Isnin, 12 Ogos 2013

Bab 5-Janji Pada-Nya



Pisang emas masak sebiji,
Masak pula di atas peti,
Dugaan Allah selalu menguji
Itulah tanda Allah memerhati.


Sebelum bergerak ke hospital aku sempat melihat detektif gemuk itu bercakap dengan Estaban berdua di dalam bilik siasatan itu. Aku tidak tahu apa yang mereka bualkan namun akhirnya aku dapat melihat dua manusia itu berjabat tangan berdua seolah-olah ada janji yang telah termetrai. Detektif Martin nampak gembira dengan apa yang Estaban ucapkan kepadanya. Hati ku semakin tidak sedap melihat keadaan itu.
Aku dibawa ke Hospital King Hedgest dengan kederaan polis bersama Ameena dan Hamizah. Hampir setengah jam aku terkurung sahaja di dalam bilik pemeriksaan seorang diri. Sementara itu mata ku dapat melihat Detektif Martin sibuk berbual dengan seorang petugas perubatan lelaki. Mereka bercakap dengan nada perlahan sambil memandang ke arah ku berkali-kali. Sekejap kemudian mereka ketawa pula. Entah apa yang lucu benar.
Aku tidak tahu samaada perasaan ini hanya hayalan ku ataupun mereka sememangnya sedang cuba melakukan sesuatu kepada diri ku. Alangkah sukar ku rasakan kala ini kerana setahu ku kesemua pelajar jurusan yang melibatkan perubatan dan farmasi membuat latihan di hospital ini. Sebenarnya ini adalah hospital milik universiti. Alangkah malunya aku nanti jika ada pelajar-pelajar lain yang tahu apa yang telah terjadi kepada diri ku.
Selepas puas dibiarkan sendiri akhirnya petugas itu mendekati ku bersama dengan Detektif Martin. “Dia akan memeriksa kamu..” kata Detektif Martin sekadar memberitahu.
Aku mahu mengangguk tetapi terasa amat payah. Dalam diri ku, aku benar-benar tidak rela membiarkan lelaki itu menilik setiap inci tubuh ku, biarpun untuk tujuan yang penting begini. Tubuh badan wanita adalah rahsia bagi lelaki yang bukan muhrim kecualilah jika aku sedang dalam keadaan darurat. Tubuh ku ini bukannya untuk pandangan mata lelaki asing apatah lagi yang bukan beragama islam. Mana hendak aku letakkan muka ku ini disaat dia membelek segala rahsia milik ku? Nauzubillah.. aku tidak sanggup!
“Tolong tanggalkan pakaian,” ujar lelaki itu serius.
Spontan aku terus ternganga mendengar arahan pendek itu. Tanggalkan pakaian? Perlukah itu? Di hadapannya? Oh! Tidak! “Untuk apa?” soal ku pantas.
Petugas perubatan itu berpandangan dengan sedikit senyuman kepada pegawai polis itu. Kemudian dia menggeleng seolah-olah sedang mengutuk kebodohan soalan yang ku lemparkan kepadanya. Detektif Martin juga tergelak sinis bagaikan mengata kobodohan ku kerana bertanyakan soalan sebegitu.
“Kami harus memeriksa awak untuk memastikan ada kesan DNA orang yang dituduh merogol awak. Kita akan menghantar sampelnya ke bahagian patalogi. Selain itu saya juga harus memastikan samaada ada awak dirogol atau perhubungan seks itu atas kerelaan awak sendiri. Semuanya harus dipastikan sebelum mereka membuat pertuduhan di mahkamah nanti. Ini adalah prosedur wajib bagi semua mangsa rogol,” jelas petugas itu kepada ku.
“Boleh saya dapatkan petugas wanita untuk memeriksa saya?” aku segera membuat pemintaan itu. Tidak kisahlah prosedur ke apa.. yang penting aku tidak mahu berbogel di hadapan lelaki-lelaki itu.
“Tak terdapat petugas wanita sekarang. Hanya saya yang bertugas di sini hari ini. Saya yang akan memeriksa awak samaada awak suka atau tidak. Awak takde pilihan lain.” ucap petugas itu tanpa mahu mempertimbangkan apa yang diminta oleh ku.
Aku mula menelan liur kepahitan. Keadaan benar-benar membuatkan aku merasa tersepit saat ini. Aku sudah tidak tahu apa yang patut aku lakukan lagi jika orang yang aku harapkan tidak mahu membantu ku. Mereka juga mahu menjahanamkan aku.
“Apa nak dimalukan? Kalau bukan kami yang melihat kamu, sudah ada lelaki lain yang melihat tubuh kamu. Dia sudah mendapat lebih daripada apa yang kami dapat,” ujar Detektif Martin sinis sambil tergelak sendiri.
“Apa maksud awak ni, detektif?” tidak tertahan akhirnya terhambur kemarahan ku. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja aku tampar mulut lelaki gemuk itu yang biadap.
“Masalah rogol adalah jenayah berat di sini. Bukan awak sahaja yang pernah mengalaminya tetapi ramai lagi. Tetapi dengan lelaki ternama seperti Estaban Joseph Buhler tu, saya tak rasa awak akan berjaya mendapatkan pembelaan yang awak mahukan. Keluarga dia kaya dan banyak pengaruh di sini. Ayah dia pasti akan mendapatkan pembelaan yang terbaik untuk anaknya. Awak hanya memalukan diri sendiri. Semua ini bukannya semudah yang awak bayangkan. Tengok sahaja sekarang, baru saya meminta lelaki ini memeriksa awak, awak sudah tidak sanggup. Setiap apa yang kami periksa nanti akan didedahkan di mahkamah untuk pemerhatian juri,” ujar Detektif Martin itu cukup selamba.
Aku terus terdiam mendengar kata-kata pegawai polis itu. Sesungguhnya selama ini aku tidak tahu tentang semua itu. Aku memang tersilap kerana tidak pernah mengambil tahu apa yang akan dilakukan kepada wanita yang menjadi mangsa rogol seperti ku. Kerana hari ini aku sama sekali tidak menyangka aku akan digolongkan bersama beribu-ribu wanita lain yang menjadi mangsa kepada jenayah itu. Aku benar-benar tidak tahu segala prosedur yang diperlukan untuk wanita yang sudah diperkosa. Alangkah naifnya aku..
“Kita boleh mulakan sekarang kalau awak mahu. Saya akan melakukannya dengan cepat. Tetapi saya tetap perlu meminta awak menanggalkan pakaian dan saya perlu melakukan pemeriksaan kepada vagina awak apakah terdapat koyakan pada selaput dara,” ujar petugas itu sambil mendekati ku.
“Jangan!” bentak ku terus menggelabah. Tebal wajah ku menahan malu bagaikan tidak dapat diukur. Bagaimana untuk aku membiarkan lelaki itu menyentuh dan memeriksa bahagian yang terlalu sulit pada diri ku ini?
Petugas itu tersentak mendengar jerkahan ku. Dia menatap Detektif Martin dan mula tersenyum penuh makna. Mereka sedang meraikan suatu kejayaan melalui pandangan mata dan senyuman mereka.
“Takkan saya tidak boleh mendapatkan petugas wanita untuk memeriksa saya? Saya telah diperkosa masakan saya harus membiarkan lelaki juga yang melihat apa perbuatan lelaki binatang itu kepada saya? Panggillah sesiapa sahaja asalkan dia perempuan. Tolonglah!” aku cuba merayu lagi.
“Dalam soal ini tidak wujud ketidaksamaan kaum. Lelaki atau wanita yang memeriksa kamu tidak penting. Apa yang penting kami dapat membuktikan apa yang awak katakan itu benar,” jawab petugas lelaki itu.
“Bagaimana saya tahu awak benar atau tidak? Dektektif, saya nampak awak bercakap dengan Estaban sebentar tadi. Saya tak tahu apa yang awak bincangkan dengan dia tapi saya tahu dia sudah tentu ada menawarkan awak sesuatu kerana dia kaya, seperti yang awak katakan tadi. Mungkin awak hanya nak mempermainkan saya,” bentak ku kepada detektif gemuk itu. Mungkin aku sekadar menuduh tanpa bukti tetapi demi Allah aku melihat semua itu dengan  jelas. Tidak mungkin Estaban akan mengaku salah begitu sahaja. Dan apa perlunya lelaki yang seharusnya menjadi penegak keadilan ini berjabat tangan dengan rianya bersama dengan penjenayah seperti Estaban itu?
“Awak menuduh saya ke?” soal Detektif Martin keras.
Aku sudah benar-benar tertekan sehingga air mata ku mula mengalir. Di sekeliling ku ini bukan hanya ada Estaban yang menanti untuk melihat hidup ku musnah. Tetapi tidak ketinggalan lelaki-lelaki ini juga. Aku sudah mula terasa kekalahan sedang berada dipihak ku. Dunia ku terasa gelap. Aku sedar kudrat ku tidak sekuat mana untuk menahan segalanya.
 Dengan kasar aku menyeka air mata di pipi ku. “Saya bukannya buta. Lelaki macam awak tak kurang sama saja macam binatang tu. Saya tak tahu apakah saya boleh percayakan awak. Sebab itu saya mahukan petugas wanita yang memeriksa saya. Kenapa awak tak faham?” rayu ku dalam esakan halus.
“Tidak ada petugas wanita di sini! Samaada awak merelakan dia memeriksa awak atau saya akan sumbat awak ke lokap kerana cuba membuat laporan palsu! Pilih yang mana awak suka! Awak harus ingat, lelaki yang awak tuduh itu adalah lelaki kenamaan di sini. Jangan nanti awak yang kembali mendapat susah kerana aduan awak sendiri!” dengan jerkahan itu Detektif Martin memarahi aku semula.
Akibat tidak sanggup lagi menentang ini semua, aku terus bangun dari katil pemeriksaan itu. Aku sudah tidak tahu samaada aku harus terus berada di situ atau pergi sahaja. Tetapi apa yang aku benar-benar tahu aku memang tidak sanggup membiarkan lelaki-lelaki ini melihat diri ku tanpa pakaian.
Aku nekad berlari keluar dari bilik itu. Rempuhan kuat pada pintu bilik itu memeranjatkan Hamizah dan Ameena yang sedang duduk menanti di kerusi di hadapan bilik itu. Dalam terpinga-pinga mereka mengejar ku yang berlari keluar dari kawasan hospital itu.
“Syira, kenapa ni?” soal Ameena tidak mengerti apabila dia terhenti di sisi ku di kawasan luar hospital. Aku sudah menangis tersedu-sedu.
“Dia tu binatang, Meen. Dia nak hancurkan hidup aku..” Aku terus menghamburkan tekananku dalam esakan yang tidak tertahan.
“Siapa? Estaban ke? Apa dah jadi ni? Kau dah diperiksa ke belum?” soal Ameena bertubi-tubi. Dia panik melihat keadaan ku begitu.
Aku hanya mampu menggeleng dengan tangisan yang semakin kuat. Hati ku sudah hancur lumat saat ini. Entah apa dosa ku sehingga perkara ini boleh terjadi kepada diri ku. Hakikatnya aku tidak rela membiarkan dua lelaki itu menjadi orang yang seterusnya mencemarkan maruahku, sesudah aku dicemari oleh binatang bertopengkan manusia seperti Estaban. Mengapa di bumi penjajah ini keadilan untuk diri ku terlalu sukar? Hanya kerana aku seorang perempuan? Atau kerana aku orang miskin?
“Kenapa kau tak diperiksa?” Hamizah pula yang menyoal.
“Dia dah rasuah polis tu. Aku tahu polis tu bukan sebenarnya nak membantu aku tetapi dia nak memalukan aku. Aku tak sanggup, Izah. Dia orang tu lelaki. Dia orang nak aku tanggalkan pakaian depan dia orang. Aku malu, Izah. Aku tak sanggup!” kata ku dalam tangisan yang tidak dapat ditahan.
Hamizah dan Ameena terdiam sambil berpandangan.
“Aku dah minta pegawai wanita yang memeriksa aku tapi mereka tak benarkan..” Aku terus menangis teresak-esak tanpa rasa silu di situ. Beberapa orang yang lalu lalang sempat memandang kami dengan pandangan yang pelik.
“Ya Allah, Syira.. Apa kita nak buat ni? Takkan kita nak lepaskan jantan tu macam tu aja?” Hamizah ikut kebuntuan dengan jalan yang masih tinggal.
“Aku nak bunuh dia, Izah. Biar aku sama-sama mati dengan dia. Aku nak cari dia..” dalam keadaan hati yang rapuh itu aku nekad memasang niat mahu membalas dendam. Langkahnya terus ku atur untuk keluar dari situ. Hanya satu yang aku mahu. Binatang bernama Estaban itu! Tetapi belum sempat aku pergi jauh Ameena sudah menarik aku.
“Syira, sabar dulu. Jangan ikutkan hasutan iblis. Kalau kau buat begitu macamana dengan mak dan abah kau? Pasti ada caranya, Syira. Jangan macam ni,” pujuk Ameena sambil memegang erat lengan ku, cuba menghalang tindakan nekad ku itu.
“Cara apa, Meen?? Dia banyak duit. Dia boleh buat apa yang dia suka. Semua orang dia boleh bayar. Aku apa yang ada? Semuanya dah musnah!” aku meluahkan perasaan yang tertekan dengan nada yang kuat. Aku sudah tidak tahan lagi. Semenjak dari mula aku mengenali lelaki itu, hanya kesakitan yang dia berikan kepada ku. Kenapa mesti aku yang menjadi mangsanya?
“Jangan, Syira. Bawa mengucap, ingat Allah!” Hamizah terus memeluk ku untuk menenangkan aku. “Beristighfarlah, Syira. Allah ada dengan kita. Kalau kita tak mampu balas perbuatan dia, biar Allah yang balas. Doa orang yang dianiaya akan dimakbulkan Allah,” bisik Hamizah saat dia memeluk ku.
Aku terus menangis di situ. Sesungguhnya aku buntu dengan apa yang perlu dilakukan untuk membawa Estaban ke muka pengadilan. Apakah kerana aku menumpang sahaja di sini maka aku tiada hak untuk mendapatkan pembelaan setelah dianiaya oleh orang lain?
“Apa kita nak buat ni, Izah?” keluh Ameena semakin kebuntuan.
Hamizah diam sahaja. Agaknya dia juga ketandusan akal. Tidak tahu apa yang perlu dilakukan untuk membantu aku. Kemudian aku terdengar dia mengeluh panjang.
Bagi ku selain membunuh lelaki bajingan itu, sudah tiada jalan lagi untuk aku mendapatkan pembelaan buat diri ku. Hidup ku sudah hancur semuanya. Rasanya lebih baik aku mati sahaja daripada terus hidup dalam keadaan seperti ini. Tetapi sayangnya aku tidak mahu mati dalam keadaan berputus asa kepada Allah.
Estaban.. aku tidak akan memaafkan kau atas apa yang kau dah lakukan pada aku hari ini. Mungkin dengan wang ringgit kau boleh menutup segala kekejian yang sudah kau lakukan. Tetapi kebenaran tetap kebenaran. Suatu hari nanti balasan Allah akan sampai juga. Tidak akan ada ruang kemaafan dalam hidup ku ini untuk lelaki sekeji kau! Hutang darah dibayar dengan darah. Tetapi hutang sengsara maka sengsara jugalah bayarannya!


Tidak akan ada kemaafan sama sekali biarpun kau datang merangkak dan melutut di hujung kaki ku ini! Takkan!


Enam hari berlalu begitu sahaja..
Paling menyedihkan mendengar tangisan emak setelah mendapat tahu apa yang berlaku kepada ku. Emak dan abah ku terlalu terkilan dengan apa yang menimpa. Abah sampai tidak terkata jadinya semenjak mula dikhabarkan berita pedih itu. Aku tahu abah sedih. Lebih sedih apabila mendapat tahu hak diri ku diketepikan hanya kerana aku seorang pendatang di tanah itu. Amat berat dugaan ini namun abah sudah menyatakan pendirian yang dia reda dengan ujian Allah ini.
Sehari-hari ini aku hanya berair mata sahaja. Kebetulan pula beberapa hari lagi cuti semesta dijadualkan akan bermula. Abah awal-awal lagi sudah menyatakan pendiriannya. Dia meminta aku pulang sahaja ke Malaysia sahaja untuk menenangkan fikiran. Aku akur sahaja dengan kendendak abah. Rasanya aku tidak mampu lagi untuk berada di tanah yang mencoretkan sejarah hitam dalam diari hidup ku ini. Segala yang ku pandang amat menyakitkan.
“Aku tak mahu kembali lagi ke sini, Meen. Aku nak balik terus,” luah ku pada petang terakhir sebelum aku pulang ke Malaysia. Cuti semesta akan bermula lusa tetapi aku sudah membuat keputusan untuk pulang sebelum cuti semesta bermula. Biarlah.. bagi ku semua itu tidak penting lagi untuk ku pertahankan. Biarlah aku dibuang sahaja dari pengajian. Aku sudah tidak peduli lagi. Aku terlalu sedih.. kerana cerita mengenai itu bukan lagi rahsia kami. Sudah ada manusia yang baik budi menghebohkannya. Sehingga kini kami tidak bertegur sapa dengan Nenny. Aku menganggap dia juga pendorong sehingga terjadi semua ini.
Memang aku akui.. ada yang bersimpati dengan nasib yang menimpa ku. Tidak ketinggalan juga yang menganggap semua itu hanya kisah yang biasa-biasa aja. Tiada apa yang perlu disedihkan. Ada juga yang sudah tidak hairan.. kerana mereka cukup kenal siapa manusia durjana bernama Estaban itu. Sikap kaki perempuan dan nafsunya tidak mengira siapa.
Kata-kata ku itu mebuatkan Ameena memandang ku dengan wajah sedih. Cuti semesta kali ini Ameena tidak pulang ke Malaysia. Dia akan bekerja untuk mengisi masa terluang itu untuk mencari duit perbelanjaan sampingan bagi sesi pembelajaran semesta yang akan datang. Itu sudah menjadi resam kami di situ. Tetapi kini, semua keseronokkan bergelar pelajar di sini terpaksa aku lepaskan.
“Habis tu macamana dengan pelajaran kau? Sayang kalau kau berhenti setakat ini. Kita pun dah nak masuk tahun ke dua. Sedihnya aku aku kalau kau dah tak kat sini, Syira. Tinggal aku dengan Izah aja. Nanti kita orang mesti sunyi bila kau takde,” luah Ameena terkilan dengan keputusan ku.
“Kau akan dapat sesiapa yang boleh menggantikan aku, Meen. Tapi aku tak boleh menggantikan apa yang dah hilang dari diri aku ni. Aku tak boleh nak menghadap jantan tu seolah-olah macam apa yang berlaku sebelum ini takde salahnya. Aku tak boleh berlagak seolah-olah semua tu tak pernah berlaku,” balas ku semula. Aku mahu dia faham.. bukan mudah untuk aku ambil keputusan sebegini. Tetapi aku juga harus akur dengan hakikat. Tidak semua yang aku rancangkan akan terjadi.
Ameena terdiam seketika. Wajahnya layu masih tidak terpujuk. Aku sedar selama ini Ameena hanya bersama dengan ku. Ke mana sahaja kami pergi, kami pasti akan berdua jika Hamizah enggan menuruti kami. Jika tiada lagi aku di dalam hidupnya sudah tentulah dia berasa kekurangan. Aku juga pasti akan begitu. Tetapi kali ini aku benar-benar tidak dapat menunaikan apa yang dimahukan oleh Ameena. Semuanya terlalu sukar untuk diri ku. Peristiwa hitam itu terus mengasak hebat ke dalam diri ku sehingga aku jadi sengsara menahan luka.
“Aku redha dengan apa yang berlaku, Meen. Hanya Allah saja yang akan membalas segala perbuatan Estaban pada aku. Aku harap dia akan gembira lepas apa yang dia dah lakukan pada aku,” kata ku sambil merenung ke luar jendela. Sebutir manik mengalir lesu di pipi ku buat kesekian kalinya. Ah! Aku cukup sedar, daya ku tidak hebat! Aku cuma seorang perempuan yang lemah.
“Aku sedih tengok keadaan kau, Syira. Kalaulah kita balik berdua malam tu..”
Aku menoleh kepada Ameena yang duduk di katil ku. “Aku tak pernah salahkan kau, Meen. Kalau aku tahu akan terjadi perkara tu, aku pun takkan menempah susah balik seorang diri. Lebih baik aku tunggu kau aja. Tapi kita cuma orang yang lemah. Aku anggap ini ujian Allah pada aku. Tentu ada hikmah di sebalik semua kejadian ini. Aku nak berpegang kepada keyakinan tu. Aku dah tak mahu fikir yang lain.” Aku segera mencantas kekesalan sahabat ku itu. Sebenarnya semua itu sudah tidak penting lagi. Apa yang terjadi sudah tidak boleh ditarik semula.
“Aku pun tak tahulah jantan tu jantan jenis apa. Lepas perkara tu berlaku dia masih boleh pergi kampus macam takde apa-apa. Bukan setakat kau, aku sendiri rasa nak bunuh dia bila tengok muka dia tu,” ucap Ameena benar-benar geram. Aku memandang lagi ke luar jendela. Marah? Geram? Geram atau marah kami tidak akan menjadi kudis kepada Estaban. Lelaki seperti itu tidak pernah tahu apa itu dosa dan apa itu pahala. Dia tidak pernah berpegang kepada akidah sebagai manusia yang beragama. Apa yang dia tahu tentang semua itu. Lelaki seperti dia seumpama parasit dalam hidup seorang wanita.
Saat itu Hamizah pula datang ke bilik ku. Aku tahu dia baru sahaja pulang dari kampus. Baju kurung yang dipakainya sewaktu ke kampus pagi tadi masih terlekat di tubuhnya. Dia berdiri di muka pintu bilik sambil memerhatikan kami berdua.
“Syira takkan balik sini lagi, Izah..” ucap Ameena kepada Hamizah.
“Aku dah agak dah!” sambut Hamizah perlahan. Aku menoleh seketika kepada teman ku itu. Dia hanya tenang memandang kepada ku. “Aku nampak ayah Estaban tadi,” kata Hamizah lembut. pandangannya masih tidak terkalih dari ku.
Aku hanya memandang teman ku itu tanpa menjawab. Tiada apa yang perlu dikomenkan tentang itu. Ayah Estaban ke.. nenek Estaban ke.. mereka semua tidak ada kena mengena dengan diri ku. Biarlah dia nak bawak moyang dia ke kampus sekali pun, aku sudah tidak kisah!
“Ayah dia buat apa kat kampus kita?” soal Ameena kehairan. Nampaknya dia lebih berminat mahu tahu mengenai kedatangan lelaki yang dikatakan sebagai ayah Estaban itu berbanding aku.
“Entah. Aku cuma ternampak ayah dia waktu aku nak keluar dari kampus tadi. Tapi tadi kawan baik jantan tak guna tu ada datang jumpa aku. Dia tanyakan kau..” kata Hamizah lagi sekadar memberitahu apa yang berlaku di universiti sepanjang ketiadaan aku di sana.
“Kawan baik dia yang mana, Izah?” soal Ameena masih mewakili aku yang langsung tidak berminat untuk bertanya dengan lebih jelas lagi.
“Si Ryan dengan Darrien. Dia tanya kau dah berhenti belajar kat kampus ke?” kata Hamizah tenang sambil mendekati kami di dalam bilik itu.
Aku diam lagi tanpa reaksi. Namun hati ku terus berkata-kata sendiri. Nampaknya kawan-kawan Estaban juga sudah maklum dengan apa yang menimpa diri ku. Ah! Sudah tentulah Estaban dengan bangganya mengakui yang dia telah melakukan ‘itu’ kepada ku. Bukankah misinya hanya untuk menang ke atas diri ku? Ah! Lantaklah apa yang mahu ditanyakan oleh dia orang. Aku dah malas mahu mengambil pusing lagi. Kawan-kawan si tak guna itu sebenarnya lebih kurang sama aja. Mereka memang sekufu dan sekafat dengan Estaban.
“Habis tu kau cakap apa?” masih juga suara Ameena lagi yang kedengaran memberi reaksi kepada cerita Hamizah. Aku sudah macam patung pula berdiri di jendela memandang ke luar.
“Aku kata Syira nak balik KL malam esok.” ujar Hamizah perlahan.
Ameena mula terdiam. Bilik itu hening buat sesaat dua.
“Kau dah tetap keputusan nak balik KL ke, Syira?” Hamizah bertanya sekali lagi pendirian ku.
“Aku dah takde apa kat sini lagi, Izah..” Bagaimana semalam.. seperti mana tadi, begitulah juga keputusan aku sekarang ini.
“Kau ada aku dengan Meen. Jangan fikirkan apa kata orang lain, Syira. Mulut orang ni sekejap saja mereka bercakap. Nanti senyaplah bila mereka dah puas berkata. Sayang pada pelajaran kau, Syira. Kau antara best student kat sini. Takkan kau nak lepaskan semua tu kerana jantan tak guna tu?” ujar Hamizah mula berusaha memujuk ku pula setelah Ameena berputus asa sekejap tadi.
Aku menoleh kepada Hamizah sambil berpeluk tubuh “Kalau ada rezeki aku akan sambung lagi, Izah. Tapi bukan kat sini. Aku bukan nak lepaskan pelajaran aku kerana malu pada mulut orang atau kerana sedihkan apa yang dah dia buat pada aku. Tapi kalau kau boleh lenyapkan iblis tu dari kampus tu.. sekarang juga aku akan batalkan keputusan aku untuk balik Malaysia. Aku tak boleh tengok muka dia tu, Izah. Aku benci!” balas ku pula.
Sahabat ku itu terdiam seketika. Kata-kata ku akhirnya dibalas dengan anggukan perlahan. Hamizah mengeluh panjang. “Yalah.. Kalau aku jadi kau pun memang aku tak boleh tengok muka dia tu. Kalau aku sendiri tak boleh tengok muka dia inikan pula kau yang mengalami perkara ni. Takpelah.. aku faham, Syira. Aku doakan yang terbaik untuk kau. Aku harap kau berjaya capaikan cita-cita kau di tempat lain.”
“Mungkin rezeki aku kat tempat lain. Bukan di sini saja aku boleh teruskan pengajian. Janganlah kau orang bimbangkan aku. Aku tetap akan sambung belajar,” balas ku pula bagi menyedapkan hati teman-teman ku itu.
“Baguslah kalau kau fikir macam tu. Tapi kalau kau ubah fikiran untuk kembali ke sini jangan lupa beritahu aku, Syira. Aku akan tolong kau untuk buat rayuan pada pihak universiti. Kami takkan biarkan perkara ni macam ni aja, Syira. Suatu hari nanti Estaban pasti akan mendapat apa yang berhak dia dapat. Tengoklah!” janji Hamizah bersungguh.
“Apa maksud kau, Izah?” Ameena segera menyampuk perbualan aku dan Hamizah.
“Kau akan tahu juga suatu hari nanti. Tunggu dan lihat aja! Dia takkan terlepas daripada apa yang dia dah buat,” ucap Hamizah sambil memandang Ameena.
Aku terdiam cuba memahami apa yang sedang disampaikan oleh Hamizah namun aku enggan bertanya lagi. Baginya biarlah masa yang menentukan segalanya. Aku tidak mahu menggantung apa-apa harapan dahulu buat masa ini. Aku hanya mahu melupakan peristiwa hitam itu. Itu sahaja!
“Jangan lupa email kami nanti. Kalau kau rasa kau nak balik ke sini semula bagitahu kami. Kami akan cuba buat apa yang boleh,” tambah Ameena pula.

Aku sekadar mengangguk sahaja. Balik semula ke UK? Dalam keadaan hati ku begini? Mungkin tidak!

4 ulasan:

  1. okayyy... nexxxttttt... hehe

    BalasPadam
  2. huhuhu..kejap ye. mata dah pedih ni.

    BalasPadam
  3. sedihnyer insyirah... mmg arrr si jantan x guna tu... menyirap jugak darah den ni la!!!! eee mmg rasa nak belasah cukup2 kat mangkuk tu....

    BalasPadam