Sekali
lagi aku ternampak lelaki yang sama di taman itu. Seperti yang ku jangka dia
mendekati ku apabila ternampak aku yang sedang berjalan kaki untuk pulang ke
rumah. Kalau selalunya aku melarikan diri tetapi tidak dengan kali ini. Aku
hanya menonong sahaja berjalan tanpa mempedulikan dia yang mengekori langkah
ku.
“Rina
pergi mana tadi?”
“Mana-manalah!”
aku menjawab sedikit kasar. Lemas dengan kehadirannya. Kali ini entah ceramah
agama bab mana pula yang mahu dipersembahkan buat halwa telinga ku ini.
“Rina
pergi cari kerja ke? Dah dapat kerja?” lelaki itu tetap mahu beramah tamah
dengan ku biar pun aku enggan melayannya. Entah kenapa aku benci benar melihat
lelaki itu yang tidak mahu faham yang aku enggan melayannya.
“Sarjana
dalam jurusan yang Rina cakapkan hari tu ada bawak sekali? Penting untuk
rujukan penemuduga tu..” dia cuba mengusik ku.
“Apa
yang abang nak dari saya lagi ni?” aku menyoal sebal lelaki yang sekali lagi
suka menyibuk tentang diri ku ini. Langkah ku terhenti dan aku berpaling
menghadapnya. Bukannya aku suka mahu melayannya tetapi aku sedar jika aku tidak
berhenti berjalan tidak mustahil dia akan mengekori aku sehingga ke muka pintu
rumah memandangkan kami kini sudah terlalu hampir dengan rumah ku.
“Abang
nak kawan dengan Rina..” Adam Zaffran tanpa segan silu meluahkan hasrat
murninya itu kepada ku. Selamba sahaja dia biarpun dia sedar aku pernah
berkasar dengannya sebelum ini dan tidak mustahil kali ini aku akan
melakukannya lagi.
Aku
terus tergelak mendengar kata-katanya itu. Lagaknya seperti anak-anak remaja
belasan tahun yang mahu berkenalan dengan gadis-gadis sebaya. Aku tidak tahu
mengapa aku meluat sekali memandangnya walaupun aku sedar dia boleh
diketegorikan sebagai lelaki yang ‘gentleman’ dengan gaya dan paras rupanya.
Sayang sekali aku bukanlah perempuan yang gemar melayan lelaki walaupun lelaki
ini agak tampan pada mata perempuan ku.
Adam
Zaffran menanti jawapan ku dengan rasa sabar. Dia terus memandang wajah ku
seolah-olah memandang aku yang sedang tertawa ini merupakan satu keseronokan
baginya.
“Dah
habis ketawa?” terkeluar perlian itu dari mulutnya saat aku hampir usai
mentertawakannya. Ada rasa tidak senang dengan kelakuan ku saat itu. Agaknya
dia tercabar apabila aku tanpa rasa bersalah mempersendakan keinginan murninya
itu.
Adam
Zaffran hanya memandang namun tiada secebis pun senyuman saat dia menatap ku.
Aku tahu dia masih bengang dengan tingkah ku.
“Eh!
Janganlah marah. Saya ketawa sebab saya rasa lucu pulak bila ada lelaki yang
nak membazirkan masa berkawan dengan perempuan yang bernaluri songsang macam
saya ni..” aku membalas sindiran itu dengan nada bersahaja.
“Kalau
dah tahu songsang masih nak teruskan juga?”
“Saya
suka macam ni..”
“Tak
takut siksaan api neraka? Api neraka tu panas tau..” dengan selamba Adam
Zaffran mengenakan aku.
Aku
memandangnya tajam. Sakit hati ku dengan soalannya itu. “Lantak sayalah nak
masuk api neraka ke apa! Abang sibuk apa? Bukannya abang masuk neraka sama
dengan saya. Jangan sibuk hal oranglah!!” aku sekali lagi menjerkahnya kerana
sakit hati dengan lagak ustaznya itu.
Adam
Zaffran menggeleng perlahan melihat sikap ku yang langsung tidak mencerminkan
kelembutan seorang perempuan.
“Jangan
sesekali takbur, Rina. ALLAH mendengar segala yang kita katakan. Rina tak suka
abang, takpe.. Rina boleh katakan seberapa banyak pun yang Rina mahu. Abang tak
ambil hati tapi dengan ALLAH jangan sesekali Rina takbur kerana nyawa yang ada
di badan kita ni milik ALLAH. Udara yang kita sedut ini pun hak ALLAH. Takde
sesiapa pun diantara kita termasuklah Rina mampu menanggung azab ALLAH. Dah
bersedia untuk bertemu dengan ALLAH dengan sifat takbur kita tu? Jangan
sesekali Rina kata macam tu hanya kerana nak menyakitkan hati abang. Jangan
kerana mulut yang tak bertapis nanti badan yang
binasa! Api neraka tu panasnya berganda-ganda dari panasnya api dunia ni
dan neraka ALLAH ciptakan tanpa rasa belas kasihan. Fikir tentang itu
baik-baik!”
