BAB
22
DI mana kan kucari ganti serupa denganmu. Tak sanggupku
berpisah dan berhati patah.
“Mia pergi mana? Lima hari hilang entah ke mana, sekarang
baru balik?” tanya Aqmal setelah Lamia masuk ke dalam rumah. Lamia hanya
memandang sekilas sambil menapak menuju ke tangga.
“Mia? Abang risau. Berkali-kali abang call Mia tak jawab.
Sekurang-kurang beritahulah abang ke mana Mia pergi.”
“Tak payah risau. Mia cuma pergi jalan-jalan...” jawab
Lamia tanpa memandang lelaki itu.
“Kenapa tak beritahu abang?” tanya Aqmal sambil mengekori
isterinya naik ke atas.
“Mia bosan duduk rumah.”
“Sekarang tak perlu bertanya pada abang untuk ke
mana-mana?” ujar Aqmal lagi.
Lamia diam setelah masuk ke kamarnya. Beg tangannya
dicampak ke atas katil. Kemudian dia memandang Aqmal. Aqmal diam saat membalas
pandangan itu. Pandangan yang jelas sekali amat kosong dan tiada rasa.
“Mia nak hidup sendiri,” ucap Lamia. Aqmal terpaku
memandang wajah isterinya. Mudah sungguh Lamia mengatakan itu. Tidakkah hatinya
ini penting untuk dijaga?
“Kita tak boleh
terus hidup begini. Penat berpura-pura. Cinta tidak akan membawa kita ke
mana-mana.”
“Siapa yang berpura-pura? Mia nak hubungan ni bawa Mia ke
mana? Cakap dengan abang!” balas Aqmal.
“Mia yang berpura-pura. Maafkan Mia, abang. Mia tak mampu
pandang abang setelah apa yang berlaku. Kita tak akan mampu terlepas dari semua
cerita lama tu. Jadi, biarlah Mia tentukan hidup sendiri.”
Aqmal diam mendengar bicara isterinya itu. Tunduk. Sungguh
kekuatannya tidak tahu sudah hilang ke mana. Penghinaan yang teramat sadis
diterimanya. Lamia meminta izin untuk meninggalkannya. Sudah jatuh ditimpa
tangga, beginilah hidupnya. Kehancuran hidupnya sudah bermula.
“Mia rasa hidup Mia akan lebih baik tanpa abang?”
“Perempuan ni jahat sangat. Kenapa abang peduli? Daripada
kita terus saling menyakiti, lebih baik kita berpisah,” balas Lamia.
“Abang sedang berusaha untuk kembalikan apa yang
sepatutnya jadi hak Mia. Berilah abang peluang, Mia.”
“Mia ada cita-cita. Sebetulnya ini semua bukan sebahagian
dari impian Mia. Mia tak ingin jadi Lamia yang dulu. Mia tak pernah terdesak
untuk dikasihani orang setelah apa yang Mia lakukan pada abang. Matlamat utama
kita kepada perkahwinan ni tak sama.”
Aqmal cuba berkata sesuatu. Namun lidahnya kelu. Dia menjauhi
Lamia. Berdiri di jendela memandang ke luar. Lama sekali pandangannya tertusuk
ke sana. Namun fikirannya melayang entah di mana.
Mengapa kesilapan yang dilakukan oleh ayahnya telah
dihimpun lalu diletakkan di atas bahunya kini. Dia yang paling banyak menahan
sakitnya. Mengapa? Sedangkan dia terlalu sayangkan Lamia. Tiada ertikah semua
itu?
Seketika kemudian Aqmal menoleh, mencari wajah isteri
yang paling disayanginya itu. Tetapi memandang wajah itu, dia sedar tiada apa
yang dapat menahan langkah Lamia. Tidak juga kasih sayangnya yang melaut selama
ini. Aqmal berdiam. Terus berdiam sehingga bayang Lamia menghilang dari
mahligai mereka ini. Lamia membawa pergi kereta kesayangannya.
Rahang dikertap erat tatkala dadanya dihukum rasa sebak
yang amat sangat. Tidak. Dia tidak ingin membiarkan air mata lelakinya jatuh
demi cinta. Tetapi sakitnya seperti tidak tertahan. Terperuk dia sendiri
menawar luka di hatinya. Mimpikah dia? Semua ini tidak terbayang olehnya ketika
dia menyambut ijab kabul dahulu.
‘Mia, kenapa kita sampai jadi begini? Apa salah abang, Mia?’
bisik hati Aqmal. Begitu mudah Lamia pergi dari hidupnya. Puncak kebahagian
yang pernah dirasainya dahulu telah berakhir.
“Bangkitlah, Aqmal. Jangan kau rebah demi cubaan ini. Hidup
mesti diteruskan. Meratap bagaimana pun dia tak akan kembali lagi,” bisik
bibirnya sendiri. Siapa lagi yang hendak diharapkan untuk memujuk diri sendiri?
Tetapi saat dia memandang sekeliling, rumah yang pernah
menjadi singgahsana bahagia antara dia dan Lamia, kini menjadi sarang duka yang
paling memeritkan. Sehingga dia merasa tidak bermaya sekali.
Kalaulah termampu, ingin dicampakkan rasa cinta yang
menyakitkan di dadanya ini. Kalaulah dia termampu!
“IBU minta maaf, Mal.”
Aqmal hanya diam memandang ke arah luar pagar rumah itu.
Ucapan maaf itu tidak mampu menawarkan setiap cebis rasa yang menyakitkan di
hatinya ini. Ironisnya, biar sekejam mana Lamia kepadanya, hatinya terus
mendamba, merindukan isterinya. Bodohkah dia?
“Dia dah nekad tak mahu hidup dengan saya lagi, bu.”
“Berilah dia masa.”
Aqmal memandang ibu angkat Lamia itu. “Saya tak pernah
memaksa dia. Saya beri dia ruang untuk buat pilihan. Tetapi dia pilih untuk
datang dan pergi dari hidup saya begitu saja.”
Naela tunduk mendengar bicara Aqmal. Rasa bersalah kian
melaut. Kesal dan marah dengan Lamia bergaung menjadi satu. Sudah dua minggu
berlalu. Lamia tidak tahu di mana. Simpati melihat Aqmal, hidup serba tidak
kena. Tercari-cari di mana Lamia berada.
Aqmal tunduk meraup rambutnya. Tidak tahu apa hendak
dibuat dengan hidupnya ini.
“Saya balik dulu, bu.”
“Aqmal, jagalah diri baik-baik. Bersabarlah. Ibu tahu
kamu lelaki yang baik. Terbaik untuk Lamia.”
“Tapi dia tak rasa begitu,” jawab Aqmal lantas bangkit.
Naela mengertap bibir menahan duka mendengar jawapan Aqmal.
“Ibu, saya hanya seorang lelaki yang menyayangi perempuan
yang ditakdirkan untuk saya. saya reda sekiranya Tuhan menentukan semuanya
terhenti sehingga di sini. saya dah kehilangan segala-galanya, bu. Tapi saya
tak pernah kesal kerana menyayangi Lamia.”
Setelah itu Aqmal memandu pergi dari rumah Naela. Namun tidak
terus pulang ke rumah. Dia memakirkan kereta di restoran, tempat Mike dan Lamia
selalu duduk berdua. Duduk di dalam kereta memandang ke arah meja yang sama
pernah dia lihat Lamia dahulu. Meja itu kosong. Namun ruang matanya sentiasa
terbayang-bayangkan gelak tawa Lamia dan Mike di situ. Tanpa sedar pandangannya
kian sayu.
“Di mana kan ku cari ganti...” bisik Aqmal sendirian. Kekuatannya
untuk tabah seperti telah direntap semuanya. Bukan mudah rupanya untuk
menawarkan kesedihan setelah diuji dengan kehilangan.
Aqmal menghela nafas panjang. Mungkin inilah yang dirasai
Lamia selama bertahun-tahun ini. Ironisnya, biar sebesar mana pengorbanan yang telah
dipertaruhkan untuk menyayangi Lamia, dialah kini yang telah jauh ditinggalkan.
Dialah lelaki itu!
X tau nak cakap apa..
BalasPadamπ’π’π’
π’π
BalasPadam