Jumaat, 23 Ogos 2013

Bab 6-BIMA

Mana ada emak tak sayangkan anak.. hati ku menyebut semula kata-kata yang pernah abah luahkan kepada ku beberapa tahun lalu. Semenjak kebelakangan ini aku asyik mengingatinya. Namun semakin aku mengingatinya semakin itu hati ku pedih. Sememangnya semenjak aku pulang dari Ireland aku tidak pernah pulang menemui keluarga ku. Nasihat Puan Kalsom kepada ku tidak aku hiraukan. Mungkin aku masih berdendam dengan kisah lama itu atau sebenarnya aku takut kepulangan ku tidak diterima oleh kedua ibu dan ayah.
Emak sayangkan aku namun sebagai tanda sayang akhirnya aku dihalau begitu sahaja dari rumah tanpa wang sesen pun untuk aku mulakan hidup. Itulah tanda sayang emak. Itulah bukti aku ini anak emak.
“Assalamualaikum..” aku terkejut apabila disapa seseorang. Suaranya macam pernah aku dengari tetapi tidak pasti bila dan di mana. Lantas aku menoleh mencari orang yang memberi salam itu.
Aku terpaku memandang lelaki yang kerap aku lihat sebelum ini. Malahan aku perasan dia kerap memandang ku ketika aku dan teman-teman ku melepak di kedai mamak tempohari. Dia juga yang aku temui di pasar malam minggu lalu.
“Waalaikumussalam..” aku menjawab agak perlahan kerana diri ku masih dikerumuni oleh rasa terkejut melihatnya.
“Boleh abang duduk sini?” dia menyoal ku sambil menunding kepada sebahagian tempat yang masih kosong di tepi ku itu.
Sekilas cara dia membahasakan diri aku bagaikan terkenang lelaki yang membantu ku malam itu. Suara juga hampir serupa. Diakah lelaki itu? Ah! Bukan kot.. tak mungkin dia.. bisik hati ku menolak apa yang ditelah oleh fikiran ku saat ini.
“Kan banyak lagi tempat lain? Buat apa duduk sini?” aku membalas kasar. Amat tidak senang sekali kerana aku merasa terganggu dengan kehadirannya di situ. Aku hanya mahu bersendirian. Mengapa dia menyibuk datang kepada ku?
“Abang tengok adik ni seorang aja jadi abang ingat nak berbual dengan adik. Bolehkan?” dia tetap lembut kepada ku walaupun aku sudah berkasar dengannya.
“Nak buat apa berbual dengan saya. Saya tak suka berbual dengan orang yang saya tak kenal. Tolong pergi! Jangan ganggu saya!” aku tanpa rasa bersalah menyatakan rasa tidak suka ku kepadanya.
Lelaki itu tetap duduk bersebelahan dengan ku walaupun ada ruang yang menjarakkan kami. “Ini tempat orang berjogingkan?” dia bertanya kepada ku.
“Yalah, takkan tempat bergusti pulak. So?” aku membalas jengkel.
“Orang lain sibuk beriadah kat sini. Ada yang berjoging ada yang main kat play ground tapi adik ni termenung aja. Muka pun sedih aja. Ada masalah ke?” tanyanya lembut penuh perihatin.
Namun entah kenapa aku berang dengan sikapnya itu. Pada ku dia hanya penyibuk! “Kalau saya termenung dengan muka sedih pun ada masalah dengan awak? Saya menyusahkan awak? Buat apa nak sibuk hal saya? Pergilah jaga hidup sendiri..” aku amat benci mendengar soalannya itu. Semakin dia menunjukkan keikhlasannya semakin itulah aku benci melihatnya. Entah kenapa aku benci melihatnya padahal dia tidak ada berbuat salah atau biadap kepada ku. Mungkin kerana aku terasa dia selalu memerhatikan aku itulah yang membuatkan aku benci kepadanya.
“Bukan abang nak menyibuk tapi abang nampak adik ni seorang aja berfikir jadi abang datang sini. Kadang-kadang kita tak mampu fikirkan masalah kita seorang diri. Semakin kita fikir semakin itulah kita tak dapat jawapannya. Kadang-kala kita perlukan jawapan daripada orang lain.” Lelaki itu masih tetap berlembut dengan ku.
“Saya tak tahulah awak ni siapa. Tapi tolong jangan ganggu saya boleh tak? Saya tak suka bercakap dengan lelaki.”