Aku
terus terdiam dengan tegurannya itu. Ada terbesit rasa malu kerana terlanjur
berkata-kata. Nampak sangat aku bercakap tanpa menggunakan akal fikiran. “Maaf!
Saya tak sengaja tercakap macam tu..” perlahan sahaja suara ku saat aku
meluahkan rasa bersalah ku di atas keterlanjuran aku meluahkan kata-kata
sebentar tadi.
“Mohon
ampun dengan ALLAH. Mengampunkan orang yang berdosa dengan ALLAH ni bukan hak
abang. Itu hak ALLAH..” Adam Zaffran membalas tanpa senyuman kepada ku.
“Abang
sebenarnya nak apa dengan saya?”
“Kan
abang dah cakap apa yang abang nak tadi?”
“Saya
tak berminat, bang. Maaflah. Saya tak mahu berkurang ajar dengan abang tapi
abang pun tolonglah jangan naikkan darah saya. Bila saya cakap saya tak mahu
maknanya saya tak mahu. Tolong jangan ganggu saya.”
“Apa
masalahnya dengan abang ni? Hanya sebab abang ni lelaki Rina langsung tak mahu
berkawan dengan abang? Itu tak masuk akal. Sekurang-kurangnya Rina kena
jelaskan mengapa Rina tak suka berkawan dengan lelaki. Abang tak minta lebih,
hanya setakat kawan aja. Takkan itu pun salah?” Adam Zaffran seperti yang ku
duga tidak akan semudah itu menerima alasan ku. Aku mengagak yang dia ini jenis
lelaki yang tidak mudah mengalah.
“Ramai
lagi orang lain yang boleh abang jadikan kawan. Kenapa abang sibuk-sibuk nak
kawan dengan saya pulak?” seperti tadi pertikaian itu tetap aku teruskan.
“Err..
mungkin sebab abang suka tengok Rina.”
Aku
tergelak sinis dengan jawapannya itu. “Suka tengok saya atau pun suka nak jadi
ustaz saya? Nanti bila saya nak belajar agama saya cari abang ya?” aku
memerlinya.
“Kenapa
dengan Rina ni? Abang nampak ada yang tak kena dengan Rina. Tak sepatutnya Rina
balas niat baik orang lain dengan tengkik herdik. Ini bukan amalan orang islam.
Dalam islam tiada istilah individualiti. Islam mengajar kita berbaik-baik
antara satu sama lain dan mengambil berat antara satu sama lain. Rina tak fikir
perasaan orang yang Rina tengking tu macamana?”
Aku
memandangnya lama. Entah kenapa aku kelu apabila mendengar ayatnya yang
terakhir itu. Adakah aku memikirkan perasaan orang lain selama ini? Apakah emak
memikirkan perasaan ku selama ini apabila emak mengherdik ku? Tidak! Emak tidak
pernah memikirkan aku semasa melemparkan kata-kata cacian dan mengherdik aku.
Emak tidak pernah berasa simpati saat menghalau aku keluar dari rumah dahulu.
Emak tidak pernah memikirkan untung nasib ku apabila emak sudah nekad mahu
menghalau aku dari rumah. Emak tidak..
“Rina..”
suara Adam Zaffran mematikan hayalan ku.
Aku
memandangnya dengan terpinga-pinga.
“Kenapa
dengan Rina ni? Pandang muka abang tapi fikiran ke tempat lain..” Adam Zaffran
menegur kelakuan ku.
“Maaf!
Saya tak sengaja..” luah ku perlahan. Terasa malu kepadanya kerana membiarkan
dia melihat kelakuan ku sebentar tadi.
“Ada
apa ni, Rina? Abang tahu Rina ada masalah. Ceritalah dengan abang. Mana tahu abang
boleh tolong?” pujuk Adam Zaffran.
“Saya
tak sepatutnya menceritakan hal peribadi saya pada orang luar. Saya tak kenal
abang dan abang pun tak perlu tahu apa masalah saya. Maaf, saya nak balik..”
sebaik sahaja berkata begitu aku segera meneruskan perjalanan ku yang
tergendala sebentar tadi.
“Rina,
abang takkan berputus asa sampailah Rina lenturkan sedikit kedegilan Rina tu.
Abang bukan orang yang senang mengaku kalah. Abang tetap akan cari Rina lagi.
Apa salahnya kalau kita berkawan?”
Aku
menghela nafas berat apabila dia mengekori ku lagi. Sekali lagi kaki ku
berhenti melangkah. Bosannya aku dengan lelaki ini! “Saya tak tahulah mengapa
saya ni diketemukan dengan orang yang muka tembok, tak reti bahasa, sengal
macam abang ni! Bila saya menengking abang, abang ambil hati tapi bila saya
cakap baik-baik abang buat tak tahu. Saya tak mahu, fahamkan apa maknanya?” aku
dengan penuh perasaan meluahkan rasa geram ku kepadanya.
“Abang
tetap nak kawan dengan Rina walau apa pun Rina labelkan abang. Abang tak kisah
dan selagi niat abang ni tak menyalahi undang-undang abang tetap akan teruskan.
