Pukul gendang pukul rebana,
Buah meriah si majlis kahwin,
Hilang akidah jiwa merana,
Bukan mudah mencari yang lain.
Semua ini bukan mimpi!
Seminggu yang lalu aku telah disahkan hamil. Itu memang bukan mimpi. Aku sudah
mula merasa kesan yang sering dialami oleh wanita yang sedang hamil. Namun semenjak
mula aku mendapat berita itu aku lebih banyak termenung di dalam bilik. Sepanjang
masa aku hanya termenung memikirkan segala-galanya. Sayangnya hati ku ini masih
menelan setiap bait rasa benci itu apabila aku memujuk diri agar menerima qada
dan qadar dari Allah. Aku sedar kini.. tidak dengan sejam dua aku dapat
menenangkan fikiran. Tidak dengan sehari dua aku dapat melapangkan dada. Hakikatnya
aku masih tidak mampu menelan hakikat ini. Lantaran hati yang bengkak, tidak aku
pedulikan saranan doktor yang meminta aku berbuat itu ini untuk menjaga
kandungan ku. Pil asid folik dan vitamin yang dibekalkan oleh doktor langsung
tidak ku makan. Aku nekad membuangnya melalui tingkap setiap kali emak meminta aku
memakannya. Untuk apa aku memakannya jika hasrat ku yang sebenarnya adalah
untuk melenyapkan zuriat ini dari hidup ku? Bukankah bagus kalau aku keguguran
sahaja? Itu fikiran ku selama ini.
Namun detik yang berlalu aku kian keletihan. Kepada
siapa kemarahan ini aku lemparkan sebenarnya? kepada Tuhan? Kepada anak ini?
atau kepada Estaban yang nun jauh di sana? Sepanjang masa berkurung di dalam
bilik aku meratapi nasib, tiada apa yang berubah kepada diri ku. Sepanjang masa
aku langsung tidak mempedulikan apa yang berlaku di sekeliling ku, apa
sebenarnya yang aku cari? Jawapannya mudah sahaja.. termenung, meratap dan
mengutuk nasib diri tidak akan mengubah apa-apa. Inilah kehendak Allah. Hanya Allah
sahaja yang berhak untuk mengubahnya. Aku yang menumpang belas kasihan Tuhan,
tiada daya yang kuat untuk melawan takdir ini.
Seketika kemudian aku mulai kesal dengan
perbuatan ku menyiksa diri dan anak di dalam kandungan ku. Datang kesedaran
kepada diri, hati ku segera berbisik.. untuk apa aku menyiksa anak dan diri ku
sedangkan nanti yang merananya juga aku. Kenapa mesti aku khilaf sedangkan anak
adalah anugerah biar siapa pun dia..
Naluri keibuan ciptaan Tuhan pantas meresap ke
dalam diri ku yang lemah. Aku sedar aku tidak harus menghukum kandungan ini
walau apa pun yang telah terjadi kepada diri ku. Anak ini tidak bersalah
sedikit pun kepada ku. Dialah yang akan menemani aku susah dan senang nanti.
Aku menangis lagi buat kesekian kalinya. Kali
ini tangisan ini tangisan kekesalan kerana aku terlalu tunduk kepada kecewa dan
hati yang rapuh. Perut yang masih leper ku usap lembut. Namun hati ku merasa amat
hiba mengenangkan nasib anak ku kemudian nanti. Aku tidak bisa menidakkan
hakikat.. ada sayang yang Allah anugerahkan kepada ku buat anak ini. Ini adalah
zuriat yang suci tanpa sebarang dosa. Tetapi satu hakikat itu bagaikan membuatkan
aku bagaikan tidak mampu bernafas dengan tenang.
Anak ku tiada ayah! Anak luar nikah..
Apa kata orang nanti?
Ya Allah.. rendahkan lah hati ini dalam
menerima cubaan Mu. Bantulah aku untuk bangkit semula..
