“Tak perlu berkorban lagi, Ariff. Saya dah
takde apa-apa lagi yang nak diserahkan pada awak. Jiwa saya tak pernah ada
untuk awak selama ini. Hidup dengan saya awak akan tersiksa. Saya relakan awak
memilih perempuan lain yang mampu memberi awak kebahagiaan.” ujar ku hambar.
“Syira, sekali saja lagi. Tolonglah. Saya
sayangkan awak dan anak-anak saya. Jangan buat macam ni pada saya.” Ariff tidak
segan-segan mengucup jemari ku berkali-kali.
“Saya tak mampu lagi, Ariff.” kata ku lantas
menarik semula jemari ku darinya enggan membiarkan dia melemahkan jiwa ku.
“Saya akan bahagiakan awak sepenuh kemampuan
saya, sayang. Saya berjanji akan berubah. Saya takkan minum arak lagi. Saya
akan bersolat dengan awak setiap hari. Saya sudah insaf, Syira. Jangan hampakan
harapan saya. Saya tak boleh hidup sendiri tanpa awak. Saya akan semakin
tersesat. Tolonglah saya, Syira. Jangan biarkan saya sendirian. Saya mahu awak
menemani saya sehingga saya mati suatu hari nanti.”
“Jangan berubah kerana saya, Ariff. Berubahlah
kerana ALLAH. Saya cuma manusia biasa. Tiada siapa yang boleh menjamin saya
akan terus bersama awak kerana hidup kita milik ALLAH.”
“Saya tahu, sayang. Tetapi perpisahan kita
banyak menyedarkan saya selama ini. Semenjak awak pergi dulu hidup saya
bagaikan hancur. Saya rasa terlalu sunyi dan kosong. Setiap kali saya pulang ke
rumah jiwa saya hanya ada kehampaan. Saya rasa seperti mahu mati saja kerana
saya merasakan saya sudah tiada apa-apa lagi. Hidup saya tiada erti. Tetapi
saya sedar perbuatan itu hanya sia-sia dan saya sudah berjanji takkan mengambil
pil lagi untuk meluahkan perasaan saya. Saya hanya mahu meminta awak kembali
semula ke London tetapi saya malu pada awak dengan keadaan diri saya begini.
Setiap hari hati saya merintih kerana saya terlalu rindukan awak dan anak-anak
saya. Saya tahu saya tak mampu bertahan lagi. Suatu malam saya ke kelab lagi
untuk meredakan perasaan saya. Saya di sana melayan rasa kecewa dengan
perempuan-perempuan di sana. Tapi semuanya sudah tidak sama lagi seperti
sebelum ini. Saya amat tersiksa sekali apabila kehilangan awak dan anak-anak
saya. Sampai ke pagi saya di sana menghabiskan masa dengan minum arak. Tapi
bila saya balik saya teringin untuk berjalan kaki pulang ke rumah. Berada di
kelab itu sebenarnya tidak membuatkan jiwa saya aman sebaliknya semakin
tertekan. Saya fikir saya akan dapat meredakan perasaan saya dengan
berjalan-jalan di luar. Sewaktu saya berjalan di hadapan masjid saya terdengar
suara orang yang melaungkan sesuatu. Saya berada di hadapan masjid itu
mendengar laungan itu dan saya melihat ramai orang masuk ke masjid itu.
Tiba-tiba hati saya jadi terlalu sedih. Saya seperti mahu menangis mendengar
laungan itu. Saya mahu meluahkan perasaan saya tapi bagaikan tiada tempat untuk
saya mengadu. Saya rasa sayu yang tidak mampu diucapkan. Sungguh bodoh kerana
selama bertahun-tahun ini saya bukan seorang penganut agama islam yang baik.” Ariff
terhenti seketika. Dia menyapu pipinya menghilangkan kesan air matanya.
Baru aku perasan ada manik jantan yang
mengalir di pipinya. Sayu hati ku melihat suami ku ini. Sangka ku dia akan
bahagia dengan hidupnya kerana aku sudah tiada lagi untuk membebelkan sikapnya
selama ini. Aku tidak sangka dia akan teraba-raba mencari arahnya setelah aku
tiada.
“Saya berdiri lama di hadapan masjid itu dan
memandang ke arah masjid itu untuk mengetahui apa yang sedang dilakukan oleh
orang itu. Saya baru faham laungan itu adalah laungan yang memanggil orang
untuk bersolat. Kemudian saya teringat awak sering bersolat pada awal pagi.
Saya yang tak pernah melakukannya setiap kali awak mengajak saya
mengerjakannya. Tiba-tiba ada seorang lelaki tua menepuk bahu saya dari
belakang. Dia bertanya adakah saya orang islam dan saya katakan ya. Dia
mengajak saya bersolat berjemaah bersama-sama.”
Ariff diam lagi. Dia tunduk sedikit.
“Saya katakan padanya yang saya tak tahu
bersolat. Dia agak terkejut mendengar itu. Saya malu kepadanya. Tetapi dia
tetap mengajak saya masuk ke dalam masjid itu untuk mengikuti jemaah yang
sedang bersiap mahu bersolat. Tapi saya menolak. Saya katakan pada dia yang
saya dalam keadaan yang kotor. Saya tak layak masuk ke sana. Tetapi lelaki itu
tak menghiraukan apa yang saya katakan. Dia tetap menarik tangan saya masuk ke
dalam. Kemudian dia memberikan saya sehelai tuala yang bersih. Katanya tiada
kotoran yang tidak dapat dibersihkan dan tiada dosa yang tidak akan diampunkan
Allah dengan syarat kita akan membersihkan dosa-dosa kita dengan meminta ampun
dan bertaubat. Katanya Allah Maha Penerima taubat.”
Aku semakin berminat mendengar cerita Ariff
itu.
“Kemudian apa berlaku?” soal ku tidak sabar.
“Dia mengajar saya mandi taubat sebagai
permulaannya. Saya akur dengan apa yang dia ajarkan. Di masjid itu saya mandi taubat
dan membersihkan diri. Kemudian lelaki tua itu memberi saya persalinan yang
bersih dan meminta saya memasuki jemaah yang sudah siap untuk memulakan solat. Katanya
buat permulaan saya hanya perlu mengikut sahaja apa yang orang lain lakukan. Saya
mengambil tempat di belakang sekali. Saya hanya menuruti apa yang orang lain
lakukan sehinggalah selesai. Saat memandang mimbar itu saya terasa diri saya begitu
hina sekali. Saya melihat mereka semua khusyuk membaca doa sedangkan saya tidak
tahu bagaimana untuk berdoa seperti mereka. Saya seorang lelaki yang beragama
islam. Tetapi saya bodoh dan tidak tahu apa-apa mengenai agama islam. Saya
benar-benar rugi. Setelah itu lelaki tua tadi datang kepada saya. Dia mengajak
saya duduk di hadapan mimbar apabila masjid itu menjadi kosong. Saat itu lelaki
tua itu bertanya kepada saya macam-macam perkara mengenai diri saya. Saya
terpaksa menceritakan kesemuanya. Lelaki tua itu agak terkejut apabila mendapat
tahu yang saya sudah enam tahun menjadi orang islam tetapi masih tidak tahu
bersolat. Tetapi saya hanya jujur kepadanya, yang saya memang tidak pernah
berminat untuk mendalami agama islam selama ini walaupun awak selalu
mengingatkan saya mengenai tanggungjawab saya. Saya adukan apa yang saya rasai
saat itu kepada dia. Dia menasihati saya supaya memulakan perubahan jika saya
mahu Allah membantu saya. Dia meminta saya mulakan dengan solat taubat. Dia
juga berjanji akan mengajar saya.”
Ariff terhenti lagi. Dia kemudian memandang
ku.
“Orang tua itu bernama Pakcik Umar. Dialah
yang banyak mengajar saya selama ini, Syira. Dalam tempoh hampir dua tahun ini
dia mengajar saya cara untuk bersolat dan mengaji Al Quran. Setiap petang saya
akan belajar agama dengannya sehingga ke malam. Kali ini saya bertekad untuk
berubah untuk menjadi orang islam yang sebenar-benarnya. Saya lakukannya kerana
diri saya kerana saya sudah sedar tiada kebahagiaan yang akan saya miliki
melainkan dengan kuasa Allah.” ujar Ariff sebak.
“Setelah saya mencuba untuk bersolat ternyata
saya akui apa yang awak katakan kepada saya selama ini benar belaka. Pertama
kali saya cuba melakukan solat itu adalah solat taubat. Saat itu saya menangis
di dalam solat entah kenapa. Saya rasa amat sedih dan sayu seolah-olah Tuhan
sedang berada begitu dekat dengan saya dan saya mampu merasakan yang Allah
sedang melihat saya. Pada saat saya terasa bersendirian, Allah ada menemani
saya dan mendengar kepada saya. Jiwa saya jadi sungguh aman selepas bersolat.
Saya rasakan segala beban saya terlepas setelah saya mengadu segala isi hati
saya kepada Allah. Pertama kali di dalam hidup saya saya merasakan hidup saya
amat bererti sekali. Saya rasa amat kerdil sekali saat saya memohon ampun
kepada Tuhan atas segala dosa-dosa saya selama ini. Sungguh ajaibnya solat itu
setelah saya melakukannya saya bagaikan diberikan sedikit kekuatan untuk
menempuh hidup ini. Saya orang yang hina dan tiada orang yang memberitahu saya
yang Allah sedang memandang saya. Tetapi saya tetap merasainya biarpun Allah
juga tidak pernah memperlihatkan dirinya di mana-mana. Perasaan itu sungguh
ajaib dan saya tak mampu menafsirkannnya dengan kata-kata yang biasa.”
ikot hati nak goda lagi
BalasPadamxsanggup pulak nk berpisah dgn cite
windu dgn si kembar rafael & mikael
Insya-Allah..doakan dlm versi cetak pula ya. tq..
Padameh akak meh saya goda pulak.. teaser kena cukup 3 kali selalunya.. haha! one more darling?? kenyit mata sikit muncung itik.. (^_0)
BalasPadamHahaha.. dik x laku muncung itik tu..
PadamAssalamualaikum... mcam xpuas plk crite ni... ada 2crite je
BalasPadamAssalamualaikum... mcam xpuas plk crite ni... ada 2crite je
BalasPadam