Proton Waja yang ku sewa itu berhenti di sebuah petak parkir di
perkarangan sekolah yang pernah menjadi tempat aku menimba ilmu suatu masa
dahulu. Pada mata ku sudah banyak perubahan pada bekas sekolah ku itu. Buat
seketika aku terpaku di dalam kereta. Semangat yang ku bawa semenjak tadi entah
ke mana hilangnya. Teragak-agak untuk keluar kerana aku bimbang orang yang ku
cari sudah tidak ingat lagi kepada ku. Tetapi mengenangkan mungkin peluang
hanya ada sekali ini aku gagahkan juga diri ku untuk keluar mencari Puan
Kalsom. Untuk mendapatkan wanita itu aku jejaki bahagian pentadbiran sekolah
itu. Harap-harap pertemuan ini akan berjalan seperti yang aku harapkan.
“Ya, ada apa yang boleh saya bantĂș?” aku terus disapa oleh
gadis penyambut tetamu di hadapan pintu masuk pejabat sekolah itu sebaik sahaja
aku menjelma di pejabat sekolah.
“Saya nak tanya tentang Puan Kalsom. Dia masih mengajar
di sekolah ini ke?” tanya ku lembut sambil merenung gadis yang duduk di sebalik
meja penyambut tetamu itu.
“Ya, Puan Kalsom memang mengajar di sini. Cik ni siapa
dan ada apa nak jumpa dengan dia?” balas gadis itu semula. Bulat matanya
membalas renungan ku.
“Nama saya Nur Darina. Saya bekas pelajar Puan Kalsom
dulu. Dulu saya pun bersekolah di
sini. Sebenarnya saya takde urusan
rasmi dengan dia. Cuma saya nak jumpa dengan dia sebab dah lima tahun saya tak
jumpa dengan dia. Boleh tolong panggilkan?” kata ku lembut kepada gadis yang
memakai tanda nama Salbiah itu.
Gadis itu mengangguk dan dia terus mengangkat ganggang
telefonnya. “Sekejap ya? Saya telefon ke bilik guru. Takut dia ada kelas
sekarang. Kalau dia ada kelas cik kena tunggu sampai dia habis kelas,” ujar
gadis itu sambil melekapkan ganggang ke telinganya.
Aku hanya mengangguk sambil memandang perbuatan gadis
itu. Beberapa angka ditekannya dan tidak sampai seminit dia mula bercakap
dengan seseorang melalui ganggang itu. Dari apa yang aku dengari gadis itu ada
meminta seseorang berpesan kepada wanita yang ku cari itu agar naik ke tingkat
dua yang menempatkan pejabat sekolah itu. Namun gadis itu tidak menyatakan nama
ku sebagai orang yang menanti Puan Kalsom.
“Sekejap ya? Dia ada kat bawah. Nanti dia naik..” ucap
Salbiah setelah meletakkan ganggang ke tempatnya semula.
Sekali lagi aku menjawab dengan anggukan. Melihat
perhatian gadis itu kembali semula kepada tugasnya aku juga mengalihkan
pandangan ku ke arah dinding yang menempatkan carta organisasi sekolah itu.
Nampaknya pengetua sekolah sudah bertukar dengan orang lain. Puan Kalsom
tertera di carta itu sebagai ketua panitia bagi aliran ekonomi asas dan prinsip
akaun.
“Ya, ada apa nak jumpa saya?” perhatian ku terus tergugah
apabila kedengaran suara menyapa dari muka pintu. Aku segera menoleh untuk
melihat bekas guru ku itu. Pertama yang ku lihat wajah Puan Kalsom berubah
keliru setelah melihat diri ku. Aku cuba tersenyum kepadanya sambil membiarkan
dia mengecam diri ku. Dia sudah nampak semakin berusia jika dibandingkan dengan
gambaran yang ada dalam memori ku.
“Maaf, saya tak berapa cam awak. Tapi macam kenal..” ucap
guru itu yang masih keliru dengan siapa yang dilihatnya. Dapat ku lihat bola
matanya masih terpaku terus ke wajah ku seakan mengenali diri ku namun dia
tidak pasti.
“Darina, cikgu..” aku akhirnya memperkenalkan diri agar
dia tidak terus keliru. “Intan Nur Darina. Saya pernah menjadi pelajar cikgu
dulu waktu saya di tingkatan empat dan lima..” tambah ku agar dia lebih jelas
lagi.
Mendengar aku menyebut nama itu sekali lagi ekspresi
wajah guru itu berubah. Kali ini wajah itu berubah ceria serta merta. Melebar
sekali senyumannya. “Astaghafirullahaladzim... awak ke ni, Darina? Ya, ALLAH!
Saya ni dah tua. Tak boleh nak ingat semua orang. Awak pun dah tak macam dulu
saya nampak. Dah banyak berubah..” sambut Puan Kalsom dengan senyuman yang
penuh kegembiraan. Terus tubuh ku didekatinya dan didakap erat. Aku turut
membalas dalam keharuan.
“Saya tak sangka akan jumpa awak hari ni, Darina..” luah
Puan Kalsom sedikit sebak. Dia terus memandang ku dari atas ke bawah. “Awak dah
banyak berubah. Hampir saya tak kenal awak tadi..” komennya setelah puas
melihat diri ku.
Aku tergelak kecil melihat bekas guru ku itu. “Cikgu apa
khabar?”
“Baik, alhamdulillah. Bila awak balik Malaysia?”
