Oktober
2003 (Aku di tingkatan enam atas)
“Intan!!!”
pekikan emak menyentak dan menganggu tumpuan ku. Aku lantas memandang ke arah pintu bilik yang
ternganga luas. Sebuah keluhan terkeluar dari mulut ku apabila siren emak sudah
kedengaran lantang.
Tidak
lama kemudian tampang emak kelihatan di mata ku. “Apa kau buat memerap aja
dalam bilik ni?” nada suara emak kedengaran kasar menyoal aku dari ambang pintu
bilik kecil ku ini.
“Intan
tengah study, mak..” aku sekadar
menjawab hambar kerana sebahagian daripada semangat bagaikan hilang dek kerana
kelantangan suara emak. Terasa terganggu lagi waktu belajar ku dengan kehadiran
suara emak yang kasar itu.
“Tengokkan
adik-adik ni kejap. Aku nak ke kedai..” perintah emak kepada ku yang masih
tercangak-cangak di meja kecil itu.
“Yalah..”
akur dengan arahannya aku lantas menutup buku prinsip akaun yang sedang
terbentang di hadapan ku itu. Perintah emak lekas dituruti dengan rasa sabar.
Adik-adik ku Isha dan Elmina di ruang tamu segera aku dekati sementelah bayang
emak sudah tidak kelihatan lagi di bilik itu. Mungkin emak sudah pun berlalu ke
kedai seperti yang dikatakannya sebentar tadi.
Aku
menemani adik-adik ku yang sedang bermain di ruang tamu itu. Daripada setengah
jam mula menjadi berjam-jam emak menghilang ke kedai. Aku pula selagi emak ku
itu tidak pulang dari kedai aku akan terus setia di situ melayan adik-adik yang
masih kecil jika tidak mahu sebarang masalah melanda ku nanti. Bukannya aku
tidak tahu baran emak jika aku gagal melunaskan kerja yang diarahkan seperti
yang dimahukan emak. Adik ku Farisya berusia lapan tahun asyik menonton
rancangan tv sementara Elmina baru tiga tahun membelek anak patung di tangannya
itu. Adik lelaki ku, Fariz yang muda setahun daripada Qistina entah ke mana
perginya. Petang-petang begini biasanya Fariz bersama dengan teman-temannya
menghabiskan masa melepak. Anak remajalah katakan! Qistina pula mungkin masih
di sekolah dengan aktiviti sukannya.
Aku
hanya memandang Elmina yang bermain dengan patung lusuh yang seiras patung
Barbie itu. Seingat aku patung itu emak membelikan Isya bertahun-tahun dahulu
di pasar malam dan kini sudah berpindah milik kepada Elmina. Kasihan Elmina
yang terpaksa menerima ‘bekas’ kakak-kakaknya.
Sedang
aku asyik memandang mereka begitu aku terdengar bunyi motor masuk ke kawasan
rumah ku itu. Aku mengagak mungkin abah sudah pulang dari kerjanya. Serta merta
jam di dinding menjadi tempat singgahan bola mata ku. Tidak sedar aku rupanya
waktu sudah mencecah hampir ke jam enam setengah petang. Sudah petang benar
nampaknya. Patutlah aku sudah terdengar bunyi motor abah kerana waktu kerja
abah ku itu sudah tamat kira-kira sejam yang lalu.
“Mak
mana, Intan?” soal abah kepada ku sebaik sahaja dia melangkah masuk ke rumah
kampung itu. Bekas makanan yang sudah kosong di tangannya itu diletakkan di
atas meja sambil abah memanjangkan leher mengintai ke dapur mencari kelibat
emak.
“Entah.
Tadi mak kata pergi kedai,” jawab ku tanpa memandang abah lama. Pandangan mata
ku kembali kepada adik-adik di hadapannya itu setelah aku memandang abah
sekilas. Sempat mata ku menangkap gelengan abah kepada jawapan ku sebentar
tadi.
“Pergi
kedai atau pergi bersembang rumah orang?” abah membalas seperti mengomel
sendirian. Mungkin dia tidak senang kerana isterinya tiada apabila dia pulang
ke rumah.
Aku
hanya mendengar sahaja omelan sang ayah. Aku tahu sangat rungutan seperti itu
memang sudah biasa ku dengari dari mulut abah ku itu namun abah hanya berani
bercakap di belakang emak sahaja. Di depan abah langsung tidak berani kerana
tidak cukup dengan kami, seluruh kampung ini tahu perangai singa betina emak ku
itu. Kalau dia sudah mengamuk gegak gempitalah kampung ini tanpa mengira segan
silu lagi. Kalau ada masalah dengan jiran habislah jiran diserangnya. Jika ada
masalah dalam rumah suaranya lantang sehingga menarik perhatian jiran tetangga
untuk bercerita mengenainya.
“Fariz
mana?” kedengaran soalan abah berkisar tentang Fariz pula.
Aku
menghela nafas perlahan. “Entah. Daripada tadi Intan tak nampak dia. Qistina
belum balik sekolah lagi..” jawab ku agak hambar. Jelas sekali ada rasa cemburu
di hati ku ini apabila sang ayah sering bertanya tentang Fariz berbanding diri
ku yang berada di hadapannya.
Abah
diam sahaja setelah mendengar jawapan ku itu. Setelah itu dia duduk di antara
antara kami di ruang tamu itu. Tanpa menukar pakaian kerjanya abah mula melayan
anak bongsunya Elmina. Elmina sememangnya manja dengan abah. Mungkin kerana dia
yang paling kecil jadi banyak keletah manjanya yang menjadi penghibur sang
ayah. Anak bongsu memang selalulah dimanja-manja.
Aku
hanya memandang sepi perbuatan abah ku itu. Seperti kebiasaannya kehadiran ku
di situ tidak begitu diberi perhatian oleh abah. Abah hanya sibuk melayan adik
ku itu. Aku hanya diam sahaja sambil memandang tiga ahli keluarga ku itu.
Sememangnya semenjak dahulu aku sudah sering ‘diketepikan’ oleh emak dan abah
ku itu. Ditambah lagi semenjak kejadian yang menimpa Arwah Syuhadah aku
bagaikan terus dibezakan oleh emak dan abah. Bukan sehari dua aku mengalami
perkara ini tetapi semenjak bertahun-tahun yang lalu. Sehinggakan aku bagaikan
sudah terbiasa dengan keadaan ini. Empat tahun ini empat tahun yang cukup
derita bagi ku. Tiada siapa yang mengerti apa yang sering mendera batin ku ini.
Tiada siapa yang bertanya apa yang menimpa diri ku ini semenjak aku menyaksikan
kejadian yang menakutkan itu. Emak tidak pernah peduli dan abah apatah lagi.
“Intan!!!”
sekali lagi kelantangan suara emak memanggil mengejutkan aku yang sedang asyik
dengan diri ku sendiri. Aku terus tersentak dengan debaran dada yang sudah
tidak sekata. Jika nada emak seperti itu bermakna adalah kesalahan aku yang
sudah dikesannya. Alamat pekaklah telinga ku ini dengan tengking herdik sang
emak yang garang itu. Entah bila masanya emak pulang aku tidak tahu. Mungkin
emak masuk dari pintu dapur.
‘Dah
balik dah...’ desis hati ku amat sebal dan bosan dengan layanan emak. Entah
kenapa setiap kali aku mendengar suara emak memanggil begitu hati ku membengkak
geram. Mengapa emak tidak memanggil dengan suara yang lebih perlahan atau lebih
lembut. Mengapa mesti terjerit-jerit begitu? Tidak sakitkah tekak emak?
“Intan....!!!!” kali ini suara emak lebih
lantang memanggil apabila aku hanya membisu tidak menjawab. Aku tersentak lagi
dalam lamunan ku.
“Mak
panggil tu, Intan. Tak dengar ke?” tegur abah yang tidak tahan dengan tahap
kelantangan suara emak. Matanya tajam memandang aku yang terbedik-bedik di
ruang tamu itu.
“Ya,
mak..” saat itu barulah aku menyahut. Lemah sekali nada ku bagaikan sudah tidak
berupaya lagi menadah siksaan batin ku dengan kelantangan suara emak.
Kebisingan emak cukup-cukup menekan perasaan ku. Ketajaman suara emak
benar-benar mendera emosi ku yang kian rapuh saban hari.
“Kau
tak masak nasi lagi ke?” soal emak sewaktu tubuh ku terjengul di dapur itu.
“Tengok dapur ni. Apa pun takde. Apa nak dimakan malam ni kalau nasi pun
takde?” emak menyambung lagi.
Aku
terkesima apabila dihambat dengan soalan-soalan itu. Barulah aku teringat yang
waktu sudah hampir maghrib. Memang selalunya sudah lazimnya aku harus memasak
nasi diwaktu ini untuk makan malam nanti tetapi dek kerana asyik termenung tadi
aku langsung terlalai. Sedikit sebanyak aku kesal dengan kealpaan ku sendiri
sehingga mengundang halilintar memanah pendengaran sendiri. Silap aku juga!
Siapa suruh aku berangan sehingga terlalai?
“Belum.
Intan masak sekarang,” aku segera akur dengan kekesalan sendiri. Terkocoh-kocoh
aku mendekati periuk nasi eletrik di sudut dapur itu untuk memasak nasi. Kesal
benar hati ku kerana kesilapan sendiri yang kemungkinan besar akan mengundang
leteran yang lebih panjang lagi.
“Ada
anak dara ramai pun tak berguna! Masak nasik pun tak boleh. Berapa banyak bapak
kau bayar aku untuk jadi hamba abdi korang? Semua kerja aku nak kena buat.
Korang sedap aja mengangkang kat depan tu macam raja!” bermula sudah sesi
‘pendidikan sivik’ untuk aku.
Aku
hanya mampu menghela nafas perlahan dan berdiam sambil menadah telinga. Kerja
tetap aku lakukan walaupun telinga ku ini bagaikan bernanah mendengar leteran
emak. Memang sakit telinga jika emak sudah mula membebel begini. Bebelannya
selalunya akan disertakan dengan kata-kata yang kesat dan memedihkan. Itu belum
lagi dikira bila memukul anak-anak. Cuma apabila aku, Qistina dan Fariz sudah
remaja begini emak jarang lagi memukul kami sebaliknya mulutnya sahaja yang
semakin lantang dengan bermacam-macam jenis caci makinya jika kami ada berbuat
salah.
Aku
menoleh apabila tertangkap kehadiran abah di ambang dapur. Lama mata ku
memandang sang ayah namun aku hanya sekadar memandang sahaja. Aku terus
membasuh beras yang sudah dimasukkan ke dalam periuk nasi sambil terus setia
menadah telinga kepada leteran emak.
“Sudahlah
tu, Nab. Dah Maghrib ni..” abah menegur agar emak mengawal suaranya kepada ku.
Mungkin abah juga lemas dengan leteran emak yang semakin memanjang walaupun
halnya hanya sedikit sahaja. Memang begitulah kebiasaan emak yang aku kenali.
Kalau sudah mula meleter leterannya akan panjang berjela-jela sehingga dia
akhirnya kepenatan berleter.
“Ni
anak dara awak ni. Duduk melangut aja tahunya. Pemalas! Esok kahwin tak tahulah
macamana rumahtangganya nanti. Entah-entah lintang pukang tak tentu hala.
Pot..pet.. pot.. pet..” emak menambah lagi leterannya yang masih tidak lengkap.
Aku
dalam menahan kesabaran terus menahan telinga dalam pada aku sibuk menyiapkan
kerja. Malu dan sakit hati bergaul menjadi satu apabila buat kesekain kalinya
aku lagi yang menjadi bahan cercaan emak. Aku rasa aku ini bagaikan pounching bag yang paling sesuai untuk
emak meluahkan kemarahannya kerana sikap ku yang lebih suka berdiam diri
apabila emak meleter.
“Assalamualaikum...”
suara Qistina kedengaran mencelah keriuhan suara emak. Pandangan mata ku terus
terarah ke arah datangnya suara itu.
“Ha!
Ni lagi satu anak dara! Main sukan aja kau tahu. Dah maghrib baru nak balik.
Daripada kau terkinja-kinja melompat sana sini main net ball kat sekolah tu baik kau duduk rumah jaga adik ni, Tina.
Lagi ada faedahnya! Bola tu bukannya boleh kenyangkan perut kau!” kali ini
leteran sang emak terhala kepada Qistina yang berada di muka pintu dapur itu.
Qistina
terpinga-pinga dengan jerkahan emak yang menerpa tiba-tiba kepadanya. Dia
sempat memandang aku yang berwajah seperti orang tertelan tungau. “Kenapa mak?”
dia menyoal emak tidak faham.
“Kenapa?
Kau dah tak reti nak balik awal? Pergi terkinja-kinja di padang sekolah sana
bila dah nak maghrib baru nak balik. Kau ingat rumah ni tak perlu nak buat
kerja? Ada berapa puluh orang gaji yang boleh masakkan makan minum kau?” emak
berkata dalam herdikan yang lantang kepada adik kedua ku itu. Kasihannya
Qistina. Dia yang tidak salah apa-apa terkena juga.
Qistina
diam sahaja namun sewaktu dia meletakkan kasutnya di tempat kasut. Wajahnya
sudah berubah. Agaknya kerana malas melayan emaknya itu, dia terus ke ruang
tamu tanpa menunggu lagi. Aku juga ikut berbuat perkara yang sama setelah nasi
selesai ku basuh dan ku tekan suisnya. Sesungguhnya tiada siapa yang mampu
melayan ngauman suara emak diwaktu maghrib begini.
“Kenapa
mak bising tu, akak?” Qistina menyoal aku ketika kami di dalam bilik. Nadanya
jelas sekali yang dia sedang bengang kerana tiba-tiba ditekan emak begitu
sedangkan dia tidak tahu apa-apa.
“Akak
terlambat masak nasi..” aku hanya menjawab biasa.
“Terlambat
masak nasi salahnya macam bos terlambat bayar gaji! Macam besar sangat salah
kita ni sampai nak dibahasakan macam tu. Tina ni balik penat-penat aja dah
kena. Bukannya dia nak tanya kita buat apa kat sekolah tu. Main sedap bercakap
aja. Hari ni Tina bukannya main net ball.
Hari ni Tina ada kelas tambahan biologi dengan cikgu Maria. Mak tu suka jerkah
kita macam tu. Dia ingat kita ni tunggul agaknya!” Qistina merungut mengenai
sikap si emak.
“Mak
memang macam tu. Nak buat macamana. Sabar ajalah..” aku hanya mampu menjawab
hambar. Bukannya aku ada kuasa untuk mengubah sikap emak kami yang begitu. Aku
sendiri paling sering dikenakan emak jika dia ada berbuat kesilapan. Bagi ku
itu semua sudah lumrah hidup ku. Selagi aku boleh bersabar, bersabar sahajalah..
“Hi!!
Kita ni macam hidup dengan Hitler. Tengoklah nanti.. Tina dapat belajar kat
asrama memang Tina pergi. Tina dah tak tahan hidup kat rumah ni lagi. Asyik
kena membebel aja. Tina balik lambat sikit dah kena. Fariz kat simpang tu masih
melepak lagi dia tak membebel pulak. Dia tu lagilah perangai mengalahkan anak
jin. Tahu makan tidur aja tak pernah bantu apa-apa kat rumah ni,” sambung
Qistina yang masih tidak berpuas hati dengan sikap emak yang amat berat
sebelah.
“Dahlah
tu. Kita mandilah. Karang kalau lambat kena lagi..” aku segera menegur adik ku
itu. Bukannya aku tidak faham dengan rungutan Qistina tetapi apalah daya ku
untuk membantu jika aku sendiri pun selalu dikenakan lebih teruk lagi.
Qistina
akur dengan kata-kata ku. Dia terus mengambil tuala dan dibelitkan di
pinggangnya. Seluar track suit yang dipakainya dilemparnya ke dalam bakul kain
kotor.
Setelah
selesai membersihkan diri adik-adik ku masing-masing sudah berkumpul di hadapan
menonton tv. Sewaktu pulang dari bilik air aku sempat memandang tv yang
menyiarkan azan maghrib namun Isya dengan pantas menukarnya ke siaran lain yang
memaparkan rancangan kartun antarabangsa. Abah juga masih berteleku di hadapan
tv tanpa mempedulikan azam maghrib itu. Malah abah ku itu masih dengan pakaian
yang sama yang dipakainya sewaktu berkerja di kilang siang tadi.
“Kita
sembahyang nak?” soal Qistina agak perlahan nadanya kepada ku.
“Bukannya
akak tak nak tapi makanan belum siap lagi. Nanti kalau lambat takut mak lagi
menyinga..” jawab ku juga agak perlahan sambil mengenakan pakaian ke tubuh ku.
Qistina hanya diam mengeluh mendengar jawapan ku. Dia juga takut perkara yang
sama. Lalu kami sama-sama akur dengan meninggalkan tuntutan yang utama itu demi
kerana takutkan emak.
Aku
dan Qistina setelah selesai mengenakan pakaian mula ke dapur bagi menyiapkan
makan malam. Setelah selesai menghidangkan lauk pauk dan nasi aku segera
meminta Qistina memanggil ahli keluarga yang lain.
“Fariz
mana? Belum balik lagi?” abah mula menyoal apabila dia mulai perasan yang ahli
keluarga kami masih kekurangan seorang lagi ahli.
“Belum.
Ada hal kat luarlah tu..” emak menyambut soalan abah biasa. Nadanya selamba
sahaja seolah-olah tiada sebarang kepelikan atau kesalahan dengan tingkah laku
anak lelakinya itu. Tidak kedengaran pula leteran emak kerana anak lelakinya
itu sudah berjam-jam tidak balik ke rumah. Malah dia langsung tidak kisah
walaupun Fariz seperti tidak kenal siang dan malam apabila sudah bergaul dengan
anak-anak yang seusia dengannya itu.
“Ni
dah maghrib. Dia tak reti nak balik ke?” abah menyoal emak lagi.
“Kejap
lagi baliklah tu. Dia buat kerja sekolah dengan kawan dia agaknya..” emak
menjawab selamba.
Abah
diam sahaja. Kami memulakan makan apabila abah selesai membaca doa. Aku seperti
kebiasaan hanya berdiam sahaja di tengah-tengah keluarga itu. Aku hanya menadah
telinga sahaja kepada perbualan emak dan abah yang sedang berkisar kepada soal
kerja abah di kilang tempatnya mencari rezeki buat kami. Seketika kemudian
kedengaran pula suara emak bercerita tentang jiran kami yang sudah membeli peti
ais baru. Cukup tajam ingatan emak sehingga emak boleh mengingati jenama dan
model peti ais yang baru dibeli oleh jiran kami itu.
Saat
mendengar cerita emak aku segera menuntaskan pandangan ku kepada peti ais milik
kami. Masih elok cumanya peti ais itu lebih rendah jika diukur dengan diri ku.
Kapasiti peti ais itu sudah tentulah tidak mampu menampung keperluan kami
sekeluarga kerana kekecilan saiz peti ais itu. Namun aku akui peti ais kecil
itu masih elok biarpun peti ais itu dibeli ketika aku berada di darjah dua. Aku
akui kemampuan abah memang tidak semana untuk memenuhi rumah kami ini dengan
pekakas rumah yang mengikut peredaran zaman.
Tetapi
ada kerunsingan yang aku rasakan apabila emak sudah mula membuka cerita
mengenai jiran yang membeli peti ais itu. Selalunya jika dia bercerita begitu
bermakna abah juga harus siap membelikan peti ais yang seperti itu. Aku memang
selalu faham dengan sikap emak yang tidak boleh melihat orang lain mempunyai
kelebihan daripada kami dalam soal material. Lebih dasyat lagi jika abah buat
pekak aja dengan keinginannya itu akibatnya emak dan abah akan bergaduh besar.
Apabila sudah tidak tahan akhirnya abah turutkan sahaja kehendak emak.
Begitulah
selalunya..
Baik
aku mahupun abah hanya diam sahaja menadah cerita emak mengenai peti ais baru
jiran itu. Aku tahu abah juga sudah cukup memahami tabiat emak itu. Jika emak
sudah mula membuka cerita begitu alamatnya terpaksalah abah menyediakan duit
untuk membeli peti ais baru untuk emak. Kemudian cerita emak berkisar kepada
hal tetangga orang lain pulak. Bermulalah kisah anak si polan yang suka
menumpang motor lelaki kemudian anak si polan yang dipaksa berkahwin oleh emak
dan ayahnya kerana telah ditangkap berdua-duaan dengan lelaki. Kemudian cerita
si polan dan si polan di tambah lagi dengan si polan yang berkahwin lagi tanpa
pengetahuan isteri...
Aku
dan Qistina berpandangan berdua. Masing-masing tersenyum sinis dengan sikap
emak yang suka mengata orang itu. Kami sudah maklum sangat dengan kegemaran
emak bercerita mengenai keburukan orang kampung itu. Seolah-olah dia tidak
sedar ada juga diantara anak-anaknya yang bermasalah. Malangnya tiada sesiapa
pun yang mampu untuk menahan emak daripada bercerita dan tiada siapa yang mampu
menegur tabiat emak itu.
Selesai
mengemas meja aku kembali ke bilik ku. Di dalam bilik itu Qistina sudah mula
membuka bukunya untuk menelaah. Aku juga lantas duduk bersebelahan dengannya,
berkongsi meja yang sama. Sememangnya antara adik beradik aku dan Qistina agak
rapat. Kami tidak kisah berkongsi bilik dan meja belajar. Mungkin kerana usia
kami juga tidak jauh berbeza dan kami sama-sama perempuan. Aku kini di
tingkatan enam atas dan Qistina di tingkatan lima.
Namun
baru sahaja aku hendak memulakan ulang kaji emak sudah melaung nama ku. Keluhan
sekali lagi terluah dari mulut ku ini.
“Apa,
mak?” aku menyambut apabila berada di ruang tamu.
“Tu.
Kerja engkau..” emak lantas menunjukkan timbunan kain baju yang perlu aku
kerjakan.
Lemah
longlai aku jadinya apabila melihat kain baju itu yang sedang menanti aku. Aku
mahu menurut arahan emak tetapi aku perlu menyiapkan esei yang diberikan oleh
Puan Sabariah. Esei itu harus dihantar kepada Puan Sabariah esok tetapi aku
masih belum menyiapkan sebahagian besar darinya.
“Esok
Intan lipat, mak. Intan ada kerja sekolah,” kata ku lembut cuba memenangi
pengertian emak. Bukannya aku malas tetapi essei itu sangat penting untuk ku.
“Esok
bila? Kau nak tunggu ada ular dalam kain baju tu baru kau nak lipat? Kau nak
semua orang dalam rumah ni pakai baju ronyok tak berlipat ke? Kau tu pun
bukannya reti balik sekolah awal,” bidas emak sengit.
Qistina
keluar dari bilik apabila mendengar kekecohan yang dibikin oleh emak. “Ada apa,
kak?” soalnya kepada ku.
“Ha,
bagus! Kau dua orang lipat kain baju tu. Kau dari petang tadi takde buat apakan
Tina? Sekarang tolong akak kau lipat baju,” terus emak mengenakan arahan itu
kepada Qistina juga.
Wajah
Qistina berubah segera. “Tina banyak kerja sekolah, mak...”
“Pergilah
buat kerja Tina. Biar akak lipat baju tu..” aku akur mengalah sahaja demi
melihat adik ku itu yang sedang terbeban dengan kerja yang diberi oleh guru.
Aku sedar pelajar kelas sains seperti Qistina memang banyak dibekalkan dengan
kerja rumah oleh guru.
“Tak
payah nak mengelak. Kau ni memang pemalaskan, Tina? Bila aku suruh kau lipat
baju ada aja alasan kau. Banyak kerjalah! Itulah! Inilah! Tadi petang masa kau
sibuk dengan net ball kau tu, kau tak ingat kerja sekolah kau banyak?” emak
dengan lantang mengenakan Qistina.
Aku
menghela nafas perlahan memandang Qistina. Jika aku punya suara di dalam rumah
ini sudah tentu aku akan membantunya. Tetapi sayang! Aku bukanlah anak
kesayangan seperti Fariz, Farisha atau Elmina. Aku hanya anak yang menyusahkan
emak selama ini. Sepatah suara aku menjawab akan mengakibatkan aku akan dihalau
keluar dari rumah ini bila-bila masa sahaja.
Qistina
akur membantu aku juga walaupun aku lihat mukanya mencuka menahan hati yang
membengkak marah. Wajahnya yang masam mencuka langsung tidak dipedulikan emak
sebaliknya aku pula yang tidak sedap hati melihatnya. Kami berdua sama-sama
merapikan timbunan baju itu. Tangan ku lincah menyudahkan kain baju itu agar
lekas siap.
“Lipat
elok-elok baju tu, Tina. Jangan main sedap kau melipat aja! Kerja cincai! Ini
namanya anak dara?” kedengaran lagi suara emak menegur hasil kerja Qistina yang
tidak kemas. Qistina mencebik di sebalik pandangan emak. Baju abah yang
dilipatnya tadi dirungkaikannya semula dengan agak kasar sebagai tanda protes.
Aku hanya mampu menggeleng sahaja melihat angin adik ku itu.
Aku
tidak tahu mengapa saat berada di dalam rumah ini hati ku tidak aman. Jika
tidak kerana aku masih bersekolah ditingkatan enam sudah lama aku keluar
mencari hidup ku. Kadang-kala aku cemburu dengan teman-teman yang lain. Mereka
juga bukanlah dilahirkan dalam keluarga yang hebat namun aku jarang melihat
mereka ditempelak oleh emak mereka setiap masa. Tidak seperti aku. Sungguh
menyiksakan kerana sikap emak ku yang suka menyinga hampir sepanjang masa.
Arwah
Syuhadah juga teman sebaya ku. Semenjak dari sekolah rendah aku mengenalinya.
Emaknya juga cukup aku kenal. Arwah Syuhadah sewaktu hidupnya dilayan baik oleh
emaknya. Aku tidak pernah mendengar emaknya memaki hamun Syuhadah. Jauh sekali
mahu memanggil Syuhadah dengan panggilan yang tidak elok.
Tetapi
mengapa emak melayan aku dan Qistina begini? Mengapa? Apa yang berbezanya aku
berbanding Fariz dan adik-adik ku yang lain? Adakah aku anak pungut? Rasanya
tidak. Aku anak kandung emak. Tetapi setiap kali emak marah tidak ada bahasa
yang sedap didengar keluar dari mulutnya. Hanya ada maki hamun dan caci cerca
sahaja seolah-olah aku ini tiada perasaan.
Masih
aku ingat empat tahun lalu sewaktu Arwah Syuhadah meninggal. Aku disoal siasat
oleh polis begitu lama di balai polis sehingga emak menyangka akulah yang
membunuh Syuhadah. Akibatnya di hadapan anggota polis aku dibantai emak.
Mujurlah abah dan beberapa anggota polis meleraikan kami. Emak tanpa usul
periksa telah memalukan aku di hadapan orang lain. Tidak terkata jerihnya
perasaan ku dengan perbuatan emak waktu itu sedangkan aku perlukan sokongan
emak untuk mengembalikan semangat yang hilang.
Aku
tidak tahu mengapa emak berbuat begitu dengan ku. Malah sehingga kini aku tetap
tidak tahu sebabnya walaupun puas aku memikirkan sebabnya. Tetapi apa yang aku
tahu semenjak kematian Arwah Syuhadah hidup ku ibarat di dalam neraka. Emak
tidak pernah mengetahui apa yang terjadi kepada ku. Malahan tidak pernah
bertanya. Emak dan abah sama sekali tidak pernah peduli. Tidak pernah!
Julai 2001 (Aku di tingkatan lima)
“Buat apa kau
nak menyibuk menyusahkan diri naik ke mahkamah tu? Takde faedah satu senpun!
Menyusahkan diri lagi ada,” lantang suara emak mempertikaikan keputusan ku.
“Mak,
Syuhadah tu kawan Intan. Takkan Intan nak biarkan macam tu aja? Intan ni saksi
besar kes tu. Intan nampak semuanya jadi Intan kena beri keterangan untuk
mendakwa Zaki tu,” tekan ku agar emak menerima pendirian ku itu.
“Tak
kisahlah kau nampak atau apa. Jangan masuk campur hal orang lain. Diorang nak
merogol ke, nak meliwat ke.. kau jangan sibuk nak dakwa-dakwa orang tu. Aku tak
mahu disebabkan perkara ni kita dengan keluarga Zaki tu bermusuhan. Orang yang
dah mati ni tetap mati walaupun kau naik mahkamah berpuluh kali pun..” semakin
lantang suara emak menegah aku daripada meneruskan apa yang mahu aku lakukan
itu.
Aku
beristighfar di dalam hati mendengar kata-kata emak itu. Angkuh sungguh emak.
Tidakkah emak tahu selain aku ada lagi yang lebih berkuasa yang mendengar
kata-kata kami. Emak bagaikan tidak berfikir langsung saat meluahkan
perasaannya. Dia hanya bercakap mengikut lidahnya yang tidak bertulang itu.
“Kenapa
pulak keluarga Zaki tu nak bermusuhan dengan kita? Intan cuma bercakap yang
benar aja, mak. Zaki tu pembunuh dan dia patut dihukum. Salah ke apa yang Intan
buat ni?” aku cuba memenangi pendirian emak dengan pujukan itu.
“Salah
tak salah itu bukan urusan kita. Diorang tu nak naik mahkamah ke apa ke
lantakkan mereka. Tak payah kita pulak nak menyibuk untuk jadi saksi pula. Tak
pasal-pasal sebabkan budak tu kita dapat musuh,” emak tetap berdegil
mempertahankan pendapatnya.
“Mak,
kalau penjahat macam Zaki tu tak didakwa tak mustahil dia akan buat pada orang
lain pulak. Mak tak takut ke?”
“Kau
jaga aja diri kau! Jangan nak masuk campur hal orang lain. Orang apa dia nak
buat itu pedulikan. Tak kena mengena dengan kita!” emak mencantas pendapat ku
dengan cukup sinis.
Aku
terdiam menelan rasa terkilan. Namun di dalam hati aku tetap mahu meneruskan
apa yang sudah aku janjikan kepada diri ku. Aku tidak akan menarik diri sebagai
saksi utama kes pembunuhan Arwah Syuhadah. Aku tidak akan membiarkan arwah
Syuhadah mati tanpa sebarang pembelaan di atas penganiayaan kepadanya.
Malam
itu aku terdengar perbualan emak yang meminta abah masuk campur dalam hal yang
kami bincangkan siang tadi. Dengan kuasa ‘veto’ emak, abah tunduk juga dengan
kata-kata emak apabila aku terdengar abah berjanji akan bercakap dengan aku
nanti.
Aku
tahu, abah memang lemah jika dengan emak. Walaupun aku berada dipihak yang
benar tetapi jika emaklah yang menjadi penghalang utamanya maka abah juga akan
tunduk kepada emak. Semuanya kerana takut emak mengamuk.
Seperti
yang aku jangkakan sewaktu aku mahu bersarapan untuk ke sekolah abah menasihati
aku supaya mendengar cakap emak. Kata abah, jangan jadi anak derhaka. Syurga di
bawah telapak kaki ibu! Aku hanya diam sahaja tetapi di dalam hati aku
memberontak dengan sikap emak dan abah. Inikah yang dipanggil derhaka? Tahukah
emak apa itu derhaka sebenarnya?
Tidak!
Emak dan abah tidak tahu apa makna derhaka sebenarnya. Kata-kata abah tiada
satu pun yang ku sambut. Apabila melihat aku berdegil abah mulai berkeras
mengugut aku. Kata abah, abah tidak akan menghantar aku ke mahkamah lagi untuk
sesi perbicaraan yang seterusnya. Semakin emak dan abah berkeras semakin itulah
aku melawan dalam diam. Aku tidak berkata sepatah pun untuk menjawab kepada
mereka.
Hari
yang sama juga selepas aku dan Qistina pulang dari sekolah kami melihat
keluarga Zaki datang lagi ke rumah kami. Semuanya kerana mahu memujuk aku agar
menarik diri dari kes itu. Apa yang paling menyebalkan aku bila emak dengan
manis mulutnya berkata yang aku tidak akan ke mahkamah lagi. Emak tiada pun
bertanya kepada ku? Saat itu aku menganggap yang emak tidak ada hak untuk
menghalang aku daripada menjadi saksi kes itu.
Emak
sanggup mengenepikan kebenaran dengan membiarkan pembunuh kejam itu terlepas
semata-mata kerana tidak mahu bermusuhan dengan jiran sekampung? Oh, tidak!
Huh! Aku tahu semua ini bukan mudah. Aku sudah bersiap sedia dari awal lagi.
Aku sudah memaklumkan pegawai pendakwa kes Syuhadah tentang masalah ku dan dia
berjanji akan membantu.
“Kenapa
emak cakap Intan tak akan pergi ke mahkamah lagi? Mak takde tanya Intan apa-apa
pun?” aku yang tidak berpuas hati lantas bertanya kepada emak setelah rombongan
keluarga pakcik Zamberi berlalu.
“Hai..
nak tanya apa lagi?? Kan abah kau kata jangan pergi?” dengan selamba emak
berkata kepada ku seolah-olah keputusan muktamad abah itu adalah keputusan ku
juga. Gaya emak saat itu amat menyakitkan hati ku.
“Abah
dengan mak yang kata jangan pergi tapi Intan kata Intan tetap nak pergi. Apa
mak dengan abah nak kata Intan tak peduli. Apa yang Intan tahu Intan di pihak
yang benar..” aku memberanikan diri membalas tegahan emak.
“Kau
jangan nak cari pasal, Intan. Jangan nak melawan cakap aku. Aku kata jangan
pergi, jangan pergi! Jangan nak berlagak pandai. Kau masih budak lagi apa kau
tahu?” seperti kebiasaan kelantangan emak akan mula membingitkan suasana rumah
kami.
“Mak,
Zaki tu dah bunuh kawan Intan. Apa mak nak Intan pejam mata macam tu aja? Kalau
perkara tu jadi pada Intan macamana?”
“Baguslah
kalau kau yang mampus tu. Takdelah esok aku malu ada anak macam kau. Kalau kau
dah kejung kat dalam semak tu aku tanam aja, habis cerita! Tak payah nak
menyusahkan diri nak naik mahkamah sana sini. Nak bayar lawyer lagi.. hakim lagi.. semua tu membazir! Lepas mati tanam,
reput jugak dalam kubur tu. Bukannya lepas menang di mahkamah kau boleh hidup
semula..” tanpa sebarang perasaan bersalah emak berkata begitu kepada ku.
Berdesing telinga ku mendengar kata-kata emak itu. Semudah itukah?
“Mak,
apa mak cakap ni??” Qistina mulai masuk campur.
Aku
sudah tidak terkata. Saat itu hanya ALLAH sahaja yang tahu betapa berkecainya
perasaan ku setelah mendengar kata-kata emak. Sampainya hati emak berkata
begitu? Apakah aku sememangnya tiada kepentingan sedikit pun kepada emak
sehingga emak sanggup berkata begitu kepada ku.
“Inilah
natijahnya bila melawan kata-kata orang tua..” emak membebel sendirian. Agaknya
dia terperasan yang dia sudah terlebih bicara. Namun salah itu juga kini sudah
emak letakkan di pundak ku.
Tanpa
menunggu di situ lagi aku terus masuk ke dalam bilik. Di dalam bilik aku
menangis sepuas-puas hati ku. Hanya ALLAH sahaja yang tahu betapa terlukanya
aku dengan emak. Qistina hanya mampu memandang aku yang sedang kesedihan. Dia
bagaikan mengerti perasaan ku tetapi kami sama-sama tidak mampu untuk berbuat
apa-apa.