Anak anugerah Allah. Kenyataan itu cukup
menyedarkan aku akan hakikat hidup ini. Bukan semua kepahitan itu tidak berguna
dan bukan semua kesengsaraan itu menghancurkan. Setiap yang berlaku biarpun
pahit tetap ada hikmahnya.
Aku bangun dari katil apabila
tersedar ada tetamu yang memberi salam seawal ini. Namun aku sekadar mengintai
melalui pintu bilik kerana abah ku ada untuk menyambut tetamu itu. Aku
tertanya-tanya seketika. Mengapa ada tamu yang tidak dikenali datang sewal jam
sepuluh pagi ini? Abah dan emak pula bagaikan sudah menjangkakan ketibaan
tetamu itu semenjak awal lagi. Mereka tidak ke ladang seperti biasa. Seperti
memang sedang siap menanti tetamu itu. Malas mahu mengambil tahu aku kembali semula
ke katil.
Lelaki itu berbual seketika sahaja di ruang
tamu rumah kami. Tidak lama selepas itu emak masuk ke bilik ku meminta aku
bersiap segera. Kata emak kami akan ke Kuala Lumpur dengan lelaki itu sebentar
lagi. Apabila aku bertanyakan tujuan kami mengikut lelaki itu, emak tidak menjawab. Sebaliknya
emak hanya meminta agar aku segera bersiap.
Dengan agak kemalasan aku bersiap juga untuk
mengikut emak dan abah ke Kuala Lumpur. Tambahan pula Syahril dan Fairuz juga ikut menyertai pemergian kami ke Kuala
Lumpur. Di halaman rumah aku lihat ada sebuah van jenis mercedec terpakir. Pada
pintu van itu tertera tulisan Royal Swiss Hotel. Kami nak ke hotel ke? Nak buat
apa? Aku tertanya-tanya lagi. agaknya dek kerana pembawakan budak, aku masih
menguncikan mulut daripada bertanya mengapa kami dibawa oleh pihak hotel itu ke
Kuala Lumpur. Aku benar-benar mahu tahu tetapi entah kenapa lidah ku ini terasa
amat berat untuk meluahkan kata-kata. Orang lain mengandung malas buat kerja
rumah, aku mengandung.. malas bercakap pulak. Ada ke macam tu? Entahlah!
Tolak campur waktu untuk bersolat dan makan
pada jam empat petang kami semua tiba di hotel lima bintang itu. Aku semakin
tidak faham apa tujuannya kami berada di situ. Emak dan abah nampak bersahaja
seolah-olah sudah tahu apa agenda kami berada di situ. Tetapi dalam pada mulut
terus terkunci, mata ku ini begitu kagum melihat dekorasi lobi hotel lima
bintang itu. Kemudian kami disambut pula oleh dua lelaki lain. Dua lelaki membawa aku bersama dengan keluarga ku ke ball
room untuk bertemu dengan seseorang.
Emak dan abah masih tenang duduk di satu meja.
Aku pula canggung apabila berada di dalam hotel mewah itu. Tidak pernah sekali
pun seumur hidup ku ini menjejakkan kaki ke tempat semewah ini. Fikiran ku
masih tidak lepas tertanya-tanya mengapa kami harus berada di sini.
Tidak sampai lima minit kami menanti akhirnya
meja itu dihampiri oleh tiga orang lelaki dan seorang wanita. Namun saat telihat
salah seorangnya, jantung ku bagaikan tercopot serta merta dari tangkainya. Cepat
sahaja aku terfikir mahu melarikan diri dari situ. Mata ku ini sudah tidak
sanggup untuk melihat lelaki itu lagi. Nyawa ku bagaikan mahu terbang. Aku
pernah menyangka yang aku tidak akan bertemu lagi dengan lelaki itu. Tetapi ternyata
aku salah! Di mana sahaja aku berada, lelaki itu juga boleh berada.
Hati ku kembali mendongkol benci. Kenapa lelaki
itu asyik datang ke dalam hidup ku? Mengapa mesti dia datang ke sini?
Aku bangun dengan pantas dengan niat mahu
melarikan diri dari situ setelah Estaban berdiri di hadapan meja itu dengan
wajah tenangnya. Betapa bencinya aku melihat reaksi lelaki itu. Tetapi emak lebih
pantas memegang erat lengan ku meminta aku bersabar.
“Syira tak nak tengok muka binatang tu, mak!” tanpa
mempedulikan orang sekeliling, juga lelaki-lelaki yang datang, aku menundingkan
jari ku kepada Estaban yang tenang sahaja di belakang dua lelaki inggeris itu.
Lantang suara ku mula menarik perhatian semua orang di meja itu.
“Sabar dulu, Syira. Kita di sini nak
selesaikan masalah Syira ni,” pujuk emak lembut. Syahril adik kedua ku itu juga
turut memegang aku, tidak mahu kakaknya ini melarikan diri.
“Selesaikan macamana? Masalah Syira selesai
kalau anak ni hilang dari dalam perut Syira ni. Syira tak boleh nak bersabar
kalau hanya ada kebencian yang penuh meluap-luap dalam jiwa Syira ni bila
memandang muka dia tu. Syra benci!” tekan ku terus kuat tanpa mempedulikan
pandangan lelaki yang paling berusia di antara mereka semua manusia asing itu.
“Duduklah dulu. Malu orang tengok..” rayu emak
ku cuba berlembut lagi.
“Syira tak nak tengok muka binatang tu. Syira
nak balik!” tegas ku tetap berdegil.
“Syira.. duduk!” suara abah mula keluar, tegas
melawan kedegilan ku. Matanya mencerlung tajam memarahi sikap biadap ku.
“Syira..”
“Duduk!” tekan abah lagi dengan matanya terus
menikam tajam kepada ku. Tidak sempat aku mahu berkata apa-apa. Tiba-tiba aku
merasa amat gentar melihat pandangan mata abah seperti itu. selama ini dengan
pandangan seperti itulah abah menegur setiap tindak tanduk kami.
Aku mula terdiam kekalahan dengan ketegasan
abah. Aku akhirnya merelakan diri ku dibawa emak supaya duduk semula di tempat
ku tadi. Tetapi dalam diam jiwa ini hanya ada pemberontakan yang amat dasyat
menanti masa untuk dilepaskan. Kalaulah abah tiada di sini.. aku mahu melempar
apa sahaja yang ada di hadapan ku itu kepada lelaki bernama Estaban itu.
“Bawak bertenang, Ini semua untuk kebaikan
Syira. Juga untuk masa depan anak dalam perut Syira ni,” kata emak meminta
sikap rasional ku.
Aku hanya mampu berdiam mendengar bicara emak.
Dengan bantuan lelaki yang membawa kami ke
hotel ini sebagai orang perantaraan aku akhirnya mengerti apa mahunya lelaki-lelaki
inggeris itu dari kami sekeluarga. Rupanya lelaki inggeris yang paling berusia
itu adalah Christopher Buhler, ayah kepada Estaban dan yang lebih tua berbanding
Estaban adalah Samuel, abang kepada Estaban dan wanita itu adalah kakak Estaban,
Celina Buhler. Aku tidak tahu dari mana mereka semua mengetahui keadaan ku
sekarang ini. Aku juga hairan dari mana ayah Estaban tahu mengenai kejadian
hitam itu?
Christopher menjelaskan hasrat murninya dengan
meminta aku mengahwini anak lelakinya itu. Terbeliak mata ku mendengar itu. Menerima
Estaban sebagai suami? Entah kenapa aku mahu ketawa sampai pengsan pula
mendengar itu. Gelihati sungguh mendengar lamaran seperti itu. Itu tidak masuk
akal! Teramat mustahil!
“Tidak!” jawab ku tegas apabila pendirian ku
tentang itu ditagih mereka.
Abah dan emak terpaku sekekyika dengan
ketegasan ku menolak kemahuan lelaki itu. Sesungguhnya ini memang tidak masuk
akal. Tidak mungkin aku akan mengahwini seorang perogol! Tidak mungkin aku akan
mengahwini lelaki yang tidak seagama dengan ku. Bagaimana untuk aku terima dia
jika aku hanya mampu membenci lelaki itu seumur hidup ku?
“Kenapa kamu tak mahu? Kamu sedang hamil,
Insyirah..” ucap Christopher lembut sahaja. Lagak seorang ayah yang terlebih
sayangkan anak memang jelas dalam nada suaranya. Mungkin kerana dia sering
memanjakan anaknya menyebabkan Estaban membesar, lalu menjadi liar.
“Tak kisahlah apa yang telah terjadi kepada
saya. Yang penting saya tak rela bersuamikan dia. Dia dah menjahanamkan hidup
saya dan saya tak boleh sediakan tempat dalam hidup saya untuk lelaki seperti
dia. Semenjak saya kenal dia hidup saya memang malang. Entah apa yang akan
terjadi kepada saya jika saya mengahwini lelaki macam dia..” kata ku tegas
dengan jari yang ditundingkan kepada Estaban yang berdiam sahaja bersebelahan
dengan abangnya.
Abah juga hanya diam membiarkan aku berkata
apa yang aku mahukan. Namun emak memegang lembut bahu ku, meminta aku
menimbangkan kata-kata yang paling elok dalam meluahkan perasaan. Di hadapan ku
ini adalah seorang lelaki yang lebih tua dari abah ku sendiri. Aku tetap harus
hormat kepadanya.
“Saya tahu dia bersalah, Insyirah. Tetapi saya
mahu anak itu lahir di dalam perkahwinan. Ini untuk masa depan anak kamu juga,”
kata Christopher Buhler cuba berdiplomasi dengan ku.
“Masa depan anak ini adalah tanggungjawab
saya. Masalahnya dia memperlakukan saya di luar perkahwinan. Hakikat itu tidak
akan berubah sampai bila-bila walaupun saya menyembunyikan kenyataan dengan meletakkan
nama dia sebagai ayah. Dia hanya menganggap saya perempuan yang boleh disentuh
sekali dan ditinggalkan di tempat gelap. Patut ke saya menerima lelaki kejam
seperti dia menjadi suami saya? Tanpa dia pun anak saya tetap akan terus hidup.
Saya tak perlukan dia semata-mata untuk meletakkan nama dia sebagai bapa kepada
anak saya. Saya lebih rela meletakkan salah satu daripada sembilan puluh
sembilan nama Tuhan sebagai nama bapa kepada anak ini. Nama itu lebih suci. Sekurang-kurangnya
nama itu bukan dari seorang lelaki yang hipokrit! Saya tak rela anak saya terpalit
noda yang diberikan oleh lelaki seperti dia. Saya jijik pada dia! Saya tak
sanggup untuk berkongsi apa-apa pun dengan dia. Lebih baik awak bawa dia balik
tempat awak. Jangan ganggu saya lagi.” Aku tetap berdegil.
Christopher terpaku dengan kata-kata ku. Dia
memandang anak perempuannya Celina untuk meminta bantuan. Panjang keluhannya
seolah-olah sudah buntu dengan masalah ini.
“Insyirah, anak di dalam kandungan kamu adalah
pewaris kepada empayar hotel ini. Tolong pertimbangkan..” kali ini Celina pula
yang bersuara untuk memujuk ku.
Aku tergelak sinis mendengarnya. Ada udang di
sebalik mee rupanya semua ini. “Oh! Inikah sebab utama kamu semua sanggup
datang dari jauh untuk mencari saya? Bukan masa depan anak ini yang menjadi
keutamaan tetapi masa depan hotel mewah ini yang kamu semua bimbangkan? Takut
hotel ini terlelong begitu sahaja kerana tidak ada pewaris?” Aku dengan selamba
mencemuh kata-kata wanita itu.
“Entah kenapa saya tak berasa sedikit pun
kegembiraan dari itu semua. Untuk apa anak saya jadi pewaris hotel ni kalau dia
dilahirkan bukan atas dasar kasih sayang emak dan ayahnya? Perasaan saya tak
boleh dibeli dengan duit dan kemewahan!” aku menambah lagi sindiran ku lantaran
hati yang sakit.
“Insyirah, mari kita berbual berdua,” pelawa
ayah Estaban amat lembut.
“Mari. Lebih mudah kalau kita berbual secara personal..” tambah Christopher lagi lantas
dia bangun mengajak aku ke meja lain.
Aku terpaksa juga mengikut lelaki itu setelah
emak memujuk agar aku menghormati lelaki itu usia tua lelaki itu. Anggukan abah
membuatkan aku semakin tiada pilihan.Aku dan lelaki tua itu duduk agak jauh
dari meja kami tadi. Kami duduk berhadapan dan berpandangan buat seketika.
“Saya sedar kemarahan kamu, Insyirah. Memang
wajarlah kamu marah kerana apa yang dilakukan oleh anak saya memang
keterlaluan. Saya sebenarnya teramat malu untuk bertemu dengan kamu dan orang
tua kamu. Tapi saya lakukan ini demi maruah kamu dan maruah saya juga,” ujar Christopher
cuba untuk mengerti perasaan yang menghuni dalam diri ku.
“Dari mana awak tahu mengenai keadaan saya?”
melihat kelembutan lelaki itu, aku tidak sampai hati pula untuk berkasar. Sekurang-kurangnya
rasa hormat ku masih ada untuk lelaki yang baik budi bahasa ini.
“Sebaik sahaja saya mengetahui apa yang telah
terjadi, saya mencari kamu melalui kawan-kawan Estaban tetapi sayangnya saya
gagal bertemu dengan kamu. Ryan memperkenalkan saya dengan kawan baik kamu
Ameena sehari selepas kamu pulang ke Malaysia dulu. Ameena mendapat tahu yang
kamu telah hamil dari emak kamu dan dia memberitahu saya beberapa hari yang
lalu. Kerana itulah saya berada di sini. Atas dasar tanggung jawab saya kepada
anak kamu itu, saya menebalkan muka saya untuk menemui ayah kamu, Insyirah.
Tolong pertimbangkan apa yang saya harapkan ini,” kata lelaki itu cukup agak
rendah.
“Saya tak sanggup..” balas ku sambil
menggeleng. Sekurang-kurangnya aku harus juga berfikiran rasional untuk memilih
lelaki itu sebagai suami. Oh! Tidak! Tiadakah calon yang lebih baik untuk diri
ku? Mengapa mesti lelaki itu? Hanya kerana anak di dalam kandungan ku ini? Macamana
dengan kehidupan ku nanti?
“Tolonglah saya. Hanya kamu sahaja yang boleh
membantu saya. Estaban itu anak bongsu saya. Dia kehilangan emaknya ketika dia
berusia empat belas tahun. Semenjak itu dia menjadi liar dan sukar dikawal.
Perangainya semakin menjadi-jadi apabila dia masuk ke universiti. Saya memang
terlalu kecewa apabila mendapat tahu yang dia sudah merosakkan kamu. Saya tidak
pernah membayangkan anak saya itu akan menjadi seorang yang sekejam itu,” luah
Christopher perlahan sahaja.
Aku diam tidak mencelah. Aku tahu lelaki ini
masih belum habis meluahkan perasaannya. Aku juga ingin mendengar ayat yang lain,
yang boleh meyakinkan diri ku dalam membuat keputusan selain daripada kasihan
kepadanya.
“Saya akui selama ini dia jauh dari didikan
moral dan agama. Dia tidak pernah ke gereja. Saya tidak pernah menyuruh malahan
dia tidak pernah belajar mengenai agama selama ini. Mungkin kerana itu dia jadi
begitu. Sebagai ayah saya tersiksa melihat cara hidup dia. Saya sedar lambat
laun hidupnya akan hancur jika dia terus berkeadaan begitu. Itulah yang paling
saya takutkan berlaku. Hotel ini bukanlah tujuan utama saya datang ke sini.
Saya mengenali keperibadian kamu daripada Ameena. Dari dia saya mendapat tahu
kamu seorang perempuan yang baik yang taat beragama. Dengan agama sahaja saya
dapat mengembalikan Estaban ke jalan yang betul. Saya sudah tidak sanggup
melihat dia menjadi begitu lagi. Cukuplah kamu seorang sahaja yang menerima
nasib seperti ini. Saya juga tidak sanggup membiarkan cucu saya lahir tanpa
bapa. Kita boleh memilih nasib yang lebih baik untuk anak ini, Insyirah.
Tolonglah saya. Saya yakin kamu akan berjaya membawa Estaban ke jalan yang
benar. Kerana agama islam adalah agama yang sempurna dan adil kepada
penganutnya. Agama islam adalah agama yang menerapkan banyak panduan kepada
umatnya agar lebih berdisiplin dalam hidup mereka,” ucap Christopher lembut
mendayu-dayu.
Aku terus terdiam mendengar Christopher
melahirkan harapannya. Dari riak wajah lelaki tua itu aku tahu Christopher
tidak main-main dalam hal ini kerana suaranya penuh dengan kesayuan dan
harapan. Masalahnya sanggupkah aku menggalas beban seberat ini? Kalau boleh aku
ingin menolak sahaja. Tetapi terkenangkan anak di dalam kandungan ku ini aku
mulai serba salah.
“Semua ini untuk Estaban? Untuk berkahwin
dengan saya dia perlu memeluk agama islam..” ucap ku kemudian.
“Itulah penyebab utama saya mahu dia
mengahwini kamu. Kalau kamu tidak hamil sekali pun saya tetap mahu dia
mengahwini kamu, jika kamu sudi. Kerana dengan mengahwini kamu, dia dimestikan
menganuti agama islam. Saya mahu dia dididik oleh agama kamu dan kamu sendiri,
Insyirah. Saya tahu hanya itu sahaja jalannya untuk membuat dia berubah.”
“Tapi memeluk agama islam memerlukan kerelaan.
Estaban bukan sahaja tidak mahukan agama tetapi dia tidak percaya kepada Tuhan.
Ini mustahil!” bangkang ku apabila teringatkan hal itu. Ini bukan lagi soal keinginan
lelaki tua ini sahaja. Tetapi aku tidak mahu mempermainkan agama demi melunaskan
kehendak lelaki ini. Besar bahayanya nanti.
"Kamu tahu kenapa pada namanya ada diletakkan juga nama Joseph?" soal Christopher kepada ku.
Aku terus menggeleng. Manalah aku tahu! Bukannya aku yang letak nama waktu dia lahir dulu. Kalau aku yang letak memang aku letak nama Bajingan bin Bengong!
"Dahulu ketika mama Estaban mengandungkan dia, kami terdengar cerita tentang kisah seorang nabi Allah bernama Yusuf. Yusuf seorang nabi Allah yang cukup tampan dan amat budiman. Ketampanan Nabi Yusuf sehingga membuatkan wanita terpukau sehingga ada yang terpotong tangan sendiri ketika memandang nabi Allah itu. Malah Zulaikha sanggup mefitnahnya kerana marah cintanya tidak dibalas. Namun Nabi Yusuf tidak pernah alpa dengan keistimewaan yang ada pada dirinya. Dia tetap seorang nabi yang taat kepada Allah. Dia tetap seorang lelaki yang sabar. Mama Estaban sangat sukakan kisah nabi Allah itu. kerana itulah dia meletakkan nama Joseph pada Estaban dengan harapan suatu hari nanti akan ada sedikit keperibadian lelaki istimewa itu berpindah kepada Estaban. Yusuf di dalam bible disebut sebagai Jospeh." Christopher terdiam seketika memikirkan kata-kata seterusnya. Aku pula terpaku mendengar kisah itu. Begitu ke kisahnya?
“Kamu tentu akan dapat membuat dia percaya. Kamu
adalah kelemahan dia, Insyirah.” Christopher tetap meneruskan keyakinannya.
“Saya kelemahan dia? Apa maksud awak?” soal ku
semakin tidak mengerti.
“Saya melihat keistimewaan kamu yang tiada
pada perempuan lain yang pernah dibawa oleh Estaban. Kamu memang cantik sebagai
perempuan islam dan sikap kamu yang lantang berbicara membuatkan saya kagum
dengan kamu. Sudah tentu ada sebabnya mengapa dia tergamak juga menyentuh kamu
dalam keadaan begitu. Saya ada memikir.. jika tujuan utamanya hanya sekadar
memuaskan nafsu, dia boleh mendapatkannya dari wanita lain yang lebih pandai
melayani dan lebih rela. Betulkan?” ucap Christopher sambil memandang ku.
“Tetapi daripada cerita Ryan dan kawan-kawan
dia yang lain saya mendapat tahu yang Estaban sebenarnya tergila-gilakan kamu.
Dia tetap mahukan kamu biarpun hanya untuk sekejap sahaja. Ada keistimewaan
kepada kamu sehingga membuatkan dia begitu nekad. Selama ini saya tidak pernah
menyangka yang anak saya akan tergamak memperlakukan ini kepada kamu. Rasanya
dia tidak perlu merisikokan hidupnya dengan memperlakukan kamu seperti itu jika
hanya untuk sekadar mahu mengejar keseronokan sementara. Pasti ianya lebih dari
itu!” ujar lelaki berambut perang itu lagi. Kedutan di wajahnya itu memaparkan mungkin
dia sudah terlalu keletihan dengan olah anak-anaknya. Mungkin olah Estaban
antara yang paling dasyat.
“Selepas kamu pulang ke Malaysia dia semakin
teruk. Saya mendapat tahu setiap malam dia mabuk. Pelajarannya juga semakin
teruk. Pernah juga Ryan mengatakan ketika Estaban mabuk dia menyebut-nyebut
nama kamu. Saya benar-benar bimbangkan dia. Tolonglah terima lamaran saya ini.
Saya tahu Estaban akan memeluk agama islam jika dia diminta berkahwin dengan
kamu. Saya tahu itu! Selebihnya sebagai isteri kamu tentu mampu membuat dia
berubah kerana wanita ada senjata yang mampu melemahkan lelaki. Saya akan
memastikan dia bertanggungjawab kepada kamu dan anak yang kamu kandungkan ini.
Saya janji!” ujar lelaki tua itu lagi dengan cukup bersungguh.
“Semua ini bukan mudah. Saya tak pernah
bermimpi untuk bersuamikan dia. Saya tak sukakan dia. Macamana saya nak
menerima dia dan mendidik dia? Ini semua sungguh berat untuk saya,” luah ku
pula. Mengapa aku pula yang dipilih untuk menanggung semua ini? Hanya kerana
aku sudah hamil, jadi inilah kesempatannya?
“Dah tentu, Insyirah. Kamu juga tidak pernah
bermimpi untuk mengandungkan anak Estaban tetapi itu tetap juga terjadi. Kamu
percaya kepada takdir tetapi kenapa tidak percaya kepada jodoh? Mungkin inilah
jodoh kamu.” Sekali lagi ucapan lelaki tua itu melantunkan keyakinannya.
Aku terdiam patah bicara mendengar kata-kata
bapa Estaban itu. Apa yang dia tahu tentang jodoh?
“Saya tahu kamu memang tak cintakan dia tetapi
demi anak yang awak kandungkan itu tolonglah terima lamaran ini. Saya merayu
kepada kamu, Insyirah. Tolong kasihankan lelaki tua ini. Saya yakin hanya kamu
sahaja yang boleh membuatkan Estaban berubah. Saya mahu hidup dia lebih
bermakna. Dan saya mahu dia membesarkan zuriat dia ini dengan sempurna. Masakan
kamu mahu membiarkan anak ini lahir sebagai anak luar nikah? Mungkin bagi
masyarakat di barat ini semua sudah biasa tetapi tidak bagi orang islam.
Lagipun saya ada terdengar ayah kamu memberitahu saya yang kamu malu kerana
anak ini anak yang akan dilahirkan di luar perkahwinan. Sekarang inilah masa
yang terbaik untuk kamu ubah takdir anak kamu itu,” tambah Christopher lagi. Pandai
sungguh lelaki tua itu mentarbiahkan aku sehingga pendirian ku jadi kelam kabut
begini.
“Saya tak tahu.. kalau saya menerima ini semua
saya tak tahu apa yang akan berlaku kepada saya. Sungguh, selama ini saya tak
pernah bermimpi yang ini semua akan terjadi kepada saya. Selama saya mengenali
Estaban, kami lebih banyak bertengkar dari berbaik. Saya tak tahu bagaimana
untuk saya jalani hidup dengan dia.” Perlahan sahaja keluhan itu ku lahirkan.
“Saya faham. Saya orang bukan islam tetapi
sebagai ahli perniagaan saya sudah pergi ke banyak negara dan melihat ramai
orang. Selama itulah saya berpengalaman mengenali agama islam yang pernah
diperkenalkan kepada saya oleh seorang lelaki arab. Saya amat kagum kerana
agama islam agama yang adil dan suci. Saya yakin dengan ajaran agama ini sahaja
Estaban dapat dijinakkan. Sebenarnya saya sudah lama memikirkan masalah Estaban
ini. Tetapi sebaik sahaja saya mengetahui Estaban hampir sahaja ditangkap kerana memperkosa kamu, hati saya memang hancur.
Saya cuba mencari kamu tetapi malangnya kamu tidak lagi ke kampus. Apa yang
saya tahu kamu sudah balik ke sini. Susah untuk saya membuat keputusan begini
sebenarnya. Saya tak pasti apakah ini mampu saya laksanakan. Tetapi apa yang
saya pasti mungkin sudah sampai masanya saya berusaha sebaiknya untuk membuatkan
Estaban berubah. Mungkin Tuhan mempunyai sebab dengan membiarkan kamu hamil,
sedangkan tiada wanita lain di luar sana yang hamil angkara Estaban. Mungkin
inilah sebabnya,” balas Christopher pula. Semakin lama semakin panjang
hujahnya.
Aku menghela nafas panjang. Tangan ku itu tiba-tiba
beralih ke perut ku, bagaikan tindakan refleks. Patutkah aku menerima lamaran
itu demi anak yang sedang ku kandungkan ini? Sememangnya kalau boleh aku mahu
anak ini lahir dengan sempurna. Mempunyai ayah dan juga ibu seperti kanak-kanak
lain. Juga lahir dari sebuah perkahwinan yang sah. Sungguh memalukan jika aku
melahirkan anak di luar perkahwinan. Lebih malang lagi apabila anak ini dewasa,
aku tiada jawapan yang mampu menyenangkan hati anak ku tentang status dirinya. Itulah
yang paling menakutkan aku sebenarnya.
Kini
aku kabur dengan jalan yag harus ku pilih. Sanggupkah aku melalui keadaan itu?
Tahankah hati ku nanti jika anak ini menjadi bahan ejekan orang lain kerana
statusnya sebagai anak luar nikah? Aku tahu demi masa depan anak ku ini, aku
harus siap mengorbankan perasaannya kepada Estaban.
Buat kesekian kalinya aku kembali bertanya kepada
diri ku. Benarkah aku yang harus berkorban saat ini? Entahlah! Ya Tuhan..
berilah aku jawapannya.
dpt jugak ayah estaban cari insyirah...harap sura kuat dan tenang buat keputusan...
BalasPadamayah estaban ni mcm ambik kesempatan pn ada gak
BalasPadamhebat sungguh dugaan buat Insyirah....
BalasPadam