“Tapi yang selalu bersama dengan adik tu pun lelaki jugakan? Lelaki tapi perempuan!” dia lebih pantas mengenakan aku dengan kata-katanya itu.
Aku memandangnya tajam. Sakit betul hati ku dengan lagak lelaki ini. Siapa dia yang mahu menyindir aku begini? Tanpa mahu terus melayannya aku bingkas bangun dari kerusi itu. Laju langkah ku meninggalkannya. Lega hati ku kerana dia tidak membuntuti ku lagi.
Lelaki itu.. aku tidak kenal dia siapa tetapi aku selalu ternampak dia di kawasan perumahan ku ini. Selalunya dia ada di kedai mamak yang selalu menjadi tempat aku dan teman-teman melepak. Sikapnya benar-benar membuatkan aku tertanya-tanya. Selama ini dia hanya kelihatan di hadapan mata ku tetapi tidak pernah menegur ku. Kali ini barulah dia menegur ku.
Aku duduk pula di sebuah kerusi lain. Kawasan itu agak sunyi tanpa kehadiran orang lain. Aku kira aku akan aman di situ tetapi tidak. Kelibat beberapa lelaki yang membawa topi keledar di tangan mereka melepak di kawasan bersemak di tepi taman itu membuatkan keamanan itu terganggu. Kenangan masa lalu itu kembali menerpa ke benak ku tambahan pula dari cara mamat-mamat itu berpakaian aku lantas teringatkan seseorang dari kisah masa lalu ku. Dada ku mulai tidak enak.
Dari jarak yang agak jauh aku terdengar mereka bersiul-siul memanggil ku kepada mereka. Tidak cukup itu ada di antara mereka yang nakal mulai mengeluarkan bahasa yang tidak sedap didengar. Aku cuba mendiamkan diri tanpa memberi reaksi kepada kenakalan lelaki-lelaki itu. Kemudian dari tempat longgokan mereka itu salah seorangnya menjerit lagi kepada ku. “Peeiiwiitt.. ‘$%^%’  jom...”
Seriau darah ku mendengarnya. Serta merta ketakutan itu melanda lagi. Ajakan yang sangat aku mengerti maksudnya itu membuatkan aku fobia untuk terus bersendirian di situ.
Menyedari aku hanya sendirian di situ dan jauh pula dari keramaian manusia, aku bingkas bangun. Aku hanya mampu memikirkan lelaki tadi. Walaupun dia juga lelaki tetapi entah kenapa aku rasakan dia lebih baik daripada lelaki-lelaki yang bersiul itu. Lagipun kerusi yang aku duduki tadi berada di laluan orang ramai. Aku lebih selamat. Biarlah.. biarlah rebah ego ku di hadapan lelaki itu asalkan aku selamat.
“Kenapa?” lelaki itu bertanya hairan apabila melihat aku kembali semula ke kerusi batu bertulisan MBSA pada penyandarnya itu. Namun ada sinar kegembiraan di matanya apabila melihat aku kembali semula ke situ.
“Err.. saya takut. Ada orang kacau saya kat situ,” jawab ku dalam rasa malu yang tak terkira sambil menunding ke arah datangnya aku sebentar tadi. Malu.. kerana sebentar tadi aku yang menyombong sangat kepadanya padahal dia berada di sebelah ku menegur dengan cara baik sedangkan lelaki-lelaki itu berada jauh mengajak ku melakukan perkara yang kurang ajar.
“Situkan sunyi? Kenapa duduk situ?”
Aku hanya diam sahaja tanpa menjawabnya.
“Nama abang, Adam Zaffran. Nama adik ni?”
“Darina..”
“Hmm.. sedap nama tu. Macam nama mentega roti pun ada. Kalau selet kat roti kemudian letak pulak gula memang sedap buat makan sarapan pagi.”
Berang aku dengan jenaka bodohnya itu. “Itu Dorinalah...” jerkah ku mulai geram apabila dia menjadikan nama ku sebagai bahan lawaknya. Beraninya lelaki ini mempersendakan aku?
Adam Zaffran ketawa seketika. Dia tidak kisah dengan kemarahan ku. Wajahnya ceria apabila aku mulai mahu melayannya. Walaupun layanan yang negatif. “Rina kerja di mana?” soalnya mesra.
“Abangkan selalu ikut saya? Takkan tak tahu saya kerja ke tak.” Sakita hati dengan tingkahnya, aku memerlinya. Mata ku mengerling untuk melihat reaksinya dengan telahan ku itu.
Adam Zaffran tersenyum memandang ku. “Rina tak kerja ya?”
Aku hanya diam sahaja sambil tersenyum sinis. Malas mahu menjawab soalannya itu. Aku biarkan sahaja apa yang sedang bermain di fikirannya itu. Spy tak bertauliah macam kau takkan tak tahu? Ejek hati ku meluat.
“Dah berapa lama tak berkerja?”
“Mind your own businesslah!” Aku segera menjawab sinis. Geram dengan telahan rambangnya. Mentang-mentanglah dia selalu melihat aku melepak dengan teman-teman di kedai Barakah, lalu dia mengandaikan yang aku tidak berkerja. Ah! Tetapi salah aku juga kerana aku yang tidak menjawab soalannya.
Adam Zaffran tersenyum lagi. Dia mengangguk seketika dengan jawapan ku yang tidak mesra itu. Tetapi aku tahu dia tidak mahu mengalah semudah itu.
“Abang banyak tanya sebab manalah tahu abang boleh bantu. Kalau Rina tak berterus-terang macamana abang nak bantu? Rina ada kelulusan apa-apa?”
Degree..” pendek sahaja balasan ku.
“Ada degree? Bagus! Memang sekarang ni orang yang berkelulusan lebih susah mencari pekerjaan berbanding yang berkelulusan biasa aja. Tapi rezeki ni Allah yang tentukan. Kita kena banyak bersabar dalam meminta sesuatu yang datangnya dari Allah,” komen Adam Zaffran lembut sekali. “Degree dalam apa?” Adam Zaffran bersuara lagi dengan pertanyaan itu.
Aku tersenyum sinis seketika. “Degree dalam pengangguran,” jawab ku selamba. Tampangnya ku pandang untuk melihat reaksinya. Jelas sekali dia terkejut dan ada sedikit perubahan di raut itu kerana dia sedar aku sudah mengenakannya. Aku pulak yang terasa mahu ketawa melihat dia.
“Tak pernah dengar pun jurusan tu? Universiti mana yang ada jurusan tu?”
“Kenapa abang selalu ikut saya?” aku memberanikan diri menyoalnya tanpa mahu menjawab soalannya tadi. Jika aku tidak salah perkiraan pertemuan kali ini sememangnya disengajakan. Dia menyimpan sebab untuk mendekati aku.
“Rina rasa abang ikut Rina ke selama ni?” dia menyoal ku kembali.
“Saya rasa begitu. Kalau tak takkanlah ke mana aja saya pergi mesti saya selalu nampak abang. Takkanlah semuanya kebetulan?” kata ku dengan lagak macam bagus saja.
Adam Zaffran diam seketika. Setelah puas memandang ku dia memerhatikan pula kanak-kanak yang riang bermain di taman pemainan di hadapan kami. Dia seolah-olah sedang cuba untuk menyusun kata-kata yang sesuai untuk diucapkan kepadaku. Aku pula tiba-tiba menjadi seorang yang penyabar. Aku terus menantinya dalam keinginan untuk tahu yang semakin melonjak-lonjak.
“Abang minta maaf kalau Rina tak senang dengan apa yang abang lakukan tu. Ya! Abang mengaku memang abang selalu perhatikan Rina selama ni. Abang ada sebab kenapa abang buat macam tu. Abang harap Rina tak marah abang buat macam tu..”
“Well.. please let me know what’s the reason beside that attitude?” sepantas kilat aku menyoalnya apabila dia semacam sengaja tidak meneruskan bicaranya.
“Rina merokok?” dia tidak menjawab soalan ku sebaliknya dia menyoal aku semula dengan soalan itu.
“Kenapa abang nak tahu saya merokok ke tak? Abang nak belikan saya rokok ke?” aku menyoal dengan niat mahu mengejeknya. Wajah seriusnya ku mamah dengan pandangan jengkel.
“Ada sebabnya abang tanya. Rina merokok?”
“Tak!” aku membalas pantas. Jawapan yang jujur kerana aku sememangnya tidak pernah merasai apa nikmatnya merokok melainkan asap rokok yang sering dihidu dari perokok lain yang menyebabkan aku sering terbersin.
“Suka orang yang merokok?” sekali lagi dia memberi aku soalan yang memelikkan aku.
“Tak suka..” tetapi pelik! Aku tetap menjawabnya walaupun aku hairan dengan dia yang menyoal aku dengan soalan-soalan pelik. Semakin itu aku bingung dengan persoalan-persoalan yang ditanyakan olehnya.
“Habis tu kenapa berkawan dengan orang yang kuat merokok kalau Rina tak suka orang yang merokok? Kenapa mesti berpura-pura senang hati dengan tabiat buruk itu bila di hadapan orang yang merokok?” dia bertanya lagi.
Aku terasa seperti diperangkap oleh soalan-soalannya itu. Hati ku mulai panas kerana tidak faham dengan lelaki ini walaupun apa yang telah disampaikan olehnya semakin ku mengertikan. “Saya tak fahamlah dengan semua ni. Apa kena mengenanya orang merokok dengan abang ni? Sebab orang lain merokok depan saya, abang ikut saya? Perhatikan saya?” aku meluahkan rasa tidak puas hati ku kepadanya dengan nada lantang.
“Kena mengena dengan Rina bukan dengan abang.”
“Yalah! Tapi itu saya bukannya abang. Jadi kenapa abang selalu pandang saya? Bukannya saya yang suruh diorang tu merokok! Moreover, any bad habits of people around me, it's not your business to corncen, mister!” aku mula membentak kasar apabila mulai hilang sabar dengan bicaranya yang memeningkan aku.
“Kajian ada mengatakan antara perokok dengan orang yang terdedah kepada asap rokok, orang yang terdedah kepada asap rokok itu berpotensi yang sama seperti si perokok untuk mendapat kanser. Abang selalu nampak Rina tutup hidung bila kawan-kawan Rina merokok di depan Rina. Abang tahu Rina tak suka dengan suasana tu. malah kadang-kadang abang nampak Rina macam tersiksa menahan perasaan. Tentu ada sebab mengapa Rina memaksa diri untuk berkawan dengan mereka. Betulkan?” soalnya dengan kepelikkan tingkah laku ku selama dilihatnya.
“Hei! Hei! Siapa cakap saya berpura-pura? Ahli nujum mana yang kata macam tu?” aku lantas menafikan apa yang dikatakan Adam Zaffran itu. “Lagipun masakan sebab diorang tu merokok saya dah tak boleh kawan langsung dengan diorang?” tambah ku dengan nada kasar.
“Takde ahli nujum yang kata begitu tapi Allah berikan kita akal untuk menilai. Kadang-kala sesetengah perkara kita akan kenal dengan sekali pandang sahaja. Abang tahu sebab kadang-kadang pada diri kita, mulut ni lebih banyak berbohong berbanding bahasa tubuh kita. Dengan orang lain kita boleh menipu tetapi tidak pada hati kita sendiri. Jadi tanya diri semula. Suka tak dengan apa yang ada di sekeliling Rina sekarang?”
Aku lantas tergelak mendengar bicaranya. Tawa yang ku buat-buat untuk menolak andaiannya itu. “Pandainya baca reaksi orang? Abang ni pakar psikologi ke?” aku mengejeknya lagi. Tercabar benar aku dengan telahannya itu.
Adam Zaffran tersenyum sedikit. Langsung tidak terkesan rasa marah atau sakit hati dengan sikap biadap ku kepadanya. “Kita tak perlukan ijazah dari mana-mana universiti untuk memahami reaksi sebenar seseorang. Bukankah manusia ini dikatakan sebagai ciptaan Allah yang paling sempurna. Kerana Allah mencipta manusia berserta dengan akal dan hati. Berbeza dengan makhluk lain. Abang tahu Rina tak gembira dengan semua tu. Dunia mereka bukan untuk Rina. Kenapa nak berpura-pura di hadapan mereka?”
“Siapa kata saya berpura-pura? Saya gembira dengan mereka selama ni. Abang mana tahu saya ni berpura-pura atau tak. Abang bukannya pernah bercakap dengan saya sebelum ni. You don’t know me at all!” tekan ku enggan membenarkan dia terus menafsir diri ku mengikut firasatnya.
Adam Zaffran tersenyum lagi namun seperti yang dia katakan tadi bahasa senyumannya itu mengatakan dia sedikitpun tidak mempercayai apa yang aku katakan kepadanya.
“Apa yang menyebabkan abang rasa saya ni berpura-pura dengan mereka?” kali ini aku pula menduganya. Sengaja mahu melihat apa jenis kepandaian yang dia ada sehingga boleh membaca diri orang lain.
“Abang tahu.. cuba tanya diri Rina sendiri pernahkah sekali dalam diri Rina merasakan dunia ini begitu asing kepada Rina?”
“Abang ni memang suka jawab soalan orang dengan soalan ya? Abang ni memang jenis suka memeningkan kepala orang lain? Jugde orang macam ni, kerja part time atau full time abang?” perli ku tajam. Semakin teruji kesabaran ku apabila dia tidak memberikan jawapan yang aku mahukan.
“Jawab dulu soalan abang. Nanti abang akan jelaskan apa maksud soalan abang tadi. Abang takkan tanya semua ni hanya untuk membuat Rina semakin seronok meninggi suara pada abang,” ujar Adam Zaffran serius sambil memandang ku.
“Saya tak tahu perasaan jenis apa yang abang maksudkan tu..” aku menjawab mudah. Ego lagi untuk membiarkan dia menang.
“Itu jawapan yang paling jujur yang Rina boleh bagi pada abang?”
“Yalah!” sambut ku pantas.
“Abang tak percaya. Rina sebenarnya cuba mengelak dari menjawab soalan abang dengan jujur. Betulkan?” duganya sinis. Matanya terus meratah reaksi ku dengan senyuman santainya.
“Okay! Ya, memang kadang-kala saya rasa hidup saya ni membosankan...”
“Hidup terasa kosong dan tidak berseri. Kadang-kala hati resah tidak menentu dan fikiran kusut tanpa sebab. Murung dan sering merasa nak pergi jauh ke tempat yang boleh memberi ketenangan dan aman tanpa sebarang masalah. Duit ada, segalanya cukup tapi hati tetap tak bahagia. Bukan setakat itu sahaja. Jiwa resah dan memberontak dengan keadaan di sekeliling, suka marah-marah orang lain tanpa sebab, betulkan?” dia terus memintas kata-kata ku sebelum sempat aku menghabiskannya.
Aku benar-benar terpaku memandangnya dalam pada terkumpal-kumpal mencari kata-kata yang dapat menyangkal telahannya namun aku tidak berupaya. Saat itu aku tertanya-tanya siapakah gerangan lelaki muda ini yang pandai membaca pemikiran orang lain? Bagaimana dia tahu semua ini?
“Sekarang abang jawab soalan Rina tadi. Tak susah untuk abang tahu yang Rina berpura-pura dengan mereka selama ini kerana selalunya abang perhatikan bila Rina bersama dengan budak-budak yang berlagak serupa lelaki tu, Rina seakan tenggelam dalam dunia sendiri. Mereka semua sama tapi Rina hanya sendirian di situ yang berbeza. Mereka merokok tapi Rina tak. Mereka ketawa gembira tapi Rina hanya tersenyum. Mereka berbual tapi Rina hanya mendengar. Rina takde di situ. Tempat Rina di tempat lain dan abang rasa Rina sebenarnya sedang tersesat. Untuk pengetahuan Rina apabila kita berada dalam situasi sekeliling yang menggembirakan tetapi hati tidak mampu gembira, itu tandanya hati kita ada masalah. Mungkin hati sedang menghidapi penyakit yang melibatkan masalah kerohanian. Semuanya jelas di hadapan mata abang. Wajah Rina sering memberitahu apa yang ada di hati Rina dan sesiapa pun sebenarnya akan dapat membacanya yang Rina bagaikan terpaksa berada di antara mereka. Kali kedua abang nampak Rina di tempat yang sama abang memang teringin nak mendekati Rina. Abang nak tahu apa yang membuatkan Rina ada di situ. Apa yang membuatkan Rina sanggup bersembunyi dan berpura-pura menjadi orang lain? Abang nak tahu mengapa? Sebab tu Rina selalu nampak abang sebab abang sentiasa mencari peluang untuk dekati Rina. Hanya kali ini bila abang nampak Rina sendirian barulah abang dekati Rina.”
“Kenapa nak dekati saya? Buat apa abang nak membazir masa untuk ambil tahu tentang saya?” aku menyoalnya kerana aku masih tidak jelas dengan niat sebenarnya.
“Sebab abang rasa Rina perlukan seseorang yang boleh tolong Rina.”
Aku memandangnya dengan mata yang mengecil. “Tolong apanya? Siapa yang minta tolong? Saya okay!” mendengar bicaranya, emosiku mendadak naik dengan suara yang meninggi. Sengaja enggan mengakui kelemahan diri ku di hadapannya. Jatuhlah maruah ku jika aku benarkan itu terjadi.
“Benarkah? Hati Rina tak meronta-ronta meminta segala persoalan dalam diri Rina berjawab?” dia menyoal ku dengan pandangan mata yang bersinar tajam. “Kata-kata yang kita luahkan memang boleh menipu orang sekeliling kita tetapi bagaimana pula dengan perasaan kita sendiri? Tapi kadang-kadang kata-kata pun tak mampu mengaburi pandangan mata hati orang lain pada kita. Bila keinginan hati tak seiring dengan perbuatan itulah yang kita namakan pura-pura,” Adam Zaffran menambah lagi.
“Oh! Sekarang abang tahu isi hati saya pulak? Tadi abang baca fikiran saya, perwatakan saya dan sekarang isi hati saya pun abang tahu? Lebih dasyat lagi abang tahu pa yang hati saya mahu dan apa yang hati saya tak mahu. Macam tu?” aku menyoalnya dengan nada berang. Entah kenapa aku amat marah kepada lelaki ini kerana dia bagaikan sudah menggali sebahagian rahsia hidup ku dan aku tidak suka diri ku dinilai oleh lelaki asing.
“Rina boleh tipu abang tapi tidak dengan diri Rina. Semakin banyak masa yang Rina bazirkan semakin banyak kerugian yang akan Rina dapat nanti. Ingatlah firman Allah dalam surah AL-Arsh ayat 1 hingga 3 yang ada mengatakan sesungguhnya demi masa manusia itu dalam kerugian. Kecuali bagi orang yang beriman, yang berwasiat dan berpesan-pesan dalam kebaikan penuh kesabaran. Rina tak boleh selamanya membiarkan masa itu berlalu begitu sahaja tanpa merubah hidup Rina. Masa yang ada Allah berikan pada kita dengan percuma tidak berhak kita gunakan untuk ke jalan yang salah. Berjalan berlanggang lenggok di atas pentas peragaan dengan baju yang membuka aurat itu adalah salah, Rina. Berdosa! Sedarlah kewajipan wanita adalah menutupi auratnya. Carilah kerja yang boleh memberi keberkatan kepada apa yang kita makan. Berkerja dengan menayangkan tubuh badan di hadapan lelaki-lelaki yang bukan muhrim itu bukan kerja yang baik. Rezeki yang didapati juga tidak berkat. Benda yang tidak elok masuk ke dalam tubuh kita akan mempengaruhi diri kita dan hati. Itu yang membuatkan kadang-kadang manusia ni ada duit banyak tapi jiwa tetap tak bahagia.”
Aku memandang Adam Zaffran dengan pandangan yang amarah. Pandai-pandai pula lelaki ini mahu menasihati aku. Awal pertemuan tadi dia bertanya apakah aku berkerja. Seolah-olah dia tidak tahu apa-apa tentang diri ku. Tetapi kini dia mengatakan yang dia tahu apa pekerjaan yang aku lakukan.
“Terima kasihlah atas nasihat abang tu. Saya hargai segala teguran abang tu tapi maaflah, saya tak percaya pada orang asing apatah lagi lelaki. Lelaki ni manusia yang tak boleh dipercayai! Jadi janganlah abang nak nilaikan saya sesuka hati abang sebab abang tak tahu apa-apa pun tentang diri saya. You know nothing about me! So berhentilah perhatikan saya selepas ini!” dengan tegas aku menjawab kepadanya.
“Jadi perkenalkan diri Rina pada abang. Abang sentiasa menunggu saat itu.” Enggan kalah perdebatan ini, Adam Zaffran membalas pantas. Ada sedikit cabaran dalam suaranya itu.
“Saya tak berminat nak kenalkan diri saya pada sesiapa pun. Tolong jangan ikut saya lagi sebab saya ni tak suka lelaki. Saya bencikan lelaki. Kalau abang rasa abang ni lelaki, tolong jangan dekati saya lagi. Fahamkan?” balas ku semakin kasar kepadanya.
“Apa masalahnya dengan lelaki?” Adam Zaffran tidak mahu mengalah. Dia langsung tidak mengerti dengan bicara ku itu. “Allah tak mencipta lelaki untuk dibenci oleh kaum Hawa..” sambung Adam Zaffran lagi.
“Jangan sibuk hal oranglah! Saya tak kacau abang jadi abang jangan kacau saya. Kalau nak jadi kaunselor pergilah rumah orang gila atau mana-mana tempat yang bersesuaian. Sini bukan tempatnya!”

Tanpa menunggu dia membalas kata-kata ku, aku terus bangun dan meninggalkannya di situ. Kali ini aku memilih untuk pulang sahaja ke rumah kerana aku sudah kehilangan minat untuk terus berada di situ lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan