Pergi ke pasar dengan si Sabtu
Singgah menyembang di rumah Jumat
Hidayah sampai ke depan pintu
Tandanya Allah memberi rahmat.
Sudah hampir
seminggu aku berada di Kuala Lumpur. Sepanjang
minggu itu setiap hari aku membuat solat istikharah bagi meminta pertunjuk dari
Allah atas apa yang sedang aku lalui. Hasilnya.. tiada mimpi yang datang kepada
ku. Tetapi naluri hati ku semakin kuat ditarik untuk menerima lamaran itu. Berlandaskan
naluri itu aku akhirnya memberi kata putus seperti yang diharapkan oleh ayah
Estaban.
Walaupun sudah diketahui yang kami akan berkahwin,
aku lihat Estaban seperti patung bernyawa sahaja lagaknya. Ikut sahaja apa yang
diarahkan oleh ayahnya. Malah saat diberitahu yang dia harus memeluk agama
islam sebelum mengahwini ku, dia akur begitu sahaja tanpa sedikit pun
pertikaian. Namun jauh dari sudut hati ku, aku tahu hati lelaki itu tiada
keinginan untuk memiliki pegangan dan agama yang bakal dianutinya ini. Aku
tidak mampu membayangkan apa yang bakal berlaku esok.. lusa.. dan seterusnya. Namun
aku sandarkan harapan yang ikhlas agar ini menjadi jalan yang terbaik buat kami
semua. Termasuklah diri ku juga.
Anehnya.. walaupun sudah mahu berkahwin aku
dan Estaban tidak mesra seperti orang yang bakal mendirikan rumahtangga. Kami
jarang bercakap atau berbual mesra seperti pasangan yang lain. Seorang membisu..
seorang lagi pula hanya diam tidak peduli. Alangkah peliknya hubungan ini.
Minggu ke tiga itu selesai juga segala urusan
dengan pejabat agama. Kebenaran bernikah juga sudah kami perolehi. Aku dan Estaban
dijadualkan bernikah selang sehari selepas upacara pengislaman lelaki itu.
Petang Khamis itu sebaik sahaja selesai solat zohor kami semua sudah berada di
Masjid Negara. Aku sememangnya tidak mahu ketinggalan melihat sendiri upacara
yang cukup bersejarah itu. seorang lelaki yang tidak mahu beragama kini akan
mengucapkan kalimah tauhid mengesakan Allah. Semoga Allah memberikan dia
hidayah.
Buat yang pertamanya imam menguji pengetahuan
Estaban mengenai rukun islam dan rukun iman. Dia dapat menjawabnya dengan baik
seperti yang sudah dihafalnya sebelum ini. Estaban sudah menghadiri kursus
pendek mengenai asas-asas pengetahuan dalam islam sebelum ini di PERKIM setiap
hari selama tiga minggu ini. Semua itu sudah ada di dalam kepalanya. Tetapi
apabila diminta membacakan surah hafazan iaitu surah Al-Fatihah, dia sudah tergagap-gagap.
Ada yang diingatnya dan ada yang dia lupa. Tajwid tak usah cakaplah.. lintang
pukang habis semua dilanggarnya! Sehinggalah imam itu membantu dengan ikut
membacakan surah yang amat termudah itu.
Setelah imam itu berpuas hati dengan pengetahuan
Estaban mengenai asas-asas pengetahuan agama islam lelaki itu segera
mengajarnya mengucapkan kalimah mentauhidkan Allah yang Esa, berserta dengan
maknanya.
“Aku naik saksi tiada Tuhan yang disembah
melainkan Allah. Dan aku juga naik saksi Nabi Muhammad itu adalah pesuruh
Allah..” mudah sahaja Estaban mengucapkan kalimah itu.
Sesungguhnya hati ku sebak entah kenapa sebaik
sahaja menyaksikan Estaban mengulangi apa yang disebutkan oleh imam itu. Air
mata tanpa dapat ku tahan, mengalir laju di pipi. Ada rasa halus datang
menyelit di sanubari ku sehingga aku menjadi begitu sayu. Aku seperi tidak
jejak di bumi saat melihat semua itu di hadapan mata ku sendiri. Dengan nama
yang dipilih oleh ku, kini Estaban bergelar Muhammad Ariff Buhler bin Abdullah.