“Baru tiga minggu. Cikgu ada masa? Saya ingat nak berbual
dengan cikgu sekejap..” luah ku lembut. Tidak selesa kerana perbualan kami
diperhatikan oleh si gadis penyambut tetamu itu.
“Boleh.. kita ke kantin ya? Saya pun belum minum pagi
lagi ni..”
Di kantin Puan Kalsom mengajak aku duduk di meja yang
dikhaskan untuk guru. Kawasan itu lengang sama sekali kerana kebanyakan guru
akan keluar makan pada waktu lepas sekolah.
“Awak dah makin cantik saya nampak sekarang, Darina. Saya
macam tak percaya bila nampak awak tadi. Hilang terus Darina yang saya kenal
dulu. Tapi yalah... dulu awak masih dibangku sekolah sekarang awak dah semakin
dewasa. Dah tentu tak sama lagi. Saya tak sangka awak masih sudi nak jenguk
saya di sini,” ujar Puan Kalsom lembut setelah kami duduk saling berhadapan di
sebuah meja kosong.
“Saya takkan pernah lupakan cikgu yang dah banyak tolong
saya selama ini. Kerana bantuan cikgulah saya dapat ke Ireland. Kerana nasihat
dan sokongan cikgulah saya sekarang dapat menggenggam segulung ijazah. Orang
pertama yang saya nak jumpa sebaik sahaja saya balik ke sini adalah cikgu..”
sambut ku perlahan.
Puan Kalsom tersenyum dalam anggukannya. Teh di cawannya
dihirup perlahan. Kemudian pandangannya kembali terhala kepada ku. “Alhamdulillah,
saya rasa bangga bila tengok awak hari ni. Selama ni saya selalu memikirkan
tentang awak, Darina. Bila saya dah nampak awak hari ni saya tiba-tiba rasa
kagum dengan awak, sebab bukan calang-calang manusia dapat menempuhi kesusahan
yang awak lalui selama ini. Tanpa sokongan keluarga memang mudah kita terjatuh
tambahan pula dalam keadaan diri terumbang ambing. Saya paling bimbang awak
akan gagal. Selama ini saya benar-benar berharap awak cekal hati dan sabar
dalam menempuh segala kesusahan di tempat orang sebab saya tahu bukan mudah
kita nak menempuh hidup sendirian di tempat yang jauh sebegitu. Apatah lagi
kita ni perempuan. Tapi alhamdulillah, ALLAH dah makbulkan doa saya selama ini.
Awak dapat pulang dengan segulung ijazah itulah hadiah yang paling bermakna
buat saya,” luah Puan Kalsom dengan nada kepuasan. Terharu aku mendengarnya.
Aku tahu bekas guru ku ini adalah orang yang paling berusaha keras untuk
melihat aku berjaya. Dahulu aku menghadapi masalah dokumentasi untuk meneruskan
pengajian ke menara gading. Untuk masuk ke universiti aku memerlukan salinan
sijil beranak ibu dan ayah yang memerlukan pengesahan dari JPN sebagai salah
satu dokumen yang diperlukan untuk memasuki universiti. Malangnya semua itu
tidak aku miliki setelah aku disingkirkan dari keluarga. Namun akhirnya dengan
bantuan Puan Kalsom aku akhirnya berjaya juga. Dia juga yang paling banyak
menasihati aku agar sabar dan jangan berputus asa dengan setiap halangan yang
datang.
“Memang tak mudah. Kalau takde orang macam cikgu memang
saya dah lama gagal. Waktu di Dublin dulu pun saya sentiasa ingat pesan cikgu.
Jangan lekas berputus asa.. itukan yang selalu cikgu pesan pada saya?” kata ku
kepadanya. “Memang sedih sebab saya dah macam takde sesiapa lagi di dunia ini
tapi saya percaya biar apapun halangannya nasib saya takkan berubah kalau bukan
saya sendiri yang mengubahnya. Berpegang kepada pendirian itulah saya dapat
berada semula di hadapan cikgu sekarang,” ujar ku lagi. Puan Kalsom terus
mengangguk bersetuju dengan pendapat ku itu.
“Cikgu, saya datang ni sebab saya nak berterima kasih
dengan cikgu. Mungkin sebelum ini saya sudah mengucapkannya tetapi hari ni
dengan yang dahulu tak sama. Saya tak mahu menjadi kacang lupakan kulit.
Bantuan cikgu ketika saya nak ke Ireland dulu terlalu besar maknanya pada
saya,” ucap ku lagi.
“Sama-sama. Kalau awak tak katakannya pun takpe, Darina.
Saya lakukan kerana ALLAH. So apa perancangan awak selepas ini? Dah dapat
kerja?”
“Belum lagi. Saya dah ada buat beberapa permohonan tetapi
masih awal untuk mendapatkan jawapan sekarang..” jawab ku jujur.
“Memang. Semuanya memerlukan masa. Takpelah, awak
bersabarlah. Apa yang penting jangan putus asa berusaha dalam berusaha.
Percayalah yang setiap kebaikan yang kita mahukan tidak semudah itu untuk kita
dapati. Awak mungkin dah melepasi kesusahan sewaktu menimba ilmu tetapi jangan
lupa pula. Selepas ini akan ada pula cabaran dalam dunia pekerjaan. Dunia
pekerjaan dan dunia pengajian tak sama. Cabaran dalam dunia pekerjaan bersifat
kekal sampailah kita bersara nanti. Itu kita kena banyak bersabar. Tapi asasnya
cuma satu, yakin dengan keupayaan diri awak. Insyaallah semuanya akan baik
nanti. Buan mudah untuk mencapai kejayaan ni. Memang awak dah ada segulung
ijazah tetapi sebelum awak dapat hidup selesa dengan kerjaya dan gaji lumayan
perlu ada usaha untuk membina kepercayaan majikan kepada awak.”
Aku mengangguk dalam sedikit senyuman. Wanita ini masih
seperti dahulu. Banyak nasihatnya yang boleh ku pakai untuk kehidupan ku ini
sehari-hari.
“Jadi awak dah jumpa keluarga awak?” Puan Kalsom terus
menyambung perbualannya. Pertanyaan yang sudah ku jangka itu tidak segera ku
berikan jawapan. Buat seketika paras meja itu ku renung dalam-dalam. Berat
sungguh mulut ini mahu menjawabnya. Banyak yang bermain difikiran ku ini
apabila wanita itu menyebut semula tentang keluarga ku.
“Awak belum jumpa lagi?” teka Puan Kalsom sambil dia
terus memandang ku. Akhirnya aku menggeleng sebagai jawapan bagi memuaskan hati
wanita itu. Melihat aku menggeleng dia menghela nafas perlahan. “Kenapa tak
balik jumpa mereka?” dia terus melemparkan soalan itu.
“Entahlah. Saya macam belum bersedia..” jawab ku amat
perlahan.
“Darina, dah lima tahun berlalu. Kita ibaratkan begini
sajalah.. mungkin pada tarikh hari ini kira-kira lima tahun yang lalu awak
pernah terluka oleh sesuatu. Tetapi dengan proses masa yang terus berlalu, luka
pada lima tahun yang lalu hari ini akan hanya tinggal parut saja. Sepatutnya
begitu.. memang kalau kita pandang semula parut itu kita akan teringat apa yang
berlaku tetapi perasaan dan kesakitannya pastinya dah tak sama seperti dulu.
Mungkin kesakitan tu dah takde yang tinggal hanya rasa takut untuk melalui
pengalaman yang sama. Hakikatnya kita hanya sekadar hamba ALLAH yang lemah,
Darina. Dalam hidup ni kita kena memaafkan orang lain barulah orang lain akan
memaafkan kita.”
“Saya tahu, cikgu. Tapi bukannya saya nak berdegil. Saya
memang terlalu rindukan emak dan ayah saya. Saya nak tengok adik-adik saya tapi
mengingatkan kebencian emak pada saya, saya macam tak sanggup. Emak yang
membuang saya selama ini.”
“Marah seorang emak takkan kemana, Rina. Saya juga
seorang emak dan kadang kala saya marahkan sikap anak-anak saya yang tak mahu
mendengar kata. Kadang-kadang seorang ibu dia akan tercabar apabila anak tidak
mahu mendengar kata-katanya. Adat manusia ni pula bila kita marah kita akan
melakukan apa saja untuk memuaskan kehendak hati. Kadang-kadang apa yang kita
cakap tu tanpa sedar menyakitkan hati orang lain. Tapi selepas itu kita sendiri
yang akan sedar patut atau tidak perbuatan kita tu. Kalau awak tak cuba
mengubah keadaan ini, sampai bila-bila pun keadaan takkan berubah. Rina, kalau
diizinkan ALLAH awak juga akan bergelar seorang ibu suatu hari nanti. Waktu itu
barulah awak sedar betapa susahnya menjadi seorang ibu yang adil dan memahami
anak-anak tanpa sedikit pun kesalahan dimana-mana. Hakikatnya seorang emak juga
hanya manusia biasa yang mempunyai batas kesabaran yang terhad. Antara Rina dan
orang tua awak, awaklah yang harus merendahkan diri meminta maaf pada orang tua
awak. Besar ganjarannya bagi orang yang mengalah untuk menjaga silaturrahim ni,
Rina. Biarlah apa pun pandangan emak dan ayah awak tapi awak harus yakin ALLAH
bersama dengan orang yang benar. Percayalah..”
Aku terdiam mendengar bicaranya itu. Semudah itukah?
Bolehkah fitnah yang melanda diri ku dapat dihapuskan? Bolehkah air muka ku
dibersihkan dengan begitu sahaja? Atau semua itu akan terus menjadi ungkitan
nanti?
“Rina, maafkanlah mereka. Apa saja yang berlaku sekalipun
mereka tetap mak dengan ayah awak. Mengalahlah pada mereka. Memang kalau saya
ditempat awak sekalipun saya akan berkecil hati dengan apa yang berlaku tetapi
menyimpan dendam tidak akan membuatkan kita menang, Rina. Hati takkan tenang
kalau kita memusuhi ibu dan ayah kit sendiri. Kalau awak tak berusaha
membersihkan nama awak pada mereka, siapa lagi yang akan buat begitu? Lagipun
dalam keluarga awak bukan semua orang bencikan awak. Awak harus fikirkan
adik-adik awak yang selama ini berpihak pada awak terutamanya Qistina. Tanpa
usaha dia, awak takkan mampu ke universiti..”
Aku mula dihambat rasa terkejut apabila mendengar nama
Qistina disebut oleh Puan Kalsom. “Tina? Apa kena mengena semua ini dengan
Tina?” soal ku tidak mengerti.
Puan Kalsom tersenyum seketika. “Salinan surat beranak
yang awak dapati tu memang dari saya tapi salinan yang ada pada pihak sekolah
tidak ada cop pengesahan JPN. Rasanya awak tentu tahu yang boleh mendapatkan
pengesahan JPN pada surat beranak itu hanya pemilik salinan itu sendiri iaitu
emak dan ayah awak sendiri. Salinan yang ada pada awak tu sebenarnya didapatkan
oleh Qistina bagi pihak saya. Macamana dia dapatkannya rasanya baik awak tanya
sendiri pada dia..” terang Puan Kalsom. Ada sedikit provokasi agar aku pergi
mendapatkan penjelasan dari Qistina tentang hal itu.
Aku terdiam menelan hakikat yang baru ku ketahui ini.
Lama aku memandang guru di hadapan ku itu. Kelu lidah ku untuk menjawabnya.
Tidak sangka adik ku itu sanggup berkorban untuk ku biarpun emak dan abah sudah
membuang aku dari hidupnya.
“Lagipun Qistina kadang-kadang ada bertanya pada saya
samaada awak ada hubungi saya selama ini. Saya rasa dia tentu rindukan awak
sebagai kakak dia. Jumpalah dia, Rina. Apa sahaja yang berlaku pada awak itu
takde kena mengena dengan adik-adik awak yang lain,” tambah Puan Kalsom lembut.
“Saya tahu Tina memang adik yang baik..”
“Kalau awak dah tahu itu sanggup ke awak biarkan adik
awak ternanti-nanti kepulangan awak? Kalau awak tak sanggup menunjukkan muka
pada mak dan ayah awak sekurang-kurangnya jumpalah adik awak yang langsung
takde kena mengena dengan masalah ini. Dia tak bersalah, Rina.”
Aku mengangguk perlahan mengakui kebenaran kata-kata Puan
Kalsom itu. Memang selama ini Qistina sering membela aku apabila aku dimarahi
oleh emak. Malah dia pernah patah beberapa jarinya akibat bergaduh dengan emak
kerana mahu membela aku yang dipukul emak. Memikirkan Qistina hati ku tiba-tiba
sayu. Ya! Aku juga rindukan dia.
Setelah tiga jam bersama dengan Puan Kalsom aku berlalu
dari kawasan sekolah itu. Ketika aku menggerakkan kereta keluar dari sekolah
sebuah tekad sudah ku tanamkan ke dalam diri ku. Aku mahu mengikuti nasihatnya.
Hala tuju seterusnya ku halakan ke arah kampung yang sudah lama aku tinggalkan.
Rentak dada usah diceritakan lagi apabila semakin aku menghampiri kawasan rumah.
Jalan-jalan yang sering ku lalui untuk ke sekolah dahulu segalanya masih sama.
Tidak banyak berubah. Cuma di simpang masuk ke kampung tadi aku perasan ada
sebuah stesen minyak yang sebelum ini setahu ku tiada. Mungkin baru dibina.
Betapa aku merindui kampung halaman yang aku diami selama
sembilan belas tahun dahulu. Namun sebaik sahaja mata ku melihat perkarangan
rumah yang pernah mencatatkan suka duka kehidupan ku suatu masa dahulu kenangan
lama itu terus mengasak diri ku. Aku hanya terpaku di dalam kereta yang
terpakir di seberang jalan bersetentang dengan jalan masuk ke rumah itu. Setiap
pelusuk halaman rumah itu aku tatapi dengan hati yang sayu. Satu persatu
kenangan lama yang memedihkan kembali mengasak memori ku. Kekuatan yang terbina
sebelum ini meroboh sedikit demi sedikit. Hati ku terus terluka. Betapa
sedihnya mengenangkan diri yang terbuang jauh dari keluarga. Mahukah emak dan
abah menerima aku semula? Layakkah aku menjejakkan kaki ke rumah itu semula?
Lama aku membatu di dalam kereta tanpa membelokkan kereta masuk ke perkarangan
rumah. Mengenangkan sikap emak dan abah dahulu aku semakin dipayungi kesedihan
sehingga mata ku berkaca. Betapa sungguh tidak adil kepada ku. Apakah kurangnya
diri ku sehingga aku dihalau pergi tanpa diberikan peluang yang adil untuk aku
membela diri ku?
“Intan tak mahu
kahwin dengan Jabar!!!”
Pekikan ku bergema di serata rumah akibat tidak tertahan
dengan paksaan emak. Kali ini aku nekad. Apa nak jadi, jadilah. Aku tidak rela
menyerahkan diri ku kepada lelaki dayus, binatang dan bajingan seperti Jabar.
Aku tidak rela memusnahkan hidup untuk lelaki bernama Jabar itu. Selagi mereka
berkongsi darah dan keturunan yang sama aku tidak rela mereka mendekati apatah
lagi menjamah tubuh ku. Sama sekali tidak!
Aku dan emak saling berhadapan bagaikan siap bagaikan
mahu bertempur. Hakikatnya aku akan tetap dengan pendirian ku dan emak sudah
pastilah tidak akan mengalah dengan pendirian ku. Emak hendak mengalah?
Mimpilah!
“Anak kurang ajar! Kau nak melawan cakap aku? Kau tu dah
hancur dikerjakan dek Jabar tu masih tak mahu kahwin. Kau ni memang celaka! Ini
ke balasan kau pada kami setelah kami besarkan kau selama ni?” tempik emak
hilang sabar.
