Intan
Nur Darina gadis rupawan. Rupanya indah namun hidupnya tidak seindah wajahnya.
Akibat menyaksikan teman baiknya sendiri dizalimi oleh kaum lelaki, Intan fobia
kepada kaum lelaki. Namun atas nama keadilan dia memberanikan diri mengheret si
pelaku yang zalim ke muka pengadilan. Namun pertentangan pendapat antara
keluarga yang sudah jauh meninggalkan agama ALLAH ini membuatkan dia menderita
dengan layanan berat sebelah keluarga yang mengutamakan anak lelaki berbanding
dirinya sebagai anak perempuan. Keberaniannya ibarat racun kepada kedua orang
tuanya yang mahu memelihara ‘ukhuwah’ antara keluarga si pembunuh yang
sekampung dengannya. Bagi emak dan abahnya keadilan untuk yang sudah mati tidak
penting lagi berbanding mereka yang masih hidup yang memerlukan air muka di
hadapan orang lain.
Lalu
Intan disisihkan dari mendapat keadilan dalam keluarga dan dia terpaksa berebut
untuk mendapat perhatian emak dan ayah yang mengamalkan sikap pilih kasih di
antara anak lelaki dan anak perempuan. Untuk menjadi anak yang taat Intan akur
dengan percaturan emak dan abah untuk dirinya walaupun hatinya hangus dibakar
kekecewaan dek sikap emak dan abahnya. Sehinggalah kerana mahu menyambung
semula persahabatan antara keluarga si pembunuh sang emak melorongkan jalan
kepada Intan agar menerima Jabar yang merupakan sepupu kepada si pembunuh
dengan niat mahu memperbaiki hubungan kedua keluarga ini. Namun lelaki yang
dipercayai itu memfitnahnya pula akibat tidak dapat memiliki dara sang wanita
yang sememangnya amat sukar mempercayai kaum lelaki ini. Tanpa belas kasihan
dan penuh prejudis sang emak menghukum Intan dengan meminggirkannya jauh dari
keluarga dan sang ayah yang berpendirian dayus hanya mampu memandang sang anak
dianiaya oleh si emak walaupun dia tahu anaknya tidak bersalah.
Rencah
kehidupan yang penuh pancaroba ini membuatkan Intan yang selama ini terdidik sebagai
islam liberal itu mula mencipta dirinya semula menjadi Darina dan enggan
membiarkan nama Intan disebut lagi. Hidup bersendirian dia mudah terjatuh dari
landasan ke hadrat-NYA lalu terjerumus ke jalan munafik. Semenjak bergelar
pelajar universiti lagi dia sudah berjinak-jinak menjadi wanita di pentas
peragaan semata-mata kerana mahukan kelangsungan hidup berjalan terus. Dari
seorang wanita yang normal dia menjauhi lelaki dan memilih untuk hidup di
kalangan manusia persis kaum Nabi Lut yang mengamalkan hubungan sejenis. Dia
terpesong lalu menjadi jahil dari landasan hidup yang sebenarnya. Biarpun
semuanya ada namun jiwanya kosong. Dia teraba-raba mencari arahnya di dalam
dunia palsu itu. Kakinya terkial-kial mahu kembali ke jalan yang benar.
Bibirnya tersenyum jelita namun jiwanya merintih kerinduan. Dia kehausan namun
bukan air yang diperlukannya. Dalam dunia di sekelilingnya yang terang
benderang Darina hilang arah!
Namun
kedatangan lelaki bernama Adam Zaffran membuatkan hidupnya berubah arah serta merta.
Dalam kekeliruan perasaannya dia tiba-tiba berkahwin pula dengan salah seorang
hamba ALLAH dari kaum Adam itu walaupun tempoh perkenalan tidak sampai tiga
bulan. Bagi Adam Zaffran dia mengahwini Darina Lillahita’ala kerana mahu Darina
kembali menjadi dirinya sendiri. Sebagai suami dia mahu membimbing wanita itu
kembali menjadi wanita yang normal dan hidup di bawah payungan rahmat ALLAH.
Namun dilema dirinya pula dia keliru antara kasihan, nafsu dan cinta pertama.
Dia juga tidak tahu apa sebenarnya yang menghuni hatinya. Dalam dilema diri
yang hebat mengujinya tiba-tiba dia dihadiahkan dengan hakikat yang amat perit
untuk diterimanya. Dalam pada mereka cuba mencipta bahagia sekali lagi mereka
diduga dengan kenyataan yang cukup hitam tentang siapa diri Intan Nur Darina
sebenarnya.
Bagi
Intan mahupun Darina. Setelah bertemu dengan jalan yang benar dia percaya hanya
cinta kepada ALLAH sahaja yang tidak akan pernah bertemu kekecewaan. Dia yakin
dengan pimpinan ILAHI dia kuat untuk menempuh pancaroba dunia biarpun dia tidak
pernah dicintai oleh suami sendiri dan hakikat sebenarnya tentang siapa
dirinya. Namun hidup sebenarnya bukanlah semudah dibayangkan. Mencari syurga
ALLAH juga tidak cukup sekadar sujud di atas sejadah sahaja. Banyak dugaan yang
melanda bagi menguji ketaqwaan sebagai hamba ALLAH. Apa yang paling utama
bagaimana mahu memujuk diri agar redha dengan qadha’ dan qadar dari ALLAH.
Bagaimana
Intan melalui semua itu? Mampukah Adam Zaffran membimbing Intan agar kembali
kepada dirinya semula? Semuanya ada dalam Bahagia Itu Milik Aku ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan