Pisang emas masak sebiji,
Masak pula di atas peti,
Dugaan Allah selalu menguji
Itulah tanda Allah memerhati.
Sebelum bergerak ke hospital aku sempat melihat detektif gemuk itu bercakap dengan Estaban berdua di dalam bilik siasatan itu. Aku tidak tahu apa yang mereka bualkan namun akhirnya aku dapat melihat dua manusia itu berjabat tangan berdua seolah-olah ada janji yang telah termetrai. Detektif Martin nampak gembira dengan apa yang Estaban ucapkan kepadanya. Hati ku semakin tidak sedap melihat keadaan itu.
Aku dibawa ke Hospital King Hedgest dengan kederaan polis
bersama Ameena dan Hamizah. Hampir setengah jam aku terkurung sahaja di dalam
bilik pemeriksaan seorang diri. Sementara itu mata ku dapat melihat Detektif
Martin sibuk berbual dengan seorang petugas perubatan lelaki. Mereka bercakap
dengan nada perlahan sambil memandang ke arah ku berkali-kali. Sekejap kemudian
mereka ketawa pula. Entah apa yang lucu benar.
Aku tidak tahu samaada perasaan ini hanya hayalan ku
ataupun mereka sememangnya sedang cuba melakukan sesuatu kepada diri ku.
Alangkah sukar ku rasakan kala ini kerana setahu ku kesemua pelajar jurusan
yang melibatkan perubatan dan farmasi membuat latihan di hospital ini. Sebenarnya
ini adalah hospital milik universiti. Alangkah malunya aku nanti jika ada
pelajar-pelajar lain yang tahu apa yang telah terjadi kepada diri ku.
Selepas puas dibiarkan sendiri akhirnya petugas itu
mendekati ku bersama dengan Detektif Martin. “Dia akan memeriksa kamu..” kata
Detektif Martin sekadar memberitahu.
Aku mahu mengangguk tetapi terasa amat payah. Dalam diri
ku, aku benar-benar tidak rela membiarkan lelaki itu menilik setiap inci tubuh
ku, biarpun untuk tujuan yang penting begini. Tubuh badan wanita adalah rahsia
bagi lelaki yang bukan muhrim kecualilah jika aku sedang dalam keadaan darurat.
Tubuh ku ini bukannya untuk pandangan mata lelaki asing apatah lagi yang bukan
beragama islam. Mana hendak aku letakkan muka ku ini disaat dia membelek segala
rahsia milik ku? Nauzubillah.. aku tidak sanggup!
“Tolong tanggalkan pakaian,” ujar lelaki itu serius.
Spontan aku terus ternganga mendengar arahan pendek itu.
Tanggalkan pakaian? Perlukah itu? Di hadapannya? Oh! Tidak! “Untuk apa?” soal
ku pantas.
Petugas perubatan itu berpandangan dengan sedikit senyuman
kepada pegawai polis itu. Kemudian dia menggeleng seolah-olah sedang mengutuk
kebodohan soalan yang ku lemparkan kepadanya. Detektif Martin juga tergelak
sinis bagaikan mengata kobodohan ku kerana bertanyakan soalan sebegitu.
“Kami harus memeriksa awak untuk memastikan ada kesan DNA
orang yang dituduh merogol awak. Kita akan menghantar sampelnya ke bahagian
patalogi. Selain itu saya juga harus memastikan samaada ada awak dirogol atau
perhubungan seks itu atas kerelaan awak sendiri. Semuanya harus dipastikan
sebelum mereka membuat pertuduhan di mahkamah nanti. Ini adalah prosedur wajib
bagi semua mangsa rogol,” jelas petugas itu kepada ku.
“Boleh saya dapatkan petugas wanita untuk memeriksa saya?”
aku segera membuat pemintaan itu. Tidak kisahlah prosedur ke apa.. yang penting
aku tidak mahu berbogel di hadapan lelaki-lelaki itu.
“Tak terdapat petugas wanita sekarang. Hanya saya yang
bertugas di sini hari ini. Saya yang akan memeriksa awak samaada awak suka atau
tidak. Awak takde pilihan lain.” ucap petugas itu tanpa mahu mempertimbangkan
apa yang diminta oleh ku.
Aku mula menelan liur kepahitan. Keadaan benar-benar membuatkan
aku merasa tersepit saat ini. Aku sudah tidak tahu apa yang patut aku lakukan
lagi jika orang yang aku harapkan tidak mahu membantu ku. Mereka juga mahu
menjahanamkan aku.
“Apa nak dimalukan? Kalau bukan kami yang melihat kamu,
sudah ada lelaki lain yang melihat tubuh kamu. Dia sudah mendapat lebih
daripada apa yang kami dapat,” ujar Detektif Martin sinis sambil tergelak
sendiri.
“Apa maksud awak ni, detektif?” tidak tertahan akhirnya
terhambur kemarahan ku. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja aku tampar mulut lelaki
gemuk itu yang biadap.
“Masalah rogol adalah jenayah berat di sini. Bukan awak
sahaja yang pernah mengalaminya tetapi ramai lagi. Tetapi dengan lelaki ternama
seperti Estaban Joseph Buhler tu, saya tak rasa awak akan berjaya mendapatkan
pembelaan yang awak mahukan. Keluarga dia kaya dan banyak pengaruh di sini.
Ayah dia pasti akan mendapatkan pembelaan yang terbaik untuk anaknya. Awak
hanya memalukan diri sendiri. Semua ini bukannya semudah yang awak bayangkan.
Tengok sahaja sekarang, baru saya meminta lelaki ini memeriksa awak, awak sudah
tidak sanggup. Setiap apa yang kami periksa nanti akan didedahkan di mahkamah
untuk pemerhatian juri,” ujar Detektif Martin itu cukup selamba.
Aku terus terdiam mendengar kata-kata pegawai polis itu.
Sesungguhnya selama ini aku tidak tahu tentang semua itu. Aku memang tersilap
kerana tidak pernah mengambil tahu apa yang akan dilakukan kepada wanita yang
menjadi mangsa rogol seperti ku. Kerana hari ini aku sama sekali tidak
menyangka aku akan digolongkan bersama beribu-ribu wanita lain yang menjadi
mangsa kepada jenayah itu. Aku benar-benar tidak tahu segala prosedur yang
diperlukan untuk wanita yang sudah diperkosa. Alangkah naifnya aku..
“Kita boleh mulakan sekarang kalau awak mahu. Saya akan
melakukannya dengan cepat. Tetapi saya tetap perlu meminta awak menanggalkan
pakaian dan saya perlu melakukan pemeriksaan kepada vagina awak apakah terdapat
koyakan pada selaput dara,” ujar petugas itu sambil mendekati ku.
“Jangan!” bentak ku terus menggelabah. Tebal wajah ku
menahan malu bagaikan tidak dapat diukur. Bagaimana untuk aku membiarkan lelaki
itu menyentuh dan memeriksa bahagian yang terlalu sulit pada diri ku ini?
Petugas itu tersentak mendengar jerkahan ku. Dia menatap
Detektif Martin dan mula tersenyum penuh makna. Mereka sedang meraikan suatu
kejayaan melalui pandangan mata dan senyuman mereka.
“Takkan saya tidak boleh mendapatkan petugas wanita untuk
memeriksa saya? Saya telah diperkosa masakan saya harus membiarkan lelaki juga
yang melihat apa perbuatan lelaki binatang itu kepada saya? Panggillah sesiapa
sahaja asalkan dia perempuan. Tolonglah!” aku cuba merayu lagi.
“Dalam soal ini tidak wujud ketidaksamaan kaum. Lelaki
atau wanita yang memeriksa kamu tidak penting. Apa yang penting kami dapat
membuktikan apa yang awak katakan itu benar,” jawab petugas lelaki itu.
“Bagaimana saya tahu awak benar atau tidak? Dektektif,
saya nampak awak bercakap dengan Estaban sebentar tadi. Saya tak tahu apa yang
awak bincangkan dengan dia tapi saya tahu dia sudah tentu ada menawarkan awak
sesuatu kerana dia kaya, seperti yang awak katakan tadi. Mungkin awak hanya nak
mempermainkan saya,” bentak ku kepada detektif gemuk itu. Mungkin aku sekadar
menuduh tanpa bukti tetapi demi Allah aku melihat semua itu dengan jelas. Tidak mungkin Estaban akan mengaku
salah begitu sahaja. Dan apa perlunya lelaki yang seharusnya menjadi penegak
keadilan ini berjabat tangan dengan rianya bersama dengan penjenayah seperti
Estaban itu?
“Awak menuduh saya ke?” soal Detektif Martin keras.
Aku sudah benar-benar tertekan sehingga air mata ku mula
mengalir. Di sekeliling ku ini bukan hanya ada Estaban yang menanti untuk
melihat hidup ku musnah. Tetapi tidak ketinggalan lelaki-lelaki ini juga. Aku
sudah mula terasa kekalahan sedang berada dipihak ku. Dunia ku terasa gelap.
Aku sedar kudrat ku tidak sekuat mana untuk menahan segalanya.
Dengan kasar aku
menyeka air mata di pipi ku. “Saya bukannya buta. Lelaki macam awak tak kurang
sama saja macam binatang tu. Saya tak tahu apakah saya boleh percayakan awak.
Sebab itu saya mahukan petugas wanita yang memeriksa saya. Kenapa awak tak
faham?” rayu ku dalam esakan halus.
“Tidak ada petugas wanita di sini! Samaada awak merelakan
dia memeriksa awak atau saya akan sumbat awak ke lokap kerana cuba membuat
laporan palsu! Pilih yang mana awak suka! Awak harus ingat, lelaki yang awak
tuduh itu adalah lelaki kenamaan di sini. Jangan nanti awak yang kembali
mendapat susah kerana aduan awak sendiri!” dengan jerkahan itu Detektif Martin
memarahi aku semula.
Akibat tidak sanggup lagi menentang ini semua, aku terus
bangun dari katil pemeriksaan itu. Aku sudah tidak tahu samaada aku harus terus
berada di situ atau pergi sahaja. Tetapi apa yang aku benar-benar tahu aku
memang tidak sanggup membiarkan lelaki-lelaki ini melihat diri ku tanpa
pakaian.
Aku nekad berlari keluar dari bilik itu. Rempuhan kuat
pada pintu bilik itu memeranjatkan Hamizah dan Ameena yang sedang duduk menanti
di kerusi di hadapan bilik itu. Dalam terpinga-pinga mereka mengejar ku yang
berlari keluar dari kawasan hospital itu.
“Syira, kenapa ni?” soal Ameena tidak mengerti apabila
dia terhenti di sisi ku di kawasan luar hospital. Aku sudah menangis
tersedu-sedu.
“Dia tu binatang, Meen. Dia nak hancurkan hidup aku..” Aku
terus menghamburkan tekananku dalam esakan yang tidak tertahan.
“Siapa? Estaban ke? Apa dah jadi ni? Kau dah diperiksa ke
belum?” soal Ameena bertubi-tubi. Dia panik melihat keadaan ku begitu.
Aku hanya mampu menggeleng dengan tangisan yang semakin
kuat. Hati ku sudah hancur lumat saat ini. Entah apa dosa ku sehingga perkara
ini boleh terjadi kepada diri ku. Hakikatnya aku tidak rela membiarkan dua lelaki
itu menjadi orang yang seterusnya mencemarkan maruahku, sesudah aku dicemari
oleh binatang bertopengkan manusia seperti Estaban. Mengapa di bumi penjajah
ini keadilan untuk diri ku terlalu sukar? Hanya kerana aku seorang perempuan? Atau
kerana aku orang miskin?
“Kenapa kau tak diperiksa?” Hamizah pula yang menyoal.
“Dia dah rasuah polis tu. Aku tahu polis tu bukan
sebenarnya nak membantu aku tetapi dia nak memalukan aku. Aku tak sanggup,
Izah. Dia orang tu lelaki. Dia orang nak aku tanggalkan pakaian depan dia orang.
Aku malu, Izah. Aku tak sanggup!” kata ku dalam tangisan yang tidak dapat
ditahan.
Hamizah dan Ameena terdiam sambil berpandangan.
“Aku dah minta pegawai wanita yang memeriksa aku tapi
mereka tak benarkan..” Aku terus menangis teresak-esak tanpa rasa silu di situ.
Beberapa orang yang lalu lalang sempat memandang kami dengan pandangan yang
pelik.
“Ya Allah, Syira.. Apa kita nak buat ni? Takkan kita nak
lepaskan jantan tu macam tu aja?” Hamizah ikut kebuntuan dengan jalan yang
masih tinggal.
“Aku nak bunuh dia, Izah. Biar aku sama-sama mati dengan
dia. Aku nak cari dia..” dalam keadaan hati yang rapuh itu aku nekad memasang
niat mahu membalas dendam. Langkahnya terus ku atur untuk keluar dari situ. Hanya
satu yang aku mahu. Binatang bernama Estaban itu! Tetapi belum sempat aku pergi
jauh Ameena sudah menarik aku.
“Syira, sabar dulu. Jangan ikutkan hasutan iblis. Kalau
kau buat begitu macamana dengan mak dan abah kau? Pasti ada caranya, Syira. Jangan
macam ni,” pujuk Ameena sambil memegang erat lengan ku, cuba menghalang tindakan
nekad ku itu.
“Cara apa, Meen?? Dia banyak duit. Dia boleh buat apa
yang dia suka. Semua orang dia boleh bayar. Aku apa yang ada? Semuanya dah
musnah!” aku meluahkan perasaan yang tertekan dengan nada yang kuat. Aku sudah
tidak tahan lagi. Semenjak dari mula aku mengenali lelaki itu, hanya kesakitan
yang dia berikan kepada ku. Kenapa mesti aku yang menjadi mangsanya?
“Jangan, Syira. Bawa mengucap, ingat Allah!” Hamizah terus
memeluk ku untuk menenangkan aku. “Beristighfarlah, Syira. Allah ada dengan
kita. Kalau kita tak mampu balas perbuatan dia, biar Allah yang balas. Doa orang
yang dianiaya akan dimakbulkan Allah,” bisik Hamizah saat dia memeluk ku.
Aku terus menangis di situ. Sesungguhnya aku buntu dengan
apa yang perlu dilakukan untuk membawa Estaban ke muka pengadilan. Apakah
kerana aku menumpang sahaja di sini maka aku tiada hak untuk mendapatkan
pembelaan setelah dianiaya oleh orang lain?
“Apa kita nak buat ni, Izah?” keluh Ameena semakin kebuntuan.
Hamizah diam sahaja. Agaknya dia juga ketandusan akal.
Tidak tahu apa yang perlu dilakukan untuk membantu aku. Kemudian aku terdengar dia
mengeluh panjang.
Bagi ku selain membunuh lelaki bajingan itu, sudah tiada
jalan lagi untuk aku mendapatkan pembelaan buat diri ku. Hidup ku sudah hancur
semuanya. Rasanya lebih baik aku mati sahaja daripada terus hidup dalam keadaan
seperti ini. Tetapi sayangnya aku tidak mahu mati dalam keadaan berputus asa
kepada Allah.
Estaban.. aku tidak akan memaafkan kau atas apa yang kau
dah lakukan pada aku hari ini. Mungkin dengan wang ringgit kau boleh menutup segala
kekejian yang sudah kau lakukan. Tetapi kebenaran tetap kebenaran. Suatu hari
nanti balasan Allah akan sampai juga. Tidak akan ada ruang kemaafan dalam hidup
ku ini untuk lelaki sekeji kau! Hutang darah dibayar dengan darah. Tetapi
hutang sengsara maka sengsara jugalah bayarannya!
Tidak akan ada kemaafan sama sekali biarpun kau datang
merangkak dan melutut di hujung kaki ku ini! Takkan!
Enam hari berlalu begitu sahaja..
Paling menyedihkan mendengar tangisan emak setelah mendapat tahu apa yang
berlaku kepada ku. Emak dan abah ku terlalu terkilan dengan apa yang menimpa. Abah
sampai tidak terkata jadinya semenjak mula dikhabarkan berita pedih itu. Aku
tahu abah sedih. Lebih sedih apabila mendapat tahu hak diri ku diketepikan
hanya kerana aku seorang pendatang di tanah itu. Amat berat dugaan ini namun abah
sudah menyatakan pendirian yang dia reda dengan ujian Allah ini.
Sehari-hari ini aku hanya berair mata sahaja.
Kebetulan pula beberapa hari lagi cuti semesta dijadualkan akan bermula. Abah
awal-awal lagi sudah menyatakan pendiriannya. Dia meminta aku pulang sahaja ke
Malaysia sahaja untuk menenangkan fikiran. Aku akur sahaja dengan kendendak
abah. Rasanya aku tidak mampu lagi untuk berada di tanah yang mencoretkan sejarah
hitam dalam diari hidup ku ini. Segala yang ku pandang amat menyakitkan.
“Aku tak mahu kembali lagi ke sini, Meen. Aku
nak balik terus,” luah ku pada petang terakhir sebelum aku pulang ke Malaysia.
Cuti semesta akan bermula lusa tetapi aku sudah membuat keputusan untuk pulang
sebelum cuti semesta bermula. Biarlah.. bagi ku semua itu tidak penting lagi
untuk ku pertahankan. Biarlah aku dibuang sahaja dari pengajian. Aku sudah tidak
peduli lagi. Aku terlalu sedih.. kerana cerita mengenai itu bukan lagi rahsia kami.
Sudah ada manusia yang baik budi menghebohkannya. Sehingga kini kami tidak
bertegur sapa dengan Nenny. Aku menganggap dia juga pendorong sehingga terjadi
semua ini.
Memang aku akui.. ada yang bersimpati dengan
nasib yang menimpa ku. Tidak ketinggalan juga yang menganggap semua itu hanya
kisah yang biasa-biasa aja. Tiada apa yang perlu disedihkan. Ada juga yang sudah
tidak hairan.. kerana mereka cukup kenal siapa manusia durjana bernama Estaban
itu. Sikap kaki perempuan dan nafsunya tidak mengira siapa.
Kata-kata ku itu mebuatkan Ameena memandang ku
dengan wajah sedih. Cuti semesta kali ini Ameena tidak pulang ke Malaysia. Dia
akan bekerja untuk mengisi masa terluang itu untuk mencari duit perbelanjaan
sampingan bagi sesi pembelajaran semesta yang akan datang. Itu sudah menjadi
resam kami di situ. Tetapi kini, semua keseronokkan bergelar pelajar di sini
terpaksa aku lepaskan.
“Habis tu macamana dengan pelajaran kau?
Sayang kalau kau berhenti setakat ini. Kita pun dah nak masuk tahun ke dua.
Sedihnya aku aku kalau kau dah tak kat sini, Syira. Tinggal aku dengan Izah
aja. Nanti kita orang mesti sunyi bila kau takde,” luah Ameena terkilan dengan
keputusan ku.
“Kau akan dapat sesiapa yang boleh
menggantikan aku, Meen. Tapi aku tak boleh menggantikan apa yang dah hilang
dari diri aku ni. Aku tak boleh nak menghadap jantan tu seolah-olah macam apa yang
berlaku sebelum ini takde salahnya. Aku tak boleh berlagak seolah-olah semua tu
tak pernah berlaku,” balas ku semula. Aku mahu dia faham.. bukan mudah untuk
aku ambil keputusan sebegini. Tetapi aku juga harus akur dengan hakikat. Tidak semua
yang aku rancangkan akan terjadi.
Ameena terdiam seketika. Wajahnya layu masih
tidak terpujuk. Aku sedar selama ini Ameena hanya bersama dengan ku. Ke mana
sahaja kami pergi, kami pasti akan berdua jika Hamizah enggan menuruti kami.
Jika tiada lagi aku di dalam hidupnya sudah tentulah dia berasa kekurangan. Aku
juga pasti akan begitu. Tetapi kali ini aku benar-benar tidak dapat menunaikan
apa yang dimahukan oleh Ameena. Semuanya terlalu sukar untuk diri ku. Peristiwa
hitam itu terus mengasak hebat ke dalam diri ku sehingga aku jadi sengsara
menahan luka.
“Aku redha dengan apa yang berlaku, Meen.
Hanya Allah saja yang akan membalas segala perbuatan Estaban pada aku. Aku
harap dia akan gembira lepas apa yang dia dah lakukan pada aku,” kata ku sambil
merenung ke luar jendela. Sebutir manik mengalir lesu di pipi ku buat kesekian
kalinya. Ah! Aku cukup sedar, daya ku tidak hebat! Aku cuma seorang perempuan
yang lemah.
“Aku sedih tengok keadaan kau, Syira. Kalaulah
kita balik berdua malam tu..”
Aku menoleh kepada Ameena yang duduk di katil
ku. “Aku tak pernah salahkan kau, Meen. Kalau aku tahu akan terjadi perkara tu,
aku pun takkan menempah susah balik seorang diri. Lebih baik aku tunggu kau aja.
Tapi kita cuma orang yang lemah. Aku anggap ini ujian Allah pada aku. Tentu ada
hikmah di sebalik semua kejadian ini. Aku nak berpegang kepada keyakinan tu. Aku
dah tak mahu fikir yang lain.” Aku segera mencantas kekesalan sahabat ku itu. Sebenarnya
semua itu sudah tidak penting lagi. Apa yang terjadi sudah tidak boleh ditarik
semula.
“Aku pun tak tahulah jantan tu jantan jenis
apa. Lepas perkara tu berlaku dia masih boleh pergi kampus macam takde apa-apa.
Bukan setakat kau, aku sendiri rasa nak bunuh dia bila tengok muka dia tu,” ucap
Ameena benar-benar geram. Aku memandang lagi ke luar jendela. Marah? Geram? Geram
atau marah kami tidak akan menjadi kudis kepada Estaban. Lelaki seperti itu
tidak pernah tahu apa itu dosa dan apa itu pahala. Dia tidak pernah berpegang
kepada akidah sebagai manusia yang beragama. Apa yang dia tahu tentang semua
itu. Lelaki seperti dia seumpama parasit dalam hidup seorang wanita.
Saat itu Hamizah pula datang ke bilik ku. Aku
tahu dia baru sahaja pulang dari kampus. Baju kurung yang dipakainya sewaktu ke
kampus pagi tadi masih terlekat di tubuhnya. Dia berdiri di muka pintu bilik sambil
memerhatikan kami berdua.
“Syira takkan balik sini lagi, Izah..” ucap
Ameena kepada Hamizah.
“Aku dah agak dah!” sambut Hamizah perlahan. Aku
menoleh seketika kepada teman ku itu. Dia hanya tenang memandang kepada ku. “Aku
nampak ayah Estaban tadi,” kata Hamizah lembut. pandangannya masih tidak
terkalih dari ku.
Aku hanya memandang teman ku itu tanpa
menjawab. Tiada apa yang perlu dikomenkan tentang itu. Ayah Estaban ke.. nenek
Estaban ke.. mereka semua tidak ada kena mengena dengan diri ku. Biarlah dia
nak bawak moyang dia ke kampus sekali pun, aku sudah tidak kisah!
“Ayah dia buat apa kat kampus kita?” soal
Ameena kehairan. Nampaknya dia lebih berminat mahu tahu mengenai kedatangan
lelaki yang dikatakan sebagai ayah Estaban itu berbanding aku.
“Entah. Aku cuma ternampak ayah dia waktu aku
nak keluar dari kampus tadi. Tapi tadi kawan baik jantan tak guna tu ada datang
jumpa aku. Dia tanyakan kau..” kata Hamizah lagi sekadar memberitahu apa yang
berlaku di universiti sepanjang ketiadaan aku di sana.
“Kawan baik dia yang mana, Izah?” soal Ameena masih
mewakili aku yang langsung tidak berminat untuk bertanya dengan lebih jelas
lagi.
“Si Ryan dengan Darrien. Dia tanya kau dah
berhenti belajar kat kampus ke?” kata Hamizah tenang sambil mendekati kami di
dalam bilik itu.
Aku diam lagi tanpa reaksi. Namun hati ku
terus berkata-kata sendiri. Nampaknya kawan-kawan Estaban juga sudah maklum
dengan apa yang menimpa diri ku. Ah! Sudah tentulah Estaban dengan bangganya
mengakui yang dia telah melakukan ‘itu’ kepada ku. Bukankah misinya hanya untuk
menang ke atas diri ku? Ah! Lantaklah apa yang mahu ditanyakan oleh dia orang. Aku
dah malas mahu mengambil pusing lagi. Kawan-kawan si tak guna itu sebenarnya
lebih kurang sama aja. Mereka memang sekufu dan sekafat dengan Estaban.
“Habis tu kau cakap apa?” masih juga suara
Ameena lagi yang kedengaran memberi reaksi kepada cerita Hamizah. Aku sudah
macam patung pula berdiri di jendela memandang ke luar.
“Aku kata Syira nak balik KL malam esok.” ujar
Hamizah perlahan.
Ameena mula terdiam. Bilik itu hening buat
sesaat dua.
“Kau dah tetap keputusan nak balik KL ke,
Syira?” Hamizah bertanya sekali lagi pendirian ku.
“Aku dah takde apa kat sini lagi, Izah..”
Bagaimana semalam.. seperti mana tadi, begitulah juga keputusan aku sekarang
ini.
“Kau ada aku dengan Meen. Jangan fikirkan apa
kata orang lain, Syira. Mulut orang ni sekejap saja mereka bercakap. Nanti
senyaplah bila mereka dah puas berkata. Sayang pada pelajaran kau, Syira. Kau
antara best student kat sini. Takkan
kau nak lepaskan semua tu kerana jantan tak guna tu?” ujar Hamizah mula berusaha
memujuk ku pula setelah Ameena berputus asa sekejap tadi.
Aku menoleh kepada Hamizah sambil berpeluk
tubuh “Kalau ada rezeki aku akan sambung lagi, Izah. Tapi bukan kat sini. Aku
bukan nak lepaskan pelajaran aku kerana malu pada mulut orang atau kerana
sedihkan apa yang dah dia buat pada aku. Tapi kalau kau boleh lenyapkan iblis
tu dari kampus tu.. sekarang juga aku akan batalkan keputusan aku untuk balik
Malaysia. Aku tak boleh tengok muka dia tu, Izah. Aku benci!” balas ku pula.
Sahabat ku itu terdiam seketika. Kata-kata ku
akhirnya dibalas dengan anggukan perlahan. Hamizah mengeluh panjang. “Yalah..
Kalau aku jadi kau pun memang aku tak boleh tengok muka dia tu. Kalau aku
sendiri tak boleh tengok muka dia inikan pula kau yang mengalami perkara ni. Takpelah..
aku faham, Syira. Aku doakan yang terbaik untuk kau. Aku harap kau berjaya
capaikan cita-cita kau di tempat lain.”
“Mungkin rezeki aku kat tempat lain. Bukan di
sini saja aku boleh teruskan pengajian. Janganlah kau orang bimbangkan aku. Aku
tetap akan sambung belajar,” balas ku pula bagi menyedapkan hati teman-teman ku
itu.
“Baguslah kalau kau fikir macam tu. Tapi kalau
kau ubah fikiran untuk kembali ke sini jangan lupa beritahu aku, Syira. Aku
akan tolong kau untuk buat rayuan pada pihak universiti. Kami takkan biarkan
perkara ni macam ni aja, Syira. Suatu hari nanti Estaban pasti akan mendapat
apa yang berhak dia dapat. Tengoklah!” janji Hamizah bersungguh.
“Apa maksud kau, Izah?” Ameena segera menyampuk
perbualan aku dan Hamizah.
“Kau akan tahu juga suatu hari nanti. Tunggu
dan lihat aja! Dia takkan terlepas daripada apa yang dia dah buat,” ucap Hamizah
sambil memandang Ameena.
Aku terdiam cuba memahami apa yang sedang disampaikan
oleh Hamizah namun aku enggan bertanya lagi. Baginya biarlah masa yang
menentukan segalanya. Aku tidak mahu menggantung apa-apa harapan dahulu buat
masa ini. Aku hanya mahu melupakan peristiwa hitam itu. Itu sahaja!
“Jangan lupa email kami nanti. Kalau kau rasa
kau nak balik ke sini semula bagitahu kami. Kami akan cuba buat apa yang boleh,”
tambah Ameena pula.
Aku sekadar mengangguk sahaja. Balik semula ke
UK? Dalam keadaan hati ku begini? Mungkin tidak!
okayyy... nexxxttttt... hehe
BalasPadamhuhuhu..kejap ye. mata dah pedih ni.
BalasPadamsedihnyer insyirah... mmg arrr si jantan x guna tu... menyirap jugak darah den ni la!!!! eee mmg rasa nak belasah cukup2 kat mangkuk tu....
BalasPadamsmua sbb estaban tu...
BalasPadam