Jumaat, 23 Ogos 2013

Bab 11-BIMA

Oktober 2003 (Aku di tingkatan enam atas)
“Intan!!!” pekikan emak menyentak dan menganggu tumpuan ku. Aku  lantas memandang ke arah pintu bilik yang ternganga luas. Sebuah keluhan terkeluar dari mulut ku apabila siren emak sudah kedengaran lantang.
Tidak lama kemudian tampang emak kelihatan di mata ku. “Apa kau buat memerap aja dalam bilik ni?” nada suara emak kedengaran kasar menyoal aku dari ambang pintu bilik kecil ku ini.
“Intan tengah study, mak..” aku sekadar menjawab hambar kerana sebahagian daripada semangat bagaikan hilang dek kerana kelantangan suara emak. Terasa terganggu lagi waktu belajar ku dengan kehadiran suara emak yang kasar itu.
“Tengokkan adik-adik ni kejap. Aku nak ke kedai..” perintah emak kepada ku yang masih tercangak-cangak di meja kecil itu.
“Yalah..” akur dengan arahannya aku lantas menutup buku prinsip akaun yang sedang terbentang di hadapan ku itu. Perintah emak lekas dituruti dengan rasa sabar. Adik-adik ku Isha dan Elmina di ruang tamu segera aku dekati sementelah bayang emak sudah tidak kelihatan lagi di bilik itu. Mungkin emak sudah pun berlalu ke kedai seperti yang dikatakannya sebentar tadi.
Aku menemani adik-adik ku yang sedang bermain di ruang tamu itu. Daripada setengah jam mula menjadi berjam-jam emak menghilang ke kedai. Aku pula selagi emak ku itu tidak pulang dari kedai aku akan terus setia di situ melayan adik-adik yang masih kecil jika tidak mahu sebarang masalah melanda ku nanti. Bukannya aku tidak tahu baran emak jika aku gagal melunaskan kerja yang diarahkan seperti yang dimahukan emak. Adik ku Farisya berusia lapan tahun asyik menonton rancangan tv sementara Elmina baru tiga tahun membelek anak patung di tangannya itu. Adik lelaki ku, Fariz yang muda setahun daripada Qistina entah ke mana perginya. Petang-petang begini biasanya Fariz bersama dengan teman-temannya menghabiskan masa melepak. Anak remajalah katakan! Qistina pula mungkin masih di sekolah dengan aktiviti sukannya.
Aku hanya memandang Elmina yang bermain dengan patung lusuh yang seiras patung Barbie itu. Seingat aku patung itu emak membelikan Isya bertahun-tahun dahulu di pasar malam dan kini sudah berpindah milik kepada Elmina. Kasihan Elmina yang terpaksa menerima ‘bekas’ kakak-kakaknya.
Sedang aku asyik memandang mereka begitu aku terdengar bunyi motor masuk ke kawasan rumah ku itu. Aku mengagak mungkin abah sudah pulang dari kerjanya. Serta merta jam di dinding menjadi tempat singgahan bola mata ku. Tidak sedar aku rupanya waktu sudah mencecah hampir ke jam enam setengah petang. Sudah petang benar nampaknya. Patutlah aku sudah terdengar bunyi motor abah kerana waktu kerja abah ku itu sudah tamat kira-kira sejam yang lalu.
“Mak mana, Intan?” soal abah kepada ku sebaik sahaja dia melangkah masuk ke rumah kampung itu. Bekas makanan yang sudah kosong di tangannya itu diletakkan di atas meja sambil abah memanjangkan leher mengintai ke dapur mencari kelibat emak.
“Entah. Tadi mak kata pergi kedai,” jawab ku tanpa memandang abah lama. Pandangan mata ku kembali kepada adik-adik di hadapannya itu setelah aku memandang abah sekilas. Sempat mata ku menangkap gelengan abah kepada jawapan ku sebentar tadi.
“Pergi kedai atau pergi bersembang rumah orang?” abah membalas seperti mengomel sendirian. Mungkin dia tidak senang kerana isterinya tiada apabila dia pulang ke rumah.
Aku hanya mendengar sahaja omelan sang ayah. Aku tahu sangat rungutan seperti itu memang sudah biasa ku dengari dari mulut abah ku itu namun abah hanya berani bercakap di belakang emak sahaja. Di depan abah langsung tidak berani kerana tidak cukup dengan kami, seluruh kampung ini tahu perangai singa betina emak ku itu. Kalau dia sudah mengamuk gegak gempitalah kampung ini tanpa mengira segan silu lagi. Kalau ada masalah dengan jiran habislah jiran diserangnya. Jika ada masalah dalam rumah suaranya lantang sehingga menarik perhatian jiran tetangga untuk bercerita mengenainya.
“Fariz mana?” kedengaran soalan abah berkisar tentang Fariz pula.
Aku menghela nafas perlahan. “Entah. Daripada tadi Intan tak nampak dia. Qistina belum balik sekolah lagi..” jawab ku agak hambar. Jelas sekali ada rasa cemburu di hati ku ini apabila sang ayah sering bertanya tentang Fariz berbanding diri ku yang berada di hadapannya.
Abah diam sahaja setelah mendengar jawapan ku itu. Setelah itu dia duduk di antara antara kami di ruang tamu itu. Tanpa menukar pakaian kerjanya abah mula melayan anak bongsunya Elmina. Elmina sememangnya manja dengan abah. Mungkin kerana dia yang paling kecil jadi banyak keletah manjanya yang menjadi penghibur sang ayah. Anak bongsu memang selalulah dimanja-manja.
Aku hanya memandang sepi perbuatan abah ku itu. Seperti kebiasaannya kehadiran ku di situ tidak begitu diberi perhatian oleh abah. Abah hanya sibuk melayan adik ku itu. Aku hanya diam sahaja sambil memandang tiga ahli keluarga ku itu. Sememangnya semenjak dahulu aku sudah sering ‘diketepikan’ oleh emak dan abah ku itu. Ditambah lagi semenjak kejadian yang menimpa Arwah Syuhadah aku bagaikan terus dibezakan oleh emak dan abah. Bukan sehari dua aku mengalami perkara ini tetapi semenjak bertahun-tahun yang lalu. Sehinggakan aku bagaikan sudah terbiasa dengan keadaan ini. Empat tahun ini empat tahun yang cukup derita bagi ku. Tiada siapa yang mengerti apa yang sering mendera batin ku ini. Tiada siapa yang bertanya apa yang menimpa diri ku ini semenjak aku menyaksikan kejadian yang menakutkan itu. Emak tidak pernah peduli dan abah apatah lagi.
“Intan!!!” sekali lagi kelantangan suara emak memanggil mengejutkan aku yang sedang asyik dengan diri ku sendiri. Aku terus tersentak dengan debaran dada yang sudah tidak sekata. Jika nada emak seperti itu bermakna adalah kesalahan aku yang sudah dikesannya. Alamat pekaklah telinga ku ini dengan tengking herdik sang emak yang garang itu. Entah bila masanya emak pulang aku tidak tahu. Mungkin emak masuk dari pintu dapur.
‘Dah balik dah...’ desis hati ku amat sebal dan bosan dengan layanan emak. Entah kenapa setiap kali aku mendengar suara emak memanggil begitu hati ku membengkak geram. Mengapa emak tidak memanggil dengan suara yang lebih perlahan atau lebih lembut. Mengapa mesti terjerit-jerit begitu? Tidak sakitkah tekak emak?
 “Intan....!!!!” kali ini suara emak lebih lantang memanggil apabila aku hanya membisu tidak menjawab. Aku tersentak lagi dalam lamunan ku.
“Mak panggil tu, Intan. Tak dengar ke?” tegur abah yang tidak tahan dengan tahap kelantangan suara emak. Matanya tajam memandang aku yang terbedik-bedik di ruang tamu itu.
“Ya, mak..” saat itu barulah aku menyahut. Lemah sekali nada ku bagaikan sudah tidak berupaya lagi menadah siksaan batin ku dengan kelantangan suara emak. Kebisingan emak cukup-cukup menekan perasaan ku. Ketajaman suara emak benar-benar mendera emosi ku yang kian rapuh saban hari.
“Kau tak masak nasi lagi ke?” soal emak sewaktu tubuh ku terjengul di dapur itu. “Tengok dapur ni. Apa pun takde. Apa nak dimakan malam ni kalau nasi pun takde?” emak menyambung lagi.
Aku terkesima apabila dihambat dengan soalan-soalan itu. Barulah aku teringat yang waktu sudah hampir maghrib. Memang selalunya sudah lazimnya aku harus memasak nasi diwaktu ini untuk makan malam nanti tetapi dek kerana asyik termenung tadi aku langsung terlalai. Sedikit sebanyak aku kesal dengan kealpaan ku sendiri sehingga mengundang halilintar memanah pendengaran sendiri. Silap aku juga! Siapa suruh aku berangan sehingga terlalai?
“Belum. Intan masak sekarang,” aku segera akur dengan kekesalan sendiri. Terkocoh-kocoh aku mendekati periuk nasi eletrik di sudut dapur itu untuk memasak nasi. Kesal benar hati ku kerana kesilapan sendiri yang kemungkinan besar akan mengundang leteran yang lebih panjang lagi.
“Ada anak dara ramai pun tak berguna! Masak nasik pun tak boleh. Berapa banyak bapak kau bayar aku untuk jadi hamba abdi korang? Semua kerja aku nak kena buat. Korang sedap aja mengangkang kat depan tu macam raja!” bermula sudah sesi ‘pendidikan sivik’ untuk aku.
Aku hanya mampu menghela nafas perlahan dan berdiam sambil menadah telinga. Kerja tetap aku lakukan walaupun telinga ku ini bagaikan bernanah mendengar leteran emak. Memang sakit telinga jika emak sudah mula membebel begini. Bebelannya selalunya akan disertakan dengan kata-kata yang kesat dan memedihkan. Itu belum lagi dikira bila memukul anak-anak. Cuma apabila aku, Qistina dan Fariz sudah remaja begini emak jarang lagi memukul kami sebaliknya mulutnya sahaja yang semakin lantang dengan bermacam-macam jenis caci makinya jika kami ada berbuat salah.
Aku menoleh apabila tertangkap kehadiran abah di ambang dapur. Lama mata ku memandang sang ayah namun aku hanya sekadar memandang sahaja. Aku terus membasuh beras yang sudah dimasukkan ke dalam periuk nasi sambil terus setia menadah telinga kepada leteran emak.
“Sudahlah tu, Nab. Dah Maghrib ni..” abah menegur agar emak mengawal suaranya kepada ku. Mungkin abah juga lemas dengan leteran emak yang semakin memanjang walaupun halnya hanya sedikit sahaja. Memang begitulah kebiasaan emak yang aku kenali. Kalau sudah mula meleter leterannya akan panjang berjela-jela sehingga dia akhirnya kepenatan berleter.
“Ni anak dara awak ni. Duduk melangut aja tahunya. Pemalas! Esok kahwin tak tahulah macamana rumahtangganya nanti. Entah-entah lintang pukang tak tentu hala. Pot..pet.. pot.. pet..” emak menambah lagi leterannya yang masih tidak lengkap.
Aku dalam menahan kesabaran terus menahan telinga dalam pada aku sibuk menyiapkan kerja. Malu dan sakit hati bergaul menjadi satu apabila buat kesekain kalinya aku lagi yang menjadi bahan cercaan emak. Aku rasa aku ini bagaikan pounching bag yang paling sesuai untuk emak meluahkan kemarahannya kerana sikap ku yang lebih suka berdiam diri apabila emak meleter.
“Assalamualaikum...” suara Qistina kedengaran mencelah keriuhan suara emak. Pandangan mata ku terus terarah ke arah datangnya suara itu.
“Ha! Ni lagi satu anak dara! Main sukan aja kau tahu. Dah maghrib baru nak balik. Daripada kau terkinja-kinja melompat sana sini main net ball kat sekolah tu baik kau duduk rumah jaga adik ni, Tina. Lagi ada faedahnya! Bola tu bukannya boleh kenyangkan perut kau!” kali ini leteran sang emak terhala kepada Qistina yang berada di muka pintu dapur itu.
Qistina terpinga-pinga dengan jerkahan emak yang menerpa tiba-tiba kepadanya. Dia sempat memandang aku yang berwajah seperti orang tertelan tungau. “Kenapa mak?” dia menyoal emak tidak faham.
“Kenapa? Kau dah tak reti nak balik awal? Pergi terkinja-kinja di padang sekolah sana bila dah nak maghrib baru nak balik. Kau ingat rumah ni tak perlu nak buat kerja? Ada berapa puluh orang gaji yang boleh masakkan makan minum kau?” emak berkata dalam herdikan yang lantang kepada adik kedua ku itu. Kasihannya Qistina. Dia yang tidak salah apa-apa terkena juga.
Qistina diam sahaja namun sewaktu dia meletakkan kasutnya di tempat kasut. Wajahnya sudah berubah. Agaknya kerana malas melayan emaknya itu, dia terus ke ruang tamu tanpa menunggu lagi. Aku juga ikut berbuat perkara yang sama setelah nasi selesai ku basuh dan ku tekan suisnya. Sesungguhnya tiada siapa yang mampu melayan ngauman suara emak diwaktu maghrib begini.
“Kenapa mak bising tu, akak?” Qistina menyoal aku ketika kami di dalam bilik. Nadanya jelas sekali yang dia sedang bengang kerana tiba-tiba ditekan emak begitu sedangkan dia tidak tahu apa-apa.
“Akak terlambat masak nasi..” aku hanya menjawab biasa.
“Terlambat masak nasi salahnya macam bos terlambat bayar gaji! Macam besar sangat salah kita ni sampai nak dibahasakan macam tu. Tina ni balik penat-penat aja dah kena. Bukannya dia nak tanya kita buat apa kat sekolah tu. Main sedap bercakap aja. Hari ni Tina bukannya main net ball. Hari ni Tina ada kelas tambahan biologi dengan cikgu Maria. Mak tu suka jerkah kita macam tu. Dia ingat kita ni tunggul agaknya!” Qistina merungut mengenai sikap si emak.
“Mak memang macam tu. Nak buat macamana. Sabar ajalah..” aku hanya mampu menjawab hambar. Bukannya aku ada kuasa untuk mengubah sikap emak kami yang begitu. Aku sendiri paling sering dikenakan emak jika dia ada berbuat kesilapan. Bagi ku itu semua sudah lumrah hidup ku. Selagi aku boleh bersabar, bersabar sahajalah..
“Hi!! Kita ni macam hidup dengan Hitler. Tengoklah nanti.. Tina dapat belajar kat asrama memang Tina pergi. Tina dah tak tahan hidup kat rumah ni lagi. Asyik kena membebel aja. Tina balik lambat sikit dah kena. Fariz kat simpang tu masih melepak lagi dia tak membebel pulak. Dia tu lagilah perangai mengalahkan anak jin. Tahu makan tidur aja tak pernah bantu apa-apa kat rumah ni,” sambung Qistina yang masih tidak berpuas hati dengan sikap emak yang amat berat sebelah.
“Dahlah tu. Kita mandilah. Karang kalau lambat kena lagi..” aku segera menegur adik ku itu. Bukannya aku tidak faham dengan rungutan Qistina tetapi apalah daya ku untuk membantu jika aku sendiri pun selalu dikenakan lebih teruk lagi.
Qistina akur dengan kata-kata ku. Dia terus mengambil tuala dan dibelitkan di pinggangnya. Seluar track suit yang dipakainya dilemparnya ke dalam bakul kain kotor.
Setelah selesai membersihkan diri adik-adik ku masing-masing sudah berkumpul di hadapan menonton tv. Sewaktu pulang dari bilik air aku sempat memandang tv yang menyiarkan azan maghrib namun Isya dengan pantas menukarnya ke siaran lain yang memaparkan rancangan kartun antarabangsa. Abah juga masih berteleku di hadapan tv tanpa mempedulikan azam maghrib itu. Malah abah ku itu masih dengan pakaian yang sama yang dipakainya sewaktu berkerja di kilang siang tadi.
“Kita sembahyang nak?” soal Qistina agak perlahan nadanya kepada ku.
“Bukannya akak tak nak tapi makanan belum siap lagi. Nanti kalau lambat takut mak lagi menyinga..” jawab ku juga agak perlahan sambil mengenakan pakaian ke tubuh ku. Qistina hanya diam mengeluh mendengar jawapan ku. Dia juga takut perkara yang sama. Lalu kami sama-sama akur dengan meninggalkan tuntutan yang utama itu demi kerana takutkan emak.
Aku dan Qistina setelah selesai mengenakan pakaian mula ke dapur bagi menyiapkan makan malam. Setelah selesai menghidangkan lauk pauk dan nasi aku segera meminta Qistina memanggil ahli keluarga yang lain.
“Fariz mana? Belum balik lagi?” abah mula menyoal apabila dia mulai perasan yang ahli keluarga kami masih kekurangan seorang lagi ahli.
“Belum. Ada hal kat luarlah tu..” emak menyambut soalan abah biasa. Nadanya selamba sahaja seolah-olah tiada sebarang kepelikan atau kesalahan dengan tingkah laku anak lelakinya itu. Tidak kedengaran pula leteran emak kerana anak lelakinya itu sudah berjam-jam tidak balik ke rumah. Malah dia langsung tidak kisah walaupun Fariz seperti tidak kenal siang dan malam apabila sudah bergaul dengan anak-anak yang seusia dengannya itu.
“Ni dah maghrib. Dia tak reti nak balik ke?” abah menyoal emak lagi.
“Kejap lagi baliklah tu. Dia buat kerja sekolah dengan kawan dia agaknya..” emak menjawab selamba.
Abah diam sahaja. Kami memulakan makan apabila abah selesai membaca doa. Aku seperti kebiasaan hanya berdiam sahaja di tengah-tengah keluarga itu. Aku hanya menadah telinga sahaja kepada perbualan emak dan abah yang sedang berkisar kepada soal kerja abah di kilang tempatnya mencari rezeki buat kami. Seketika kemudian kedengaran pula suara emak bercerita tentang jiran kami yang sudah membeli peti ais baru. Cukup tajam ingatan emak sehingga emak boleh mengingati jenama dan model peti ais yang baru dibeli oleh jiran kami itu.
Saat mendengar cerita emak aku segera menuntaskan pandangan ku kepada peti ais milik kami. Masih elok cumanya peti ais itu lebih rendah jika diukur dengan diri ku. Kapasiti peti ais itu sudah tentulah tidak mampu menampung keperluan kami sekeluarga kerana kekecilan saiz peti ais itu. Namun aku akui peti ais kecil itu masih elok biarpun peti ais itu dibeli ketika aku berada di darjah dua. Aku akui kemampuan abah memang tidak semana untuk memenuhi rumah kami ini dengan pekakas rumah yang mengikut peredaran zaman.
Tetapi ada kerunsingan yang aku rasakan apabila emak sudah mula membuka cerita mengenai jiran yang membeli peti ais itu. Selalunya jika dia bercerita begitu bermakna abah juga harus siap membelikan peti ais yang seperti itu. Aku memang selalu faham dengan sikap emak yang tidak boleh melihat orang lain mempunyai kelebihan daripada kami dalam soal material. Lebih dasyat lagi jika abah buat pekak aja dengan keinginannya itu akibatnya emak dan abah akan bergaduh besar. Apabila sudah tidak tahan akhirnya abah turutkan sahaja kehendak emak.
Begitulah selalunya..
Baik aku mahupun abah hanya diam sahaja menadah cerita emak mengenai peti ais baru jiran itu. Aku tahu abah juga sudah cukup memahami tabiat emak itu. Jika emak sudah mula membuka cerita begitu alamatnya terpaksalah abah menyediakan duit untuk membeli peti ais baru untuk emak. Kemudian cerita emak berkisar kepada hal tetangga orang lain pulak. Bermulalah kisah anak si polan yang suka menumpang motor lelaki kemudian anak si polan yang dipaksa berkahwin oleh emak dan ayahnya kerana telah ditangkap berdua-duaan dengan lelaki. Kemudian cerita si polan dan si polan di tambah lagi dengan si polan yang berkahwin lagi tanpa pengetahuan isteri...
Aku dan Qistina berpandangan berdua. Masing-masing tersenyum sinis dengan sikap emak yang suka mengata orang itu. Kami sudah maklum sangat dengan kegemaran emak bercerita mengenai keburukan orang kampung itu. Seolah-olah dia tidak sedar ada juga diantara anak-anaknya yang bermasalah. Malangnya tiada sesiapa pun yang mampu untuk menahan emak daripada bercerita dan tiada siapa yang mampu menegur tabiat emak itu.
Selesai mengemas meja aku kembali ke bilik ku. Di dalam bilik itu Qistina sudah mula membuka bukunya untuk menelaah. Aku juga lantas duduk bersebelahan dengannya, berkongsi meja yang sama. Sememangnya antara adik beradik aku dan Qistina agak rapat. Kami tidak kisah berkongsi bilik dan meja belajar. Mungkin kerana usia kami juga tidak jauh berbeza dan kami sama-sama perempuan. Aku kini di tingkatan enam atas dan Qistina di tingkatan lima.
Namun baru sahaja aku hendak memulakan ulang kaji emak sudah melaung nama ku. Keluhan sekali lagi terluah dari mulut ku ini.
“Apa, mak?” aku menyambut apabila berada di ruang tamu.
“Tu. Kerja engkau..” emak lantas menunjukkan timbunan kain baju yang perlu aku kerjakan.
Lemah longlai aku jadinya apabila melihat kain baju itu yang sedang menanti aku. Aku mahu menurut arahan emak tetapi aku perlu menyiapkan esei yang diberikan oleh Puan Sabariah. Esei itu harus dihantar kepada Puan Sabariah esok tetapi aku masih belum menyiapkan sebahagian besar darinya.
“Esok Intan lipat, mak. Intan ada kerja sekolah,” kata ku lembut cuba memenangi pengertian emak. Bukannya aku malas tetapi essei itu sangat penting untuk ku.
“Esok bila? Kau nak tunggu ada ular dalam kain baju tu baru kau nak lipat? Kau nak semua orang dalam rumah ni pakai baju ronyok tak berlipat ke? Kau tu pun bukannya reti balik sekolah awal,” bidas emak sengit.
Qistina keluar dari bilik apabila mendengar kekecohan yang dibikin oleh emak. “Ada apa, kak?” soalnya kepada ku.
“Ha, bagus! Kau dua orang lipat kain baju tu. Kau dari petang tadi takde buat apakan Tina? Sekarang tolong akak kau lipat baju,” terus emak mengenakan arahan itu kepada Qistina juga.
Wajah Qistina berubah segera. “Tina banyak kerja sekolah, mak...”
“Pergilah buat kerja Tina. Biar akak lipat baju tu..” aku akur mengalah sahaja demi melihat adik ku itu yang sedang terbeban dengan kerja yang diberi oleh guru. Aku sedar pelajar kelas sains seperti Qistina memang banyak dibekalkan dengan kerja rumah oleh guru.
“Tak payah nak mengelak. Kau ni memang pemalaskan, Tina? Bila aku suruh kau lipat baju ada aja alasan kau. Banyak kerjalah! Itulah! Inilah! Tadi petang masa kau sibuk dengan net ball kau tu, kau tak ingat kerja sekolah kau banyak?” emak dengan lantang mengenakan Qistina.
Aku menghela nafas perlahan memandang Qistina. Jika aku punya suara di dalam rumah ini sudah tentu aku akan membantunya. Tetapi sayang! Aku bukanlah anak kesayangan seperti Fariz, Farisha atau Elmina. Aku hanya anak yang menyusahkan emak selama ini. Sepatah suara aku menjawab akan mengakibatkan aku akan dihalau keluar dari rumah ini bila-bila masa sahaja.
Qistina akur membantu aku juga walaupun aku lihat mukanya mencuka menahan hati yang membengkak marah. Wajahnya yang masam mencuka langsung tidak dipedulikan emak sebaliknya aku pula yang tidak sedap hati melihatnya. Kami berdua sama-sama merapikan timbunan baju itu. Tangan ku lincah menyudahkan kain baju itu agar lekas siap.
“Lipat elok-elok baju tu, Tina. Jangan main sedap kau melipat aja! Kerja cincai! Ini namanya anak dara?” kedengaran lagi suara emak menegur hasil kerja Qistina yang tidak kemas. Qistina mencebik di sebalik pandangan emak. Baju abah yang dilipatnya tadi dirungkaikannya semula dengan agak kasar sebagai tanda protes. Aku hanya mampu menggeleng sahaja melihat angin adik ku itu.
Aku tidak tahu mengapa saat berada di dalam rumah ini hati ku tidak aman. Jika tidak kerana aku masih bersekolah ditingkatan enam sudah lama aku keluar mencari hidup ku. Kadang-kala aku cemburu dengan teman-teman yang lain. Mereka juga bukanlah dilahirkan dalam keluarga yang hebat namun aku jarang melihat mereka ditempelak oleh emak mereka setiap masa. Tidak seperti aku. Sungguh menyiksakan kerana sikap emak ku yang suka menyinga hampir sepanjang masa.
Arwah Syuhadah juga teman sebaya ku. Semenjak dari sekolah rendah aku mengenalinya. Emaknya juga cukup aku kenal. Arwah Syuhadah sewaktu hidupnya dilayan baik oleh emaknya. Aku tidak pernah mendengar emaknya memaki hamun Syuhadah. Jauh sekali mahu memanggil Syuhadah dengan panggilan yang tidak elok.
Tetapi mengapa emak melayan aku dan Qistina begini? Mengapa? Apa yang berbezanya aku berbanding Fariz dan adik-adik ku yang lain? Adakah aku anak pungut? Rasanya tidak. Aku anak kandung emak. Tetapi setiap kali emak marah tidak ada bahasa yang sedap didengar keluar dari mulutnya. Hanya ada maki hamun dan caci cerca sahaja seolah-olah aku ini tiada perasaan.
Masih aku ingat empat tahun lalu sewaktu Arwah Syuhadah meninggal. Aku disoal siasat oleh polis begitu lama di balai polis sehingga emak menyangka akulah yang membunuh Syuhadah. Akibatnya di hadapan anggota polis aku dibantai emak. Mujurlah abah dan beberapa anggota polis meleraikan kami. Emak tanpa usul periksa telah memalukan aku di hadapan orang lain. Tidak terkata jerihnya perasaan ku dengan perbuatan emak waktu itu sedangkan aku perlukan sokongan emak untuk mengembalikan semangat yang hilang.
Aku tidak tahu mengapa emak berbuat begitu dengan ku. Malah sehingga kini aku tetap tidak tahu sebabnya walaupun puas aku memikirkan sebabnya. Tetapi apa yang aku tahu semenjak kematian Arwah Syuhadah hidup ku ibarat di dalam neraka. Emak tidak pernah mengetahui apa yang terjadi kepada ku. Malahan tidak pernah bertanya. Emak dan abah sama sekali tidak pernah peduli. Tidak pernah!

Julai 2001 (Aku di tingkatan lima)
“Buat apa kau nak menyibuk menyusahkan diri naik ke mahkamah tu? Takde faedah satu senpun! Menyusahkan diri lagi ada,” lantang suara emak mempertikaikan keputusan ku.
“Mak, Syuhadah tu kawan Intan. Takkan Intan nak biarkan macam tu aja? Intan ni saksi besar kes tu. Intan nampak semuanya jadi Intan kena beri keterangan untuk mendakwa Zaki tu,” tekan ku agar emak menerima pendirian ku itu.
“Tak kisahlah kau nampak atau apa. Jangan masuk campur hal orang lain. Diorang nak merogol ke, nak meliwat ke.. kau jangan sibuk nak dakwa-dakwa orang tu. Aku tak mahu disebabkan perkara ni kita dengan keluarga Zaki tu bermusuhan. Orang yang dah mati ni tetap mati walaupun kau naik mahkamah berpuluh kali pun..” semakin lantang suara emak menegah aku daripada meneruskan apa yang mahu aku lakukan itu.
Aku beristighfar di dalam hati mendengar kata-kata emak itu. Angkuh sungguh emak. Tidakkah emak tahu selain aku ada lagi yang lebih berkuasa yang mendengar kata-kata kami. Emak bagaikan tidak berfikir langsung saat meluahkan perasaannya. Dia hanya bercakap mengikut lidahnya yang tidak bertulang itu.
“Kenapa pulak keluarga Zaki tu nak bermusuhan dengan kita? Intan cuma bercakap yang benar aja, mak. Zaki tu pembunuh dan dia patut dihukum. Salah ke apa yang Intan buat ni?” aku cuba memenangi pendirian emak dengan pujukan itu.
“Salah tak salah itu bukan urusan kita. Diorang tu nak naik mahkamah ke apa ke lantakkan mereka. Tak payah kita pulak nak menyibuk untuk jadi saksi pula. Tak pasal-pasal sebabkan budak tu kita dapat musuh,” emak tetap berdegil mempertahankan pendapatnya.
“Mak, kalau penjahat macam Zaki tu tak didakwa tak mustahil dia akan buat pada orang lain pulak. Mak tak takut ke?”
“Kau jaga aja diri kau! Jangan nak masuk campur hal orang lain. Orang apa dia nak buat itu pedulikan. Tak kena mengena dengan kita!” emak mencantas pendapat ku dengan cukup sinis.
Aku terdiam menelan rasa terkilan. Namun di dalam hati aku tetap mahu meneruskan apa yang sudah aku janjikan kepada diri ku. Aku tidak akan menarik diri sebagai saksi utama kes pembunuhan Arwah Syuhadah. Aku tidak akan membiarkan arwah Syuhadah mati tanpa sebarang pembelaan di atas penganiayaan kepadanya.
Malam itu aku terdengar perbualan emak yang meminta abah masuk campur dalam hal yang kami bincangkan siang tadi. Dengan kuasa ‘veto’ emak, abah tunduk juga dengan kata-kata emak apabila aku terdengar abah berjanji akan bercakap dengan aku nanti.
Aku tahu, abah memang lemah jika dengan emak. Walaupun aku berada dipihak yang benar tetapi jika emaklah yang menjadi penghalang utamanya maka abah juga akan tunduk kepada emak. Semuanya kerana takut emak mengamuk.
Seperti yang aku jangkakan sewaktu aku mahu bersarapan untuk ke sekolah abah menasihati aku supaya mendengar cakap emak. Kata abah, jangan jadi anak derhaka. Syurga di bawah telapak kaki ibu! Aku hanya diam sahaja tetapi di dalam hati aku memberontak dengan sikap emak dan abah. Inikah yang dipanggil derhaka? Tahukah emak apa itu derhaka sebenarnya?
Tidak! Emak dan abah tidak tahu apa makna derhaka sebenarnya. Kata-kata abah tiada satu pun yang ku sambut. Apabila melihat aku berdegil abah mulai berkeras mengugut aku. Kata abah, abah tidak akan menghantar aku ke mahkamah lagi untuk sesi perbicaraan yang seterusnya. Semakin emak dan abah berkeras semakin itulah aku melawan dalam diam. Aku tidak berkata sepatah pun untuk menjawab kepada mereka.
Hari yang sama juga selepas aku dan Qistina pulang dari sekolah kami melihat keluarga Zaki datang lagi ke rumah kami. Semuanya kerana mahu memujuk aku agar menarik diri dari kes itu. Apa yang paling menyebalkan aku bila emak dengan manis mulutnya berkata yang aku tidak akan ke mahkamah lagi. Emak tiada pun bertanya kepada ku? Saat itu aku menganggap yang emak tidak ada hak untuk menghalang aku daripada menjadi saksi kes itu.
Emak sanggup mengenepikan kebenaran dengan membiarkan pembunuh kejam itu terlepas semata-mata kerana tidak mahu bermusuhan dengan jiran sekampung? Oh, tidak! Huh! Aku tahu semua ini bukan mudah. Aku sudah bersiap sedia dari awal lagi. Aku sudah memaklumkan pegawai pendakwa kes Syuhadah tentang masalah ku dan dia berjanji akan membantu.
“Kenapa emak cakap Intan tak akan pergi ke mahkamah lagi? Mak takde tanya Intan apa-apa pun?” aku yang tidak berpuas hati lantas bertanya kepada emak setelah rombongan keluarga pakcik Zamberi berlalu.
“Hai.. nak tanya apa lagi?? Kan abah kau kata jangan pergi?” dengan selamba emak berkata kepada ku seolah-olah keputusan muktamad abah itu adalah keputusan ku juga. Gaya emak saat itu amat menyakitkan hati ku.
“Abah dengan mak yang kata jangan pergi tapi Intan kata Intan tetap nak pergi. Apa mak dengan abah nak kata Intan tak peduli. Apa yang Intan tahu Intan di pihak yang benar..” aku memberanikan diri membalas tegahan emak.
“Kau jangan nak cari pasal, Intan. Jangan nak melawan cakap aku. Aku kata jangan pergi, jangan pergi! Jangan nak berlagak pandai. Kau masih budak lagi apa kau tahu?” seperti kebiasaan kelantangan emak akan mula membingitkan suasana rumah kami.
“Mak, Zaki tu dah bunuh kawan Intan. Apa mak nak Intan pejam mata macam tu aja? Kalau perkara tu jadi pada Intan macamana?”
“Baguslah kalau kau yang mampus tu. Takdelah esok aku malu ada anak macam kau. Kalau kau dah kejung kat dalam semak tu aku tanam aja, habis cerita! Tak payah nak menyusahkan diri nak naik mahkamah sana sini. Nak bayar lawyer lagi.. hakim lagi.. semua tu membazir! Lepas mati tanam, reput jugak dalam kubur tu. Bukannya lepas menang di mahkamah kau boleh hidup semula..” tanpa sebarang perasaan bersalah emak berkata begitu kepada ku. Berdesing telinga ku mendengar kata-kata emak itu. Semudah itukah?
“Mak, apa mak cakap ni??” Qistina mulai masuk campur.
Aku sudah tidak terkata. Saat itu hanya ALLAH sahaja yang tahu betapa berkecainya perasaan ku setelah mendengar kata-kata emak. Sampainya hati emak berkata begitu? Apakah aku sememangnya tiada kepentingan sedikit pun kepada emak sehingga emak sanggup berkata begitu kepada ku.
“Inilah natijahnya bila melawan kata-kata orang tua..” emak membebel sendirian. Agaknya dia terperasan yang dia sudah terlebih bicara. Namun salah itu juga kini sudah emak letakkan di pundak ku.

Tanpa menunggu di situ lagi aku terus masuk ke dalam bilik. Di dalam bilik aku menangis sepuas-puas hati ku. Hanya ALLAH sahaja yang tahu betapa terlukanya aku dengan emak. Qistina hanya mampu memandang aku yang sedang kesedihan. Dia bagaikan mengerti perasaan ku tetapi kami sama-sama tidak mampu untuk berbuat apa-apa.

1 ulasan:

  1. Mak macam ni patut dilempang 7 Kali berturut² je oleh suaminya. Itupun kalau suaminya ada telurlah..

    BalasPadam