Keesokan harinya pula pernikahan
kami..
Aku mula berhias sederhana dengan baju kurung
berkain lace putih yang baru dibeli
oleh emak di Masjid India dan Estaban aka Ariff dengan baju melayu warna yang sama
yang dipilih oleh ayahnya. Usai solat Jumaat, kami mula berkumpul di masjid
yang sama. Buat pertama kali selama aku mengenalinya, aku mahu memuji ketampanannya
apabila melihat Ariff mengenakan songkok hitam di kepalanya. Teringat aku akan
cerita Nabi Yusuf As itu.
Cuma apa yang membuatkan aku meluat, si romeo
itu masih tidak mahu memotong rambutnya walaupun aku sudah berpesan supaya
memotong rambutnya. Masih juga mahu mengekalkan watak romeonya itu. Menyampah
betul!
Gelihati ku melihat Celina yang tidak senang
duduk di dalam masjid itu. Agaknya takut menderhakalah tu, duduk dalam masjid
orang islam! Diakan biarawati..
Tidak cukup itu dia berkipas kepanasan pula. Yalah..
Malaysia panas. Kena pulak pakai jubah dan bertudung penuh bagi menghormati
kemuliaan rumah Allah ini. Mana tidak berkipasnya. Cuma Samuel aja yang cukup
tenang ku lihat. Dia asyik memandang segala perbuatan imam di hadapan kami. Beberapa
orang pegawai dari pejabat agama dilantik untuk menjadi saksi kepada upacara
itu.
Buat permulaannya kami berdua diceramah panjang
oleh kadi itu. Kepada bakal suami ku itu, banyak sekali pesanan demi pesanan
yang diberikan untuk melengkapkan ilmu sebagai seorang yang beragama islam dan
sebagai suami. Walaupun pesanan itu ditujukan buat Ariff namun aku ikut
mendengar. Tidak ketinggalan imam itu mengingatkan aku akan tanggungjawab ku
untuk mengemudi arah hidup lelaki ini setelah bergelar isterinya nanti. Kata
imam itu.. ini seumpama ‘janji kepada-Nya’ yang tidak boleh diabaikan dengan mudah. Janji kepada Allah sama sekali tidak boleh dimungkiri sewenang-wenangnya.
Mendidik akidah Ariff adalah sebahagian daripada tanggungjawab ku kerana
selepas selesai akad itu nanti, akulah orang yang paling hampir dengan Ariff. Aku harus berusaha sehabis daya untuk membantu Ariff dalam soal itu. Aku cukup sedar betapa besarnya tanggungjawab itu. Namun aku tetap mahu
mengikhlaskan hati untuk menerimanya.
Untuk upacara akad nikah pula, imam itu yang dipilih
mewakili abah kerana Ariff tidak memahami bahasa melayu. Walaupun akad nikah boleh
menggunakan bahasa melayu, namun abah tetap meminta imam itu menikahkan kami
berdua dengan lafaz akad yang mampu difahami oleh Ariff. Abah mahu Ariff sedar
dan faham apa yang telah diterimanya dan apa yang digalasnya bersama akad itu.
Imam itu mula memandang ku. “Nur Insyirah binti
Syawal, sudi atau tidak aku nikah kamu dengan Muhammad Ariff Buhler bin Abdullah?”
“Sudi..” aku menjawab lembut.
Imam itu mengangguk. Tumpuannya mula diberikan
kepada Ariff yang duduk di hadapannya. “Sambut akad ini dengan jelas dan
lancar. Tak mahu tergagap-gagap, faham?” imam itu berkata kepada Ariff. Ariff
sekadar mengangguk. Aku lihat dia sudah mula resah. Dahinya digaru beberapa
kali.
Rentak jantung ku mulai berubah deras sebaik
sahaja melihat Ariff menyambut huluran tangan imam itu. Lelaki itu sempat
memandang ku seketika sebelum dia kembali menumpukan perhatian kepada imam di hadapannya
itu. Seketika kemudian aku mulai mendengar lafaz akad disebutkan oleh imam itu
dalam bahasa inggeris.
Ariff cuba menyambutnya dengan sekali lafaz
seperti yang telah diajarkan kepadanya sebelum ini. Tetapi lafaz itu ditolak
saksi dan akad nikah terpaksa diulangi sekali lagi. Sekali lagi aku melihat
Ariff resah. Duduknya tidak lagi aman. Dia meraup wajahnya berkali-kali.
Beberapa kali abah mengosok belakangnya meminta dia agar bertenang.
Sekali lagi imam itu mengingatkan agar Ariff
menyambut akad itu dengan lancar. Tidak boleh tergagap-gagap lagi seperti tadi.
Dia hanya mengangguk sahaja. Hingga akhirnya kali ke enam imam itu melafazkan
akad, barulah Ariff dapat menyambut dengan kabul yang lancar. Dengan pengesahan
saksi barulah akad nikah itu diterima oleh imam itu.
Melihat itu tiba-tiba aku merasa teramat
sedih. Tidak dapat ditahan air mata ku mengalir laju di pipi. Di dalam pelukan
emak, aku melepaskan perasaan yang bercampur baur saat ini. Aku sendiri tidak
tahu apaa yang sedang aku rasa. Gembirakah? Atau berduka? Entah! Tidak terduga
oleh ku, saat pertama kali aku mengenali Estaban dahulu.. lelaki inilah yang
telah ditakdirkan menjadi suami ku. Tidak pernah juga termimpi oleh ku yang aku
akan mengahwini seorang lelaki dalam keadaan tergesa-gesa begini. Tidak pernah
aku angankan untuk dinikahi lelaki yang ku anggap musuh. Lebih dari itu.. aku
langsung tidak pernah menduga yang takdir telah tertulis, aku akan mengahwini
seorang lelaki dalam keadaan diri ku telah pun hamil!
Selepas berlangsung pernikahan itu, imam
meminta Ariff membuat lafas taklik kepada diri ku memandangkan terlalu banyak
risiko bagi perkahwinan antara dua bangsa dan dua negara seperti aku dan dia.
Ini adalah jaminan bagi diri di masa hadapan. Dan aku sememangnya tidak mahu
Ariff ingkar dari tanggungjawabnya. Ariff mula mengerti dengan tujuan apa lafaz
taklik itu dilakukan setelah diterangkan oleh jurunikah itu. Setelah
menerangkan sedikit sebanyak hak diri ku sebagai isteri, imam itu meminta Ariff
menyebut sumpah itu dengan rela hati.
“Saya Muhammad Ariff Buhler bin Abdullah
dengan ini mengakui sekiranya saya meninggalkan isteri saya Nur Insyirah binti
Syawal selama empat bulan berturut-turut tanpa nafkah zahir atau batin,
sekiranya dia pergi membuat aduan kepada mahkamah syariah di Malaysia ini..
maka gugurlah talak khuluk kepada isteri saya. Kecuali sekiranya isteri saya
meredakannya. Saya juga mengakui sekiranya saya menikahi wanita lain tanpa
keinzinan isteri saya maka gugur juga talak satu kepada isteri saya.” Dengan
tenang Ariff menyebut lafaz taklik berbahasa inggeris itu.
“Ambil perhatian dengan lafaz sumpah ini.
Lafaz ini jangan sesekali awak lupakan selagi dia masih isteri awak. Lafaz ini
bertujuan untuk menjamin hak isteri agar tidak dianiaya oleh pihak suami.
Kewajipan isteri adalah taat kepada suaminya. Tetapi mereka juga mempunyai hak
dalam perkahwinan yang telah ditetapkan oleh agama islam. Suami tidak boleh
sesuka hati menggunakan kuasa yang ada ditangannya sehingga menganiaya isteri.
Sekiranya awak ingkar dengan apa yang awak lafazkan tadi maka awak dan dia
terlepas dari ikatan suami isteri ini tanpa perlu lafaz talak lagi. Begitu juga
sekiranya awak ada melafazkan untuk kembali semula kepada agama asal awak atau
bertukar kepada agama lain. Secara automatik hak awak kepada dia akan gugur
dengan sendirinya kerana awak tidak lagi beragama islam,” jelas imam itu
lembut.
Ariff mengangguk-angguk tanda memahami
kata-kata imam itu. Aku nampak bapa Ariff yang mendengar juga ikut mengangguk.
Wajah lelaki itu cukup ceria setelah segalanya berjalan dengan baik seperti
yang dirancangkan.
Kun Fa Ya kun..
Suatu masa dahulu aku pernah mengatakan lelaki
ini tidak akan mendapat tempat dalam hidup ku. Ternyata apa yang aku katakan,
tidak sama lagi dengan apa yang sedang aku kotakan. Lelaki yang amat ku benci itu
sudah pun menjadi suami ku. Aku sedar aku hanyalah manusia biasa yang hebat
merancang namun tidak berkuasa untuk mengotakan. Moralnya kini.. perjalanan
hidup ini bukan ketentuan manusia semata-mata. Semuanya berlaku dengan izin
Allah. Sesungguhnya inilah tanda kekuasaan Allah.
Muhammad Ariff terpinga-pinga menggelabah apabila diminta mengerjakan solat sunat
nikah seorang diri. Aku sempat tersenyum sinis melihat Ariff cuba memberitahu
abah yang dia masih tidak tahu bersolat. Tanpa
segan silu dia mencuit-cuit abah seolah-olah meminta abah memberitahu imam itu
yang dia masih belum pandai bersolat.
Mujurlah abah ku itu mengerti. Kata abah solat
itu hanya sunat. Kalau tidak berkemampuan maka tidak perlulah dilakukan. Tetapi
tidak bagi imam yang melihat keadaan itu.
“Sebagai ketua keluarga kamu mesti sentiasa
ada kemahuan untuk mendalami agama islam. Kerana sebagai lelaki Allah sudah
memberatkan lelaki dengan tanggungjawab tertentu terutamanya tanggungjawab
mendidik isteri dan anak-anak kamu nanti. Jika kamu abaikan tanggungjawab ini
maka kamu akan menanggung dosa kerana gagal menunjukkan jalan yang benar kepada
orang-orang di bawah jagaan kamu. Bukan sekadar itu, sebagai suami kamu juga akan
menanggung dosa isteri dan anak-anak kamu sekiranya kamu membiarkan mereka
berbuat dosa tanpa mendidik mereka. Solat sunat nikah memang hukumnya sunat tetapi
tidak dengan solat fardhu yang harus kamu tunaikan lima kali sehari semalam.
Solat itu hukumnya wajib! Sekiranya kamu meninggalkannya kamu harus menggantikannya
nanti. Itu penting untuk kehidupan seharian kamu! Kamu mesti memulakannya dari
sekarang. Belajar sikit-sikit pun takpe, asalkan berterusan. Tapi jangan
abaikan begitu sahaja.” Imam itu berceramah lagi kepada Ariff. Agaknya sebab
dah malu, Ariff terangguk-angguk kepada imam itu.
Akhirnya tiba pula kepada upacara menyarungkan
cincin dan pemberian mas kahwin. Di atas dulang yang dihias sederhana terletak
senaskah Al Quran kecil dan juga mas kahwin. Sebentuk cincin emas putih
disarungkan lelaki itu ke jari manis ku dan dulang itu turut diserahkan kepada
ku. Aku tunduk mengucup tangan lelaki itu tanda memulakaan ketaatan sebagai isteri
kepada lelaki itu. Kami sempat berpandangan seketika. Ariff tenang sahaja
memandang wajah ku. Tetapi apa yang ada di dalam hati ku ini membuatkan aku
tertanya-tanya. Mengapa aku tidak merasa apa-apa lagi? Tidak merasa terpaksa..
tidak merasa suka.. tidak juga merasa sedih. Jiwa ku kosong! Aku sendiri tidak
faham apa yang sedang aku alami.
Selesai urusan di masjid ada satu
lagi urusan yang masih belum diselesaikan. Urusan itu sebenarnya teramat
penting iaitu berkhatan! Rupanya mereka sudah merancang senyap-senyap untuk
mengkhatankan Ariff. Atas sebab-sebab tertentu bapa mertua ku itu sengaja
membiarkan urusan itu dilakukan selepas bernikah. Kata Tuan Christopher..
kalau diberitahu awal-awal kepada Ariff, lelaki itu pasti akan melarikan diri. Malah
ketika kami dalam perjalanan ke hospital itu, Ariff sebenarnya tidak tahu apa
yang sedang menunggunya di sana!
Huh! Anak manja betul. Baru nak kena potong
sikit, dah menggelabah macam budak lima tahun nak kena cabut gigi. Aku sempat
mencemuh lelaki itu di dalam hati. Terlupa sekejap yang itu adalah suami ku.
Untuk menyelesaikan hal itu hanya aku sahaja
perempuan yang mengikuti mereka ke hospital. Abah memang mahu aku ikut sekali.
Kata abah, hanya aku sahaja yang boleh memujuk Ariff. Aku faham apa yang abah
maksudkan. Ni memang nak pujuk sangatlah ni!
Setiba di perkarangan hospital, Ariff sudah
mula buat hal. Aku mahu tergelak melihat kegelabahan lelaki itu. Wajahnya merah
padam apabila diberitahu yang dia harus dikhatankan. Dia mulai cemas dan tidak
tentu arah. Memang benar kata bapa mertua ku itu.. Ariff sudah bersiap sedia
mahu melarikan diri saat namanya mahu didaftarkan oleh ku. Kecoh jadinya
perkarangan hospital itu dengan lagak kebudak-budakkan Ariff.
“Saya tak mahu!” ucapnya keras. Terus dia
mengatur langkah ke pintu utama hospital itu untuk pergi.
“Estaban!” Tuan Christopher cuba menghalang
anaknya itu. Namun Ariff tiba-tiba agresif pula.
Aku ikut memanggilnya untuk menenangkannya.
Aku pula yang mulai cemas dengan kelakuan lelaki itu. Jeritan kerasnya tadi
sudah menarik perhatian orang-orang di situ. Takut nanti hospital ni runtuh
pula dibuatnya. Padahal bukannya baru lepas kemalangan ngeri.. nak kena
bersunat aja pun kecoh sekampung!
Ariff bertempik marah apabila Samuel
memeluknya erat, tidak membenarkan dia berlalu. Dia berkeras mahu melepaskan
diri namun pelukan abangnya itu semakin kuat. Mereka berdua bergelut seketika
di hadapan kaunter pendaftaran itu sebelum abah juga ikut membantu memegang
Ariff.
“Estaban, kamu kena bertenang!” tegas Tuan
Christopher kepada anaknya itu.
“Apa semua ini? Saya tak mahu berkahatan ni
semua! Ini akan menyakitkan saya!” tempiknya benar-benar marah. Wajahnya merah
padam entahkan menahan marah ataupun takut. Pertama kali sepanjang aku
mengenalinya aku melihat lelaki itu benar-benar takut. Tahu takut rupanya
lelaki ini.. hati ku mengejek sendiri.
“Kamu kena berkhatan. Semua lelaki islam
berkhatan, Estaban. Ini untuk kebaikan kamu berdua,” pujuk Tuan Cristopher
masih cuba untuk berlembut.
“Tidak! Saya nak balik! Lepaskan saya!”
tempiknya semakin kuat. Matanya buntang bagaikan mahu ditelannya semua yang ada
di sekelilingnya.
Aku jadi malu kepada kakitangan hospital yang
mula berkerumun memandang sketsa kami semua. Melihat perangai lelaki yang baru
menikahi ku itu, aku hanya mampu memegang kepala sambil memandang. Aku sendiri
tidak tahu mahu berbuat apa.
“Saya sudah buat segala yang papa suruh selama
ini. Itu tidak cukup? Kenapa saya kena berkhatan pula? Saya tak mahu! Ini akan
menyakitkan saya!” tempik Ariff kepada ayahnya.
Menggeleng aku melihat sikap lelaki itu.
Seingat ku adik-adik lelaki ku sendiri tidak sedasyat ini bila mahu dikhatankan dahulu.
Lelaki dewasa ini pula mengamuk sehingga satu hospital datang melihatnya.
Estaban benar-benar memalukan aku!
“Kamu
kena lakukan ini, Estaban. Berkhatan sangat diperlukan dalam islam. Kamu sendiri
sudah diberitahu tentang itu, bukan? Ini tak begitu menyakitkan, Estaban.
Dengar cakap papa. Kalau tidak hari ini, suatu hari nanti kamu harus lakukan
juga.” Tuan Christopher memujuk lagi.
“Saya nak balik, papa. Saya takkan lakukan
ini!” bentaknya semakin marah. Semakin meninggi suaranya kepada ayahnya itu.
Semakin itu juga dia cuba melepaskan diri dari pelukan Samuel. Abah terus
memegangnya tidak membenarkan dia pergi.
Aku mula hilang sabar dengan kelakuan Ariff.
Malu tak usah cakaplah. Semakin ramai orang memandang kami di situ.
“Estaban, dengarlah cakap papa. Ini kali
terakhir..”
“Tidak! Lepaskan saya!” semakin lantang Ariff
memintas kata-kata ayahnya itu.
Lantang suara lelaki itu membuatkan darah ku ikut
mendidih. “Muhammad Ariff!” aku mulai menengking melawan kekerasan suara Ariff.
“Lepaskan dia!” ucap ku nekad kepada kesemua lelaki yang sedang menahan suami
ku itu. Seketika kemudian aku terus menarik lelaki itu ke arah pintu utama.
“Nak balik? Pergilah! Saya tak kisah kalau
awak nak balik. Tapi ingat, selagi awak tidak lakukan ini.. saya bersumpah
tidak akan membenarkan awak menyentuh tubuh badan saya. Saya tidak rela awak
membawa kekotoran itu ke dalam tubuh saya! Awak nak saya ikut cara awak, boleh!
Tapi awak kena siap untuk menanggung akibatnya! Pilihlah antara dua, awak
lakukan ini atau saya takkan tidur sekatil dengan awak sehinggalah awak
berkhatan nanti!” ucap ku tegas sambil menunding ke arah lelaki itu.
“Pergilah kalau awak nak pergi. Saya takkan
halang awak. Tapi macam saya katakan tadi, kita takkan pernah hidup macam orang
lain sehinggalah awak ubah pendirian awak!” tambah ku serius.
Mendengar itu Ariff tiba-tiba menjadi jinak pula. Dia terdiam memandang
wajah ku lama bagaikan mencari kebenaran kata-kata ku sebentar tadi. “Er.. awak
serius ke?”
“Terlalu serius! Kalau awak berdegil saya juga
akan ikut cara yang sama. Pilihlah yang mana awak suka! Saya dah malas nak
tengok ragam kebudak-budakan awak lagi,” balas ku amat tegas.
“Saya cuma perlu lakukan inikan?” dia bertanya
perlahan dengan ekspersi wajah polosnya. Upah yang ditawarkan aku memang
lumayan untuk lelaki sepertinya. Hilang terus rasa takutnya saat itu.
Dasar lelaki! hati ku sempat menggerutu
melihat kemiangannya.
“Ya. Hanya ini sahaja.” Aku akhirnya membalas
kelat.
Ariff terdiam seketika sebelum kembali
memandang wajah ku. “Err.. nanti mereka akan beri ubat bius? Banyak ke dos yang
mereka akan beri?” tanyanya perlahan sahaja.
Aku memandang seketika lelaki itu sambil
menggeleng perlahan. “Sikit aja sakit awak tak boleh tahan ke? Awak tahu, dua
adik lelaki saya dikhatankan melalui cara tradisional ketika mereka berusia
sepuluh tahun. Mereka berdua tak diberikan bius macam yang akan awak dapat di
hospital ini. Tapi mereka tak menjerit memekik macam orang gila. Awak ni
betul-betul memalukan saya! Semua orang tengok kita!” desis ku teramat geram.
Muhammad Ariff terdiam sambil memandang
sekeliling. “Awak temankan saya ya?” pintanya lembut.
“Awak ni bukan budak-budak lagi, Ariff!”
bentak ku semakin geram.
“Tolonglah... saya bukannya takut cuma..”
lelaki itu tergagap-gagap sedikit saat mahu menghabiskan kata. “Saya cuma ngeri
aja..” akhirnya dia juga melengkapkan bicara.
Aku tergelak sinis. “Bagi saya, semua tu kedengaran
sama aja!” desis ku selamba. Tanpa menunggu lagi aku meninggalkan Ariff di situ
sambil mendekati semula kaunter pendaftaran. Semua kakitangan yang tercegat
memerhatikan kami tadi sudah mula bersurai. Malu bagaikan tidak dapat ku tahan
kerana hampir semua kakitangan ruangan itu terjenguk-jenguk memandang gelagat
kami tadi. Ada yang kelucuan melihat gelagat Ariff. Dalam pada itu sempat aku
melihat senyuman bapa mertua ku itu yang menyatakan kegembiraannya melihat aku
sudah berjaya menjinakkan anak lelakinya itu. Memang tidak susah untuk
memujuknya jika upahnya nanti lumayan. Ariff memang pantang jika ditawarkan tentang
itu. Lekas sahaja mood dia baik! Dasar gatal!
Demi menunaikan kehendak si penakut itu, aku menemankan
juga Ariff di dalam bilik rawatan tanpa kehadiran orang lain. Sementara Ariff
disiapkan untuk menjalani pembedahan kecil itu oleh beberapa kakitangan lelaki,
pegawai perubatan itu cuba menenangkan Ariff dengan mengatakan yang pembedahan
ini hanya pembedahan kecil yang tidak akan mengambil masa yang lama. Namun saat
ditanyakan samaada Ariff mahu menggunakan teknik laser yang kurang menyakitkan,
aku pantas menjawab bagi pihak suami ku itu.
“Buat aja cara biasa! Tak payah guna laser
semua..” ucap ku selamba. Sengaja bercakap bahasa melayu agar Ariff tidak faham
apa yang aku katakan kepada pegawai perubatan itu.
“Awak cakap apa dengan dia?” Ariff yang sudah
berbaring segera menyampuk.
“Awak baring aja kat situ! Jangan banyak
cakap!” tegas ku dengan sinar mata yang sengaja ditajamkan kepada lelaki itu.
Salah seorang lelaki itu memandang ku lama. “Betul
ke nak buat cara yang biasa? Kalau pakai laser kurang sedikit darah yang keluar
dan tak berapa sakit. Lagipun kalau gunakan laser luka akan lebih cepat baik,”
sekali lagi petugas perubatan itu berkata untuk meminta kepastian. Ada rasa
hairan dipamerkan di wajahnya. Mana tak hairan, ya tak? Ada cara yang mudah aku
sengaja mahukan cara yang susah. Aku tersenyum sendiri mengenang itu.
“Asalkan dia tak mati aja cukup! Tak payah
pakai laser tu semua. Pakai aja pisau macam biasa! Kalau ada pisau yang tumpul
itu lagi baik! Biar dia rasa!” balas ku
tetap dengan keputusanku. Inilah masanya aku membalas dendam kepada perbuatan
jahatnyaa dulu. Ini baru sikit!
Sebahagian kakitangan lelaki itu sudah tergelak
mendengar kata-kata ku tadi. “Karang kalau pakai pisau tumpul takut tak boleh
pakai terus lepas ni, puan. Siksa dia nanti,” balas salah seorang kakitangan
itu sedikit berjenaka. Mereka tergelak serentak mendengar kata-kata lelaki itu.
Aku ikut tergelak sama. Namun dalam hatinya
hanya Tuhan sahaja yang tahu. Potong aja semua lagi baik! Biar tak boleh pakai
terus.. desis hati ku yang masih bersisa dendam kesumat.
Namun ketika bahagian bawahan lelaki itu
diselak aku mula memandang ke arah lain. Aku cuba sedaya upaya untuk tidak
memberi perhatian kepada apa yang berlaku. Sehinggalah setelah selesai lima
minit lelaki itu dibiarkan sendirian setelah diberikan ubat bius barulah
pembedahan dimulakan. Tidak tertahan aku mahu tergelak apabila mendengar Ariff
dengan panik menegur perbuatan pegawai perubatan itu.
“Jangan pandang! Baring aja di situ. Ini hanya
sekejap sahaja. Lepas lima minit semuanya akan baik. Bertenang saja.” Dr. Ahmad
yang mengetuai pembedahan itu berbicara lembut dengan Ariff.
“Apa yang kamu buat pada dia? Oh! Tuhan..
banyaknya darah!” seketika kemudian jeritan lantang Ariff sudah memenuhi
ruangan itu membuatkan aku mula tergelak sendiri. Dalam hati aku amat gembira
kerana sudah berjaya menyakitkan lelaki itu akhirnya!
Laser? Sama sekali tidak perlu!
hahahahahahahaha..... insyirahhh.... hahahaha....
BalasPadamhadoii la ariff!!! tau takut ko!!! padan muka...
BalasPadamPart ni, memg kelakar..hihihi
BalasPadamHAHAHAHAHAHA... oh Ariff... sweet revenge...padan muka...kekeke
BalasPadamnakal juga insyirah ni rupanyer
BalasPadamhahahaha....pandai juga Insyirah nak kenakan Estaban ni rupanya..
BalasPadam