Sabtu, 10 Ogos 2013

Bab 2-Janji Pada-Nya

Keluar makan dengan Menaci,
Terserempak pula dengan si Mutu,
Jangan sesekali berkata benci,
                   Jika hati sudah diusik rindu.

Selepas kuliah tamat pada jam 2 petang kami berdua lebih senang melepak di perpustakaan di bangunan St Edmund College untuk menelaah pelajaran. Aku sendiri masih sibuk di rak sambil mencari buku yang diperlukan, sementara Ameena sudah duduk selesa di meja.
Sedang asyik membelek sebuah buku dia tiba-tiba terbau sesuatu yang harum berhampiran dengan ku. Bau harum itu lebih kepada bau minyak wangi lelaki. Dengan pantas aku menoleh ke sisi. Tersentap aku seketika menahan debar apabila melihat lelaki yang berdiri di sisi ku itu.
Esteban mempamirkan senyuman meleretnya kepada ku. Aku berlagak selamba sahaja kepadanya. Namun tidak mampu disangkal ketenangan hati ku mulai berkocak dengan kehadiran lelaki itu. Untuk apa Esteban ada di sini? Perpustakaan ini untuk pelajar-pelajar kursus perakaunan sedangkan falkulti Estaban berada di bangunan Gonville and Calius College bersebelahan dengan bangunan ini.
“Perempuan Melayu yang cantik..” Estaban tiba-tiba menunjukkan kebolehannya berbahasa melayu.
Aku sengaja mengerutkan kening tanda kabur dengan sikap lelaki itu. Sebahagian diri ku memang terasa mahu tergelak berguling-guling mendengar pelat Estaban.
“Awak nak apa?” soal ku tetap berbahasa inggeris kepadanya. Percuma sahaja pun aku bercakap melayu dengan mangkuk ayun ni.. sebab aku tahu dia hanya tahu beberapa patah perkataan itu sahaja. Itu pun mungkin dia mempelajarinya beberapa minit yang lalu. Entah siapalah yang baik hati mengajar Estaban dua patah kata itu.
“Perempuan cantik.” Sekali lagi Estaban berkata dalam bahasa melayu.
Aku terus memandangnya hairan. Aku benar-benar tidak faham apa yang dimahukan lelaki ini. Mahu perempuan cantik? Dia ingat aku ni ejen cari jodoh ke? Tak pun mak ayam? “Saya bukan perempuan cantik. Awak dah salah orang..” balas ku sambil mengalihkan perhatian kepada buku di tangan ku semula. Semoga Estaban faham yang aku tidak berselera mahu melayaninya.
“Saya nak ajak awak keluar dengan saya.” Esteban mula menukar dialeknya semula saat mengajukan ajakan itu.
“Saya tak mahu!” jawab ku spontan sambil meletakkan kembali buku itu ke rak. Aku tahu aku harus segera menjauhkan diri dari lelaki ini demi kebaikan ku sendiri. Estaban tidak pantas untuk ku dekati apatah lagi dalam keadaan kami sama-sama masih dalam tangga pengajian. Aku tidak mahu merisikokan masa depan ku dengan membiarkan hati ku terusik kepada lelaki persis ini. Sementelah aku memang cukup tahu Estaban memang suka mempermainkan perempuan. Aku sedar aku harus gigih untuk mengejar ilmu di sini kerana bukan mudah untuk kami mencapai tempat terbaik di Cambridge ini. Persaingan amat sengit di sini. Kesemua pelajar yang ada memang cemerlang.
“Kenapa?” Esteban bertanya lembut.
“Sebab saya takde sebab untuk keluar dengan awak. Tolong ke tepi, saya nak lalu.” Aku cuba untuk berlalu tetapi Estaban dengan pantas menghalang dengan meletakkan tangannya di kiri dan kanannya bagi menghalang laluan ku. Lorong di antara rak itu yang agak sempit dan rak itu yang disusun rapat ke dinding telah membuatkan aku terkandang di situ tanpa dapat mencari jalan keluar yang lain. Gelagat Estaban benar-benar membuatkan aku terasa mahu menjerit untuk meluahkan rasa marah yang sudah meruap-rupa. Tetapi masalahnya kami sedang berada di dalam perpustakaan. Terpaksalah ditahan hatinya yang bengkak.
“Jangan ganggu sayalah, Estaban. Saya tak suka. Tolong ke tepi!” aku sekadar mampu membentak dengan nada tertahan.
“Keluar dengan saya. Kita pergi makan dan berjalan-jalan. Saya nak dating dengan awak.” Estaban sekali lagi mengulangi kemahuannya tanpa mahu berkompromi.
“Saya tak nak! Awak tak faham bahasa inggeris? Saya tak pandai berbahasa lain selain dari itu. Saya belum lagi belajar bahasa awak. Jadi tolong jangan buang masa saya. Saya malas nak layan awak!” masih dengan bentakan yang tertahan aku menolak ajakan itu.
Estaban tenang sahaja dengan senyum menggoda. Dia memandang ku lembut tetapi aku membalasnya dengan pandangan tajam. Sedikit pun aku tidak tergoda dengan renungan lelaki itu. Satu perkara lagi yang aku tidak suka dengan lelaki ini adalah mengenai rambutnya. Estaban yang berambut keperangan menyimpan rambut panjang sehingga ke tengkok persis seorang romeo. Aku pula lebih suka lelaki yang berpenampilan matang dan kemas. Bukannya romeo biarpun hati ku sering mengakui lelaki ini memang cukup tampan.
“Awak cuma membazir masa saya. Tepilah!” Aku cubaa menolak tubuh Estaban apabila lelaki itu tetap enggan mengalah.
Esteban tergelak suka apabila tolakan itu tidak mendatangkan apa-apa hasil. Sebaliknya berdua mula berdiri rapat. Peluang yang datang segera digunakan oleh Estaban sebaiknya. “Saya dah lama sukakan awak. Boleh jadi teman wanita saya?” bisik Estaban lembut.
“Saya tak suka awak langsung!” balas ku selamba sambil menolaknya lagi tetapi Estaban masih juga tidak berganjak dari situ. Geram sungguh aku dengan kelakuan Estaban. Seperti mahu mendidih darah ku melihat sengih nakalnya.
“Tepilah! Saya jerit nanti awak juga yang susah!” aku mula melemparkan ugutan itu dengan tegas agar lelaki miang ini mengerti yang aku tidak main-main.
“Kalau awak menjerit saya cium awak nanti. Saya tak kisah dihalau keluar dari sini asalkan saya dapat apa yang saya angankan. Jeritlah!” dia membalas semula dengan muka selamba. Ugutan ku itu kedengaran amat tidak laku untuknya. Aku pula yang seriau mendengar ugutannya semula.
Cium? Yeak! Menjijikkan sungguh. Melihat lelaki itu yang sememangnya tidak reti bahasa aku akhirnya bertindak nekad memulakan tindakan. Tubuh lelaki itu ku rempuh kuat. Estaban terdorong sedikit ke belakang. Dia sempat ketawa kecil dengan gelagat ku. Malas mahu melihatnya lagi, aku terus berlalu ke meja belajar. Semua orang kelihatan sedang sibuk mengulang kaji pelajaran tetapi Estaban sibuk menggatal pula.
Aku sangka semuanya akan berakhir di situ. Namun tidak! Tidak berjaya kali itu Estaban berusaha lagi kali ini. Tumpuan belajar aku pula yang sengaja diganggunya. Lelaki itu sengaja duduk berhadapan dengan ku selang beberapa barisan meja dari tempat aku dan Ameena belajar. Dia sengaja duduk menghadap kepada ku agar dirinya kelihatan di pandangan mata ku.
Aku mula lemas melihatnya. Aku cuba juga untuk tidak mengindahkannya tetapi gagal. Aku benar-benar tidak selesa apabila Estaban duduk merenung kepada ku dari tempat duduk lelaki itu. Menyampah dengan kelakuannya akhirnya aku bangun dan berpindah duduk berhadapan dengan Ameena dan sekaligus membelakangi Estaban. Ameena memandang hairan dengan kelakuan ku yang tidak tentu arah itu.
“Ada setan kacau!” bisik ku teramat perlahan. Jikalau pengawai perpustakaan itu mendengar suara kami akibatnya mungkin kami terpaksa belajar di kaki lima perpustakaan sebagai hukumannya.
Ameena menahan tawa apabila ternampak orang yang dimaksudkan oleh ku. Tanpa mempedulikan lelaki itu kami tetap meneruskan ulang kaji. Tetapi keamanan itu hanya seketika menjadi milik ku. Aku pantas menoleh apabila terdengar kerusi yang kosong bersebelahan dengan ku ditarik seseorang. Bagaikan mahu pengsan aku apabila melihat dengan selambanya Estaban mula berpindah duduk bersebelahan dengan ku. Ameena turut memandang kelakuan Estaban dengan mata buntang. Dia juga terkejut dengan keberanian lelaki itu. Kemudian dia mula menunjukkan muka tidak senangnya kepada ku bagaikan meminta aku segera ‘menguruskan’ lelaki tidak tahu malu itu. Dia sendiri sudah mula terasa terganggu.
Aku menghela keluhan keras. Apa lagi yang dia nak ni? Bentak hati ku sebal. Sakit betul hati ku dengan perbuatan lelaki itu. Bila masanya aku dapat merasa hidup aman tanpa gangguan? Lelaki itu pula dengan lagak machonya tersenyum mahu menggoda. Aku cuba bertahan dengan membiarkan Estaban begitu sahaja. Bukannya apa.. bimbang juga aku jika akhirnya aku kalah dengan kepakaran Estaban yang sememangnya amat pakar memikat perempuan. Oh, tidak!
Estaban memulakan agendanya. Hujung lengan baju ku dikuis-kuisnya sambil memerhatikan aku. Aku menoleh dengan renungan tajam. Tetapi dia tersenyum sambil membuat gerak bibir yang dapat ku fahami. Katanya I love you..
Aku menggeleng seketika sambil mencapai kertas memo pad di hadapan ku, lalu aku coretkan sesuatu dengan pantas di atas memo pad itu. Selesai itu kertas itu ku serahkan kepada Estaban dengan harapan selepas membaca mesej itu dia akan segera mengerti dan pergi jauh dari ku.
+Stay away from me! I’m not intrested with you!
Estaban membacanya. Dia tersenyum biasa. Seketika kemudian dia mencapai pen di tangan ku lalu mencoretkan sesuatu di atas memo pad yang sama lalu dikembalikan semula kepada ku. Dia tersenyum meleret saat aku memandangnya. Aku menjeling lagi. Tidak enak benar rasa di dada ku saat melihat senyuman lelaki itu.
-I don’t care. Dinner with you tonight, please…
Aku menggeleng sebal setelah membacanya. Memo pad itu ku ramas dan dengan selamba aku lemparkan kepada Estaban. Malas melayan, aku kembali menumpukan perhatian kepada buku yang sedang terbentang luas. Tiada gunanya aku terus melayan Estaban di situ. Dia memang jenis muka tembok! Lelaki tidak tahu malu! Itulah persepsi ku kepada dia selama aku mengenali lelaki itu.
Namun semakin bayangan lelaki cuba ku nyahkan dari ruang mata ku, semakin itu perasaan ku haru biru dalam diam. Ternyata kehadiran lelaki itu di sebelah ku membuatkan segalanya jadi tidak kena. Apa yang aku baca di atas muka buku itu pun tidak mampu aku tafsirkan. Aku tidak tahu mengapa.. perasaan ku jadi tidak aman sama sekali. Mahu bernafas pun aku terasa teramat sukar. Aku benar-benar lemas dengan kehadiran buaya darat itu. Aku tak suka dia! Jerit hati ku sendiri.
Akhirnya aku memutuskan untuk pergi sahaja dari situ. Spontan aku mengisyaratkan Ameena agar kami pulang sahaja. Ameena yang mengerti mula akur. Kami mula mengemas barang kepunyaan kami di atas meja itu. Mungkin lain kali sahaja aku meminjam buku dari perpustakaan ini. Selesai itu kami berdua terburu-buru meninggalkan Estaban yang terpinga-pinga memandang kepada ku. Dia seperti tidak bersedia untuk ditinggalkan di situ sendirian. Sebelum pergi hanya senyuman sinis yang sempat  ku hadiahkan kepada Estaban.

Aku tak hairanlah dengan kau, jantan!


Ajakan untuk keluar oleh Estaban mati begitu sahaja buat beberapa hari ini. Aku benar-benar kelegaan setelah melihat Estaban bagaikan hilang mood mahu mendekati ku apabila aku sekadar dingin dengan lelaki itu. Sehari-hari ini kami memang ada bertemu tetapi selalunya aku melihat Estaban seronok berkepit dengan gadis kampus yang sebangsa dan sekufu dengannya. Cinta konon!
Bagi ku jarak yang terhasil buat beberapa hari ini bagaikan rahmat pula untuk ku. Kalau Estaban sibuk dengan gadis lain bermakna dapatlah aku bernafas dengan aman tanpa dikacau lagi olehnya. Aku memang suka sangat-sangat dia menumpukan perhatiannya kepada orang lain berbanding kepada ku. Takut lama-lama nanti aku pulak yang sakit tekak menjerit kepadanya.. tak pun sakit jiwa!
“Insyirah..” panggilan suara garau seorang lelaki mematikan langkah ku yang sedang menuju ke Memorial Court. Aku segera mencari siapa yang memanggil. Berkerut dahi ku sedikit apabila melihat Ryan teman sekufu dengan Estaban datang mendekati ku. Namun sebagai tanda menghormatinya aku tetap tersenyum kepada Ryan. Setahu ku kesemua kawan-kawan Estaban memang terdiri daripada anak-anak orang kenamaan dan ada juga anak bangsawan. Aku tahu Ryan juga tidak ketinggalan sebagai ‘anak seseorang’ di London ini kerana bapanya ada membawa gelaran ‘duke’ pada pangkal namanya. Tetapi tidak pedulilah anak siapa mereka. Jika mereka baik, tidak bersebab untuk aku menyombong dengan mereka. Melainkan si jantan mancholah yang sering sahaja mengganggu ketenteraman hidup orang lain, terutama sekali aku!
“Ada apa, Ryan?” soal ku bersahaja.
“Estaban berikan ini kepada awak.” Ryan lantas menghulurkan sebuah beg kertas yang sederhana besar kepada ku.
Aku memandang seketika bungkusan itu tanpa segera mengambilnya. Apa pulaklah kali ini? Mungkin ada senget sedikit otak Estaban jika dia menyangka yang dia sudah mampu membeli jiwa ku dengan pemberian ini. Sama sekali tidak!
“Untuk saya ke bungkusan ini?” soal ku pura-pura bodoh dengan kerutan di wajah. Sengaja buat-buat pelik padahal aku sudah lama tahu inilah salah satu cara Estaban memikat perempuan.
Ryan mengangguk sambil tersenyum. “Dia memang sukakan awak sungguh-sungguh, Insyirah. Jangan hampakan dia,” kata Ryan Edmund lembut. Cuba memujuk ku pula bagi pihak teman karibnya itu. Tak tahu pulak aku yang Ryan ni rupanya consultant cari jodoh..
Aku terdiam sambil berfikir seketika. Wajarkah aku mengambilnya? Kalau kali ini dia menolak apa pula ulah Estaban yang seterusnya? Tetapi seketika kemudian terdetik satu idea di fikiran ku. “Terima kasih,” ucap ku setelah menyambut huluran Ryan itu.
Tanpa kata-kata lagi aku terus meninggalkan Ryan. Tetapi hala tuju ku bukan lagi ke Memorial Court sebaliknya ke tempat yang boleh aku temukan Estaban. Aku tahu mamat romeo itu pasti masih ada di sekitar kawasan fakultinya. Aku sudah benar-benar faham inilah masa terbaik untuk playboy itu mengurat gadis-gadis di kampus ini.
Aku yakin Estaban menganggap diri ku sama seperti perempuan-perempuan lain yang selalu dikepitnya. Mungkin pada fikiran Estaban, aku juga boleh dikelek sehingga ke tempat tidur dengan mudah. Kalau benarlah itu penilaiannya.. nampaknya dia dah salah orang! Biarlah sekacak mana lelaki itu, aku sama sekali tidak akan menggadaikan diri ku demi lelaki seperti itu. Bodohlah aku jika membiarkan lelaki asing itu memperlakukan diri ku sama seperti sepah yang boleh dibuang begitu sahaja setelah madu habis dihirup.
Sepanjang pencarian aku sempat bertanya beberapa orang yang rapat dengan Estaban. Akhirnya aku menemukan salah seorang bekas teman wanita Estaban. Anne mengatakan dia ada melihat Estaban bersama seorang gadis di The Colony Sport Ground iaitu taman yang luas menjadi kawasan riadah untuk pelajar-pelajar seperti kami. Di sana penuntut-penuntut boleh memilih untuk mencuba apa-apa sukan yang disukai.
Mendengar jawapan wanita berambut perang itu aku lantas menghayun kaki ke sana. Tidak lama selepas pencarian ku, kelibat lelaki yang ku cari mula dapat ku temui. Estaban kelihatan sedang bersantai seperti sedang berkelah bersama seorang gadis lain di tepi padang Ragbi. Senang hati betul Estaban melakukan aksi bercumbu rayu di situ. Sikapnya benar-benar menjelakkan aku yang melihatnya. Lelaki itu berbaring di atas rumput yang tebal dan bercumbu mesra dengan gadis itu tanpa mempedulikan pandangan mata orang ramai kepada mereka berdua. Lama aku berdiri memerhatikan gelagat lelaki itu.
“Ehemm..” Aku mencelah sedikit keasyikan mereka dengan dehemannya itu tanpa berniat mahu mengganggu.
Estaban sepantas kilat menoleh mencari suara ku. Apabila ternampak wajah ku, dia segera bangun dan tersenyum. Teman cumbuannya terus diabaikan. Dia tersengih kepada ku tanpa sebarang rasa malu atau bersalah akan perlakuannya tadi.
“Hai..” Estaban menyapa ku.
“Ini untuk saya?” soal ku sambil menayangkan beg kertas yang dititipkan melalui Ryan sebentar tadi. Sapaannya tidak ku layan.
“Awak sudah terima?” soal Estaban mula senang hati apabila melihat apa yang diberikannya sudah berada di tangan ku. Mungkin dia menyangka aku datang untuk berterima kasih kepadanya.
“Awak rasa saya terima ke?” aku sengaja mengembalikan soalan itu kepadanya antara nada sinis dan mengejek.
“Awak harus melihatnya. Saya membelinya di Lambordia dan ianya bukan murah,” ucap Esbatan dengan senyum lebarnya. Ada terselit nada bangga dalam kata-katanya.
Aku mula mengukir senyuman sambil menjenguk seketika ke dalam beg kertas itu seperti yang disarankan Estaban. Tetapi biarpun sekadar melihatnya sekali imbas aku tetap tidak berniat untuk membelek lebih lama baju yang dibelikan Estaban. Baju itu tidak menarik sedikit pun pada mata ku ini, walaupun aku tahu nama yang disebut Estaban adalah salah satu jenama gaun wanita yang berharga ribuan pound. Bagi ku ini bukanlah satu pemberian tetapi penghinaan.
Estaban mula mendekati ku. Beg kertas itu diambilnya dari tangan ku. Isi kandungannya dikeluarkannya. “Tengok ni.. cantikkan?” ucap Estaban lalu menayangkan gaun singkat itu kepada ku. Aku sekadar memandang kosong tanpa terkutik biar sedikit pun dengan perbuatan lelaki itu.
“Awak akan kelihatan lebih cantik setelah memakainya. Tengoklah.. ” Estaban mengunjukkan lagi gaun itu kepada ku.
Aku terus membiarkan gaun itu berada di tangan Estaban. Tanpa menyentuhnya pun aku dapat melihat gaun itu sekadar menutup bahagian-bahagian tertentu pada tubuh ku. Mungkin perekanya sengaja tidak menyediakan kain lebih agar bahagian yang sulit terdedah. Dan kain itu juga agak nipis.
“Maaf, saya tak datang ke sini untuk berterima kasih, sebaliknya saya mahu memulangkan semula gaun itu kepada awak. Saya tak pernah memakai baju seperti ini,” jelas ku lembut namun serius.
“Awak belum memakainya bagaimana awak tahu awak akan menyukainya atau tidak? Cubalah dulu. Sekurang-kurangnya saya takkan terasa hati jika awak mengambilnya walaupun awak takkan memakainya untuk saya,” pujuk Estaban separuh merayu.
Aku tetap menggeleng. Bagaimana untuk aku memakainya jika tudung di kepala ku ini pun tidak pernah ku lepaskan di tempat terbuka. Inikan pula anggota tubuhnya yang lain. Aku masih waras. Aku tidak akan memakai baju seperti ini di hadapannya walaupun harga baju ini sama nilainya dengan yuran pangajian ku di universiti ini. Mengambil pemberian lelaki ini begitu sahaja tanpa perlu dibalas? Tidak mungkin! Aku tidak mahu menjerat diri dengan budi yang berharga semahal ribuan pound seperti itu. Pasti ada sesuatu yang harus aku berikan kepada lelaki itu sebagai balasan. Jika tidak hari ini pasti suatu hari nanti aku akan tersepit juga!
“Saya benar-benar mahu melihat awak memakainya, Insyirah. Ambillah..” pujuk Estaban separuh merayu. Dia masih menghulurkan gaun itu kepada ku bagi menyatakan kesungguhannya menghadiahkan baju itu.
“Pakaian ini akan mendedahkan sebahagian tubuh perempuan, Estaban.” Aku menjawab tegas agar lelaki ini mengerti akan pendirian ku.
“Kecantikan tubuh wanita memang untuk lelaki, betul kan?” sambut Estaban lebih pantas. Dia mengucapkan kata-kata itu seolah-olah tiada kesalahan untuk dia mempermainkan perempuan seperti yang sering dia lakukan selama ini.
Aku menggertap bibir menahan rasa mendengar kenyataan lelaki itu. Terlalu rendah nilai wanita di mata lelaki ini. Mengapa dia begini? Adakah kerana dia kacak dan kaya dia sudah cukup hebat sehingga semua perempuan harus tunduk kepada nafsunya?
“Kecantikan tubuh wanita lain memang untuk santapan mata awak, Estaban. Tapi bukan tubuh saya. Saya orang beragama islam dan mendedahkan tubuh pada mata lelaki yang bukan suami adalah salah di sisi agama. Saya tidak akan melakukannya biar sebanyak mana wang yang dah awak habiskan untuk mendapatkan gaun ini. Mungkin ada baiknya awak berikan pada perempuan itu supaya duit awak tu tak membazir. Dia tentu lebih pandai menghargai berbanding saya,” balas ku sambil mengerling gadis yang masih duduk di atas rumput sambil menatap perbualan kami berdua.
Estaban memandang gadis yang ku maksudkan tadi. Tetapi kemudian dia mengalihkan pandangan kepada ku semula. Wajahnya jelas berubah saat memandang bola mata ku. Riak wajahnya lebih kepada marah dan terkilan kerana aku sudah menolak pemberiannya. Tetapi biarlah apa pun riak yang mahu ditunjukkan Estaban saat ini. Aku tetap tidak peduli.
“Jangan marah sebab saya tak suruh awak beli gaun ini. Atau sekurang-kurangnya awak kenalah tanya saya dulu sebelum awak menghabiskan duit untuk saya,” ujar ku tanpa merasa bersalah memaparkan muka tidak beremosi untuk menyakitkan hati Estaban yang bongkak itu.
“Kenapa dengan awak semuanya begitu susah?” soal Estaban serius.
“Kenapa mesti saya? Kan ramai lagi perempuan lain?” Aku tidak menjawab sebaliknya bertanya semula kepadanya.
“Saya Tanya, awak kena jawab. Jangan jawab soalan saya dengan soalan juga. Kenapa dengan awak semuanya susah?” nada lelaki itu mulai tidak mesra kepada ku. Soalannya tadi diulang semula untuk ku jawab.
Aku menghela nafas perlahan sambil memandang wajah Estaban. “Awak nak tahu, okay! Saya bagi tahu..” ucap ku nekad. “Dengan saya memang susah, sebab saya bukan dia.. bukan juga perempuan-perempuan yang awak peluk setiap hari. Saya bukan perempuan simpanan awak. Puas hati sekarang?” jawab ku serius. Kedua-dua tangan ku silangkan ke dada dengan muka selamba. Aku sudah bersedia untuk menentang apa sahaja pendirian lelaki ini mengenai diri ku.
“Awak juga perempuan. Apa naluri perempuan seperti awak tidak sama dengan yang lain? Awak dari planet mana?” Estaban membalas kata-kata ku dalam nada ejekan bagaikan sengaja mempersendakan pendirian ku tadi.
Aku mula menghela nafas perlahan mendengar ucapannya itu. Sabar ajalah aku dengan jantan ni! Hati ku berbisik halus. “Ya.. saya memang perempuan. Mata saya juga mata seorang perempuan yang suka memandang lelaki. Tapi saya perempuan yang beragama islam. Saya berpegang kepada ajaran agama saya yang melarang saya bergaul bebas dengan lelaki. Saya perempuan yang bermaruah yang takkan sewenang-wenangnya membiarkan tangan lelaki asing memegang tubuh badan saya. Saya perempuan yang tidak akan sesekali membiarkan mata-mata lelaki asing melihat bentuk tubuh saya terutama sekali buaya darat macam awak, yang sudah pakai kemudian tinggalkan! Saya perempuan yang tidak akan membiarkan diri saya ditiduri oleh lelaki yang tak bertanggungjawab macam awak! Saya perempuan yang tidak akan menanggalkan biarpun sekadar penutup kepala saya ni di hadapan lelaki yang bukan suami saya iaitu awak! Sekarang awak tahu saya dari planet mana?” jawab ku tegas enggan tunduk kepada kehendak lelaki itu.
“Wow! Awak begitu mahal..” Estaban mengejek ku lagi sambil tergelak. Gaun itu dikembalikannya ke dalam beg kertas itu lalu diletakkan di hujung kakinya. Dia berselok poket dengan wajah jengkel setelah mendengar ucapan ku tadi.
“Terpulanglah kepada penilaian awak. Walau serendah mana pun penilaian awak tentang diri saya, takkan mencacatkan saya sedikit pun. Saya tetap macam ni. Awak boleh teruskan hidup awak dengan tabiat awak. Saya pula akan teruskan hidup saya dan pendirian saya. Adilkan? Ini negara demokrasi! Kita ada kebebasan memilih, wahai Estaban Joseph Buhler!” ucap ku mula mengeraskan nada ku.
Estaban mula merenung ku dengan rahang yang sudah dikertap. Dia benar-benar tercabar dengan kata-kata ku tadi. Aku hanya memandang selamba lelaki di hadapan ku itu. Marah ke? Ada aku kisah?
“Saya dah takde apa nak dikatakan lagi. Ambillah semula baju tu sebab saya tak perlukannya. Maaf, kalau kedatangan saya menggangu awak bermesra dengan dia. Kasihan perempuan tu tertunggu-tunggu. Pergilah semula pada dia.” Dengan selamba aku menyindir lagi. Sengaja aku menjuihkan bibir kepada gadis tadi.
“Macamana caranya baru saya dapat keluar dengan awak, Insyirah? Saya cuma nak habiskan sedikit masa dengan awak.” Estaban sempat memujuk lagi sebelum sempat aku menghindar.
“Takde caranya. Saya perlukan sebab untuk keluar dengan awak. Tapi malangnya saya takde sebarang sebab untuk buat macam tu. Tolong berhenti buat macam ni. Saya takkan ubah keputusan saya biarpun awak membelikan saya sebahagian tanah di London ini!” putus ku kemudian aku terus meninggalkan Estaban bersama baju itu.
Saat berlalu pergi aku sempat tersenyum puas hati. Aku harap selepas ini Estaban mengerti yang dia memang tiada sebarang kepentingan dalam hidupku. Selama aku mengenalinya aku sama sekali tidak pernah menanam biar secebis pun impian untuk didekati oleh lelaki seperti itu. Aku harap Estaban mengerti itu semua sama sekali tidak pernah ada dalam agenda hidup ku selama aku berada di Cambridge ini.

Aku dan Ameena keluar untuk membeli barangan keperluan di Bismillah Halal Grocery yang terletak di Mill Road pagi itu. Kami sama-sama tidak mempunyai kuliah dan inilah masa yang sesuai untuk kami gunakan bagi membeli barang keperluan harian. Di pasaraya itu muka kami semua memang sudah dicop sebagai pelanggan tetap kerana di situ mudah untuk kami mendapatkan keperluan harian dan daging halal dengan harga yang agak murah. Sesuailah dengan ekonomi aku sebagai pelajar yang awal semesta penuh tengah semesta mula kempeslah poket.
Aku dan Ameena menghabiskan masa lebih empat jam membelek barang-barang keperluan seperti barang dapur dan barang-barang mandian di situ. Puas juga menjelajah pasaraya itu sehingga aku sendiri tidak sedar yang sudah agak lama kami berada di situ. Lenguh lutut dibuatnya kerana berdiri terlalu lama. Namun lama kelamaan aku dan Ameena sudah terpisah arah. Ameena entah di lorong mana.
“Hai!” sapaan itu benar-benar mengejutkan aku yang bersendirian membelek Krim mandian. Aku lantas menoleh. Tidak perlu diteka lagi kerana aku sudah cukup kenal dengan suara lelaki itu.
“Awak?” soal ku masih terkejut. Hampir terbeliak mata ku memandang Estaban yang sedang mengukir senyuman manis kepada ku.
“Ya..” Sepatah sahaja jawapan Estaban. Aku memandang sekeliling. Bayang Ameena masih tidak kelihatan. Entah kenapa aku kalut seketika di situ. Aku benar-benar tidak menyangka akan bertemu dengan lelaki ini di sini.
“Dia ada kat sebelah sana..” ujar Estaban sambil menunjukkan ke satu arah. Macam tahu aja siapa yang sedang aku cari.
“Siapa?” soal ku buat-buat tidak mengerti siapa yang dimaksudkan lelaki itu.
“Kawan awak. Saya nampak dia kat lorong sana..” jelas Estaban lembut.
“Awak buat apa kat sini?” soal ku kepada lelaki itu. Gelagat lelaki itu yang berdiri sambil berselok poket jeansnya ku kerling dengan ekor mata.
“Saya cari awak..”
“Cari saya untuk apa? Macamana awak tahu saya di sini?” soal ku masih tidak berpuas hati. Takkanlah dia mengekor aku pulak?
“Saya tahulah.. saya pun tahu di mana awak tinggal. Inikan tempat saya?” balas Estaban lembut. Matanya masih merenung mesra kepada ku tanpa berkelip. “Awak cantik sangat macam ni. Saya suka tengok awak berpakaian macam ni. Nampak ringkas..” pujinya perlahan. Matanya sempat memandang ku dari atas ke bawah.
 “Apa yang cantiknya macam ni?” balas ku selamba sambil buat-buat membelek krim mandian di tangan ku itu. Rasanya aku biasa aja. Dengan mengenakan blaus longar yang labuh sehingga ke bawah punggung dan dipadankan dengan seluar jeans berwarna biru, apa yang cantik benar?
Estaban tidak membalas. Setelah beberapa ketika mereka berdiam aku mula memerhatikan lelaki itu. Lelaki itu sedang memandang wajah ku penuh asyik. Renungan itu membuatkan aku mula merasa  canggung. Aku pun takde idea apa yang mahu dibualkan dengan Estaban. Sedikit sebanyak ketenangan ku sudah mula diusik dengan kehadiran lelaki itu. Mahu marah.. rasanya tidak kena pula. Lagipun apa hak aku untuk menghalang kedatangan lelaki itu ke situ? Pasaraya ini bukannya aku yang punya!
“Kenapa awak pandang saya macam tu?” soal ku mula tidak senang dengan gelagatnya. Aku sendiri sudah merasa serba tidak kena. Malu pun ada!
“Saya suka tengok awak. Awak buat apa lepas ni?” ucap Estaban sambil tersenyum mesra.
“Balik!” jawab ku sepatah.
“Saya hantar awak, boleh?” tanya Estaban lembut.
“Saya datang naik bas jadi balik pun mesti naik bas..” Aku menjawab selamba. Serentak itu aku bergerak meninggalkan kawasan itu untuk menjauhi lelaki itu. Namun Estaban lantas mengekori ku.
“Kalau saya hantarkan pun takpekan? Takde salah.” Dari belakang ku Estaban membalas.
“Tak salah. Tapi saya yang tak nak!” aku menjawab serius tanpa memandang lelaki itu. Bakul yang ku bawa agak berat. Aku mula memegangnya dengan kedua-dua belah tangan. Namun tiba-tiba terasa bakul itu ditarik seseorang dari belakang.
“Tak payahlah! Saya boleh bawak..” getus ku tidak senang apabila melihat Estaban mula menarik bakul itu dari pegangan ku.
“Takpe. Bakul ni berat. Biar saya yang pegang untuk awak..” ucap Estaban enggan mengalah kepada ku. Bakul itu ditariknya juga sehingga aku akhirnya membiarkan bakul itu berada di tangannya.
Namun aku mula menghela nafas perlahan. Aku benar-benar tidak senang dengan keadaan ini. “Awak nak apa dari saya ni, Estaban?” soal aku sedikit tertekan. Kalau boleh aku mahu terus berada di situ tanpa kehadiran Estaban. Tetapi lelaki ini nampaknya juga mahu terus menghimpit ku.
“Saya cuma nak temankan awak..”
“Kan Ameena ada dengan saya? Tak payahlah awak sibuk-sibuk mengekor saya ke sana ke mari. Saya rimaslah!” Aku membantah kehendak lelaki itu. Aku tidak mahu Ameena ternampak Estaban berada di sini. Nanti tiba-tiba sahaja Ameena bertukar minat menjadi wartawan gosip!
“Kalau saya yang temankan apa salahnya?” jawab Estaban terus berlembut dengan ku.
“Estaban, awak ni memang tak faham-fahamkan? Saya tak mahu awak ada di sini. Tolonglah pergi. Jangan ganggu saya!” tekan ku mula geram dengan lelaki itu.
“Insyirah, saya cuma nak berkawan dengan awak. Awak belum kenal siapa saya sebenarnya. Saya tak seburuk yang awak sangkakan. Saya cuma nak dekat dengan awak.” Lelaki itu menjawab semula. Kali ini nadanya teralun amat lembut bagaikan mengharap sesuatu dari ku.
Dah agak dah! Mesti dia nak sesuatu dari aku! Aku mengeluh perlahan. Bakul di tangan Estaban cuba ku ambil semula namun lelaki itu enggan melepaskannya.
“Please.. saya betul-betul sukakan awak,” ucap Estaban lagi.
“Saya tak sukakan awak. Sikit pun tak!” tegas ku tidak melayan luahannya itu.
“Kenapa?”
“Kenapa apa?”
“Awak langsung tak mahu berbaik dengan saya?” Suara lelaki itu merendah. Ada nada kecewa teralun dalam suaranya. Begitu juga dengan pandangan matanya kepada ku. Namun sedikit pun aku tidak mahu memberi peluang kepadanya.
“Untuk apa saya berbaik dengan awak? Awak yang buat saya tak suka dengan perangai awak selama ni. Lagipun ucapan ‘suka’ macam yang awak sebutkan tadi tu.. tak boleh dipercayai langsung! Awak ni kaki perempuan. Jadi tolong bagi balik bakul ni. Saya dah nak balik!” tukas ku keras tanpa mahu melayan perasaan lelaki itu kepada ku.
Estaban terus kehilangan bicara saat itu. Akhirnya bakul itu dilepaskannya juga kepada ku. Langkah ku yang semakin menjauhinya tidak lagi diekori. Sebaliknya dia memandang sahaja dengan seribu kehampaan. Akhirnya tanpa kata dia berlalu dari pasaraya itu.

Aku mula menarik nafas lega apabila dari jauh aku melihat Estaban berlalu. Aku mula mencari Ameena yang kini entah ke mana hanyutnya. Bimbang Estaban kembali semula aku nekad enggan terpisah lagi dari Ameena.

3 ulasan:

  1. fanatik sungguh estaban kat insyirah...

    BalasPadam
  2. At the 1st i was thinking that Estaban is just a side character but now i feel like the his the hero in this novel :)
    something interesting-a white guy with an asian girl :)

    BalasPadam
  3. bersungguh si estaban ni...tp klau sy jd insyirah pn sy rimas

    BalasPadam