Jika padi katalah padi,
Tidaklah orang tertampi tampi,
Sekalipun benci janganlah dikeji
Takut nanti memakan diri.
Hari
ini sekali lagi aku dihimpit oleh lelaki
bernama Estaban Jospeh Buhler itu.
Sebaik sahaja aku keluar dari dewan kuliah aku sama sekali tidak menduga wajah
Estaban tertonggok menanti aku di situ. Gagal mengelakkan diri, terpaksalah aku
mendepani juga lelaki itu lagi.
“Awak ni takde kerja lain ke asyik cari saya? Awak takde
kelas?” desis ku geram.
“Kelas saya dibatalkan. Jadi saya carilah awak untuk isi
masa terluang saya..” dia menjawab selamba sambil menyeringai kepada ku.
“Ada apa awak datang sini?” soal ku agak hambar sambil
fail yang ku bawa ku peluk erat bagaikan sedang melindungi diri ku daripada
mata lelaki yang miang itu. Geram melihat aksi Estaban merenung ku dari atas ke
bawah.
“Awak dah makan ke?” soal Estaban cuba berlagak mesra
dengan ku.
“Saya tak lapar.” Aku tetap menjawab hambar sambil
melarikan pandangan ke arah lain.
Lelaki itu cuba mencari kata-kata lain pula cuba untuk
memancing minat ku untuk berbual dengannya. Nampaknya dia memang tidak mahu
berputus asa. “Kita pergi perpustakaan nak?” Estaban cuba membuat pelawaan yang
mungkin sesuai dengan minat ku pula. Yalah.. kalau dia ajak aku pergi bercumbu
kat tepi Padang Ragbi.. memang makan pelempang dia kat sini!
“Saya nak berjumpa dengan Puan Marry di pejabat dekan.
Lain kali aja ya?” aku lantas mencipta alasan untuk mengelak lagi darinya.
Padahal entah apa pula urusannya Puan Marry itu untuk bertemu dengan aku. Kenal
aku pun tidak!
“Saya boleh tunggu hingga awak selesaikan urusan awak
dengan Puan Marry. Tak jadi masalah bagi saya.” Estaban menjawab begitu pula.
Dia nampaknya sudah terbiasa dengan alasan-alasan yang aku berikan. Dia sama sekali
tetap tidak mahu mengalah.
Aku mula mengeluh letih dengan kerenahnya. “Tolonglah!
Saya nak pergi sembahyang sekarang. Awak janganlah ganggu saya. Saya dah
lambatlah! Saya tak suka awak tunggu saya,” ucap ku separuh tertekan dan
merayu. Pening kepala aku dengan mangkuk ayun seorang ni. Tak faham bahasa ke?
“Takpe. Saya akan tunggu sampai awak selesai sembahyang.
Takde masalah, sayang!”
“Awak tak dengar ke apa yang saya cakap tadi? Saya tak
mahu awak tunggu saya. Maaf ya.. saya kena pergi sekarang,” balas ku tanpa
kompromi lagi. Harap-harap kali ini Estaban mengerti yang aku memang tidak ingin
berada dekat dengan dia.
Wajah Estaban mula berubah. Sewaktu aku mahu meninggalkan
dia di situ dia sempat mencapai lengan ku untuk menghalang. Aku terkejut dengan
kelakuannya. “Jangan sentuh saya!” spontan itu aku terus merentap semula tangan
ku darinya. “Siapa benarkan awak sentuh saya?” marah ku geram dengan gelagat
lepas lakunya itu.
“Maaf! Saya lupa awak seorang yang taat pada agama. Orang
alim macam awak tak bersentuhan dengan lelaki.” Estaban ketawa menyindir sambil
meletakkan tangannya ke dinding untuk menyokong dirinya. Matanya terus meratah
wajah ku yang sudah ketat seketat-ketatnya.
“Memang saya taat pada agama. Jadi apa masalahnya dengan
awak? Saya tak ganggu orang lain, jadi saya tak suka awak ganggu saya!” bentak
ku lantaran hati yang mulai panas dengan gelagat lelaki miang itu. Ikutkan hati
nak aja aku sepak ehem-ehem dia. Baru dia rasa!
“Janganlah marah. Saya bergurau aja. Awak ni cepat terasa
hatilah..”
“Saya tak suka awak mempersendakan agama saya. Saya
sendiri tak pernah mempersendakan agama awak, jadi saya tak suka awak bercakap
tentang agama saya. Belajarlah hormatkan orang lain,” balas ku sengit.
“Huh! Saya tak percaya pada agama. Saya tak perlukan
agama dan Tuhan. Apa ada dengan semua itu?” sambut Estaban tanpa sedikit pun
rasa berdosa berkata begitu. Aku segera beristighfar dalam hati mendengar
kata-kata itu. Lelaki ini sudah jauh tersesat. Patutlah hidup lintang pukang
begini.
“Jangan terlalu takbur, Estaban. Nanti apa yang awak
katakan tu akan makan diri awak balik. Tuhan sentiasa melihat dan mendengar apa
yang kita katakan setiap hari,” ucap ku dengan pandangan tajam kepada lelaki yang
berdiri berhampiran dengan ku itu.
Estaban sekadar tersenyum meleret tanpa terkutik sedikit
pun dengan apa yang diucapkan oleh ku. Malahan cara dia tersenyum bagaikan
mempersendakan peringatan ku tadi. Aku menggeleng sedikit melihat sikap
Estaban. Aku benar-benar sebal dengan pendirian lelaki ini yang ternyata salah.
Tetapi apa hak ku untuk menegah dia? Kami bukannya pasangan kekasih. Kawan?
Entahlah.. tetapi apa yang diucapkannya oleh Estaban tadi amat mengerikan
telinga ku yang mendengar. Berani sungguh dia berkata begitu tanpa merasa
bersalah!
“Setiap orang kena ada kepercayaan, Estaban. Kalau tiada
kepercayaan hidup akan berjalan tanpa arah,” kata ku cuba juga untuk menyedarkannya.
“Saya tak perlukan pedoman. Pedoman sedikit pun tidak
membuatkan saya hidup senang. Selama ini kehidupan saya baik sahaja. Semua yang
saya mahukan saya akan dapatkan termasuk juga awak!” balas Estaban. Dan dengan
angkuhnya dia menundingkan jarinya kepada ku.
“Saya?” dengan kerutan di kening aku menyoal kembali
sambil menunding diri ku sendiri. Betapa gelinya lubang telinga ku sehingga ke
segala saraf yang ada, mendengar kata-kata itu. Spontan aku terus tergelak
menyindir Estaban. Terlalu mudah bunyi bicara lelaki itu sehingga aku rasa nak
termuntah hitam terus! Apakah dia rasa segala kuasa di hujung jarinya sudah
cukup hebat sehingga boleh merubah pendirian orang lain kepadanya?
“Sila sebutkan masa dan ketikanya awak berjaya dapat
saya? Saya tak ingat apa-apa pun? Awak ni mungkin perlukan pakar otak!” ucap ku
dalam nada mengejek.
Dari ekor mata aku lihat Estaban memandang sahaja segala
reaksi diri ku. Namun sekilas pandangan aku tahu aku sudah mencabar lelaki itu.
Apa aku peduli? Apa perlunya aku menjaga hati lelaki seperti ini? “Minta
maaflah.. saya bukan Jessica bukan Dorothie bukan perempuan yang boleh dicumbui
di tepi padang dan bukan perempuan-perempuan yang boleh awak bawa keluar dan
masuk ke bilik tidur awak sesuka hati, Estaban. Saya belum segila itu untuk
menyerahkan diri saya pada lelaki kaki perempuan macam awak. Lebih baik saya
terjun ke dalam laut daripada terjun ke dalam perangkap awak!” Sebelum sempat Estaban
menambah kata aku melengkapkan lagi ejekan ku kepadanya. Pandangan menyirap
Estaban kepada ku tidak ku pedulikan. Lantaklah! Ada aku kisah? Gerutu hati ku
sendiri.
“Wah! Hebatnya awak? Mungkin bukan hari ini tapi saya
tetap akan dapatkan awak. Saya tak pernah merasai tubuh badan perempuan Melayu.
Kali ini saya akan dapatkannya dan saya memilih awak. Sebab awak memang cantik.
Terlalu cantik, Insyirah. Awak buat saya terkejar-kejar.” Estaban membalas
cabaran ku sambil menunding lagi jari telunjuknya ke dada ku.
“Kalau saya perlukan seorang lelaki, saya akan mencari
seorang lelaki yang ada nilai sebagai seorang lelaki sejati pada mata saya.
Saya tak perlukan seorang lelaki yang menganggap nilai wanita yang begitu
rendah sehingga boleh dipakai dan dibuang bila-bila masa. Saya juga bukan objek
pemuas nafsu lelaki macam awak. Secara terus-terangnya saya memang tak suka
dengan awak dan tak pernah termimpi nak menjadi kawan awak biar pun untuk
seminit. Naluri saya tidak pernah terdesak untuk ditiduri lelaki macam awak!”
jelas ku tegas. Panas yang kami rasakan membuatkan kami saling ejek mengejek.
“Oh, ya? Awak tak ubah seperti seorang biarawati yang
membuat perkara yang tidak mendatangkan sebarang faedah. Biarawati memang tidak
bernafsu kepada lelaki dan tak mahu berkahwin kerana terlalu taksub kepada
agama. Tetapi di sebalik itu mereka membuat hubungan sulit dengan paderi di
dalam gereja untuk kepuasan batin mereka. Awak tak rasa itu satu perlakuan yang
hipokrit dan paling menjijikkan?” tukas Estaban kembali menyakitkan hati ku.
Aku tersentak mendengar bicara yang cukup lancang
menghina ku. Kata-kata itu ku rasakan cukup tajam bak belati yang sedang menyiat-nyiat
hati ku. Kalau aku ikutkan hati yang panas mulut lelaki ini sudah ku tampar.
“Rasanya biarlah saya perbetulkan sedikit pendirian sesat
yang ada di otak awak tu. Saya bukan biarawati yang tak mahu berkahwin kerana
taksub pada agama, kerana saya orang islam. Orang islam baik yang lelaki mahu
pun perempuan digalakkan berkahwin kerana berkahwin itu sunnah nabi Muhammad
SAW. Tetapi berzina adalah salah satu perkara yang amat dilarang dalam islam. Besar
bezanya antara berkahwin dan berzina walaupun perlakuannya sama. Saya tetap
berpegang kepada ajaran agama islam dan lelaki seperti awak yang tak mempunyai
kepercayaan kepada Tuhan dan agama, sama sekali tidak memiliki tempat dalam
hidup saya walaupun hanya untuk beberapa minit. Jadi jari yang awak tundingkan
kepada saya tu tolong bersihkannya dari segala kekotoran noda dan dosa sebelum awak
biarkan jari tu menunding kepada saya. Buat masa ni apa yang paling menjijikkan
lagi tidak berguna bagi saya adalah awak! Bukannya biarawati itu atau mana-mana
orang lain! Orang yang saya harus jauhi adalah awak! Dapat itu?” ucap ku tajam.
“Awak berlagak dengan saya?” Estaban menyambut dengan
marah yang tertahan. Dia semakin mendekati ku dengan pandangan mata yang tajam.
Rahangnya dikertap keras.
“Saya tak peduli apa yang awak nak katakan. Suka hati
awaklah nak anggap apa pun pada saya. Saya tak jatuh cinta sikit pun dengan muka
awak yang konon-konon idaman ramai tu. Saya tak laparkan lelaki kaya lebih-lebih
lagi awak, Estaban Buhler! Sesiapa yang bernama Estaban Joseph Buhler, saya memang
tak suka!” Aku nekad membalas bicara Estaban dengan penghinaan itu. Namun mata
ku sentiasa mengawasi rentak sang lelaki yang berdiri dekat dengan ku itu. Bimbang
dia melampaui batasnya.
Estaban terdiam sambil merenung ku tajam. Dadanya turun
naik menahan rasa. Aku tahu Estaban sudah naik hantu dengan kata-kata ku
sebentar tadi. “Kenapa? Awak nak marah saya? Marahlah! Tapi kalau awak fikir
dengan menyamakan saya dengan biarawati yang suka membuat hubungan sulit itu
awak boleh mengubah pendirian saya.. awak memang silap besar. Saya tak hairan
sebab saya bukan biarawati! Gunakan otak awak sebelum awak mengeluarkan
kata-kata macam tu.” Aku nekad mencabar lagi.
“Baiklah! Ingat kata-kata saya ni dengan jelas.. saya
tetap akan dapatkan awak dengan cara apa sekali pun. Walaupun hanya untuk
beberapa minit! Sebelum sampai ke waktu itu awak boleh memilih untuk melarikan
diri dari saya. Tapi saya tetap akan mendapatkan awak walaupun saya terpaksa
melakukan dengan cara yang paling keji. Itu janji saya. Simpan itu dalam
fikiran awak! Saya tidak boleh selamanya menerima penolakan awak. Ingat tu?” lelaki
itu berkata dengan tekad dan dendam yang bersatu. Matanya yang kemerahan cukup
mengatakan yang dia tidak berjenaka dengan ucapannya itu.
Kali ini aku pula yang terdiam. Kata-kata itu bagaikan
sebuah ugutan bergaung kuat di telinga ku. Serta merta aku jadi seram pula
apabila mengenangnya. Apa yang dimaksudkan oleh Estaban sebenarnya? Aku tidak
tahu! Itulah.. tadi berani sangat.
“Apa maksud awak ni?” soal ku mula bimbang.
“Awak akan tetap menjadi milik saya nanti walaupun hanya
untuk sekejap. Saya akan lakukan apa sahaja untuk dapatkan awak. Insyirah. Ini
janji saya. Jangan nanti apabila awak bangun dari tidur awak merayu-rayu kepada
saya semula,” ucap Estaban dengan pandangan yang amat tajam.
“Janjilah apa-apa yang awak mahu. Bersumpahlah apa yang
awak suka. Saya tetap takkan berganjak dari pendirian saya. Walaupun saya
terpaksa menghabiskan seumur hidup saya dengan memandang muka awak, saya tetap
tidak akan meletakkan awak di tempat yang istimewa. Tempat itu takkan menjadi
milik awak. Dan saya takkan merayu seorang lelaki yang tiada pedoman. Janganlah
awak nak perasan. Lelaki macam awak hanya wujud untuk memusnahkan hidup orang
perempuan! Pengecut!” Walaupun agak gentar aku tetap tidak mahu memperlihatkan
ketakutan ku. Apa yang aku tahu aku tidak mahu kalah kepadanya.
Hilang sabar Estaban akhirnya menumbuk dinding di belakang
ku untuk meluahkan rasa marah yang sudah tidak tertahan. Aku sempat terkejut mendengar
dentuman di belakang ku itu. Menggigil juga kaki ku ini. Namun aku sedaya upaya
berlagak tenang. Mungkin tidak kuasa berlawan cakap lagi Estaban akhirnya berlalu
pergi begitu sahaja.
Aku sempat termenung mengenang semula apa yang diucapkan
Estaban. Harap-harap esok dia terlupa apa yang dia ucapkan sebentar tadi.
Semenjak pertengkaran itu aku terpaksa
menjadi pelarian pula. Apabila ternampak kelibat Estaban atau mana-mana teman
baiknya, aku segera melencong ke arah lain ataupun menyorok darinya. Aku benar-benar
tidak mahu kelihatan di hadapan matanya. Tetapi sebenarnya jauh di sudut hati
ku ini, aku merasa bersalah pula kepadanya. Aku tahu aku sudah terlepas kata
kepadanya. Aku tahu aku tidak seharusnya sesenang itu merendah-rendahkannya.
“Kau gaduh dengan Estaban ke, Syira?” Hamizah mula
bertanya ketika kami sedang makan malam berdua. Ameena semenjak tadi tertidur
langsung tidak terjaga walaupun sudah berkali dikejutkan untuk makan.
Aku mula mengangkat pandangan kepada teman serumahnya
itu. Aku akhirnya mengangguk perlahan mengakui tentang itu.
“Pasal apa?” soal Hamizah ingin tahu.
“Pasal apa lagi? Pasal perangai kaki perempuan dia tulah.
Taak habis-habis nak ajak orang keluar dengan dia. Boring tengok perangai dia
tu!” ucap ku bagaikan tiada mood untuk berbicara mengenai lelaki itu.
Hamizah diam seketika sambil menyuap nasinya. Seketika
kemudian wajah aku dipandang lagi. “Aku ada dengar cerita ni..” luahnya sebagai
permulaan.
“Cerita apa?” tanya ku pantas.
“Kau tahu siapa budak dalam rumah ni yang dah jadi barua si Estaban tu?”
Aku terdiam seketika sambil merenung wajah Hamizah. Aku tidak
faham apa yang dimaksudkan oleh teman serumah ku itu. “Barua apanya?” soal ku
perlahan.
“Nenny.. dia bagitahu banyak pasal kau pada Estaban. Sebab
tu mangkuk tu tahu ke mana kau pergi dan mana kau tinggal. Nenny jadi infomer
dia.” Hamizah terus menjelaskan keadaan sebenarnya.
Terbeliak mata ku mendengar kata-kata Hamizah itu. Itu
sesuatu yang tidak mampu aku bayangkan, malah sukar untuk aku percaya. “Mana
kau tahu semua ni, Izah? Siapa bagitahu kau?” soalan itu menerpa pantas dari
ulas bibir ku.
“Siapa yang bagitahu tu aku tak boleh nak bagitahu sebab
dia minta aku rahsiakan nama dia. Tapi dia dapat tahu dari kawan baik Estaban
tu sendiri. Dia kata selama ini Nenny jadi barua Estaban sebab mamat tu sanggup
belikan apa aja yang dia mintak. Sebab tu dia nampak loaded selama ni.” Hamizah terus bercerita lagi tentang apa yang
diketahuinya.
“Kurang ajarnya?” getus ku dengan mata membulat kepada
Hamizah. Sesak dada ku mendengar itu. Tidak sangka rupanya teman serumah kami yang
selama ini amat jarang menegur ku sanggup menikam ku dari belakang. Memang selama
ini hubungan kami dengan Nenny Akmar tidak akrab. Sekadar menyapa satu sama
lain apabila bertembung, itu sahaja. Sangka ku, Nenny orang yang baik. Tetapi
rupanya tidak! Di belakang ku Nenny sanggup bersekongkol dengan Estaban hanya
kerana mahukan sedikit ganjaran. Dia nak ganjaran itu dia punya hal. Tetapi apasal
hal aku pulak yang dijajanya kepada Estaban? Ini melampau!
“Kau tak mahu tanya Nenny pasal ni?”
Aku mula menghela keluhan sendiri. Bertanya? Perlukah? Penghabisan
nanti kami pasti akan bertengkar dan bermasam muka untuk entah berapa lama.
“Tanya untuk apa, Izah? Kalau aku marah dia sekalipun Estaban
tetap datang cari aku. Aku bukannya bermasalah dengan Nenny tapi dengan si Estaban
tu.” Aku menjawab perlahan. Aku tidak mahu bermusuh dengan sesiapa. Apatah lagi
Nenny teman senegara dengan kami.
“Aku rasa perbuatan dia tu kurang ajar..” komen Hamizah.
“Aku tahu. Tapi aku tak suka bergaduh dengan orang.
Apatah lagi kita ni duduk satu rumah,” jawab ku rendah.
“Hmm.. dengan Estaban kau tak suka gaduh jugak? Patutlah
semenjak kebelakangan ni kau asyik termenung aja. Susah hati bila dia marah
dengan kau.. atau kau susah hati bila dia tak kacau kau lagi macam dulu?” Hamizah
sempat melontarkan tekaan itu. Dia ketawa sedikit sebelum menyuap sisa nasi
yang masih ada di dalam pinggannya.
“Kau jangan mengarut, boleh tak?” tukas ku geram.
Hamizah tersengih lagi. “Manalah tahu dalam diam kau dah
jatuh hati dengan dia. Mamat tu biar kaki perempuan pun dia memang pandai
mengayat. Takut kau aja yang tak tertahan diayat akhirnya jatuh cinta kat dia.
Dia tu memang nakal tapi taklah jahat sangat. Dengan aku dia okay je. Kita ni
kadang-kadang, lidah boleh berbohong. Tapi reaksi kita tak macam tu..” ucap
Hamizah entah kenapa.
“Apa maksud kau ni?” soal ku semakin tidak keruan dengan
telahannya itu.
“Kau tu lah.. jangan sampai benci tapi rindu dahlah! Depan
kau benci dia berapi-api. Belakang kau asyik ingatkan dia.”
“Izah, kalau kau ni dah sewel, aku bawak kau pergi
hospital gila sekarang, nak?” tukas ku semakin tidak senang dengan gelagat
teman serumah ku itu. Wajah Hamizah ku pandang geram.
Hamizah dengan selamba ketawa galak melihat kemarahan di
wajah ku. “Janganlah marah. Aku gurau aja. Yalah.. aku tahu kau tu memang bencikan
dia,” ujar Hamizah selamba.
“Baguslah kalau kau tahu. Jangan doakan yang tidak-tidak,
Izah. Kau suka kalau hidup aku tersiksa kerana lelaki macam tu? Aku selalu
doakan kau bertemu dengan lelaki yang ikhlas dan sayangkan kau. Kau pulak nak
doakan aku dengan lelaki macam tu?” balas ku sebal.
“Sorry, Syira. Aku main-main je. Janganlah ambil hati..”
ucap Hamizah lembut.
“Dahlah. Jangan cakap pasal dia lagi. Aku kalau dengar
aja nama dia mulalah angin aku sampai. Karang tak pasal-pasal kau pulak yang
kena sembur dengan aku.”
Hamizah tersenyum. Namun mulutnya terus dikunci tanpa
mahu berbicara soal Estaban lagi kepada ku. Aku pula terus termenung sendiri. Sebahagian
bicara Hamizah berlegar ligat di benak ku. Benci tapi rindu? Iya ke? Mintak
simpanglah.. Dah! Aku takkan termenung lagi lepas ni!
Ketukan pada
pintu bilik membuatkan aku segera menoleh dari meja belajar ku. Hamizah
terjengul di ambang pintu yang terbuka luas.
“Ada orang nak jumpa kau..” ucap Hamizah sambil memandang
seketika ke arah pintu rumah kami.
Aku terus mengerutkan kening. “Siapa pulak yang nak jumpa aku?” soal ku hairan.
“Pergilah tengok sendiri. Aku pun tak tahu kenapa dia
sampai datang sini,” ucap Hamizah sambil menjungkit bahu sedikit.
Kata-kata yang sebegitu membuatkan aku semakin
tertanya-tanya. Rasa tertanya-tanya membuatkan aku terus bangun lalu terus
pergi melihat siapa yang datang. Namun sebaik sahaja terpandangkan orangnya
mata ku terbuntang seketika. Spontan aku terus berlari masuk semula ke bilik.
Mangkuk ayun punya, Hamizah! Kenapa dia tak cakap yang datang tu lelaki? Getus
hati ku sebal dalam pada aku kalut mencari tudung untuk menutupi rambut ku.
Selesai mengemaskan rambut ke dalam tudung, aku keluar
semula untuk mendapatkan tetamu yang paling tidak diundang itu. Sempat juga aku
mencapai jaket untuk melitupi tubuh ku kepada kedinginan luar musim luruh. Juga
pada mata si Estaban itu!
“Awak nak apa datang sini?” soal ku setelah berada di
hadapan lelaki itu. Pintu rumah ku rapatkan bagi mengelakkan dia melihat lebih
jauh apa yang ada di dalam rumah ku itu.
Estaban tidak menjawab sebaliknya dia sekadar merenung ku
lama. Aku mula naik segan melihat gelagatnya. Ada apa-apa yang tak kena ke
dengan tudung aku ni? Senget ke? Ke aku pakai tudung terbalik? Rasanya dah
okay.. aku sempat meraba-raba kepala ku untuk memastikan apa yang bermain di
fikiran ku itu tidak terjadi.
“Rambut awak cantik sangat..” ucapnya lembut dalam pada
bola matanya masih tidak terkalih daripada wajah ku.
“Awak datang sini semata-mata nak tengok rambut saya ke?”
ucap ku dengan kerlingan ekor mata.
Estaban tunduk seketika. “Saya nak minta maaf dengan awak
pasal kejadian hari tu. Saya tak sengaja berkasar dengan awak. Saya tahu saya dah
biadap dengan awak,” ujar lelaki itu perlahan sahaja.
Aku terdiam memandangnya. Dia minta maaf? Betul ke ni?
Macam tak caya pulak!
“Saya susah hati sangat bila tak dapat bercakap dengan
awak. Saya rindukan awak..”
Aku mengeluh dalam diam. Bab yang minta maaf tadi aku
suka.. tapi bab-bab rindu ni semua aku tak gemar! “Kalau awak nak saya maafkan
awak, saya boleh maafkan. Saya pun nak minta maaf sebab saya pun dah terlepas
cakap hari tu. Tapi pasal rindu tu..”
“Takpe.. saya faham, Insyirah. Awak tak sukakan saya.”
Estaban memintas sebelum sempat aku menghabiskan kata.
Baguslah kalau kau faham! Aku pun dah bosan ulang benda
yang sama setiap masa.. detik hati ku sendiri.
“Insyirah, saya akan berubah kalau awak sudi beri saya
peluang. Sekurang-kurangnya sebagai kawan awak. Tolonglah jangan hampakan saya
lagi,” rayu Estaban bersungguh. Tidak cukup itu kelopak matanya sengaja
diredupkan cuba menagih simpati dari ku.
“Estaban..”
“Saya tahu apa yang awak nak cakap. Tapi saya minta kali
ni awak jangan pandang saya macam dulu lagi. Bagilah saya peluang untuk
perbetulkan diri saya. Saya betul-betul sayangkan awak,” pintas Estaban sebelum
aku dapat meluahkan penolakan ku kepadanya.
Aku mengeluh resah dengan rayuan lelaki itu. Bukannya aku
mahu menyombong atau memandang rendah kepadanya. Tetapi ada perkara yang tidak
mampu ku berikan kepadanya walaupun dia melutut di hujung kaki ku. Aku tidak
ada perasaan cinta kepadanya! Aku sendiri pun tak faham kenapa dalam
seramai-ramai perempuan yang mungil.. yang seksi.. yang sanggup tergedik-gedik
kepadanya, aku pula yang dirayunya.
“Insyirah, tolonglah jangan menolak saya lagi. Saya cuma
nak sedikit ruang untuk dekat dengan awak tanpa perlu kita bermusuh macam
sebelum ini. Tolonglah..”
“Saya tak mahu beri awak harapan palsu, Estaban. Ramai
lagi di luar sana yang sanggup buat apa saja untuk awak. Kenapa saya pulak yang
awak cari?”
“Saya jatuh hati pada awak semenjak mula saya nampak awak
dulu. Saya tahu perasaan ni bukan main-main. Saya hampir gila memikirkan awak
setiap hari. Saya tak mampu lupakan awak walaupun saya pernah mencubanya
sebelum ini,” ujar Estaban lemah.
Aku terdiam menahan rasa terkejut mendengar ucapannya
itu. Aku tidak sangka dia seserius ini. Aku sangka dia sekadar mahu ‘menggatal’
dengan ku seperti mana dia sering menggatal dengan perempuan-perempuan lain.
“Saya tak tahu nak cakap apa, Estaban..” luah ku perlahan.
Estaban menelan liur perlahan. “Saya tahu saya kaki
perempuan. Tapi selama saya berada dengan mereka semua saya tak pernah rasa
macam ni. Saya asyik memikirkan awak bila saya ada dengan perempuan lain. Awak
tahukan apa maknanya tu semua?” dia membalas cukup lembut.
Aku terdiam lagi memandang muka seposen Estaban. Bab
merayu.. memang serahlah kat dia ni! Agaknya kalau masuk pertandingan mesti
dapat tempat pertama. Aku pulak yang mula rasa serba salah sekarang.
“Saya cuma nakkan sedikit perhatian dari awak. Jangan
layan saya macam musuh awak. Saya tersiksa bila tengok awak membenci saya,”
ujar Estaban lagi.
Aku terus diam sambil berfikir sendiri. Sekadar kawan..
apalah salahnya. Kalau dengan orang lain aku boleh berbaik, takkanlah dengan
dia ni aku nak menyombong sepanjang masa? Tengok muka dia tu pun aku dah tak
tahan. Kesian betul! Macam muka budak kecik hilang mak kat pasaraya aja.
Lagipun aku sebenarnya dah letih bertengkar selalu dengan Estaban. Jadi apa
salahnya kalau kami berkawan sahaja. Maksudnya kawan biasa ya.. jangan
terlebih-lebih feeling pulak!
“Okaylah..” jawab ku akhirnya.
“Apa yang okaylah?” soal Estaban mula bersemangat semula.
“Saya terima awak sebagai kawan saya. Tapi kawan aja tau!
Awak jangan nak perasan yang saya dah terima cinta awak. Jangan paksa saya buat
benda yang saya tak suka,” kata ku serius.
Estaban terus menyeringai mendengar kata-kata ku itu.
“Saya faham..” ujarnya mula ceria. “Kalau macam tu.. boleh saya ajak awak makan
malam dengan saya malam ni?” ucapnya terus tanpa menunggu lagi.
“Makan makan, keluar bersama.. itu hanya termaktub dalam syarat
sebagai kekasih awak. Jadi jawapannya tak!” balas ku selamba. “Kalau takde
apa-apa lagi, lebih baik awak balik. Saya tak mahu nanti kawan serumah saya
cakap apa pulak bila nampak awak kat sini,” ujar ku lagi.
Tiba-tiba wajah itu mendung semula. “Takkanlah awak nak
suruh saya balik?”
“Habis tu takkan pulak saya nak ajak awak tidur kat rumah
saya ni?” balas ku dengan pandangan sedikit mencerun kepadanya. Apa lagi dia
nak? Aku dah setuju jadi kawan dia, takkanlah dia nak bertamu tangga kat sini
pulak!
Estaban termanggu seketika memikir sesuatu. “Saya nak
ajak awak keluar dengan saya. Kita pergi jalan-jalan di London mahu?” ajaknya
lembut.
Aku menghela keluhan perlahan. Rasanya tadi aku cakap
bahasa inggeris. Bukannya bahasa jawa.. bukannya bahasa Zimbabwe.. bukannya
bahasa Sudan ke.. Kenapa dia ni tak faham jugak? “Saya dah pernah ke sana. Takde
apa yang menarik pun..” balas ku dengan riak wajah tidak berminat kepada ajakan
itu.
“Apa gunanya awak jadi kawan saya kalau keluar dengan
saya pun awak tak sudi?” cebirnya mula buat muka merajuk.
“Saya cuma kawan awak. Sebagai kawan tak semestinya saya
kena keluar dengan awak. Lagipun keluar berdua dengan lelaki itu bukan amalan
saya.” Aku membalas selamba. Sedikit pun tidak terusik dengan olahnya.
“Awak ni jual mahal betullah!” getusnya sudah mula berputus
asa kepada ku.
“Suka hati awaklah nak cakap apa. Baliklah lekas. Saya nak
study ni..”
Estaban mencebik sendiri dengan ketegasan ku. Aku sekadar
menjeling tanda malas mahu melayannya lagi. Apabila melihat dia mula berpaling
mahu pergi aku segera mengucap syukur dalam hati. Setelah dia mengatur langkah
berlalu aku mula membuka pintu rumah. Namun seketika kemudian aku terkejut
apabila terasa sesuatu yang lembut dan hangat melekap sesaat di pipi ku. Apabila
aku menoleh aku lihat wajahnya berada cukup dekat dengan pipi ku. Spontan aku
menjauhinya.
“Apa awak buat?” bentak ku geram. Kurang ajar betul!
Estaban tersengih. “Akhirnya saya dapat cium awak..” ujarnya
selamba tanpa merasa bersalah.
“Awak ni memang kurang ajarlah!” geram betul aku melihat
sengihnya.
“Upps! Awak dah terlambat. Saya dah pun cium awak. Bye..”
dengan muka selamba dia terus berlalu. Aku terpaku memandang lagak Estaban. Apa
yang baru berlaku sebentar tadi macam mimpi pula ku rasa. Kenapa aku bodoh
sangat? Dah tahu dia tu memang kaki kelentong perempuan.. yang aku pergi bagi
muka kat dia buat apa? Padan dengan muka aku!
erkk... eee.. x putus asa langsung si estaban ni la...
BalasPadamSalam hormat semua pembaca.. maaf ya jika bab ini ada menyentuh atau kedengaran menghina agama. sesungguhnya sy tidak berniat merendahkan agama lain. cuba fahami kisah ini sedalam-dalamnya. ini adalah kisah seorang lelaki yang membenci agama. tidak sekadar kepada agama islam.. tetapi juga kepada semua agama. keperihatinan anda sy hargai.
BalasPadamstress nyer dgn estaban ni
BalasPadam