BAB
1
“MIA, bangun…”
“Hmm...”
“Bangun, sayang. Dah subuh ni.” Merdu suara itu di
telinga Lamia Sabiya. Nama yang unik diberikan oleh arwah emak kandungnya.
Bermaksud bersinar pagi hari.
“Bangun...” pujuk Naela lantas duduk di sisi anak berusia
9 tahun itu.
“Mengantuk lagilah, ibu.” Lamia merengek kecil.
“Memanglah mengantuk. Tetapi kena lawan mengantuk tu. Bangun.
Solat ya?” ajak sang emak penuh kasih sayang.
Malas-malas Lamia bangun juga. Rambut yang kusut dikirai
lembut oleh Naela. Bibirnya tersenyum mekar menatap gelagat anak angkatnya itu.
Lamia sedang menggenyeh mata.
Anak ini diambil sebagai anak angkat. Lamia adalah
kandung kepada arwah Rashidah dan Husam, kedua-dua kawan karibnya. Namun mereka
sudah pergi menghadap Ilahi lima tahun dulu. Kini kebajikan anak ini dibawah
tanggungjawabnya. Susah atau senang, dia berjanji akan menjaga Lamia
sebaik-baiknya.
“Lekas... jangan malas-malas. Mandi. Solat kemudian pergi
sekolah. Ibu mahu Mia jadi orang pandai.” Naela ketawa kecil sebelum menarik
anak kesayangannya itu agar meninggalkan katil.
“Okay.” Lamia cemberut sedikit. Namun akur dengan
kehendak emak angkatnya itu.
Mereka solat jemaah subuh berdua. Kemudian Lamia bersiap
dengan pakaian sekolahnya. Naela bersiap untuk ke kilang. Memulakan tugas
sebagai operator di kilang operator di Bandar Sungai Way.
“Lekas, Mia. Ibu dah lambat ni.”
“Ya, bu.” Lamia bergegas mendapatkan emak angkatnya.
Mereka tidak sempat sarapan pagi di rumah sewaan mereka. Namun Naela singgah di
gerai terdekat dengan sekolah Lamia, membelikan nasi lemak dan kuih kesukaan
Lamia.
“Ni nasik. Jangan lupa makan ya, sayang?” ucap Naela
setelah anak itu dihantar ke Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Sungai Way.
“Ya, bu.” Lamia menghulurkan tangan. Naela tersenyum saat
menyambut tangan anak itu.
“Belajar rajin-rajin ya? Balik nanti jalan elok-elok.
Jangan tumpang orang yang Mia tak kenal. Pukul tujuh nanti, insya-Allah ibu
balik.”
Lamia sekadar mengangguk. Naela sempat mencium dahi sang
anak sebelum meneruskan perjalan ke tempat kerja dengan motorsikalnya.
Masuk ke dalam kawasan sekolah, Lamia melihat ramai
kawan-kawannya sudah bersedia untuk memulakan perhimpunan. Sekolah yang
dipelopori oleh kanak-kanak berbangsa Cina namun tidak ketinggalan ada beberapa
kanak-kanak Melayu sepertinya bersekolah di sini.
Tetapi sewaktu melintasi gelanggang bola keranjang, dia
ternampak Mike, salah seorang rakan sekelasnya sedang berdiri memandang orang
lalu lalang. Kemudian Mike memandang kepadanya. Sengih. Lamia ikut tersenyum
kepada teman sedarjahnya itu.
“Awak bawa nasi lemak lagi tak?” tanya Mike setelah
mendekati Lamia.
“Ya. Nak?” tanya Lamia lembut.
Mike geleng dengan senyum malu-malu. Dia teringin. Dia
sukakan nasi lemak yang sering dibawa Lamia. Tetapi mamanya tidak suka dia
selalu meminta makanan Lamia. Dia ada diberikan wang saku. Lagipun dia tahu
Lamia bukan orang senang. Nasi lemak itu sahaja makanan yang dia ada untuk
mengalas perut hingga ke petang nanti.
“Kalau awak nak, nanti kita makan sama ya?” ucap Lamia
lembut.
Mike hanya tersengih tanpa menjawab apa-apa. Senang
hatinya dengan kebaikan Lamia. Hanya Lamia yang sudi berkawan dengannya di
sekolah ini. Teman-teman yang lain hanya buat tidak peduli. Mereka tidak suka
melihat cermin matanya yang tebal dan tubuhnya yang kurus kering ini.
Usai waktu perhimpunan, kelas bermula dengan mata
pelajaran matematik. Lamia meminta untuk bertukar tempat dengan teman sebelah
Mike. Lebih suka duduk di sebelah Mike memandangkan temannya itu genius
matematik. Agak sukar memandang guru mengajar dalam Bahasa Inggeris. Sukar
memahami apabila mendengar percakapan guru yang agak laju.
