Anak burung terbang di awan,
Emak burung terbang di kayangan,
Hati yang marah harus dilawan,
Kerja syaitan untuk menyesatkan.
Petang
selepas asar itu aku cuba berbual lagi dengan Ariff setelah
kedinginan melanda kami untuk beberapa ini. Tidak tahan dengan keadaan itu aku
nekad mengalah sahaja kepada suami ku itu. Aku sudah tidak sanggup lagi
meneruskan kekeruhan, sedangkan kami baru beberapa hari berkahwin. Tidak
syoklah kami terus bermasam muka. Bukankah seharusnya saat ini kami meraikan bulan
madu? Nama aja dalam suit bulan madu. Kami berdua asyik dengan muka mencuka
antara satu sama lain.
Walaupun tak berapa nak ikhlas.. aku layan
jugaklah angin manja-manja dia. Nak meriba segala. Biarlah.. Ariff pun memang
dah lama takde ibu. Jadi aku ni selain jadi bini dia, jadi mak dia jugaklah!
“Apa yang awak fahami dengan erti perkahwinan
sebenarnya, Ariff?” soal ku perlahan. Mood Ariff yang agak baik berbanding
sebelum ini. Mudahlah aku untuk berbual dengan lelaki itu.
“Perkahwinan hanya mengikat seorang lelaki dan
wanita di dalam ikatan suami isteri. Ada anak dan menjadi tua dengan kerenah
masing-masing,” jawab Ariff sedikit pun tidak serius. Dia terus bermain dengan
jemari ku tanpa mahu memberi perhatian
kepada ku sesungguhnya.
“Lagi? Takkan itu sahaja yang awak tahu?” aku
terus memancing minat Ariff lagi supaya lebih banyak bercakap dengan ku.
“Itu sahaja..” Ariff tetap menjawab acuh tidak
acuh.
Aku menghela nafas perlahan mendengar persepsi
Ariff yang terlalu serong mengenai erti sebuah perkahwinan. Sudahlah
pengetahuannya teramat sikit malahan apa yang dipegangnya itu ternyata salah.
Kasihan jika suami ku ini terus berada dalam keadaan naif begini. “Itu sahaja
persepsi perkahwinan dalam agama kristian.. atau awak yang tak tahu sebenarnya?”
soal ku lagi.
“Saya tak tahu untuk apa perlu wujudnya
perkahwinan. Kita masih boleh berseronok tanpa berkahwin. Lebih mudah kalau
hubungan itu tidak melibatkan perasaan dan ikatan seperti ini. Apabila kita
bosan dengan seseorang kita bebas memilih apa yang lebih baik untuk kita.
Tetapi dengan perkahwinan segalanya sukar kerana kita perlu bercerai dahulu
sebelum membuat pilihan yang lain. Memang rumit dan membuang masa!” ujar Ariff
tanpa sebarang rasa bersalah mengucapkan kata-kata itu.
Oh! Sekarang aku sudah mengerti. Mungkin aku
akan diceraikan oleh lelaki ini apabila dia sudah bosan. Agaknya dia fikir aku
juga sama macam dia.. bila-bila terasa nak cuba lelaki lain, pergi macam tu
aja! “Jadi selepas ini bila awak dah bosan dengan saya awak akan ceraikan
sayalah, ya?” soal aku agak mendatar. Lelaki itu aku kerling melalui ekor mata.
“Bukan begitu maksud saya. Saya tak maksudkan
awak, sayang. Awak dah jadi isteri saya. Takkan saya nak ceraikan awak..” ucap
Ariff lembut sambil menyeringai.
“Yalah tu..” sambut ku malas mahu mendengar
lagi.
“Sebelum ini saya memang selalu tertanya
perlunya berkahwin? Tanpa perkahwinan pun kita masih boleh memiliki anak dan
keluarga. Semua orang di barat ada anak tapi tak semestinya mereka berkahwin.”
Ariff sekali lagi menjelaskan pendiriannya tentang hal itu.
“Memang betul tapi pendirian seperti itu tidak
diamalkan oleh agama kita, Ariff. Anak yang datang dari hasil perhubungan yang
tidak sah, hilang banyak keistimewaan seperti yang berhak didapati oleh anak
yang lahir dalam perkahwinan. Perkahwinan ini Allah tekankan di kalangan
manusia untuk menjaga hak dan keturunan manusia supaya tidak bercampur aduk.
