Selasa, 13 Ogos 2013

Bab 9-Janji Pada-Nya

Bulu ayam si bulu biri-biri,
Bulu biri-biri si bulu ungka,
Janji pada-Nya jangan dimungkiri,
Kelak musibah kan menimpa muka.


Malam itu buat pertama kalinya aku terpaksa sebilik dengan lelaki itu. Tetapi apa yang membuatkan hati ku mahu tertawa puas adalah setelah melihat Ariff tidak berdaya untuk menyentuh ku. Ariff hanya mampu memandang sahaja walaupun aku tahu dalam mata lelaki itu keinginan jantannya memang sedang meluap-luap. Aku hanya buat tidak tahu sahaja dengan pandangan mata Ariff yang asyik menyoroti pergerakan ku di dalam suit bulan madu itu.
Masih tidak dapat aku lupakan saat melihat Ariff keluar dari bilik rawatan petang tadi. Dia berjalan terkengkang-kengkang dalam berkain pelekat dan yang paling menggelikan hati, Ariff menangis seperti budak kecil sebaik sahaja bertemu ayahnya. Baru kena sunat, macam dah nak mati sangat sakitnya! Rasa benci dan meluat yang masih bersarang membuatkan aku asyik mengejeknya.
“Saya sakit ni. Tolonglah saya..” Ariff mula bersuara meminta perhatian ku.
“Awak nak saya tolong macamana? Tahan jelah sikit sakit tu,” jawab ku bersahaja. Aku sekadar memandang kosong Ariff yang terkedang di atas katil itu. Dengan riak selamba aku duduk di sofa. Namun dalam hati aku terus mendongkol benci dengan perangai lelaki itu yang mengada-ngada minta dilayan itu dan ini. Dia ingat aku ni takde perasaan agaknya! Bisik ku dalam diam.
“Kalaulah saya tidak sakit.. dah tentu saya takkan sia-siakan saat ini,” ujar Ariff agak nakal. Dia tersengih-sengih memandang ku yang langsung tidak teringin mahu tersenyum atau terhibur dengan usikan nakalnya itu.
Aku mencebik sendiri tanpa mempedulikan Ariff yang sedang memandang kepada ku itu. Biarpun sudah menjadi suami ku tetapi rasa menyampah memang amat sukar untuk dikikis dari hati ku biarpun sedikit. Entah berapa timbunlah dosa ku kerana berperasaan begini kepada lelaki yang seharusnya aku hormati.
Tetapi sebenarnya jauh di lubuk hati ku ini, aku amat berharap lelaki itu akan berubah suatu hari nanti. Jika tidak sepantas esok yang datang, mungkin suatu hari nanti. Harapan itu terlahir secara tiba-tiba saat melihat Ariff mengucapkan kalimah syahadah semalam. Tiada kata yang dapat aku gambarkan betapa sayunya hati saat melihat lelaki itu mengucapkan pengakuan untuk mengesakan Allah itu. Mungkin sampai bila-bila aku tidak akan melupakan saat itu.
“Insyirah, marilah sini..” Ariff memanggil lagi. Kali ini cukup lembut mendayu-dayu.
Aku mendecit geram sendiri. Macam-macam pula mahunya dia ini. Mengada-ngada betul! Menyampahnya... hati ku menjerit sendiri. Namun dalam rasa tidak ikhlas itu aku tetap juga mendekati Ariff yang terdampar di atas katil macam orang sakit tenat.
“Nak apa?” soal ku teramat hambar setelah duduk di birai katil bersebelahan dengan Ariff yang sedang berbaring. Walaupun berdekatan dengan suami sendiri tetapi seluruh hati ku mula menolak untuk menerimanya. Aduhai.. susah sungguh. Berdosakah aku jika aku tidak mampu mengikhlaskan diri ku kepada lelaki ini? Aku sendiri tidak tahu berapa lama aku harus berkeadaan begini kepada Ariff.
Ariff memandang aku sambil tersenyum gembira. Terus sahaja dia mencapai jemari ku lantas diletakkan di atas tubuhnya. “Sekarang awak dah kahwin dengan saya..” katanya lembut sambil mengelus-elus jemari ku. Paling menyakitkan hati ku apabila melihat lagak selambanya. Dia bagaikan tidak pernah teringat apa yang pernah dilakukannya kepada aku sebelum ini. Langsung tidak pernah terpamer rasa bersalah lelaki ini tentang peristiwa itu. Malahan semua itu seolah-olah tidak pernah berlaku sedangkan saat ini jiwa ku terus bergolak, masih tidak mampu menerima dia. Aku masih tidak mampu melepaskan semua itu. Bukan semudah itu!
“Dasar tak sedar diri!” tanpa dapat ditahan meluncur perkataan itu dari mulut ku mencemuh lelaki itu. Sengaja aku menggunakan bahasa Melayu supaya Ariff tidak tahu yang aku sedang mengutuknya.
“Awak cakap apa tu?” soal Ariff.
“Takde apa-apa..” balas ku segera mengelak dari memanjangkan hal itu. Aku buat-buat tersenyum semoga Ariff tidak terus bertanya. Terlupa langsung yang perbuatan ku ini mt tidak patut. Tidak seharusnya aku mencemuh lelaki yang seharusnya aku taati. Tetapi apakah lelaki ini layak mendapat penghormatan dari ku setelah apa yang berlaku?
“Awak tak suka kahwin dengan saya ke?” soal Ariff perlahan sahaja.
“Awak suka ke kahwin dengan saya? Kahwin selepas buat saya mengandung. Awak pernah kata yang perkahwinan hanya suatu yang sia-sia. Jadi kenapa awak kahwini saya?” aku membalas dalam nada ejekan. Sebuah jelingan ku hadiahkan kepada lelaki itu.
Ariff terdiam pula. Keriangan di wajahnya mula memudar setelah melihat sikap dingin ku.
“Kita masih muda. Awak baru 22 tahun. Dah bersedia ke untuk pikul tanggungjawab seorang suami dan ayah? Dalam islam tanggungjawab suami dan ayah amat berat. Suatu hari nanti segala kelebihan dan kekurangan kita dalam menunaikan kewajipan akan dihitung dan dibalas,” ujar ku lagi sambil mengerlingnya.
“Awak pulak? Kenapa awak kahwin dengan saya sedangkan awak bencikan saya?” kali ini Ariff pula menyoal kepada ku. Dia pula yang mahu menguji pendirian ku tentang itu.
Aku tersenyum sinis sendiri. “Kalau bukan sebab anak ini..” namun tiba-tiba aku tidak jadi untuk meneruskan kata-kata apabila ‘janji’ itu kembali melintasi memori ku. Perlahan aku segera beristighfar dalam hati. Aku tidak harus terlebih mengikutkan perasaan dalam meluahkan kata. Aku tidak patut untuk mengungkitnya biar semarak mana pun rasa benci ku kepada lelaki ini. Sekarang bukan masanya untuk aku kesal dengan segala yang berlaku. Kekesalan tidak akan membawa kami semula ke masa lalu. Aku ada tanggungjawab yang harus dilunaskan. Ariff tidak harus ku biarkan mengemudikan hidup sendirian walaupun dalam hati tiada sekelumit rasa untuk mendewakan lelaki yang harus ditaatinya.
“Awak memang tak pernah sukakan saya selama ini?” soal Ariff lagi. Nadanya amat rendah. Jika tidak aku tersalah tafsir, nada itu jelas menunjukkan yang dia kecewa. Untuk apa kecewa? Bukankah dia pernah mendendami aku sehingga tergamak mencela maruah perempuan ku?
“Entahlah. Saya tak tahu apa yang patut saya cakap. Awak suami saya. Tanggungjawab saya adalah menggembirakan hati awak. Kalau berbohong mengatakan yang saya memang sukakan awak selama ini itu mampu membahagiakan awak maka saya akan lakukan. Tapi ke mana hala tuju hidup kita jika semua yang kita ada takde satu pun yang berlandaskan keikhlasan,” jelas ku tanpa memandang lelaki itu. Bukan tentang Ariff yang sedang ku perkatakan saat ini sebaliknya tentang diri ku sendiri. Aku yang paling tidak ikhlas di sini!
“Awak tetap akan bersama saya walaupun awak tak cintakan saya? Kalau awak tidak hamil, awak memang tak akan menerima semua inikan?” soalnya lagi masih tidak puas menduga perasaan ku.
Aku mula memandang Ariff yang terlentang sahaja di atas katil itu. Sebuah jawapan yang terbaik cuba digali sedalamnya dari pemikiran ku ini. Aku terus terdiam dalam pada menghela nafas perlahan. Apa pilihan yang aku ada saat ini? Menggembirakan hati lelaki ini sedangkan suatu masa dahulu lelaki ini pernah menganaiya diri ku tanpa belas kasihan? Berpura-pura suka sedangkan hati benci? Begitukah sebaiknya?
Ah! Tidak perlulah aku menyulitkan keadaan ini. Lakukan sahaja apa yang termampu. Jawab sahaja apa yang perlu.. tulah kata hati ku.
“Kewajipan isteri adalah taat pada suami samaada cinta atau tidak, Ariff. Taat tidak memerlukan rasa cinta tetapi keikhlasan dan keredaan. Selagi awak tidak menceraikan saya.. selagi itulah saya tetap akan taat walaupun saya tak cintakan awak. Perkahwinan ni wujud kerana saya percaya jodoh kita telah diaturkan oleh Allah. Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita semua,” balas ku pasrah.
“Awak memang tak pernah cintakan saya ke, Insyirah? Awak hanya melakukannya kerana anak inikan? Kalau awak tidak hamil mungkin saya tidak akan memiliki tempat dalam hidup awak. Betulkan?” sekali lagi Ariff bertanya soalan yang sama sehingga aku merenungnya dengan rasa hairan. Dia mahu jawapan yang jujur, aku agak.
“Kalau saya berlaku jujur itu akan menyebabkan awak kecil hati dengan saya, saya lebih rela memilih untuk tak menjawab soalan tu. Itu lebih baik. Saya percaya kita berdua perlukan masa untuk menyesuaikan diri. Itu sahaja yang perlu awak tahu buat masa ini,” balas ku sedikit serius. Memang mudah memilih untuk berada dalam perkahwinan ini setelah apa yang telah berlaku. Mudah untuk memerima perkahwinan ini untuk menutup kecelaan masa lalu. Tetapi tidak mudah untuk aku menyayangi dengan setulus hati lelaki yang telah menghina maruah ku. Susah untuk aku mendewakan seorang suami jika tiada rasa di hati untuk meletakkan lelaki itu di tempat yang paling istimewa dalam hati ku. Sukar!
Ariff mengeluh sendiri. “Memang menyedihkan kalau kita mencintai orang yang tak mencintai kita,” ujarnya hambar dalam menahan rasa kecewa. Dengan perlahan dia melepaskan jemari ku dari genggamannya.
Memang pun semenjak tadi hanya dia sahaja yang memegang jemari ku sedangkan aku langsung tidak berminat untuk membalas sentuhannya. Aku bukannya patung yang tidak berperasaan. Aku boleh merelakan diri kepada suami atas dasar tanggungjawab namun aku tidak mampu memaksa hati untuk mencintai lelaki yang pernah menghancurkan hidup ku.
“Lebih menyedihkan kalau kita menganiaya orang yang kita cintai tanpa sedikit pun rasa belas kasihan, kemudian meninggalkannya seperti sampah. Lebih sadis kalau kita memalukan orang yang kita mengaku sayang setekah puas kita mencela kehormatannya. Paling tidak pun.. mungkin sesekali kita perlu juga belajar untuk menyebut perkataan maaf bila kita sudah menyakitkan hati seseorang. Bukannya membiarkan begitu sahaja seolah-olah semua itu tidak pernah berlaku! Tak semua kesalahan boleh dilupuskan begitu sahaja macam sampah di tempat pelupusan!” aku pula mengambil giliran untuk membalas rasa hati yang bengkak bernanah dengan mengungkit semula perbuatan Ariff dahulu. Semoga dia sedar.. perbuatannya yang satu itulah yang telah membuatkan hati ku menjadi keras begini.
Ariff diam sahaja tidak terkutik. Malas mahu menghadapnya lagi, aku terus bangun dari situ lalu kembali semula ke sofa. Untuk apa kami saling duduk berdekatan jika hanya mahu saling menyakitkan? Eloklah.. kami berdua memang pasangan suami isteri yang unik. Ariff begini aku pula begitu.
“Awak marahkan saya kerana peristiwa malam itu ke?” tiba-tiba kedengaran lagi suara Ariff saat aku sudah mula memandang tv di hadapan mata ku.
“Awak rasa?” balas ku sengit. Bebal pula lelaki ini ku rasakan.
“Awak mahu saya minta maaf?” soal Ariff lagi sambil merenung aku dari pembaringannya.
Saat itu aku segera menghela nafas perlahan demi menghimpunkan sedikit kesabaran untuk menangani kebebalan lelaki ini. Sedikit sebanyak kata-kata dan sikap Ariff saat ini sudah membuatkan aku merasa amat terhina. Aku menggeleng seketika sambil memandang ke arah lain.
“Muhammad Ariff, suatu hari nanti awak juga akan melalui saat-saat yang menyakitkan seperti yang saya lalui sebelum ini. Mungkin bila awak dah rasa perasaan tu, barulah awak putuskan samaada awak harus meminta maaf pada saya atau tidak!”
Sekali lagi Ariff terdiam. Namun dia kelihatan sedang memikirkan apa yang dibicarakan oleh ku tadi. Tetapi itu hanya untuk seketika. Agaknya kerana malas mahu melayan bicara ku, dia segera memejamkan matanya.

Keesokan paginya selepas solat subuh, aku menghidangkan Ariff sarapan pagi yang  ku pesan dari bilik. Hanya ada roti kosong dengan jem strawberi dengan kopi hitam yang dihantar oleh pihak hotel kepada kami.
“Ini sahaja?” soal Ariff teramat jengkel sambil merenung makanan di hadapannya itu.
“Awak tak boleh makan telur, ayam dan makanan laut. Jangan lupa luka tu kena jaga dengan baik kalau awak nak benda tu sihat semula. Kalau awak tak jaga makan nanti luka tu akan bernanah. Awak juga yang akan rasa sakitnya,” ucap ku berusaha berlembut untuk mengingatkan lelaki itu tentang keadaannya.
“Saya tak suka ini!” Ariff mula mengomplen dalam bentakannya.
“Makan ajalah, Ariff. Ini cuma untuk sementara sahaja. Bersyukurlah dengan apa yang ada,” keluh ku lekas bosan dengan perangai lelaki itu. Entah berapa lamalah aku mampu bertahan dengan lelaki yang berperangai begini?
“Bawa makanan lain. Saya tak mahu makan benda-benda macam ni! Mereka patut beri saya lebih! Hotel ni keluarga saya yang punya!” bentakkan lelaki semakin kuat. Sengaja mahu menunjukkan sikap keras kepalanya. Masam kelat wajahnya saat memandang makanan itu. Seolah-olah rendah benar taraf makanan itu di matanya.
Sekali lagi aku terpaksa menghela nafas sabar dengan gelagat suami mithali ku itu. Kalau ikutkan hati yang sakit mahu sahaja aku sepak lelaki itu. hai.. sabar, Syira.. itu suami kau! Bisik ku sendiri mengingatkan diri agar tidak melebihi batas. Tetapi sikap Ariff semakin lama semakin memualkan perasaan ku yang dah sedia kala mual ini.
“Saya tahulah hotel ni bapak awak yang punya. Tapi awak tu sakit! Kalau tak jaga makan, saya jugak yang nak kena hadap muka awak nanti. Bukannya hotel ni boleh jaga awak pun,” keluh ku merendah. Janganlah hendaknya dia sakitkan hati aku lagi. Aku dah rasa macam nak meletup dah ni!
“Saya tak suka benda ni semua. Saya nak salad!”
Malas untuk mendengar lelaki itu memekak lagi aku segera memesan ceaser salad dan set lengkap sarapan pagi untuk santapan ‘tuan putera’ yang baru bersunat ini melalui talian. Sempat juga aku berpesan agar kandungan yang tidak boleh diambil oleh Ariff tidak diletakkan ke dalam hidangan itu. Mujurlah sesampai sahaja hidangan itu, Ariff makan juga walaupun keenakannya sudah berkurangan dari ceaser salad yang asal. Begitu juga set sarapan pagi yang tidak diletakkan telur dan daging. Nampak macam lapar benar tuan putera ni..
Tetapi yang membuatkan aku bertambah menyampah dengan Ariff, selepas menikmati salad itu.. roti yang dikatanya dia tak suka sebentar tadi itu juga disebatnya sampai tinggal habuk. Kepala roti pun dia bahan sekali. Mungkin apabila sudah lapar, terlupa pula Ariff yang pemilik hotel seperti dia juga boleh memakan makanan yang ringkas dan murah seperti itu. Sama juga kenyangnya!
“Ariff..” panggil ku setelah Ariff selesai membersihkan dirinya. Sesudah kenyang lelaki itu lebih suka bersantai di atas katil. Aku mula mendekatinya lalu duduk bersebelahan dengan suami ku itu.
“Saya tak suka awak memanggil saya dengan nama itu. Boleh panggil saya Estaban? Bila kamu sebut nama itu, saya terasa awak macam memanggil lelaki lain,” ucap Ariff dengan nada yang cukup menyakitkan hati. Selamba sahaja tanpa mengira apa yang sedang diluahkan oleh lidahnya itu.
“Astaghafirullah-al-adzim.. awak ni bercakap ikut sedap mulut aja, Ariff. Estaban itu bukan nama orang islam. Kita digalakkan untuk mempunyai nama yang baik-baik,” tegur ku dalam rasa terkejut yang amat sangat. Kurang ajar betul mulut lelaki ini! Kena panah petir baru dia tahu!
“Itu hanya sekadar nama saja. Apa salahnya?” balas Ariff bersahaja.
“Memanglah tak berdosa tapi kita digalakkan ada nama yang baik-baik. Sebab nama yang ada maksud baik tu, seumpama kita didoakan oleh orang yang menyeru nama kita. Saya takkan panggil suami saya dengan nama orang bukan islam. Awak orang islam! Apa yang tidak kena dengan nama Ariff? Ariff tu bermaksud bijak. Saya mahu awak juga begitu!” tegas ku serius kepadanya.
Ariff hanya menjungkit bahu kepada kata-kata ku itu. Sedikit pun dia tidak mengambil berat akan apa yang sedang aku perkatakan kepadanya. Aku dapat merasakan yang Ariff hanya mengimpikan keseronokan batin di sebalik perkahwinan ini. Selebihnya dia tidak mahu memelihara kesuciannya.
“Awak tahu kenapa nama awak ada dua. Satu Estaban dan satu lagi Joseph?” soal aku kembali berlembut dengan lelaki itu. Nak bercakap dengan dia ni kena membayangkan yang aku sedang bercakap dengan budak 5 tahun. Tak reti bahasa! Aku memang kena banyak sabar. Kalaulah sabar itu ada dijual di kedai.. aku dah pergi borong dah!
“Tak tahu. Siapa yang pilihkan nama itu?” dia masih dengan reaksi biasa-biasanya itu.
“Nama yusuf itu mama awak yang pilih untuk awak.”
“Ha?” spontan lelaki itu terkejut. Dia mula memandang aku tajam. “Awak jangan nak bergurau dengan saya! Mama saya dah lama meninggal!” bentaknya marah tiba-tiba. Aku memandangnya hairan. Apa dia ingat aku sedang bergurau senda ke?
“Ya.. saya memang dah tahu mama awak meninggal waktu awak berumur 14 tahun. Saya cakap yang benar. Nama itu ada kisahnya sendiri. Mama awak yang pilih nama itu untuk awak. Kalau awak tak percaya awak tanya papa.” Aku masih menjawab tenang.
“Macamana mama saya dalam kubur tu boleh bercakap dengan awak dan papa? Awak ingat saya ni bodoh? Saya tak suka awak mempersendakan mama saya!” bentak Ariff kian lantang.
“Siapa pulak yang kata dia bangun dari dalam kubur untuk bercerita tentang itu? Awak ni nama aja pelajar universiti tapi akal fikiran awak terlalu sempit, Ariff! Perkara semudah ini pun awak masih tak boleh memahaminya! Awak malas nak berfikir! Perkara mudah yang saya sampaikan jadi susah bila masuk kat otak awak tu. Sebab tulah saya ni selalu sakit jiwa dengan awak.  Bila saya cakap saya tak nak, otak awak tafsir lain,” tekan ku mulai geram dengan lelaki itu. Kalau mama dia bangun dari dalam kubur, memang mendiang mama tu takkan dapat bercakap dengan aku sebab waktu itu aku dah pun lari!
Kali ini Ariff terdiam pula apabila dimarahi oleh ku. Riak ketegangan juga memudar sedikit.
“Mama awak pilih nama Joseph untuk awak sempena kisah Nabi Yusuf AS yang pernah didengarinya dari seseorang sewaktu mengandungkan awak dulu. Nama Yusuf adalah untuk orang islam tetapi  di dalam ktab bible Nabi Yusuf ditulis dengan nama Joseph. Nabi Yusuf adalah manusia yang dikatakan sebagai manusia yang teramat cantik paras rupanya. Sehinggakan pernah diceritakan di dalam kitab-kitab lama, beberapa wanita di Mesir pada zaman itu sampai terpotong jari-jari mereka hanya kerana terlalu taksub melihat rupa paras Nabi Yusuf AS. Baginda juga seorang nabi yang memiliki pekerti mulia dan penyabar semenjak kecil. Nabi Yusuf AS pernah dianiaya oleh saudara-saudara kandungnya dan pernah dipenjarakan kerana fitnah isteri tuan yang memiliki Nabi Yusuf , hanya kerana cintanya telah ditolak oleh nabi ALLAH itu. Wanita itu mengatakan nabi Yusuf AS cuba menggodanya padahal dialah yang cuba menggoda Nabi Yusuf agar menzinainya. Kisah Nabi Yusuf AS itu dijadikan contoh oleh mama awak untuk menjadikan awak manusia yang berguna. Tetapi hayat dia tak panjang bersama awak. Dia mahu awak juga mengikut keperibadian seperti itu. Kerana itu nama Joseph diletakkan pada awak.” Aku bercerita lembut kepada lelaki itu.
“Joseph itu nama seorang nabi yang beragama islam?” tanya Ariff seolah baru tersedar semua itu. Riak terkejut jelas dipamerkan di wajahnya saat itu.
“Awak tak pernah tahu semua itu?”
Ariff lantas menggeleng. Bersungguh benar gelengannya menandakan dia sememangnya tidak tahu dan tidak pernah mengambil tahu selama ini. “Papa tidak pernah memberitahu saya apa-apa tentang itu. Kenapa papa beritahu awak?” ucapnya sambil memandang ku.
 “Ada sebabnya. Biarlah saya saja yang tahu apa sebabnya. Tapi sekarang awak dah tahukan? Siapa yang beritahu awak itu tak penting. Yang penting harapan mama pada awak selama ini. Dia mahu awak jadi orang yang baik. Kita takkan mampu menandingi budi pekerti seorang nabi atau rasul. Tapi kita wajib beriman kepadanya.”
“Tapi saya memang orang baik selama ini!” sambut Ariff pantas.
Terkedu aku mendengar kata-kata lelaki itu. Baik? Baik apa kejadahnya kalau sanggup merogol?
“Jadi macamana dengan kita ni selepas ini?” tanya ku malas mahu melayan ragam suami ku itu. Lebih baik aku terus ke pokok persoalan yang mahu dibincangkan segera daripada melayan lelaki ini merapik yang bukan-bukan. Kalau sekali lagi dia mengaku dia baik, memang muntahlah aku kat tepi katil ni..
“Macamana apa?” soal Ariff masih tidak serius. Rambut ku mula diambilnya dan diciumnya lembut. Aku mula kelemasan dengan kelakuan lelaki itu tetapi aku sekadar membiarkan sahaja, walaupun hati membentak tidak suka. Tidak wajar pula rasanya aku menolak kemahuan lelaki itu kalau hanya setakat itu yang mampu dia lakukan kepada ku.
Tetapi apabila dibiarkan.. Ariff mula semakin miang. Pinggang ku mula dipeluknya dan leher ku terus dicumbunya. Aku semakin lemas. Hati yang masih bengkak segera menghasut agar menolak aku sahaja Ariff. Tetapi aku tidak sanggup pula untuk berbuat begitu. Ariff adalah suami ku dan tidak berdosa dia menyentuh isterinya sendiri. Sebaliknya akulah yang berdosa sekiranya menolak kehendak suami yang tidak semana.
“Hmm.. cantik rambut awak. Saya suka. Saya rasa macam bermimpi pula bila melihat awak berbaring di sebelah saya semalam,” bisik Ariff dalam keasyikan.
“Ariff, kita perlu berbincang..” tekan ku semakin kelemasan. Harap-harap lelaki ini akan menghentikan perbuatannya segera.
“Bincang apa?” soal Ariff dalam suara yang teramat jauh.
“Tentang kita selepas ini. Masakan kita hanya di hotel ini selama-lamanya. Awak kena teruskan pengajian nanti. Saya ni macamana?” sambut ku pantas.
“Awak akan ikut saya balik ke Londonlah!” putusnya mudah.
“Tapi..” aku tidak jadi meneruskan kata-kata.
Ariff mula menghentikan sentuhannya apabila mendengar aku masih bertapi dengan keputusannya. Dia memandang ku tajam seperti tidak berpuas hati. “Apa masalahnya?” soal Ariff hairan.
“Saya mahu lahirkan anak kita di sini,” ujar ku sambil memandang tepat ke dalam mata suami ku itu. Tetapi seketika kemudian pandangan segera ku larikan segera. Entah kenapa aku takut dia dapat menyelami isi hati ku yang sebenar,
“Apa masalahnya kalau awak lahirkan anak kita di London?” soal Ariff pula sengaja mahu bertelagah ku.
“Ini anak pertama kita. Saya mahu lahirkannya di sini. Saya berjanji akan ikut awak setelah itu. Tolong izinkan saya. Biarlah saya di sini buat sementara dengan mak saya,” ucap ku selembut yang boleh. Mana tahu Ariff cair dengan kelembutan ku itu. Aku harus bijak mengampu Ariff agar dia bersetuju dengan kemahuan ku yang satu itu.
 Ariff terdiam seketika. Tiada jawapan diberikan saat itu. Pada pengamatan ku.. memang amat penting untuk aku melahirkan anak di sini. Di masa hadapan, hak anak akan terus berada di tangan ku sekiranya apa-apa terjadi antara aku dan Ariff. Aku tidak mahu hak anak ku jatuh ke tangan orang yang tidak tentu agamanya. Aku tahu kelebihan akan berpihak kepada ku nanti kerana pernikahan kami didaftarkan di Kuala Lumpur. Tidak mudah Ariff mahu merebut anak kami nanti jika lelaki itu melepaskan aku dari ikatan ini. Kuasa menentukan hak penjagaan kanak-kanak warganegara Malaysia, terletak kepada mahkamah syariah di Malaysia.
Bukannya aku mahu menafikan hak Ariff sebagai ayah tetapi sudah terang dan nyata suami ku ini memeluk agama islam sekadar menurut permintaan ayahnya. Rasanya tidak salah jika aku melakukan ini untuk menjaga masa depan kami anak beranak nanti. Apa yang penting soal akidah sesuatu yang tidak boleh dibuat main.
“Kalau awak di sini macamana dengan saya? Masakan saya harus bersendirian di London?” Ariff pula yang mula tidak berpuas hati dengan kemahuan ku itu.
“Ini anak pertama kita. Saya bukannya pandai jaga anak. Saya perlukan emak saya untuk mengajar saya tentang itu semua. Cuma untuk sementara sahaja, Ariff. Bolehlah.. saya janji selepas itu saya akan ikut ke mana saja awak pergi,” rayu ku lembut.
“Hmm.. pertama kali saya dengar suara awak manja begini. Baiklah, awak boleh lahirkan anak kita di sini. Tetapi setelah itu jangan lupa untuk kembali semula ke London bersama dengan saya,” ujarnya dengan senang hati.
Bersinar mata ku mendengar jawapan dari lelaki itu. Tidak dapat ditahan bibir ku terus tersenyum kegembiraan. Kini aku sudah mula mengerti. Bukan susah untuk memujuk lelaki ini jika kena dengan caranya. Manja-manja sikit aja!
“Tapi dengan syarat!” belum habis lagi aku meraikan kegembiraan itu, Ariff sudah meletakkan syaratnya.
“Apa syaratnya?”
Ariff mula memuncungkan bibirnya. Aku mengerutkan kening, hairan melihat kelakuan lelaki itu. Tidak faham aku tentang apa maksudnya mulut yang sedang termuncung sebegitu. “Apa tu? Macam muncung itik aja?” getus ku tidak mengerti.
“Cium saya dulu..” pinta Ariff sambil tersengih miang.
“Erk??” Aku terus terkaku dalam kegelabahan. Eeii.. Macam-macam pulak naknya dia ni.. dalam diam hati ku mendongkol menyampah.  “Saya tak pandailah semua benda tu..” balas ku pantas untuk mengelak.
Ariff spontan menarik tubuh ku sehingga aku melekap di badannya. Dia segera mendapatkan apa yang dimahukannya tanpa sempat aku bersedia. Akhirnya sedikit pun tidak aku membalas perlakuannya itu. Aku hanya terdaya mengeraskan diri dengan kelopak mata yang dipejamkan rapat.
Seketika kemudian Ariff melepaskan aku dengan sebuah keluhan hampa. Entah mengapa terhiris benar hati ku mendengar keluhan itu. Namun aku hanya diam sahaja tanpa berkata apa-apa. Kalau dilayan fiil suami ku ini, memang bergaduh besarlah kami nanti. Lebih baik aku mengalah sahaja.
“Saya akan balik dengan papa nanti. Awak tinggallah di sini. Selepas melahirkan anak nanti awak boleh memilih apa yang awak mahu. Samaada mahu bersama saya atau tidak,” ucap Ariff perlahan setelah puas melayan rajuk di hatinya.
Aku segera menoleh kepada Ariff. Dalam kebisuan sendiri aku cuba memahami apa maksud Ariff setepat-tepatnya. Apakah Ariff mahu menolak aku pergi dari hidupnya? Secepat itu pendirian suami ku ini berubah, sedangkan sebentar tadi Ariff yang meminta aku ke London bersamanya. Inilah akibatnya jika tidak memiliki pedoman. Cakap pun selalu lintang pukang. Sekejap begitu sekejap begini. Telinga yang mendengar inilah yang pening dibuatnya.
“Kenapa awak cakap macam tu? Awak tak mahukan saya?” soal ku dengan keberanian yang tidak seberapa.
“Kita memang tak sama. Saya perlukan wanita yang pandai membuat saya gembira. Awak hanya kaku dan dingin semenjak dulu. Awak tak pernah rela kalau dengan saya,” keluh Ariff kehampaan.
Tersirap darah ku mendengar itu. Tersiat pedih hati ku mendengar bicara yang cukup mudah diluahkan tanpa mengira perasaan ku. “Ya! Saya memang tak sama dengan semua perempuan-perempuan yang selalu menghurung awak. Saya bukan seorang perempuan yang pandai beraksi di atas katil dengan awak. Awak jangan samakan saya dengan mereka sebab saya tak boleh ikut cara mereka.” Pahit bunyi jawapan ku.
Ariff mencebik dengan jawapan ku. Wajahnya diselambakan semata-ata untuk menyakitkan hati ku. Angkuh benar! Sebentar tadi dia begitu mesra sekarang dia amat sombong pula. Sakit betul hati aku melihatnya. Kalau dilayan desakan hatinya ini, memang banyak kata-kata yang mahu dihamburkan kepada lelaki itu. Tetapi akal ku menahan.. meminta aku supaya bersabar sahaja.
“Saya juga tak boleh ikut cara awak,” balas Ariff selamba cuba menghidupkan pertengkaran kami berdua.
“Apa maksud awak ni, Ariff?” soal ku dengan mata terbeliak. Cara apa yang dia maksudkan?
“Saya memang tak biasa beragama semenjak dahulu. Jadi awak tak boleh memaksa saya mengikuti semua ajaran agama ini. Saya kahwini awak sebab papa yang mahu saya buat begitu. Begitu juga untuk menganuti agama ini. Papa mahukan cucunya.. saya pula mahukan awak. Awak tahu yang saya memang mengangankan ini semenjak dulu. Inilah peluangnya!” kata-kata itu meluncur kejam dari mulut Ariff tanpa rasa bersalah, sedangkan kata-kata itu amat menyakitkan untuk ku dengar sebegitu sahaja. Seolah-olah sebelum ini akulah yang terhegeh-hegeh meminta Ariff bertanggungjawab kepada bayi yang sedang berada dalam kandungan ku ini.
“Saya boleh dapat sesiapa sahaja yang saya mahu.. Masih ingat apa yang saya katakan dulu? Saya akan buat apa sahaja untuk dapatkan awak,” ucap Ariff bagaikan memulangkan paku buah keras kepada ku. Nadanya terserlah bangga seolah-olah dia telah memenangi pertandingan ini kerana akhirnya aku yang terpaksa tunduk kepadanya sebagai seorang isteri.
“Oh! Begitu ke sikap awak selama ini. Jadi awak kahwini saya sebab nak membuktikan yang awak dah menanglah? Permainan kita baru bermula, Ariff.” Aku mula membalas tajam.
“Apa maksud awak?” dia pula yang bertanya kepada ku.
“Maksud saya, awak belum menang lagi kalau awak rasakan ini adalah satu permainan. Bukan saya yang datang cari awak tapi awak yang datang cari saya. Jangan lupa.. bukan ayah saya yang melamar awak tapi ayah awak yang merayu pada saya. Satu perkara lagi awak jangan sesekali lupakan yang ini tempat saya! Sekarang ini kalau yang perlu memilih, itu awak! Bukannya saya. Kerana untuk diri saya.. jalan yang masih tinggal untuk saya menang, sedang terbentang luas di hadapan mata saya! Tak perlu awak bersusah payah meminta saya berfikir dalam-dalam ke mana harus saya pergi jika awak buang saya dari hidup awak. Saya sedia maklum semenjak dari pertama kali saya kenal awak, saya tahu apa yang awak nakkan sangat dari saya. Dan saya pun tahu, awak sedar apa yang saya mahukan pulak untuk saya. Masih ingat? Saya hanya memerlukan lelaki sejati dalam hidup saya. Kehadiran bayi ini tidak mencacatkan sedikit pun impian saya, kalau awak nak tahu. Jalan kita memang tak sama. Tapi takpe! Saya sedia beri awak masa untuk memilih apa sahaja yang awak mahu, okay?” balas ku dalam keselambaan yang dibuat-buat. Padahal aku hanya menunggu masa sahaja untuk menangis.
Spontan berubah merah wajah Ariff. Dia mahu membalas kata-kata ku itu. Namun aku terlebih dahulu bangun dari situ. “Awak berehatlah. Tak perlu nak bertegang urat dengan saya. Agama islam ni agama yang adil. Pegang kata-kata saya itu sehingga awak terjumpa dengan bukti yang mengatakan apa yang saya katakan ini benar!” ujar ku selamba sebelum terus masuk ke dalam bilik air.
Di dalam ruangan kecil itu aku memandang diri ku melalui cermin. Berkali-kali nafas ku hela untuk menghilangkan sesak di dada. Kata-kata Ariff sebentar tadi terus terngiang-ngiang di telinga ku. Sebegitu rendahkah nilai ku pada mata suami ku itu? Aku sekadar teman untuk dia berseronok. Dan kemudian nanti, setelah puas madu dihirup aku tidak lagi berharga kepada lelaki itu.

Jadi apa ertinya semua ini? Ke mana perginya perkahwinan ini akhirnya? Baru sehari dua aku bersamanya, hati ku sudah dijeruk semasam-masamnya oleh lelaki itu. Mampukah aku bertahan nanti? Aku menggeleng buntu. Aku tidak tahu!

6 ulasan: