Keluar makan dengan Menaci,
Terserempak pula dengan
si Mutu,
Jangan sesekali berkata
benci,
Jika hati sudah diusik rindu.Selepas kuliah tamat pada jam 2 petang kami berdua lebih senang melepak di perpustakaan di bangunan St Edmund College untuk menelaah pelajaran. Aku sendiri masih sibuk di rak sambil mencari buku yang diperlukan, sementara Ameena sudah duduk selesa di meja.
Sedang asyik membelek sebuah buku dia tiba-tiba terbau
sesuatu yang harum berhampiran dengan ku. Bau harum itu lebih kepada bau minyak
wangi lelaki. Dengan pantas aku menoleh ke sisi. Tersentap aku seketika menahan
debar apabila melihat lelaki yang berdiri di sisi ku itu.
Esteban mempamirkan senyuman meleretnya kepada ku. Aku
berlagak selamba sahaja kepadanya. Namun tidak mampu disangkal ketenangan hati
ku mulai berkocak dengan kehadiran lelaki itu. Untuk apa Esteban ada di sini?
Perpustakaan ini untuk pelajar-pelajar kursus perakaunan sedangkan falkulti Estaban berada
di bangunan Gonville and Calius College bersebelahan dengan bangunan ini.
“Perempuan Melayu yang cantik..” Estaban tiba-tiba menunjukkan
kebolehannya berbahasa melayu.
Aku
sengaja mengerutkan kening tanda kabur dengan sikap lelaki itu. Sebahagian diri
ku memang terasa mahu tergelak berguling-guling mendengar pelat Estaban.
“Awak
nak apa?” soal ku tetap berbahasa inggeris kepadanya. Percuma sahaja pun aku bercakap melayu dengan mangkuk
ayun ni.. sebab aku tahu dia hanya tahu beberapa patah perkataan itu sahaja.
Itu pun mungkin dia mempelajarinya beberapa minit yang lalu. Entah siapalah yang
baik hati mengajar Estaban dua patah kata itu.
“Perempuan cantik.” Sekali lagi Estaban berkata dalam
bahasa melayu.
Aku terus memandangnya hairan. Aku benar-benar tidak
faham apa yang dimahukan lelaki ini. Mahu perempuan cantik? Dia ingat aku ni
ejen cari jodoh ke? Tak pun mak ayam? “Saya bukan perempuan cantik. Awak dah salah
orang..” balas ku sambil mengalihkan perhatian kepada buku di tangan ku semula.
Semoga Estaban faham yang aku tidak berselera mahu melayaninya.
“Saya nak ajak awak keluar dengan saya.” Esteban mula
menukar dialeknya semula saat mengajukan ajakan itu.
“Saya tak mahu!” jawab ku spontan sambil meletakkan
kembali buku itu ke rak. Aku tahu aku harus segera menjauhkan diri dari lelaki
ini demi kebaikan ku sendiri. Estaban tidak pantas untuk ku dekati apatah lagi
dalam keadaan kami sama-sama masih dalam tangga pengajian. Aku tidak mahu
merisikokan masa depan ku dengan membiarkan hati ku terusik kepada lelaki
persis ini. Sementelah aku memang cukup tahu Estaban memang suka mempermainkan
perempuan. Aku sedar aku harus gigih untuk mengejar ilmu di sini kerana bukan
mudah untuk kami mencapai tempat terbaik di Cambridge ini. Persaingan amat sengit di sini. Kesemua pelajar yang ada
memang cemerlang.
“Kenapa?” Esteban bertanya lembut.
“Sebab saya takde sebab untuk keluar dengan awak. Tolong
ke tepi, saya nak lalu.” Aku cuba untuk berlalu tetapi Estaban dengan pantas
menghalang dengan meletakkan tangannya di kiri dan kanannya bagi menghalang laluan
ku. Lorong di antara rak itu yang agak sempit dan rak itu yang disusun rapat ke
dinding telah membuatkan aku terkandang di situ tanpa dapat mencari jalan
keluar yang lain. Gelagat Estaban benar-benar membuatkan aku terasa mahu
menjerit untuk meluahkan rasa marah yang sudah meruap-rupa. Tetapi masalahnya
kami sedang berada di dalam perpustakaan. Terpaksalah ditahan hatinya yang
bengkak.
“Jangan
ganggu sayalah, Estaban. Saya tak suka. Tolong ke tepi!” aku sekadar mampu membentak
dengan nada tertahan.
“Keluar dengan saya. Kita pergi makan dan berjalan-jalan.
Saya nak dating dengan awak.” Estaban sekali lagi
mengulangi kemahuannya tanpa mahu berkompromi.
“Saya
tak nak! Awak tak faham bahasa inggeris? Saya tak pandai berbahasa lain selain dari itu. Saya belum lagi belajar
bahasa awak. Jadi tolong jangan buang masa saya. Saya malas nak layan awak!”
masih dengan bentakan yang tertahan aku menolak ajakan itu.
Estaban tenang sahaja dengan senyum menggoda. Dia
memandang ku lembut tetapi aku membalasnya dengan pandangan tajam. Sedikit pun
aku tidak tergoda dengan renungan lelaki itu. Satu perkara lagi yang aku tidak
suka dengan lelaki ini adalah mengenai rambutnya. Estaban yang berambut
keperangan menyimpan rambut panjang sehingga ke tengkok persis seorang romeo. Aku pula lebih suka lelaki yang berpenampilan matang dan
kemas. Bukannya romeo biarpun hati ku sering mengakui lelaki ini memang cukup
tampan.
“Awak cuma membazir masa saya. Tepilah!” Aku cubaa
menolak tubuh Estaban apabila lelaki itu tetap enggan mengalah.
Esteban tergelak suka apabila tolakan itu tidak
mendatangkan apa-apa hasil. Sebaliknya berdua mula berdiri rapat. Peluang yang
datang segera digunakan oleh Estaban sebaiknya. “Saya dah lama sukakan awak.
Boleh jadi teman wanita saya?” bisik Estaban lembut.
“Saya tak suka awak langsung!” balas ku selamba sambil
menolaknya lagi tetapi Estaban masih juga tidak berganjak dari situ. Geram
sungguh aku dengan kelakuan Estaban. Seperti mahu mendidih darah ku melihat
sengih nakalnya.
“Tepilah! Saya jerit nanti awak juga yang susah!” aku
mula melemparkan ugutan itu dengan tegas agar lelaki miang ini mengerti yang
aku tidak main-main.
“Kalau
awak menjerit saya cium awak nanti. Saya tak kisah dihalau keluar dari sini
asalkan saya dapat apa yang saya angankan. Jeritlah!” dia membalas semula
dengan muka selamba. Ugutan ku itu kedengaran amat tidak laku untuknya. Aku pula
yang seriau mendengar ugutannya semula.
Cium?
Yeak! Menjijikkan sungguh. Melihat lelaki itu yang sememangnya tidak reti
bahasa aku akhirnya bertindak nekad memulakan tindakan. Tubuh lelaki itu ku rempuh kuat. Estaban terdorong
sedikit ke belakang. Dia sempat ketawa kecil dengan gelagat ku. Malas mahu
melihatnya lagi, aku terus berlalu ke meja belajar. Semua orang kelihatan
sedang sibuk mengulang kaji pelajaran tetapi Estaban sibuk menggatal pula.
Aku sangka semuanya akan berakhir di situ. Namun tidak! Tidak
berjaya kali itu Estaban berusaha lagi kali ini. Tumpuan belajar aku pula yang
sengaja diganggunya. Lelaki itu sengaja duduk berhadapan dengan ku selang
beberapa barisan meja dari tempat aku dan Ameena belajar. Dia sengaja duduk menghadap
kepada ku agar dirinya kelihatan di pandangan mata ku.
Aku mula lemas melihatnya. Aku cuba juga untuk tidak mengindahkannya
tetapi gagal. Aku benar-benar tidak selesa apabila Estaban duduk merenung
kepada ku dari tempat duduk lelaki itu. Menyampah dengan kelakuannya akhirnya aku
bangun dan berpindah duduk berhadapan dengan Ameena dan sekaligus membelakangi Estaban.
Ameena memandang hairan dengan kelakuan ku yang tidak tentu arah itu.
“Ada setan kacau!” bisik ku teramat perlahan. Jikalau
pengawai perpustakaan itu mendengar suara kami akibatnya mungkin kami terpaksa
belajar di kaki lima perpustakaan sebagai hukumannya.
Ameena menahan tawa apabila ternampak orang yang dimaksudkan
oleh ku. Tanpa mempedulikan lelaki itu kami tetap meneruskan ulang kaji. Tetapi
keamanan itu hanya seketika menjadi milik ku. Aku pantas menoleh apabila
terdengar kerusi yang kosong bersebelahan dengan ku ditarik seseorang. Bagaikan
mahu pengsan aku apabila melihat dengan selambanya Estaban mula berpindah duduk
bersebelahan dengan ku. Ameena turut memandang kelakuan Estaban dengan mata
buntang. Dia juga terkejut dengan keberanian lelaki itu. Kemudian dia mula
menunjukkan muka tidak senangnya kepada ku bagaikan meminta aku segera
‘menguruskan’ lelaki tidak tahu malu itu. Dia sendiri sudah mula terasa
terganggu.
Aku menghela keluhan keras. Apa lagi yang dia nak ni? Bentak
hati ku sebal. Sakit betul hati ku dengan perbuatan lelaki itu. Bila masanya
aku dapat merasa hidup aman tanpa gangguan? Lelaki itu pula dengan lagak
machonya tersenyum mahu menggoda. Aku cuba bertahan dengan membiarkan Estaban
begitu sahaja. Bukannya apa.. bimbang juga aku jika akhirnya aku kalah dengan
kepakaran Estaban yang sememangnya amat pakar memikat perempuan. Oh, tidak!
Estaban memulakan agendanya. Hujung lengan baju ku
dikuis-kuisnya sambil memerhatikan aku. Aku menoleh dengan renungan tajam. Tetapi
dia tersenyum sambil membuat gerak bibir yang dapat ku fahami. Katanya I love
you..
Aku menggeleng seketika sambil mencapai kertas memo pad
di hadapan ku, lalu aku coretkan sesuatu dengan pantas di atas memo pad itu. Selesai
itu kertas itu ku serahkan kepada Estaban dengan harapan selepas membaca mesej
itu dia akan segera mengerti dan pergi jauh dari ku.
+Stay away from me! I’m not intrested with you!
Estaban
membacanya. Dia tersenyum biasa. Seketika kemudian dia mencapai pen di tangan
ku lalu mencoretkan sesuatu di atas memo pad yang sama lalu dikembalikan semula
kepada ku. Dia tersenyum meleret saat aku memandangnya. Aku menjeling lagi.
Tidak enak benar rasa di dada ku saat melihat senyuman lelaki itu.
-I don’t care. Dinner with you tonight,
please…
Aku
menggeleng sebal setelah membacanya. Memo pad itu ku ramas dan dengan selamba aku lemparkan kepada Estaban. Malas
melayan, aku kembali menumpukan perhatian kepada buku yang sedang terbentang
luas. Tiada gunanya aku terus melayan Estaban di situ. Dia memang jenis muka
tembok! Lelaki tidak tahu malu! Itulah persepsi ku kepada dia selama aku
mengenali lelaki itu.
Namun semakin bayangan lelaki cuba ku nyahkan dari ruang
mata ku, semakin itu perasaan ku haru biru dalam diam. Ternyata kehadiran
lelaki itu di sebelah ku membuatkan segalanya jadi tidak kena. Apa yang aku
baca di atas muka buku itu pun tidak mampu aku tafsirkan. Aku tidak tahu
mengapa.. perasaan ku jadi tidak aman sama sekali. Mahu bernafas pun aku terasa
teramat sukar. Aku benar-benar lemas dengan kehadiran buaya darat itu. Aku tak
suka dia! Jerit hati ku sendiri.
Akhirnya aku memutuskan untuk pergi sahaja dari situ. Spontan
aku mengisyaratkan Ameena agar kami pulang sahaja. Ameena yang mengerti mula
akur. Kami mula mengemas barang kepunyaan kami di atas meja itu. Mungkin lain
kali sahaja aku meminjam buku dari perpustakaan ini. Selesai itu kami berdua
terburu-buru meninggalkan Estaban yang terpinga-pinga memandang kepada ku. Dia
seperti tidak bersedia untuk ditinggalkan di situ sendirian. Sebelum pergi
hanya senyuman sinis yang sempat ku hadiahkan
kepada Estaban.
Aku tak hairanlah dengan kau, jantan!
Ajakan
untuk keluar oleh Estaban mati begitu sahaja buat beberapa hari ini. Aku
benar-benar kelegaan setelah melihat Estaban bagaikan hilang mood mahu
mendekati ku apabila aku sekadar dingin dengan lelaki itu. Sehari-hari ini kami
memang ada bertemu tetapi selalunya aku melihat Estaban seronok berkepit dengan
gadis kampus yang sebangsa dan sekufu dengannya. Cinta konon!
Bagi ku jarak yang terhasil buat beberapa hari ini
bagaikan rahmat pula untuk ku. Kalau Estaban sibuk dengan gadis lain bermakna
dapatlah aku bernafas dengan aman tanpa dikacau lagi olehnya. Aku memang suka
sangat-sangat dia menumpukan perhatiannya kepada orang lain berbanding kepada
ku. Takut lama-lama nanti aku pulak yang sakit tekak menjerit kepadanya.. tak
pun sakit jiwa!
“Insyirah..” panggilan suara garau seorang lelaki
mematikan langkah ku yang sedang menuju ke Memorial Court. Aku segera mencari
siapa yang memanggil. Berkerut dahi ku sedikit apabila melihat Ryan teman sekufu
dengan Estaban datang mendekati ku. Namun sebagai tanda menghormatinya aku
tetap tersenyum kepada Ryan. Setahu ku kesemua kawan-kawan Estaban memang
terdiri daripada anak-anak orang kenamaan dan ada juga anak bangsawan. Aku tahu
Ryan juga tidak ketinggalan sebagai ‘anak seseorang’ di London ini kerana
bapanya ada membawa gelaran ‘duke’ pada pangkal namanya. Tetapi tidak pedulilah
anak siapa mereka. Jika mereka baik, tidak bersebab untuk aku menyombong dengan
mereka. Melainkan si jantan mancholah yang sering sahaja mengganggu
ketenteraman hidup orang lain, terutama sekali aku!
“Ada apa, Ryan?” soal ku bersahaja.
“Estaban berikan ini kepada awak.” Ryan lantas menghulurkan
sebuah beg kertas yang sederhana besar kepada ku.
Aku memandang seketika bungkusan itu tanpa segera mengambilnya.
Apa pulaklah kali ini? Mungkin ada senget sedikit otak Estaban jika dia menyangka
yang dia sudah mampu membeli jiwa ku dengan pemberian ini. Sama sekali tidak!
“Untuk saya ke bungkusan ini?” soal ku pura-pura bodoh
dengan kerutan di wajah. Sengaja buat-buat pelik padahal aku sudah lama tahu
inilah salah satu cara Estaban memikat perempuan.
Ryan mengangguk sambil tersenyum. “Dia memang sukakan
awak sungguh-sungguh, Insyirah. Jangan hampakan dia,” kata Ryan Edmund lembut.
Cuba memujuk ku pula bagi pihak teman karibnya itu. Tak tahu pulak aku yang
Ryan ni rupanya consultant cari jodoh..
Aku terdiam sambil berfikir seketika. Wajarkah aku
mengambilnya? Kalau kali ini dia menolak apa pula ulah Estaban yang seterusnya?
Tetapi seketika kemudian terdetik satu idea di fikiran ku. “Terima kasih,” ucap
ku setelah menyambut huluran Ryan itu.
Tanpa kata-kata lagi aku terus meninggalkan Ryan. Tetapi
hala tuju ku bukan lagi ke Memorial Court sebaliknya ke tempat yang boleh aku temukan
Estaban. Aku tahu mamat romeo itu pasti masih ada di sekitar kawasan fakultinya.
Aku sudah benar-benar faham inilah masa terbaik untuk playboy itu mengurat
gadis-gadis di kampus ini.
Aku yakin Estaban menganggap diri ku sama seperti perempuan-perempuan
lain yang selalu dikepitnya. Mungkin pada fikiran Estaban, aku juga boleh
dikelek sehingga ke tempat tidur dengan mudah. Kalau benarlah itu
penilaiannya.. nampaknya dia dah salah orang! Biarlah sekacak mana lelaki itu,
aku sama sekali tidak akan menggadaikan diri ku demi lelaki seperti itu.
Bodohlah aku jika membiarkan lelaki asing itu memperlakukan diri ku sama seperti
sepah yang boleh dibuang begitu sahaja setelah madu habis dihirup.
Sepanjang pencarian aku sempat bertanya beberapa orang
yang rapat dengan Estaban. Akhirnya aku menemukan salah seorang bekas teman
wanita Estaban. Anne mengatakan dia ada melihat Estaban bersama seorang gadis
di The Colony Sport Ground iaitu taman yang luas menjadi kawasan riadah untuk
pelajar-pelajar seperti kami. Di sana penuntut-penuntut boleh memilih untuk
mencuba apa-apa sukan yang disukai.
Mendengar jawapan wanita berambut perang itu aku lantas menghayun
kaki ke sana. Tidak lama selepas pencarian ku, kelibat lelaki yang ku cari mula
dapat ku temui. Estaban kelihatan sedang bersantai seperti sedang berkelah
bersama seorang gadis lain di tepi padang Ragbi. Senang hati betul Estaban
melakukan aksi bercumbu rayu di situ. Sikapnya benar-benar menjelakkan aku yang
melihatnya. Lelaki itu berbaring di atas rumput yang tebal dan bercumbu mesra
dengan gadis itu tanpa mempedulikan pandangan mata orang ramai kepada mereka
berdua. Lama aku berdiri memerhatikan gelagat lelaki itu.
“Ehemm..” Aku mencelah sedikit keasyikan mereka dengan
dehemannya itu tanpa berniat mahu mengganggu.
Estaban sepantas kilat menoleh mencari suara ku. Apabila
ternampak wajah ku, dia segera bangun dan tersenyum. Teman cumbuannya terus diabaikan.
Dia tersengih kepada ku tanpa sebarang rasa malu atau bersalah akan perlakuannya
tadi.
“Hai..” Estaban menyapa ku.
“Ini untuk saya?” soal ku sambil menayangkan beg kertas
yang dititipkan melalui Ryan sebentar tadi. Sapaannya tidak ku layan.
“Awak sudah terima?” soal Estaban mula senang hati
apabila melihat apa yang diberikannya sudah berada di tangan ku. Mungkin dia
menyangka aku datang untuk berterima kasih kepadanya.
“Awak rasa saya terima ke?” aku sengaja mengembalikan
soalan itu kepadanya antara nada sinis dan mengejek.
“Awak harus melihatnya. Saya membelinya di Lambordia dan
ianya bukan murah,” ucap Esbatan dengan senyum lebarnya. Ada terselit nada bangga
dalam kata-katanya.
Aku mula mengukir senyuman sambil menjenguk seketika ke
dalam beg kertas itu seperti yang disarankan Estaban. Tetapi biarpun sekadar
melihatnya sekali imbas aku tetap tidak berniat untuk membelek lebih lama baju
yang dibelikan Estaban. Baju itu tidak menarik sedikit pun pada mata ku ini,
walaupun aku tahu nama yang disebut Estaban adalah salah satu jenama gaun
wanita yang berharga ribuan pound. Bagi ku ini bukanlah satu pemberian tetapi
penghinaan.
Estaban mula mendekati ku. Beg kertas itu diambilnya dari
tangan ku. Isi kandungannya dikeluarkannya. “Tengok ni.. cantikkan?” ucap
Estaban lalu menayangkan gaun singkat itu kepada ku. Aku sekadar memandang
kosong tanpa terkutik biar sedikit pun dengan perbuatan lelaki itu.
“Awak akan kelihatan lebih cantik setelah memakainya.
Tengoklah.. ” Estaban mengunjukkan lagi gaun itu kepada ku.
Aku terus membiarkan gaun itu berada di tangan Estaban.
Tanpa menyentuhnya pun aku dapat melihat gaun itu sekadar menutup bahagian-bahagian
tertentu pada tubuh ku. Mungkin perekanya sengaja tidak menyediakan kain lebih
agar bahagian yang sulit terdedah. Dan kain itu juga agak nipis.
“Maaf, saya tak datang ke sini untuk berterima kasih,
sebaliknya saya mahu memulangkan semula gaun itu kepada awak. Saya tak pernah memakai
baju seperti ini,” jelas ku lembut namun serius.
“Awak belum memakainya bagaimana awak tahu awak akan
menyukainya atau tidak? Cubalah dulu. Sekurang-kurangnya saya takkan terasa
hati jika awak mengambilnya walaupun awak takkan memakainya untuk saya,” pujuk
Estaban separuh merayu.
Aku tetap menggeleng. Bagaimana untuk aku memakainya jika
tudung di kepala ku ini pun tidak pernah ku lepaskan di tempat terbuka. Inikan
pula anggota tubuhnya yang lain. Aku masih waras. Aku tidak akan memakai baju
seperti ini di hadapannya walaupun harga baju ini sama nilainya dengan yuran
pangajian ku di universiti ini. Mengambil pemberian lelaki ini begitu sahaja
tanpa perlu dibalas? Tidak mungkin! Aku tidak mahu menjerat diri dengan budi
yang berharga semahal ribuan pound seperti itu. Pasti ada sesuatu yang harus
aku berikan kepada lelaki itu sebagai balasan. Jika tidak hari ini pasti suatu
hari nanti aku akan tersepit juga!
“Saya benar-benar mahu melihat awak memakainya, Insyirah.
Ambillah..” pujuk Estaban separuh merayu. Dia masih menghulurkan gaun itu
kepada ku bagi menyatakan kesungguhannya menghadiahkan baju itu.
“Pakaian ini akan mendedahkan sebahagian tubuh perempuan,
Estaban.” Aku menjawab tegas agar lelaki ini mengerti akan pendirian ku.
“Kecantikan tubuh wanita memang untuk lelaki, betul kan?”
sambut Estaban lebih pantas. Dia mengucapkan kata-kata itu seolah-olah tiada
kesalahan untuk dia mempermainkan perempuan seperti yang sering dia lakukan
selama ini.
Aku menggertap bibir menahan rasa mendengar kenyataan
lelaki itu. Terlalu rendah nilai wanita di mata lelaki ini. Mengapa dia begini?
Adakah kerana dia kacak dan kaya dia sudah cukup hebat sehingga semua perempuan
harus tunduk kepada nafsunya?
“Kecantikan tubuh wanita lain memang untuk santapan mata
awak, Estaban. Tapi bukan tubuh saya. Saya orang beragama islam dan mendedahkan
tubuh pada mata lelaki yang bukan suami adalah salah di sisi agama. Saya tidak
akan melakukannya biar sebanyak mana wang yang dah awak habiskan untuk
mendapatkan gaun ini. Mungkin ada baiknya awak berikan pada perempuan itu
supaya duit awak tu tak membazir. Dia tentu lebih pandai menghargai berbanding
saya,” balas ku sambil mengerling gadis yang masih duduk di atas rumput sambil
menatap perbualan kami berdua.
Estaban memandang gadis yang ku maksudkan tadi. Tetapi
kemudian dia mengalihkan pandangan kepada ku semula. Wajahnya jelas berubah
saat memandang bola mata ku. Riak wajahnya lebih kepada marah dan terkilan kerana
aku sudah menolak pemberiannya. Tetapi biarlah apa pun riak yang mahu
ditunjukkan Estaban saat ini. Aku tetap tidak peduli.
“Jangan marah sebab saya tak suruh awak beli gaun ini.
Atau sekurang-kurangnya awak kenalah tanya saya dulu sebelum awak menghabiskan
duit untuk saya,” ujar ku tanpa merasa bersalah memaparkan muka tidak beremosi untuk
menyakitkan hati Estaban yang bongkak itu.
“Kenapa dengan awak semuanya begitu susah?” soal Estaban
serius.
“Kenapa mesti saya? Kan ramai lagi perempuan lain?” Aku tidak
menjawab sebaliknya bertanya semula kepadanya.
“Saya Tanya, awak kena jawab. Jangan jawab soalan saya
dengan soalan juga. Kenapa dengan awak semuanya susah?” nada lelaki itu mulai
tidak mesra kepada ku. Soalannya tadi diulang semula untuk ku jawab.
Aku menghela nafas perlahan sambil memandang wajah
Estaban. “Awak nak tahu, okay! Saya bagi tahu..” ucap ku nekad. “Dengan saya
memang susah, sebab saya bukan dia.. bukan juga perempuan-perempuan yang awak
peluk setiap hari. Saya bukan perempuan simpanan awak. Puas hati sekarang?” jawab
ku serius. Kedua-dua tangan ku silangkan ke dada dengan muka selamba. Aku sudah
bersedia untuk menentang apa sahaja pendirian lelaki ini mengenai diri ku.
“Awak juga perempuan. Apa naluri perempuan seperti awak
tidak sama dengan yang lain? Awak dari planet mana?” Estaban membalas kata-kata
ku dalam nada ejekan bagaikan sengaja mempersendakan pendirian ku tadi.
Aku mula menghela nafas perlahan mendengar ucapannya itu.
Sabar ajalah aku dengan jantan ni! Hati ku berbisik halus. “Ya.. saya memang
perempuan. Mata saya juga mata seorang perempuan yang suka memandang lelaki. Tapi
saya perempuan yang beragama islam. Saya berpegang kepada ajaran agama saya
yang melarang saya bergaul bebas dengan lelaki. Saya perempuan yang bermaruah
yang takkan sewenang-wenangnya membiarkan tangan lelaki asing memegang tubuh
badan saya. Saya perempuan yang tidak akan sesekali membiarkan mata-mata lelaki
asing melihat bentuk tubuh saya terutama sekali buaya darat macam awak, yang
sudah pakai kemudian tinggalkan! Saya perempuan yang tidak akan membiarkan diri
saya ditiduri oleh lelaki yang tak bertanggungjawab macam awak! Saya perempuan
yang tidak akan menanggalkan biarpun sekadar penutup kepala saya ni di hadapan
lelaki yang bukan suami saya iaitu awak! Sekarang awak tahu saya dari planet
mana?” jawab ku tegas enggan tunduk kepada kehendak lelaki itu.
“Wow! Awak begitu mahal..” Estaban mengejek ku lagi
sambil tergelak. Gaun itu dikembalikannya ke dalam beg kertas itu lalu diletakkan
di hujung kakinya. Dia berselok poket dengan wajah jengkel setelah mendengar
ucapan ku tadi.
“Terpulanglah kepada penilaian awak. Walau serendah mana
pun penilaian awak tentang diri saya, takkan mencacatkan saya sedikit pun. Saya
tetap macam ni. Awak boleh teruskan hidup awak dengan tabiat awak. Saya pula
akan teruskan hidup saya dan pendirian saya. Adilkan? Ini negara demokrasi!
Kita ada kebebasan memilih, wahai Estaban Joseph Buhler!” ucap ku mula
mengeraskan nada ku.
Estaban mula merenung ku dengan rahang yang sudah
dikertap. Dia benar-benar tercabar dengan kata-kata ku tadi. Aku hanya
memandang selamba lelaki di hadapan ku itu. Marah ke? Ada aku kisah?
“Saya dah takde apa nak dikatakan lagi. Ambillah semula
baju tu sebab saya tak perlukannya. Maaf, kalau kedatangan saya menggangu awak
bermesra dengan dia. Kasihan perempuan tu tertunggu-tunggu. Pergilah semula
pada dia.” Dengan selamba aku menyindir lagi. Sengaja aku menjuihkan bibir kepada
gadis tadi.
“Macamana caranya baru saya dapat keluar dengan awak,
Insyirah? Saya cuma nak habiskan sedikit masa dengan awak.” Estaban sempat
memujuk lagi sebelum sempat aku menghindar.
“Takde caranya. Saya perlukan sebab untuk keluar dengan
awak. Tapi malangnya saya takde sebarang sebab untuk buat macam tu. Tolong
berhenti buat macam ni. Saya takkan ubah keputusan saya biarpun awak membelikan
saya sebahagian tanah di London ini!” putus ku kemudian aku terus meninggalkan
Estaban bersama baju itu.
Saat berlalu pergi aku sempat tersenyum puas hati. Aku
harap selepas ini Estaban mengerti yang dia memang tiada sebarang kepentingan
dalam hidupku. Selama aku mengenalinya aku sama sekali tidak pernah menanam
biar secebis pun impian untuk didekati oleh lelaki seperti itu. Aku harap Estaban
mengerti itu semua sama sekali tidak pernah ada dalam agenda hidup ku selama aku
berada di Cambridge ini.
Aku dan
Ameena keluar untuk membeli barangan keperluan di Bismillah Halal Grocery yang
terletak di Mill Road pagi itu. Kami sama-sama tidak mempunyai kuliah dan
inilah masa yang sesuai untuk kami gunakan bagi membeli barang keperluan harian.
Di pasaraya itu muka kami semua memang sudah dicop sebagai pelanggan tetap
kerana di situ mudah untuk kami mendapatkan keperluan harian dan daging halal dengan
harga yang agak murah. Sesuailah dengan ekonomi aku sebagai pelajar yang awal semesta
penuh tengah semesta mula kempeslah poket.
Aku dan Ameena menghabiskan masa lebih empat jam membelek
barang-barang keperluan seperti barang dapur dan barang-barang mandian di situ.
Puas juga menjelajah pasaraya itu sehingga aku sendiri tidak sedar yang sudah
agak lama kami berada di situ. Lenguh lutut dibuatnya kerana berdiri terlalu
lama. Namun lama kelamaan aku dan Ameena sudah terpisah arah. Ameena entah di
lorong mana.
“Hai!” sapaan itu benar-benar mengejutkan aku yang
bersendirian membelek Krim mandian. Aku lantas menoleh. Tidak perlu diteka lagi
kerana aku sudah cukup kenal dengan suara lelaki itu.
“Awak?” soal ku masih terkejut. Hampir terbeliak mata ku
memandang Estaban yang sedang mengukir senyuman manis kepada ku.
“Ya..” Sepatah sahaja jawapan Estaban. Aku memandang
sekeliling. Bayang Ameena masih tidak kelihatan. Entah kenapa aku kalut
seketika di situ. Aku benar-benar tidak menyangka akan bertemu dengan lelaki
ini di sini.
“Dia ada kat sebelah sana..” ujar Estaban sambil
menunjukkan ke satu arah. Macam tahu aja siapa yang sedang aku cari.
“Siapa?” soal ku buat-buat tidak mengerti siapa yang
dimaksudkan lelaki itu.
“Kawan awak. Saya nampak dia kat lorong sana..” jelas Estaban
lembut.
“Awak buat apa kat sini?” soal ku kepada lelaki itu. Gelagat
lelaki itu yang berdiri sambil berselok poket jeansnya ku kerling dengan ekor
mata.
“Saya cari awak..”
“Cari saya untuk apa? Macamana awak tahu saya di sini?”
soal ku masih tidak berpuas hati. Takkanlah dia mengekor aku pulak?
“Saya tahulah.. saya pun tahu di mana awak tinggal. Inikan
tempat saya?” balas Estaban lembut. Matanya masih merenung mesra kepada ku
tanpa berkelip. “Awak cantik sangat macam ni. Saya suka tengok awak berpakaian macam
ni. Nampak ringkas..” pujinya perlahan. Matanya sempat memandang ku dari atas
ke bawah.
“Apa yang
cantiknya macam ni?” balas ku selamba sambil buat-buat membelek krim mandian di
tangan ku itu. Rasanya aku biasa aja. Dengan mengenakan blaus longar yang labuh
sehingga ke bawah punggung dan dipadankan dengan seluar jeans berwarna biru,
apa yang cantik benar?
Estaban tidak membalas. Setelah beberapa ketika mereka
berdiam aku mula memerhatikan lelaki itu. Lelaki itu sedang memandang wajah ku penuh asyik.
Renungan itu membuatkan aku mula merasa canggung.
Aku pun takde idea apa yang mahu dibualkan dengan Estaban. Sedikit sebanyak
ketenangan ku sudah mula diusik dengan kehadiran lelaki itu. Mahu marah..
rasanya tidak kena pula. Lagipun apa hak aku untuk menghalang kedatangan lelaki
itu ke situ? Pasaraya ini bukannya aku yang punya!
“Kenapa awak pandang saya macam tu?” soal ku mula tidak
senang dengan gelagatnya. Aku sendiri sudah merasa serba tidak kena. Malu pun
ada!
“Saya suka tengok awak. Awak buat apa lepas ni?” ucap
Estaban sambil tersenyum mesra.
“Balik!” jawab ku sepatah.
“Saya hantar awak, boleh?” tanya Estaban lembut.
“Saya datang naik bas jadi balik pun mesti naik bas..” Aku
menjawab selamba. Serentak itu aku bergerak meninggalkan kawasan itu untuk
menjauhi lelaki itu. Namun Estaban lantas mengekori ku.
“Kalau saya hantarkan pun takpekan? Takde salah.” Dari
belakang ku Estaban membalas.
“Tak salah. Tapi saya yang tak nak!” aku menjawab serius tanpa
memandang lelaki itu. Bakul yang ku bawa agak berat. Aku mula memegangnya
dengan kedua-dua belah tangan. Namun tiba-tiba terasa bakul itu ditarik
seseorang dari belakang.
“Tak payahlah! Saya boleh bawak..” getus ku tidak senang
apabila melihat Estaban mula menarik bakul itu dari pegangan ku.
“Takpe. Bakul ni berat. Biar saya yang pegang untuk awak..”
ucap Estaban enggan mengalah kepada ku. Bakul itu ditariknya juga sehingga aku
akhirnya membiarkan bakul itu berada di tangannya.
Namun aku mula menghela nafas perlahan. Aku benar-benar
tidak senang dengan keadaan ini. “Awak nak apa dari saya ni, Estaban?” soal aku
sedikit tertekan. Kalau boleh aku mahu terus berada di situ tanpa kehadiran Estaban.
Tetapi lelaki ini nampaknya juga mahu terus menghimpit ku.
“Saya cuma nak temankan awak..”
“Kan Ameena ada dengan saya? Tak payahlah awak
sibuk-sibuk mengekor saya ke sana ke mari. Saya rimaslah!” Aku membantah
kehendak lelaki itu. Aku tidak mahu Ameena ternampak Estaban berada di sini. Nanti
tiba-tiba sahaja Ameena bertukar minat menjadi wartawan gosip!
“Kalau saya yang temankan apa salahnya?” jawab Estaban
terus berlembut dengan ku.
“Estaban, awak ni memang tak faham-fahamkan? Saya tak
mahu awak ada di sini. Tolonglah pergi. Jangan ganggu saya!” tekan ku mula geram
dengan lelaki itu.
“Insyirah, saya cuma nak berkawan dengan awak. Awak belum
kenal siapa saya sebenarnya. Saya tak seburuk yang awak sangkakan. Saya cuma nak
dekat dengan awak.” Lelaki itu menjawab semula. Kali ini nadanya teralun amat
lembut bagaikan mengharap sesuatu dari ku.
Dah agak dah! Mesti dia nak sesuatu dari aku! Aku
mengeluh perlahan. Bakul di tangan Estaban cuba ku ambil semula namun lelaki
itu enggan melepaskannya.
“Please.. saya betul-betul sukakan awak,” ucap Estaban
lagi.
“Saya tak sukakan awak. Sikit pun tak!” tegas ku tidak
melayan luahannya itu.
“Kenapa?”
“Kenapa apa?”
“Awak langsung tak mahu berbaik dengan saya?” Suara
lelaki itu merendah. Ada nada kecewa teralun dalam suaranya. Begitu juga dengan
pandangan matanya kepada ku. Namun sedikit pun aku tidak mahu memberi peluang
kepadanya.
“Untuk apa saya berbaik dengan awak? Awak yang buat saya
tak suka dengan perangai awak selama ni. Lagipun ucapan ‘suka’ macam yang awak
sebutkan tadi tu.. tak boleh dipercayai langsung! Awak ni kaki perempuan. Jadi
tolong bagi balik bakul ni. Saya dah nak balik!” tukas ku keras tanpa mahu melayan
perasaan lelaki itu kepada ku.
Estaban terus kehilangan bicara saat itu. Akhirnya bakul
itu dilepaskannya juga kepada ku. Langkah ku yang semakin menjauhinya tidak
lagi diekori. Sebaliknya dia memandang sahaja dengan seribu kehampaan. Akhirnya
tanpa kata dia berlalu dari pasaraya itu.
Aku mula menarik nafas lega apabila dari jauh aku melihat
Estaban berlalu. Aku mula mencari Ameena yang kini entah ke mana hanyutnya.
Bimbang Estaban kembali semula aku nekad enggan terpisah lagi dari Ameena.
fanatik sungguh estaban kat insyirah...
BalasPadamAt the 1st i was thinking that Estaban is just a side character but now i feel like the his the hero in this novel :)
BalasPadamsomething interesting-a white guy with an asian girl :)
bersungguh si estaban ni...tp klau sy jd insyirah pn sy rimas
BalasPadam