Fahamkan apa maknanya tu?” ucap Adam Zaffran lembut dan dia tersenyum manis
kepada ku.
“Saya
tak nak kawan dengan abanglah! Pergilah sana!” tegas ku.
“Abang
nak kawan dengan Rina.”
“Hi!!!
Geramnya! Wahai, alam semesta.. kenapalah ada makhluk lelaki yang datang dekat
aku sekarang ni?? Menyampahnya!!!” aku menjerit kepada alam sekeliling kerana
tertekan dengan ulah Adam Zaffran.
Adam
Zaffran memandang ku dengan senyuman. Dia berdiri di hadapan ku sambil berselok
poket. Sedikit pun dia tidak peduli dengan kelantangan suara ku sebentar tadi.
“Rina tahu dah beberapa hari abang tunggu Rina kat taman tadi tu. Abang ingat
abang akan dapat jumpa Rina.”
“Siapa
suruh tunggu?” bentak ku benci kepadanya.
“Abang
yang nak tunggu. Bila abang boleh keluar dengan Rina?” Adam Zaffran masih mahu
menebalkan muka bertanya kepada ku sedangkan saat ini dia tahu yang aku
teramat-amat menyampah kepadanya. Lelaki ini sememangnya bermuka tembok!
“Tak
nak!”
“Bolehlah..
Kat kedai mamak biasa tu pun boleh asalkan abang dapat keluar dengan Rina.”
“Eeeii!
Tidak! Kalau kawan-kawan saya nampak nanti habislah saya.”
“Habis
tu kat mana?”
“Kenapa
abang nak keluar dengan saya pulak ni?”
“Oklah.
Kalau macam tu boleh abang mintak nombor telefon Rina?”
“Tak
boleh!”
Adam
Zaffran tersengih. “Kalau Rina tak nak bagi abang tanya dengan kawan-kawan
Rina. Abang bukannya tak tahu yang Rina tinggal di mana. Mana yang senang?
Tanya dengan Rina sendiri atau dengan kawan-kawan Rina?”
Aku
mengertap bibir geram dengan ulah lelaki ini. Dia bijak menggunakan kelemahan
ku sebagai kesempatan untuknya. Mendesak ku dengan cara yang halus begini
membuatkan aku kalah.
“Muka
tak malu! Orang tak sudi dia main paksa pulak! Cepatlah!” dalam keadaan yang
bengang dengan perangainya aku tetap akur memberikan nombor telefon ku walaupun
mulut ku asyik membentak marah dengan sikapnya yang suka mendesak itu.
Adam
Zaffran tersenyum senang. Dia menyeluk poketnya dan mengeluarkan telefon
bimbitnya. Setelah menyalin nombor telefon yang aku sebutkan dia terus
mendailnya bagaikan memastikan nombor yang sudah ku sebut kepadanya itu adalah
nombor yang masih ada di dalam perkhidmatan.
Aku
memandang wajahnya dengan rasa jengkel. “Abang ingat saya bagi nombor telefon tipu
ke?” aku mengejeknya geram.
“Taklah!
Abang cuma nak pastikan yang telefon Rina tu berdering apabila abang call.
Sekarang baru abang puas hati sebab abang yakin yang Rina takkan beri alasan
telefon rosak bila abang call sebab abang dengar dengan jelas bunyi telefon tu
dari dalam beg Rina tu..” Adam Zaffran menjawab dengan cara yang amat
menyakitkan hati aku.
Aku
menggeleng perlahan. Penat memarahinya aku kini memutuskan untuk bersabar
sahaja dengan ulahnya. Tiada gunanya aku menengking herdik dia kerana dia
sememangnya tidak faham bahasa.
“Nanti
abang call bolehkan?”
“Janganlah
tanya soalan bodoh! Dah ada nombor tu telefon ajalah!”
Adam
Zaffran tersengih lagi. “Maksud abang tadi, bila abang call Rina jawab ya?
Jangan biarkan aja macam tu. Tak baik hampakan orang. Berdosa! Esok abang
tunggu Rina kat taman ya? Nanti kalau Rina balik dari cari kerja kita borak
lagi.”
Aku
menjeling menyampah kepadanya. Mengapalah aku diketemukan dengannya? Mengapalah
dalam kebanyakan wanita di Malaysia ini dia memberi perhatian kepada ku?
“Tengoklah kalau rajin. Rasanya esok saya lalu jalan lain kot..”
“Kalau
macam tu abang tunggu depan rumah ya?”
Aku
memandangnya dengan rasa mahu menyinga. Sekali lagi dia menggunakan desakan
halusnya itu. Dia memang sengaja mahu menyakitkan hati ku. Dia enggan faham
yang aku tidak suka dengannya sebaliknya dia memaksa ku untuk menerima
kehadirannya dengan bermacam helah. Dia memang bijak menggunakan kesempatan
yang ada!
“Jangan
pandai-pandai nak tunggu depan rumah pulak!”
“Kalau
macam tu kita jumpa kat taman esok?”
Aku
menghela nafas berat. Desakkannya membuatkan aku serba salah kini. Kalau aku
tidak menurutnya tidak mustahil dia akan menunggu aku di hadapan rumah seperti
yang ‘diugut’nya kepada ku sebentar tadi. Aku tahu jika tidak bijak berhelah
aku sememangnya tidak mampu melepaskan diri dari lelaki ini. Masalahnya aku
bukannya jenis orang yang pandai memutar belit.
“Bolehlah..”
Adam Zaffran yang sudah menghidu kelemahan ku segera menggunakan peluang yang
ada. Dia merayu-rayu pula agar aku kalah dengannya.
“Yalah!
Tapi ingat, jangan sesekali abang nak datang rumah saya.”
“Kalau
Rina datang ke taman petang esok seperti yang dijanjikan abang takde sebab nak
‘jemput’ Rina di rumah. Betulkan? Orang yang beriman dia akan berpegang kepada
janji..” balas Adam Zaffran sambil tersenyum senang kepada ku.
Aku
terdiam. Ya! Aku dikira sudah berjanji kepadanya. Bermakna aku akan
menepatinya. Aku tidak tahulah untuk apa aku memenuhi undangannya itu tetapi
apa yang aku tahu semua itu bagaikan tidak dapat ditolak lagi.
“Insyaallah,
saya akan datang.”
“Alhamdulillah.
Sekurang-kurangnya abang yakin Rina akan berusaha untuk menepati janji Rina
dengan abangkan? Insyaallah, abang akan tunggu Rina di taman..” lembut sekali
suara Adam Zaffran menyambut kata-kata ku.
“Ada
apa-apa lagi yang abang nak dari saya ni? Kalau takde saya nak balik!” tegas
ku.
Adam
Zaffran tersengih sedikit. “Sebelum ni abang dengar Rina kata Rina ni lesbian.
Abang tak percaya! Abang tahu Rina tipu dan abang ada bukti yang Rina menipu..”
Berkerut
dahi ku mendengar bicaranya itu. “Bukti apa pulak?” soal ku dengan rasa hairan
yang menggunung.
“Abang
dah add Rina dalam Facebook abang. Dalam Facebook Rina tu ada gambar seorang
lelaki yang kalau tak silap abang itu pelakon Hollywood. Abang nampak Rina
labelkan dia sebagai my love, betul tak? Kalau lesbian kenapa ada gambar
lelaki? Muka sama macam muka abang pulak tu..”
“Eeeii...
perasannya! Muka abang macam muka Alex O’laughlin ke? Tak malu ke kata muka
sendiri macam muka pelakon Holywood?” ejek ku geram. Tidak sangka dia
menyelongkar laman peribadi ku di Facebook. Memang dihamparan buku itu aku
letakkan gambar Alex O’loughlin sebagai wakil diri ku dan aku letakkan
perkataan ‘Alex my love’ di situ kerana aku memang cintan habis dengan pelakon
itu. Sengaja aku tidak letakkan wajah ku sebaliknya aku menggunakan wajah
lelaki itu tetapi nama sebenar tetap aku kekalkan supaya aku senang dicari.
“Tapi
memang muka dia lebih kurang seiras dengan muka abangkan?” Adam Zaffran berkata
selamba. Tersenyum manis sehingga aku seperti merasakan lelaki yang berada di
hadapan ku ini adalah Alex yang aku minati itu. Orakan senyumannya memang
memikat.
Sebuah
jelingan aku lemparkan kepadanya kerana aku malas mahu melayannya lagi. Aku
mahu pulang. “Saya nak balik. Abang sambunglah perasan abang tu seorang diri.
Saya malas nak layan..”
“Baliklah..
jalan baik-baik ya? Jangan ikut orang yang Rina tak kenal...” pesannya lembut.
Aku
mengangguk dan saat itu entah kenapa aku tersenyum kepadanya. Seperti diluar
kawalan buat seketika tanpa kata kami berpandangan lama sebelum akhirnya aku
memutuskan untuk berlalu. Saat berjalan menuju ke rumah ku yang cuma tinggal
beberapa meter sahaja dari ku aku asyik berfikir mengapa aku membalas
renungannya sebentar tadi. Mengapa aku seakan berkhayal pula saat menikmati
renungannya itu.
Aku
tidak faham dengan diri ku ini?
“Jangan
ikut orang yang adik tak kenal..” pesanan lelaki misteri malam itu kedengaran
lagi. Hampir sama seperti yang diucapkan oleh Adam Zaffran. Diakah lelaki malam
itu? Sebelum aku masuk ke dalam rumah sempat lagi aku menoleh kepadanya yang
masih tetap di situ memandang ku. Dia tersenyum dan melambaikan tangannya
kepada ku apabila ternampak aku memandangnya semula.
Entah
kenapa saat itu hati ku bagaikan terusik dengan kelakuannya. Tidak pernah aku
berperasaan begini kepada mana-mana lelaki. Aku sempat membayangkan betapa
indahnya hidup ku jika aku mempunyai kekasih yang akan menanti ku sehingga aku
selamat masuk ke dalam rumah sebagai tanda dia amat mengambil berat akan
keselamatan ku. Eh! Tadi aku yang jual mahal sangat. Sekarang aku bayangkan dia
adalah kekasih aku? Biar betul? Darina... dah biol agaknya otak kau ini.
Ah!
Apa salahnya berangan-angan? Tak luak apa-apa pun. Itu hanyalah sekadar
bayangan ku sedangkan hakikatnya aku amat takut untuk merisikokan apa-apa
mengenai diri ku kepada mana-mana lelaki. Aku masih fobia untuk berdekatan
dengan mana-mana lelaki dan aku amat sukar untuk mempercayai mereka.
Tetapi
mengapa agaknya apabila dengan Adam Zaffran aku kalah? Apa kehebatan lelaki itu
sebenarnya sehingga dalam kemarahan dan kebencian yang ada di dalam hati ku ini
aku tetap lemah kepadanya. Dengan Jabar suatu masa dahulu aku tidak pernah
merasa begini biarpun dia berusaha keras menunjukkan kebudimanannya. Dengan
Jeremy aku tetap tidak mampu mempercayainya biarpun dia meluahkan kata-kata
yang manis. Ah! Apakah aku sedang kalah? Mana buktinya aku sedang kalah? Hanya
kerana wajahnya serupa Alex O’loughlin aku merasakan aku sedang kalah? Murahnya
aku! Hati ku tertawa sendiri menafikan apa yang sedang bermain di fikiran ku
ini.
Tidaklah!
Ini baru permulaan. Dia bukanlah sesiapa. Dia hanya seorang lelaki yang akan
kecewa jika dia menggantung harapan kepada ku kerana aku sama sekali tidak akan
melayan perasaannya!
Sama
sekali tidak akan!
“Siapa
lelaki tadi tu, wak?” suara Remy kedengaran mengejut aku yang sedang bersiap
mahu mandi. Aku lantas menoleh dan aku terlihat Remy sedang berdiri di pintu
bilik ku yang terbuka luas. Aku tidak sedar bila masanya dia datang ke rumah ku
ini. Cepat-cepat aku mengambil kain tuala bagi menutupi bahu ku yang terdedah.
Bukannya
aku malu dengan aurat ku kepadanya. Aku sedar dia juga wanita sama seperti aku
tetapi Remy, Boy, Max dan teman-teman ku yang lain mereka memiliki nafsu kepada
wanita seperti aku. Nafsu mereka sama seperti lelaki yang suka melihat wanita
seksi dan aku tidak suka Remy memandang ku seperti saat ini. Matanya meliar
memandang aku yang sedang berkemban tuala.
Remy
masuk ke bilik ku tanpa dijemput. Lebih mengilukan hati ku apabila melihat dia
menutup pintu bilik itu. Aduhai... aku tidak sanggup membiarkan dia memegang
aku seperti lelaki memegang perempuan.
Sama
sekali aku tidak rela!
“Siapa
lelaki tadi tu?” Remy menyoal lagi apabila dia berdiri dekat dengan ku.
Hembusan nafasnya yang hangat menyaluti bahu ku membuatkan aku semakin ngeri.
Oh! Tidak! Minta jauhlah aku dari perempuan seorang ini..
“Lelaki
mana pulak?” aku buat-buat tidak tahu padahal saat menyalin pakaian sebentar
tadi aku masih terfikir-fikir tentangnya.
“Mamat
yang bercakap dengan awak kat bawah pokok besar tu. Saya nampak awak bercakap
dengan dia tadi. Dia nak apa dengan awak?” Remy menyoal ku dengan lagak sebagai
teman lelaki yang cemburu.
Aku
memandang Remy dengan pandangan yang malas. Jika boleh aku sememangnya tidak
mahu menjelaskan apa-apa kepadanya supaya dia tahu yang aku bukanlah ‘teman
wanita’nya seperti yang dianggap olehnya.
“Siapa
dia?” Remy mendesak agar aku menjawabnya.
“Dia
cuma menegur aja. Bukannya dia nak apa-apa.”
“Menegur?
Lamanya dia menegur awak? Saya perhatikan dari tadi dekat sepuluh minit awak
layan dia?” Remy dengan lagak sebagai teman lelaki ku segera menunjukkan
kuasanya bersoal jawab dengan tingkah ku.
Aku
mengeluh sedikit kuat bagaikan kebosanan dengan sikap Remy. “Dia tinggal kat
sini sama macam kita dan dia selalu nampak saya. Apa salahnya dia tegur saya
dan apa salahnya saya bercakap dengan dia?”
“Orang
lain dia tegur tak?” Remy seakan menyindir jawapan ku. Jelas sekali dia
mempertikaikan kewajipan aku untuk melayan lelaki itu.
“Remy,
keluar boleh tak? Saya nak mandi..” Aku memandangnya tajam sebagai ingatan yang
aku memang tidak gemar dengan kelakuannya yang melebih-lebih itu. Dia tiada hak
untuk menegah aku daripada melayani Adam Zaffran.
