Rabu, 14 Ogos 2013

Bab 10-Janji Pada-Nya

Anak burung terbang di awan,
Emak burung terbang di kayangan,
Hati yang marah harus dilawan,
Kerja syaitan untuk menyesatkan.

Petang selepas asar  itu aku cuba berbual lagi dengan Ariff setelah kedinginan melanda kami untuk beberapa ini. Tidak tahan dengan keadaan itu aku nekad mengalah sahaja kepada suami ku itu. Aku sudah tidak sanggup lagi meneruskan kekeruhan, sedangkan kami baru beberapa hari berkahwin. Tidak syoklah kami terus bermasam muka. Bukankah seharusnya saat ini kami meraikan bulan madu? Nama aja dalam suit bulan madu. Kami berdua asyik dengan muka mencuka antara satu sama lain.
Walaupun tak berapa nak ikhlas.. aku layan jugaklah angin manja-manja dia. Nak meriba segala. Biarlah.. Ariff pun memang dah lama takde ibu. Jadi aku ni selain jadi bini dia, jadi mak dia jugaklah!
“Apa yang awak fahami dengan erti perkahwinan sebenarnya, Ariff?” soal ku perlahan. Mood Ariff yang agak baik berbanding sebelum ini. Mudahlah aku untuk berbual dengan lelaki itu.
“Perkahwinan hanya mengikat seorang lelaki dan wanita di dalam ikatan suami isteri. Ada anak dan menjadi tua dengan kerenah masing-masing,” jawab Ariff sedikit pun tidak serius. Dia terus bermain dengan jemari ku tanpa  mahu memberi perhatian kepada ku sesungguhnya.
“Lagi? Takkan itu sahaja yang awak tahu?” aku terus memancing minat Ariff lagi supaya lebih banyak bercakap dengan ku.
“Itu sahaja..” Ariff tetap menjawab acuh tidak acuh.
Aku menghela nafas perlahan mendengar persepsi Ariff yang terlalu serong mengenai erti sebuah perkahwinan. Sudahlah pengetahuannya teramat sikit malahan apa yang dipegangnya itu ternyata salah. Kasihan jika suami ku ini terus berada dalam keadaan naif begini. “Itu sahaja persepsi perkahwinan dalam agama kristian.. atau awak yang tak tahu sebenarnya?” soal ku lagi.
“Saya tak tahu untuk apa perlu wujudnya perkahwinan. Kita masih boleh berseronok tanpa berkahwin. Lebih mudah kalau hubungan itu tidak melibatkan perasaan dan ikatan seperti ini. Apabila kita bosan dengan seseorang kita bebas memilih apa yang lebih baik untuk kita. Tetapi dengan perkahwinan segalanya sukar kerana kita perlu bercerai dahulu sebelum membuat pilihan yang lain. Memang rumit dan membuang masa!” ujar Ariff tanpa sebarang rasa bersalah mengucapkan kata-kata itu.
Oh! Sekarang aku sudah mengerti. Mungkin aku akan diceraikan oleh lelaki ini apabila dia sudah bosan. Agaknya dia fikir aku juga sama macam dia.. bila-bila terasa nak cuba lelaki lain, pergi macam tu aja! “Jadi selepas ini bila awak dah bosan dengan saya awak akan ceraikan sayalah, ya?” soal aku agak mendatar. Lelaki itu aku kerling melalui ekor mata.
“Bukan begitu maksud saya. Saya tak maksudkan awak, sayang. Awak dah jadi isteri saya. Takkan saya nak ceraikan awak..” ucap Ariff lembut sambil menyeringai.
“Yalah tu..” sambut ku malas mahu mendengar lagi.
“Sebelum ini saya memang selalu tertanya perlunya berkahwin? Tanpa perkahwinan pun kita masih boleh memiliki anak dan keluarga. Semua orang di barat ada anak tapi tak semestinya mereka berkahwin.” Ariff sekali lagi menjelaskan pendiriannya tentang hal itu.
“Memang betul tapi pendirian seperti itu tidak diamalkan oleh agama kita, Ariff. Anak yang datang dari hasil perhubungan yang tidak sah, hilang banyak keistimewaan seperti yang berhak didapati oleh anak yang lahir dalam perkahwinan. Perkahwinan ini Allah tekankan di kalangan manusia untuk menjaga hak dan keturunan manusia supaya tidak bercampur aduk. Juga supaya dapat dibezakan hubungan di dalam sesebuah keturunan. Anak luar nikah tidak berhak mendapat nafkah dan pewarisan harta daripada ayahnya biarpun ayah kandungnya sendiri. Anak perempuan pula tidak boleh diwalikan pernikahannya oleh si ayah tadi. Dan kewajipan untuk menyara keperluan anak luar nikah telah dijatuhkan ke atas ibu sepenuhnya. Ayah sudah tidak berhak lagi kepada anak itu. Berbeza dengan anak yang lahir di dalam sesebuah hubungan yang dihalalkan Allah. Ayahnya bertanggungjawab menjaga kebajikan anak itu sehinggalah mereka dewasa nanti dan ayah berhak mendapat ketaatan anak itu sepenuhnya. Apabila anak itu dewasa anak itu juga ada kewajipan untuk menjaga kebajikan ayahnya itu. Kerana itu perkahwinan dianggap amat penting bagi kita semua. Sebab hidup kita tidak akan selamanya begini. Hidup atas dunia ini ada kitarannya. Hari ini kita muda, sampai satu masa kita pula yang akan tua. Kita semua memerlukan antara satu sama lain. Orang itu sudah tentulah anak-anak yang sah dilahirkan dari perhubungan yang sah.
Di dalam agama islam berzina itu ditakrifkan sebagai persetubuhan antara lelaki dan perempuan yang bukan pasangan suami dan isteri yang sah. Hukumnya berdosa besar, Ariff. Firman Allah ada menyatakan.. perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah disebat tiap-tiap seorang dari kedua mereka dengan seratus kali sebat, dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum Allah jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan hendaklah disaksikan hukum siksa yang dikena kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman. Firman Allah tentang hukuman zina terdapat dalam Surah An-Nur ayat 2. Hukuman yang disebut dalam surat an-Nur ayat 2 ini adalah secara umum, tetapi dalam hadis-hadis Rasulullah SAW dijelaskan satu persatu hukumannya, iaitu jika lelaki atau perempuan yang berzina itu pernah menikmati persetubuhan yang halal iaitu dengan isteri-isterinya, maka hukuman bagi tiap-tiap seorang di antaranya ialah direjam. Sebaliknya jika mereka belum pernah merasa kenikmatan persetubuhan, maka hukumannya ialah disebat seratus kali sebat dan dibuang negeri.
Kerana itu seluruh umat islam dilarang mendekati zina kerana ianya amat terkutuk dan amat keji di sisi Allah. Pergaulan bebas antara lelaki dan wanita amat dilarang kerana akan memberikan natijah yang buruk seperti anak yang tidak diketahui nasabnya dan juga penyakit kelamin. Bagi lelaki mahu pun perempuan amat penting bagi semua manusia menjaga ‘kemaluannya’ kerana Allah sudah menjanjikan hukuman yang berat bagi siapa yang ingkar. Allah telah berfirman yang bermaksud sesiapa yang menjaga kemaluannya melainkan kepada isterinya maka mereka tidak akan tercela. Tetapi barang siapa yang telah melakukan dosa besar itu maka dia adalah orang yang telah melanggar batasan. Memang amat sukar untuk mengawal syahwat tetapi dalam islam setiap kita dituntut agar menjaga mata kerana ada disebut di dalam hadis Rasullullah SAW yang berbunyi, mata akan memulakan segalanya. Mata akan melihat dan nafsu berahi akan bergejolak dan kemaluan pula akan membenarkan. Ketika nafsu sudah menguasai diri tidak ramai orang yang mampu berfikir di mana halal haramnya lagi. Allah menetapkan hukuman pagi penzina akan diperlipatgandakan siksanya pada Hari Kiamat dan penzina akan menetap di sana dalan keadaan yang sungguh hina kecualilah dia telah bertaubat kepada Allah atas dosanya itu.” Aku menjelaskan dengan hati-hati agar suami ku ini mengerti tentang apa yang sedang aku bicarakan. Terkedip-kedip mata Ariff memandang diri ku.
Melihat Ariff diam aku menyambung lagi. “Seorang wanita wajib menjaga maruah dirinya daripada pandangan lelaki-lelaki yang bukan mahramnya. Tubuh badan wanita adalah larangan pada mata lelaki asing kecuali kepada suaminya dan mahramnya seperti ayah dan adik beradiknya yang lelaki. Kerana itu Allah wujudkan perkahwinan dalam islam. Ikatan perkahwinan adalah perhubungan yang amat suci dan ada ganjaran yang besar bagi lelaki dan perempuan yang menjaga kesucian hubungan ini. Kita berdua wajib menjaga kesucian hubungan ini. Di dalam perkahwinan wujud kasih sayang yang terjalin antara lelaki dan wanita yang menghalalkan hubungan seks antara suami dan isteri. Memang bagi sesetengah orang menganggap perkahwinan ini amat melecehkan kerana banyak tanggungjawab yang harus dipikul sebagai suami dan isteri tetapi Allah sudah meletakkan ganjaran yang tertentu bagi yang ikhlas menjalaninya. Walaupun perbuatan itu sekecil-kecil perbuatan tetapi jika ianya mendatangkan kebaikan untuk pasangannya Allah tetap akan membalasnya.”
“Hanya itu sebabnya mengapa manusia disuruh berkahwin? Untuk apa bersusah payah memikul tanggungjawab tu sedangkan kita masih boleh memilih untuk bebas dari tanggungjawab tu?” bidas Ariff tetap enggan menerima penjelasan itu.
“Ariff, semua orang tahu.. lelaki dilahirkan dengan hanya satu nafsu iaitu nafsu kepada perempuan. Sedangkan perempuan nafsunya berbilang-bilang dan tidak hanya tertumpu kepada yang satu itu. Kerana itu Allah menyuruh kita berkahwin. Malahan lelaki islam dibenarkan beristeri lebih dari seorang dan tidak lebih dari empat orang isteri jika dia berkemampuan dari segi batin dan zahirnya. Berzina ni antara dosa-dosa yang paling dasyat, Ariff.”
“Apa kelebihannya dengan perkahwinan? Sama sahaja! Awak sendiri kata dalam perkahwinan banyak tanggungjawab yang menyusahkan!” desis lelaki itu enggan menerima kata-kata ku.
“Banyak kelebihannya, Ariff. Dalam hidup ini bukan hanya keseronokan sementara yang perlu kita kejar. Apa yang paling penting ialah kehidupan yang kekal abadi nanti. Perkahwinan adalah medan untuk mengumpul pahala. Memberi makan pakai kepada anak isteri itu adalah salah satu dari ibadah dan Allah memandang tinggi seorang yang ikhlas dan sabar dalam dia melunaskan tanggungjawabnya. Mendidik anak-anak dan isteri juga salah satu dari ibadah dan amat besar ganjarannya bagi lelaki yang istiqamah melakukannya. Allah menjadikan wanita dari satu tulang rusuk lelaki. Setiap wanita memerlukan seorang lelaki untuk melindungi dan menyayanginya kerana wanita adalah hamba Allah yang lemah. Wanita bukan tempat untuk lelaki melepaskan kemahuannya atau kemarahannya kerana setiap manusia dilahirkan dengan satu hati. Dalam islam setiap suami dituntut supaya berlaku adil kepada isteri dan wajib bagi setiap suami menjaga kebajikan isteri-isterinya. Banyak tanggungjawab sebagai suami jika saya nak ceritakan.”
“Kalau suami diminta berlaku adil kepada isteri dengan semua tanggungjawab itu, apa pula tanggungjawab isteri pada suami?” tanya Ariff lagi.
“Allah Maha Adil, Ariff. Dalam hidup ini, kita memberi dan kita menerima. Allah tidak hanya memberatkan sebelah pihak sahaja dengan tanggungjawab di dalam perkahwinan. Besar hak suami di atas bahu seorang isteri dan bagi isteri yang menunaikan hak suami amat besar pahala yang Allah berikan bagi isteri tersebut. Manakala bagi isteri yang ingkar akan mendapat dosa besar. Nabi Muhammad SAW pernah berkata, sekiranya mampu aku akan menyuruh seorang isteri itu untuk menyembah seseorang yang lain maka aku akan menyuruhnya menyembah suaminya’. Tetapi Allah sudah menetapkan kita hanya boleh menyembah Allah. Jadi suami itu hanya boleh ditaati tetapi tidak boleh disembah. Tinggi kedudukan seorang suami itu kerana dia adalah tunggak sesebuah keluarga dan dia adalah pemikul amanah untuk menjaga seluruh kehidupan isteri dan anak-anaknya selain daripada memberikannya makan pakai dan rumah untuk berteduh. Selain itu.. mendidik isteri dan anak-anak supaya menjadi orang yang baik juga adalah tanggungjawab suami. Sebabnya hak suami amat besar di atas pundak isteri adalah kerana fitrah lelaki dan wanita tidak sama. Sabda Nabi SAW yang lain ada mengatakan, sekiranya seorang perempuan itu sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan dibulan ramadhan, memelihara kehormatannya daripada lelaki ajnabi dan mentaati suaminya akan dikatakan kepadanya diakhirat nanti.. Masuklah engkau ke dalam syurga melalui mana-mana pintu yang engkau mahu. Sabda nabi SAW yang lain juga ada mengatakan, Allah tidak akan memandang seorang isteri itu dengan pandangan rahmat jika dia tidak mensyukuri suaminya sedangkan suaminya tidak pernah menghampakannya. Dan jika seorang suami itu mengajak isterinya ke tempat tidur tetapi si isteri menolak untuk memenuhi kehendak suami dan membiarkan suaminya tidur dalan keadaan yang marah para Malaikat akan menyumpahnya sehinggalah ke pagi,” cerita ku lembut.
Ariff terus memandang ku dengan mata terkelip-kelip. Entahkan masuk ke benaknya apa yang ku katakan tadi entahkan tidak. Tetapi aku dapat lihat dia Ariff mendengar dengan bersungguh apa yang aku katakan sebentar tadi.
“Perkahwinan akan mencegah umat manusia daripada berbuat dosa terutama sekali dosa zina. Kerana Allah mahu kita mendekati yang halal dan menjauhi yang haram. Fitrah manusia sentiasa mahukan kasih sayang juga bertepatan dengan objektif perkahwinan itu sendiri. Itulah sebabnya Allah wujudnya perkahwinan ni, Ariff. Kerana itu jugalah Allah menetapkan hak suami amat besar dan isteri wajib memenuhinya kerana jika dia sengaja tidak memenuhinya itu boleh menyebabkan lelaki akan pergi mendapatkan kepuasan batinnya di tempat yang haram. Dalam islam setiap isteri itu diminta berusaha bersungguh-sungguh untuk memenuhi kehendak suami agar beroleh keredaan Allah.” Aku terus berbicara lembut sebelum menutup bicara mengenai yang berkaitan dengan hal itu.
“Awak pernah lihat Tuhan?” soal Ariff sambil menatap mata ku.
“Tiada siapa yang pernah melihat bagaimana rupa Allah. Tetapi Dia wujud berdasarkan sifat Allah yang pertama ialah wujud.”
“Apa buktinya Allah wujud kalau awak benar?” soal Ariff mahu berdebat pula dengan aku tentang itu.
 Perlahan aku mengambil tangan suami ku itu lalu ku letakkan di atas perut ku. Aku mahu Ariff merasai apa yang sedang wujud di dalam itu, kerana itulah tanda pemberian Allah yang paling dekat dengan kami berdua. “Anak yang sedang hidup di dalam rahim saya ini adalah salah satu bukti kewujudan Allah, Ariff. Semua benda di dalam dunia ini ada penciptanya. Allah yang menjadikan semua manusia, saya.. awak dan juga anak ini. Awak hidup dengan udara yang segar siapa yang mencipta udara yang segar itu? Malah udara yang segar ini sentiasa ada untuk awak, tidak pernah habis biar di mana awak berada. Seperti mana sebuah kereta tidak akan terjadi sebuah kereta jika tidak manusia yang menciptanya. Macam tulah juga dengan kita semua. Hanya Allah sahaja yang tidak dicipta oleh sesiapa. ALLAH terjadi dengan sendirinya dan berdiri dengan sendirinya. Seperti yang dikatakan dalam Surah Al-Ikhlas ayat 3 hingga 4, Allah tidak beranak dan tidak diperanakkan. Tiada sesiapa pun yang mampu menyerupai-Nya. Begitulah sifat Allah untuk awak kenali,” balas ku cuba untuk meyakin lelaki itu.
Ariff diam lagi. Nampak seperti dia sedang memikirkan apa yang aku katakan tadi atau mungkin dia sednag mencari idea untuk mematahkan hujah ku.
“Untuk apa kita kena menyembah Allah kalau kita tak nampak Dia? Allah tak boleh dilihat. Kalau Tuhan mahu kita mengagungkan-Nya, Tuhan kena menjelmakan diri. Jika tidak, kita hanya seperti orang bodoh menyembah sesuatu yang kita tidak dapat lihat dengan mata.” Ariff lantas bersuara setelah beroleh idea untuk mencabar apa yang diperkatakan oleh ku.
Aku tersenyum seketika sebelum menjawab. “Allah maha besar, maha tinggi kedudukannya, Ariff. Awak lihat bintang di langit. Apabila malam awak nampak kerdipannya kecil sahaja tetapi kelihatan tidak begitu tinggi di atas sana. Tetapi apabila ahli astronomi pergi mengkaji bintang itu rupanya bintang itu amat besar dan jaraknya dari kita berjuta-juta kilometer. Berjuta-juta kilometer itu kalau kita berkereta sekali pun mungkin sampai kita sudah bercucu-cicit nanti kita takkan sampai sejauh itu. Tetapi itu bintang yang saiznya masih boleh diukur dan jaraknya masih boleh disukat dengan jentera ciptaan manusia. Tetapi Allah lebih dari itu! Allah maha besar. Terlalu besar sehingga tiada siapa yang mampu membayangkan betapa besarnya Allah. Kalau kita merasakan bintang itu cukup besar, Allah jauh lebih besar dari itu. Awak tanya saya mengapa Allah tidak kelihatan tetapi saya katakan Allah itu ada. Saya contohkan pada awak tentang bumi ini supaya mudah untuk awak faham. Bumi ini antara planet yang terkecil di dunia. Tetapi biarpun kecil terlalu banyak negeri-negeri dan benua-benua di atasnya. Jika saya minta awak nampakkan kepada saya bandar London tanpa menggunakan apa-apa alatan daripada tempat awak duduk sekarang, boleh awak buat?”
“Dah tentulah tak boleh! Mana saya tahu arahnya ke mana. London tu jauh dari sini.” Ariff menyambut pantas.
“Kerana apa tak boleh?” soal ku kembali.
“Apa awak cuba cakap ni?” tekan sang lelaki mula lemas. Mungkin malas mahu berfikir teka teki yang sedang diberikan oleh ku.
“Jawab dulu soalan saya kenapa tak boleh awak tunjukkan saya dimana letaknya London dari sini? Apa sebabnya?” pinta ku bersungguh.
“Yalah, sebab bumi ni luas. Dah tentulah London tak kelihatan lagi dari sini kerana jaraknya amat jauh.” Ariff menjawab juga biarpun acuh tidak acuh sahaja.
“Tetapi dari sini awak tahu London memang wujud dalam peta duniakan? Cuma kita sahaja yang tidak nampak, betulkan?” uji ku lagi sambil tersenyum.
“Yalah!”
“Kenapa bila saya kata yang London tu memang wujud di atas dunia ini sedangkan kita tidak mampu nampak dari sini, awak percaya? Tapi bila saya kata yang Allah tu maha besar dan maha tinggi kedudukannya, awak pertikaikan? Sebab awak pernah berada di London, maka awak percaya yang London tu ada dan masih wujud sehingga sekarang. Tapi awak tak tahu yang kita manusia sentiasa berurusan dengan Allah setiap hari walaupun kita tak nampak Dia. Suatu masa dulu sebelum ditiupkan roh ke dalam jasad kita, kita pernah berjanji kepada Allah untuk taat pada Allah. Tapi hari ini awak pertikaikan kewujudan Tuhan, ” ucap ku serius.
Ariff terus terdiam menyedari perangkap yang aku bina sudah dimasukinya dengan mudah. Dia terkumpal-kumpal tidak mampu mematahkan kata-kata ku.
“Kita ni hamba Allah yang berkeupayaan terbatas, Ariff. Jika bumi yang tak sebegitu luas ni saja pun kita tak mampu melihat ke semuanya, bagaimana kita nak lihat Allah yang maha besar dengan keupayaan mata kita yang amat terbatas ni? Allah maha besar kerana itu kita tidak mampu melihatnya kerana Allah sudah mencipta dua bola mata kita ini dengan keupayaan yang sedikit. Jangan awak pertikaikan pulak kenapa Allah mencipta mata kita macam ni. Sebab itu semua rahsia Allah,” balas ku pantas. Bicara ku itu sudah cukup membuatkan Ariff terdiam tidak mampu membidas lagi. Riak tegang di wajah Ariff mula mengendur seperti sudah kalah.
“Allah tak perlu menjelmakan diri-Nya untuk membuktikan yang Dia amat berkuasa dan wujud. Kalau kita mempunyai mata pada hati sudah tentu kita akan melihat bukti kekuasaan Allah setiap hari. Lumrah manusia memang hanya mahu sesuatu yang mudah sepanjang hidupnya. Jika kita dengan mudah melihat Tuhan, manusia tidak akan mampu menyelami apa erti hidup di atas dunia ini. Allah lebih tahu apa yang ada di atas dunia ini, Ariff. Kita tidak boleh mempertikaikan segala sifat-sifat Allah. Awak kaya raya kalau bukan dengan izin-Nya, awak tidak akan kaya seperti sekarang. Bukankah itu sahaja sudah menunjukkan Dia memang wujud selama ini?” kata ku lagi.
“Saya kaya kerana papa memang otak bussiness. Orang lain tidak kaya mungkin kerana mereka malas,” bidas Ariff selamba dalam nada yang berbaur keangkuhan.
“Siapa yang mahu hidup miskin di atas dunia ni, Ariff?”
“Tentulah semua orang mahu kaya,” jawab lelaki itu pantas.
“Tapi mengapa bukan semua orang di atas dunia ni kaya? Manusia sentiasa berkejar-kejaran di atas dunia ini untuk mencari kesenangan hidup tetapi mengapa tidak semuanya yang dapat begitu? Kalau awak anggap semua ini tidak bergantung sedikit pun kepada Allah, cakap dengan saya mengapa ada manusia yang sudah berusaha untuk jadi kaya tetapi masih ada yang gagal dalam hidupnya,” duga ku mudah.
“Manalah saya tahu..” Ariff kembali semula kepada habitnya, malas berfikir!
“Sebab semuanya yang kita mahukan kita usahakan tetapi hanya dengan izin Allah semua itu akan kita dapati. Allah maha memakbulkan. Kita manusia hanya perancang tetapi yang memakbulkan masih juga Allah. Kuasa kita sebagai manusia tidak sebesar mana, Ariff. Tanda Allah itu wujud yang paling mudah untuk awak faham ialah tentang mati. Mengapa kita harus mati suatu hari nanti? Kalau Allah tidak wujud ke mana perginya kehidupan kita selepas mati? Kenapa kita tak mampu hidup selama-lamanya atas dunia ini? Kenapa kita akan tua suatu hari nanti? Kenapa ada masanya kita akan jatuh sakit? Kenapa ada manusia yang boleh menjadi saintis dan ada yang tidak? Kalau Allah tidak ada dengan kita selama ini, kenapa hidup ini tidak mampu berlalu seperti yang kita mahukan selama-lamanya? Mengapa?”
Sekali lagi suami ku itu terkedu tidak mampu menjawab. Banyak sangat agaknya soalan aku tadi? Tak lekat kat otak dia!
 “Tuhan tu wujud, Ariff. Awak wajib percaya yang kita akan menempuhi kiamat kecil iaitu kematian. Kematian ialah gerbang utama untuk kita bertemu Allah suatu hari nanti. Di akhirat nanti kita akan pergi bertemu Allah bersama setiap amalan kita di atas dunia ini,” ujar ku sambil memandang mata suami ku itu dalam-dalam.
Ariff diam mendengar itu. Masih cuba memikirkan kelogikan apa yang aku katakan. Aku tahu Ariff masih mahukan hujah yang tepat bagi membenarkan apa yang ku katakan sebentar tadi. Tapi nak dalil yang sahih.. contoh yang mudah sahaja aku bagi dia dah lintang pukang tak boleh fikir.
“Sesungguhnya orang yang beriman itu akan mencintai Allah dan para Rasul terlebuh dahulu, kemudian barulah yang lain. Kerana segala nikmat yang didatangkan kepada kita di atas dunia ini datangnya dari Allah. Allah juga boleh mengambil semua kenikmatan itu bila-bila masa yang Dia suka. Awak jangan lupa tentang itu!” tegas ku.
“Jadi kamu akan mencintai Tuhan melebihi dari saya?” soal Ariff dalam pada dia merenung bola mata ku.
“Awak juga harus mencintai Tuhan melebihi dari saya, Ariff. Kerana saya cuma isteri awak. Kemampuan saya terhad! Saya tak mampu memberi kebahagiaan kepada awak melebihi daripada apa yang Allah mampu beri. Sungguh merbahaya bagi orang yang memiliki perasaan was-was kepada keesaan Allah. Nilailah semula perasaan itu. Kerana Allah hanya mahu kita taat pada Dia. Bukannya Allah meminta wang ringgit kita. Redalah kepada Allah, Ariff. Kerana Allah sedang dan sentiasa melihat kita,” ujar ku lembut namun bersungguh, cuba menyedarkan lelaki ini. Aku tidak rela dia terus memegang pendiriannya yang dahulu.
“Allah terlalu sayangkan kita selama ini, Ariff. Hanya kita aja yang selalu lupa pada dia.”
“Kata-kata awak semua tu terlalu mendalam, Insyirah. Awak memang taat beragama. Semua perkara awak tahu,” komen Ariff agak rendah.
“Saya bukan orang yang terlalu arif tentang hal agama ini, Ariff. Saya sendiri masih banyak kekurangan dan perlu terus belajar. Taat kepada Allah amat dituntut kepada semua orang, Ariff. Perlahan-lahanlah.. Awak boleh mendalami agama islam sekiranya awak mahu. Ada ramai orang yang boleh membantu awak jika awak mahu. Di masjid juga selalu ada kuliah agama. Jika awak selalu ke masjid, banyak yang awak akan dapat tahu. Kalau awak akur dengan ini semua awak akan mendapat ketenangan yang abadi. Awak akan merasa lebih bahagia daripada sebelum ini. Kalau kita kenal Allah dengan baik, kita akan cintakan Dia melebihi dari segala-galanya, Ariff. Percayalah cakap saya ni,” ujar ku cuba memancing minat suami ku itu.
Ariff hanya diam sahaja tanpa berkata apa-apa. Berminat tidak, tidak berminat juga tidak. Reaksinya begitu-begitu sahaja.
“Takpelah. Suatu hari nanti saya berdoa awak akan berada jalan yang sama seperti yang orang islam yang lain. Waktu itu awak akan berjalan dengan hati yang reda dan bahagia, Ariff. Walaupun mungkin waktu itu Allah menentukan saya tidak lagi bersama awak, awak akan tetap menjalani hidup ini dengan sabar. Saya percaya Allah akan menemukan awak dengan waktu itu suatu hari nanti,” ujar ku dengan harapan yang amat tulus.

Ariff mengamati segala perbuatan ku dengan penuh keasyikan sehinggalah aku menoleh kepadanya. Aku cuba menghadiahkan senyuman kepada dia apabila melihat pandangan mata Ariff yang tidak berkelip pada diri ku. Mungkin Ariff tidak tahu apa yang aku lakukan tadi. Namun senang hati ku melihat gelagatnya.
“Awak nak cuba bersolat, Ariff?” soal ku apabila melihat pandangan mata Ariff masih ralik memandang kepada ku.
“Untuk apa bersolat?” soal Ariff kembali. Pertanyaan itu tidak kedengaran seperti dia sedang mempertikaikan kewajipan bersolat. Sebaliknya ada rasa mahu tahu mengapa semua orang mesti bersolat.
“Awak masih ingat kata-kata imam yang menikahkan kita dulu? Solat lima waktu ni wajib bagi kita. Solat yang ditinggalkan mesti diganti semula. Awak juga wajib bersolat tetapi saya saya faham.. sekarang ni awak tak pandai bersolat. Nanti saya akan ajarkan awak caranya. Saya nak awak tinggal lebih lama di sini, sementara awak masih bercuti dari pengajian.” Aku memandang suami ku itu sambil marhana ku tanggalkan dari tubuh ku.
Namun mata Ariff masih terus melekap memandang perbuatan ku. Aku segera menyidai sejadah dan telekung bersebelahan dengan kloset. Setelah itu aku terus mendekati Ariff lantas duduk bersebelahan dengan lelaki itu di sofa. Mata Ariff masih memandang ku bagaikan ada yang benar-benar menarik pada wajah ku ini.
“Kenapa awak pandang saya macam tu?” soal ku hairan dengan sikapnya.
“Awak nampak cantik sangat dengan pakaian tadi tu,” luah Ariff perlahan. Aku lantas mengukirkan sedikit senyuman tanda senang dengan pujian lelaki itu.
“Awak masih tak beritahu saya kenapa kita kena lakukan solat lima kali setiap hari,” Ariff berkata lagi. Kelembutan nadanya saat ini menunjukkan ada sedikit kemahuannya untuk belajar tentang sesuatu dalam hidupnya. Aku senang sekali melihat sedikit minatnya itu. Alhamdulillah.. sikit-sikit lama-lama jadi bukit.
“Solat fardhu lima waktu sehari semalam, diwajibkan kepada semua umat islam yang mencapai baligh. Orang yang cukup umur atau baligh, suci dari hadas besar dan tidak gila memang wajib bersolat. Solat adalah salah satu dari cara kita mendekatkan diri kepada Allah. Dengan menyembah Allah kita akan ingat pada Allah. Bacaan dalam solat itu sendiri sudah bersifat memuji dan menyebut nama Allah. Tanpa solat lima waktu, kita akan lekas lupakan Allah. Kerana itu kita amat dituntut agar meninggalkan perkerjaan lain kerana yang paling penting dalam hidup kita adalah ingat kepada Allah. Solat juga mengejar kita erti kehambaan kepada pemilik kita, Ariff. Kita kena sedar yang kita ini hamba Allah, bukan hamba wang atau hamba nafsu. Sifat kehambaan itu sangat penting dalam hidup kita sehari-hari kerana sifat itulah yang mengajar kita merendahkan hati kepada orang di sekeliling kita. Solat akan membuatkan hati kita tenang dan aman. Selain dari itu dengan bersolatlah kita mempunyai peluang untuk menyampaikan doa kita kepada Allah. Lima kali sehari kita melakukan solat bermakna tujuh belas kali kita membaca surah Al-Fatihah. Bermakna kita ada meminta kepada Allah agar mempertemukan kita dengan jalan yang benar kerana ayat ke-6 bermaksud, Ya Allah tunjukkanlah kami jalan yang lurus.
Jadi.. tujuh belas kali itu awak darabkan dengan berapa kali solat fardhu yang awak kerjakan dalam masa sebulan, darabkan pula dengan setahun, kemudian darabkan lagi dengan sebanyak mana solat yang dah awak lakukan sepanjang hidup ini. Dengan jumlah doa sebanyak itu awak rasa Allah akan makbulkan atau tidak doa awak tu? Tak susah kalau kita selalu mengamalkannya,” jelas ku menurut pengertian ku tentang solat.
“Lima kali tidak susah?” soal Ariff kabur.
“Lima kali saja awak tidak sanggup? Awak menikmati kehidupan disetiap minit hidup awak, takkan lima kali sehari Allah minta awak menghadap Dia, awak tak sanggup? Awak tak malu menikmati segala pemberian Allah begitu sahaja sedangkan semua itu Allah yang punya? ALLAH dah berikan awak kehidupan yang baik, awak kaya raya, awak ada segala yang awak perlukan dalam hidup ni.. takkan awak tak mahu bersyukur?” pujuk ku lembut sahaja.
“Susah. Saya tak tahu bersolat.” Ariff menjawab mudah. Semacam beralasan untuk tidak mahu mengamalkannya.
“Kalau awak tak tahu saya boleh ajarkan. Allah kasihankan kita.. hanya 13 rukun sahaja yang wajib bagi kita. Sedangkan yang lain tu semuanya sunat. Kita nak buat.. kita boleh buat. Kalau tidak mahu pun tak berdosa. Tapi tinggalkan solat ni berdosa, Ariff. Ketika di depan Allah nanti, solat dulu yang Allah akan kira daripada amalan kita.”
Ariff terus berdiam tidak terkutik. Matanya merenung ke hadapan seolah-olah sedang memikirkan sesuatu.
“Hidup awak akan lebih baik dengan bersolat, Ariff. Kalau awak dapat keredaan Allah, yang lain juga akan Allah berikan,” luah ku lagi cuba memujuk suaminya itu.
“Nantilah. Saya belum bersedia sekarang.” Ariff menjawab hambar.


“Jangan lupa mati itu tak menunggu sehingga kita bersedia..” tanpa mahu memaksa lelaki itu aku sempat mengingatkan Ariff akan hakikat itu sebelum bangun dari situ. Ariff sempat memandang ku sehingga aku menghilangkan diri ke dalam bilik air.

5 ulasan:

  1. sayang...istilah muhrim hanya digunakan bg mereka yg mengerjakan haji...tp mahram utk membezakan antara seseorang wanita dengan ajnabinya..

    BalasPadam
    Balasan
    1. yelah.. sy baru cek, muhrim dan mahram langsung xde kena mengena. hahaha. tq for info.

      Padam
  2. bukan mudah utk memberi penerangan pd org yg x percaya pd agama seperti ariff... memerlukan kesabaran yg tinggi... bnyk input berguna dlm cerita ini...

    BalasPadam
  3. mmg kna byk sabar la insyirah ni

    BalasPadam
  4. best...dimana saya boleh dapatkan novel ini? Keluaran penerbitan mana?

    BalasPadam