Juga supaya dapat dibezakan hubungan di dalam sesebuah keturunan. Anak luar
nikah tidak berhak mendapat nafkah dan pewarisan harta daripada ayahnya biarpun
ayah kandungnya sendiri. Anak perempuan pula tidak boleh diwalikan
pernikahannya oleh si ayah tadi. Dan kewajipan untuk menyara keperluan anak
luar nikah telah dijatuhkan ke atas ibu sepenuhnya. Ayah sudah tidak berhak
lagi kepada anak itu. Berbeza dengan anak yang lahir di dalam sesebuah hubungan
yang dihalalkan Allah. Ayahnya bertanggungjawab menjaga kebajikan anak itu
sehinggalah mereka dewasa nanti dan ayah berhak mendapat ketaatan anak itu
sepenuhnya. Apabila anak itu dewasa anak itu juga ada kewajipan untuk menjaga
kebajikan ayahnya itu. Kerana itu perkahwinan dianggap amat penting bagi kita
semua. Sebab hidup kita tidak akan selamanya begini. Hidup atas dunia ini ada
kitarannya. Hari ini kita muda, sampai satu masa kita pula yang akan tua. Kita
semua memerlukan antara satu sama lain. Orang itu sudah tentulah anak-anak yang
sah dilahirkan dari perhubungan yang sah.
Di dalam agama islam berzina itu ditakrifkan
sebagai persetubuhan antara lelaki dan perempuan yang bukan pasangan suami dan
isteri yang sah. Hukumnya berdosa besar, Ariff. Firman Allah ada menyatakan.. perempuan yang
berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah disebat tiap-tiap seorang dari kedua
mereka dengan seratus kali sebat, dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan
belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum Allah jika benar kamu
beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan hendaklah disaksikan hukum siksa
yang dikena kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang
beriman. Firman Allah tentang hukuman zina terdapat dalam Surah An-Nur ayat 2.
Hukuman yang disebut dalam surat an-Nur ayat 2 ini adalah secara umum, tetapi
dalam hadis-hadis Rasulullah SAW dijelaskan satu persatu hukumannya, iaitu jika
lelaki atau perempuan yang berzina itu pernah menikmati persetubuhan yang halal
iaitu dengan isteri-isterinya, maka hukuman bagi tiap-tiap seorang di antaranya
ialah direjam. Sebaliknya jika mereka belum pernah merasa kenikmatan
persetubuhan, maka hukumannya ialah disebat seratus kali sebat dan dibuang
negeri.
Kerana itu
seluruh umat islam dilarang mendekati zina kerana ianya amat terkutuk dan amat keji di sisi
Allah. Pergaulan bebas antara lelaki dan wanita amat dilarang kerana akan
memberikan natijah yang buruk seperti anak yang tidak diketahui nasabnya dan
juga penyakit kelamin. Bagi lelaki mahu pun perempuan amat penting bagi semua
manusia menjaga ‘kemaluannya’ kerana Allah sudah menjanjikan hukuman yang berat
bagi siapa yang ingkar. Allah telah berfirman yang bermaksud sesiapa yang
menjaga kemaluannya melainkan kepada isterinya maka mereka tidak akan tercela. Tetapi
barang siapa yang telah melakukan dosa besar itu maka dia adalah orang yang
telah melanggar batasan. Memang amat sukar untuk mengawal syahwat tetapi dalam
islam setiap kita dituntut agar menjaga mata kerana ada disebut di dalam hadis
Rasullullah SAW yang berbunyi, mata akan memulakan segalanya. Mata akan melihat
dan nafsu berahi akan bergejolak dan kemaluan pula akan membenarkan. Ketika
nafsu sudah menguasai diri tidak ramai orang yang mampu berfikir di mana halal
haramnya lagi. Allah menetapkan hukuman pagi penzina akan diperlipatgandakan
siksanya pada Hari Kiamat dan penzina akan menetap di sana dalan keadaan yang
sungguh hina kecualilah dia telah bertaubat kepada Allah atas dosanya itu.” Aku
menjelaskan dengan hati-hati agar suami ku ini mengerti tentang apa yang sedang
aku bicarakan. Terkedip-kedip mata Ariff memandang diri ku.
Melihat Ariff diam aku menyambung lagi.
“Seorang wanita wajib menjaga maruah dirinya daripada pandangan lelaki-lelaki
yang bukan mahramnya. Tubuh badan wanita adalah larangan pada mata lelaki asing
kecuali kepada suaminya dan mahramnya seperti ayah dan adik beradiknya yang
lelaki. Kerana itu Allah wujudkan perkahwinan dalam islam. Ikatan perkahwinan
adalah perhubungan yang amat suci dan ada ganjaran yang besar bagi lelaki dan
perempuan yang menjaga kesucian hubungan ini. Kita berdua wajib menjaga
kesucian hubungan ini. Di dalam perkahwinan wujud kasih sayang yang terjalin
antara lelaki dan wanita yang menghalalkan hubungan seks antara suami dan
isteri. Memang bagi sesetengah orang menganggap perkahwinan ini amat melecehkan
kerana banyak tanggungjawab yang harus dipikul sebagai suami dan isteri tetapi
Allah sudah meletakkan ganjaran yang tertentu bagi yang ikhlas menjalaninya.
Walaupun perbuatan itu sekecil-kecil perbuatan tetapi jika ianya mendatangkan kebaikan
untuk pasangannya Allah tetap akan membalasnya.”
“Hanya itu sebabnya mengapa manusia disuruh
berkahwin? Untuk apa bersusah payah memikul tanggungjawab tu sedangkan kita
masih boleh memilih untuk bebas dari tanggungjawab tu?” bidas Ariff tetap enggan
menerima penjelasan itu.
“Ariff, semua orang tahu.. lelaki dilahirkan
dengan hanya satu nafsu iaitu nafsu kepada perempuan. Sedangkan perempuan
nafsunya berbilang-bilang dan tidak hanya tertumpu kepada yang satu itu. Kerana
itu Allah menyuruh kita berkahwin. Malahan lelaki islam dibenarkan beristeri
lebih dari seorang dan tidak lebih dari empat orang isteri jika dia
berkemampuan dari segi batin dan zahirnya. Berzina ni antara dosa-dosa yang
paling dasyat, Ariff.”
“Apa kelebihannya dengan perkahwinan? Sama
sahaja! Awak sendiri kata dalam perkahwinan banyak tanggungjawab yang
menyusahkan!” desis lelaki itu enggan menerima kata-kata ku.
“Banyak kelebihannya, Ariff. Dalam hidup ini
bukan hanya keseronokan sementara yang perlu kita kejar. Apa yang paling
penting ialah kehidupan yang kekal abadi nanti. Perkahwinan adalah medan untuk
mengumpul pahala. Memberi makan pakai kepada anak isteri itu adalah salah satu
dari ibadah dan Allah memandang tinggi seorang yang ikhlas dan sabar dalam dia
melunaskan tanggungjawabnya. Mendidik anak-anak dan isteri juga salah satu dari
ibadah dan amat besar ganjarannya bagi lelaki yang istiqamah melakukannya.
Allah menjadikan wanita dari satu tulang rusuk lelaki. Setiap wanita memerlukan
seorang lelaki untuk melindungi dan menyayanginya kerana wanita adalah hamba
Allah yang lemah. Wanita bukan tempat untuk lelaki melepaskan kemahuannya atau
kemarahannya kerana setiap manusia dilahirkan dengan satu hati. Dalam islam
setiap suami dituntut supaya berlaku adil kepada isteri dan wajib bagi setiap
suami menjaga kebajikan isteri-isterinya. Banyak tanggungjawab sebagai suami
jika saya nak ceritakan.”
“Kalau suami diminta berlaku adil kepada
isteri dengan semua tanggungjawab itu, apa pula tanggungjawab isteri pada suami?”
tanya Ariff lagi.
“Allah Maha Adil, Ariff. Dalam hidup ini, kita
memberi dan kita menerima. Allah tidak hanya memberatkan sebelah pihak sahaja
dengan tanggungjawab di dalam perkahwinan. Besar hak suami di atas bahu seorang
isteri dan bagi isteri yang menunaikan hak suami amat besar pahala yang Allah
berikan bagi isteri tersebut. Manakala bagi isteri yang ingkar akan mendapat
dosa besar. Nabi Muhammad SAW pernah berkata, sekiranya mampu aku akan menyuruh
seorang isteri itu untuk menyembah seseorang yang lain maka aku akan
menyuruhnya menyembah suaminya’. Tetapi Allah sudah menetapkan kita hanya boleh
menyembah Allah. Jadi suami itu hanya boleh ditaati tetapi tidak boleh
disembah. Tinggi kedudukan seorang suami itu kerana dia adalah tunggak sesebuah
keluarga dan dia adalah pemikul amanah untuk menjaga seluruh kehidupan isteri
dan anak-anaknya selain daripada memberikannya makan pakai dan rumah untuk
berteduh. Selain itu.. mendidik isteri dan anak-anak supaya menjadi orang yang
baik juga adalah tanggungjawab suami. Sebabnya hak suami amat besar di atas
pundak isteri adalah kerana fitrah lelaki dan wanita tidak sama. Sabda Nabi SAW
yang lain ada mengatakan, sekiranya seorang perempuan itu sembahyang lima
waktu, berpuasa sebulan dibulan ramadhan, memelihara kehormatannya daripada
lelaki ajnabi dan mentaati suaminya akan dikatakan kepadanya diakhirat nanti.. Masuklah
engkau ke dalam syurga melalui mana-mana pintu yang engkau mahu. Sabda nabi SAW
yang lain juga ada mengatakan, Allah tidak akan memandang seorang isteri itu
dengan pandangan rahmat jika dia tidak mensyukuri suaminya sedangkan suaminya
tidak pernah menghampakannya. Dan jika seorang suami itu mengajak isterinya ke
tempat tidur tetapi si isteri menolak untuk memenuhi kehendak suami dan
membiarkan suaminya tidur dalan keadaan yang marah para Malaikat akan
menyumpahnya sehinggalah ke pagi,” cerita ku lembut.
Ariff terus memandang ku dengan mata
terkelip-kelip. Entahkan masuk ke benaknya apa yang ku katakan tadi entahkan
tidak. Tetapi aku dapat lihat dia Ariff mendengar dengan bersungguh apa yang
aku katakan sebentar tadi.
“Perkahwinan akan mencegah umat manusia
daripada berbuat dosa terutama sekali dosa zina. Kerana Allah mahu kita
mendekati yang halal dan menjauhi yang haram. Fitrah manusia sentiasa mahukan
kasih sayang juga bertepatan dengan objektif perkahwinan itu sendiri. Itulah
sebabnya Allah wujudnya perkahwinan ni, Ariff. Kerana itu jugalah Allah
menetapkan hak suami amat besar dan isteri wajib memenuhinya kerana jika dia
sengaja tidak memenuhinya itu boleh menyebabkan lelaki akan pergi mendapatkan
kepuasan batinnya di tempat yang haram. Dalam islam setiap isteri itu diminta
berusaha bersungguh-sungguh untuk memenuhi kehendak suami agar beroleh keredaan
Allah.” Aku terus berbicara lembut sebelum menutup bicara mengenai yang
berkaitan dengan hal itu.
“Awak pernah lihat Tuhan?” soal Ariff sambil
menatap mata ku.
“Tiada siapa yang pernah melihat bagaimana
rupa Allah. Tetapi Dia wujud berdasarkan sifat Allah yang pertama ialah wujud.”
“Apa buktinya Allah wujud kalau awak benar?”
soal Ariff mahu berdebat pula dengan aku tentang itu.
Perlahan
aku mengambil tangan suami ku itu lalu ku letakkan di atas perut ku. Aku mahu
Ariff merasai apa yang sedang wujud di dalam itu, kerana itulah tanda pemberian
Allah yang paling dekat dengan kami berdua. “Anak yang sedang hidup di dalam
rahim saya ini adalah salah satu bukti kewujudan Allah, Ariff. Semua benda di
dalam dunia ini ada penciptanya. Allah yang menjadikan semua manusia, saya..
awak dan juga anak ini. Awak hidup dengan udara yang segar siapa yang mencipta
udara yang segar itu? Malah udara yang segar ini sentiasa ada untuk awak, tidak
pernah habis biar di mana awak berada. Seperti mana sebuah kereta tidak akan
terjadi sebuah kereta jika tidak manusia yang menciptanya. Macam tulah juga
dengan kita semua. Hanya Allah sahaja yang tidak dicipta oleh sesiapa. ALLAH
terjadi dengan sendirinya dan berdiri dengan sendirinya. Seperti yang dikatakan
dalam Surah Al-Ikhlas ayat 3 hingga 4, Allah tidak beranak dan tidak
diperanakkan. Tiada sesiapa pun yang mampu menyerupai-Nya. Begitulah sifat
Allah untuk awak kenali,” balas ku cuba untuk meyakin lelaki itu.
Ariff diam lagi. Nampak seperti dia sedang
memikirkan apa yang aku katakan tadi atau mungkin dia sednag mencari idea untuk
mematahkan hujah ku.
“Untuk apa kita kena menyembah Allah kalau
kita tak nampak Dia? Allah tak boleh dilihat. Kalau Tuhan mahu kita mengagungkan-Nya,
Tuhan kena menjelmakan diri. Jika tidak, kita hanya seperti orang bodoh
menyembah sesuatu yang kita tidak dapat lihat dengan mata.” Ariff lantas
bersuara setelah beroleh idea untuk mencabar apa yang diperkatakan oleh ku.
Aku tersenyum seketika sebelum menjawab.
“Allah maha besar, maha tinggi kedudukannya, Ariff. Awak lihat bintang di
langit. Apabila malam awak nampak kerdipannya kecil sahaja tetapi kelihatan
tidak begitu tinggi di atas sana. Tetapi apabila ahli astronomi pergi mengkaji
bintang itu rupanya bintang itu amat besar dan jaraknya dari kita berjuta-juta
kilometer. Berjuta-juta kilometer itu kalau kita berkereta sekali pun mungkin
sampai kita sudah bercucu-cicit nanti kita takkan sampai sejauh itu. Tetapi itu
bintang yang saiznya masih boleh diukur dan jaraknya masih boleh disukat dengan
jentera ciptaan manusia. Tetapi Allah lebih dari itu! Allah maha besar. Terlalu
besar sehingga tiada siapa yang mampu membayangkan betapa besarnya Allah. Kalau
kita merasakan bintang itu cukup besar, Allah jauh lebih besar dari itu. Awak
tanya saya mengapa Allah tidak kelihatan tetapi saya katakan Allah itu ada.
Saya contohkan pada awak tentang bumi ini supaya mudah untuk awak faham. Bumi
ini antara planet yang terkecil di dunia. Tetapi biarpun kecil terlalu banyak
negeri-negeri dan benua-benua di atasnya. Jika saya minta awak nampakkan kepada
saya bandar London tanpa menggunakan apa-apa alatan daripada tempat awak duduk
sekarang, boleh awak buat?”
“Dah tentulah tak boleh! Mana saya tahu
arahnya ke mana. London tu jauh dari sini.” Ariff menyambut pantas.
“Kerana apa tak boleh?” soal ku kembali.
“Apa awak cuba cakap ni?” tekan sang lelaki mula
lemas. Mungkin malas mahu berfikir teka teki yang sedang diberikan oleh ku.
“Jawab dulu soalan saya kenapa tak boleh awak
tunjukkan saya dimana letaknya London dari sini? Apa sebabnya?” pinta ku
bersungguh.
“Yalah, sebab bumi ni luas. Dah tentulah
London tak kelihatan lagi dari sini kerana jaraknya amat jauh.” Ariff menjawab
juga biarpun acuh tidak acuh sahaja.
“Tetapi dari sini awak tahu London memang
wujud dalam peta duniakan? Cuma kita sahaja yang tidak nampak, betulkan?” uji
ku lagi sambil tersenyum.
“Yalah!”
“Kenapa bila saya kata yang London tu memang
wujud di atas dunia ini sedangkan kita tidak mampu nampak dari sini, awak
percaya? Tapi bila saya kata yang Allah tu maha besar dan maha tinggi
kedudukannya, awak pertikaikan? Sebab awak pernah berada di London, maka awak
percaya yang London tu ada dan masih wujud sehingga sekarang. Tapi awak tak
tahu yang kita manusia sentiasa berurusan dengan Allah setiap hari walaupun
kita tak nampak Dia. Suatu masa dulu sebelum ditiupkan roh ke dalam jasad kita,
kita pernah berjanji kepada Allah untuk taat pada Allah. Tapi hari ini awak
pertikaikan kewujudan Tuhan, ” ucap ku serius.
Ariff terus terdiam menyedari perangkap yang
aku bina sudah dimasukinya dengan mudah. Dia terkumpal-kumpal tidak mampu
mematahkan kata-kata ku.
“Kita ni hamba Allah yang berkeupayaan
terbatas, Ariff. Jika bumi yang tak sebegitu luas ni saja pun kita tak mampu
melihat ke semuanya, bagaimana kita nak lihat Allah yang maha besar dengan
keupayaan mata kita yang amat terbatas ni? Allah maha besar kerana itu kita
tidak mampu melihatnya kerana Allah sudah mencipta dua bola mata kita ini
dengan keupayaan yang sedikit. Jangan awak pertikaikan pulak kenapa Allah
mencipta mata kita macam ni. Sebab itu semua rahsia Allah,” balas ku pantas.
Bicara ku itu sudah cukup membuatkan Ariff terdiam tidak mampu membidas lagi.
Riak tegang di wajah Ariff mula mengendur seperti sudah kalah.
“Allah tak perlu menjelmakan diri-Nya untuk
membuktikan yang Dia amat berkuasa dan wujud. Kalau kita mempunyai mata pada
hati sudah tentu kita akan melihat bukti kekuasaan Allah setiap hari. Lumrah
manusia memang hanya mahu sesuatu yang mudah sepanjang hidupnya. Jika kita
dengan mudah melihat Tuhan, manusia tidak akan mampu menyelami apa erti hidup
di atas dunia ini. Allah lebih tahu apa yang ada di atas dunia ini, Ariff. Kita
tidak boleh mempertikaikan segala sifat-sifat Allah. Awak kaya raya kalau bukan
dengan izin-Nya, awak tidak akan kaya seperti sekarang. Bukankah itu sahaja
sudah menunjukkan Dia memang wujud selama ini?” kata ku lagi.
“Saya kaya kerana papa memang otak bussiness. Orang lain tidak kaya mungkin
kerana mereka malas,” bidas Ariff selamba dalam nada yang berbaur keangkuhan.
“Siapa yang mahu hidup miskin di atas dunia
ni, Ariff?”
“Tentulah semua orang mahu kaya,” jawab lelaki
itu pantas.
“Tapi mengapa bukan semua orang di atas dunia
ni kaya? Manusia sentiasa berkejar-kejaran di atas dunia ini untuk mencari
kesenangan hidup tetapi mengapa tidak semuanya yang dapat begitu? Kalau awak
anggap semua ini tidak bergantung sedikit pun kepada Allah, cakap dengan saya
mengapa ada manusia yang sudah berusaha untuk jadi kaya tetapi masih ada yang
gagal dalam hidupnya,” duga ku mudah.
“Manalah saya tahu..” Ariff kembali semula
kepada habitnya, malas berfikir!
“Sebab semuanya yang kita mahukan kita usahakan
tetapi hanya dengan izin Allah semua itu akan kita dapati. Allah maha
memakbulkan. Kita manusia hanya perancang tetapi yang memakbulkan masih juga
Allah. Kuasa kita sebagai manusia tidak sebesar mana, Ariff. Tanda Allah itu
wujud yang paling mudah untuk awak faham ialah tentang mati. Mengapa kita harus
mati suatu hari nanti? Kalau Allah tidak wujud ke mana perginya kehidupan kita
selepas mati? Kenapa kita tak mampu hidup selama-lamanya atas dunia ini? Kenapa
kita akan tua suatu hari nanti? Kenapa ada masanya kita akan jatuh sakit?
Kenapa ada manusia yang boleh menjadi saintis dan ada yang tidak? Kalau Allah
tidak ada dengan kita selama ini, kenapa hidup ini tidak mampu berlalu seperti
yang kita mahukan selama-lamanya? Mengapa?”
Sekali lagi suami ku itu terkedu tidak mampu
menjawab. Banyak sangat agaknya soalan aku tadi? Tak lekat kat otak dia!
“Tuhan
tu wujud, Ariff. Awak wajib percaya yang kita akan menempuhi kiamat kecil iaitu
kematian. Kematian ialah gerbang utama untuk kita bertemu Allah suatu hari
nanti. Di akhirat nanti kita akan pergi bertemu Allah bersama setiap amalan
kita di atas dunia ini,” ujar ku sambil memandang mata suami ku itu
dalam-dalam.
Ariff diam mendengar itu. Masih cuba memikirkan
kelogikan apa yang aku katakan. Aku tahu Ariff masih mahukan hujah yang tepat
bagi membenarkan apa yang ku katakan sebentar tadi. Tapi nak dalil yang sahih..
contoh yang mudah sahaja aku bagi dia dah lintang pukang tak boleh fikir.
“Sesungguhnya orang yang beriman itu akan
mencintai Allah dan para Rasul terlebuh dahulu, kemudian barulah yang lain.
Kerana segala nikmat yang didatangkan kepada kita di atas dunia ini datangnya
dari Allah. Allah juga boleh mengambil semua kenikmatan itu bila-bila masa yang
Dia suka. Awak jangan lupa tentang itu!” tegas ku.
“Jadi kamu akan mencintai Tuhan melebihi dari
saya?” soal Ariff dalam pada dia merenung bola mata ku.
“Awak juga harus mencintai Tuhan melebihi dari
saya, Ariff. Kerana saya cuma isteri awak. Kemampuan saya terhad! Saya tak
mampu memberi kebahagiaan kepada awak melebihi daripada apa yang Allah mampu
beri. Sungguh merbahaya bagi orang yang memiliki perasaan was-was kepada
keesaan Allah. Nilailah semula perasaan itu. Kerana Allah hanya mahu kita taat
pada Dia. Bukannya Allah meminta wang ringgit kita. Redalah kepada Allah, Ariff.
Kerana Allah sedang dan sentiasa melihat kita,” ujar ku lembut namun
bersungguh, cuba menyedarkan lelaki ini. Aku tidak rela dia terus memegang
pendiriannya yang dahulu.
“Allah terlalu sayangkan kita selama ini,
Ariff. Hanya kita aja yang selalu lupa pada dia.”
“Kata-kata awak semua tu terlalu mendalam,
Insyirah. Awak memang taat beragama. Semua perkara awak tahu,” komen Ariff agak
rendah.
“Saya bukan orang yang terlalu arif tentang
hal agama ini, Ariff. Saya sendiri masih banyak kekurangan dan perlu terus
belajar. Taat kepada Allah amat dituntut kepada semua orang, Ariff.
Perlahan-lahanlah.. Awak boleh mendalami agama islam sekiranya awak mahu. Ada
ramai orang yang boleh membantu awak jika awak mahu. Di masjid juga selalu ada
kuliah agama. Jika awak selalu ke masjid, banyak yang awak akan dapat tahu.
Kalau awak akur dengan ini semua awak akan mendapat ketenangan yang abadi. Awak
akan merasa lebih bahagia daripada sebelum ini. Kalau kita kenal Allah dengan
baik, kita akan cintakan Dia melebihi dari segala-galanya, Ariff. Percayalah
cakap saya ni,” ujar ku cuba memancing minat suami ku itu.
Ariff hanya diam sahaja tanpa berkata apa-apa.
Berminat tidak, tidak berminat juga tidak. Reaksinya begitu-begitu sahaja.
“Takpelah. Suatu hari nanti saya berdoa awak
akan berada jalan yang sama seperti yang orang islam yang lain. Waktu itu awak
akan berjalan dengan hati yang reda dan bahagia, Ariff. Walaupun mungkin waktu
itu Allah menentukan saya tidak lagi bersama awak, awak akan tetap menjalani
hidup ini dengan sabar. Saya percaya Allah akan menemukan awak dengan waktu itu
suatu hari nanti,” ujar ku dengan harapan yang amat tulus.
Ariff mengamati segala
perbuatan ku dengan penuh keasyikan sehinggalah aku menoleh kepadanya. Aku cuba
menghadiahkan senyuman kepada dia apabila melihat pandangan mata Ariff yang
tidak berkelip pada diri ku. Mungkin Ariff tidak tahu apa yang aku lakukan
tadi. Namun senang hati ku melihat gelagatnya.
“Awak nak cuba bersolat, Ariff?” soal ku
apabila melihat pandangan mata Ariff masih ralik memandang kepada ku.
“Untuk apa bersolat?” soal Ariff kembali.
Pertanyaan itu tidak kedengaran seperti dia sedang mempertikaikan kewajipan
bersolat. Sebaliknya ada rasa mahu tahu mengapa semua orang mesti bersolat.
“Awak masih ingat kata-kata imam yang
menikahkan kita dulu? Solat lima waktu ni wajib bagi kita. Solat yang
ditinggalkan mesti diganti semula. Awak juga wajib bersolat tetapi saya saya
faham.. sekarang ni awak tak pandai bersolat. Nanti saya akan ajarkan awak
caranya. Saya nak awak tinggal lebih lama di sini, sementara awak masih bercuti
dari pengajian.” Aku memandang suami ku itu sambil marhana ku tanggalkan dari
tubuh ku.
Namun mata Ariff masih terus melekap memandang
perbuatan ku. Aku segera menyidai sejadah dan telekung bersebelahan dengan
kloset. Setelah itu aku terus mendekati Ariff lantas duduk bersebelahan dengan
lelaki itu di sofa. Mata Ariff masih memandang ku bagaikan ada yang benar-benar
menarik pada wajah ku ini.
“Kenapa awak pandang saya macam tu?” soal ku
hairan dengan sikapnya.
“Awak nampak cantik sangat dengan pakaian tadi
tu,” luah Ariff perlahan. Aku lantas mengukirkan sedikit senyuman tanda senang
dengan pujian lelaki itu.
“Awak masih tak beritahu saya kenapa kita kena
lakukan solat lima kali setiap hari,” Ariff berkata lagi. Kelembutan nadanya
saat ini menunjukkan ada sedikit kemahuannya untuk belajar tentang sesuatu
dalam hidupnya. Aku senang sekali melihat sedikit minatnya itu. Alhamdulillah..
sikit-sikit lama-lama jadi bukit.
“Solat fardhu lima waktu sehari semalam,
diwajibkan kepada semua umat islam yang mencapai baligh. Orang yang cukup umur
atau baligh, suci dari hadas besar dan tidak gila memang wajib bersolat. Solat
adalah salah satu dari cara kita mendekatkan diri kepada Allah. Dengan
menyembah Allah kita akan ingat pada Allah. Bacaan dalam solat itu sendiri
sudah bersifat memuji dan menyebut nama Allah. Tanpa solat lima waktu, kita
akan lekas lupakan Allah. Kerana itu kita amat dituntut agar meninggalkan
perkerjaan lain kerana yang paling penting dalam hidup kita adalah ingat kepada
Allah. Solat juga mengejar kita erti kehambaan kepada pemilik kita, Ariff. Kita
kena sedar yang kita ini hamba Allah, bukan hamba wang atau hamba nafsu. Sifat
kehambaan itu sangat penting dalam hidup kita sehari-hari kerana sifat itulah
yang mengajar kita merendahkan hati kepada orang di sekeliling kita. Solat akan
membuatkan hati kita tenang dan aman. Selain dari itu dengan bersolatlah kita
mempunyai peluang untuk menyampaikan doa kita kepada Allah. Lima kali sehari
kita melakukan solat bermakna tujuh belas kali kita membaca surah Al-Fatihah. Bermakna
kita ada meminta kepada Allah agar mempertemukan kita dengan jalan yang benar
kerana ayat ke-6 bermaksud, Ya Allah tunjukkanlah kami jalan yang lurus.
Jadi.. tujuh belas kali itu awak darabkan
dengan berapa kali solat fardhu yang awak kerjakan dalam masa sebulan, darabkan
pula dengan setahun, kemudian darabkan lagi dengan sebanyak mana solat yang dah
awak lakukan sepanjang hidup ini. Dengan jumlah doa sebanyak itu awak rasa
Allah akan makbulkan atau tidak doa awak tu? Tak susah kalau kita selalu
mengamalkannya,” jelas ku menurut pengertian ku tentang solat.
“Lima kali tidak susah?” soal Ariff kabur.
“Lima kali saja awak tidak sanggup? Awak
menikmati kehidupan disetiap minit hidup awak, takkan lima kali sehari Allah
minta awak menghadap Dia, awak tak sanggup? Awak tak malu menikmati segala
pemberian Allah begitu sahaja sedangkan semua itu Allah yang punya? ALLAH dah
berikan awak kehidupan yang baik, awak kaya raya, awak ada segala yang awak
perlukan dalam hidup ni.. takkan awak tak mahu bersyukur?” pujuk ku lembut
sahaja.
“Susah. Saya tak tahu bersolat.” Ariff
menjawab mudah. Semacam beralasan untuk tidak mahu mengamalkannya.
“Kalau awak tak tahu saya boleh ajarkan. Allah
kasihankan kita.. hanya 13 rukun sahaja yang wajib bagi kita. Sedangkan yang
lain tu semuanya sunat. Kita nak buat.. kita boleh buat. Kalau tidak mahu pun
tak berdosa. Tapi tinggalkan solat ni berdosa, Ariff. Ketika di depan Allah
nanti, solat dulu yang Allah akan kira daripada amalan kita.”
Ariff terus berdiam tidak terkutik. Matanya merenung
ke hadapan seolah-olah sedang memikirkan sesuatu.
“Hidup awak akan lebih baik dengan bersolat,
Ariff. Kalau awak dapat keredaan Allah, yang lain juga akan Allah berikan,”
luah ku lagi cuba memujuk suaminya itu.
“Nantilah. Saya belum bersedia sekarang.”
Ariff menjawab hambar.
“Jangan lupa mati itu tak menunggu sehingga
kita bersedia..” tanpa mahu memaksa lelaki itu aku sempat mengingatkan Ariff
akan hakikat itu sebelum bangun dari situ. Ariff sempat memandang ku sehingga
aku menghilangkan diri ke dalam bilik air.
sayang...istilah muhrim hanya digunakan bg mereka yg mengerjakan haji...tp mahram utk membezakan antara seseorang wanita dengan ajnabinya..
BalasPadamyelah.. sy baru cek, muhrim dan mahram langsung xde kena mengena. hahaha. tq for info.
Padambukan mudah utk memberi penerangan pd org yg x percaya pd agama seperti ariff... memerlukan kesabaran yg tinggi... bnyk input berguna dlm cerita ini...
BalasPadammmg kna byk sabar la insyirah ni
BalasPadambest...dimana saya boleh dapatkan novel ini? Keluaran penerbitan mana?
BalasPadam