“Awak kena biasakan diri bercakap Bahasa Inggeris baru
awak akan faham apa yang guru ajarkan,” ucap Mike kepada Lamia.
“Saya malu.”
“Saya tak akan ketawa.”
Lamia diam memandang buku di atas mejanya itu.
“Perlahan-lahan nanti awak akan faham. Emak saya mahu
saya pandai Bahasa Melayu, dia selalu bercakap Bahasa Melayu dengan saya.
Lagipun jiran saya orang Melayu,” cerita Mike.
“Jiran saya orang Cina. Pak Cik Liu, jiran saya. Dia
baik. Selalu tegur saya. Saya rasa dia mesti pandai cakap Inggeris.”
“Awak boleh minta dia ajarkan awak Bahasa Inggeris sampai
awak betul-betul pandai,” ujar Mike.
Lamia mengangguk. Mike kembali memandang buku latihannya.
Kasihankan sahabatnya. Gigih dia mengajar Lamia apa yang telah diterangkan oleh
guru tadi. Mata pelajaran Matematik dan Sains agak mencabar dek kerana guru
menggunakan Bahasa Inggeris ketika mengajar. Berlainan pula untuk mata
pelajaran lain. Bahasa Mandarin menjadi bahasa antara. Semenjak tadika dia
dihantar oleh ibunya ke sekolah Cina, dia sudah mula fasih Bahasa Mandarin
berbanding bahasa inggeris.
“CUKUPLAH untuk malam ni. Esok baca surah yang seterusnya pulak.”
Lamia mengangguk sambil menutup kitab suci Al Quran itu.
Kemudian dia memandang wanita di hadapannya itu.
“Bu...” panggil Lamia cukup lembut.
“Ya,” jawab Naela setelah mengangkat pandangan kepada
anaknya.
“Mia nak masuk kelas tuisyen Bahasa Ingerislah, bu.”
Suara Lamia beralun perlahan.
Naela diam seketika. Berfikir. Rasanya di pekan Sungai
Way ada pusat tuisyen untuk kanak-kanak. Tetapi dia tidak tahu berapa pula
bayarannya.
“Boleh tak? Kalau ibu tak ada duit, tak apalah.”
“Nanti ibu tanya berapa yurannya ya?” jawab Naela lantas
menarik anak itu dekat kepadanya. Lamia didakapnya penuh kasih sayang.
“Soal duit jangan fikir. Ibu cuma nak Mia belajar
rajin-rajin. Apa yang tak ada, ibu adakan untuk kemudahan Mia belajar. Ingat...
pelajaran tu penting untuk masa depan Mia.”
Lamia mengangguk perlahan. Syukurlah dia punya ibu angkat
yang baik hati dan penyayang.
“Terima kasih, bu. Mia sayang ibu.”
Naela ketawa kecil sambil mengusap wajah anak itu. “Ibu
tahu Mia bijak. Mia tak pernah hampakan ibu.”
“Mia nak belajar rajin-rajin. Mia nak jadi orang kaya
bila dah besar nanti. Mia nak bawa ibu jalan-jalan pergi luar negara.”
“Alhamdulillah. Bagus cita-cita Mia. Tapi kita tuntut
ilmu tujuan utamanya bukan untuk jadi kaya. Itu anugerah Allah, tidak kepada
semua orang walaupun belajar sampai menara gading. Sebaliknya, kita mesti tuntut
ilmu agar akal dan fikiran kita tidak kosong begitu sahaja. Ilmu penting untuk
setiap hal. Bukan sekadar untuk cari kerja saja. Faham tu?”
“Faham, bu.” Lamia tersenyum mendengar nasihat Naela.
“Dah. Jom kita solat isyak pulak. Lepas tu kita makan,”
ujar Naela lembut.
Setiap malam beginilah rutin mereka berdua. Mereka hanya
hidup dua beranak. Tidaklah bermakna Lamia tiada saudara mara lain. Ada.
Sebelah ibunya masih ada saudara mara. Sebelah ayah pun ada. Sayangnya dia
terpaksa mengambil alih jagaan ke atas Lamia. Saudara mara Lamia enggan
menjaganya.
Naela mengenali Rashidah ketika usia 18 tahun. Ketika itu
mereka sama-sama mendaftar diri ke kilang sebagai operator pengeluaran. Pernah
menyewa bersama sebelum Rashidah menikahi Husam, juga operator di kilang yang
sama.
Sayangnya suatu hari dia dihadiahkan berita Husam dan
Rashidah digilis lori ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja. Tinggal
Lamia terkapai-kapai sendiri. Wang pampasan yang diberikan oleh majikan dan
perkeso menjadi rebutan memandangkan Lamia satu-satunya anak perempuan. Bapa
saudara Lamia masing-masing menjadi kaya sekelip mata.
Sangka Naela, adik beradik Husam akan menjaga Lamia.
Sebaliknya, Lamia ingin dihantar ke rumah anak yatim. Kerana kasihkan Rashidah,
kerana sayangkan Lamia... biarlah dia tidak berkahwin. Asalkan jangan Lamia
dipisahkan darinya!
BAB
2
“MIA...”
sapaan itu menghentikan langkah
Lamia. Lama dia memandang orang tua itu.
“Ini pak long. Abang kepada arwah ayah Mia. Tak ingat?”
Lamia menggeleng. Dan dia terus kaku tanpa mahu mendekati
lelaki itu. Rasanya lelaki itu seperti orang asing sahaja kepadanya.
“Mia dah besar sekarang.”
“Mia...” panggil Naela dari atas dalam pagar rumah
mereka.
“Ya, bu.” Lamia memandang ke arah ibunya pula. Wanita itu
melambai lembut.
“Mari dekat.”
Lamia memerhatikan lelaki itu sebelum itu sambil
mendekatkan diri kepada emaknya.
“Ibu nak kenalkan, lelaki ni namanya Hamsan, pak cik Mia.
Mia masih ingat dia tak?” ucap Naela setelah Lamia sampai kepadanya.
“Dulu waktu Mia kasih kecil, kita selalu berjumpa.”
Hamsan tersenyum mesra kepada Lamia.
“Mia tak ingat.”
“Tak apalah. Waktu tu pun Mia kecil sangat lagi.” Hamsan
menyambut lembut. Lamia tidak berkata apa-apa sebaliknya dia terus menolak
pintu pagar untuk masuk ke rumah.
“Mia, pak long nak bawa Mia pergi jalan-jalan.”
“Mia ada banyak kerja sekolah.” Lamia menjawab dingin.
Agak asing untuk berbual mesra dengan lelaki itu. Entah dari mana, munculnya
tiba-tiba.
“Mia, masuklah dulu. Ibu ada hal nak cakap dengan pak
long Mia ni.”
Lamia sekadar mengangguk dan terus berjaln ke pintu
rumah.
“Keputusan aku dah bulat, Naela. Aku nak bawa dia balik
kampung dengan aku.”
“Kenapa? Ada sebab apa?” soal Naela lagi sekali.
“Aku ada hak! Aku ni waris dia.”
Naela ketawa kecil. “Dulu kenapa tak fikir sebelum
putuskan nak hantar dia ke rumah anak yatim?” perli Naela.
“Kau tak payah nak ungkit salah aku dulu. Itu cerita
dulu, kita tinggalkan. Sekarang ni aku nak bela dia.”
Naela diam seketika merenung tampang lelaki itu. Hamsan
kembali memandang Naela.
“Aku tak perlukan persetujuan kau. Hak aku lebih besar ke
atas dia.”
“Baguslah kalau tahu itu. Cuma, saya nak tanya... ikhlas
ke ni, bang? Atau ada udang di sebalik mee?”
“Kau siapa nak pertikaikan semua tu???” marah Hamsan
dalam nada tertahan. Naela ketawa kecil sambil menggeleng.
“Bang, biarlah dia dengan saya. Abang pun ada anak-anak
nak dibesarkan. Cuma janganlah tak ambil tahu hal dia langsung. Selama ni dia
dengan saya, tak ada seorang pun datang bertanya keadaan dia. Baik sebelah
keluarga Husam. Baik sebelah keluarga Rashidah. Sekarang budak tu dah besar.
Sikit lagi dah boleh tuntut hak dia. Cepat-cepat abang datang sini ya? Bang,
jangan lupa ya? Budak tu bukan bodoh lagi. Saya dah beritahu dia hal yang
sebenarnya supaya dia tidak terus dianiaya.”
Wajah Hamsan berubah serta merta. “Itu hal keluarga aku.
Kau tu orang luar. Tak tahu apa-apa tentang keluarga aku! Duit tu masih ada
dengan aku. Naela, kau tak beri cara baik, aku akan fight di mahkamah. Kita
tengok siapa yang menang!” tegas Hamsan lantas berlalu dari situ tanpa pamitan.
Naela sempat menggeleng melihat perangai lelaki itu. Lamia
lekas-lekas berjalan ke bilik tidurnya setelah melihat ibunya masuk ke dalam
rumah. Sempat terdengar perbualan itu. Tetapi dia tidak tahu apa yang hendak di
fikirkannya.
“Mia, mari makan,” laung Naela dari luar.
“Mia nak tukar baju dulu, bu.”
“Cepat ya?”
“Yalah.”
Terbuka selera Lamia melihat lauk di atas meja. Dia
sememangnya sedang lapar. Mereka makan berdua. Soal kehadiran bapa saudara
Lamia tadi, tenggelam dek selera yang sedang terbuka.
“Bu, pak long tadi nak apa sebenarnya?”
“Tak ada apalah.”
Lamia diam. Dia tahu ibunya tidak mahu dia susah hati.
“Mia tak mahu duduk dengan pak long, bu.”
“Mia, jangan fikir yang bukan-bukan. Pak long cuma nak
jenguk Mia. Dah lama dia tak jumpa Mia, kan?” balas Naela mesra.
“Tiba-tiba dia datang. Mia tak kenal pun dia siapa.”
“Dia tu pak cik Mia. Mia kena kenal dia kerana dia wali
Mia. Mana tahu suatu hari nanti Mia akan berkahwin, Mia tetap perlukan dia,”
ujar Naela lembut.
Lamia diam pula. Hatinya tidak berapa senang dengan
hakikat itu. Tetapi siapalah mereka untuk menolak ketetapan yang sudah
ditentukan Allah?
“Jangan banyak fikir. Semua tu bukan untuk Mia fikirkan.
Ibu tak mahu nanti ganggu fokus Mia pada pelajaran,” ujar Naela lantas
menyentuh lengan sang anak. Lamia sekadar mengangguk.
“MIKE!” panggil Lamia dari arah belakang. Remaja beruniform
kemeja lengan pendek dan seluar pendek itu menoleh. Terus dia tersenyum sebaik
sahaja ternampak teman karibnya itu. Semenjak dari sekolah rendah mereka selalu
bersama.
“Lajunya jalan. Penat kejar,” ucap Lamia setelah berada
di sisi Mike.
“Mana ada laju.”
“Hei... kau tak basuh baju lagi ya?” tegur Lamia sebaik
sahaja ternampak lengan kemeja sekolah Mike. Hitam dek warna daki. Selalu
sangat lap wajah dengan lengan baju. Malas nak bawa sapu tangan atau tisu. Dia
yakin, sudah tiga hari baju itu diulang Mike. Warna kemeja putih itu sudah
kusam benar.
“Aku malas.” Mike menjawab selamba.
“Kau ni tak senonoh betullah. Nanti Miss Chang marah
lagi.”
Mike hanya tersengih seperti kerang.
“Mama kau tak tolong basuh ke?”
“Aku kena basuh sendiri. Kalau aku malas, aku kena pakai
baju kotor,” ujar Mike tetap dalam lagak selamba. Mamanya mahu dia berdikari.
Cuma, dia kadang kala malas.
“Memang patutlah mama kau buat macam tu. Kau tu asyik
dengan komputer.”
“Orang pandai memang begitu lorr...”
“Eee... geli telinga aku dengar kau puji diri sendiri.”
Mike ketawa mengilai. Seronok menyakat Lamia. Lamia hanya
menayang wajah selamba. Konon tidak merasa terhibur dengan jenaka Mike. Tetapi
memang hakikatnya Mike seorang yang bijak walaupun kurang menonjol dek kerana
personalitinya begini.
“Kau tahu, abang aku kutuk aku lagi. Dia kata aku kurus
kering,” cerita Mike.
“Itu bukan kutuk. Itu kebenaran,” ujar Lamia selamba.
Namun dia tergelak melihat riak wajah Mike pula berubah.
“Aku gurau aja. Jangan marah.”
“Kau pun suka kutuk aku kurus kering.”
“Bila masa aku suka kutuk kau kurus kering, apek? Aku cuma
tak suka kau selekeh. Tak suka jaga penampilan diri. Baju selalu tak basuh. Tu
sebab Jennifer tak layan kau,” balas Lamia. Mike tersengih pula.
Mereka masuk ke kelas bersama. Rakan-rakan sekelas sudah
berada di tempat duduk masing-masing. Lamia mengeluarkan sesuatu dari begnya.
“Nah, apek. Nasi lemak kau.”
“Terima kasih, Mia. Kau memang memahami akulah,” ujar
Mike ceria. Not lima ringgit dikeluarkan dari kocek kemejanya lalu diberikan
kepada Lamia.
“Sama-sama. And thank you,” ucap Lamia lantas tersenyum
kepada Mike.
“Sama-sama daun keladi. Esok lusa kau belikan aku lagi.”
“Salahlah! Terima kasih daun keladilah,” balas Lamia
lantas tergelak.
“Bolehlah. Janji kau faham aje sudah,” jawab Mike
selamba.
“Ada-ada ajalah kau ni, Mike. Hari-hari makan nasi lemak,
gemuknya tak juga.”
“Tengok? Kau mengata badan aku tak gemuk.” Riak wajah
Mike berubah. Buat-buat masam.
Lamia tergelak lagi. “Okay. Sorry... sorry...” ucapnya
sebelum dia menarik lengan Mike agar memandang kepadanya.
