumah lain lagi di SS 14.”
Naela terdiam pula. Berapa banyak rumah Lamia ada?
“Jadi di Serdang tu siapa duduk?”
“Penyewa.”
“Mia sewa rumah lain di SS 14 tu?”
“Tak. Mia beli kondo.”
Tersandar Naela mendengar itu. Berapa banyak rumah yang dimiliki Lamia sebenarnya? Banyak betul duit Lamia.
“Sebelum Mia balik sini, Mia ada hubungi Mike. Dia pun marah dengan Mia tapi dia sudi tolong Mia dapatkan rumah yang dekat dengan tempat kerja Mia.”
“Mia dah dapat kerja?”
“Err... belum.”
“Jadi, mana Mia tahu rumah tu dekat dengan tempat kerja?”
Lamia terdiam pula. Tersilap cakap sebenarnya. Tapi nak cakap hal yang sebenar, dia malu!
“Dekat dengan tempat kerja atau dekat dengan rumah Aqmal?” teka Naela dengan pandangan ekor mata. Lamia memandang Naela. Terkebil-kebil tanpa menjawab ya atau tidak.
“Mia kena minta maaf dengan Aqmal. Jangan rasa Mia tak salah dalam hal ni. Ada suami yang sabar begitu, hargailah. Jangan buat sesuka hati sebab sabar dia ada batasnya, Mia. Jangan Mia sesal kemudian nanti sudahlah. Atau Mia dah ada pilihan lain?”
Lamia cepat menggeleng. “Ibu, lelaki yang Abang Aqmal nampak tu bukannya kekasih Mia.”
“Panggil baby bagai, bukan kekasih?”
“Dia memang panggil semua perempuan macam tu. Bukan Mia seorang aja.”
“Jadi, Mia pun ajak semua lelaki masuk ke dalam rumah. Sebab apa? Budaya di luar negara memang begitu? Sebab berada di luar negara, Mia rasa Mia pun kena ikut cara orang sana walaupun itu mengundang kemurkaan Allah?”
Lamia terdiam diperli ibunya. Tiada jawapan untuk menegakkan benang yang basah.
“Ibu mahu Mia berubah. Kalau Mia rasa rumahtangga Mia masih ada harganya, berubahlah. Aqmal tu suami Mia. Layaklah dia berasa marah kalau Mia berkelakuan melebihi batasan.”
“Mia akan berubah, bu.” Lamia menjawab perlahan.
“Baguslah. Buatlah apa saja untuk raih semula kepercayaan dia pada Mia. Hargai apa yang kita ada, Mia. Kerana Allah tak akan selalu beri apa yang kita nak dengan mudah,” nasihat Naela lagi.
“Mia minta maaf, bu. Mia rindukan ibu.” Lamia lantas memeluk Naela. Erat sekali.
“Ibu maafkan Mia.” Biarpun marah, kasih sayangnya kepada Lamia tidak pernah berkurang biar sedikit pun. Marahnya kerana sayang. Hanya mahu Lamia mengikut jalan yang benar.

SUDAH lebih sebulan pulang ke Malaysia. Pagi itu dia mendapat satu panggilan kerja dari M&A Sdn Bhd setelah beberapa kali dia menghadiri temuduga di beberapa syarikat kewangan. Untung sabutnya timbul. Syarikat itu pejabatnya di Mid Valley, teramatlah dekat dari rumahnya. Namun kegembiraan Lamia tidak lama setelah dia terbaca mesej balasan dari Aqmal setelah dia mengajak untuk berjumpa.
‘Nak bincang pasal cerai? Topik lain abang tak mahu bincang. Not intrested.’
Sentap! Dia terasa seperti mahu histeria saja rasanya setelah membaca mesej itu. Semenjak dia pulang, belum sekali dia dapat bertemu Aqmal. Entah apa badinya, setiap kali dia menanti di hadapan rumah Aqmal, lelaki itu pastinya tidak pulang ke rumah. Entah ke mana perginya.
“Mike, aku tak mahu duduk rumah ni.”
“Kenapa pulak? Kau tak selesa di situ?” tanya Mike dari hujung talian. 
“Ha’ah... aku tak selesa. Kau boleh tak carikan aku rumah dekat dengan rumah Aqmal?”
Tiba-tiba meledak tawa Mike di hujung talian. Sudah dapat diteka apa sebenarnya yang merumitkan Lamia.
“Apasal kau gelak ni?”
“Tak ada apa. Aku cuma lucu dengan kau ni. Rumah kau tu cuma 1 km aja dari rumah Aqmal. Itu masih jauh? Kau tahu betapa susahnya nak dapatkan rumah kau tu dengan harga tu?” bebel Mike. Rumah itu didapatinya dari lelongan bank. Agak murah dari harga sebuah kondominium baru dalam keadaan rumah itu masih elok seperti baru.
“Aku tak nampak dia. Aku tak jumpa dia, Mike! Pasal harga aku tak kisah. Aku bayar berapa aja yang kau nak!” tegas Lamia.
“Kau dah mesej dia?”
“Dah. Dia tak jawab pun, Mike. Aku sedih ni. Dia tak layan aku. Kau tolonglah aku.”
“Yalah. Yalah. Nanti aku contact kawan aku.”
“Tolonglah aku, Mike. Kau kan sayang aku?”
“Kau tu yang tak sayang aku. Kau tak pernah pedulikan aku waktu kau di UK.”
“Aku dah minta maaf, kan? Kalau aku cakap dengan kau, mestilah kau pergi bocorkan rahsia aku pada Aqmal. Sebab tu aku tak cakap. Aku minta maaflah,” ucap Lamia rendah.
“Yalah. Beri aku masa. Aku cuba contact ejen di kawasan kau.”
Setia sebagai sahabat. Mike pergi juga ke kawasan rumah teres yang didiami Aqmal. Namun cerlang matanya sebaik sahaja ternampak banner kecil di hadapan pintu pagar rumah bersebelahan dengan jiran di hadapan rumah Aqmal. Mike segera memberhentikan keretanya di situ. Rumah itu sebelum ini sedang dalam lelongan bank juga. Dia pernah bertanyakan kepada bank tetapi harga permulaannya agak mahal. Mungkin kini sudah dibeli orang.
Mike segera mengeluarkan telefon dari poket seluar. Nombor yang tertera segera didail. Seorang lelaki menjawab. Mereka berbual dalam bahasa Mandarin. Namun usai itu, Mike mematikan enjin.
Ejen itu berjanji akan tiba di situ dalam masa sepuluh minit lagi. Jadi dia memilih untuk menunggu. Dapatlah dia melihat keadaan dalam rumah itu. Sebaik sahaja tiba seorang lelaki di situ, mereka segera berjabat tangan. Mike memberitahu sahabat baiknya yang ingin menyewa di situ akan tiba sekejap lagi.
Sambil mengelilingi rumah itu dan menanti Lamia, mereka berbual tentang urusan sewaan. Harga sewaan RM 1100 agak mahal untuk yang tinggal bersendirian seperti Lamia. Namun Lamia segera bersetuju sebaik sahaja diberitahu tentang itu. Tidak mahu fikir panjang lagi. Terus ditulis cek lalu diberikan kepada ejen itu sebagai bayaran muka.
“Kau tak kisah pasal sewa?”
“Rumah yang ada aku akan sewakan,” jawab Lamia. Dia sudah nekad.
“Kau buat macam ni sebab Aqmal.”
“Dia sakitkan hati aku. aku ajak jumpa, dia jawab apa kau tahu? Dia tak mahu bincang soal lain selain cerai. Dia tak berminat!”
Mike hanya ketawa kecil. “Kau yang sakitkan hati dia. Waktu dia tergila-gilakan kau, kau buat sesuka hati pada dia.”
“Kau pun nak salahkan aku?”
“Semua orang ada perasaan, Mia.”
Lamia diam pula. Ya. Dia memang kejam kerana menyakiti setiap orang yang dekat dengannya demi dendam itu.
“Bila kau nak bersihkan rumah ni? Hari ni aku free.”
“Sekaranglah. Kita pergi beli barang dulu. aku masuk kerja Isnin ni. takut tak sempat nak selesaikan urusan pindah rumah.”
“Hmm... cinta punya pasal. Sanggup pindah rumah berkali-kali. Memang cinta sejati betullah,” keluh Mike sambil menggeleng sendiri.
“Kau janganlah perli-perli aku.”
Mike ketawa semata. “Jomlah cepat.”

Lamia mengekori Mike dengan hati yang amat girang. Jika Aqmal tidak sudi mahu memandang wajahnya, maka dia memilih untuk berjiran saja dengan Aqmal. Biar setiap hari Aqmal terpaksa memandang mukanya! 

ENGKAU KESUMATKU BAB 25

BAB 25
MENUNGAN Aqmal menjauh. Terlalu banyak yang telah melanda hidupnya ini. Semua bercampur baur dalam fikirannya. Berkisarkan wang 630 ribu itu. Masih tidak ada jawapan biarpun puas difikirkan apa yang tersirat di sebalik tindakan abahnya.
Aqmal memandang ke langit yang berhias bintang. Terbayangkan Lamia. Di mana dia kini?
“Abang...”
Aqmal menoleh ke belakang. Adik perempuannya datang kepadanya lalu duduk di salah satu kerusi kosong.
“Abang menung apa?”
“Tak ada apa,” jawab Aqmal perlahan.
“Mak suruh buka kedai esok.”
Aqmal hanya diam mendengar bicara Marissa.
“Kalau Mar tanya sesuatu boleh tak?”
“Apa dia?”
“Mana Kak Mia sekarang?”
“Entahlah. Abang pun tak tahu,” jawab Aqmal dengan keluhan kecil.
“Jadi macam mana abang nak bayar duit tu?”
“Abang boleh masukkan aja ke dalam akaun dia. Tapi abang nak jumpa dia, Mar.”
“Abang dengan Kak Mia berpisah sebab abah, kan? Sebab duit tu.”
“Mana Mar tahu?”
“Mar agak aja,” jawab Marissa perlahan. Dia terdengar bicara Encik Razali itu sebelum ini. Terutama sekali tentang wang 630 ribu itu agak aneh. Mengapa perlu diberikan wang itu segera?
“Kalau abah berhutang dengan Kak Mia, mengapa baru sekarang abah nak beri?” ujar Marissa pula.
“Entahlah, Mia. Abang pun tak faham.” Cuma dia mampu mengagak sesuatu dari cerita Encik Razali. Encik Razali meminta sedikit wang diletakkan di ruangan hutang itu biarpun tiada hutang. Memudahkan waris sekiranya ada hutang yang tidak disedari. Tiba-tiba sahaja abah mereka menulis angka itu untuk diserahkan kepadanya.
Yang menghairankan, jika arwah abahnya memang berniat untuk membayar kepada Lamia, mengapa meletakkan nama Aqmal sebagai penerima wang itu? Puas difikirkan jawapannya. Tetapi tiada.
“Banyak ke duit pusaka arwah Pak Usu dulu?”
“Banyak... lebih dari...” Aqmal tiba-tiba berdiam. Marissa memandang hairan abangnya itu. tiba-tiba sahaja abangnya bangkit dari duduk.
“Abang nak ke mana?”
“Ofis abah,” jawab Aqmal setelah berpaling seketika. Marissa ikut bangkit lantas mengekori abangnya.
Di dalam kamar itu, Aqmal menyelongkar semula dokumen yang pernah diberikan olehnya kepada ayahnya dahulu. Kemudian dia mengambil kalkulator. Segala angka yang tertera di atas kertas itu dijumlahkan lalu dibahagi dua. Jumlah yang tertera di angka itu adalah 862.5 ribu. Bermakna, Lamia tidak lagi berhak menuntut hutang itu dari abahnya! Kerana itulah wang itu dinamakan ke atas namanya.
Jumlah itu hanya sedikit melebihi dari jumlah yang diterima oleh Lamia dari syarikat insurans dahulu, yang mana wang itu tidak dibahagikan mengikut faraid.
“Kenapa, bang? Ceritalah. Mar nak tahu,” desak Marissa yang masih keliru.
“Ni semua penyata duit pampasan arwah pak usu lepas kematian dia. abah terima pampasan lebih dari sejuta. Kemudian yang bahagian ni Kak Mia terima dari syarikat insurans. Duit tu dia tak pernah bahagikan dengan abah. Nilainya hampir sama dengan duit yang sepatutnya abah pulangkan pada dia.”
Marissa merenung setiap helaian yang ditunjukkan Aqmal. Lama sekali semua helaian itu dibacanya untuk memahami.
“Yang ni, Kak Mia terima semua. Yang lain tu baru abah yang terima. Jumlah semuanya bila dibahagi dua, nilainya 862 ribu. Tapi jumlah ni sebenarnya belum termasuk rumah arwah Pak Usu yang abah jual dulu,” jelas Aqmal.
“Tak fahamlah bab ni semua. Pening kepala, Mar.” Marissa akhirnya menolak semua helaian kertas itu. Soal peninggalan ayahnya, dia ikut sahaja apa yang ditentukan. Malas hendak bergaduh kerana semua itu. Memanglah dia tidak cemburu, kerana dia anak perempuan seorang. Bahagiannya sudah memadai untuk dirinya seorang. Syamel masih sekolah. Tidak masuk ke dalam fikirannya tentang semua itu.
“Abang kena cari Kak Mia untuk selesaikan masalah lama tu.”
“Ada masalah yang lebih besar dari itu?”
“Nafkah.”
Marissa terdiam memandang abangnya. Ya. Setahunya abahnya tidak pernah menjaga Lamia selama ini. Sedangkan tanggungjawab itu dipikul oleh abah mereka.
Aqmal bersandar di kerusi itu sambil menghela nafas perlahan.
“Mar macam mana? Apa perancangan Mar lepas ni? Mar pun dah habis study?”
“Entahlah. Mar belum rancang apa-apa.”
“Apa kata kalau Mar jaga pasar mini abah tu?” ujar Aqmal pula.
“Abang?”
“Abang ada kehidupan di KL, Mar. Apa yang abah berikan pada kita, kita terima ajalah dengan lapang dada. Abang tak mahu kita bertelagah kerana harta dunia yang tak mampu bawa kita bawa mati.” Aqmal membalas perlahan.
Marissa diam mendengar bicara abangnya. Namun kemudian dia kembali memandang Aqmal. “Abang nak cari Kak Mia macam mana?”
“Entah. Abang pun tak tahu, Mar. Abang belum dapat fikir. Nantilah. Tunggu sehari dua lagi,” jawab Aqmal perlahan. Sebetulnya Mike dan Naela tidak tahu ke mana menghilangnya Lamia. Tetapi dia yakin Lamia tidak akan selamanya dapat bersembunyi dari Mike atau Naela.
“Abang, Mar masuk tidur dulu ya?” pinta Marissa. Aqmal hanya mengangguk.
Bersendirian menungannya kian menjauh. Siapa lagi yang dikenangkan kalau bukan Lamia. Hati terus berharap akan bertemu Lamia dalam masa yang terdekat ini. Sungguh dia rindu untuk melihat semula isterinya itu. Setiap hari menanti moga-moga Lamia sudi menghubunginya. Tetapi dia kian hampa.
Aqmal menghela nafas perlahan. Dia ingin tabah untuk melalui kekecewaan hatinya ini. Tetapi betapa sakitnya mengharap kepada yang tidak sudi. Dia ingin membenci. Tetapi hati ingin terus menyayangi. Tiadakah ruang lagi untuk mereka bersatu. Jika benar begitu, dia mohon... tunjukkanlah petanda itu.

BOROUGH Tube Station, London.
“Sorry, bro. Lambat.” Termengah-mengah lelaki itu saat berdiri di hadapan Aqmal.
Aqmal tersenyum sambil merenung temannya itu. setelah mengeluarkan dua tangannya dari poket jaketnya, dia mendakap temannya itu. Faham dengan tugas sebagai pelajar. Terkejar-kejar.
“Kau apa khabar?” tanya Aqmal sambil memegang dua bahu Yusri.
“Aku macam nilah. Macam mimpi tengok kau kat sini,” jawab Yusri lantas ketawa kecil. Sudah bertahun-tahun tidak bertemu bekas rakan sekuliahnya. Rindu dengan suasana dulu ketika mereka sama-sama di Manchester.
“Makan dulu jom?” ajak Yusri dalam nada ceria.
“Okay.”
Dua lelaki itu berjalan meninggalkan kawasan hadapan stesyen tren bawah tanah itu. hanya berjalan kaki.
“Aku bawa kau pergi satu restoran Turki ni. Dekat sikit kita nak pergi ke tempat yang kau nak pergi tu,” ujar Yusri. Aqmal sekadar mengangguk. Matanya sibuk memerhatikan sekeliling.  
Restoran Tas yang menghidangkan makanan Turki itu lengang sama sekali saat mereka masuk. Sambutan pelayan sangat baik.
“Kau bila nak balik?” tanya Aqmal setelah selesai membuat pesanan.
“Entah. Tak balik kut,” ujar Yusri lantas ketawa kecil. Dia sudah terbiasa di sini. Sayang mahu meninggalkan negara ini.
“Orang tua kau tak bising?”
“Tak. aku buat pilihan untuk diri aku sendiri, Mal. Selagi aku tak menyusahkan orang tua aku, diaorang okay aje,” jawab Yusri perlahan. Aqmal mengangguk lantas memandang ke arah cermin di sisi mereka. Memerhatikan penduduk kota berjalan kaki di kaki lima kedai.
“Siapa yang kau cari tu sebenarnya, Mal?”
“Isteri aku...” ujar Aqmal perlahan.
Wajah Yusri berubah sedikit. “Oh...”
“Kalau aku tahu dia ada dekat dengan kau, dah lama aku contact kau,” ujar Aqmal tanpa memandang Yusri.
“Kau tak pernah cakap dengan aku yang dia isteri kau?”
Aqmal kembali memandang Yusri. Diam. Soalan itu hanya dibiarkan tanpa jawapan.
“Aku selalu jumpa dia. Tak pernahlah tegur. Tapi memang selalu terserempak dengan dia sebelum ni,” ujar Yusri lagi. Sempat memandang ke sisinya. Seorang pelayan datang menghidangkan teh buat mereka.
Aqmal diam lagi. Sepi seketika meja itu dalam pada Aqmal memikirkan bagaimana dia mendapat tahu Lamia sedang menuntut di London South Bank University. Dia terjumpa akaun FB milik seseorang bernama L. Sabiya. Dia yakin itu Lamia berdasarkan beberapa keping gambar. Biarpun Lamia sengaja mengaburkan wajahnya agar tidak dikenali, dia amat kenal dengan susuk dan fesyen pakaian yang digemari Lamia.
Lalu dia bertanya kepada kawan-kawan lama yang masih ada di United Kingdom. Kebetulan salah seorang sahabat lamanya memberitahu Yusri sedang melanjutkan pengajian di universiti yang sama.
“Kau dengan dia ada masalah ke?” tanya Yusri perlahan.
“Dia tinggalkan aku. Ada kisah lama yang buat kami jadi begini,” jawab Aqmal dengan keluhan perlahan. Yusri diam sambil merenung wajah Aqmal. Kemudian kepala digaru perlahan.
“Kalau aku beritahu kau sesuatu, kau jangan terkejut.”
“Apa?”
“Dia rapat dengan seorang lelaki. Budak sini. Aku tak tahulah diaorang cuma kawan ke apa. Tetapi aku selalu nampak dia dengan lelaki tu.”
Wajah Aqmal berubah sedikit.
“Aku beritahu aja. Takut kau terkejut nanti.”
“Tak apa. Aku faham. Aku dengan dia dah lama terpisah,” jawab Aqmal perlahan. Biarpun hatinya pedih, dia tahu semua itu harus diketepikan dahulu buat masa ini.
“Kau betul-betul tak tahu di mana dia berada selama ni?”
Aqmal hanya menggeleng dengan helaan nafas panjang. Susah untuk menepis kelukaan yang membaluti hatinya ini.
“Apa masalahnya sampai jadi begini?”
“Panjang ceritanya, Yus. Aku takut kau bosan nanti dengar kisah aku,” jawab Aqmal rendah.
Yusri tidak bertanya lagi. Dia tahu itu jawapan untuk mengelak dia dari terus bertanya. Aqmal membuang pandang ke luar sana. Fikirannya jauh merantau mencari bayang Lamia. Setiap saat tidak pernah berhenti merindui Lamia.
“Well, aku tak ada hak untuk masuk campur hal kau dan dia. Cuma aku harap kau selesaikan masalah kau dengan dia baik-baik,” ujar Yusri enggan lagi mencungkil kisah Aqmal dan wanita itu. Tehnya dihirup perlahan-lahan.
“Aku rindu masa dulu, Yus. Ketika kita di Manchester. Kita buat apa kita suka. Pergi ke mana kita nak. Kalaulah masa boleh diundurkan,” luah Aqmal.
“Ya? Kau selalu ikut geng-geng kita pergi travel ke? Bukan kau kaki kerja ke?” perli Yusri lantas tergelak. Aqmal ikut ketawa. Ya. Dia pernah berkerja di sebuah cafe selama tiga tahun. Dari situ dia mengumpul wang, menjana kehidupan yang baik biarpun masih belajar.
“Tapi kira okaylah. Sekarang kau ada kerja mantap.”
“Hidup aku biasa-biasa aja. Kadang kala bila difikirkan membosankan juga life aku ni. Tak ada apa yang aku buat sangat melainkan kerja... kerja dan kerja. Semenjak abah aku tak ada, aku kena jaga mak dan adik-adik aku. Hujung minggu aku balik kampung. Itu ajalah putaran hidup aku ni.”
“Sorry for you lost, bro.”
“Tak apalah. Aku dah lama reda, Yus. Dah dekat dua tahun abah aku meninggal.”
“Kau dengan dia berpisah dah berapa lama?” tanya Yusri pula.
“Dua tahun lebih dah.”
“Kau tak terfikir nak berpisah secara rasmi ke? Aku bukan nak menghasut tapi kau kat KL, dia kat sini. Susah tu,” ujar Yusri perlahan.
“Entahlah. Kalau dia nak aku ceraikan dia, dia baliklah jumpa aku,” jawab Aqmal rendah.
Usai makan, Yusri membawa ke sebuah kawasan kediaman apartment lama empat tingkat.
“Rumah dia tingkat dua nombor C-04. Aku tunggu kat bawah ajalah,” ujar Yusri sambil menepuk bahu Aqmal. Aqmal mengangguk sebelum dia memandang ke arah bangunan dekat dengannya itu.
Berdebar dadanya. Namun digagahkan juga kakinya untuk mendaki anak tangga satu persatu. Mudah sahaja mencari nombor apartment itu. Aqmal berdiri seketika di hadapan pintu sebelum diangkat tangannya untuk menekan loceng.
“Who’s that?” terdengar suara bertanya dari dalam. Aqmal segera berdiri di kawasan yang memungkinkan orang di dalam tidak dapat melihatnya kehadirannya di luar itu. beberapa detik kemudian, pintu dibuka dari dalam dan seorang perempuan menjengah sebahagian tubuhnya ke luar.
Gadis itu terpaku sebaik sahaja ternampak Aqmal. Lekas-lekas dia mengeluarkan dirinya tanpa membiarkan pintu terbuka luas. Namun Aqmal sempat terpandangkan ruang tamu rumah itu. sepasang kaki berkasut lelaki kelihatan di pandangan matanya sambil melunjur kaki di atas meja kopi.
“Abang?”
Aqmal diam memandang Lamia. Entah bagaimana pandangannya berubah menjadi bening. Kosong.
“Mia apa khabar?”
“Baik. Macam mana abang tahu Mia kat sini?” tanya Lamia yang masih kaget dengan kehadiran lelaki itu.
“Baby, who is that?” terpa seorang lelaki setelah pintu ditarik dari dalam.
“Shut up! Get inside, Steve!” bentak Lamia. Lelaki itu terkejut melihat Aqmal. Jegilan mata Lamia segera difahami.
“Sorry for interrupting.” Dan lelaki itu masuk semula ke dalam tanpa memperkenalkan diri kepada Aqmal.
Aqmal tunduk sambil menghela nafas panjang. Kemudian pandangan diangkat semula kepada Lamia. “Siapa lelaki tu?”
Lamia menelan liur tanpa dapat menjawabnya. Kelu lidahnya.
“Mia dah nekad buat begini. Tak terfikir untuk jaga maruah diri Mia sebagai isteri?”
“Dia cuma kawan Mia.”
Aqmal membuang pandang. Hampa hatinya tidak terkata. Seterusnya dia menyeluk poket jaketnya. Sekeping sampul surat dikeluarkan. Dipandang seketika permukaan sampul itu. Dada terasa mahu pecah oleh rasa sedih. Ketika dia membuat keputusan untuk datang ke sini, dia pernah berharap agar hubungan mereka dapat dipulihkan. Tetapi rupanya memang benar memang Lamia sudah lama meninggalkan cinta sucinya. Tiada lagi ertinya lagi.
“Abang minta maaf kerana terpaksa ambil masa yang lama untuk pulangkan hak Mia yang ada pada abah selama ni. Abang datang demi ni. Ambillah. Ni yang Mia tagihkan selama ni,” ujar Aqmal lantas menyerahkan sampul itu kepada Lamia.
Terketar-ketar tangan Lamia saat mengambil sampul itu. Isi kandungannya dikeluarkan. Dia terpandangkan sekeping cek bernilai 630 ribu tertera di atas namanya.
“Abang minta Mia halalkan segala kekurangan abah. Arwah abah tak pernah jaga Mia waktu Mia kecil dulu. Abang akui itu kesilapan abah. Abang pulangkan hak Mia dan abang minta maaf bagi pihak abah atas segala salah silap dia pada Mia.”
“Arwah?” Lamia jelas terkejut mendengar itu.
“Mia tak tahu sebab tak pernah hubungi sesiapa di Malaysia. Arwah abah dah setahun tujuh bulan tinggalkan kita. Sebab tu abang dapat duit ni,” ujar Aqmal perlahan.
Lamia terkaku mendengar itu. Tidak tahu apa yang hendak diucapkan dek kerana terkejut dengan berita itu.
“Bagaimana kehidupan Mia di sini?”
“Baik-baik aja.”
“Lebih baik tanpa abang?”
“Maafkan Mia. Ada sesuatu yang Mia inginkan untuk hidup Mia, abang.”
“Abang memang tak pernah ada dalam impian Mia, kan? Selama ini Mia pergi sekali pun Mia tak pernah hubungi abang.”
Lamia terdiam lantas menunduk.
“Tak apalah. Abang akan terima kenyataan ni, Mia. Cuma abang nak Mia ingat, abang seorang lelaki yang ada maruah dan ada perasaan. Biar sejauh mana Mia larikan diri suatu hari nanti Mia tetap perlu kembali untuk bertemu abang. Jangan sesekali Mia lupa, talak di tangan abang. Dan Mia tak akan dapat semula hidup Mia sehinggalah Mia bertemu sendiri dengan abang. Ucapkan sendiri yang Mia mahu abang lepaskan Mia.”
Lamia terkebil-kebil memandang wajah Aqmal.
“Tak apalah. Abang tak berniat nak menganggu hidup Mia.”
“Abang, Mia minta maaf.”
Aqmal hanya diam. Tanpa kata-kata lagi dia berlalu dari situ.
“Ke mana abang lepas ni?” tanya Lamia setelah beberapa langkah Aqmal berlalu. Aqmal menoleh semula.
“Balik. Tiada apa lagi yang perlu abang tunggu di sini,” ucap Aqmal perlahan.
Lamia tersandar di dinding belakangnya. Beberapa ketika dia hanya kaku memandang cek di tangannya itu. Namun cek itu diramasnya lalu dicampaknya entah ke mana. Dia berlari ke arah tangga. Laju anak-anak tangga itu dituruninya.
Dia terpandangkan dua lelaki berjalan kian menjauh. Lamia kembali mengejar.
“Abang...” jerit Lamia sambil berlari. Yusri menoleh ke belakang. Cuba mencuit Aqmal yang masih berjalan. Namun Aqmal tidak menoleh.
“Bro...” panggil Yusri. Namun Aqmal tetap berjalan menjauhi kawasan itu tanpa menunggu Yusri atau sesiapa saja yang memanggilnya.
“Abang...” langkah Lamia terhenti tidak jauh dari Yusri. Dia kepenatan mengejar sedangkan lelaki itu kian jauh darinya.
“Abang...” air mata Lamia jatuh di pipi saat memandang bayang Aqmal yang kian jauh.
Yusri terpaku memandang Lamia. Tidak tahu apa harus dibuatnya. Sudahnya dia kembali meneruskan langkah untuk menyertai sahabatnya tanpa mempedulikan wanita itu sedang menangis di situ.

“Abang, jangan pergi...” Dan akhirnya Lamia jatuh terduduk di laluan pejalan kaki.