Suasana Kampung Paya Keli, Masjid Tanah tenang sekali. Namun
tidak di rumah pasangan muda itu..
“Berambus!!!!!!!!!” pekikan itu cukup-cukup menggegarkan
rumah kampung sederhana besar itu. Dumm!! Lantai papan itu terus mengeluarkan
dentumannya apabila ada sesuatu yang terjatuh di atasnya. Serentak itu
kedengaran suara anak kecil meraung dari salah sebuah bilik di dalam rumah itu.
Raduan lekas-lekas naik ke rumah apabila terdengar
raungan anak kecil itu. Dentuman yang kedengaran sebentar tadi sudah diagak apa
puncanya. Apabila dia masuk ke bilik matanya melihat tubuh anak kecil berusia sembilan
bulan itu sudah terlentang di atas lantai papan sambil menangis. Tangan mungil
itu terkapai-kapai seakan meminta tolong.
“Apa ni, Nab? Apa awak buat pada budak ni?” soalnya
kesal. Matanya masih menadah bayi kecil itu yang masih meraung sehingga
kemerahan mukanya.
“Aku benci tengok budak ni. Bawa dia berambus. Jangan
menyemak depan mata aku ni!! Anak haram bejadah! Kalau aku tahu masa lahir dulu
aku cekik-cekik dia biar mampus! Buat malu akau aja ada anak macam ni!!!”
wanita bernama Jurinab itu memekik kepada Raduan pula. Tangannya ditundingkan
kepada anak kecil yang terkapar tidak berdaya akibat ditolak olehnya.
Raduan menggeleng dalam menahan hati yang terhiris. Terlalu
bisa kata-kata sang isteri. Perlahan anak kecil itu diambilnya. Tubuh anak
pertama mereka itu ditepuk perlahan. Belakang kepala bayi itu juga diusapnya
bagi menghilangkan kesakitan anak itu. Kesal benar dia dengan kekasaran
isterinya itu kepada anak yang tidak tahu apa-apa ini.
“Jangan buat macam tu, Nab. Dia tak salah apa-apa. Awak
tak kasihan ke pada dia?” keluh Raduan sedih melihat anak kecil itu
diperlakukan sebegitu oleh isterinya. Entah apa sebabnya Jurinab bersikap
begitu dia sendiri tidak tahu.
“Tak salah? Awak tengok muka dia tu! Tengok!!! Aku tak
boleh terima anak aku macam tu...” pekik Jurinab bagaikan hilang pedoman.
Raduan menggeleng perlahan. Dikumpulkan segenap
kesabarannya untuk menadah kelakuan isterinya itu. Perlahan pipi bayi itu
dikucupnya penuh kasih. Belas hatinya melihat nasib anak sulungnya itu. “Sayang..
sayang.. abah ada sini. Diam ya?” pujuknya perlahan kepada bayi itu agar tidak
menangis lagi.
“Bukan salah dia, Nab. Kenapa awak hukum dia? Dia pun tak
minta dilahirkan macam ni..” keluh Raduan perlahan. Sekali lagi dia menggeleng.
Tidak ada perasaankah isterinya itu? Apalah yang diketahui oleh anak sekecil
ini hingga dia perlu dihukum seperti ini?
“Habis tu salah siapa? Salah kita? Anak haram bejadah!!!
Buat malu aku aja anak macam ni...” Jurinab terus menghamburkan kebenciannya
kepada bayi itu.
“Jangan awak maki-maki dia. Dia tak salah langsung. Dia
pun tak minta dilahirkan ke dunia ni macam ni. Apa yang dah berlaku biarlah
lepas. Jangan awak hukum dia lagi. Apa pun keadaannya dia tetap anak kita..”
lawan Raduan enggan membiarkan Jurinab terus tenggelam dengan keegoan sendiri.
“Anak awak! Binti awak! Awak belalah dia! Kita tak mahu.
Buat malu aja ada anak macam ni...” dengan sombongnya Jurinab meluahkan bicara
sehingga menggeleng Raduan dibuatnya. Susah benar dia mahu mengubah sikap
isterinya itu. Semenjak dia menikahi Jurinab kira-kira setahun lima bulan yang
lalu semakin hari dia semakin melihat kelakuan Jurinab sebenarnya. Apa yang
paling jelas di matanya adalah setiap hari kata-kata Jurinab semakin lancang
memaki hamun cahaya mata mereka ini. Tidakkah Jurinab sedar bahawa cahayamata
ini adalah anugerah ALLAH biar bagaimana pun rupanya. Sekurang-kurangnya anak
ini sihat walafiat tanpa sebarang penyakit. Susah benarkan untuk isterinya itu
menerima segala ketentuan ALLAH. Mengapa anak ini harus dihukum sedangkan dia
tidak tahu apa-apa?
Di tangga hadapan rumah Raduan merenung masa hadapannya
sambil memangku bayi yang baru beberapa bulan mengenali dunia ini. Bayi kecil
yang dinamakan Intan Nur Darina binti Ahmad Raduan itu dibelainya. Diberikannya
kasih sayang dan pujukan agar anak itu kembali tenang. Namun memikirkan sikap
Jurinab yang begitu Raduan tidak tahu apakah sinar di hari muka akan terus
menerangi anaknya ini. Raduan tidak tahu. Cuma dia agak kesal. Jurinab tidak
mahu mengakui kesalahan sendiri sebaliknya menyalahkan Intan yang dilahirkan
tidak seperti anak-anak yang lain. Sedangkan anak yang baru dilahirkan umpama sehelai
kain putih tanpa dosa. Perlahan Raduan mencium kepala anaknya itu. “Takpelah.
Abah ada, sayang. Abah akan sayangkan Intan. Sabar ya, nak?” bisiknya tulus.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan