“Jaga diri, Syira. Jangan sesekali lupa solat. Solat tu wajib.
Itulah tiang keimanan kita. Biar sejauh mana Syira pergi Allah tetap mampu
melihat apa yang kita lakukan.” Pesanan abah itu aku sematkan ke dalam benak
ku. Riuh rendah suasana KLIA tidak ku pedulikan kerana sebentar lagi aku akan
terpisah dari keluarga ku di sini.
“Syira takkan lupa, abah. Syira sedar segala kebaikan
yang ada pada Syira itu semuanya kurniaan Allah. Solat adalah salah satu cara
untuk mensyukuri nikmat Allah,” ujar ku perlahan sambil menatap wajah abah. Apa
yang sering abah pesankan kepada ku. Aku ulangi semula.
Abah mengangguk sambil mengusap kepala ku yang dilapisi
tudung dengan penuh kelembutan. Dia tersenyum kepada ku namun masih dapat ku
kesan sayu pandangannya ke mata ku ini.
“Abah mahu Syira berjaya di dunia dan akhirat. Abah
selalu berdoa semoga segala yang diberikan kepada Syira itulah yang terbaik
untuk diri Syira. Syira satu-satunya anak perempuan abah. Minta dijauhkanlah
dari segala penganaiayaan dunia yang kejam. Minta-minta Allah lindungi Syira
selalu. Emak dan abah akan selalu mendoakan kejayaan Syira.” Abah terus
menasihati ku.
Aku diam sahaja sambil memandang abah. Terasa mahu ku
peluk tubuh itu kerana selepas ini kami akan terpisah untuk jangka waktu yang
lama. Hanya abah yang menghantar ku ke KLIA ini sementara emak tidak dapat
datang bersama kerana adik ku Imran demam campak semenjak semalam.
“Kalau ada apa-apa masalah cepat-cepat telefon abah ya?”
suara abah kedengaran sebak di telinga ku.
Aku sedih memandang
abah yang memandang ku lama. Matanya sudah mula berkaca menggambarkan berat
hatinya mahu melepaskan aku pergi. “Insya-Allah, Syira akan selalu hubungi abah
dan mak. Abah jangan bimbang. Syira akan selalu jaga diri.” Aku membalas sambil
mengangguk.
Di kala itu abah segera tersenyum bagi menyembunyikan isi
hatinya. “Memang abah tahu Syira tahu jaga diri. Tapi abah tetap akan bimbang
kerana Syira tak berada di depan abah. Syira satu-satunya anak perempuan, jauh
pula dari abah dan mak dalam usia yang masih muda. Abah harap Syira pandai
menyesuaikan diri di tempat orang. Berpeganglah pada agama. Jangan sesekali
tunduk kepada keadaan yang menghalakan kita kepada kesesatan. Insya-Allah,
Allah akan mempermudahkan segala kesusahan Syira kalau kita selalu berpandu
kepada Dia,” nasihat abah lagi dengan suara yang dikawal agar kesedihannya
tidak terlepas ke pendengaran ku.
“Syira ingat, bah. Syira takkan lupakan itu semua,” balas
ku.
Abah mengangguk perlahan. Sedih aku melihat wajah abah
kerana dia sedar sudah masanya untuk aku pergi.
“Pergilah. Nanti lambat pulak..” Abah menyuruh dengan
berat hati. Aku segera menghulurkan tangan ku kepadanya.
“Syira minta ampun atas segala dosa-dosa Syira, abah..”
ucap ku lalu tunduk mencium tangan abah.
“Abah ampunkan, nak. Ingatlah abah dan mak teramat sayangkan
Syira. Belajar rajin-rajin untuk masa depan Syira. Jaga diri ya, nak?” ucap
abah saat aku mencium tangannya. Abah terus meraih tubuh ku ke dalam pelukannya
sebaik sahaja aku kembali memandangnya. Jarang abah memeluk ku seperti saat ini
tetapi kali ini dia melakukannya kerana aku akan pergi jauh darinya.
“Syira pun sayangkan abah dan mak,” balas ku sayu.
Mengalir juga air mata ku tanpa dapat ku tahan. Sayu kerana seawal usia lapan
belas tahun aku sudah terpisah jauh dari orang tua ku kerana aku mendapat
tawaran untuk meneruskan pelajaran ke peringkat A-Level di London.
Berat hati ku untuk meninggalkan abah. Tetapi masa sudah
suntuk dan aku perlu ke balai perlepasan untuk pemeriksaan imigresen. Beberapa
ketika kemudian aku memandang semula kepada abah ku. Dia melambaikan tangannya
dengan senyumannya.
Hanya Allah sahaja yang tahu betapa beratnya hati ku
untuk berpisah dengan keluarga ku saat ini. Tetapi demi masa depan aku
lakukannya juga. Inilah impian emak dan abah kepada ku sebagai anak sulung di
dalam keluarga. Ini juga impian ku. Segala kepayahannya harus ku tempuh demi
sebuah cita-cita.
Ya! Semuanya demi sebuah cita-cita.
Hari ini aku harus pergi tetapi suatu hari nanti aku akan
pulang!
Mata ku meliar ke kiri dan ke kanan memerhatikan orang yang
lalu lalang. Pesekitaran kampus itu agak sesak dengan pelajar-pelajar yang baru
menghabiskan kuliah sama seperti aku. Manusia terus bersimpang siur di hadapan
ku dengan hala tujuan mereka sendiri. Tetapi aku di situ masih resah apabila
seseorang yang aku nanti masih tidak terlihat dek sepasang panca indera ku ini.
Aku sebenarnya sedang mencari teman akrab ku Ameena, yang juga merangkap rakan
serumah dengan ku. Kami memang sering pulang bersama setiap kali habis kuliah.
Lima minit kemudian barulah aku ternampak kelibat Ameena
yang terkocoh-kocoh datang kepada ku. Aku sempat menghela nafas lega apabila
melihat teman ku yang berbaju kurung dan berjaket tebal berjalan laju kepada ku
sambil menunjukkan sengihannya. Rundu
randah Ameena dengan beg dan segala macam buku-buku pengajiannya.
“Sorry, aku lambat..” ucap Ameena dalam
sedikit kecungapan. Sudahlah berjalan agak laju, ada banyak buku pula yang
sedang dipegang di tangan kirinya. Kelam kabut sedikit Ameena ku lihat.
“Takpe.
Aku pun baru aja ada kat sini,” balas ku sambil memandang Ameena. Kasihan melihat Ameena, sebilangan buku di tangannya
itu ku ambil sebagai bantuan untuknya. Minah kaki buku macam Ameena kalau tidak membawa
sebeban buku memang tak sah! Agaknya kalau perpustakaan boleh dibawak balik,
memang dia dah tarik bawa balik ke rumah.
“Thank’s a lots. Nasiblah ada sukarelawan
macam kau ni, Syira. Penat aku! Huh!” keluh Ameena sambil menghela nafas
kelegaan setelah sebahagian bebannya diambil alih oleh ku.
“Makin
kuruslah kawan aku seorang ni. Dahlah makan pun bercatu..” Aku sengaja membalas
meleret sambil mengerlingnya. Ameena tersenyum entah kenapa. Ada kata-kata ku
yang membuatkan hatinya tercuit.
“Jomlah
balik. Nanti tak sempat nak solat asar pulak,” katanya apabila menyedari kami
sudah kelewatan melebihi kebiasaannya. Sempat dia memandang jam dipergelangan
tangannya itu.
Tanpa
menunggu lagi kami bergegas meninggalkan dewan kuliah Austin, St Edmund
College. Namun saat mahu melepasi pintu di hujung dewan itu kami bertembung
dengan empat gerangan lelaki yang mahu melangkah masuk ke dewan itu. Akibat
mahu melalui pintu itu serentak kami hampir berlaga. Namun aku lebih pantas
mengawal langkahnya agar tidak melanggar salah seorang yang sedang menghadang
pintu itu dengan tubuh sasanya.
Spontan
aku memandang lelaki yang lebih senior dari ku itu. Mata kebiruan itu menatap
ku dalam-dalam sambil tersenyum meleret. “Hai..” sapanya dengan lagak ‘romeo
must die’.
“Hai.. maaf! Saya nak pergi sekarang. Minta laluan.” Aku
menjawab selamba dalam bahasa inggeris kepada lelaki itu sambil meminggir ke
kiri untuk melepasinya. Renungan lelaki itu sedaya upaya tidak ku layan.
Tetapi lelaki itu dengan nakal juga ikut ke kiri
menghadang jalan ku. Aku mula memandang lelaki mat saleh itu dengan rasa meluat
yang teramat sangat. Malas mahu
melayan olahnya aku cuba untuk ke kanan pula. Namun begitu juga dengan lelaki
mat saleh itu. Perlakuan itu bagai disengajakan.
Aku mula menghela nafas keras. “Estaban, tolonglah! Saya
nak lalu. Tolong ke tepi.” Suara ku mula meninggi kepadanya. Menyampah betul
aku melihat gelagat lelaki bernama Estaban itu. Memang semenjak pertama kali
kami berkenalan dia memang sudah meluat dengan gaya Estaban yang suka cukup
nakal mengganggu orang.
Lelaki mat saleh itu mula tergelak nakal dengan
teman-temannya. “Lalulah..” ucapnya tanpa mengalihkan tubuhnya daripada
menghadang pintu itu. Kesemua lelaki mat saleh itu tergelak macam suka benar
melihat aku menjadi bahan usikan temannya.
Aku menggerutu geram dengan tingkah laku Estaban. Untuk
menghindar lelaki itu, aku segera ke laluan yang kosong tetapi dengan selamba
Estaban turut ke tempat yang sama sengaja menghalang jalan ku.
“Apa
masalah dengan awak ni?” bentak ku mula hilang sabar.
“Takde
masalah..”
“Estanban,
saya tak mahu cari masalah dengan awak. Tolong ke tepi. Saya nak lalu..” aku
yang sudah naik angin menjerit agak kuat kepada lelaki itu.
Estaban ketawa-ketawa lagi dengan teman-temannya. “Bergurau
saja. Janganlah marah,” katanya sambil tergelak seronok melihat muka merah ku.
“Awak ni dah takde kerja lain ke?” herdik ku sambil
menjeling tajam Estaban yang tersengih selamba. Jahat betul! Aku juga tidak
ketinggalan menjadi tempias kenakalan Estaban. Memang menyampah sangat dengan
kelakuan mamat remeo itu tetapi aku tidak mampu menghindar daripada lelaki itu
kerana mereka bersebelahan fakulti walaupun berlainan tahun. Setiap hari aku
terpaksa melihat wajah romeo perasan itu di kampus.
Ameena
yang berjaya melepasi mereka mulai bengang. Dengan sekuat-kuat hatinya dia menolak tubuh Estaban dari
belakang dan terus menarik tangan ku untuk menjauhi kumpulan pelajar senior
itu. Kami berdua berjalan pantas meninggalkan Estaban dan teman-temannya itu. Terus
melayani lelaki tidak berguna itu di situ hanya akan membuatkan kami terlepas
solat asar yang cuma tinggal dihujung sahaja lagi.
“Hey! Tunggulah.. nanti kita akan bertemu lagi.” Laung
Estaban dengan gaya yang cukup menjengkelkan. Aku sempat menoleh dan menjeling
kepadanya. Kalau berjumpa nanti pun kenapa?
“Menyampahnya tengok mamat tu. Perasan hensem! Suka betul
ganggu orang,” kutuk Ameena yang bengang dengan kelakuan Estaban.
“Dah memang perangai dia macam tu nak buat macamana.
Kalau adik aku dah lama aku piat sampai biru. Tak pun aku pijak-pijak aja biar
mati cepat! Tapi itu kalaulah. Masalahnya dia bukan adik aku.” balas ku membuat
Ameena tergelak sedikit kelucuan.
“Tak jemu-jemu dia mengacau orang. Dia tak tahu ke orang
menyampah tengok muka dia? Macamlah dia seorang aja yang hensem kat sini! Muka
hensem pun kalau perangai macam jin, takde mananya orang nak suka.” Ameena
menambah lagi umpatannya. Kali ini aku pula yang tergelak mendengar apa yang
diucapkan oleh Ameena itu. Soal jemu itu dia memang sudah tidak boleh diubah. Tetapi
soal menyampah itu aku yakin yang Estaban tahu benar yang aku memang sangat-sangat
tidak suka dengan perangai lelaki itu. Tetapi Estaban bagaikan tidak kisah
dengan semua itu. Muka tembok punya orang!
“Lantaklah dia, Meen. Jangan kusutkan kepala fikir pasal
dia. Kita ni tak sembahyang lagi dah mengumpat orang. Asar dah lama dah masuk
ni,” tukas ku sambil mempercepatkan langkah.
“Ni semua si sengal tu punya pasal!” sempat lagi Ameena
menambah lagi dosa keringnya, mengutuk lelaki mat saleh itu.
Aku diam sahaja. Kami pantas keluar dari kawasan fakulti
dan segera menuju ke perhentian bas untuk pulang. Mujurlah nasib mereka baik
kala itu. Saat sampai sahaja di perhentian bas kelihatan ada bas double decker yang menghala ke Cambridge
Station sedang berhenti untuk mengambil penumpang. Melihat itu kami berdua mula
berlarian mengelak daripada tertinggal bas. Mujur sahaja Uncle Jack pemandu bas itu baik hati sengaja menunggu sehingga kami
tiba di pintu bas itu.
“Terima kasih, uncle.”
Dengan nada penuh kelegaan campur keletihan kami mengucapkan terima kasih
serentak kepada lelaki tua itu yang bermulia hati menunggu kami tiba di basnya.
“Jangan lambat lagi, anak manis..” balas lelaki itu sambil
tersenyum kepada ku dan Ameena. Baik sungguh hati lelaki itu.
Aku melepaskan nafas kelegaan sebaik sahaja selamat berada
di perut bas itu. Walaupun kami terpaksa meredah kesesakan di perut bas itu
namun itu semua alah bisa tegal biasa. Dalam waktu-waktu begini pengangkutan awam
sememangnya akan disesaki oleh pelajar-pelajar seperti kami.
Kami tiba di rumah pangsa yang menjadi rumah sewaan kami di
Tenison Evenue Norwich Strett setelah suasana menjadi gelap sedikit gelap. Cepat-cepat
kami berkejar masuk ke bilik masing-masing untuk mengejar waktu solat yang
tinggal sedikit sahaja lagi.
Aku
dan Ameena baru di tahun pertama pengajian di Universiti of Cambridge. Sebelum
ini aku merupakan pelajar lepasan A Level di Balles College di London. Setelah
menamatkan kursus A Level dengan keputusan cemerlang kami ditawarkan
melanjutkan pengajian ke Universiti Of Cambridge. Aku sedang dalam
pengajian perakaunan manakala Ameena pula dalam bidang Sumber Manusia.
Tinggal
di negara seperti ini kami semua harus belajar berdikit-dikit di dalam
kehidupan seharian dek kerana kos sara hidup di England agak tinggi disamping
yuran pengajian juga agak mahal. Mujurlah pembelajaran aku ditaja oleh Yayasan
Negeri kerana aku pernah mendapat keputusan cemerlang di dalam Sijil Pelajaran
Malaysia yang lalu dan sempat mendapat Anugerah Pelajar Cemerlang.
Cambridge
yang terletak100 kilometer dari kota London ini merupakan pekan yang agak
kecil. Sebahagian pekan ini adalah universiti tempat mereka menuntut ilmu yang
juga merupakan institusi pengajian yang tertua di England. Di sini mereka semua
yang bergelar pelajar harus sentiasa berlumba untuk menjadi yang terbaik kerana
kami sedang berada di kalangan pelajar yang terbaik. Namun bagi aku mahupun
Ameena mereka sama-sama amat bersyukur dan menghargai peluang sebaik ini.
Selesai
solat maghrib barulah aku dan Ameena mula ke dapur pula. Sedang kami berdua
rancak memasak sambil dihiasi oleh keriuhan gelak ketawa, Hamizah pulang dari
kampus sendirian. Wajah lesunya cukup menyatakan yang dia begitu keletihan
dengan aktiviti seharian yang amat padat.
“Dari
mana, Izah?” soal ku biasa setelah Hamizah duduk di meja makan sambil memandang
aktiviti yang sedang berlangsung di dapur rumah kami.
“Dari kelaslah, Syira. Kau ni bertanya macam baru semalam
kenal aku..” kata Hamizah sambil melepaskan keluhan keletihan.
Aku tergelak sendiri menyedari soalan itu kedengaran agak
bodoh untuk teman sebijak Hamizah. “Saja je tanya. Mana tahu kau ubah angin
hari ni balik dari kelab malam pulak..” ujar ku lantas mengekek serentak dengan
Ameena. Melihat padangan Ameena kepada Hamizah kami berdua
berpandangan seketika kemudian tergelak lagi. Kami memang suka memang suka
menjadikan Hamizah sebagai bahan menyakat.
Terbuntang mata Hamizah mendengar kata-kata ku itu.
Tetapi tawanya terburai juga akhirnya. Ada kelucuan yang dirasakan kerana
sepanjang kami mengenali Hamizah, dia memang seorang yang amat kuat belajar.
Keluar untuk ke pasaraya juga amat jarang bagi teman serumah ku ini. Apatah
lagi mahu ke kelab malam! Hamizah seorang ulat buku.
“Pandailah kau, Syira.. kau ingat masuk kelab malam tu free? Daripada aku menghabiskan masa dan
duit kepada perkara yang boleh membawa aku ke neraka lebih baik aku tidur. Lagi
baik!” balas Hamizah selamba yang tua setahun dari ku. Selain Hamizah kami juga
mempunyai dua lagi rakan serumah iaitu Safira dan Nenny Akmar. Kedua-dua mereka
juga menuntut di tahun yang sama dengan Hamizah.
“Tolong ambilkan aku air, Syira. Kaki aku ni dah tak
larat nak jalan la..” pinta Hamizah dengan muka seposennya kepada ku. Sekali pandang
mimik mukanya macam baru lepas kena pelempang dengan mak mertua.
“Amboi.. mengada-ngadanya. Nak bermanja pulak ke? Nak bermanja
ke nak kumpul selulit kat punggung?” tegur Ameena dengan lantang. Aku sudah
menyeringai mendengar kata-kata yang cukup pedas daripada Ameena.
“Tolonglah..”
rayu Hamizah mula merengek manja kepada ku.
Kerana
kasihan kepadanya yang sedang kepenatan aku akur juga. Segelas air masak segera
ku ambil dan diserahkan kepada Hamizah. Melihat Ameena asyik dengan gulai di
atas dapur aku ikut duduk bersama Hamizah di meja itu.
“Kau masak apa malam ni, Syira? Sedapnya bau ni?” tanya
Hamizah sebaik sahaja aku duduk di
“Kari ayam. Eh! bukan aku
yang masak tapi Meen. Hari ni turn resepi
dia pulak. Aku tolong tengok aja, disamping tolong merasa apa yan petut,” balas
ku sambil memuncungkan bibir kepada si tukang masak yang mengambil giliran bagi
malam ini.
“Kau
masak untuk kau dua orang aja atau masak untuk semua, Meen?” Hamizah menyoal
sambil tersengih kepada Ameena.
“Untuk
semua la. Kau ingat aku ni buruk perangai nak melantak seorang? Beli barang share makan sendiri-sendiri pulak. Ha!
Jangan buat-buat lupa pulak. Esok turn
kau pulak memanaskan dapur ni,” balas Ameena laju dengan suara yang tegas.
Hamizah tersengih sahaja kepada ku. Kami semua sudah ada perjanjian
yang mensyaratkan mereka harus bergilir-gilir memasak makan malam.
“Izah kalau memasak mesti menjilat sampai jari kaki kita
nanti.” Aku sengaja mengusik Hamizah sambil tergelak. Ameena yang mengerti
maksud kata-kata itu juga mula melambakkan tawanya dari arah dapur. Agaknya dia
terbayangkan roti bakar rentung yang pernah dihidangkan oleh Hamizah kepada kami
dahulu sebagai sarapan pagi.
“Menyindir
nampak?” tukas Hamizah pantas sambil mengerling kepada ku dengan ekor mata.
“Aku
menyindir ke? Takdelah. Aku bagi kau semangat.” Dalam senyuman yang terkulum aku
sengaja menafikan kata-katanya. Namun tidak tertahan gelihati, tawa ku
terhambur juga tidak lama selepas itu. Kami sama-sama tahu apa yang dimaksudkan dengan sindiran itu.
“Aku tahulah aku ni tak tahu memasak. Bukan macam kau.
Masak apa pun sedap. Malaslah aku nak masak macam ni. Nanti korang mengata
pulak.” Hamizah merungut sambil mencebik.
“Kau jangan nak mengada-ngada ya, Izah. Ooo.. makan pandai.
Memasak malas! Baru kena sindir sikit dah nak merajuk kononnya. Takde mananya
kau boleh mengelak. Kalau kau tak masak esok siap kau. Aku sumbat ayam mentah
dalam peti ais tu dalam mulut kau sampai kau kenyang.” Ameena terlebih dahulu
menunjukkan reaksinya setelah mendengar kata-kata Hamizah. Dia datang bercekak
pinggang di hadapan kami dengan lagak cikgu disiplinnya.
Aku dan Hamizah tertawa kuat di meja itu melihat gelagat
Ameena. Mulutnya memang bak bertih goreng bila sampai bab memarahi orang. Boleh
terkatup mulut sesiapa yang cuba berlawan kata dengannya. Dia juga dikenali
sebagai orang yang suka bercakap dengan ‘volume’ yang tinggi. Memang sesuai
sangat kalau jadi cikgu!
“Aku main-main ajalah. Kau janganlah garang sangat, Meen.
Kau ni macam mak tiri dalam cerita Ratapan Anak Tiri aja. Seram anak tiri kalau
ada mak tiri macam kau.”
“Tiri-miri..
Kau tak masak esok siaplah kau!” Ameena sudah meluahkan ugutannya.
Aku semakin galak ketawa. Perkataan ‘tiri-miri’ yang
dikatakan oleh Ameenah itu semakin melucukan.
“Eh! Izah, kau ingat tak mangkuk Swiss yang perangai macam
lanun Somalia kat kampus tu?” soal Ameena tiba-tiba sahaja mengalihkan topik
saat itu. Reaksinya juga mendadak berubah seolah-olah ada sesuatu yang amat
serius yang mahu diberitahu kepada Hamizah saat itu.
“Mangkuk
Swiss??” Hamizah memandang aku dengan reaksi yang tidak mengerti. Aku
tercengang sedikit kerana aku juga tidak mengerti apa sebenarnya yang mahu
disoal oleh Ameena sebenarnya. Kening ku mula berkerut memandang sahabat ku
itu.
“Alah..
mangkuk yang kacau kau tadi tu, Syira.” Ameena menambah lagi
sambil mencuit bahu ku. Daripada lagak mak tiri kini macam mak joyah pula gayanya.
Kata-kata
itu mengembalikan aku kepada peristiwa siang tadi. “La.. lanun Somalia tu si Esteban ke?” sambut ku dengan
tawa. Bertambah lagi gelaran untuk lelaki itu. Sebelum ini kami serasi
menggelar Estaban dengan nama buaya paya. Sesuai sekali dengan perangai kaki perempuannya.
Kemudian gelaran ‘jantan macholah’ dikutip daripada lirik lagu kumpulan KRU dan
Adam yang bertajuk Terhangat Di Pasaran dan macam-macam lagi yang mereka
gelarkan S Estaban. Kini Ameena menambah lagi dengan gelaran lanun Somalia.
“Estaban Joseph Buhler, budak Bussiness Study tu ke?” kali ini Hamizah pula yang menyoal bagi
mengesahkan gerangan makhluk yang ada difikirannya saat ini. Nampaknya
dia juga tidak suka dengan lelaki anak hartawan dari Swiss itu. Seluruh kampus
mengenali lelaki yang konon-kononnya rebutan ramai wanita kerana ketampanan dan
kekayaannya.
“Siapa lagi yang glamour
dengan perangai macam setan tu? Tadi dia kacau Syira lagi, kau tahu!” Ameena
dengan rela hati mengadu bagi pihak ku tanpa perlu diarahkan oleh ku.
“Dia kacau kau lagi, Syira?” Hamizah terus memandang aku pula seakan meminta
kepastian.
Aku sekadar mengangkat bahu sedikit. Aku dah tak
hairan lagi dengan ini semua kerana semenjak dari awal aku mengenali Estaban, aku
sememangnya selalu menjadi bahan untuk Estaban melampiaskan kenakalannnya.
Memang menyampah tetapi apa yang boleh aku lakukan untuk mengekang perangai
lelaki itu? Selagi terdaya aku akan mengelak. Jika tidak, kami akan bertengkar sahaja
seperti kebiasaan rutin kami.
“Habis tu apa kau buat kat dia?”
“Heh! Syira ni.. takkan kau tak kenal lagi, Izah? Tak
habis-habis nak bersabar dengan si setan tu.” Ameena terlebih dahulu menjawab
sebelum aku.
“Habis tu kau nak aku buat apa kat dia? Kalau ikut hati
aku ni nak aja aku kelar-kelar kulit dia bila nampak muka dia tu.” Spontan aku
lantas membela diri.
“Kalau aku, aku sepak ehem-ehem dia..” jawab Hamizah
selamba seolah-olah memberi idea kepada temannya itu untuk membalas segala
perbuatan Estaban di lain masa.
Terbuntang mata ku memandang Hamizah yang sudah tergelak besar
dengan Ameena. Sampai begitu sekali idea Hamizah. Tetapi apabila difikirkan
semula mungkin aku patut mempertimbangkan untuk menggunakan cara sadis itu bagi
menghentikan perbuatan lelaki itu kepada ku. Mana tahu Estaban insaf nanti.
“Dia suka kat kau tu. Nampak kau aja mesti dia gatal nak
kacau.” Hamizah mulai miang menyakat aku pula.
Terbeliak lagi mata ku memandang Hamizah. “Tolonglah,
Izah! Geli telinga aku ni dengar kau cakap. Aku ni menyampah tahap nak muntah
tengok muka dia tu, kau boleh cakap dia suka kat aku. Mintak Tuhan jauhkanlah
aku dari dia. Eei.. tak sanggup aku,” belas ku dengan reaksi geli gelaman.
Tubuhku bergegar-gegar bagaikan sedang kegelian yang teramat sangat apabila
terbayangkan lelaki itu.
Hamizah dan Ameena masih sakan tertawa melihat gelagat ku.
Namun tawa mereka kedengaran aneh. Aku sudah mula terasa seperti sedang dipermainkan
oleh mereka berdua.
“Apa ni? Korang ejek aku ya?” soal ku tidak berpuas hati.
“Manalah tahukan? Kalau tak takkanlah dia asyik mengacau
kau aja. Nampak aja kau mesti dia nak datang dekat.” Kali ini Ameena pula yang
berkata bagaikan menyokong telahan Hamizah. Dia menyeringai nakal kepada ku.
“Meen, kau memang dah tahu dia tu memang setan. Bukan soal dia suka aku atau tak tapi dah itu memang tu habit dia. Dia tu kalau kau pakaikan
pokok kelapa tu dengan baju seksi pun dia nak kacau. Dia tu jantan yang kemaruk
betina!” cemuh ku lancang menggambarkan lelaki bernama Estaban itu.
Hamizah
terus tergelak-gelak memandang Ameena. Mereka mengangkat kening berdua semacam ada sesuatu di antara mereka. “Betul
ke kau tak suka dia? Entah-entah dalam diam kau suka kena kacau dengan dia tak?
Kau pun suka main mata dengan dia. Aku tahu, Syira..” usik
Hamizah sambil tergelak sakan dengan Ameena.
Berdegup
kencang jantung ku mendengar ejekan itu. “Tolonglah! Tolonglah! Bila masa aku main mata dengan dia? Kalau dia jantan
yang terakhir ada kat bumi ni pun aku tak ingin. Biar aku tak kahwin lagi baik!”
tukas ku nekad mempertahankan pendirian ku tanpa memikirkan betapa takburnya aku
dengan kata-kata itu.
Dua teman ku itu semakin seronok ketawa. Gelihati benar
mereka berdua. Aku pula mencebik meluat apabila terbayangkan lelaki itu. Apalah
nasib diri jika tersangkut dengan lelaki gatal seperti itu?
“Jangan terlebih cakap, Syira. ALLAH
tak suka kita mengata orang. Masin
mulut kau, jantan yang kau kata tak nak tu nanti yang jadi laki kau..” kata
Hamizah entahkan masih mengusik atau pun sedang mengingatkan.
Aku terus tersentap mendengar itu. Aku mula tersedar yang
aku baru sahaja terlepas cakap tanpa mengira mungkin kata-kata itu akan memakan
diri ku semula. Serta merta aku
menekup mulut ku. Ya ALLAH! Jika masin mulut ku seperti yang dikatakan Hamizah
meranalah hidup ku nanti. Oh, tidak!
“Ya, ALLAH! Ampun! Ampun! Aku tak sengaja tercakap macam
tu. Eee.. mintak jauhlah dia jadi laki aku. Tak nak aku! Siksa hidup aku
nanti.” Aku terus menepu-nepuk mulut ku kesal kerana bercakap tanpa berfikir
terlebih dahulu.
Hamizah dan Ameena hanya memandang sahaja kelakuan ku.
Mereka tiada kata lagi untuk dikatakan. Mungkin mereka juga sedar bukan hanya aku
sahaja yang boleh ditakdirkan mengahwini lelaki seteruk itu jika terlalu asyik
mengumpat tanpa mengira ‘ada’ yang sentiasa mendengar. Mereka juga boleh
termakan hasil umpatan sendiri.
betul tu.. apa yg kita kata akan balik pd kita semula...
BalasPadamx nak, x nak la...nnti dpt
BalasPadam