“Mak
nak cakap apa mak cakaplah! Intan
dah lali dengan ungkitan emak tu. Tapi kalau mak nak paksa Intan kahwin dengan
Jabar Intan tak mahu! Intan tak mahu! Lebih baik Intan mati aja daripada Intan
kahwin dengan Jabar tu,” aku terus memekik kepada emak. Sesungguhnya kesabaran
ku saat ini sudah semakin menipis. Aku redha jika emak tidak sanggup
menyekolahkan aku lagi. Aku redha jika emak melebihkan Fariz. Aku redha jika
emak tidak sayangkan aku selama ini namun aku tidak mampu menerima keputusan
emak yang satu ini. Berkahwin dengan Jabar biarpun hari ini atau ketika hanya
dia satu-satunya lelaki yang tinggal di atas dunia ini, sama sekali tidak!
“Kalau
kau bunting nanti siapa nak tanggung anak kau? Kau nak memalukan aku dengan
abah kau dengan bawa anak tak berbapak dalam perut kau tau?” emak menjerkah aku
kembali. Dia bercekak pinggang menunggu masa mahu membelasah aku.
“Intan
takkan mengandung sebab Intan tak pernah bagi Jabar apa-apa. Dia boleh cerita apa yang dia nak tapi Intan tahu Intan
di pihak yang benar. Demi ALLAH, Intan tak pernah berzina! Sama sekali tak
pernah!”
“Habis tu kenapa Jabar buat cerita macam ni? Apa yang tak
kenanya Intan dengan dia sampai dia boleh buat macam ni?” abah yang masih boleh
bertenang bertanya kepada ku mengenai hal yang sebenarnya.
Aku terus menangis di hadapan abah. Entah kenapa aku
sebak dengan suara lembut abah. Hanya abah sahaja harapan ku untuk melepaskan
diri dari dipaksa emak saat ini. Sekali ini aku amat berharap agar abah boleh
bertindak sebagai ayah dan melindungi aku sebagai anaknya.
“Intan minta putus dengan dia sebab dia nak...” aku tidak
jadi mahu meneruskan bicara. Tidak sanggup mahu menyebut semula apa yang Jabar
mahukan dari ku sebelum ini.
“Dia nak apa?” soal abah tidak sabar.
“Dia ajak Intan buat benda tu waktu malam tahun baru.
Intan tak mahu. Malam tu juga kami putus sebab Intan tak boleh terima dia lepas
Intan tahu perangai dia yang sebenarnya..” luah ku dalam tangisan yang sayu.
“Awak percayalah apa yang dia cakap tu. Kita sikit pun
tak percaya! Kalau takde angin takkan pokok boleh bergoyang? Awak tengok anak
jantan awak kat dalam bilik tu apa dah jadi? Tengok dia!!! Semua ni sebab budak
celaka ni!” emak berkata kuat kepada abah sambil menunding ke arah bilik Fariz.
Di dalam bilik itu Fariz terlantar setelah teruk di belasah Jabar dan
kawan-kawannya.
Abah mengeluh buntu dengan desakan emak dan rayuan aku.
Aku lihat wajahnya kian serba salah dan buntu. Antara mahu mempercayai aku dan
desakan emak aku lihat abah kian tersepit.
“Abah, kita boleh telefon polis. Jabar
dah pukul Fariz. Ini dah menyalahi undang-undang..” Qistina mulai masuk campur.
“Cakap
senanglah! Lepas telefon polis nanti macamana kita nak mengadap keluarga Jabar
tu? Dulu akak kau dah buat pada keluarga Zaki sekarang pada keluarga Jabar
pulak. Kau memang nak kita
ni dimusuhi oleh orang ramai ya? Kau
suka kalau orang ganggu keluarga kita sebab berdendam dengan kita? Pakai otak
sikit, Tina!!!” kali ini suara emak meninggi kepada Qistina pula.
“Tapi ini soal penganiayaan, mak. Mak kena fikirkan
Kak Intan jugak. Takkan mak nak percaya cerita orang sampai menuduh anak
sendiri buat perkara yang tak betul tu. Mak rasa Kak Intan semurah itu ke?”
Qistina membidas tindakan emak.
“Kalau tak betul takkanlah semua orang bercerita..”
“Orang yang bercerita tu nampak ke apa yang Kak Intan
dengan Jabar buat? Atau diorang semua pun kutip cerita karut Jabar?” Qistina memintas sebelum emak melontarkan hujahnya.
“Kau jangan pandai-pandai nak mengajar aku, Tina. Kau tu
budak-budak lagi. Aku tengah bercakap dengan kakak kau ni. Naik angin aku ni
nanti teruk korang semua hari ni aku kerjakan. Jangan nak mencabar sangat.
Makan pun mak bapak masih bagi lagi dah nak mengajar mak bapak!” emak yang
hilang sabar dengan pertikaian Qistina terus mengherdik adik perempuan ku itu.
“Sudahlah! Kita ni nak selesaikan masalah, bukannya nak
menambah masalah. Cuba bawak bertenang
masing-masing..” abah membentak keras kerana tidak tahan dengan pertelingkahan
emak dan Qistina.
“Selesaikan elok-elok, abah. Jangan
nanti kerana nak jaga air muka depan orang lain abah dengan emak hancurkan
hidup anak sendiri. Jabar tu bukannya lelaki yang baik. Fariz pun cakap macam
tu.”
“Diam, Tina!” suara abah mula mengeras kepada Qistina.
“Abah, Intan tak mahu kahwin dengan Jabar. Intan tak
sanggup hidup dengan dia. Tolonglah, abah..” aku kembali merayu kepada abah.
Aku tidak sanggup dipaksa berkahwin dengan Jabar. Paling tidak mahu menggalas
kesalahan yang sama sekali tidak pernah aku lakukan. Bagaimana untuk aku
berkahwin dengan lelaki itu jika aku jijik kepadanya?
“Tapi Intan dengan dia dah terlanjur..” abah memujuk
lembut.
“Intan tak pernah buat macam tu!! Tolonglah!! Kenapa
semua orang tak mahu percayakan Intan!” jerit ku bagi meluahkan tekanan yang
semakin menekan perasaan ku saat ini. Apa istimewanya Jabar itu sehingga emak
dan abah lebih mempercayai dia berbanding aku?
“Kau ingat aku nak percaya kalau kau terpekik-pekik macam
ni? Mulut tu kalau dah biasa
membohong memang susah nak buang tabiat tu. Apa kau cakap pun orang dah tak
percaya lagi !” celah emak lantang.
“Mak, terpulang emaklah nak cakap apa tapi kali ni Intan
bercakap benar. Demi ALLAH, Intan
tak pernah buat apa-apa dengan Jabar. Intan sanggup junjung Al Quran, mak!”
tegas ku terus mempertahankan diri ku.
“Dah jadi macam ni barulah nak ingat Al Quran semua. Eh!
Tuhan pun tak inginlah nak tengok orang macam kau ni. Dah buat kerja terkutuk tak
mahu mengaku pulak. Siap nak junjung Al Quran segala. Meluat aku dengan kau ni.
Dari dulu tak habis-habis nak menyusahkan mak bapak! Buat malu aku aja ada anak
macam kau ni!” tempik emak terus-terusan mencemuh aku.
“Intan, abah dengan mak tak tahu siapa yang harus kami
percaya. Masalahnya seluruh kampung dah tahu tentang hal ini. Mana abah nak
letak muka? Kalau Intan menolak Jabar sekarang mana lelaki yang mahukan Intan
lepas tahu apa yang berlaku ni? Intan kena fikir tentang itu,” abah sekali lagi
memujuk aku.
“Abah pun sependapat dengan mak? Abah rasa Intan sekeji
itu? Selepas apa yang Zaki buat pada arwah Syuhadah, Intan tak pernah terdetik
pun nak keluar dengan mana-mana lelaki sebab Intan fobia tetapi emak yang paksa
Intan keluar dengan Jabar. Abah pun paksa Intan untuk menyenangkan hati mak
sedangkan Intan sikit pun tak sukakan Jabar. Adil ke untuk Intan ni, abah? Kalau
mak dengan abah tak paksa Intan kawan dengan dia dulu semua ni takkan jadi
macam ni! Intan tak nak dia!” dihujung ayat itu nada suara ku terus meninggi.
“Tak
payah nak ungkit bangkit pasal keadilan sekarang. Kalau setakat cakap-cakap
kosong macam ni siapa nak percaya kau? Apa faedahnya si Jabar tu nak menceritakan perkara aib macam ni pada semua
orang? Itu aja dah cukup jelas siapa yang membohong siapa yang tidak!” suara
emak kedengaran lagi. Kelantangannya tidak mahu kalah dengan ketegasan ku
membela diri.
“ALLAH tahu dan ALLAH melihat apa yang berlaku. Intan
tahu Intan dianiaya. Intan berserah pada ALLAH untuk tentukan masa depan Intan
tapi apa yang jelasnya buat masa ini Intan tidak mahu berkahwin dengan Jabar.
Langkah mayat Intan ni kalau abah nak paksa Intan untuk kahwin dengan lelaki
jahanam tu!” tegas ku terus melawan keputusan emak dan abah itu.
“Sekarang baru nak cakap pasal Tuhan. Sebelum ni seronok
buat maksiat!”
“Intan
tak buat maksiat dengan dia! Intan
takkan maafkan sesiapa yang menuduh Intan tanpa usul periksa. Demi Tuhan Intan
takkan maafkan sesiapa yang menuduh Intan selagi dia tak melutut di hujung kaki
Intan ni untuk minta maaf, mak. Termasuklah emak dan abah! Hari ni, Intan sedar
hidup Intan dah musnah dan Intan takkan maafkan sesiapa yang memusnahkan hidup
Intan! Kita tengoklah nanti. Siapa yang benar siapa yang salah ALLAH akan
buktikan juga!” aku melafazkan kata-kata itu dengan juraian air mata. Hancur
hati ku kerana aku sedar emak dan abah bukanlah pelindung ku lagi sebaliknya
pemusnah!
“Kau ingat aku nak sujud di hujung kaki kau? Tolong sikit,
Intan Nur Darina!” degus emak sinis. “Aku mak kau! Kau yang kena sujud di kaki
ni untuk minta maaf bukannya aku yang kena sujud di kaki kau. Siapa kau sampai
aku kena menyembah kau?” tambah emak dengan cukup angkuh.
“Cakaplah apa yang mak suka. Intan tahu mak sebenarnya
memang takkan pernah mengaku kesalahan mak. Mak ego dan bongkak dengan kuasa
veto emak sebagai seorang ibu. Tapi hari ni Intan minta ampun dan maaf, mak.
Intan takkan biarkan sesiapa tentukan hidup Intan lagi termasuklah emak dan
abah. Keputusan Intan hanya satu. Intan takkan kahwin dengan Jabar! Muktamad!”
“Kau nak mencabar aku ya, Intan? Kau ingat kau dah besar
kau boleh buat sesuka hati kau? Kau
salah orang! Aku ni mak kau dan kau tu anak aku! Apa yang aku buat itu semua
untuk kebaikan kau tapi kalau kau dah tak mahu nak mendengar kata-kata aku lagi
lebih baik kau berambus dari rumah ni. Ambil kain baju kau! Berambus!!!! Aku
tak perlu anak macam kau. Anak macam kau bersepah aku boleh kutip tepi jalan.
Aku pun nak tengok setakat mana kau boleh pergi tanpa mak bapak. Aku nak tengok
sejauh mana kau boleh berjaya dengan menderhaka pada mak bapak! Sekarang ni
kalau kau rasa cara aku membesarkan kau tak betul pergilah cari hidup kau
sendiri. Rumah ni pun dah tak sesuai lagi untuk kau. Pergilah cari mak bapak
yang lain yang boleh layan kau lebih baik dari kami. Pergi! Jangan
balik lagi ke sini.” Tegas emak dengan mata yang melolot garang.
Nah! Inilah bahagian yang aku rasa memang sangat
dinanti-nantikan emak. Sesungguh saat ini hati ku sudah hancur semakin lumat
dengan keputusan emak mahu membuang aku. “Sampainya hati emak buat Intan macam
ni. Apa salah Intan, mak?” juraian air mata sudah tidak dapat ku kawal. Aku
tidak sangka emak sanggup membuat aku begini.
“Kau sendiri fikir apa salah kau? Tak perlu aku nak sebut
satu persatu. Kau pun dah cukup besar dah cukup pandai untuk buat keputusan
untuk diri kau. Kalau kau tak mahu ikut cara aku kau boleh pergi mana yang kau
suka. Kau nak duduk dalam rumah ni lagi, kau kena kahwin dengan Jabar. Kalau
tidak kau berambus!” putus emak tanpa sedikit pun mahu bersimpati dengan ku
atau mempertimbangkan rayuan aku.
“Mana Intan nak pergi, mak. Inilah rumah Intan..”
“Pergilah mana-mana yang kau suka. Aku tak perlu anak
macam kau!” pintas emak tanpa mahu berkompromi lagi.
Aku menangis sayu di ruang tamu itu. Aku tidak sangka
pendirian emak senekad itu. Kerana orang luar emak sanggup membuang aku dari
hidupnya. Dalam deraian air mata aku memandang abah. cuba aku tagih simpatinya
pula. “Abah.. tolonglah, Intan..” aku cuba merayu kepada abah pula.
“Berambus!!! Kau jangan nak menangis kat sini. Jangan nak
buat muka kasihan kat sini. Yang lain jangan sesiapa cuba nak tolong dia. Kalau
sesiapa tolong dia nahas korang nanti! Aku nak tengok anak yang melawan cakap
aku mana dia boleh pergi. Berambus sekarang!” emak tetap nekad dengan
keputusannya.
Abah hanya terpaku memandang aku. Dia kekeluan dengan
keputusan emak dan keadaan diri ku saat itu. Sesungguhnya saat ini aku sedar
tiada sesiapa lagi yang boleh membantu aku.
“Apa kau tunggu lagi? Kau nak aku campak kain baju kau
keluar baru kau nak pergi? Pergi ambil kain baju kau sekarang, Darina!!!”
jerkahan emak semakin kuat sehingga terkejut adik-adik ku.
“Mak,
kasihankan Kak Intan. Kenapa mak buat akak macam ni?” Qistina cuba juga membela aku. Wajahnya memerah dan
matanya berkaca melihat keadaan diri ku. Simpati yang kian melaut dilahirkan
dengan lelehan air matanya.
“Kau kalau nak ikut dia kau boleh bungkus kain baju kau
juga. Aku tak perlu anak-anak yang tak mahu mendengar kata-kata aku ada dalam
rumah. Korang rasa aku ni sebagai mak tak bagus untuk korangkan? Sekarang
sesiapa yang rasa dah tak suka nak duduk dengan aku boleh angkat kaki,
jalan!!!” bentak emak keras.
Aku
bergerak masuk ke bilik dengan tubuh yang longlai. Aku sedar Qistina menangis
melihat keadaan diri ku saat ini namun aku sebagai saudara kandungnya aku sama
sekali tidak ingin melihat dia menghancurkan hidupnya hanya kerana sayangkan
aku.
“Jaga diri Tina baik-baik. Belajar rajin-rajin, dik.
Jangan risaukan akak..” pujuk ku kepadanya. Hancur hati ku melihat dia menangis
sayu begitu. Aku amat menghargai dia yang selama ini selalu membela aku. Dia
yang selalu memahami aku.
“Tina tak sanggup tengok akak macam ni. Biar Tina ikut
akak..”
“Jangan Tina! Tina masih ada masa depan. Akak mahu Tina
belajar rajin-rajin. Jangan musnahkan masa depan Tina kerana akak. Akak akan
bina hidup akak sendiri. Insyaallah, akak akan kuat. Tina jangan bimbangkan
akak. Jaga mak dengan abah ya? Jangan jadi macam akak..” pujuk ku namun saat
ini aku sendiri tidak mampu lagi menahan luka di hati ku. Air mata tidak
putus-putus berjuraian di pipi. Sebenarnya biarpun aku berkata begitu kepada
Qistina namun dunia ini ku rasakan kelam sekali. Aku tidak tahu apa yang harus
aku lakukan untuk terus hidup selepas ini.
Dengan sebiji beg di bahu aku menghadap emak yang enggan
memandang aku. Aku meraih tangannya. Bukannya aku mengharapkan dia menarik
kembali keputusannya tetapi cukuplah sekadar dengan doa yang baik dari seorang
ibu bagi mengiringi aku yang bakal memulakan hidup di luar sana sendirian setelah
sekian lama aku berpayung dibawah kederat kedua ibu bapa ku.
“Intan minta ampun segala dosa-dosa Intan, mak. Intan
minta ampun...” tidak dapat ku tahan kesedihan aku terjelepuk dan sujud di kaki
emak. Tiada reaksi emak saat itu. Dia hanya membatu sahaja membiarkan aku.
Puas menangis di kaki emak aku pergi menghadap abah pula.
Abah seperti tadi dia terkaku tidak tahu mahu berbuat apa. Aku mahu diraihnya
namun tindakannya terhenti apabila terdengar lagi suara emak. “Biarkan dia!
Jangan ditolong dia. Aku nak tengok sejauh mana kau boleh pergi. Berambus
sekarang, Intan! Jangan tunjuk muka kau di sini lagi dan jangan sesekali kau
nak minta tolong dengan aku lagi. Kau binalah kehidupan kau sendiri. Ini yang
kau pilih jadi kau terimalah nasib kau sendiri,” kata emak lantang.
“Nab..
janganlah sampai begitu sekali..” bergetar
suara abah dalam pada memujuk emak.
“Biarkan dia! Biar dia tahu langit ni tinggi ke rendah.
Awak kalau awak tolong dia, kita takkan duduk kat rumah ni lagi! Awak pilih,
dia atau kita..” ancam emak kepada abah. Terus terdiam abah dibuatnya.
Aku akur dengan pendirian emak. Tiada kata dari abah
lagi. Tiada kata dari Qistina dan adik-adik ku yang lain namun mereka menangis
melihat aku tanpa secebis pun keberanian untuk mendapatkan aku. Sebelum aku
keluar dari rumah aku sempat menoleh semula ke dalam rumah dan mata ku
terpandangkan Fariz sedang memandang aku dari pintu biliknya. Dalam keadaan dia
tidak berdaya begitu dia hanya mampu menghulurkan tangan kepada ku agar aku
mendekatinya. Namun apabila kaki ku sudah mencecah tangga rumah sudah tiada apa
lagi yang membuatkan aku mampu untuk berpatah kembali ke belakang walaupun
salah seorang adik ku meminta aku agar tidak meninggalkannya dan itulah kali
terakhir aku melihat Fariz...
Pon! Pon! Hayalan ku tersentak apabila terdengar hon dibunyikan
dua kali di sisi kereta itu. Aku segera menyeka air mata sebelum menoleh.
Sebuah kenderaan pick up jenis Nissan Navara berhenti bersebelahan dengan
kereta ku. Apabila cermin kereta itu diturunkan oleh pemandunya aku lihat
dengan jelas wajah abah yang terjengul. Abah memandang ke arah ku dengan reaksi
wajah yang penuh dengan tanda tanya namun aku tahu dia tidak nampak aku di
dalam kereta itu kerana cermin kereta itu berwarna sedikit gelap. Aku terpaku
memandang abah. Sudah pasti dia hairan melihat ada kereta yang terpakir di
seberang jalan berhadapan dengan jalan masuk ke rumah emak dan abah. Aku
perasan, nampaknya abah sudah ada kereta baru.
Oh! Betapa selama ini aku harus mendaki tangga kehidupan
sendirian di rantau orang tanpa sesen pun bantuan dari abah dan emak selama
ini. Aku berkerja keras menayang wajah di pentas peragaan semenjak lima tahun
lalu untuk mendapatkan sesuap nasi tetapi abah sekarang sudah memiliki kereta
baru yang mahal harganya. Tanpa kehadiran aku sebagai anak yang banyak
menyusahkan emak dan abah, mereka sudah boleh hidup lebih baik berbanding
dahulu. Saat ini semakin aku merasakan bahawasanya aku sememangnya tidak pernah
memiliki tempat lagi dalam keluarga ini. Aku sudah lama tersingkir jauh.
Mungkin sebenarnya nama ku sudah tidak wujud lagi dalam hidup mereka. Tanpa aku
pun mereka boleh menikmati hidup dengan selesa tanpa perlu bertangis duka.
Akhirnya dengan perlahan aku menghidupkan enjin kereta
tanpa mahu menunjukkan diri kepada abah yang masih menjenguk untuk melihat ku.
Tanpa menunggu sesaat pun lagi Proton Waja itu aku gerak untuk meninggalkan
Nissan Navara itu bersama pemiliknya. Tekad yang aku tanamkan tadi berkubur
juga akhirnya. Luka yang pernah aku rasa kini kembali berdarah semula.
Teringatkan kata-kata emak dahulu, ‘jangan tunjuk muka kau di sini lagi dan
jangan sesekali kau nak minta tolong dengan aku lagi,’ aku teresak sayu. Aku
sedar tempat untuk ku di sisi mereka sebenarnya sudah lama tiada. Aku bukannya
sesiapa kepada mereka..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan