Aku berjalan sendirian menyusuri jalan untuk ke rumah ku
dengan langkah yang amat longlai. Letih seharian aku bergelut dengan ragam mencari
perkerjaan tidak semana namun aku kehampaan kerana apa yang aku harapkan masih
juga tidak kunjung tiba. Jika tidak terus menjawat jawatan sebagai model
peragaan lagi aku terpaksa pula menggalas jawatan sebagai penganggur. Setakat
ini memang ada tawaran yang datang aku pula yang bermasalah untuk memenuhi
jawatan itu kerana di luar kawasan yang aku ketahui. Aduh! Runsing sungguh
kerana aku benar-benar enggan meneruskan kerja peragaan lagi. Tetapi jika
keadaan terus begini masakan aku harus menjadi penganggur pula?
Bila difikirkan semula mahu sahaja aku berpindah rumah ke
kawasan yang lebih mudah memandangkan kawasan tempat tinggal ku ini agak jauh
dari pusat bandar Kuala Lumpur. Setakat ini kebanyakan tawaran kerja meminta
aku memulakan kerja di Kuantan dan Penang sedangkan aku kini tinggal di Shah
Alam. Masakan aku harus berpindah lagi buat kesekian kalinya? Kalau sebelum ini
aku berpindah dari kondo ke rumah Max kerana mahu memudahkan aku pergi kerja,
apakah kali ini aku harus berpindah semula ke tempat lain? Atau berpindah
semula ke kondo itu? ‘Alah! Entah-entah tuan rumah tu dah dapatkan penyewa
baru..’ bisik hati ku sendiri.
Sambil berjalan aku asyik memikirkan tentang diri ku.
Fikiran ku terus berpusar hebat tentang keanehan yang ku rasakan. Aku bosan
dengan hidup ku. Aku muak! Kalau boleh aku mahu ke mana-mana yang boleh aku
dapatkan sedikit kegembiraan. Aku merasakan hidup ku amat kosong sekali. Aku
sama sekali tidak ada semangat lagi untuk meneruskan hidup. Aku tidak tahu mengapa
perasaan ini semakin lama semakin mengongsi ruang hati ku. Aku seperti
kesunyian. Aku mahukan teman yang mampu mendengar suara hati ku tetapi buat
masa ini aku tidak merasakan Max, Boy dan Remy adalah teman persis seperti yang
aku mahukan. Bagi ku mereka hanyalah teman untuk berseronok. Teman untuk
sama-sama menghabiskan wang namun bukan teman yang bagus untuk mendapat nasihat
bagi masalah kejiwaan seperti yang ku alami ini.
Aku sedar aku sudah mengalami masalah ini agak lama.
Cumanya semenjak kebelakangan ini masalah ini semakin memberat. Aku suka
menyendiri dan berfikir. Aku mulai mahu menjauhi Max, Boy dan teman-teman yang
lain. Aku bagaikan bosan dengan mereka semua.
Apa kenanya dengan aku ini? Mengapa aku begini? Aku dah
sakit jiwa ke? Bukan ke depression ni
salah satu simptom masalah jiwa? Agaknya betullah aku sakit jiwa.. telah hati
ku sendiri. Aku sedar sebahagian diri ku menolak apa yang ada di dalam hidup ku
kini. Jiwa ku bagaikan kesepian dan hidup ku teramat tidak bermakna. Hidup ku
berjalan tanpa arah dan aku tidak tahu kemana harus aku bawakan diri ku ini.
Mungkin benar telahan lelaki itu sebelum ini. Segala apa
yang dia katakan tepat mengena batang hidung ku tetapi aku sahaja yang enggan
mengakuinya secara terang-terangan. Namun walaupun luaran ku sengaja membentak
menunjukkan kedegilan ku kepadanya hakikatnya aku kerap memikirkan segala
nasihatnya.
“Rina...” aku tersentak lantas menoleh apabila terdengar
nama ku di panggil dari jauh. Namun aku tidak nampak sesiapa yang berada dekat
dengan ku.
“Rina..” suara itu kedengaran lebih kuat dari tadi.
Aku memandang sekeliling untuk mencari si pemilik suara
itu. Saat itu barulah aku sedari aku sudah berada di taman rekreasi tidak jauh
dari rumah ku. Aku terpandangkan lelaki yang tempohari menganggu ku di taman
ini. Dia sedang berdiri dengan pakaian untuk bersukan dan melambai kepada ku
dari taman itu.
“Dia lagi!” aku mendegus marah. Dengan jelingan yang
tajam aku tidak memperdulikan lambaiannya itu sebaliknya aku terus berjalan
laju untuk meninggalkan kawasan taman itu.
“Rina!” lelaki itu memanggil lagi nama ku sambil mengejar
ku pantas.
“Joging?” Adam Zaffran menyapa ku dengan soalan itu
setelah berjaya menyaingi langkah ku.
“Saya tak minat berjoging!” aku menjawab keras tanda
tidak suka kepadanya. Langkah kaki ku semakin laju.
“Lah.. tak minat joging? Abang ingat Rina memang tengah
joging. Tengok cara Rina berjalan ni.. macam berjoging aja? Baguslah. Kita kena
selalu jaga kesihatan tubuh badan dan jantung kita. Berjoging adalah salah satu
darinya,” Adam Zaffran cuba menyakat ku.
Aku lantas menghentikan langkah ku apabila terasa
dipersendakan olehnya. “Abang ni nak apa dari saya ni? Saya penatlah! Nak
balik!” aku dengan lantang mengherdiknya tanpa sedikit pun perasaan belas
kasihan.
Berubah terus wajah Adam Zaffran saat itu. “Rina, orang
perempuan tak baik berperangai kasar macam ni. Abang cakap elok-elok, kenapa
Rina nak tengking abang ni?” Adam Zaffran membalas dengan reaksi wajah yang
sudah tidak senang dengan kelakuan ku yang kasar.
Aku diam dan menjelingnya. Sakit hati melihat
kelembutannya. Kenapa tidak dia jauhkan diri dari ku? Jangan dekati aku! Jangan
ganggu aku! Aku benci lelaki yang merimaskan macam dia!
“Sekurang-kurangnya Rina kena hormatkan abang sebab abang
lebih tua dari Rina,” sambung Adam Zaffran lebih lembut kepada ku.
“Kepala otak saya tengah runsing sekarang. Jangan
menyemak boleh tak? Suka hati sayalah nak berkasar ke atau apa! Siapa suruh
abang kacau saya!” aku masih tetap berkasar walaupun sudah tidak sekasar tadi.
“Abang tegur Rina elok-elokkan? Mana ada abang kacau
Rina. Kot ya pun tak suka abang takkan senyum sikit pun tak boleh? Cakap
elok-elok tak payah jerit-jerit macam ni. Abang ni ada telinga dan telinga ni
masih boleh mendengar dengan jelas. Tak payah Rina nak menyusahkan diri
menengking macam tu. Orang yang suka marah ni berpotensi mati cepat tau sebab
marah ni sebahagian daripada stress yang menyebabkan penyakit jantung..” Adam
Zaffran menggerutu geram dengan perangai ku.
Aku terus tersengih seperti kerang kepadanya. “Nak apa,
abang sayang? Saya penat ni. Nak balik cepat..” aku berkata dengan kelembutan
yang sengaja ku buat-buat untuk mengejeknya. Tetapi dalam hati betapa
membaranya aku dengan keletahnya itu.
Adam Zaffran tersenyum tiba-tiba. Kemudian dia ketawa
pula seperti ada yang menggelikan hatinya setelah melihat wajah ku. Aku pula
yang hairan melihat sikapnya. Aku cuba menyakitkan hatinya tetapi dia biasa sahaja.
Aku mulai hairan bercampur bengang apabila melihat dia
ketawa tanpa sebab. Aku tahu dia mahu mengenakan aku. “Kenapa ketawa pulak ni?”
“Muka Rina kelakar pulak abang tengok bila tersegih macam
tu. Sebab tu ALLAH kata senyum tu sedekah. ALLAH tak kata sengih tu sedekah
sebab senyum ni melambangkan keikhlasan hati. Sengih ni pulak menggelikan
hati.. Kah! Kah! Kah!” Adam Zaffran menyambung tawanya setelah meluahkan
kata-katanya.
Terus masam mencuka wajah ku apabila dikenakan lagi
olehnya. Geram betul aku melihat lelaki ini. Mengapa dia suka mengekori ku dan
sekarang mentertawakan aku pula? Apa yang dia mahu dari ku? Terasa menyampah
pula aku melihat dia ketawa.
“Saya nak balik. Saya malas nak layan abang!” Aku
memutuskan untuk pulang sahaja kerana aku muak untuk melayan jenakanya yang
amat tidak kelakar di pendengaran ku ini.
“Abang nak ajak Rina keluar dengan abang malam ni, boleh
tak?” Adam Zaffran sempat memberanikan dirinya melontarkan keinginannya sebelum
aku melangkah lebih jauh lagi.
Kali ini aku cuba sedaya upaya untuk mempamirkan
keikhlasan dalam senyuman ku. Aku teringin sekali untuk mengenakannya yang
memandang ku dengan pandangan mengharap.
Keluar dengannya? Tidak! Ingatan ku masih utuh dengan
peristiwa bersama Jeremy baru-baru ini. Kerana menyambut pelawaan yang kononnya
ikhlas itulah aku jadi begitu. Apakah aku mahu mengulangi sejarah yang sama?
Sama sekali tidak dengan lelaki yang tidak aku kenali ini. “Maaf, saya tak suka
lelaki dan saya tak keluar dengan lelaki..” ujar ku cukup bersahaja agar lelaki
itu sakit hati dengan lagak ku.
Adam Zaffran mendekati ku yang berdiri dua tiga langkah
jauh darinya itu. “Dah banyak kali abang dengar Rina kata Rina tak suka lelaki.
Sampai sekarang abang masih tak dapat jawapannya. Kenapa macam tu, Rina?”
“Abang tanya kenapa saya tak suka lelaki? Oh! Sebab saya
ni lesbian..” dengan semakin selamba aku mengucapkannya. Alasan yang sama yang
aku gunakan dengan lelaki-lelaki lain. Tanpa sebarang rasa malu dan segan aku
mengakui hakikat itu. Malah ku selitkan sedikit kebanggaan di atas pengakuan
itu. Semua itu kerana mahu menyakitkan hatinya. Agar dia berputus asa mendekati
ku.
Wajah Adam Zaffran serta merta berubah. “Lesbian?” Adam
Zaffran menyebut semula perkataan itu namun agak kelat nadanya. Dia bagaikan
cuba untuk menolak hakikat itu. Kerdipan matanya mengecil memandang ku bagaikan
tidak percaya dengan apa yang aku akui.
Aku tersenyum menang. Hati ku bersorak suka dengan
perubahan reaksi wajahnya itu. “Ya, lesbian. Tahu apa makna lesbian? Lesbian
ni..”
“Ya! Perempuan yang menjalinkan hubungan dengan kaum
sejenis macam kawan-kawan serumah Rina tu. Abang tahu!” dengan sedikit keras
Adam Zaffran memintas kata-kata itu. Ada kelukaan dan kemarahan yang ku dengari
dalam suaranya. Kami berpandangan lama. Perasaan ku agak tidak aman dengan
perubahan di wajahnya. Dia seperti hampa. Mengapa dia harus hampa?
“Kenapa?” lelaki itu menyoal ku perlahan. Dia semakin
mendekati ku dan berdiri tegap di hadapan ku.
“Kenapa apa?” cuba ku kuatkan diri untuk bertanya biar
pun kekukuhan hati sudah mula dikocak oleh kehadirannya.
Adam Zaffran membuang pandangan ke tepi seketika bagi
melindungi reaksi wajahnya. Dia jadi kepayahan seketika untuk meluahkan
kata-kata. Hanya rengkungnya sahaja yang bergerak bagaikan mahu berkata
sesuatu.
“Abang nak tahu kenapa Rina benci lelaki? Kenapa memilih
untuk jadi seperti ini? Kenapa berkawan dengan orang yang menentang fitrah asal
kejadian mereka? Jalan yang Rina lalui ini salah. Tengoklah cara Rina
berpakaian selama ini. Terbuka sana sini. Bahaya kalau Rina terus berpakaian
macam tu. Orang lain tengok pun tak selesa kerana tubuh wanita adalah pemangkin
nafsu lelaki. Memilih untuk menjadi model cat
walk tak salah tapi memaparkan sebahagian daripada tubuh untuk tontonan
lelaki itu yang salah. Perempuan wajib menutup aurat. Perempuan tak boleh
berlagak berpelukan mesra dengan model lelaki yang bukan muhrim di atas pentas
peragaan. Itu berdosa besar. Sekarang ni abang dapat tahu yang Rina ni lesbian
pula. Ini semua salah, Rina. Bertaubatlah sebelum ALLAH tarik semula nyawa di
badan,” akhirnya terluah juga bicaranya itu diakhir penantian ku. Tidak
keterlaluan jika aku andaikan suaranya seperti kecewa dengan pengakuan ku itu.
“Perlu ke saya jawab semua tu?”
“Memang takde hukum yang mengatakan wajib Rina menjawab
kata-kata abang ni tapi abang nak tahu sebabnya mengapa Rina memilih untuk jadi
begini. Hidup Rina takde arah!” tekan Adam Zaffran tidak berpuas hati dengan
jawapan ku.
“Takde apa yang menarik untuk diceritakan tentang hidup
saya yang tak berpedoman ni. Hakikatnya saya memang tak suka lelaki dan saya
lesbian. Memang saya bergaul dengan ramai lelaki di dalam dunia kerja saya tapi
itu semua plastik! Saya memang perempuan keji kerana kerja saya sehari-hari
mempertontonkan tubuh badan saya di atas pentas untuk mata-mata asing. Itu aja
yang perlu abang tahu..” aku enggan menuruti kehendaknya. Bagi ku tiada
kewajipan untuk aku melunaskan kehendaknya itu.
“Oh! Jadi ini memang naluri semula jadilah? Memilih untuk
hidup macam perempuan barat ni adalah naluri Rina, kehendak semula jadi Rina?
Seronok ke?” dia menyoal ku lagi. Ada sedikit kesinisan dalam suaranya dan yang
sedikit itulah mampu menghidupkan rasa benci ku kepadanya.
“Ya! Memang naluri semula jadi saya sukakan kaum sejenis
dan hidup macam perempuan barat yang terdedah sana sini. Ada masalah dengan
abang ke?” aku dengan berani mencabarnya.
Adam Zaffran hanya diam. Namun aku sudah mengesan
kemarahan di dalam matanya dengan sikap biadap ku kepadanya. Namun dia punya
cara untuk mengalahkan aku. Menunjukkan kemarahan secara berhadapan bukanlah
dirinya sebaliknya matanya merenung ke dalam mata ku agak lama dan cukup dalam
sehingga aku sedar perasaan ku mulai berkocak. Dada ku berdegup kencang tanpa
dapat dikawal rentaknya. Ada suara yang menyeru agar aku menjauhkan diri
segera. Namun itu bukanlah ketakutan yang sering aku alami. Bukan juga fobia
kepada kaum lelaki. Peliknya aku tidak pernah berasa takut kepadanya selama
kami saling berbalah begini. Tetapi perasaan itu sudah membuatkan aku tidak
tentu arah dan aku tidak mahu dia mengesannya. Aku yang mahu mencabarnya kini
aku pula yang dicabar diri ku sendiri.
“Saya nak balik!” aku lantas berundur untuk menjauhinya.
“Kenapa, Rina? Tolong jawab soalan abang tadi..” Adam
Zaffran melaung kepada ku apabila aku sudah menjauhinya. “Kenapa Rina benci
lelaki? Abang pun lelaki, Rina. Apa salah abang?”
Soalan yang kedengaran lagi itu juga tidak ku layan
sebaliknya aku melajukan langkah kaki ku.
“Rina...” dia melaung lagi. “Jangan jadi seperti umat di
zaman Nabi Luth, Rina. Mereka ditimpa bencana kerana perbuatan keji itu..”
laung Adam Zaffran kepada ku.
Aku hanya memandang sekilas sahaja lelaki itu. Langkah
kaki terus ku atur walaupun aku sedar dia masih setia bediri di situ menagih
jawapan ku. Apa yang pernah terjadi di dalam hidup ku biarlah aku sahaja yang
tahu. Aku tiada sebab untuk bercerita dengannya kerana aku tidak pernah
memiliki biar sedikit pun kepercayaan kepada kaum lelaki termasuklah Adam
Zaffran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan