Selasa, 13 Ogos 2013

Bab 8-Janji Pada-Nya

Pergi ke pasar dengan si Sabtu
Singgah menyembang di rumah Jumat
Hidayah sampai ke depan pintu
Tandanya Allah memberi rahmat.

Sudah hampir seminggu aku berada di Kuala Lumpur. Sepanjang minggu itu setiap hari aku membuat solat istikharah bagi meminta pertunjuk dari Allah atas apa yang sedang aku lalui. Hasilnya.. tiada mimpi yang datang kepada ku. Tetapi naluri hati ku semakin kuat ditarik untuk menerima lamaran itu. Berlandaskan naluri itu aku akhirnya memberi kata putus seperti yang diharapkan oleh ayah Estaban.
Walaupun sudah diketahui yang kami akan berkahwin, aku lihat Estaban seperti patung bernyawa sahaja lagaknya. Ikut sahaja apa yang diarahkan oleh ayahnya. Malah saat diberitahu yang dia harus memeluk agama islam sebelum mengahwini ku, dia akur begitu sahaja tanpa sedikit pun pertikaian. Namun jauh dari sudut hati ku, aku tahu hati lelaki itu tiada keinginan untuk memiliki pegangan dan agama yang bakal dianutinya ini. Aku tidak mampu membayangkan apa yang bakal berlaku esok.. lusa.. dan seterusnya. Namun aku sandarkan harapan yang ikhlas agar ini menjadi jalan yang terbaik buat kami semua. Termasuklah diri ku juga.
Anehnya.. walaupun sudah mahu berkahwin aku dan Estaban tidak mesra seperti orang yang bakal mendirikan rumahtangga. Kami jarang bercakap atau berbual mesra seperti pasangan yang lain. Seorang membisu.. seorang lagi pula hanya diam tidak peduli. Alangkah peliknya hubungan ini.
Minggu ke tiga itu selesai juga segala urusan dengan pejabat agama. Kebenaran bernikah juga sudah kami perolehi. Aku dan Estaban dijadualkan bernikah selang sehari selepas upacara pengislaman lelaki itu. Petang Khamis itu sebaik sahaja selesai solat zohor kami semua sudah berada di Masjid Negara. Aku sememangnya tidak mahu ketinggalan melihat sendiri upacara yang cukup bersejarah itu. seorang lelaki yang tidak mahu beragama kini akan mengucapkan kalimah tauhid mengesakan Allah. Semoga Allah memberikan dia hidayah.
Buat yang pertamanya imam menguji pengetahuan Estaban mengenai rukun islam dan rukun iman. Dia dapat menjawabnya dengan baik seperti yang sudah dihafalnya sebelum ini. Estaban sudah menghadiri kursus pendek mengenai asas-asas pengetahuan dalam islam sebelum ini di PERKIM setiap hari selama tiga minggu ini. Semua itu sudah ada di dalam kepalanya. Tetapi apabila diminta membacakan surah hafazan iaitu surah Al-Fatihah, dia sudah tergagap-gagap. Ada yang diingatnya dan ada yang dia lupa. Tajwid tak usah cakaplah.. lintang pukang habis semua dilanggarnya! Sehinggalah imam itu membantu dengan ikut membacakan surah yang amat termudah itu.
Setelah imam itu berpuas hati dengan pengetahuan Estaban mengenai asas-asas pengetahuan agama islam lelaki itu segera mengajarnya mengucapkan kalimah mentauhidkan Allah yang Esa, berserta dengan maknanya.
“Aku naik saksi tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah. Dan aku juga naik saksi Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah..” mudah sahaja Estaban mengucapkan kalimah itu.


Sesungguhnya hati ku sebak entah kenapa sebaik sahaja menyaksikan Estaban mengulangi apa yang disebutkan oleh imam itu. Air mata tanpa dapat ku tahan, mengalir laju di pipi. Ada rasa halus datang menyelit di sanubari ku sehingga aku menjadi begitu sayu. Aku seperi tidak jejak di bumi saat melihat semua itu di hadapan mata ku sendiri. Dengan nama yang dipilih oleh ku, kini Estaban bergelar Muhammad Ariff Buhler bin Abdullah.


Keesokan harinya pula pernikahan kami..
Aku mula berhias sederhana dengan baju kurung berkain lace putih yang baru dibeli oleh emak di Masjid India dan Estaban  aka Ariff dengan baju melayu warna yang sama yang dipilih oleh ayahnya. Usai solat Jumaat, kami mula berkumpul di masjid yang sama. Buat pertama kali selama aku mengenalinya, aku mahu memuji ketampanannya apabila melihat Ariff mengenakan songkok hitam di kepalanya. Teringat aku akan cerita Nabi Yusuf  As itu.  
Cuma apa yang membuatkan aku meluat, si romeo itu masih tidak mahu memotong rambutnya walaupun aku sudah berpesan supaya memotong rambutnya. Masih juga mahu mengekalkan watak romeonya itu. Menyampah betul!
Gelihati ku melihat Celina yang tidak senang duduk di dalam masjid itu. Agaknya takut menderhakalah tu, duduk dalam masjid orang islam! Diakan biarawati..
Tidak cukup itu dia berkipas kepanasan pula. Yalah.. Malaysia panas. Kena pulak pakai jubah dan bertudung penuh bagi menghormati kemuliaan rumah Allah ini. Mana tidak berkipasnya. Cuma Samuel aja yang cukup tenang ku lihat. Dia asyik memandang segala perbuatan imam di hadapan kami. Beberapa orang pegawai dari pejabat agama dilantik untuk menjadi saksi kepada upacara itu.
Buat permulaannya kami berdua diceramah panjang oleh kadi itu. Kepada bakal suami ku itu, banyak sekali pesanan demi pesanan yang diberikan untuk melengkapkan ilmu sebagai seorang yang beragama islam dan sebagai suami. Walaupun pesanan itu ditujukan buat Ariff namun aku ikut mendengar. Tidak ketinggalan imam itu mengingatkan aku akan tanggungjawab ku untuk mengemudi arah hidup lelaki ini setelah bergelar isterinya nanti. Kata imam itu.. ini seumpama ‘janji kepada-Nya’ yang tidak boleh diabaikan dengan mudah. Janji kepada Allah sama sekali tidak boleh dimungkiri sewenang-wenangnya. Mendidik akidah Ariff adalah sebahagian daripada tanggungjawab ku kerana selepas selesai akad itu nanti, akulah orang yang paling hampir dengan Ariff. Aku harus berusaha sehabis daya untuk membantu Ariff dalam soal itu. Aku cukup sedar betapa besarnya tanggungjawab itu. Namun aku tetap mahu mengikhlaskan hati untuk menerimanya.
Untuk upacara akad nikah pula, imam itu yang dipilih mewakili abah kerana Ariff tidak memahami bahasa melayu. Walaupun akad nikah boleh menggunakan bahasa melayu, namun abah tetap meminta imam itu menikahkan kami berdua dengan lafaz akad yang mampu difahami oleh Ariff. Abah mahu Ariff sedar dan faham apa yang telah diterimanya dan apa yang digalasnya bersama akad itu.
Imam itu mula memandang ku. “Nur Insyirah binti Syawal, sudi atau tidak aku nikah kamu dengan Muhammad Ariff Buhler bin Abdullah?”
“Sudi..” aku menjawab lembut.
Imam itu mengangguk. Tumpuannya mula diberikan kepada Ariff yang duduk di hadapannya. “Sambut akad ini dengan jelas dan lancar. Tak mahu tergagap-gagap, faham?” imam itu berkata kepada Ariff. Ariff sekadar mengangguk. Aku lihat dia sudah mula resah. Dahinya digaru beberapa kali.
Rentak jantung ku mulai berubah deras sebaik sahaja melihat Ariff menyambut huluran tangan imam itu. Lelaki itu sempat memandang ku seketika sebelum dia kembali menumpukan perhatian kepada imam di hadapannya itu. Seketika kemudian aku mulai mendengar lafaz akad disebutkan oleh imam itu dalam bahasa inggeris.
Ariff cuba menyambutnya dengan sekali lafaz seperti yang telah diajarkan kepadanya sebelum ini. Tetapi lafaz itu ditolak saksi dan akad nikah terpaksa diulangi sekali lagi. Sekali lagi aku melihat Ariff resah. Duduknya tidak lagi aman. Dia meraup wajahnya berkali-kali. Beberapa kali abah mengosok belakangnya meminta dia agar bertenang.
Sekali lagi imam itu mengingatkan agar Ariff menyambut akad itu dengan lancar. Tidak boleh tergagap-gagap lagi seperti tadi. Dia hanya mengangguk sahaja. Hingga akhirnya kali ke enam imam itu melafazkan akad, barulah Ariff dapat menyambut dengan kabul yang lancar. Dengan pengesahan saksi barulah akad nikah itu diterima oleh imam itu.
Melihat itu tiba-tiba aku merasa teramat sedih. Tidak dapat ditahan air mata ku mengalir laju di pipi. Di dalam pelukan emak, aku melepaskan perasaan yang bercampur baur saat ini. Aku sendiri tidak tahu apaa yang sedang aku rasa. Gembirakah? Atau berduka? Entah! Tidak terduga oleh ku, saat pertama kali aku mengenali Estaban dahulu.. lelaki inilah yang telah ditakdirkan menjadi suami ku. Tidak pernah juga termimpi oleh ku yang aku akan mengahwini seorang lelaki dalam keadaan tergesa-gesa begini. Tidak pernah aku angankan untuk dinikahi lelaki yang ku anggap musuh. Lebih dari itu.. aku langsung tidak pernah menduga yang takdir telah tertulis, aku akan mengahwini seorang lelaki dalam keadaan diri ku telah pun hamil!
Selepas berlangsung pernikahan itu, imam meminta Ariff membuat lafas taklik kepada diri ku memandangkan terlalu banyak risiko bagi perkahwinan antara dua bangsa dan dua negara seperti aku dan dia. Ini adalah jaminan bagi diri di masa hadapan. Dan aku sememangnya tidak mahu Ariff ingkar dari tanggungjawabnya. Ariff mula mengerti dengan tujuan apa lafaz taklik itu dilakukan setelah diterangkan oleh jurunikah itu. Setelah menerangkan sedikit sebanyak hak diri ku sebagai isteri, imam itu meminta Ariff menyebut sumpah itu dengan rela hati.
“Saya Muhammad Ariff Buhler bin Abdullah dengan ini mengakui sekiranya saya meninggalkan isteri saya Nur Insyirah binti Syawal selama empat bulan berturut-turut tanpa nafkah zahir atau batin, sekiranya dia pergi membuat aduan kepada mahkamah syariah di Malaysia ini.. maka gugurlah talak khuluk kepada isteri saya. Kecuali sekiranya isteri saya meredakannya. Saya juga mengakui sekiranya saya menikahi wanita lain tanpa keinzinan isteri saya maka gugur juga talak satu kepada isteri saya.” Dengan tenang Ariff menyebut lafaz taklik berbahasa inggeris itu.
“Ambil perhatian dengan lafaz sumpah ini. Lafaz ini jangan sesekali awak lupakan selagi dia masih isteri awak. Lafaz ini bertujuan untuk menjamin hak isteri agar tidak dianiaya oleh pihak suami. Kewajipan isteri adalah taat kepada suaminya. Tetapi mereka juga mempunyai hak dalam perkahwinan yang telah ditetapkan oleh agama islam. Suami tidak boleh sesuka hati menggunakan kuasa yang ada ditangannya sehingga menganiaya isteri. Sekiranya awak ingkar dengan apa yang awak lafazkan tadi maka awak dan dia terlepas dari ikatan suami isteri ini tanpa perlu lafaz talak lagi. Begitu juga sekiranya awak ada melafazkan untuk kembali semula kepada agama asal awak atau bertukar kepada agama lain. Secara automatik hak awak kepada dia akan gugur dengan sendirinya kerana awak tidak lagi beragama islam,” jelas imam itu lembut.
Ariff mengangguk-angguk tanda memahami kata-kata imam itu. Aku nampak bapa Ariff yang mendengar juga ikut mengangguk. Wajah lelaki itu cukup ceria setelah segalanya berjalan dengan baik seperti yang dirancangkan.
Kun Fa Ya kun..
Suatu masa dahulu aku pernah mengatakan lelaki ini tidak akan mendapat tempat dalam hidup ku. Ternyata apa yang aku katakan, tidak sama lagi dengan apa yang sedang aku kotakan. Lelaki yang amat ku benci itu sudah pun menjadi suami ku. Aku sedar aku hanyalah manusia biasa yang hebat merancang namun tidak berkuasa untuk mengotakan. Moralnya kini.. perjalanan hidup ini bukan ketentuan manusia semata-mata. Semuanya berlaku dengan izin Allah. Sesungguhnya inilah tanda kekuasaan Allah.
 Muhammad Ariff terpinga-pinga menggelabah apabila diminta mengerjakan solat sunat nikah seorang diri. Aku sempat tersenyum sinis melihat Ariff cuba memberitahu abah yang dia masih tidak tahu bersolat. Tanpa segan silu dia mencuit-cuit abah seolah-olah meminta abah memberitahu imam itu yang dia masih belum pandai bersolat.
Mujurlah abah ku itu mengerti. Kata abah solat itu hanya sunat. Kalau tidak berkemampuan maka tidak perlulah dilakukan. Tetapi tidak bagi imam yang melihat keadaan itu.
“Sebagai ketua keluarga kamu mesti sentiasa ada kemahuan untuk mendalami agama islam. Kerana sebagai lelaki Allah sudah memberatkan lelaki dengan tanggungjawab tertentu terutamanya tanggungjawab mendidik isteri dan anak-anak kamu nanti. Jika kamu abaikan tanggungjawab ini maka kamu akan menanggung dosa kerana gagal menunjukkan jalan yang benar kepada orang-orang di bawah jagaan kamu. Bukan sekadar itu, sebagai suami kamu juga akan menanggung dosa isteri dan anak-anak kamu sekiranya kamu membiarkan mereka berbuat dosa tanpa mendidik mereka. Solat sunat nikah memang hukumnya sunat tetapi tidak dengan solat fardhu yang harus kamu tunaikan lima kali sehari semalam. Solat itu hukumnya wajib! Sekiranya kamu meninggalkannya kamu harus menggantikannya nanti. Itu penting untuk kehidupan seharian kamu! Kamu mesti memulakannya dari sekarang. Belajar sikit-sikit pun takpe, asalkan berterusan. Tapi jangan abaikan begitu sahaja.” Imam itu berceramah lagi kepada Ariff. Agaknya sebab dah malu, Ariff terangguk-angguk kepada imam itu.

Akhirnya tiba pula kepada upacara menyarungkan cincin dan pemberian mas kahwin. Di atas dulang yang dihias sederhana terletak senaskah Al Quran kecil dan juga mas kahwin. Sebentuk cincin emas putih disarungkan lelaki itu ke jari manis ku dan dulang itu turut diserahkan kepada ku. Aku tunduk mengucup tangan lelaki itu tanda memulakaan ketaatan sebagai isteri kepada lelaki itu. Kami sempat berpandangan seketika. Ariff tenang sahaja memandang wajah ku. Tetapi apa yang ada di dalam hati ku ini membuatkan aku tertanya-tanya. Mengapa aku tidak merasa apa-apa lagi? Tidak merasa terpaksa.. tidak merasa suka.. tidak juga merasa sedih. Jiwa ku kosong! Aku sendiri tidak faham apa yang sedang aku alami.




Selesai urusan di masjid ada satu lagi urusan yang masih belum diselesaikan. Urusan itu sebenarnya teramat penting iaitu berkhatan! Rupanya mereka sudah merancang senyap-senyap untuk mengkhatankan Ariff. Atas sebab-sebab tertentu bapa mertua ku itu sengaja membiarkan urusan itu dilakukan selepas bernikah. Kata Tuan Christopher.. kalau diberitahu awal-awal kepada Ariff, lelaki itu pasti akan melarikan diri. Malah ketika kami dalam perjalanan ke hospital itu, Ariff sebenarnya tidak tahu apa yang sedang menunggunya di sana!
Huh! Anak manja betul. Baru nak kena potong sikit, dah menggelabah macam budak lima tahun nak kena cabut gigi. Aku sempat mencemuh lelaki itu di dalam hati. Terlupa sekejap yang itu adalah suami ku.
Untuk menyelesaikan hal itu hanya aku sahaja perempuan yang mengikuti mereka ke hospital. Abah memang mahu aku ikut sekali. Kata abah, hanya aku sahaja yang boleh memujuk Ariff. Aku faham apa yang abah maksudkan. Ni memang nak pujuk sangatlah ni!
Setiba di perkarangan hospital, Ariff sudah mula buat hal. Aku mahu tergelak melihat kegelabahan lelaki itu. Wajahnya merah padam apabila diberitahu yang dia harus dikhatankan. Dia mulai cemas dan tidak tentu arah. Memang benar kata bapa mertua ku itu.. Ariff sudah bersiap sedia mahu melarikan diri saat namanya mahu didaftarkan oleh ku. Kecoh jadinya perkarangan hospital itu dengan lagak kebudak-budakkan Ariff.
“Saya tak mahu!” ucapnya keras. Terus dia mengatur langkah ke pintu utama hospital itu untuk pergi.
“Estaban!” Tuan Christopher cuba menghalang anaknya itu. Namun Ariff tiba-tiba agresif pula.
Aku ikut memanggilnya untuk menenangkannya. Aku pula yang mulai cemas dengan kelakuan lelaki itu. Jeritan kerasnya tadi sudah menarik perhatian orang-orang di situ. Takut nanti hospital ni runtuh pula dibuatnya. Padahal bukannya baru lepas kemalangan ngeri.. nak kena bersunat aja pun kecoh sekampung!
Ariff bertempik marah apabila Samuel memeluknya erat, tidak membenarkan dia berlalu. Dia berkeras mahu melepaskan diri namun pelukan abangnya itu semakin kuat. Mereka berdua bergelut seketika di hadapan kaunter pendaftaran itu sebelum abah juga ikut membantu memegang Ariff.
“Estaban, kamu kena bertenang!” tegas Tuan Christopher kepada anaknya itu.
“Apa semua ini? Saya tak mahu berkahatan ni semua! Ini akan menyakitkan saya!” tempiknya benar-benar marah. Wajahnya merah padam entahkan menahan marah ataupun takut. Pertama kali sepanjang aku mengenalinya aku melihat lelaki itu benar-benar takut. Tahu takut rupanya lelaki ini.. hati ku mengejek sendiri.
“Kamu kena berkhatan. Semua lelaki islam berkhatan, Estaban. Ini untuk kebaikan kamu berdua,” pujuk Tuan Cristopher masih cuba untuk berlembut.
“Tidak! Saya nak balik! Lepaskan saya!” tempiknya semakin kuat. Matanya buntang bagaikan mahu ditelannya semua yang ada di sekelilingnya.
Aku jadi malu kepada kakitangan hospital yang mula berkerumun memandang sketsa kami semua. Melihat perangai lelaki yang baru menikahi ku itu, aku hanya mampu memegang kepala sambil memandang. Aku sendiri tidak tahu mahu berbuat apa.
“Saya sudah buat segala yang papa suruh selama ini. Itu tidak cukup? Kenapa saya kena berkhatan pula? Saya tak mahu! Ini akan menyakitkan saya!” tempik Ariff kepada ayahnya.
Menggeleng aku melihat sikap lelaki itu. Seingat ku adik-adik lelaki ku sendiri tidak sedasyat ini bila mahu dikhatankan dahulu. Lelaki dewasa ini pula mengamuk sehingga satu hospital datang melihatnya. Estaban benar-benar memalukan aku!
 “Kamu kena lakukan ini, Estaban. Berkhatan sangat diperlukan dalam islam. Kamu sendiri sudah diberitahu tentang itu, bukan? Ini tak begitu menyakitkan, Estaban. Dengar cakap papa. Kalau tidak hari ini, suatu hari nanti kamu harus lakukan juga.” Tuan Christopher memujuk lagi.
“Saya nak balik, papa. Saya takkan lakukan ini!” bentaknya semakin marah. Semakin meninggi suaranya kepada ayahnya itu. Semakin itu juga dia cuba melepaskan diri dari pelukan Samuel. Abah terus memegangnya tidak membenarkan dia pergi.
Aku mula hilang sabar dengan kelakuan Ariff. Malu tak usah cakaplah. Semakin ramai orang memandang kami di situ.
“Estaban, dengarlah cakap papa. Ini kali terakhir..”
“Tidak! Lepaskan saya!” semakin lantang Ariff memintas kata-kata ayahnya itu.
Lantang suara lelaki itu membuatkan darah ku ikut mendidih. “Muhammad Ariff!” aku mulai menengking melawan kekerasan suara Ariff. “Lepaskan dia!” ucap ku nekad kepada kesemua lelaki yang sedang menahan suami ku itu. Seketika kemudian aku terus menarik lelaki itu ke arah pintu utama.
“Nak balik? Pergilah! Saya tak kisah kalau awak nak balik. Tapi ingat, selagi awak tidak lakukan ini.. saya bersumpah tidak akan membenarkan awak menyentuh tubuh badan saya. Saya tidak rela awak membawa kekotoran itu ke dalam tubuh saya! Awak nak saya ikut cara awak, boleh! Tapi awak kena siap untuk menanggung akibatnya! Pilihlah antara dua, awak lakukan ini atau saya takkan tidur sekatil dengan awak sehinggalah awak berkhatan nanti!” ucap ku tegas sambil menunding ke arah lelaki itu.
“Pergilah kalau awak nak pergi. Saya takkan halang awak. Tapi macam saya katakan tadi, kita takkan pernah hidup macam orang lain sehinggalah awak ubah pendirian awak!” tambah ku serius.
Mendengar itu Ariff  tiba-tiba menjadi jinak pula. Dia terdiam memandang wajah ku lama bagaikan mencari kebenaran kata-kata ku sebentar tadi. “Er.. awak serius ke?”
“Terlalu serius! Kalau awak berdegil saya juga akan ikut cara yang sama. Pilihlah yang mana awak suka! Saya dah malas nak tengok ragam kebudak-budakan awak lagi,” balas ku amat tegas.
“Saya cuma perlu lakukan inikan?” dia bertanya perlahan dengan ekspersi wajah polosnya. Upah yang ditawarkan aku memang lumayan untuk lelaki sepertinya. Hilang terus rasa takutnya saat itu.
Dasar lelaki! hati ku sempat menggerutu melihat kemiangannya.
“Ya. Hanya ini sahaja.” Aku akhirnya membalas kelat.
Ariff terdiam seketika sebelum kembali memandang wajah ku. “Err.. nanti mereka akan beri ubat bius? Banyak ke dos yang mereka akan beri?” tanyanya perlahan sahaja.
Aku memandang seketika lelaki itu sambil menggeleng perlahan. “Sikit aja sakit awak tak boleh tahan ke? Awak tahu, dua adik lelaki saya dikhatankan melalui cara tradisional ketika mereka berusia sepuluh tahun. Mereka berdua tak diberikan bius macam yang akan awak dapat di hospital ini. Tapi mereka tak menjerit memekik macam orang gila. Awak ni betul-betul memalukan saya! Semua orang tengok kita!” desis ku teramat geram.
Muhammad Ariff terdiam sambil memandang sekeliling. “Awak temankan saya ya?” pintanya lembut.
“Awak ni bukan budak-budak lagi, Ariff!” bentak ku semakin geram.
“Tolonglah... saya bukannya takut cuma..” lelaki itu tergagap-gagap sedikit saat mahu menghabiskan kata. “Saya cuma ngeri aja..” akhirnya dia juga melengkapkan bicara.
Aku tergelak sinis. “Bagi saya, semua tu kedengaran sama aja!” desis ku selamba. Tanpa menunggu lagi aku meninggalkan Ariff di situ sambil mendekati semula kaunter pendaftaran. Semua kakitangan yang tercegat memerhatikan kami tadi sudah mula bersurai. Malu bagaikan tidak dapat ku tahan kerana hampir semua kakitangan ruangan itu terjenguk-jenguk memandang gelagat kami tadi. Ada yang kelucuan melihat gelagat Ariff. Dalam pada itu sempat aku melihat senyuman bapa mertua ku itu yang menyatakan kegembiraannya melihat aku sudah berjaya menjinakkan anak lelakinya itu. Memang tidak susah untuk memujuknya jika upahnya nanti lumayan. Ariff memang pantang jika ditawarkan tentang itu. Lekas sahaja mood dia baik! Dasar gatal!
Demi menunaikan kehendak si penakut itu, aku menemankan juga Ariff di dalam bilik rawatan tanpa kehadiran orang lain. Sementara Ariff disiapkan untuk menjalani pembedahan kecil itu oleh beberapa kakitangan lelaki, pegawai perubatan itu cuba menenangkan Ariff dengan mengatakan yang pembedahan ini hanya pembedahan kecil yang tidak akan mengambil masa yang lama. Namun saat ditanyakan samaada Ariff mahu menggunakan teknik laser yang kurang menyakitkan, aku pantas menjawab bagi pihak suami ku itu.
“Buat aja cara biasa! Tak payah guna laser semua..” ucap ku selamba. Sengaja bercakap bahasa melayu agar Ariff tidak faham apa yang aku katakan kepada pegawai perubatan itu.
“Awak cakap apa dengan dia?” Ariff yang sudah berbaring segera menyampuk.
“Awak baring aja kat situ! Jangan banyak cakap!” tegas ku dengan sinar mata yang sengaja ditajamkan kepada lelaki itu.
Salah seorang lelaki itu memandang ku lama. “Betul ke nak buat cara yang biasa? Kalau pakai laser kurang sedikit darah yang keluar dan tak berapa sakit. Lagipun kalau gunakan laser luka akan lebih cepat baik,” sekali lagi petugas perubatan itu berkata untuk meminta kepastian. Ada rasa hairan dipamerkan di wajahnya. Mana tak hairan, ya tak? Ada cara yang mudah aku sengaja mahukan cara yang susah. Aku tersenyum sendiri mengenang itu.
“Asalkan dia tak mati aja cukup! Tak payah pakai laser tu semua. Pakai aja pisau macam biasa! Kalau ada pisau yang tumpul itu lagi baik!  Biar dia rasa!” balas ku tetap dengan keputusanku. Inilah masanya aku membalas dendam kepada perbuatan jahatnyaa dulu. Ini baru sikit!
Sebahagian kakitangan lelaki itu sudah tergelak mendengar kata-kata ku tadi. “Karang kalau pakai pisau tumpul takut tak boleh pakai terus lepas ni, puan. Siksa dia nanti,” balas salah seorang kakitangan itu sedikit berjenaka. Mereka tergelak serentak mendengar kata-kata lelaki itu.
Aku ikut tergelak sama. Namun dalam hatinya hanya Tuhan sahaja yang tahu. Potong aja semua lagi baik! Biar tak boleh pakai terus.. desis hati ku yang masih bersisa dendam kesumat.
Namun ketika bahagian bawahan lelaki itu diselak aku mula memandang ke arah lain. Aku cuba sedaya upaya untuk tidak memberi perhatian kepada apa yang berlaku. Sehinggalah setelah selesai lima minit lelaki itu dibiarkan sendirian setelah diberikan ubat bius barulah pembedahan dimulakan. Tidak tertahan aku mahu tergelak apabila mendengar Ariff dengan panik menegur perbuatan pegawai perubatan itu.
“Jangan pandang! Baring aja di situ. Ini hanya sekejap sahaja. Lepas lima minit semuanya akan baik. Bertenang saja.” Dr. Ahmad yang mengetuai pembedahan itu berbicara lembut dengan Ariff.
“Apa yang kamu buat pada dia? Oh! Tuhan.. banyaknya darah!” seketika kemudian jeritan lantang Ariff sudah memenuhi ruangan itu membuatkan aku mula tergelak sendiri. Dalam hati aku amat gembira kerana sudah berjaya menyakitkan lelaki itu akhirnya!

Laser? Sama sekali tidak perlu!

6 ulasan:

  1. hahahahahahahaha..... insyirahhh.... hahahaha....

    BalasPadam
  2. hadoii la ariff!!! tau takut ko!!! padan muka...

    BalasPadam
  3. HAHAHAHAHAHA... oh Ariff... sweet revenge...padan muka...kekeke

    BalasPadam
  4. hahahaha....pandai juga Insyirah nak kenakan Estaban ni rupanya..

    BalasPadam