“Jangan
layan dia lagi. Saya tak suka!” tanpa mempedulikan kata-kata ku Remy tetap
meneruskan apa sebenarnya yang mahu disampaikan kepada ku semenjak tadi.
Aku
tersenyum sinis kerana aku sudah boleh membaca apa sebenarnya yang dia mahukan
dari ku. Baik Adam Zaffran mahupun lelaki palsu ini sama-sama membuatkan aku
jengkel dengan kelakuan mereka. Siapa dia mahu menegah aku?
“Dengar
tak saya cakap ni?” tekan Remy apabila aku diam sahaja.
Aku
mengeluh keras. “Saya tak pekak. Tak perlulah nak cakap banyak kali.”
Remy
dengan lagak lelakinya menarik lengan ku agar memandangnya. Aku menurut sahaja
namun pandangan mata ku singgah hanya seketika sahaja di wajahnya. Aku
amat-amat tidak gemar dengan kelakuannya ini. Dia lelaki celup dan aku
perempuan asli. Kami mempunyai batas yang lebih kurang sama antara lelaki dan
wanita walaupun pada hakikatnya bersentuhan aku dan dia tidak membatalkan air
sembahyang. Hakikatnya aku tidak memiliki perasaan yang ada di dalam hatinya
itu. Langsung tidak! Aku hanya menganggap Remy sekadar kawan sama seperti Max
dan Boy. Tetapi Remy tidak begitu. Semakin aku tidak melayan semakin itu dia
menunjukkan kelakuannya yang dianggapnya sebagai perihatin tetapi bagi ku itu
adalah sikap mahu memonopoli.
“Jangan
layan dia. Saya tak suka tengok awak bercakap dengan orang lain apatah lagi
lelaki. Awak tahukan yang saya sukakan awak semenjak dulu?” lembut sahaja Remy
berbicara kepada ku.
“Saya
tahu awak suka saya tapi saya nasihatkan awak supaya jangan membazir masa
dengan saya.”
“Kenapa?”
“Sebab
saya ni bermasalah. Tolong jangan tanya apa masalahnya sebab saya takkan
ceritakan pada orang yang tak boleh memberikan saya jalan untuk menyelesaikan
masalah saya ni.”
“Jadi
lelaki tu boleh selesaikan masalah awak?”
“Dia
dengan awak lebih kurang sama aja. Kalau bercakap suka nak menaikkan darah
saya. Kalau awak tak tahu apa yang awak cakap lebih baik awak diam. Sebab saya
malas nak mengusutkan fikiran saya yang dah sedia kala kusut ni dengan masalah
yang tak wujud! Tolong keluar sebab saya nak mandi.”
“Rina!!!”
kami berdua terkejut apabila Max menerobos masuk ke bilik ku tiba-tiba. Ada
telefon di tangannya.
“Apasal
dengan kau ni?” soal ku hairan.
“Kau
kena ganti Amanda esoklah. Amanda accident.
Tangan dia patah. Show kat Pavillion besok takde siapa nak ganti. Model lain
semua pax..” keluh Max dengan muka
semacam. Bimbang mungkin aku menolak permintaannya itu. “Boleh ya, Rina? Esok last. Aku takkan minta kau ambil job lagi. Lepas habis show esok, aku bagi payment kat kau terus. Amacam?”
Aku
hanya mengangguk sahaja. “Pukul berapa?”
“Show start
jam sebelas. Pukul sembilan pagi kau ready.
Kita pergi sama..” kata Max sebelum berlalu pergi meninggalkan aku dan Remy di
situ. Aku kembali memandang Remy. Dia masih tiada tanda-tanda mahu berambus
dari bilik ku.
“Saya
tidur sini boleh tak, wak?” dengan lembut Remy meminta keizinan ku untuk tidur
di bilik ku. Namun aku sebenarnya sangat mengerti yang dia sebenarnya mahu
meniduri ku seperti kelazimannya bagi pasangan kekasih.
“Boleh...”
aku menjawab meleret sambil berjalan ke bilik air.
Saat
berada di muka pintu bilik air aku memandang Remy semula.
“Boleh
blah!!! Saya tak mahu awak ada dalam bilik saya. Tolong keluar!” kata ku tegas.
Selesai
mandi terhendap-hendap aku keluar dari kamar mandi. Aku bimbang Remy masih ada
di dalam bilik ku. Tetapi saat aku menjengukkan kepala keluar aku tidak
terlihat sesiapa. Lega perasaan ku kerana makhluk yang paling tidak aku
inginkan itu sudah tiada di dalam bilik tidur ku.
“Reti
pun bahasa!” aku berkata sambil tersenyum kelegaan.
Sedang
aku mengenakan pakaian aku kini diganggu pula oleh panggilan seseorang melalui
telefon bimbit ku. Saat aku menelek nama si pemanggil yang tertera hanyalah
nombor yang tidak pernah ku lihat sebelum ini.
Aku
lantas menekan butang hijau untuk menjawabnya. Terus sahaja pancaindera ku ini
menangkap suara seorang lelaki. Sekali imbas sahaja aku sudah tahu siapa si
pemilik suara ini.
“Sembahyang
maghrib dah?” Tanpa salam dia berkata begitu kepada ku. Aku terus terkejut
mendengarnya.
“Saya
uzur!” aku menjawab kasar melalui corong gadget itu. Sakit hati ku kerana dia
selalu sahaja berlagak seperti ustaz kepada ku.
“Oh!
Abang ingatkan Rina boleh sembahyang. Saja je abang nak ingatkan..” tenang
sahaja suara Adam Zaffran berkata kepada ku.
“Terima
kasih banyak-banyaklah Ustaz Adam Zaffran. Saya tak boleh sembahyang sekarang. Nanti
kalau saya nak sembahyang saya sembahyang ya?”
“Sembahyang
tu tiang agama, Rina. Hukum sembahyang ni wajib melainkan bagi yang uzur. Abang
nak Rina sedar yang Allah selalu melihat kepada hamba-Nya. DIA tahu setiap apa
yang dikerjakan oleh hamba-Nya. Walau apapun yang berlaku abang tak mahu Rina
abaikan solat kerana solat ini adalah kunci kepada kesejateraan hidup umat
manusia. Dengan solat hati akan bersih dan kita akan beroleh kedamaian pada
hati. Orang yang solatnya sempurna dia akan mampu menolak untuk melakukan dosa
dan dia akan sentiasa redha dengan apa yang Allah berikan kepadanya. Abang tahu
Rina faham apa yang abang maksudkan ni. Abang harap Rina akan fikirkan apa yang
baik daripadanya.”
Aku
terdiam mendengar kata-katanya itu. Entah kenapa saat ini aku bagaikan hilang
upaya untuk melawan bilah bicaranya itu. Aku kekeluan dan kata-kata itu meresap
jauh ke dalam hati ku.
“Saya
dah lama tak bersolat. Dah berbelas tahun..” aku menjawab perlahan. Pengakuan
yang jujur dari lubuk hati ku.
“Beristighfarlah.
Minta ampun kepada Allah.” Adam Zaffran membalas tanpa sedikit pun merasa
terkejut dengan pengakuan ku itu.
Aku
terdiam mendengar itu.
“Nur
Darina, sekali bila kita buat dosa Allah akan letakkan titik hitam di hati
kita. Semakin banyak kita lakukan dosa semakin hitamlah hati kita. Apabila
sampai suatu masa Allah akan menarik balik kenikmatan yang Allah berikan kepada
kita. Rezeki akan disempitkan, hati akan susah, wajah akan kusam kerana tidak
pernah dibasahi oleh wuduk dan kita akan semakin banyak ditimpa kesusahan. Apa
yang paling teruk ialah kita tak mampu melihat kebenaran kerana hati sudah
terlalu hitam. Nilailah diri kita di mana kita sekarang? Bagaimana hati kita?
Abang tak mahu Rina terus membiarkan solat sedangkan azab Allah menanti bagi
orang yang melalaikan solat. Mulakan perubahan sekarang. Rina akan temui
ketenangan yang tidak boleh didapati di mana-mana. Ketenangan ni hanya akan
kita dapati jika kita berdekatan dengan Allah iaitu sujud kepada Allah. Cubalah
sekali. Dengar cakap abang. Ambil wuduk, istiqamahlah dengan niat yang tulus
dan ikhlas kerana Allah dan berdiri di atas sejadah dengan tekad untuk
menghambakan diri kepada Allah. Insya-Allah, Rina akan temui keajaiban solat tu
setelah Rina bersujud dengan seikhlas hati kepada Allah. Rina akan merasakan
ketenangan dan keresahan yang Rina rasakan tu akan hilang. Bila hati kita tidak
tenang itu kerana kerana kita rindu kepada Allah. Cuba lembutkan hati Rina
untuk melawan bisikan yang mahu menghalang Rina dari menunaikan perintah Allah.
Insya-Allah, Allah akan bantu Rina menemui ketenangan yang Rina cari selama ini.
Percayalah cakap abang ni.”
Aku
semakin terdiam saat menekap telefon itu ke telinga ku. Kata-katanya meresap
semakin jauh ke dalam hati ku. Apakah keresahan hati yang sering ku alami ini
kerana aku terlalu jauh dari Allah dan aku merindui Tuhan yang mencipta diri ku
ini.
“Terima
kasih sebab abang mengingatkan saya..” balas ku dalam suara yang amat rendah.
Terharu hati ku dengan nasihatnya.
“Abang
hanya mahu Rina jalani hidup ni sebaik-baiknya. Berjalanlah di atas landasan
yang benar. Jangan sesekali kita melawan kekuasaan Allah kerana kita adalah
hamba Allah yang lemah. Orang yang ingkar perintah Allah adalah orang yang
takbur dan mahu melawan kekuasaan Allah. Kita patut sedar yang kita takkan
mampu melawan kuasa Allah. Jangan menanti sehingga Allah mengunci hati kita
sehingga kita tidak boleh berubah lagi. Selagi ada peluang gunakanlah
sebaik-baiknya. Masih ada peluang untuk Rina berubah. Abang tahu Rina sekarang
sedang terleka dengan keadaan sekeliling yang tidak elok bagi Rina. Tetapi
tiada siapa yang mampu merubah keadaan ni melainkan diri kita sendiri. Abang
mahu Rina buka mata hati Rina dan lihat di sekeliling Rina dan lihat ke dalam
diri Rina. Jangan biarkan keadaan ini berterusan lagi. Semakin lama Rina
biarkan semakin susah Rina nanti.”
Aku
terus terdiam memikirkan kata-kata Adam Zaffran itu. Aku sedar kata-katanya itu
benar belaka. Aku tersesat di jalan yang terang. Aku sudah lama lemas di dalam
kekufuran dan dosa-dosa. Aku terlalu jauh dari rahmat Allah kerana itulah aku
sering tidak tenang.
“Maafkan
abang kalau apa yang abang katakan tadi tu menyakitkan hati Rina tapi sebagai
manusia kita ada tanggungjawab untuk saling mengingatkan apa yang wajib. Itulah
niat abang. Abang bukannya nak menghina Rina atau nak berlagak pandai dengan
Rina. Abang cuma mahu Rina ambil kebaikan daripada kata-kata abang tadi. Abang
cuma mahu Rina hidup dalam kehidupan yang lebih bermakna. Itu sahaja.”
“Saya
tahu niat abang baik. Saya ni yang terlalu ego untuk mengakui kebenaran
kata-kata abang tu. Saya ni banyak dosa..” aku sebak untuk mengakuinya. Entah
kenapa aku mudah pula untuk mengakui itu kepadanya sedangkan sebelum ini aku
amat bencikan dia.
“Allah Maha Pengasih dan Maha Pengampun, Rina. Selagi nafas kita masih ada ini
gunakanlah peluang ini sebaiknya untuk bertaubat kepada Allah. Tiada siapa yang
tahu bilakah kematian akan datang kepada kita tetapi amat menakutkan jika kita
mati dalam keadaan kita kufur dan tidak sempat meminta ampun kepada Allah.
Bukankah setiap dari kita patut mengangankan usul khatimah iaitu kematian dalam
keadaan yang baik? Minta Allah jauhkan kita dari kematian dalam keadaan
berdosa. Bersolatlah kerana solat itu akan membersihkan dosa. Solat adalah cara
yang terbaik untuk kita memohon keampunan kepada Allah.”
“Saya
tahu, bang. Terima kasih sebab nasihatkan saya.”
“Tak
perlu berterima kasih pada abang sebab apa yang abang buat ni hanya percuma.
Tak perlu dibayar. Abang benar-benar mahu melihat Rina berubah.”
“Kenapa
saya?”
“Anggap
ajalah ini adalah sebahagian dari kerja Allah. Allah temukan kita dan kebaikan
dari pertemuan ini adalah anugerah Allah,” Adam Zaffran menyambut lembut
bagaikan memujuk aku agar mendengar nasihatnya.
Aku
akur. Ya! Sukar untuk aku menolak yang lelaki ini adalah lelaki yang baik.
Suaranya selalu kedengaran ikhlas dan melambangkan kesungguhannya. Aku sahaja
yang sering menolaknya.
Saat
itu hati ku yang sepi ini mulai berbisik sayu. Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosa
ku selama ini. Aku selalu khilaf dengan kekuasaan Mu. Aku bermohon keampunan
kepada Mu..’
“Abang,
saya minta maaf. Janji kita esok terpaksa ditunda..”
“Kenapa?”
soal Adam Zaffran.
“Saya
ada show kat Pavillion tengahari esok. Saya tak tahu pukul berapa saya balik..”
kata ku perlahan.
Adam
Zaffran diam seketika. “Show pukul berapa?” soalnya.
“Jam
sebelas..” ringkas sahaja jawapan ku.
“Carilah
kerja lain, Rina. Kerja macam tu tak berkat. Cari kerja ni kena sabar sebab
rezeki ni hak Allah. Kalau kita sabar bila meminta kepada Allah, insya-Allah,
akan ada jalannya..” nasihat Adam Zaffran lembut.
“Saya
tahu. Selama ni itulah yang saya usahakan. Tapi saya takut kalau saya tak ambil
job tu nanti saya susah kalau masih tak dapat kerja. Niat saya bila saya dapat
kerja lain saya akan berhenti..”
“Baguslah
kalau begitu. Jadi bila kita boleh jumpa?”
“Lusalah..”
“Okay.
Lusa abang tunggu Rina kat sana. Kita jumpa. Jangan tak jadi pulak ya? Penat
abang tunggu Rina hari-hari..” bisik lelaki itu lembut. Terselit lagi
usikannya.
Aku
tersenyum dalam diam. Cara lelaki ini yang amat lembut benar-benar menguja
perasaan ku. Cara dia membahasakan diri kedengaran amat romantis. Entah kenapa
perasaan ku terbuai seketika. “Okaylah. Lusa kita jumpa..”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan