Pak
Pandir dengan kuih kuaci,
Si Luncai
pula dengan labu,
Jangan
dicabar pantang diuji,
Takdir yang
datang siapa tahu.
Kepulangan aku ke Segamat disambut dengan
deraian air mata emak. Emak memang sedih kerana setelah melihat fizikal anaknya
ini yang sudah susut, tidak seperti dahulu lagi. Melihat air mata emak mengalir
aku memang tidak mampu menahan dari rasa hiba. Aku sedar, bukan ini yang diharapkan
oleh kedua orang tua ku saat mereka merelakan pemergian ku ke London hampir 3
tahun yang lalu. Aku juga sebenarnya tidak pernah bermimpi untuk pulang dalam
keadaan begini.
Abah yang paling tenang antara kami semua. Dia
tidak banyak mengungkit hal itu. Aku tahu abah tidak mahu aku bertambah
tertekan jika kami selalu sangat bercakap tentang itu. Apa yang sudah berlaku
memang tidak dapat ditarik semula biarpun dengan berlori-lori sumpah seranah.
Apa yang penting masa depan aku nanti.
Tiga minggu di rumah orang tua ku itu, aku
mulai memikirkan apa yang perlu dilakukan untuk meneruskan apa yang aku cita-citakan
selama ini. Perjuangan untuk mencapai cita-cita masih belum tamat. Hidup harus
diteruskan seperti biasa. Tidak cukup sekadar bermuram durja.
Aku mulai melayari internet di rumah. Selain
dari melayari laman-laman web universiti tempatan, aku sempat juga bertukar khabar
dengan sahabat-sahabat ku yang masih berada di London. Hamizah dan Ameena kini
sedang berkerja untuk mencari wang poket buat diri mereka. Aku sedar mereka
juga seperti aku. Tidak mewah untuk pulang bersantaai ke Malaysia apabila ada
cuti panjang seperti ini. Aku sendiri juga pernah berkerja untuk mencari wang
sara diri ketika masih di Balles College dahulu.
Malam itu sewaktu mahu mendirikan solat isyak emak
tiba-tiba datang kepada ku. Emak memandang aku lama sehingga pelik aku melihat
gelagatnya. Ada sesuatu di wajah emak yang membuatkan aku tertanya-tanya. “Kenapa
mak pandang Syira macam tu? Mak tak pernah nampak Syira pakai telekung ke?”
tegur ku selamba kepada emak ku itu.
“Takdelah. Mak saja je tengok, Syira..” jawab
emak perlahan.
“Ada apa ni, mak?” soal ku tetap ingin tahu.
Kalau tiada apa-apa hal, masakan emak memandang aku sebegitu rupa. Pelik aku
melihat kelainan tingkah emak saat itu.
“Syira dah datang bulan ke? Mak tengok
hari-hari Syira bersolat?” tanya emak lembut.
“Belum lagi, mak. Kenapa pulak mak tanya Syira
dah datang bulan ke belum?” aku kembali menyoal emak. Tidak pernah pula emak
bertanya bila masanya aku datang bulan. Aku sebenarnya tidak hairan mengapa aku
masih tidak datang bulan. Kerana sebelum ini pun aku kadang-kadang lambat
datang bulan. Setakat ini apa yang aku tahu kelewatan sehari dua seperti itu
masih normal. Bukannya memaksudkan dia mengalami penyakit yang serius.
“Solatlah. Saja je mak bertanya,” ucap emak
sebelum meninggalkan aku sendiri di bilik ku.
Aku sempat terpaku melihat sikap emak yang
kelihatan lain macam. Perasaan ku jadi tidak enak. Datang bulan? Ya! Aku masih
belum datang bulan. Adakah ini bermaksud aku..? Aku lekas-lekas menggeleng mahu
menepis kesangsian yang mulai menyerang diri. Ah! Tidak mungkin! Ini cuma
andaian kosong! Bisik ku untuk menyedapkan hati ku sendiri.
Aku yang sudah siap berdiri di atas sejadah
segera mengangkat takbir meneruskan solat yang tertunda tadi. Persoalan tentang
datang bulan itu mati terus dari fikiran ku tanpa mahu difikirkan lagi.
Namun tiga hari kemudian saat bangun dari
tidur kaki ku kejang entah kenapa. Sakitnya bagaikan meresap sehingga ke urat
saraf sehingga aku jadi tidak berupaya untuk menggerakkan kaki ku. Akibat panik
dengan serangan mengejut itu, aku menjerit memanggil emak di bilik sebelah. Aku
memanggil lagi apabila terasa lama sungguh masa yang diambil oleh emak untuk
datang ke bilik ku itu.
“Kenapa ni, Syira?” soal emak yang kelam kabut
apabila mendengar jeritan ku tadi.
“Kaki Syira ni sakit, mak. Tak boleh bergerak..”
keluh ku sambil memegang betis yang sakit. Berair mata ku menahan sakit.
Emak terus memegang betis ku. Kemudian
dipicitnya betis ku itu sehingga aku menjerit kesakitan. “Tak boleh bergerak langsung
ke?” soal emak mulai bimbang. Betis ku diurut lembut.
“Tak boleh. Sakitnya, mak.” Aku sudah
mengerang tidak tahan.
“Tunggu sini..” emak terus menghilangkan diri
seketika dari bilik itu. Kemudian emak kembali semula ke bilik itu dengan
sebotol minyak sapu. Kali itu adik-adik ku juga ikut menjenguk aku di atas
katil.
“Kenapa kaki Kak Syira, mak?” soal Syahril
dari sisi katil.
“Kejang agaknya ni. Sejuk pagi-pagi macam ni
memanglah senang kena kejang otot,” jawab emak tanpa menghentikan urutannya.
“Selalu ke akak kejang otot pagi-pagi macam
ni?” Syahril terus menyoal ku pula. Wajahnya mula memaparkan rasa bimbang
dengan keadaan ku.
Aku pantas menggeleng. Inilah kali pertama aku
mengalami kejang otot diwaktu pagi. Tetapi aku segera teringat kepada cerita
Ameena yang emaknya kerap mengalami kejang otot ketika tidur. Agaknya aku juga
sedang mengalami masalah yang sama dengan emak Ameena.
“Sebelum ni Syira tak pernah kena macam ni,
mak. Kat London tu sejuk juga tapi Syira tak pernah kejang otot macam ni.” Aku
meluahkan kata agak payah dalam erangan kesakitan.
Emak hanya diam sambil terus mengurut kaki ku.
Berkerut-kerut dahi ku apabila emak memicit kuat otot-otot betis ku yang sedang
mengeras. Tidak lama kemudian kekejangan yang ku rasai mulai berkurangan. Namun
kesakitannya masih dapat ku rasakan.
“Syira salah tidur agaknya..” itulah komen
emak yang mulai bimbang dengan keadaan ku.
“Entah. Syira tak tahu..” jawab ku perlahan
sahaja.
“Pergilah solat subuh dulu. Waktu dah nak
habis ni,” ucap emak lantas meninggalkan aku di situ.
Seminggu kemudian aku sekali lagi mengalami
perkara yang sama. Walaupun sudah diingatkan supaya tidur dengan memakai
stoking namun kesakitan itu kembali semula. Tetapi kali ini sakitnya membuatkan
air mata aku mengalir. Sekali lagi aku terpaksa diurut oleh emak supaya aku
dapat menunaikan solat subuh. Apabila aku bertanya tentang ini, emak hanya diam
sahaja sambil terus mengurut kaki ku. Namun sebenarnya aku dapat lihat sejalur
keresahan di mata emak setiap kali dia memandang ku. Aku sendiri sudah tidak
tahu apa sebenarnya yang sedang melanda diri ku. Namun aku pasti.. ini bukan
soal enteng!
Hari yang sama, selepas
sarapan pagi emak dan abah memutuskan untuk membawa aku ke klinik kesihatan di
Segamat. Emak ikut menemani aku masuk ke bilik rawatan untuk bertemu dengan Dr.
Ishak. Tetapi hasil pemeriksaan oleh doktor lelaki itu, aku bagaikan mahu meraung
di bilik itu. Langit seakan-akan telah runtuh di atas kepala ku. Pada saat aku
mendengar khabar itu dada ku bagaikan tidak mampu berdenyut lagi. Amat berat
dugaan ini untuk ku galas. Melihat keadaan
aku yang cukup lemah untuk menerima hakikat itu, abah lekas membawa aku kembali
ke rumah. Aku menonong keluar dari kereta abah sebaik sahaja kereta itu
berhenti di hadapan rumah.
Apabila naik ke atas, air mata ku sudah tidak
mampu ku seka lagi. Plastik ubat ku campak entah ke mana. Aku terus masuk ke
bilik.
“Syira..” emak cuba memanggil ku. Namun
panggilan emak tidak ku layan. Aku terus berbaring di atas katil dan menangis.
“Syira, sabar ya nak?” pujuk emak.
“Syira nak mati.. biar Syira mati!” jerit ku tiba-tiba
bagaikan histeria di dalam bilik itu.
“Astghafirullah-al-adzim..” rintih emak tidak
sanggup mendengar apa yang aku ucapkan.
“Ya Allah.. mengucap, Syira. Jangan cakap
macam ni. Tak baik..” Emak memeluk tubuh ku erat sambil diperhatikan oleh abah.
Aku terus menangis di dalam pelukan emak. Syahril dan Fairuz ku mula menerpa ke
bilik itu apabila terdengar suara ku. Mereka terpaku memandang aku.
“Syira tak nak anak ni, mak. Tolonglah Syira..
Syira tak mahu semua ni jadi pada Syira. Biar Syira mati aja! Syira tak nak
anak haram ni!” rayu ku dalam esakan yang kuat. Aku menangis kuat bagaikan sedang
dirasuk dirasuk. Tangan ku ikut memukul-mukul perut ku agar anak di dalam
kandungan ku itu dapat dilenyapkan. Namun emak terus menghalang perbuatan ku.
“Mengucap, Syira..” pujuk emak terus menggosok
belakang ku agar aku tenang. “Jangan cakap macam ni. Mengucaplah.. Ingat Allah
banyak-banyak!” Emak terus memeluk ku erat bagi memberikan aku sedikit kekuatan
untuk bersabar.
“Macamana Syira nak sabar? Syira mengandungkan
anak haram!!!” jerit ku semakin tidak kuat memegang hakikat itu. “Kenapa hidup
Syira jadi macam ni? Apa salah Syira, mak? Kenapa Syira yang kena tanggung
semua ni?” ucap ku semakin tidak mampu bertahan. Semakin dipujuk aku semakin
tidak mampu mengawal perasaan sakit itu.
“Ini semua ujian Allah..” ucap emak.
“Syira tak boleh terima anak ni. Estaban!!!
Kau memang binatang!” aku terus memekik meluahkan kemarahan ku.
“Mengucap, nak. Ya Allah.. apalah nak jadi ni,”
keluh emak benar-benar cemas dan buntu dengan keadaan aku. Tubuh ku terus dipeluknya
sambil kepala ku diusap agar tersalur sedikit kekuatan untuk aku bertahan.
Namun air mata emak ikut mengalir menangisi apa yang menimpa diri ku.
Akhirnya setelah kepenatan meneran suara aku hanya
mampu menangis terisak-isak di dalam pelukan emak. Percuma sahaja aku melakukan
itu semua kerana apa yang mahu aku lenyapkan tetap ada di dalam rahim ku.
“Sabarlah, Syira. Ini semua ujian Allah.
Jangan berputus asa pada Allah. Allah takkan uji kita melebihi daripada kekuatan
kita untuk menggalasnya. Emak dan abah ada. Mak takkan membuang Syira dan anak
ni,” pujuk emak lagi apabila melihat aku sudah tidak sebrutal tadi.
“Tapi ini anak haram. Syira tak sanggup, mak.
Syira tak sanggup mengandungkan zuriat dari lelaki jahanam tu. Syira tak mahu
anak ni..” rayu ku tanpa dapat berfikir lagi. Apa yang aku tahu aku tidak
sanggup menanggung malu dengan kehadiran anak yang tidak mempunyai ayah seperti
ini.
“Jangan panggil anak ni macam tu. Ini anak
Syira. Jangan lupa Syira adalah ibu yang mengandungkannya. Memang malu tapi
kita tak berhak menolak apa yang Allah dah beri. Emak tahu memang berat apa
yang Syira tanggung saat ini tapi ingatlah.. Allah akan menggugurkan dosa-dosa
kita untuk setiap kesengsaraan kita. Semua ini akan ada ganjarannya asalkan
kita sabar dan redha.” Emak terus memujuk sambil membelai tubuh ku.
Aku menggeleng enggan menerima nasihat emak
itu. “Syira malu, mak. Syira nak gugurkan kandungan ni,” putus ku nekad.
“Jangan, Syira! Abah tak izinkan Syira buat
macam tu,” suara abah terus menerpa lantang apabila terdengar kemahuan gila aku
itu.
“Syira tak peduli, abah! Syira tak mahu anak
ni. Syira tak mahu!” jerit ku kembali tertekan.
“Dengar cakap abah, Syira. Berdosa kita buat
macam tu. Apa pun alasannya dosa tetap dosa. Jangan sesekali kita ingkar apa
yaang dah Allah tetapkan. Ingatlah Allah sentiasa melihat kita. Memang di dunia
kita akan mudah tapi tidak di akhirat nanti! Tak tertanggung kita azabnya
nanti. Anak ni tak salah apa-apa. Dia juga tidak meminta untuk berada di dalam
rahim Syira. Dia juga tak meminta untuk hadir dalam keadaan emaknya dianaiya
orang. Allah telah memberikan dia hak untuk berada di dunia ini. Syira tak
berhak merampas hak itu. Terimalah keadaan ini seadanya. Beristighfarlah..”
kali ini dengan sedikit lembut abah cuba untuk memujuk aku.
“Tapi Syira malu, abah. Anak ni takde bapak.
Apa Syira nak cakap pada semua orang? Semua orang akan ketawakan Syira. Semua
orang akan hina Syira,” Rayu ku dalam linangan air mata. Gugur sudah impian ku
satu persatu dengan semua kenyataan ini. Aku masih tidak tahu bagaimana untuk
menghadapinya.
“Anak tu memang takde bapak tapi jangan lupa
sudah ditetapkan Syira adalah emaknya. Syira adalah pemiliknya. Tanggungjawab
Syira mendidik anak ni supaya dia menjadi orang yang beriman. Ada hikmahnya
segala yang telah berlaku. Jangan pedulikan apa yang orang nak kata. Apa yang
penting kita berada di pihak yang benar. Kuatkan hati Syira untuk bersabar
dengan dugaan ini. Allah akan membantu mempermudahkan jalan untuk Syira sekiranya
Syira reda. Insya-Allah, Allah sentiasa bersama orang yang sabar..”
“Tapi Syira tak boleh, abah. Anak ni semakin
mengingatkan Syira pada lelaki tu. Syira tak sanggup, abah. Kenapa Syira mesti
jaga anak ni. Nanti anak ni jahat macam bapak dia! Syira tak mahu..” Aku tetap
berdegil enggan mengikuti nasihat abah itu.
“Jangan cakap begitu. Jangan membayangkan
sesuatu yang di luar kemampuan kita. Lapangkan dada Syira terima takdir Allah.
Syira orang islam.. menentang takdir yang Allah dah tetapkan bermakna kita
tidak beriman kepada qada dan qadar. Siapa lelaki yang menjadi ayah kepada anak
ini tak penting. Apa yang penting anak ni tetap anak Syira... anak ni tetap
cucu mak dan abah. Dia berkongsi nyawa dengan Syira di dalam sana. Kasihankan
anak tu. Dia tak bersalah, nak. Seorang anak tidak berkongsi dosa dengan
ayahnya. Anak ni ibarat kain putih yang bersih dan suci dari dosa. Jangan lupa,
anak ni harta ibu dan ayah sehingga ke dalam kubur. Kalau Syira buang dia hari
ni, siapa yang akan mendoakan Syira bila Syira mati nanti?” kali ini emak pula
yang memujuk aku.
“Kak Syira, jangan pedulikan apa yang orang
nak katakan. Yang penting ini adalah darah daging kita. Dia juga berhak untuk
hidup. Kami semua akan terus menyokong Kak Syira. Takde siapa yang akan
membuang Kak Syira dengan baby tu.
Jangan buat dia macam tu. Kasihan dia, Kak Syira. Baby tu tak salah apa-apa.” Syahril yang semenjak tadi hanya
melihat sahaja turut memujuk aku akhirnya.
“Betul apa kata Syah tu, Syira. Emak dan abah
akan selalu menyokong Syira. Emak tahu anak mak tak salah. Ini ujian dari Allah.
Banyakkan istighfar. Jangan sampai fikiran kita dipengaruhi iblis yang mahu
menghancurkan iman kita. Emak tahu Syira anak yang baik, dah tentu Syira juga
akan menjadi emak yang baik. Allah akan sentiasa membantu orang yang bersabar,
Syira. Percayalah..” ucap emak tenang. Emak dan abah begitu reda menerima takdir
ini. Namun aku?
Aku akhirnya terdiam kehilangan idea untuk
menolak kata-kata orang di sekeliling ku itu. Reda? Tapi bagaimana? Walaupun aku
sudah puas mencubanya tetapi hakikat yang satu ini bukan mudah untuk aku
terima. Bagaimana untuk aku menjaga anak ini jika hanya ada kebencian yang
menghuni segenap ruang nafas ku kepada ayah anak ini. Aku takut kebencian itu
ikut berpindah setiap kali aku memandang wajah zuriat ku nanti.
“Tolong abah ambilkan air suam di dapur,” ucap
abah kepada dua adik lelaki ku itu.
Fairuz terus berlalu dari bilik itu. Tidak
lama kemudian dia kembali dengan air suam yang diminta oleh abah. Abah
membacakan sesuatu pada air itu.
“Minum air ni, Syira. Baca selawat tiga kali,”
pinta abah lembut.
Emak segera melepaskan dakapannya kepada ku.
Dia sempat mengangguk meminta aku mengambil air yang dihulurkan abah. Dengan
lafas bismillah dan selawat ke atas nabi seperti yang disuruh oleh abah, aku
meneguk air itu perlahan sehingga habis separuhnya. Kemudian gelas itu aku kembalikan
kepada abah yang masih memerhatikan aku.
“Rehatlah, Syira. Tenangkan fikiran. Jangan
fikir banyak. Ingat pesanan doktor tadi. Syira tak boleh banyak tertekan,” kata
emak lembut.
Aku hanya mengikut sahaja apa yang disuruh
oleh emak tanpa kata. Emak turut membantu aku membaringkan tubuh ku ke atas
katil itu. Sempat juga emak mengusap kepala ku dengan penuh kasih sayang. Tanpa
dapat ditahan air mata ku mengalir lagi. Aku sedih mengenangkan nasib diri.
Sebahagian hati memang hancur tetapi sebahagian lagi selalu membisikkan kalimah
istighfar untuk meniup kembali semangat agar aku terus berjalan dengan sabar.
Entahlah.. aku masih tidak tahu apa yang akan
terjadi pada masa depan ku nanti. Segalanya kabur dan kelam. Anak ini bagaikan
sedang menenggelamkan diri ku di dalam lautan sengsara. Semuanya kerana Estaban!
Aku bertekad. Aku sama sekali tidak akan memaafkan lelaki itu!
Aku takkan maafkan dia sampai mati!
sedihnyer hati baca... kesian syira mengandung sbb perbuatan estaban tu... respek dgn mak abah sira yg x mudah menyalahkan anak...sebaliknya bg sokongan dan nasihat...
BalasPadambetul.. harap2 ibu bapa kat luar sana contohi emak ayah Insyirah, supaya kuranglah kes bayi dicampak dari tingkat atas flat. memandang aja dah cukup berat, inikan pula si ibu tu sendiri. wallahualam..
BalasPadamklau la smua famili / parents mcm mak ayah insyirah ni mesti x berlaku pembuangan bayi kan
BalasPadam