Sabtu, 10 Ogos 2013

Bab 3-Janji Padanya

Jika padi katalah padi,
Tidaklah orang tertampi tampi,
Sekalipun benci janganlah dikeji
Takut nanti memakan diri.

Hari ini sekali lagi aku dihimpit oleh lelaki bernama Estaban Jospeh  Buhler itu. Sebaik sahaja aku keluar dari dewan kuliah aku sama sekali tidak menduga wajah Estaban tertonggok menanti aku di situ. Gagal mengelakkan diri, terpaksalah aku mendepani juga lelaki itu lagi.
“Awak ni takde kerja lain ke asyik cari saya? Awak takde kelas?” desis ku geram.
“Kelas saya dibatalkan. Jadi saya carilah awak untuk isi masa terluang saya..” dia menjawab selamba sambil menyeringai kepada ku.
“Ada apa awak datang sini?” soal ku agak hambar sambil fail yang ku bawa ku peluk erat bagaikan sedang melindungi diri ku daripada mata lelaki yang miang itu. Geram melihat aksi Estaban merenung ku dari atas ke bawah.
“Awak dah makan ke?” soal Estaban cuba berlagak mesra dengan ku.
“Saya tak lapar.” Aku tetap menjawab hambar sambil melarikan pandangan ke arah lain.
Lelaki itu cuba mencari kata-kata lain pula cuba untuk memancing minat ku untuk berbual dengannya. Nampaknya dia memang tidak mahu berputus asa. “Kita pergi perpustakaan nak?” Estaban cuba membuat pelawaan yang mungkin sesuai dengan minat ku pula. Yalah.. kalau dia ajak aku pergi bercumbu kat tepi Padang Ragbi.. memang makan pelempang dia kat sini!
“Saya nak berjumpa dengan Puan Marry di pejabat dekan. Lain kali aja ya?” aku lantas mencipta alasan untuk mengelak lagi darinya. Padahal entah apa pula urusannya Puan Marry itu untuk bertemu dengan aku. Kenal aku pun tidak!
“Saya boleh tunggu hingga awak selesaikan urusan awak dengan Puan Marry. Tak jadi masalah bagi saya.” Estaban menjawab begitu pula. Dia nampaknya sudah terbiasa dengan alasan-alasan yang aku berikan. Dia sama sekali tetap tidak mahu mengalah.
Aku mula mengeluh letih dengan kerenahnya. “Tolonglah! Saya nak pergi sembahyang sekarang. Awak janganlah ganggu saya. Saya dah lambatlah! Saya tak suka awak tunggu saya,” ucap ku separuh tertekan dan merayu. Pening kepala aku dengan mangkuk ayun seorang ni. Tak faham bahasa ke?
“Takpe. Saya akan tunggu sampai awak selesai sembahyang. Takde masalah, sayang!”
“Awak tak dengar ke apa yang saya cakap tadi? Saya tak mahu awak tunggu saya. Maaf ya.. saya kena pergi sekarang,” balas ku tanpa kompromi lagi. Harap-harap kali ini Estaban mengerti yang aku memang tidak ingin berada dekat dengan dia.
Wajah Estaban mula berubah. Sewaktu aku mahu meninggalkan dia di situ dia sempat mencapai lengan ku untuk menghalang. Aku terkejut dengan kelakuannya. “Jangan sentuh saya!” spontan itu aku terus merentap semula tangan ku darinya. “Siapa benarkan awak sentuh saya?” marah ku geram dengan gelagat lepas lakunya itu.
“Maaf! Saya lupa awak seorang yang taat pada agama. Orang alim macam awak tak bersentuhan dengan lelaki.” Estaban ketawa menyindir sambil meletakkan tangannya ke dinding untuk menyokong dirinya. Matanya terus meratah wajah ku yang sudah ketat seketat-ketatnya.
“Memang saya taat pada agama. Jadi apa masalahnya dengan awak? Saya tak ganggu orang lain, jadi saya tak suka awak ganggu saya!” bentak ku lantaran hati yang mulai panas dengan gelagat lelaki miang itu. Ikutkan hati nak aja aku sepak ehem-ehem dia. Baru dia rasa!
“Janganlah marah. Saya bergurau aja. Awak ni cepat terasa hatilah..”
“Saya tak suka awak mempersendakan agama saya. Saya sendiri tak pernah mempersendakan agama awak, jadi saya tak suka awak bercakap tentang agama saya. Belajarlah hormatkan orang lain,” balas ku sengit.
“Huh! Saya tak percaya pada agama. Saya tak perlukan agama dan Tuhan. Apa ada dengan semua itu?” sambut Estaban tanpa sedikit pun rasa berdosa berkata begitu. Aku segera beristighfar dalam hati mendengar kata-kata itu. Lelaki ini sudah jauh tersesat. Patutlah hidup lintang pukang begini.
“Jangan terlalu takbur, Estaban. Nanti apa yang awak katakan tu akan makan diri awak balik. Tuhan sentiasa melihat dan mendengar apa yang kita katakan setiap hari,” ucap ku dengan pandangan tajam kepada lelaki yang berdiri berhampiran dengan ku itu.
Estaban sekadar tersenyum meleret tanpa terkutik sedikit pun dengan apa yang diucapkan oleh ku. Malahan cara dia tersenyum bagaikan mempersendakan peringatan ku tadi. Aku menggeleng sedikit melihat sikap Estaban. Aku benar-benar sebal dengan pendirian lelaki ini yang ternyata salah. Tetapi apa hak ku untuk menegah dia? Kami bukannya pasangan kekasih. Kawan? Entahlah.. tetapi apa yang diucapkannya oleh Estaban tadi amat mengerikan telinga ku yang mendengar. Berani sungguh dia berkata begitu tanpa merasa bersalah!
“Setiap orang kena ada kepercayaan, Estaban. Kalau tiada kepercayaan hidup akan berjalan tanpa arah,” kata ku cuba juga untuk menyedarkannya.
“Saya tak perlukan pedoman. Pedoman sedikit pun tidak membuatkan saya hidup senang. Selama ini kehidupan saya baik sahaja. Semua yang saya mahukan saya akan dapatkan termasuk juga awak!” balas Estaban. Dan dengan angkuhnya dia menundingkan jarinya kepada ku.
“Saya?” dengan kerutan di kening aku menyoal kembali sambil menunding diri ku sendiri. Betapa gelinya lubang telinga ku sehingga ke segala saraf yang ada, mendengar kata-kata itu. Spontan aku terus tergelak menyindir Estaban. Terlalu mudah bunyi bicara lelaki itu sehingga aku rasa nak termuntah hitam terus! Apakah dia rasa segala kuasa di hujung jarinya sudah cukup hebat sehingga boleh merubah pendirian orang lain kepadanya?
“Sila sebutkan masa dan ketikanya awak berjaya dapat saya? Saya tak ingat apa-apa pun? Awak ni mungkin perlukan pakar otak!” ucap ku dalam nada mengejek.
Dari ekor mata aku lihat Estaban memandang sahaja segala reaksi diri ku. Namun sekilas pandangan aku tahu aku sudah mencabar lelaki itu. Apa aku peduli? Apa perlunya aku menjaga hati lelaki seperti ini? “Minta maaflah.. saya bukan Jessica bukan Dorothie bukan perempuan yang boleh dicumbui di tepi padang dan bukan perempuan-perempuan yang boleh awak bawa keluar dan masuk ke bilik tidur awak sesuka hati, Estaban. Saya belum segila itu untuk menyerahkan diri saya pada lelaki kaki perempuan macam awak. Lebih baik saya terjun ke dalam laut daripada terjun ke dalam perangkap awak!” Sebelum sempat Estaban menambah kata aku melengkapkan lagi ejekan ku kepadanya. Pandangan menyirap Estaban kepada ku tidak ku pedulikan. Lantaklah! Ada aku kisah? Gerutu hati ku sendiri.
“Wah! Hebatnya awak? Mungkin bukan hari ini tapi saya tetap akan dapatkan awak. Saya tak pernah merasai tubuh badan perempuan Melayu. Kali ini saya akan dapatkannya dan saya memilih awak. Sebab awak memang cantik. Terlalu cantik, Insyirah. Awak buat saya terkejar-kejar.” Estaban membalas cabaran ku sambil menunding lagi jari telunjuknya ke dada ku.
“Kalau saya perlukan seorang lelaki, saya akan mencari seorang lelaki yang ada nilai sebagai seorang lelaki sejati pada mata saya. Saya tak perlukan seorang lelaki yang menganggap nilai wanita yang begitu rendah sehingga boleh dipakai dan dibuang bila-bila masa. Saya juga bukan objek pemuas nafsu lelaki macam awak. Secara terus-terangnya saya memang tak suka dengan awak dan tak pernah termimpi nak menjadi kawan awak biar pun untuk seminit. Naluri saya tidak pernah terdesak untuk ditiduri lelaki macam awak!” jelas ku tegas. Panas yang kami rasakan membuatkan kami saling ejek mengejek.
“Oh, ya? Awak tak ubah seperti seorang biarawati yang membuat perkara yang tidak mendatangkan sebarang faedah. Biarawati memang tidak bernafsu kepada lelaki dan tak mahu berkahwin kerana terlalu taksub kepada agama. Tetapi di sebalik itu mereka membuat hubungan sulit dengan paderi di dalam gereja untuk kepuasan batin mereka. Awak tak rasa itu satu perlakuan yang hipokrit dan paling menjijikkan?” tukas Estaban kembali menyakitkan hati ku.
Aku tersentak mendengar bicara yang cukup lancang menghina ku. Kata-kata itu ku rasakan cukup tajam bak belati yang sedang menyiat-nyiat hati ku. Kalau aku ikutkan hati yang panas mulut lelaki ini sudah ku tampar.
“Rasanya biarlah saya perbetulkan sedikit pendirian sesat yang ada di otak awak tu. Saya bukan biarawati yang tak mahu berkahwin kerana taksub pada agama, kerana saya orang islam. Orang islam baik yang lelaki mahu pun perempuan digalakkan berkahwin kerana berkahwin itu sunnah nabi Muhammad SAW. Tetapi berzina adalah salah satu perkara yang amat dilarang dalam islam. Besar bezanya antara berkahwin dan berzina walaupun perlakuannya sama. Saya tetap berpegang kepada ajaran agama islam dan lelaki seperti awak yang tak mempunyai kepercayaan kepada Tuhan dan agama, sama sekali tidak memiliki tempat dalam hidup saya walaupun hanya untuk beberapa minit. Jadi jari yang awak tundingkan kepada saya tu tolong bersihkannya dari segala kekotoran noda dan dosa sebelum awak biarkan jari tu menunding kepada saya. Buat masa ni apa yang paling menjijikkan lagi tidak berguna bagi saya adalah awak! Bukannya biarawati itu atau mana-mana orang lain! Orang yang saya harus jauhi adalah awak! Dapat itu?” ucap ku tajam.
“Awak berlagak dengan saya?” Estaban menyambut dengan marah yang tertahan. Dia semakin mendekati ku dengan pandangan mata yang tajam. Rahangnya dikertap keras.
“Saya tak peduli apa yang awak nak katakan. Suka hati awaklah nak anggap apa pun pada saya. Saya tak jatuh cinta sikit pun dengan muka awak yang konon-konon idaman ramai tu. Saya tak laparkan lelaki kaya lebih-lebih lagi awak, Estaban Buhler! Sesiapa yang bernama Estaban Joseph Buhler, saya memang tak suka!” Aku nekad membalas bicara Estaban dengan penghinaan itu. Namun mata ku sentiasa mengawasi rentak sang lelaki yang berdiri dekat dengan ku itu. Bimbang dia melampaui batasnya.
Estaban terdiam sambil merenung ku tajam. Dadanya turun naik menahan rasa. Aku tahu Estaban sudah naik hantu dengan kata-kata ku sebentar tadi. “Kenapa? Awak nak marah saya? Marahlah! Tapi kalau awak fikir dengan menyamakan saya dengan biarawati yang suka membuat hubungan sulit itu awak boleh mengubah pendirian saya.. awak memang silap besar. Saya tak hairan sebab saya bukan biarawati! Gunakan otak awak sebelum awak mengeluarkan kata-kata macam tu.” Aku nekad mencabar lagi.
“Baiklah! Ingat kata-kata saya ni dengan jelas.. saya tetap akan dapatkan awak dengan cara apa sekali pun. Walaupun hanya untuk beberapa minit! Sebelum sampai ke waktu itu awak boleh memilih untuk melarikan diri dari saya. Tapi saya tetap akan mendapatkan awak walaupun saya terpaksa melakukan dengan cara yang paling keji. Itu janji saya. Simpan itu dalam fikiran awak! Saya tidak boleh selamanya menerima penolakan awak. Ingat tu?” lelaki itu berkata dengan tekad dan dendam yang bersatu. Matanya yang kemerahan cukup mengatakan yang dia tidak berjenaka dengan ucapannya itu.
Kali ini aku pula yang terdiam. Kata-kata itu bagaikan sebuah ugutan bergaung kuat di telinga ku. Serta merta aku jadi seram pula apabila mengenangnya. Apa yang dimaksudkan oleh Estaban sebenarnya? Aku tidak tahu! Itulah.. tadi berani sangat.
“Apa maksud awak ni?” soal ku mula bimbang.
“Awak akan tetap menjadi milik saya nanti walaupun hanya untuk sekejap. Saya akan lakukan apa sahaja untuk dapatkan awak. Insyirah. Ini janji saya. Jangan nanti apabila awak bangun dari tidur awak merayu-rayu kepada saya semula,” ucap Estaban dengan pandangan yang amat tajam.
“Janjilah apa-apa yang awak mahu. Bersumpahlah apa yang awak suka. Saya tetap takkan berganjak dari pendirian saya. Walaupun saya terpaksa menghabiskan seumur hidup saya dengan memandang muka awak, saya tetap tidak akan meletakkan awak di tempat yang istimewa. Tempat itu takkan menjadi milik awak. Dan saya takkan merayu seorang lelaki yang tiada pedoman. Janganlah awak nak perasan. Lelaki macam awak hanya wujud untuk memusnahkan hidup orang perempuan! Pengecut!” Walaupun agak gentar aku tetap tidak mahu memperlihatkan ketakutan ku. Apa yang aku tahu aku tidak mahu kalah kepadanya.
Hilang sabar Estaban akhirnya menumbuk dinding di belakang ku untuk meluahkan rasa marah yang sudah tidak tertahan. Aku sempat terkejut mendengar dentuman di belakang ku itu. Menggigil juga kaki ku ini. Namun aku sedaya upaya berlagak tenang. Mungkin tidak kuasa berlawan cakap lagi Estaban akhirnya berlalu pergi begitu sahaja.
Aku sempat termenung mengenang semula apa yang diucapkan Estaban. Harap-harap esok dia terlupa apa yang dia ucapkan sebentar tadi.

Semenjak pertengkaran itu aku terpaksa menjadi pelarian pula. Apabila ternampak kelibat Estaban atau mana-mana teman baiknya, aku segera melencong ke arah lain ataupun menyorok darinya. Aku benar-benar tidak mahu kelihatan di hadapan matanya. Tetapi sebenarnya jauh di sudut hati ku ini, aku merasa bersalah pula kepadanya. Aku tahu aku sudah terlepas kata kepadanya. Aku tahu aku tidak seharusnya sesenang itu merendah-rendahkannya.
“Kau gaduh dengan Estaban ke, Syira?” Hamizah mula bertanya ketika kami sedang makan malam berdua. Ameena semenjak tadi tertidur langsung tidak terjaga walaupun sudah berkali dikejutkan untuk makan.
Aku mula mengangkat pandangan kepada teman serumahnya itu. Aku akhirnya mengangguk perlahan mengakui tentang itu.
“Pasal apa?” soal Hamizah ingin tahu.
“Pasal apa lagi? Pasal perangai kaki perempuan dia tulah. Taak habis-habis nak ajak orang keluar dengan dia. Boring tengok perangai dia tu!” ucap ku bagaikan tiada mood untuk berbicara mengenai lelaki itu.
Hamizah diam seketika sambil menyuap nasinya. Seketika kemudian wajah aku dipandang lagi. “Aku ada dengar cerita ni..” luahnya sebagai permulaan.
“Cerita apa?” tanya ku pantas.
“Kau tahu siapa budak dalam rumah ni yang dah jadi barua si Estaban tu?”
Aku terdiam seketika sambil merenung wajah Hamizah. Aku tidak faham apa yang dimaksudkan oleh teman serumah ku itu. “Barua apanya?” soal ku perlahan.
“Nenny.. dia bagitahu banyak pasal kau pada Estaban. Sebab tu mangkuk tu tahu ke mana kau pergi dan mana kau tinggal. Nenny jadi infomer dia.” Hamizah terus menjelaskan keadaan sebenarnya.
Terbeliak mata ku mendengar kata-kata Hamizah itu. Itu sesuatu yang tidak mampu aku bayangkan, malah sukar untuk aku percaya. “Mana kau tahu semua ni, Izah? Siapa bagitahu kau?” soalan itu menerpa pantas dari ulas bibir ku.
“Siapa yang bagitahu tu aku tak boleh nak bagitahu sebab dia minta aku rahsiakan nama dia. Tapi dia dapat tahu dari kawan baik Estaban tu sendiri. Dia kata selama ini Nenny jadi barua Estaban sebab mamat tu sanggup belikan apa aja yang dia mintak. Sebab tu dia nampak loaded selama ni.” Hamizah terus bercerita lagi tentang apa yang diketahuinya.
“Kurang ajarnya?” getus ku dengan mata membulat kepada Hamizah. Sesak dada ku mendengar itu. Tidak sangka rupanya teman serumah kami yang selama ini amat jarang menegur ku sanggup menikam ku dari belakang. Memang selama ini hubungan kami dengan Nenny Akmar tidak akrab. Sekadar menyapa satu sama lain apabila bertembung, itu sahaja. Sangka ku, Nenny orang yang baik. Tetapi rupanya tidak! Di belakang ku Nenny sanggup bersekongkol dengan Estaban hanya kerana mahukan sedikit ganjaran. Dia nak ganjaran itu dia punya hal. Tetapi apasal hal aku pulak yang dijajanya kepada Estaban? Ini melampau!
“Kau tak mahu tanya Nenny pasal ni?”
Aku mula menghela keluhan sendiri. Bertanya? Perlukah? Penghabisan nanti kami pasti akan bertengkar dan bermasam muka untuk entah berapa lama.
“Tanya untuk apa, Izah? Kalau aku marah dia sekalipun Estaban tetap datang cari aku. Aku bukannya bermasalah dengan Nenny tapi dengan si Estaban tu.” Aku menjawab perlahan. Aku tidak mahu bermusuh dengan sesiapa. Apatah lagi Nenny teman senegara dengan kami.
“Aku rasa perbuatan dia tu kurang ajar..” komen Hamizah.
“Aku tahu. Tapi aku tak suka bergaduh dengan orang. Apatah lagi kita ni duduk satu rumah,” jawab ku rendah.
“Hmm.. dengan Estaban kau tak suka gaduh jugak? Patutlah semenjak kebelakangan ni kau asyik termenung aja. Susah hati bila dia marah dengan kau.. atau kau susah hati bila dia tak kacau kau lagi macam dulu?” Hamizah sempat melontarkan tekaan itu. Dia ketawa sedikit sebelum menyuap sisa nasi yang masih ada di dalam pinggannya.
“Kau jangan mengarut, boleh tak?” tukas ku geram.
Hamizah tersengih lagi. “Manalah tahu dalam diam kau dah jatuh hati dengan dia. Mamat tu biar kaki perempuan pun dia memang pandai mengayat. Takut kau aja yang tak tertahan diayat akhirnya jatuh cinta kat dia. Dia tu memang nakal tapi taklah jahat sangat. Dengan aku dia okay je. Kita ni kadang-kadang, lidah boleh berbohong. Tapi reaksi kita tak macam tu..” ucap Hamizah entah kenapa.
“Apa maksud kau ni?” soal ku semakin tidak keruan dengan telahannya itu.
“Kau tu lah.. jangan sampai benci tapi rindu dahlah! Depan kau benci dia berapi-api. Belakang kau asyik ingatkan dia.”
“Izah, kalau kau ni dah sewel, aku bawak kau pergi hospital gila sekarang, nak?” tukas ku semakin tidak senang dengan gelagat teman serumah ku itu. Wajah Hamizah ku pandang geram.
Hamizah dengan selamba ketawa galak melihat kemarahan di wajah ku. “Janganlah marah. Aku gurau aja. Yalah.. aku tahu kau tu memang bencikan dia,” ujar Hamizah selamba.
“Baguslah kalau kau tahu. Jangan doakan yang tidak-tidak, Izah. Kau suka kalau hidup aku tersiksa kerana lelaki macam tu? Aku selalu doakan kau bertemu dengan lelaki yang ikhlas dan sayangkan kau. Kau pulak nak doakan aku dengan lelaki macam tu?” balas ku sebal.
“Sorry, Syira. Aku main-main je. Janganlah ambil hati..” ucap Hamizah lembut.
“Dahlah. Jangan cakap pasal dia lagi. Aku kalau dengar aja nama dia mulalah angin aku sampai. Karang tak pasal-pasal kau pulak yang kena sembur dengan aku.”


Hamizah tersenyum. Namun mulutnya terus dikunci tanpa mahu berbicara soal Estaban lagi kepada ku. Aku pula terus termenung sendiri. Sebahagian bicara Hamizah berlegar ligat di benak ku. Benci tapi rindu? Iya ke? Mintak simpanglah.. Dah! Aku takkan termenung lagi lepas ni!


Ketukan pada pintu bilik membuatkan aku segera menoleh dari meja belajar ku. Hamizah terjengul di ambang pintu yang terbuka luas.
“Ada orang nak jumpa kau..” ucap Hamizah sambil memandang seketika ke arah pintu rumah kami.
Aku terus mengerutkan kening. “Siapa pulak yang nak jumpa aku?” soal ku hairan.
“Pergilah tengok sendiri. Aku pun tak tahu kenapa dia sampai datang sini,” ucap Hamizah sambil menjungkit bahu sedikit.
Kata-kata yang sebegitu membuatkan aku semakin tertanya-tanya. Rasa tertanya-tanya membuatkan aku terus bangun lalu terus pergi melihat siapa yang datang. Namun sebaik sahaja terpandangkan orangnya mata ku terbuntang seketika. Spontan aku terus berlari masuk semula ke bilik. Mangkuk ayun punya, Hamizah! Kenapa dia tak cakap yang datang tu lelaki? Getus hati ku sebal dalam pada aku kalut mencari tudung untuk menutupi rambut ku.
Selesai mengemaskan rambut ke dalam tudung, aku keluar semula untuk mendapatkan tetamu yang paling tidak diundang itu. Sempat juga aku mencapai jaket untuk melitupi tubuh ku kepada kedinginan luar musim luruh. Juga pada mata si Estaban itu!
“Awak nak apa datang sini?” soal ku setelah berada di hadapan lelaki itu. Pintu rumah ku rapatkan bagi mengelakkan dia melihat lebih jauh apa yang ada di dalam rumah ku itu.
Estaban tidak menjawab sebaliknya dia sekadar merenung ku lama. Aku mula naik segan melihat gelagatnya. Ada apa-apa yang tak kena ke dengan tudung aku ni? Senget ke? Ke aku pakai tudung terbalik? Rasanya dah okay.. aku sempat meraba-raba kepala ku untuk memastikan apa yang bermain di fikiran ku itu tidak terjadi.
“Rambut awak cantik sangat..” ucapnya lembut dalam pada bola matanya masih tidak terkalih daripada wajah ku.
“Awak datang sini semata-mata nak tengok rambut saya ke?” ucap ku dengan kerlingan ekor mata.
Estaban tunduk seketika. “Saya nak minta maaf dengan awak pasal kejadian hari tu. Saya tak sengaja berkasar dengan awak. Saya tahu saya dah biadap dengan awak,” ujar lelaki itu perlahan sahaja.
Aku terdiam memandangnya. Dia minta maaf? Betul ke ni? Macam tak caya pulak!
“Saya susah hati sangat bila tak dapat bercakap dengan awak. Saya rindukan awak..”
Aku mengeluh dalam diam. Bab yang minta maaf tadi aku suka.. tapi bab-bab rindu ni semua aku tak gemar! “Kalau awak nak saya maafkan awak, saya boleh maafkan. Saya pun nak minta maaf sebab saya pun dah terlepas cakap hari tu. Tapi pasal rindu tu..”
“Takpe.. saya faham, Insyirah. Awak tak sukakan saya.” Estaban memintas sebelum sempat aku menghabiskan kata.
Baguslah kalau kau faham! Aku pun dah bosan ulang benda yang sama setiap masa.. detik hati ku sendiri.
“Insyirah, saya akan berubah kalau awak sudi beri saya peluang. Sekurang-kurangnya sebagai kawan awak. Tolonglah jangan hampakan saya lagi,” rayu Estaban bersungguh. Tidak cukup itu kelopak matanya sengaja diredupkan cuba menagih simpati dari ku.
“Estaban..”
“Saya tahu apa yang awak nak cakap. Tapi saya minta kali ni awak jangan pandang saya macam dulu lagi. Bagilah saya peluang untuk perbetulkan diri saya. Saya betul-betul sayangkan awak,” pintas Estaban sebelum aku dapat meluahkan penolakan ku kepadanya.
Aku mengeluh resah dengan rayuan lelaki itu. Bukannya aku mahu menyombong atau memandang rendah kepadanya. Tetapi ada perkara yang tidak mampu ku berikan kepadanya walaupun dia melutut di hujung kaki ku. Aku tidak ada perasaan cinta kepadanya! Aku sendiri pun tak faham kenapa dalam seramai-ramai perempuan yang mungil.. yang seksi.. yang sanggup tergedik-gedik kepadanya, aku pula yang dirayunya.
“Insyirah, tolonglah jangan menolak saya lagi. Saya cuma nak sedikit ruang untuk dekat dengan awak tanpa perlu kita bermusuh macam sebelum ini. Tolonglah..”
“Saya tak mahu beri awak harapan palsu, Estaban. Ramai lagi di luar sana yang sanggup buat apa saja untuk awak. Kenapa saya pulak yang awak cari?”
“Saya jatuh hati pada awak semenjak mula saya nampak awak dulu. Saya tahu perasaan ni bukan main-main. Saya hampir gila memikirkan awak setiap hari. Saya tak mampu lupakan awak walaupun saya pernah mencubanya sebelum ini,” ujar Estaban lemah.
Aku terdiam menahan rasa terkejut mendengar ucapannya itu. Aku tidak sangka dia seserius ini. Aku sangka dia sekadar mahu ‘menggatal’ dengan ku seperti mana dia sering menggatal dengan perempuan-perempuan lain. “Saya tak tahu nak cakap apa, Estaban..” luah ku perlahan.
Estaban menelan liur perlahan. “Saya tahu saya kaki perempuan. Tapi selama saya berada dengan mereka semua saya tak pernah rasa macam ni. Saya asyik memikirkan awak bila saya ada dengan perempuan lain. Awak tahukan apa maknanya tu semua?” dia membalas cukup lembut.
Aku terdiam lagi memandang muka seposen Estaban. Bab merayu.. memang serahlah kat dia ni! Agaknya kalau masuk pertandingan mesti dapat tempat pertama. Aku pulak yang mula rasa serba salah sekarang.
“Saya cuma nakkan sedikit perhatian dari awak. Jangan layan saya macam musuh awak. Saya tersiksa bila tengok awak membenci saya,” ujar Estaban lagi.
Aku terus diam sambil berfikir sendiri. Sekadar kawan.. apalah salahnya. Kalau dengan orang lain aku boleh berbaik, takkanlah dengan dia ni aku nak menyombong sepanjang masa? Tengok muka dia tu pun aku dah tak tahan. Kesian betul! Macam muka budak kecik hilang mak kat pasaraya aja. Lagipun aku sebenarnya dah letih bertengkar selalu dengan Estaban. Jadi apa salahnya kalau kami berkawan sahaja. Maksudnya kawan biasa ya.. jangan terlebih-lebih feeling pulak!
“Okaylah..” jawab ku akhirnya.
“Apa yang okaylah?” soal Estaban mula bersemangat semula.
“Saya terima awak sebagai kawan saya. Tapi kawan aja tau! Awak jangan nak perasan yang saya dah terima cinta awak. Jangan paksa saya buat benda yang saya tak suka,” kata ku serius.
Estaban terus menyeringai mendengar kata-kata ku itu. “Saya faham..” ujarnya mula ceria. “Kalau macam tu.. boleh saya ajak awak makan malam dengan saya malam ni?” ucapnya terus tanpa menunggu lagi.
“Makan makan, keluar bersama.. itu hanya termaktub dalam syarat sebagai kekasih awak. Jadi jawapannya tak!” balas ku selamba. “Kalau takde apa-apa lagi, lebih baik awak balik. Saya tak mahu nanti kawan serumah saya cakap apa pulak bila nampak awak kat sini,” ujar ku lagi.
Tiba-tiba wajah itu mendung semula. “Takkanlah awak nak suruh saya balik?”
“Habis tu takkan pulak saya nak ajak awak tidur kat rumah saya ni?” balas ku dengan pandangan sedikit mencerun kepadanya. Apa lagi dia nak? Aku dah setuju jadi kawan dia, takkanlah dia nak bertamu tangga kat sini pulak!
Estaban termanggu seketika memikir sesuatu. “Saya nak ajak awak keluar dengan saya. Kita pergi jalan-jalan di London mahu?” ajaknya lembut.
Aku menghela keluhan perlahan. Rasanya tadi aku cakap bahasa inggeris. Bukannya bahasa jawa.. bukannya bahasa Zimbabwe.. bukannya bahasa Sudan ke.. Kenapa dia ni tak faham jugak? “Saya dah pernah ke sana. Takde apa yang menarik pun..” balas ku dengan riak wajah tidak berminat kepada ajakan itu.
“Apa gunanya awak jadi kawan saya kalau keluar dengan saya pun awak tak sudi?” cebirnya mula buat muka merajuk.
“Saya cuma kawan awak. Sebagai kawan tak semestinya saya kena keluar dengan awak. Lagipun keluar berdua dengan lelaki itu bukan amalan saya.” Aku membalas selamba. Sedikit pun tidak terusik dengan olahnya.
“Awak ni jual mahal betullah!” getusnya sudah mula berputus asa kepada ku.
“Suka hati awaklah nak cakap apa. Baliklah lekas. Saya nak study ni..”
Estaban mencebik sendiri dengan ketegasan ku. Aku sekadar menjeling tanda malas mahu melayannya lagi. Apabila melihat dia mula berpaling mahu pergi aku segera mengucap syukur dalam hati. Setelah dia mengatur langkah berlalu aku mula membuka pintu rumah. Namun seketika kemudian aku terkejut apabila terasa sesuatu yang lembut dan hangat melekap sesaat di pipi ku. Apabila aku menoleh aku lihat wajahnya berada cukup dekat dengan pipi ku. Spontan aku menjauhinya.
“Apa awak buat?” bentak ku geram. Kurang ajar betul!
Estaban tersengih. “Akhirnya saya dapat cium awak..” ujarnya selamba tanpa merasa bersalah.
“Awak ni memang kurang ajarlah!” geram betul aku melihat sengihnya.

“Upps! Awak dah terlambat. Saya dah pun cium awak. Bye..” dengan muka selamba dia terus berlalu. Aku terpaku memandang lagak Estaban. Apa yang baru berlaku sebentar tadi macam mimpi pula ku rasa. Kenapa aku bodoh sangat? Dah tahu dia tu memang kaki kelentong perempuan.. yang aku pergi bagi muka kat dia buat apa? Padan dengan muka aku!

3 ulasan:

  1. erkk... eee.. x putus asa langsung si estaban ni la...

    BalasPadam
  2. Salam hormat semua pembaca.. maaf ya jika bab ini ada menyentuh atau kedengaran menghina agama. sesungguhnya sy tidak berniat merendahkan agama lain. cuba fahami kisah ini sedalam-dalamnya. ini adalah kisah seorang lelaki yang membenci agama. tidak sekadar kepada agama islam.. tetapi juga kepada semua agama. keperihatinan anda sy hargai.

    BalasPadam