“Eh! Ibu aku ajak datang rumah hari Sabtu ni, lepas kita
balik tuisyen. Nak tak?”
“Ada laksa?”
“Kau ni kalau pasal makan, memang nombor satu, kan?”
gerutu Lamia.
“Aku suka mak kau punya laksa. Sedap. Hari-hari pun aku
tak jemu,” jawab Mike lantas menyeringai.
“Kau tu memang. Kira tak membazirlah kalau ajak kau. Batu
dengan kayu tu kalau dibuat laksa pun kau suka, kan?” ejek Lamia lantas ketawa
kecil.
“Rezeki jangan ditolak. Dulu kau juga kata macam tu,
Mia.”
“Apek, aku nak cerita kat kau satu cerita ni.”
“Apa dia?” balas Mike mula serius wajahnya.
“Semalam pak cik aku datang,” ujar Lamia perlahan.
“Pak cik kau yang mana?”
“Sebelah ayah aku.”
“Okay. So, apa yang kau nak cerita sekarang?” balas Mike
mula pegun membaca reaksi di wajah Lamia.
“Dia ajak aku tinggal dengan dia di kampung.”
“Ye ke?” Mike terkejut. Suaranya meninggi sedikit.
“Habis tu, ibu kau kata apa?” tanya Mike sekali lagi.
“Ibu kata tak boleh.”
“Tapi kenapa pak cik kau tiba-tiba nak suruh kau duduk
dengan dia kat kampung?” tanya Mike hairan. Kisah hidup Lamia kebanyakannya dia
sudah tahu. Dia tahu Lamia anak angkat.
“Entahlah.” Lamia termenung seketika. Kehadiran pak
ciknya semalam membuatkan dia tertanya-tanya.
“Tapi ibu kau tak bagi, kan? Kau janganlah bimbang.”
“Aku dengar dia marah ibu aku. Dia kata ibu tak ada hak
nak halang sebab aku anak saudara dia. Dia akan tuntut hak penjagaan aku di
mahkamah. Aku takutlah, Mike.”
Mike terdiam. Untuk anak berusia 16 tahun sepertinya,
manalah dia tahu apa yang hendak dibuat. Mereka berdua berdiam sehinggalah guru
mula masuk ke dalam kelas. Lamia sentiasa terfikir-fikirkan hal kedatangan bapa
saudaranya itu. membawa rasa tidak gembira entah kenapa. Padahal sepatutnya dia
gembira.
Ketika waktu rehat, isu itu bangkit semula.
“Mia, aku pernah tanya pada kawan sebelah rumah aku,
kenapa Tuhan orang islam bagi harta pada orang lain lepas kedua-dua ibu dan
ayah meninggal. Macam kau... kau terpaksa duduk dengan ibu angkat lepas arwah
mak dan ayah kau meninggal. Kenapa pak cik kau tak jaga kau semenjak dulu
sedangkan dia dapat banyak duit lepas arwah ayah kau meninggal?”
“Ibu aku baik.”
“Aku tahu. Tapi Abang Idrus kata, sepatutnya pakcik kau
yang jaga kau. Sebab itu Tuhan beri harta pada pak cik kau.”
“Aku dah tahu tu...” jawab Lamia perlahan.
“Aku rasa pak cik kau tamak. Dia hanya nak duit aja. Tapi
dia tak mahu jaga kau,” ujar Mike perlahan. Lamia menghela nafas perlahan.
“Dah nasib aku. Biarlah. Aku tak kisah pun pasal tu
semua. Aku happy aja dengan ibu aku,” ujar Lamia rendah. Mike diam pula. Sebal
hatinya memikirkan itu. Tidak kurang juga tertanya-tanya apa niat bapa saudara
Lamia mahu menjaga Lamia semula? Mengapa sekarang? Mengapa tidak dari dulu
lagi? Jika benar itu berlaku nanti, bermakna mereka akan terpisah.
“Aku tak mahu kau pergi ke sekolah lain, Mia.”
“Aku pun tak suka pindah sekolah lain.” Lamia menjawab
sebelum menyuap nasi ke mulut. Resah perasaan memikirkan itu. Dia sudah
terbiasa di sini. Dan dia tetap mahu kekal di sini.
“Kalau pak cik kau ambil kau juga... apa kita nak buat?”
“Kau janganlah cakap macam tu. Kau buat aku takut.” Lamia
mendengus sedikit.
“Aku tanya aja,” luah Mike rendah.
“Mike, sejak kita di sekolah rendah aku suka kawan dengan
kau. Dah lama kita kawan baik. Aku tak tahu apa akan jadi kalau aku kena pindah
tempat lain,” ujar Lamia sedikit sugul.
“Aku pun.”
“Aku sayangkan kau. Kau sahabat baik aku. Kau selalu
tolong aku.” Lamia berkata tanpa memandang Mike. Mike diam. Dia juga sayangkan
Lamia. Hanya Lamia gadis yang suci hati kepadanya.
“Kalau pak cik kau nak datang ambil kau, kita lari dari
sini. Aku ada duit simpanan. Kita tak akan mati tak makan,” ucap Mike seketika
kemudian.
“Nanti mama kau nangis.”
“Sekali-sekala kita call famili kita,” ucap Mike pula.
Namun Lamia menggeleng. Tindakan itu tidak pernah difikirkannya walaupun dia
rasa mahu lari sahaja dari semua ini. Tetapi nanti bagaimana dengan ibunya?
Bagaimana dia mahu meneruskan hidup tanpa kasih sayang ibu angkatnya itu?
Entahlah. Lamia tidak tahu.
BAB
3
SURAT peguam yang diterima oleh Naela membuatkan dia mula rasa
resah. Seharusnya Hamsan tidak berbuat begitu. Kerana Lamia anak angkatnya yang
diiktiraf oleh undang-undang. Jadi, bagaimana pula surat peguam ini boleh
sampai kepadanya? Dia tidak tahu benar tentang semua itu.
Naela duduk di kerusi meja makan sambil menggaru kepala.
Hamsan itu banyak wang. Dia apa yang ada untuk berlawan di mahkamah? Hidup pun
cukup-cukup makan saja.
“Hamsan... kenapalah kau kejam benar pada kami?” ucap
Naela sendirian. Sedih memikirkan masalah yang datang ini. Dia tidak tahu apa
yang perlu dibuat.
Naela bangkit mendapatkan telefon rumahnya. Dia mendail
nombor teman sekerjanya. Lekas sahaja panggilannya berjawab.
“Jah, aku nak cakap sikit ni.”
“Apa dia, Neala? Anak kau sakit ke?”
“Tidak. Bukan itu... emm... aku ada masalah besar ni.”
“Cakaplah,” balas Khadijah di hujung sana.
“Pak cik Mia nak tuntut hak penjagaan dari aku. Siap
pasang lawyer bagai. Apa patut aku buat, Jah?” luah Naela bersungguh.
“Dah buang tebiat ke apa??? Bukan ke dia orang dulu tak
mahukan si Mia ke???” nada Khadijah meninggi serta merta.
“Itulah pasalnya. Aku risau ni. Aku ni bukan pandai
sangat. Nak minta nasihat dari siapa?”
“Bukan ke si Mia tu dah besar? Dia ada hak memilih untuk
tinggal dengan siapa yang dia mahu. Naela, kau lawan aja dia. Dia pasang
lawyer, kau pun pasang lawyer. Kita semua ada bukti yang dulu dia hantar si Mia
ke rumah anak yatim, Naela. Apa yang kau nak risau?”
“Tapi mana aku nak cari duit, Jah?”
“Kita cari! Minta derma ke apa, aku tak kisah. Yang
penting kau jangan serahkan budak tu pada pak cik dia yang tamak haloba tu!”
ujar Khadijah tegas. Naela diam seketika memikirkan kata-kata Khadjah.
“Aku rasa aku nak bincang semula dengan pak long si Mia
ni. Aku syak ada sesuatu yang nakkan dari Mia.”
“Kau ajak aku. Aku tak mahu nanti dia senang-senang aja
kelentong kau. Kalau dia banyak cakap, tahulah aku smash otak berkarat dia tu
nanti.”
“Yalah. Terima kasih, Jah. Aku dah tak tahu nak luah kat
siapa masalah aku,” ucap Naela.
“Patut pun kau cakap dengan aku. Jangan simpan seorang
masalah macam ni. Naela, kau patut tahu sesuatu. Dalam undang-undang syarie,
anak yang sudah mumaiyez kanak-kanak tu diberikan hak untuk memilih tinggal dengan
siapa. Lagipun, dalam bahagian hadhanah, keutamaan diberikan kepada sebelah
ibu.”
“Tapi aku ni ibu angkat je, Jah.”
“Ya. Aku tahu tu. Tapi mahkamah bukannya buat keputusan
membuta tuli. Mahkamah akan ikut mana yang lebih baik untuk anak tu. itu sebab
aku kata, kita lawan. Jangan menyerah macam tu aja. Kita usahakan duitnya. Aku
janji aku akan bantu, Naela.” Khadijah menjawab bersungguh.
“Aku ada duit simpanan. Tapi itu aku simpan untuk Mia.
Mana tahu dia masuk universiti nanti.”
“Naela, kau sepatutnya tuntut duit pusaka arwah bapak Mia
tu. Jangan biarkan diaorang makan duit tu. Sekurang-kurangnya kau buatlah demi
Mia. Itu hak dia.”
Naela menghela nafas perlahan. Bukannya dia tidak pernah
bercakap tentang itu. tetapi dia dikatakan orang luar. Tidak berhak campur
tangan.
“Aku nak ajak Mia balik ke kampung arwah ayah dia.”
“Kau nak aku hantarkan?” tanya Khadijah. Masakan dua
beranak itu hendak dibiarkan naik motor. Naela bukannya ada kereta.
“Boleh juga, Jah.”
“Bila?”
“Sabtu ni...”
“Okay. Awal pagi kita pergi. kau jangan banyak fikir.
Jaga kesihatan.”
“Terima kasih banyak, Jah.”
Usai berbual dengan Khadijah, Naela termenung sendiri.
Harapan yang terakhir, dia harap Hamsan akan sudi bertolak ansur nanti.
BERDEBAR dada Lamia. Kali terakhir dia menjejakkan kaki ke
kampung halaman arwah ayahnya ketika dia berusia 3 tahun. Dia tidak ingat
langsung semua itu. Namun dia terpegun melihat rumah banglo mewah di milik pak
ciknya.
Terkejut. Namun Hamsan tetap menerima kedatangan tiga
tetamu itu.
“Mia, dah besar sekarang ya? Ingat mak long tak?” tegur
Maria, isteri kepada Hamsan. Masam kelat wajah Lamia saat didakap wanita itu.
“Ada apa datang ke sini? Nak bincang apa?” tanya Hamsan
biasa.
“Pasal tuntutan yang abang buat tu.”
“Keputusan aku dah bulat. Mia ni anak saudara aku. Aku
lebih berhak kepada dia.”
Wajah Lamia berubah sedikit. Namun dia tunduk tidak mampu
memandang semua orang di ruang tamu itu.
“Kenapa baru sekarang abang nak jaga dia?”
Hamsan diam seketika sambil menghela nafas perlahan.
“Perbuatan abang ni akan menyusahkan dia. Mia tak mahu
tukar sekolah. Dia dah biasa dengan kawan-kawan di sekolah sana. Apa sebenarnya
yang abang cuba buat?”
“Kami ni cuma nak merapatkan silaturrahim, Naela. Dah
cukup lama terpisah.” Maria menyampuk sambil menatang minuman buat
tetamu-tetamunya itu.
“Perlu ke sampai begini, bang? Takkan tak ada cara lain?
Mia tak mahu tinggal di sini. Abang pun ada anak lelaki. Dah tentu Mia tak
selesa nanti. Anak-anak lelaki abang bukan mahram dengan Mia. Cubalah fikir
panjang.”
“Amal sikit lagi nak ke luar negara. Apa nak takut?”
“Lepas dia balik nanti, macam mana? Tu yang bongsu tu
pondan ke apa?” tingkah Khadijah pantas. Wajah Hamsan berubah sedikit dengan
bahasa tetamunya itu.
“Tu semua pandailah aku uruskan nanti!” bentak Hamsan
mula berang.
“Ke ada udang di sebalik mi? Takkan tiba-tiba berminat
sangat nak jaga Mia?” ujar Khadijah selamba.
“Itu urusan keluarga aku. Kau dengan Naela tak ada hak
nak masuk campur.”
“Abang Asan... beginilah ya? Kalau tak ada tolak ansur
antara kita sekarang, saya setuju hal ini dibawa ke mahkamah. Bergolok bergadai
pun tak apalah asalkan saya usaha pertahankan Mia. Tapi jangan lupa ya, bang.
Saya masih kenal lagi dengan Hajah Habibah. Abang ingat lagi tak dia tu siapa?
dia yang ambil Mia dari abang. Dia pun mesti masih ingat abang. Jangan sampai
abang malu bila pekung dibuka semula nanti.”
“Itu semua cerita dulu! kalau aku tak insaf, takkanlah
aku nak ambil balik dia!”
“Hakikatnya kita sama-sama tahu, cukup umur budak ni dah
boleh tuntut hak dia dari pentadbir harta. Nilai 300 ribu tu banyak tau, bang.
Itu belum masuk sebelah arwah mak dia lagi. Selama ni dia hidup susah dengan
saya. Sikit pun abang tak pernah ambil tahu khabar dia. Macam mana dia sekolah.
Makan ke tidak. Ada berganti baju ke tidak. Siapa yang dipertanggungjawabkan
menyediakan nafkah untuk dia???” balas Naela ikut tegas. Hamsan terdiam sambil
meraup dagunya.
“Duit tu ada dengan aku. bila dia nak kahwin nanti, aku
bagilah semua.”
“Apa hal pulak tunggu dia nak kahwin baru nak bagi? Umur
18 tahun dia dah boleh dapat hak dia. kalau dia masuk universiti, dari mana
duit pembiayaannya? Tunggu jatuh dari langit?” tempelak Khadijah pula.
“Saya nak tengok bukti yang duit tu ada.”
“Tunggu...” ucap Hamsan lantas bangun. Lamia sekadar
memandang pemergian lelaki itu.
Seketika kemudian Hamsan datang dengan satu buku bank.
“Nah! Ni bukti duit tu masih ada.”
Naela mencapai buku itu. lama dia membaca penyata di
dalamnya. Namun keningnya berkerut.
“Sini tulis duit ni dipindahkan ke dalam akaun ni minggu
lepas?” ujar Naela.
“Itu semua kau tak payah ambil tahu. Yang penting duit tu
ada!” balas Hamsan selamba.
“Saya tak percaya! Saya tahu ada yang tak kena,” ucap
Naela serius.
“Beginilah, Naela. Kau nak percaya ke tidak, itu kau
punya pasal. Budak ni... kalau dia tak mahu duduk dengan aku, jangan harap
sesen pun aku akan bagi pada dia.”
Berubah wajah Naela mendengar itu. “Itu hak dia, bang!
Abang tak boleh sesuka hati meletakkan syarat begini. Saya sudah cakap tadi...”
“Aku pun tak mahu bazirkan duit aku untuk naik ke
mahkamah. Kalau kau setuju, aku akan batalkan tuntutan. Lagi satu... tuntutan
insuran nyawa Arwah Husam masih ada yang tertangguh sebab penamanya adalah Mia.
Aku tak boleh uruskan kalau dia tak ada. Jadi, aku nak bawa dia pergi tuntut
duit tu.”
Naela tersandar mendengar itu. “Betapalah manusia ni tak
pernah puas. Arwah Husam tinggalkan sebuah rumah teres. Abang jual. Duit tu
abang ambil begitu saja. duit pampasan tu abang tuntut. Ni duit insuran pun
abang nak. Apalah yang tinggal untuk budak ni?”
“Dia tak nak dengar cakap aku. Jadi, terimalah...” jawab
Hamsan.
“Dah aku agak...” Khadijah ketawa sinis. Naela bangkit
dari duduknya. Tidak ingin mendengar semua itu. Jadi, sebenarnya semua ini
tentang wang semata.
“Mia...” panggil Naela pantas.
“Mia nak duduk luar, bu.”
“Jangan ke mana-mana, sayang. Tunggu ibu ya?”
Lamia sekadar mengangguk. Sungguh dia sakit jiwa
memandang setiap wajah yang penuh dengan ketamakan di dalam rumah itu. Lamia
duduk di kerusi marmar. Kagum dia dengan rumah ini. satu-satunya rumah yang
paling mewah di kampung ini.
Namun sedang dia termenung sendiri, terlihat sebuah
kereta Mitsubishi Lancer masuk ke kawasan rumah itu. seorang anak muda keluar
dari kereta itu. sambil itu matanya terpasak ke arah Lamia.
“Siapa?” tegur anak muda itu setelah mendekati Lamia.
Lamia hanya memandang kosong lelaki itu.
Aqmal memandang ke arah pintu rumahnya. Ada banyak kasut
di hadapan pintu. Segera dia ke sana.
“Siapa tu, bah?”
“Lamia, anak arwah pak cu kamu.”
“Mia? Itu Mia?” ucap Aqmal amat kaget. Terus dia kembali
semula ke arah Lamia.
“Mia, ni Abang Amal. Mia tak ingat?” ucap anak muda
berusia 19 tahun itu lantas melabuhkan duduk di satu kerusi. Lamia hanya
menggeleng kosong.
“Cantik kereta? Mesti mahal, kan?”
“Hadiah dari abah. Abang dapat keputusan SPM cemerlang
sebelum ni.”
Lamia tersenyum sinis. Tiba-tiba dia bangun. Mahu segera
pergi dari semua yang menyakitkan ini. Aqmal tercengang serta merta.
“Ibu, jom kita balik.”
Naela terkejut mendengar bicara anaknya itu. “Ibu belum
habis bercakap lagi ni, Mia.”
“Mia tak mahu duduk sini. Mia tak kenal dia orang ni
siapa,” ucap Lamia lantas menarik tangan ibunya. Entah kenapa dia mahu menangis
saja.
“Kau nak pergi, pergilah. Tapi kau jangan tuntut apa-apa
dari aku, Mia. Susah macam mana pun kau nanti, kau jangan cari aku.”
Lamia hanya buat tidak dengar. Naela terpaksa menuruti
kehendak anaknya itu. namun ketika di dalam kereta, Lamia menangis
semahu-mahunya saat terkenang bertahun-tahun ini dia dan ibunya hidup dalam
kesusahan. Ibunya berkerja bermatian untuk menyekolahkannya.
Tetapi orang lain... lulus cemerlang SPM, dihadiahkan
kereta baru!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan