Bulu ayam si bulu biri-biri,
Bulu biri-biri si bulu ungka,
Janji pada-Nya jangan dimungkiri,
Kelak musibah kan menimpa muka.
Malam
itu buat pertama kalinya
aku terpaksa sebilik dengan lelaki itu. Tetapi apa yang membuatkan hati ku mahu
tertawa puas adalah setelah melihat Ariff tidak berdaya untuk menyentuh ku.
Ariff hanya mampu memandang sahaja walaupun aku tahu dalam mata lelaki itu
keinginan jantannya memang sedang meluap-luap. Aku hanya buat tidak tahu sahaja
dengan pandangan mata Ariff yang asyik menyoroti pergerakan ku di dalam suit
bulan madu itu.
Masih tidak dapat aku lupakan saat melihat
Ariff keluar dari bilik rawatan petang tadi. Dia berjalan terkengkang-kengkang
dalam berkain pelekat dan yang paling menggelikan hati, Ariff menangis seperti
budak kecil sebaik sahaja bertemu ayahnya. Baru kena sunat, macam dah nak mati
sangat sakitnya! Rasa benci dan meluat yang masih bersarang membuatkan aku
asyik mengejeknya.
“Saya sakit ni. Tolonglah saya..” Ariff mula
bersuara meminta perhatian ku.
“Awak nak saya tolong macamana? Tahan jelah
sikit sakit tu,” jawab ku bersahaja. Aku sekadar memandang kosong Ariff yang
terkedang di atas katil itu. Dengan riak selamba aku duduk di sofa. Namun dalam
hati aku terus mendongkol benci dengan perangai lelaki itu yang mengada-ngada
minta dilayan itu dan ini. Dia ingat aku ni takde perasaan agaknya! Bisik ku
dalam diam.
“Kalaulah saya tidak sakit.. dah tentu saya
takkan sia-siakan saat ini,” ujar Ariff agak nakal. Dia tersengih-sengih
memandang ku yang langsung tidak teringin mahu tersenyum atau terhibur dengan
usikan nakalnya itu.
Aku mencebik sendiri tanpa mempedulikan Ariff
yang sedang memandang kepada ku itu. Biarpun sudah menjadi suami ku tetapi rasa
menyampah memang amat sukar untuk dikikis dari hati ku biarpun sedikit. Entah
berapa timbunlah dosa ku kerana berperasaan begini kepada lelaki yang
seharusnya aku hormati.
Tetapi sebenarnya jauh di lubuk hati ku ini,
aku amat berharap lelaki itu akan berubah suatu hari nanti. Jika tidak sepantas
esok yang datang, mungkin suatu hari nanti. Harapan itu terlahir secara
tiba-tiba saat melihat Ariff mengucapkan kalimah syahadah semalam. Tiada kata
yang dapat aku gambarkan betapa sayunya hati saat melihat lelaki itu
mengucapkan pengakuan untuk mengesakan Allah itu. Mungkin sampai bila-bila aku
tidak akan melupakan saat itu.
“Insyirah, marilah sini..” Ariff memanggil
lagi. Kali ini cukup lembut mendayu-dayu.
Aku mendecit geram sendiri. Macam-macam pula
mahunya dia ini. Mengada-ngada betul! Menyampahnya... hati ku menjerit sendiri.
Namun dalam rasa tidak ikhlas itu aku tetap juga mendekati Ariff yang terdampar
di atas katil macam orang sakit tenat.
“Nak apa?” soal ku teramat hambar setelah
duduk di birai katil bersebelahan dengan Ariff yang sedang berbaring. Walaupun
berdekatan dengan suami sendiri tetapi seluruh hati ku mula menolak untuk
menerimanya. Aduhai.. susah sungguh. Berdosakah aku jika aku tidak mampu
mengikhlaskan diri ku kepada lelaki ini? Aku sendiri tidak tahu berapa lama aku
harus berkeadaan begini kepada Ariff.
Ariff memandang aku sambil tersenyum gembira.
Terus sahaja dia mencapai jemari ku lantas diletakkan di atas tubuhnya.
“Sekarang awak dah kahwin dengan saya..” katanya lembut sambil mengelus-elus
jemari ku. Paling menyakitkan hati ku apabila melihat lagak selambanya. Dia
bagaikan tidak pernah teringat apa yang pernah dilakukannya kepada aku sebelum
ini. Langsung tidak pernah terpamer rasa bersalah lelaki ini tentang peristiwa
itu. Malahan semua itu seolah-olah tidak pernah berlaku sedangkan saat ini jiwa
ku terus bergolak, masih tidak mampu menerima dia. Aku masih tidak mampu
melepaskan semua itu. Bukan semudah itu!
“Dasar tak sedar diri!” tanpa dapat ditahan
meluncur perkataan itu dari mulut ku mencemuh lelaki itu. Sengaja aku
menggunakan bahasa Melayu supaya Ariff tidak tahu yang aku sedang mengutuknya.
“Awak cakap apa tu?” soal Ariff.
“Takde apa-apa..” balas ku segera mengelak
dari memanjangkan hal itu. Aku buat-buat tersenyum semoga Ariff tidak terus
bertanya. Terlupa langsung yang perbuatan ku ini mt tidak patut. Tidak
seharusnya aku mencemuh lelaki yang seharusnya aku taati. Tetapi apakah lelaki
ini layak mendapat penghormatan dari ku setelah apa yang berlaku?
“Awak tak suka kahwin dengan saya ke?” soal
Ariff perlahan sahaja.
“Awak suka ke kahwin dengan saya? Kahwin
selepas buat saya mengandung. Awak pernah kata yang perkahwinan hanya suatu
yang sia-sia. Jadi kenapa awak kahwini saya?” aku membalas dalam nada ejekan.
Sebuah jelingan ku hadiahkan kepada lelaki itu.
Ariff terdiam pula. Keriangan di wajahnya mula
memudar setelah melihat sikap dingin ku.
“Kita masih muda. Awak baru 22 tahun. Dah
bersedia ke untuk pikul tanggungjawab seorang suami dan ayah? Dalam islam
tanggungjawab suami dan ayah amat berat. Suatu hari nanti segala kelebihan dan
kekurangan kita dalam menunaikan kewajipan akan dihitung dan dibalas,” ujar ku
lagi sambil mengerlingnya.
“Awak pulak? Kenapa awak kahwin dengan saya
sedangkan awak bencikan saya?” kali ini Ariff pula menyoal kepada ku. Dia pula
yang mahu menguji pendirian ku tentang itu.
Aku tersenyum sinis sendiri. “Kalau bukan
sebab anak ini..” namun tiba-tiba aku tidak jadi untuk meneruskan kata-kata apabila
‘janji’ itu kembali melintasi memori ku. Perlahan aku segera beristighfar dalam
hati. Aku tidak harus terlebih mengikutkan perasaan dalam meluahkan kata. Aku
tidak patut untuk mengungkitnya biar semarak mana pun rasa benci ku kepada
lelaki ini. Sekarang bukan masanya untuk aku kesal dengan segala yang berlaku.
Kekesalan tidak akan membawa kami semula ke masa lalu. Aku ada tanggungjawab
yang harus dilunaskan. Ariff tidak harus ku biarkan mengemudikan hidup sendirian
walaupun dalam hati tiada sekelumit rasa untuk mendewakan lelaki yang harus
ditaatinya.
“Awak memang tak pernah sukakan saya selama
ini?” soal Ariff lagi. Nadanya amat rendah. Jika tidak aku tersalah tafsir,
nada itu jelas menunjukkan yang dia kecewa. Untuk apa kecewa? Bukankah dia
pernah mendendami aku sehingga tergamak mencela maruah perempuan ku?
“Entahlah. Saya tak tahu apa yang patut saya
cakap. Awak suami saya. Tanggungjawab saya adalah menggembirakan hati awak.
Kalau berbohong mengatakan yang saya memang sukakan awak selama ini itu mampu
membahagiakan awak maka saya akan lakukan. Tapi ke mana hala tuju hidup kita
jika semua yang kita ada takde satu pun yang berlandaskan keikhlasan,” jelas ku
tanpa memandang lelaki itu. Bukan tentang Ariff yang sedang ku perkatakan saat
ini sebaliknya tentang diri ku sendiri. Aku yang paling tidak ikhlas di sini!
“Awak tetap akan bersama saya walaupun awak
tak cintakan saya? Kalau awak tidak hamil, awak memang tak akan menerima semua
inikan?” soalnya lagi masih tidak puas menduga perasaan ku.
Aku mula memandang Ariff yang terlentang sahaja
di atas katil itu. Sebuah jawapan yang terbaik cuba digali sedalamnya dari
pemikiran ku ini. Aku terus terdiam dalam pada menghela nafas perlahan. Apa
pilihan yang aku ada saat ini? Menggembirakan hati lelaki ini sedangkan suatu
masa dahulu lelaki ini pernah menganaiya diri ku tanpa belas kasihan?
Berpura-pura suka sedangkan hati benci? Begitukah sebaiknya?
Ah! Tidak perlulah aku menyulitkan keadaan
ini. Lakukan sahaja apa yang termampu. Jawab sahaja apa yang perlu.. tulah kata
hati ku.
“Kewajipan isteri adalah taat pada suami
samaada cinta atau tidak, Ariff. Taat tidak memerlukan rasa cinta tetapi keikhlasan
dan keredaan. Selagi awak tidak menceraikan saya.. selagi itulah saya tetap
akan taat walaupun saya tak cintakan awak. Perkahwinan ni wujud kerana saya
percaya jodoh kita telah diaturkan oleh Allah. Allah lebih tahu apa yang terbaik
untuk kita semua,” balas ku pasrah.
“Awak memang tak pernah cintakan saya ke,
Insyirah? Awak hanya melakukannya kerana anak inikan? Kalau awak tidak hamil
mungkin saya tidak akan memiliki tempat dalam hidup awak. Betulkan?” sekali
lagi Ariff bertanya soalan yang sama sehingga aku merenungnya dengan rasa
hairan. Dia mahu jawapan yang jujur, aku agak.
“Kalau saya berlaku jujur itu akan menyebabkan
awak kecil hati dengan saya, saya lebih rela memilih untuk tak menjawab soalan
tu. Itu lebih baik. Saya percaya kita berdua perlukan masa untuk menyesuaikan
diri. Itu sahaja yang perlu awak tahu buat masa ini,” balas ku sedikit serius.
Memang mudah memilih untuk berada dalam perkahwinan ini setelah apa yang telah
berlaku. Mudah untuk memerima perkahwinan ini untuk menutup kecelaan masa lalu.
Tetapi tidak mudah untuk aku menyayangi dengan setulus hati lelaki yang telah menghina
maruah ku. Susah untuk aku mendewakan seorang suami jika tiada rasa di hati
untuk meletakkan lelaki itu di tempat yang paling istimewa dalam hati ku.
Sukar!
Ariff mengeluh sendiri. “Memang menyedihkan
kalau kita mencintai orang yang tak mencintai kita,” ujarnya hambar dalam
menahan rasa kecewa. Dengan perlahan dia melepaskan jemari ku dari
genggamannya.
Memang pun semenjak tadi hanya dia sahaja yang
memegang jemari ku sedangkan aku langsung tidak berminat untuk membalas
sentuhannya. Aku bukannya patung yang tidak berperasaan. Aku boleh merelakan
diri kepada suami atas dasar tanggungjawab namun aku tidak mampu memaksa hati
untuk mencintai lelaki yang pernah menghancurkan hidup ku.
“Lebih menyedihkan kalau kita menganiaya orang
yang kita cintai tanpa sedikit pun rasa belas kasihan, kemudian meninggalkannya
seperti sampah. Lebih sadis kalau kita memalukan orang yang kita mengaku sayang
setekah puas kita mencela kehormatannya. Paling tidak pun.. mungkin sesekali
kita perlu juga belajar untuk menyebut perkataan maaf bila kita sudah
menyakitkan hati seseorang. Bukannya membiarkan begitu sahaja seolah-olah semua
itu tidak pernah berlaku! Tak semua kesalahan boleh dilupuskan begitu sahaja
macam sampah di tempat pelupusan!” aku pula mengambil giliran untuk membalas
rasa hati yang bengkak bernanah dengan mengungkit semula perbuatan Ariff
dahulu. Semoga dia sedar.. perbuatannya yang satu itulah yang telah membuatkan
hati ku menjadi keras begini.
Ariff diam sahaja tidak terkutik. Malas mahu
menghadapnya lagi, aku terus bangun dari situ lalu kembali semula ke sofa.
Untuk apa kami saling duduk berdekatan jika hanya mahu saling menyakitkan?
Eloklah.. kami berdua memang pasangan suami isteri yang unik. Ariff begini aku
pula begitu.
“Awak marahkan saya kerana peristiwa malam itu
ke?” tiba-tiba kedengaran lagi suara Ariff saat aku sudah mula memandang tv di
hadapan mata ku.
“Awak rasa?” balas ku sengit. Bebal pula
lelaki ini ku rasakan.
“Awak mahu saya minta maaf?” soal Ariff lagi
sambil merenung aku dari pembaringannya.
Saat itu aku segera menghela nafas perlahan
demi menghimpunkan sedikit kesabaran untuk menangani kebebalan lelaki ini.
Sedikit sebanyak kata-kata dan sikap Ariff saat ini sudah membuatkan aku merasa
amat terhina. Aku menggeleng seketika sambil memandang ke arah lain.
“Muhammad Ariff, suatu hari nanti awak juga akan
melalui saat-saat yang menyakitkan seperti yang saya lalui sebelum ini. Mungkin
bila awak dah rasa perasaan tu, barulah awak putuskan samaada awak harus
meminta maaf pada saya atau tidak!”
Sekali lagi Ariff terdiam. Namun dia kelihatan
sedang memikirkan apa yang dibicarakan oleh ku tadi. Tetapi itu hanya untuk
seketika. Agaknya kerana malas mahu melayan bicara ku, dia segera memejamkan
matanya.
Keesokan paginya selepas solat
subuh, aku menghidangkan Ariff sarapan pagi yang ku pesan dari bilik. Hanya ada roti kosong
dengan jem strawberi dengan kopi hitam yang dihantar oleh pihak hotel kepada
kami.
“Ini sahaja?” soal Ariff teramat jengkel
sambil merenung makanan di hadapannya itu.
“Awak tak boleh makan telur, ayam dan makanan
laut. Jangan lupa luka tu kena jaga dengan baik kalau awak nak benda tu sihat
semula. Kalau awak tak jaga makan nanti luka tu akan bernanah. Awak juga yang
akan rasa sakitnya,” ucap ku berusaha berlembut untuk mengingatkan lelaki itu
tentang keadaannya.
“Saya tak suka ini!” Ariff mula mengomplen
dalam bentakannya.
“Makan ajalah, Ariff. Ini cuma untuk sementara
sahaja. Bersyukurlah dengan apa yang ada,” keluh ku lekas bosan dengan perangai
lelaki itu. Entah berapa lamalah aku mampu bertahan dengan lelaki yang
berperangai begini?
“Bawa makanan lain. Saya tak mahu makan
benda-benda macam ni! Mereka patut beri saya lebih! Hotel ni keluarga saya yang
punya!” bentakkan lelaki semakin kuat. Sengaja mahu menunjukkan sikap keras
kepalanya. Masam kelat wajahnya saat memandang makanan itu. Seolah-olah rendah
benar taraf makanan itu di matanya.
Sekali lagi aku terpaksa menghela nafas sabar
dengan gelagat suami mithali ku itu. Kalau ikutkan hati yang sakit mahu sahaja
aku sepak lelaki itu. hai.. sabar, Syira.. itu suami kau! Bisik ku sendiri
mengingatkan diri agar tidak melebihi batas. Tetapi sikap Ariff semakin lama
semakin memualkan perasaan ku yang dah sedia kala mual ini.
“Saya tahulah hotel ni bapak awak yang punya.
Tapi awak tu sakit! Kalau tak jaga makan, saya jugak yang nak kena hadap muka
awak nanti. Bukannya hotel ni boleh jaga awak pun,” keluh ku merendah.
Janganlah hendaknya dia sakitkan hati aku lagi. Aku dah rasa macam nak meletup
dah ni!
“Saya tak suka benda ni semua. Saya nak
salad!”
Malas untuk mendengar lelaki itu memekak lagi
aku segera memesan ceaser salad dan set lengkap sarapan pagi untuk santapan
‘tuan putera’ yang baru bersunat ini melalui talian. Sempat juga aku berpesan
agar kandungan yang tidak boleh diambil oleh Ariff tidak diletakkan ke dalam
hidangan itu. Mujurlah sesampai sahaja hidangan itu, Ariff makan juga walaupun
keenakannya sudah berkurangan dari ceaser salad yang asal. Begitu juga set
sarapan pagi yang tidak diletakkan telur dan daging. Nampak macam lapar benar
tuan putera ni..
Tetapi yang membuatkan aku bertambah menyampah
dengan Ariff, selepas menikmati salad itu.. roti yang dikatanya dia tak suka
sebentar tadi itu juga disebatnya sampai tinggal habuk. Kepala roti pun dia
bahan sekali. Mungkin apabila sudah lapar, terlupa pula Ariff yang pemilik
hotel seperti dia juga boleh memakan makanan yang ringkas dan murah seperti
itu. Sama juga kenyangnya!
“Ariff..” panggil ku setelah Ariff selesai
membersihkan dirinya. Sesudah kenyang lelaki itu lebih suka bersantai di atas
katil. Aku mula mendekatinya lalu duduk bersebelahan dengan suami ku itu.
“Saya tak suka awak memanggil saya dengan nama
itu. Boleh panggil saya Estaban? Bila kamu sebut nama itu, saya terasa awak
macam memanggil lelaki lain,” ucap Ariff dengan nada yang cukup menyakitkan
hati. Selamba sahaja tanpa mengira apa yang sedang diluahkan oleh lidahnya itu.
“Astaghafirullah-al-adzim.. awak ni bercakap
ikut sedap mulut aja, Ariff. Estaban itu bukan nama orang islam. Kita digalakkan
untuk mempunyai nama yang baik-baik,” tegur ku dalam rasa terkejut yang amat
sangat. Kurang ajar betul mulut lelaki ini! Kena panah petir baru dia tahu!
“Itu hanya sekadar nama saja. Apa salahnya?”
balas Ariff bersahaja.
“Memanglah tak berdosa tapi kita digalakkan
ada nama yang baik-baik. Sebab nama yang ada maksud baik tu, seumpama kita
didoakan oleh orang yang menyeru nama kita. Saya takkan panggil suami saya
dengan nama orang bukan islam. Awak orang islam! Apa yang tidak kena dengan
nama Ariff? Ariff tu bermaksud bijak. Saya mahu awak juga begitu!” tegas ku
serius kepadanya.
Ariff hanya menjungkit bahu kepada kata-kata
ku itu. Sedikit pun dia tidak mengambil berat akan apa yang sedang aku perkatakan
kepadanya. Aku dapat merasakan yang Ariff hanya mengimpikan keseronokan batin di
sebalik perkahwinan ini. Selebihnya dia tidak mahu memelihara kesuciannya.
“Awak tahu kenapa nama awak ada dua. Satu
Estaban dan satu lagi Joseph?” soal aku kembali berlembut dengan lelaki itu.
Nak bercakap dengan dia ni kena membayangkan yang aku sedang bercakap dengan
budak 5 tahun. Tak reti bahasa! Aku memang kena banyak sabar. Kalaulah sabar
itu ada dijual di kedai.. aku dah pergi borong dah!
“Tak tahu. Siapa yang pilihkan nama itu?” dia
masih dengan reaksi biasa-biasanya itu.
“Nama yusuf itu mama awak yang pilih untuk
awak.”
“Ha?” spontan lelaki itu terkejut. Dia mula
memandang aku tajam. “Awak jangan nak bergurau dengan saya! Mama saya dah lama
meninggal!” bentaknya marah tiba-tiba. Aku memandangnya hairan. Apa dia ingat
aku sedang bergurau senda ke?
“Ya.. saya memang dah tahu mama awak meninggal
waktu awak berumur 14 tahun. Saya cakap yang benar. Nama itu ada kisahnya
sendiri. Mama awak yang pilih nama itu untuk awak. Kalau awak tak percaya awak
tanya papa.” Aku masih menjawab tenang.
“Macamana mama saya dalam kubur tu boleh
bercakap dengan awak dan papa? Awak ingat saya ni bodoh? Saya tak suka awak
mempersendakan mama saya!” bentak Ariff kian lantang.
“Siapa pulak yang kata dia bangun dari dalam
kubur untuk bercerita tentang itu? Awak ni nama aja pelajar universiti tapi
akal fikiran awak terlalu sempit, Ariff! Perkara semudah ini pun awak masih tak
boleh memahaminya! Awak malas nak berfikir! Perkara mudah yang saya sampaikan
jadi susah bila masuk kat otak awak tu. Sebab tulah saya ni selalu sakit jiwa
dengan awak. Bila saya cakap saya tak
nak, otak awak tafsir lain,” tekan ku mulai geram dengan lelaki itu. Kalau mama
dia bangun dari dalam kubur, memang mendiang mama tu takkan dapat bercakap
dengan aku sebab waktu itu aku dah pun lari!
Kali ini Ariff terdiam pula apabila dimarahi
oleh ku. Riak ketegangan juga memudar sedikit.
“Mama awak pilih nama Joseph untuk awak
sempena kisah Nabi Yusuf AS yang pernah didengarinya dari seseorang sewaktu
mengandungkan awak dulu. Nama Yusuf adalah untuk orang islam tetapi di dalam ktab bible Nabi Yusuf ditulis dengan
nama Joseph. Nabi Yusuf adalah manusia yang dikatakan sebagai manusia yang
teramat cantik paras rupanya. Sehinggakan pernah diceritakan di dalam
kitab-kitab lama, beberapa wanita di Mesir pada zaman itu sampai terpotong
jari-jari mereka hanya kerana terlalu taksub melihat rupa paras Nabi Yusuf AS.
Baginda juga seorang nabi yang memiliki pekerti mulia dan penyabar semenjak
kecil. Nabi Yusuf AS pernah dianiaya oleh saudara-saudara kandungnya dan pernah
dipenjarakan kerana fitnah isteri tuan yang memiliki Nabi Yusuf , hanya kerana
cintanya telah ditolak oleh nabi ALLAH itu. Wanita itu mengatakan nabi Yusuf AS
cuba menggodanya padahal dialah yang cuba menggoda Nabi Yusuf agar menzinainya.
Kisah Nabi Yusuf AS itu dijadikan contoh oleh mama awak untuk menjadikan awak
manusia yang berguna. Tetapi hayat dia tak panjang bersama awak. Dia mahu awak
juga mengikut keperibadian seperti itu. Kerana itu nama Joseph diletakkan pada
awak.” Aku bercerita lembut kepada lelaki itu.
“Joseph itu nama seorang nabi yang beragama
islam?” tanya Ariff seolah baru tersedar semua itu. Riak terkejut jelas
dipamerkan di wajahnya saat itu.
“Awak tak pernah tahu semua itu?”
Ariff lantas menggeleng. Bersungguh benar
gelengannya menandakan dia sememangnya tidak tahu dan tidak pernah mengambil
tahu selama ini. “Papa tidak pernah memberitahu saya apa-apa tentang itu.
Kenapa papa beritahu awak?” ucapnya sambil memandang ku.
“Ada
sebabnya. Biarlah saya saja yang tahu apa sebabnya. Tapi sekarang awak dah
tahukan? Siapa yang beritahu awak itu tak penting. Yang penting harapan mama
pada awak selama ini. Dia mahu awak jadi orang yang baik. Kita takkan mampu
menandingi budi pekerti seorang nabi atau rasul. Tapi kita wajib beriman
kepadanya.”
“Tapi saya memang orang baik selama ini!”
sambut Ariff pantas.
Terkedu aku mendengar kata-kata lelaki itu.
Baik? Baik apa kejadahnya kalau sanggup merogol?
“Jadi macamana dengan kita ni selepas ini?”
tanya ku malas mahu melayan ragam suami ku itu. Lebih baik aku terus ke pokok
persoalan yang mahu dibincangkan segera daripada melayan lelaki ini merapik
yang bukan-bukan. Kalau sekali lagi dia mengaku dia baik, memang muntahlah aku
kat tepi katil ni..
“Macamana apa?” soal Ariff masih tidak serius.
Rambut ku mula diambilnya dan diciumnya lembut. Aku mula kelemasan dengan
kelakuan lelaki itu tetapi aku sekadar membiarkan sahaja, walaupun hati
membentak tidak suka. Tidak wajar pula rasanya aku menolak kemahuan lelaki itu
kalau hanya setakat itu yang mampu dia lakukan kepada ku.
Tetapi apabila dibiarkan.. Ariff mula semakin
miang. Pinggang ku mula dipeluknya dan leher ku terus dicumbunya. Aku semakin
lemas. Hati yang masih bengkak segera menghasut agar menolak aku sahaja Ariff.
Tetapi aku tidak sanggup pula untuk berbuat begitu. Ariff adalah suami ku dan
tidak berdosa dia menyentuh isterinya sendiri. Sebaliknya akulah yang berdosa
sekiranya menolak kehendak suami yang tidak semana.
“Hmm.. cantik rambut awak. Saya suka. Saya
rasa macam bermimpi pula bila melihat awak berbaring di sebelah saya semalam,”
bisik Ariff dalam keasyikan.
“Ariff, kita perlu berbincang..” tekan ku
semakin kelemasan. Harap-harap lelaki ini akan menghentikan perbuatannya
segera.
“Bincang apa?” soal Ariff dalam suara yang
teramat jauh.
“Tentang kita selepas ini. Masakan kita hanya
di hotel ini selama-lamanya. Awak kena teruskan pengajian nanti. Saya ni
macamana?” sambut ku pantas.
“Awak akan ikut saya balik ke Londonlah!” putusnya
mudah.
“Tapi..” aku tidak jadi meneruskan kata-kata.
Ariff mula menghentikan sentuhannya apabila
mendengar aku masih bertapi dengan keputusannya. Dia memandang ku tajam seperti
tidak berpuas hati. “Apa masalahnya?” soal Ariff hairan.
“Saya mahu lahirkan anak kita di sini,” ujar
ku sambil memandang tepat ke dalam mata suami ku itu. Tetapi seketika kemudian
pandangan segera ku larikan segera. Entah kenapa aku takut dia dapat menyelami
isi hati ku yang sebenar,
“Apa masalahnya kalau awak lahirkan anak kita
di London?” soal Ariff pula sengaja mahu bertelagah ku.
“Ini anak pertama kita. Saya mahu lahirkannya
di sini. Saya berjanji akan ikut awak setelah itu. Tolong izinkan saya. Biarlah
saya di sini buat sementara dengan mak saya,” ucap ku selembut yang boleh. Mana
tahu Ariff cair dengan kelembutan ku itu. Aku harus bijak mengampu Ariff agar dia
bersetuju dengan kemahuan ku yang satu itu.
Ariff
terdiam seketika. Tiada jawapan diberikan saat itu. Pada pengamatan ku.. memang
amat penting untuk aku melahirkan anak di sini. Di masa hadapan, hak anak akan
terus berada di tangan ku sekiranya apa-apa terjadi antara aku dan Ariff. Aku
tidak mahu hak anak ku jatuh ke tangan orang yang tidak tentu agamanya. Aku
tahu kelebihan akan berpihak kepada ku nanti kerana pernikahan kami didaftarkan
di Kuala Lumpur. Tidak mudah Ariff mahu merebut anak kami nanti jika lelaki itu
melepaskan aku dari ikatan ini. Kuasa menentukan hak penjagaan kanak-kanak warganegara
Malaysia, terletak kepada mahkamah syariah di Malaysia.
Bukannya aku mahu menafikan hak Ariff sebagai
ayah tetapi sudah terang dan nyata suami ku ini memeluk agama islam sekadar
menurut permintaan ayahnya. Rasanya tidak salah jika aku melakukan ini untuk
menjaga masa depan kami anak beranak nanti. Apa yang penting soal akidah
sesuatu yang tidak boleh dibuat main.
“Kalau awak di sini macamana dengan saya?
Masakan saya harus bersendirian di London?” Ariff pula yang mula tidak berpuas
hati dengan kemahuan ku itu.
“Ini anak pertama kita. Saya bukannya pandai
jaga anak. Saya perlukan emak saya untuk mengajar saya tentang itu semua. Cuma untuk
sementara sahaja, Ariff. Bolehlah.. saya janji selepas itu saya akan ikut ke mana
saja awak pergi,” rayu ku lembut.
“Hmm.. pertama kali saya dengar suara awak
manja begini. Baiklah, awak boleh lahirkan anak kita di sini. Tetapi setelah
itu jangan lupa untuk kembali semula ke London bersama dengan saya,” ujarnya
dengan senang hati.
Bersinar mata ku mendengar jawapan dari lelaki
itu. Tidak dapat ditahan bibir ku terus tersenyum kegembiraan. Kini aku sudah
mula mengerti. Bukan susah untuk memujuk lelaki ini jika kena dengan caranya.
Manja-manja sikit aja!
“Tapi dengan syarat!” belum habis lagi aku
meraikan kegembiraan itu, Ariff sudah meletakkan syaratnya.
“Apa syaratnya?”
Ariff mula memuncungkan bibirnya. Aku
mengerutkan kening, hairan melihat kelakuan lelaki itu. Tidak faham aku tentang
apa maksudnya mulut yang sedang termuncung sebegitu. “Apa tu? Macam muncung
itik aja?” getus ku tidak mengerti.
“Cium saya dulu..” pinta Ariff sambil tersengih
miang.
“Erk??” Aku terus terkaku dalam kegelabahan.
Eeii.. Macam-macam pulak naknya dia ni.. dalam diam hati ku mendongkol
menyampah. “Saya tak pandailah semua
benda tu..” balas ku pantas untuk mengelak.
Ariff spontan menarik tubuh ku sehingga aku
melekap di badannya. Dia segera mendapatkan apa yang dimahukannya tanpa sempat
aku bersedia. Akhirnya sedikit pun tidak aku membalas perlakuannya itu. Aku hanya
terdaya mengeraskan diri dengan kelopak mata yang dipejamkan rapat.
Seketika kemudian Ariff melepaskan aku dengan
sebuah keluhan hampa. Entah mengapa terhiris benar hati ku mendengar keluhan
itu. Namun aku hanya diam sahaja tanpa berkata apa-apa. Kalau dilayan fiil
suami ku ini, memang bergaduh besarlah kami nanti. Lebih baik aku mengalah
sahaja.
“Saya akan balik dengan papa nanti. Awak
tinggallah di sini. Selepas melahirkan anak nanti awak boleh memilih apa yang
awak mahu. Samaada mahu bersama saya atau tidak,” ucap Ariff perlahan setelah
puas melayan rajuk di hatinya.
Aku segera menoleh kepada Ariff. Dalam
kebisuan sendiri aku cuba memahami apa maksud Ariff setepat-tepatnya. Apakah
Ariff mahu menolak aku pergi dari hidupnya? Secepat itu pendirian suami ku ini
berubah, sedangkan sebentar tadi Ariff yang meminta aku ke London bersamanya. Inilah
akibatnya jika tidak memiliki pedoman. Cakap pun selalu lintang pukang. Sekejap
begitu sekejap begini. Telinga yang mendengar inilah yang pening dibuatnya.
“Kenapa awak cakap macam tu? Awak tak mahukan
saya?” soal ku dengan keberanian yang tidak seberapa.
“Kita memang tak sama. Saya perlukan wanita
yang pandai membuat saya gembira. Awak hanya kaku dan dingin semenjak dulu.
Awak tak pernah rela kalau dengan saya,” keluh Ariff kehampaan.
Tersirap darah ku mendengar itu. Tersiat pedih
hati ku mendengar bicara yang cukup mudah diluahkan tanpa mengira perasaan ku. “Ya!
Saya memang tak sama dengan semua perempuan-perempuan yang selalu menghurung
awak. Saya bukan seorang perempuan yang pandai beraksi di atas katil dengan
awak. Awak jangan samakan saya dengan mereka sebab saya tak boleh ikut cara
mereka.” Pahit bunyi jawapan ku.
Ariff mencebik dengan jawapan ku. Wajahnya diselambakan
semata-ata untuk menyakitkan hati ku. Angkuh benar! Sebentar tadi dia begitu
mesra sekarang dia amat sombong pula. Sakit betul hati aku melihatnya. Kalau
dilayan desakan hatinya ini, memang banyak kata-kata yang mahu dihamburkan kepada
lelaki itu. Tetapi akal ku menahan.. meminta aku supaya bersabar sahaja.
“Saya juga tak boleh ikut cara awak,” balas
Ariff selamba cuba menghidupkan pertengkaran kami berdua.
“Apa maksud awak ni, Ariff?” soal ku dengan
mata terbeliak. Cara apa yang dia maksudkan?
“Saya memang tak biasa beragama semenjak
dahulu. Jadi awak tak boleh memaksa saya mengikuti semua ajaran agama ini. Saya
kahwini awak sebab papa yang mahu saya buat begitu. Begitu juga untuk menganuti
agama ini. Papa mahukan cucunya.. saya pula mahukan awak. Awak tahu yang saya
memang mengangankan ini semenjak dulu. Inilah peluangnya!” kata-kata itu
meluncur kejam dari mulut Ariff tanpa rasa bersalah, sedangkan kata-kata itu
amat menyakitkan untuk ku dengar sebegitu sahaja. Seolah-olah sebelum ini akulah
yang terhegeh-hegeh meminta Ariff bertanggungjawab kepada bayi yang sedang
berada dalam kandungan ku ini.
“Saya boleh dapat sesiapa sahaja yang saya
mahu.. Masih ingat apa yang saya katakan dulu? Saya akan buat apa sahaja untuk
dapatkan awak,” ucap Ariff bagaikan memulangkan paku buah keras kepada ku.
Nadanya terserlah bangga seolah-olah dia telah memenangi pertandingan ini
kerana akhirnya aku yang terpaksa tunduk kepadanya sebagai seorang isteri.
“Oh! Begitu ke sikap awak selama ini. Jadi
awak kahwini saya sebab nak membuktikan yang awak dah menanglah? Permainan kita
baru bermula, Ariff.” Aku mula membalas tajam.
“Apa maksud awak?” dia pula yang bertanya
kepada ku.
“Maksud saya, awak belum menang lagi kalau
awak rasakan ini adalah satu permainan. Bukan saya yang datang cari awak tapi
awak yang datang cari saya. Jangan lupa.. bukan ayah saya yang melamar awak
tapi ayah awak yang merayu pada saya. Satu perkara lagi awak jangan sesekali
lupakan yang ini tempat saya! Sekarang ini kalau yang perlu memilih, itu awak!
Bukannya saya. Kerana untuk diri saya.. jalan yang masih tinggal untuk saya menang,
sedang terbentang luas di hadapan mata saya! Tak perlu awak bersusah payah
meminta saya berfikir dalam-dalam ke mana harus saya pergi jika awak buang saya
dari hidup awak. Saya sedia maklum semenjak dari pertama kali saya kenal awak, saya
tahu apa yang awak nakkan sangat dari saya. Dan saya pun tahu, awak sedar apa
yang saya mahukan pulak untuk saya. Masih ingat? Saya hanya memerlukan lelaki
sejati dalam hidup saya. Kehadiran bayi ini tidak mencacatkan sedikit pun impian
saya, kalau awak nak tahu. Jalan kita memang tak sama. Tapi takpe! Saya sedia
beri awak masa untuk memilih apa sahaja yang awak mahu, okay?” balas ku dalam
keselambaan yang dibuat-buat. Padahal aku hanya menunggu masa sahaja untuk
menangis.
Spontan berubah merah wajah Ariff. Dia mahu
membalas kata-kata ku itu. Namun aku terlebih dahulu bangun dari situ. “Awak
berehatlah. Tak perlu nak bertegang urat dengan saya. Agama islam ni agama yang
adil. Pegang kata-kata saya itu sehingga awak terjumpa dengan bukti yang
mengatakan apa yang saya katakan ini benar!” ujar ku selamba sebelum terus
masuk ke dalam bilik air.
Di dalam ruangan kecil itu aku memandang diri
ku melalui cermin. Berkali-kali nafas ku hela untuk menghilangkan sesak di dada.
Kata-kata Ariff sebentar tadi terus terngiang-ngiang di telinga ku. Sebegitu
rendahkah nilai ku pada mata suami ku itu? Aku sekadar teman untuk dia
berseronok. Dan kemudian nanti, setelah puas madu dihirup aku tidak lagi
berharga kepada lelaki itu.
Jadi apa ertinya semua ini? Ke mana perginya
perkahwinan ini akhirnya? Baru sehari dua aku bersamanya, hati ku sudah dijeruk
semasam-masamnya oleh lelaki itu. Mampukah aku bertahan nanti? Aku menggeleng
buntu. Aku tidak tahu!
kesiannn yaa syira.... u can do it syira....be strong...
BalasPadamwant more
BalasPadamBest.. Sedih pun ade... Hope syira akn tabah mnghadapi semuanya
BalasPadamkesian syira... x sudah2 nak bertegang urat dgn laki dia yg senget....
BalasPadamSian syira...
BalasPadamnak lawan lebih2 suami..
BalasPadam