BAB
4
“APEK...” panggil Lamia kepada sahabat karibnya itu.
Mike yang sedang ralit memilih buku menoleh. “Apa?”
“Kau baca apa tu? lamanya kau tenung buku tu?”
“Macam best aja ni. Aku nak belilah,” ucap Mike sambil
menayang muka hadapan buku itu. Lamia mengambilnya. Ikut membaca tulisan di
belakang. Kemudian dia mengangguk setuju.
“Kau beli nanti aku pinjam ya?”
Mike ketawa. Sudah tahu benar itu. Namun dia tidak kisah
berkongsi buku dengan Lamia. Sama-sama mengutip ilmu yang ada.
“Aku tunggu kau kat depan kolej sanalah ya? Aku bosan kat
sini. Tak ada apa nak beli,” ujar Lamia sambil memandang sekeliling.
“Okay. Bagi aku setengah jam. Nanti aku datang sana,”
ujar Mike lembut.
Lamia segera keluar dari kedai buku Popular itu. Laju
kakinya mencari askulator. Sebetulnya dia merasa sejuk dengan kedinginan
penghawa dingin di dalam pusat membeli belah ini. Dia berjalan sendirian di
celahan orang ramai. Namun ketika berdiri di laluan pejalan kaki di hadapan
kolej swasta tersebut, Lamia terlihat kelibat seseorang sedang membuka pintu
kereta. Dia pernah melihat lelaki itu sebelum ini. Dan gambaran kereta itu juga
masih melekap erat dalam benaknya.
Lamia terpaku sedetik dua sebelum lelaki itu ikut
terpandang kepadanya. Cepat-cepat dia berjalan ke arah jejantas terdekat
bersama pejalan kaki yang lain.
“Mia...”
Lamia pura-pura tidak dengar sambil menghadap ke arah
bawah sana. Lebih senang memerhatikan kederaan lalulintas di bawah itu. Senang
membiarkan Aqmal terjerit-jerit melawan bunyi kesibukan motokar.
“Mia... ini abang,” ujar suara di belakangnya itu. Lamia
berpaling serta merta. Terpandangkan lelaki itu, dia segera tersenyum ceria.
“Abang Amal?”
Aqmal kaget pula. Matanya sempat memandang dari atas ke
bawah. Cantik Lamia. Lebih cantik daripada ada dalam bayangannya. Paling indah
sudah tentulah lesung pipit yang terbentuk setiap kali Lamia menggerakkan
bibirnya. Unik!
“Mia buat apa di sini?” tanya Aqmal sambil mendekat.
“Jalan dengan kawan. Abang Amal belajar kat sini ke?”
Lamia buat-buat ramah.
“Sekejap aja. Abang ambil kursus Bahasa Inggeris sebelum
ke luar negara.”
“Oh...” Lamia senyum kelat. Bertuahlah Aqmal. Dihantar
kursus BI saja pun di kolej swasta. Belajar di luar negara pula nanti.
Beruntung sungguh. Dia hanya mampu berangan untuk menjalani hidup seperti
Aqmal.
"Abang sambung study di mana nanti?" tanya
Lamia.
"England."
"Oh..." Lamia sekadar mengangguk sedikit.
“Abang betul-betul tak sangka ni, Mia. Abang ingat abang
salah orang tadi,” ujar Aqmal lagi. Bibirnya mekar tersenyum tanda hatinya
sedang berbunga bahagia.
“Mia ikut kawan pergi kedai buku. Beli peralatan
sekolah.”
Aqmal mengangguk sambil terus merenung gadis itu. “Abang
menyewa di rumah atas tu. Dekat aja,” ucap Aqmal lantas menunding sebuah
kawasan apartment seberang flyover itu.
“Mia tinggal di Sungai Way.”
“Naik bas ke datang sini?” tanya Aqmal lembut.
“Mia tak ada kereta cantik macam kereta abang,” ujar
Lamia lantas ketawa kecil. Aqmal ikut ketawa.
“Nak abang hantarkan balik?” tanya Aqmal lagi.
Namun Lamia pantas menggeleng. Dia tidak suka menyusahkan
hidup orang yang dia tidak kenal. Naik bas, itu sudah biasa untuk orang susah
sepertinya.
“Bila abang pergi sana?” tanya Lamia sekadar hendak
mengisi suasana perbualan.
“Lagi tiga bulan. Abang study di Manchester nanti,” ujar
Aqmal dengan senyum bangga.
Lamia senyum hambar. Sabar, Mia. Kesusahan ini hanya
sementara, bisik hatinya sendiri.
“Tahniah, bang. Bukan semua orang dapat peluang macam
ni.” Lamia membalas dalam rasa hati yang tidak menentu. Cemburu? Ya. dia
cemburu. Aqmal dan adik beradiknya hidup senang. Dia pula hidup terbuang.
Aqmal mengangguk sedikit sebelum tersenyum kepada Lamia.
“Macam mana abang nak jumpa Mia nanti?”
Lamia menggeleng sedikit. “Kita tak perlu selalu berjumpa.”
“Tapi kenapa? Mia kecil hati dengan ayah abang?” tanya
Aqmal lantas semakin mendekati gadis itu.
Lamia diam merenung tampang lelaki itu.
“Mia, tu semua kisah dulu. Sekarang Mia pun dah besar,”
ujar Aqmal.
Rasa mahu ketawa Lamia mendengar bicara Aqmal.
Seolah-olah tidak mengapa melayaninya seperti ini.
“Mia malas nak fikir pasal tu semua. Maksud Mia tadi, tak
selalu Mia dapat keluar rumah macam ni. Ibu tak bagi,” ujar Lamia lembut.
“Mia, satu-satunya sepupu yang abang jarang jumpa, Mialah
orangnya. Keadaan kita tak seharusnya begini.”
Lamia sekadar senyum sedikit. Tidak teruja langsung
hendak berbaik-baik dengan Aqmal seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Dia rasa
aneh.
“Mia, boleh abang call Mia?”
“Mia tak ada telefon bimbit.”
“Abang boleh belikan. Nak tak?” ucap Aqmal bersungguh.
“Tak nak. Nanti ibu marah Mia layan orang yang Mia tak
kenal,” ucap Lamia membuatkan wajah Aqmal berubah.
“Tapi abang ni sepupu Mia. Ibu Mia pun kenal abang, kan?”
Lamia tidak menjawab. Kebetulan pula Lamia ternampak Mike
sedang berjalan ke arahnya.
“Mia, abang bersungguh ni.”
“Kawan Mia dah sampai. Mia pergi dulu?” ucap Lamia tanpa
mempedulikan kehendak Aqmal.
Aqmal sekadar terkumpal-kumpal memandang Lamia melambai
seseorang. Dia ikut melihat siapa. Riak wajahnya sedikit berubah melihat
seorang remaja lelaki berdiri tidak jauh dari mereka. Entah kenapa ada rasa
tidak senang menampar dada.
“Teman lelaki Mia?”
“Dia bestfriend
Mia. Mia masih sekolah, abang. Mia pergi dulu,” ucap Lamia tanpa memandang
Aqmal lagi.
Namun Aqmal sekadar memandang pemergian gadis itu tanpa
melakukan apa-apa.
“Siapa tu, Mia?”
“Sepupu aku,” jawab Lamia selamba.
“Kau kenal sepupu kau?”
“Aku jumpa dia waktu ke rumah pak long aku dulu,” ujar
Lamia perlahan.
“Oh... dia dah besar ya?”
“Mestilah. Dia lebih tua dari kita,” jawab Lamia lantas
ketawa. Mike ikut ketawa. Tidak sedar apa yang diucapkannya tadi.
“Sekarang kau dah ada sepupu. Maknanya kau dah tak
seorang lagi macam dulu.”
Lamia mencebik pula. “Dia bukan sesiapa pada aku.
Keluarga dia dah buang aku. Aku tak rasa aku layak mengaku dia tu saudara aku,”
jawab Lamia seolah-olah tiada berperasaan. Mike terdiam pula. Dia perasan,
ketika mengucapkan bicara itu, Lamia seolah-olah tidak sedih langsung.
Dalam pada Mike berdiam, hati Lamia berkata-kata sendiri.
Suatu hari nanti, dia kembali untuk mengambil semula haknya.
TIGA tahun kemudian. Puas turun naik pejabat syarikat insuran
untuk menuntut hak Lamia. Disorong ke sana kemari oleh syarikat insuran dengan
segala macam dokumen yang diminta, akhirnya penantian mereka berakhir juga
setelah Lamia berusia 18 tahun. Mereka dipanggil untuk menerima wang pampasan.
“Silakan duduk sementara saya buat semakan,” ucap wanita
itu kepada dua wanita itu. Lamia sekadar mengangguk. Naela memandang
sekeliling. Baru pertama kali menjejakkan kaki ke sini.
“Bu, kita ni macam orang yang nak minta bantuan kewangan
pulak,” ucap Lamia perlahan. Rasa aneh berada di sini. Naela ketawa kecil
lantas menepuk paha anaknya. Perhatian dua beranak itu terpusat semula kepada
wanita tadi. Wanita itu tersenyum sambil melabuhkan duduk di sofa berdekatan
dengan mereka.
“Mengikut rekod, pihak HQ sudah beberapa kali memberi
surat berkenaan dengan pampasan yang seharusnya dibayar oleh pihak kami. Malah
ada orang lain juga pernah datang untuk membuat tuntutan. Tetapi kami tak boleh
beri cek kepada dia memandangkan dia bukan penama. Ketika pemilik akaun ini
meninggal dunia, cik masih di bawah umur. Betul?”
“Saya baru tiga tahun waktu tu,” jawab Lamia.
“Dah lama sangat.” Puan Zarina menjawab perlahan.
“Kami pernah minta penuntut yang sebelum ini datang
bersama Cik Lamia. Tapi dia gagal berbuat begitu. Tapi tak apalah. Arwah Husam
bin Zainuddin mengambil beberapa pelan perlindungan iaitu perlindungan hayat,
persaraan dan pelan pendidikan untuk anaklah. Untuk pelan perlindungan hayat, ini
cover sekali dengan ibu cik Lamia. Kami membayar penuh mengikut nilai premium.
Tetapi Encik Husam memilih insurans dari syarikat ini kerana kelebihan kami,
pampasan melibatkan kematian akan dibayar dua kali ganda.”
Lamia ternganga. Tidak faham apa pun yang diucapkan oleh
wanita itu. Dua kali ganda bermakna banyaklah tu, kan?
“Cik boleh semak penyata di sini. Tuntutan cik kami akan
bayar sebanyak tiga kali.”
Lamia mengambil helaian kertas yang diberikan oleh wanita
itu. semuanya bertulis dalam Bahasa Inggeris. Banyak nombor-nombor yang tidak
difahaminya.
“Jadi di sini nilai pampasan yang kami akan berikan
secara keseluruhan adalah 830 ribu ringgit. Dan bayaran pertama berbentuk cek
yang kami akan bayar hari ini adalah sebanyak 210 ribu. Selebihnya akan
dipindahkan ke dalam akaun Cik Lamia secara berperingkat.”
“Banyak tu...” ucap Lamia agak terkejut. Puan Zarina
ketawa kecil.
“Arwah ayah Cik Lamia sudah menjadi pelanggan kami selama
15 tahun. Dah tentulah banyak,” ujar wanita itu lembut.
Lamia berpandangan dengan ibu angkatnya. Naela tersenyum
sambil mengusap bahunya. Syukur kepada Tuhan. Ringan sedikit bebannya. Arwah
Husam yang dikenalinya memang rajin menyimpan. Macam sudah tahu nyawanya tidak
akan panjang.
“Simpan duit tu, Mia. Jangan memboros. Tu untuk masa
depan Mia. Tak lama lagi Mia nak masuk unversiti. Perlu banyak duit,” ujar
Naela setelah mereka meninggalkan pejabat insuran itu.
“Mia nak ajak ibu pergi makan yang sedap-sedap. Boleh,
kan?”
“Boleh, sayang. Apa salahnya?” jawab Naela lembut.
Ketika mereka tiba di rumah, mereka terkejut melihat
Hamsan sedang menunggu di dalam kereta. Lamia sempat berpandangan dengan ibu
angkatnya. Lelaki itu terus keluar dari kereta.
“Berapa dapat duit insuran tu?”
“Macam mana pak long tahu?”
“Ejen insuran yang berurusan dengan Husam dulu call aku.
Duit tu kena bahagikan ikut faraid.”
Lamia ketawa kecil.
“Kalau saya tak mahu? Pak cik nak failkan tuntutan di
mahkamah ke?” cabar Lamia.
Berubah wajah Hamsan mendengar itu. “Aku ni pak long kau.
Ikut hukum aku berhak separuh dari duit tu.”
“Ya...” Lamia melepaskan genggaman tangan Naela
kepadanya.
“Sebelum ini saya sudah membuat semakan dengan majikan
arwah ayah dan mak. Selepas kematian arwah ayah, kilang tempat ayah berkerja
membayar pampasan sebanyak 320 ribu. Itu tidak termasuk insuran dan perkeso.
Duit simpanan KWSP tak tahu apa cerita. Saya belum ada kesempatan untuk pergi
ke pejabat KWSP. Tetapi jumlah semua yang dibayar oleh majikan, insuran dan
perkeso sebagai pampasan lebih banyak dari apa yang saya dapat dari syarikat
insuran. Mana sebahagian duit tu? pak cik bukan pemilik duit tu. pak cik Cuma
pentadbir harta bagi pihak saya,” ujar Lamia serius. Hamsan terdiam.
“Jadi, bagaimana? Kita teruskan ke mahkamah atau macam
mana?” cabar Lamia dalam lagak selamba.
Hamsan mendengus sebelum menunding ke arah Lamia. “Kau
memang anak saudara yang tak mengenang budi!”
Lamia ketawa kecil saat lelaki itu tergopoh-gapah kembali
ke keretanya. Naela hanya bungkam. Tidak sangka anaknya seberani itu kepada bapa
saudaranya.
“Tamak!” desis Naela perlahan.
“Ibu jangan risau. Dia tak boleh apa-apakan kita. Mia
tahu, duit Mia pada dia tu sebenarnya dah tak ada.”
“Ibu pun rasa macam tu. Ibu tak sangka dia macam tu.
Dengan anak saudara sendiri pun dia buat macam ni. Besar beban menanggung bila
kita makan harta anak yatim,” ujar Naela sambil membuka pintu pagar rumah. Kesal
dengan sikap sesetengah manusia yang tamak tanpa peduli halal dan haram.
BAB
5
TENANG jiwa setelah diterima masuk ke sebuah universiti awam
tempatan. Banyak persediaan yang terpaksa dibuatnya. Termasuklah mengambil
lesen memandu. Terketar-ketar memegang stereng buat pertama kali. Kata ibunya,
semua itu ada gunanya pada masa depan.
Memang benar. Mengambil diploma dalam pengurusan perniagaan
di Universiti Malaya, Lamia memilih untuk berulang alik dari rumah setiap hari.
Tetapi berulang alik menaiki bas, meletihkan dan mengambil masa yang panjang. Jadi,
Naela mencadangkan dia memiliki sebuah motor untuk kegunaan Lamia. Tetapi di
trek latihan dan di jalan raya sudah tentulah tidak sama. Emaknya tidak pernah
mengajar dia menunggang motor selama ini. Risau akan keselamatannya.
“Mari aku ajarkan kau,” ucap Mike.
“Aku takutlah, Mike. Kereta banyak.”
“Boleh. Kau jangan fikir yang bukan-bukan. Aku ajarkan.
Kalau kita jatuh, maknanya kita jatuh sama-sama.”
“Kau ni...” gerutu Lamia geram dengan bicara temannya
itu.
“Kau kena berlatih. Nanti baru kau mahir. Kau tengok
orang lain. Ramai yang bermotor pergi kerja,” ujar Mike sambil skuter itu
ditegakkan. Disuruhnya Lamia duduk di tempat kemudi.
“Ibu,” laung Lamia dari luar rumah.
“Ya.” Naela muncul di muka pintu.
“Kami nak belajar naik motor ni.”
“Bukan saya. Dia seorang aja yang nak belajar, mak cik.
Saya tukang ajarkan,” sampuk Mike membuat Naela ketawa. Lamia menampar bahu
Mike.
“Hati-hati ya?” laung Naela pula.
Lamia sekadar mengangguk sebelum dia meletak punggung di
kerusi.
“Macam mana nak masuk gear? Gear kat mana?”
“Mana ada gear. Gear automatiklah, cik kak. Bila kau nak
start motor kau kena tekan brek tangan ni. Kalau tidak kau tak boleh start.
Faham?”
Lamia mengangguk.
“Ha... sekarang kau pulas kat sini perlahan-lahan.”
Lamia akur. Motor itu bergerak ke hadapan. Mike sibuk
mengejar. Bimbang motor itu terjunam pula ke dalam longkang bersama Lamia.
“Senang, kan?”
Lamia menghentikan motor itu.
“Jom kita bawa kat jalan besar. Kau kena pandai tengok
sekeliling. Baru tak bahaya.”
Dari sekadar berjalan di sekitar kawasan rumah, mereka
sudahnya merayap lebih jauh sehingga ke lebuhraya persekutuan. Walaupun keadaan
lalulintas sesak, Lamia makin selesa mengemudikan motor itu sambil Mike duduk
di belakang. Seronoknya bukan main lagi.
“Bestnya, Mike...” jerit Lamia kesukaan.
“Senang, kan? Nanti aku boleh tumpang kau selalu,” balas
Mike ikut ceria. Lamia ketawa mendengar bicara Mike. Kemudian mereka singgah
melepak di kedai makan. Hampir setiap petang Mike akan melepak di situ. Ada
sebabnya.
“Mia, kau banyak duit sekarang. Apa kau nak buat dengan
duit tu?”
“Aku nak simpanlah.”
Mike mendecit sambil memandang skrin telefonnya. “Kau
ni... simpan duit tu bagus. Tapi lama-lama nanti kau akan ambil semula. Duit tu
akan berkurangan dan habis.”
“Habis tu kau nak suruh aku buat apa?”
“Kau percaya aku tak?”
Lambat-lambat Lamia mengangguk. Sudah mengagak sesuatu.
Bukannya dia tidak tahu Mike memang obses dengan main saham.
“Aku nak tunjuk kat kau sesuatu.”
Lamia sekadar mengangguk. Mike membuka telefon bimbitnya.
Agak lama Lamia menunggu apa yang hendak ditunjukkan Mike.
“Ini aku dapat semalam. Aku beli saham Eden. Kemudian
baru-baru ni aku jual semua,” ujar Mike lantas menunjukkan akaun banknya.
Terjegil mata Lamia memandang 120 ribu telah dimasukkan ke akaun Mike semalam.
“Mana kau dapat duit buat semua ni, Mike?”
“Aku pinjam dari papa aku. Selebihnya, duit upah yang aku
kumpul waktu aku buat kerja baiki komputer dulu.”
“Banyak juga tu...”
“See? Simpan saja tak untung lorr. Kita mesti pandai
melabur. Baru duit beranak banyak-banyak. Sini aku untung 120 ribu lepas aku
pulangkan duit papa aku. Abang aku si Steven yang ajar aku beli saham Eden ni.
Ramai orang Cina beli.”
“Steven tu walaupun suka kutuk kau kurus kering, dia nak
juga ajar kau benda-benda macam ni, kan?” ujar Lamia perlahan. Abang sulung
Mike itu, tidak sekolah tinggi. Tetapi sudah berjaya membuka kedai aksesori
kereta.
“Abang aku kata, kita mesti pandai cari duit.”
“Betullah tu cakap dia.”
“Kalau kau takut tak untung, kau modal sikit dulu. Kau
percaya aku tak?”
Agak lambat Lamia mengangguk. Siapa tak mahu duit???
“Tapi sikit tu berapa?”
“Minimum kau kena beli seribu unit saham. Kita kena beli
cepat. Eden naikkan macam-macam projek di Langkawi. Aku jangka harga saham dia
akan naik juga nanti. Tapi kau jangan pandai-pandai buat sendiri tau. Nanti kau
kena tipu.”
Lamia mengangguk. “Pandailah kau, Mike.”
“Aku memang genius semenjak dulu. Kau aja yang tak suka
mengaku.”
Lamia mencebik sedikit. Namun kemudian dia ketawa pula
melihat Mike memandang ke satu arah.
“Apek, sampai bila mahu tenung saja?” tegur Lamia. Mike
seperti tidak mendengar bicara Lamia. Dia memandang pemergian gadis itu
sehingga lenyap dari pandangan matanya.
“Kau tegurlah dia. hari-hari kau duduk dalam kedai ni
tunggu dia habis kelas, apa kau dapat?” ucap Lamia lagi. Dia dapat tahu,
Jennifer sudah memulakan pengajian A Level di sebuah kolej swasta dekat dengan
tempat mereka duduk sekarang.
“Tak mahulah. Dia dah ada boyfriend. Sebelum ni aku nampak
seorang lelaki jemput dia lepas dia habis kelas. Lelaki tu kaya.”
“Kau pun kaya.”
“Aku tak ada kereta mewah. Lelaki tu ada,” jawab Mike
perlahan. Semenjak dari zaman sekolah dia meminati gadis sebangsa dengannya.
Tetapi Jennifer tidak pernah memandangnya.
“Kau tu rendah diri tak tentu pasal.”
“Aku tahu dia tak suka aku. Dulu dia tak pernah tegur
aku,” ujar Mike selamba.
“Macamlah kau selalu tegur dia. Kau pun malu nak tegur
dia, kan?”
Mike ketawa serta merta. “Kau ni Mia... suka salahkan
aku.”
“Yalah. Dia perempuan. Manalah dia tahu ada berapa ramai
lelaki yang sukakan dia,” jawab Lamia selamba.
“Aku kawan dengan kau ajalah. Kau pun cantik juga.”
“Eee... tak kuasa aku, Mike.”
Mike ketawa lagi. “Ah! Aku muda lagi. Aku nak cari duit
banyak-banyak. Nak bagi mama dengan papa aku kaya.”
Lamia tersenyum mendengar itu. “Aku dah lama tak jumpa
mama kau, Mike.”
“Mama aku ada di rumah tu. Nanti aku bawa kau ke rumah
aku. Mama aku mesti suka,” ujar Mike lantas menyeringai.
Lamia mengangguk. Dari keluarga Mike banyak makanan kaum
Cina yang sudah dirasanya. Sesungguhnya selama ini dia merasa bertuah mengenali
seluruh keluarga Mike. Semuanya melayaninya cukup baik.
“Jomlah balik. Aku dah dapat tengok Jeni. Lega hati aku
ni,” ucap Mike lantas melambai pelayan.
“Tak habis-habis mengintai si Jeni tu,” ucap Lamia
perlahan.
Ketika mereka berdiri di tepi motor, Lamia tidak perasan
sebuah kereta berhenti dekat dengannya. Dia hanya tersedar saat seorang lelaki
melaung namanya sambil mendekat.
“Mia?”
Lamia kaget. Aqmal??? Begitu juga Mike. Dia tercengang
memandang lelaki Melayu yang mendekat itu.
“Ini abang. Mia ingat lagi?”
“Err... ingat. Ingat. Mia ingat abang ada di UK.”
“Abang dah habis study Mia. Abang baru balik,” ucap Aqmal
lembut. Senyumannya mekar. Sudah lama dia mencari Lamia.
“Abang buat apa kat sini?”
“Lepak dengan member. Baru nak balik. Abang tinggal di
sini.”
“Oh...” Lamia mengangguk sedikit. Selebihnya dia tidak
tahu apa yang hendak dibualkan dengan Aqmal.
“Mia buat apa lepas habis sekolah dulu?”
“Mia ambul diploma di UM sekarang.”
“Alhamdulillah. Bagus. Err... macam mana abang nak
contact Mia?” tanya Aqmal sambil dia mengerling lelaki Cina yang sibuk merenung
wajahnya.
“Kenapa?” tanya Lamia sedikit tidak senang.
“Kita dah lama tak jumpa. Kenapa? Mia tak sudi nak
bersaudara dengan abang ke?”
“Mia yang tak sudi?”
“Mia... itu semua cerita dulu, kan?”
Lamia ketawa kecil. Agaknya Aqmal tidak tahu ayahnya
masih datang menuntut wang insuran arwah ayahnya dahulu.
“Mia, abang bersungguh ni. takkanlah abang nak buat tak
tahu aja sedangkan kita dekat,” ujar Aqmal separuh merayu.
“Biarlah. Selama ni pun kita buat tak tahu.”
“Abang tak pernah musuhi Mia selama ni.”
“Mia nak balik,” ucap Lamia lantas duduk di atas
motornya.
“You kawan dia?” tanya Aqmal kepada Mike pula.
“Mike... Mikheal.” Mike segera menghulurkan tangan kepada
Aqmal.
“Aqmal, sepupu Mia.”
“Saya tahu.” Mike menyeringai kepada Aqmal. Aqmal
memandang Lamia semula. Tiba-tiba dia memegang jemari Lamia di tempat kemudi.
“Mia, abang tak mahu Mia bencikan abang. Abang selalu
datang sini cari Mia. Abang harap jumpa Mia semula.”
“Mia tak benci sesiapa pun. Sorry.” Lamia segera menarik
tangannya dari sentuhan jemari Aqmal.
Aqmal menghela nafas perlahan sambil memerhatikan Lamia
mengundurkan motor keluar dari parkir.
“Kau janganlah marah dia. Aku kesian tengok muka dia,”
ucap Mike sewaktu membonceng motor Lamia.
“Diamlah, apek. Aku tak suka dia.”
“Tapi dia macam baik aja?” ujar Mike tidak peduli kepada
reaksi Lamia. Lamia diam pula. Baik. Tetapi dia bimbang, baik ada makna!
Tiba di rumah Lamia, Mike segera meminta diri. Sudah
lewat petang. Namun ketika Lamia menyorong motor masuk ke ruangan parkir,
sebuah kereta berhenti di hadapan pintu pagarnya. Betapa dia terkejut melihat kereta
itu adalah kereta Aqmal!
Aqmal keluar dari kereta lalu mendekati pagar rumah itu.
“Mia...” panggil Aqmal lembut.
“Abang ikut Mia???” tempelak Lamia mula terasa hendak
naik angin. Sakit hati entah kenapa memandang wajah lugu Aqmal.
“Abang Cuma nak tahu Mia tinggal di mana,” ujar Aqmal
lembut.
“Pak long kan tahu di mana kami tinggal?”
“Pak long tahu?” tanya Aqmal hairan. Selama ini dia
bertanya, ayahnya kata tidak tahu.
“Ya. Pak long tahu. Beberapa bulan dulu dia ada datang
sini.”
“Iya ke? Ayah abang datang untuk apa?”
Lamia hampir sahaja hendak bercerita hal yang berlaku.
Tetapi entah kenapa muncul idea spontan yang menghalang.
“Tak ada apa. Dia saja jenguk Mia,” ujar Lamia rendah.
“Oh...” Aqmal diam seketika. Aneh. Abahnya tidak mahu
beritahu yang dia ada menjenguk Lamia. Dia tidak tahu mengapa perlu berahsia.
“Mak ada ke?” tanya Aqmal pula.
“Adalah kut kat dalam tu.”
“Mia, mungkin selama ni keluarga abang tak pedulikan Mia.
Tapi abang tak macam tu Mia. Abang selalu cari Mia.”
“Untuk apa?” soal Lamia selamba.
“Apa salahnya? Abang kan sepupu Mia?” ujar Aqmal lembut.
“Pelik. Dulu tak peduli pun.”
“Dulu abang masih sekolah, Mia. Macam mana abang nak cari
Mia?” balas Aqmal tetap tenang nadanya.
“Jadi, abang nak apa dari Mia sekarang?”
Aqmal diam pula sambil merenung gadis itu. Dalam-dalam
ramai-ramai sepupunya, hanya seorang ini yang dia terjumpa setelah dewasa.
Perasaannya jadi lain.
“Sekali sekala abang nak jumpa Mia.”
“Tengoklah kalau Mia free,” ujar Lamia sekadar bersahaja.
Namun kemudian dia menoleh ke arah jalan kecil di hadapan rumahnya. Emaknya
sedang berjalan kaki sambil menjinjing beg plastik di tangan.
“Aqmal?” tegur Naela terkejut melihat kehadiran anak muda
itu.
“Mak cik,” balas Aqmal lantas tersenyum. Naela sempat
memandang anaknya.
“Macam mana tahu kami di sini?”
“Saya jumpa Mia tadi,” ujar Aqmal. Malas hendak bercerita
yang selebihnya. Biarlah Lamia sahaja yang bercerita nanti.
“Jemput masuklah,” ajak Naela.
“Tak apalah, mak cik. Dah nak maghrib. Saya nak balik ni.
Lain kali aja. Saya tinggal di SS 14. Tak jauh dari sini,” balas Aqmal sopan.
“Oh ye ke? Patutlah. Yalah. Bawa kereta elok-elok.” Naela
tersenyum lebar kepada Aqmal. Tidak sangka pula anak muda itu sudah menetap di
kota. Sangkanya Aqmal masih belajar.
“Mia, abang pergi dulu ya?”
“Pergilah...” jawab Lamia selamba. Terkeruk-keruk Aqmal
agak serba salah dengan penerimaan Lamia. Macam tidak suka dia datang ke situ.
Namun dia berlalu juga.
“Dia masih ingat Mia ya?” komen Naela setelah kereta
Aqmal berlalu.
“Hmm... dia sibuk nak ajak Mia keluar. Susah hati dia
kalau tak dapat jaga Mia ni,” ujar Lamia sambil mencebik.
“Mia ni...” Naela ketawa sambil mencubit lengan anaknya.
“Dah besar begini memanglah ramai orang lelaki yang sibuk
nak tolong ibu jaga Mia. Agaknya Aqmal pun begitu.”
“Eee... tak kuasanya. Mia tak kuasa nak layan dia,” balas
Lamia dalam nada jelik. Hutang lama masih belum berbayar. Jadi, Aqmal jangan
mimpi hendak berbaik dengannya begitu saja!
‘LAMIA...’ hati Aqmal berbisik sendiri. Sehari dua ini entah kenapa
sering dia teringat-ingat. Kaki pun macam gatal benar hendak mencari Lamia.
Hendak menatap wajah Lamia tak henti-henti, kalau boleh.
Lelaki itu menghela nafas perlahan. Canggung. Dia seakan-akan
dapat membaca Lamia tidak begitu gemar untuk didekatinya. Dia juga canggung
untuk bergaul mesra dengan Lamia begitu saja tanpa terkenang apa yang berlaku
kepada Lamia. Biarpun tidak begitu tahu, dia sedar Lamia kecil hati dengan
keluarganya.
“Apa yang patut aku buat?” ucap Aqmal seorang diri. Dia
tidak ingin Lamia terus jauh dari keluarganya. Lebih dari itu, dia tidak ingin
Lamia menjauhinya.
Aqmal bingkas bangun. Dia agak hari cuti begini Lamia ada
di rumah. Tidak peduli lagi. Sakit angaunya mesti dirawat segera. Memandu
sekitar 10 minit, Aqmal tiba di rumah Lamia. Naela yang menyambut
kedatangannya.
“Mak cik, Mia ada?”
“Mia keluar dengan Mike. Baru aja keluar,” ujar Naela.
“Oh... mak cik tak kerja hari ni?”
“Hari Ahad memang mak cik cuti.” Naela senyum lembut
kepada anak muda itu.
“Saya ingat Mia ada kat rumah.”
“Selalunya dia suka lepak di PJ State dengan Mike,” balas
Naela.
“Oh... restoran mamak tu ya?”
“Ha... dekat dengan Stanford College.”
“Oh... saya tahu kedai tu,” sambut Aqmal ceria.
“Ada apa-apa hal ke cari Mia?”
“Tak adalah. Saja aja. Ingatkan kalau dia ada, saya nak
ajak dia keluar.”
Naela mengangguk. Ringan mulutnya hendak bertanya. Macam-macam
yang dia hendak tahu. Tetapi teringat pesanan Lamia. Dia tidak boleh mengungkit
kisah lama itu depan Aqmal. Lamia tidak mahu menagih simpati.
“Kalau macam tu, saya balik dululah, mak cik.”
“Yalah...” sambut Naela.
Aqmal tersenyum sebelum kembali ke keretanya. Namun
keretanya tidak pula dihalakan ke rumah. Dia pergi ke restoran itu. sekadar
memandang dari dalam kereta, Aqmal sudah ternampak kelibat Lamia sedang
bergelak sakan dengan Mike di salah satu meja. Gembira. Entah kenapa dia tidak
sampai hati hendak menganggu keceriaan itu.
Sudahnya Aqmal sekadar memandang dari jauh. Hatinya pedih
entah kenapa. Terlalu ingin mendekati Lamia. Tetapi dia sedar, kesilapan masa
lalu keluarganya itu telah menjadi penghalang hasratnya itu. Aqmal menghela
nafas perlahan. Kereta dipandu pergi tanpa membiarkan Lamia tahu, sudah lama
dia berada di situ.
BAB
6
BERBULAN-BULAN
berlalu mereka kian sibuk dengan
urusan masing-masing. Mike dan Lamia hanya bertemu sekali-sekala. Namun kerap
juga mereka berhubung melalui talian. Lamia sibuk dengan pengajiannya. Mike
pula masih dengan minatnya. Gigih mencari bidang pelaburan yang memberi
pulangan lumayan. Tambahan pula dia turut berkongsi melabur dengan Lamia.
Haruslah dia mencari peluang yang benar-benar mampu memberikan keuntungan.
“Yihaaa!!!”
“Mak kau yihaa...” Naela termelatah akibat terkejut
mendengar jeritan Lamia dari dalam bilik.
“Mia, kenapa tu?”
Sekelip mata Lamia keluar dari kamarnya dengan telefon
bimbitnya. “Ibu, tengok ni...” ucap Lamia lantas menayang angka-angka ringgit
Malaysia yang tertera di dalam akaunnya.
“Duit apa pulak sampai 60 ribu ni?”
“Mike ajak Mia beli saham satu syarikat ni. Kami dah jual
saham tu. Mia dapat untung banyak ni lepas Mike tolak duit modal dan keuntungan
bahagian dia,” ucap Lamia bersungguh.
“Mia tak pernah cakap dengan ibu pun?”
“Mia takut ibu tak bagi,” ujar Lamia perlahan. Naela
menggeleng.
“Main saham ni semua ada risikonya, Mia. Kalau Mia cakap
dengan ibu, memang ibu tak setuju.”
“Bu, Mia tengok Mike dapat banyak untung. Sebab tu Mia
ikut.”
Naela menggeleng. “Mia masih belajar. Belajar aja. Jangan
sibuk urusan cari duit ni semua. Duit yang ada tu jangan diboroskan. Ibu takut kamu
berdua tersilap langkah. Yang dikendong nanti berciciran. Yang dikejar lesap
entah ke mana. Ada risiko main saham ni semua.”
“Ya, bu. Mia tak buat lagi.” Rendah jawapan Lamia. Risau
juga. Sebelum ini dia sudah memberi sedikit lagi modal kepada Mike untuk
membuat pelaburan lain. Bukan sedikit sebenarnya. Tetapi banyak juga. Alamat
pengsanlah emaknya kalau tahu tentang itu.
Naela menggeleng pula. Pandai-pandai sahaja dua orang sahabat
itu membuat sesuatu yang tidak pernah dia terfikir. Tetapi dia tidak hairan
dengan semua ini. Mike itu budaknya macam tahu semua hal. Entah dari mana dia
belajar, Naela pun tidak tahu.
“Bu, Mia rasakan...” baru sahaja Lamia hendak memulakan
cerita, terdengar suara orang memberi salam di hadapan pintu pagar. Lamia
segera bangun untuk melihat.
“Siapa, Mia?” tanya Naela.
“Abang Aqmal,” jawab Lamia lantas menoleh kepada ibunya.
“Ajaklah dia masuk,” ujar Naela.
“Tak payahlah.”
“Ish! Kurang-kurang pun pergilah jumpa dia di luar tu,”
ujar Naela lembut.
Lamia mendengus. Namun dia membuka juga pintu hadapan.
Aqmal tersenyum juga saat memandang kedatangan gadis itu.
“Mia, apa khabar?”
“Baik aje. Ada apa datang sini?” balas Lamia selamba.
“Abang nak ajak Mia keluar ni.”
“Nak buat apa? Mia penatlah. Esok dah ada kelas semula,”
ujar Lamia separuh merengus.
“Sekejap aja. Kita pergi makan sekitar sini,” ucap Aqmal
dalam nada penuh harap. Tanpa jawapan Lamia akur juga. Dia berpaling untuk
masuk ke dalam rumah.
“Bu, Abang Aqmal ajak keluar,” ujar Lamia tanpa sedikit
pun rasa teruja.
“Mia nak pergi ke?”
Lamia menghela nafas perlahan. Rasa terpaksa amat tebal.
Tetapi sudah tidak tahu bicara apa lagi yang hendak diluahkan agar lelaki itu
tidak lagi mencarinya.
“Pergilah kalau Mia nak pergi. Tapi balik cepat. Jangan
balik malam,” ujar Naela lembut. Lamia masuk ke dalam kamar dengan wajah tanpa
senyuman. Dia sekadar menyikat rambut dan menyapu sedikit bedak di wajah.
Seterusnya dia mencapai dompet.
“Mia pergi dulu, bu.”
Biarpun sudah berpesan, Naela tetap mengekori Lamia
keluar. Segera terpandangkan Aqmal sedang berdiri di hadapan pintu pagar
rumahnya.
“Mak cik, saya nak ajak Mia pergi makan sekejap. Boleh
ya?” kata Aqmal kepada Naela pula.
“Sekejap maknanya sebelum magrib mesti dah hantar dia
semula ya?” ujar Naela membuatkan Aqmal tersenyum. Namun dia mengangguk juga. Di
dalam kereta, Lamia bersandar sambil memandang ke luar.
“Kat sini banyak kedai Cina ya? Kat mana ada restoran
Melayu?” tanya Aqmal sambil memandang sekeliling.
“Kat bawah sana ada banyak restoran Melayu. Sini memang
tempat orang Cina berniaga. Masuk aja mana-mana simpang kat depan ni. Semuanya
jalan menuju ke tempat yang sama.”
“Oh... abang tak biasa sangat kat sini. Jalan pun tahu
sikit-sikit,” jelas Aqmal. Lamia hanya diam mendengar bicara lelaki itu.
“Sini dengan Sunway Piramid dekat, kan?”
“Dekatlah,” jawab Lamia perlahan.
“Kita ke sana?”
“Tadi kata nak singgah kat sebelah sini saja?” tekan
Lamia mula tidak senang.
“Abang nak belikan Mia phone.” Aqmal memandang gadis itu
sekilas.
“Nak buat apa? Mia tak naklah!”
“Kenapa? Senang abang nak call nanti,” ucap Aqmal lembut.
“Tak sukalah macam ni. Tadi kata nak pergi makan aja!”
“Mia, janganlah macam ni. Dahlah nak jumpa Mia susah.
Bercakap dengan abang pun, asyik nak marah aja,” ucap Aqmal dalam nada memujuk.
Lamia diam memandang ke luar kereta. Biarpun dia tidak setuju, Aqmal tetap juga
membawa dia ke Sunway Piramid.
“Jom?” ajak Aqmal setelah keretanya berjaya mendapat
tempat parkir. Lamia keluar dari kereta tanpa sepatah kata.
Aqmal memerhatikan gelagat Lamia. Bersabar sahaja dengan
angin Lamia yang tidak menentu. Dia tahu Lamia masih belum boleh menerima
kehadirannya tanpa teringat kisah lalu.
Lamia terus pegun saat Aqmal berbincang dengan jurujual
tentang telefon yang hendak dibelinya.
“Ni okay tak?”
“Manalah tahu!” jawab Lamia sedikit kasar.
“Mia suka tak?” tanya Aqmal lagi. Lamia sekadar
mengangkat bahu tanda tidak berminat.
“Ni sama macam abang punya. Nanti abang ajar macam mana
nak pakai,” ucap Aqmal lembut. Lamia diam sahaja tanpa reaksi teruja.
Usai membuat pembayaran, Aqmal mengajak Lamia singgah di
sebuah cafe kopitiam yang bertentangan dengan kedai telefon itu. Lamia terus
akur tanpa perasaan. Sesudah membuat pesanan, Aqmal membuka kotak telefon itu.
“Cuba tengok,” ucap Aqmal lantas meletakkan telefon itu
di atas meja di hadapan Lamia. Lamia mengambilnya. Lama dia memandang skrin
telefon itu. Dia tidak tahu cara hendak guna.
“Tekan sini dulu. Baru ada cahaya.”
“Lepas tu?”
“Ni kat simbol ni, Mia tolak ke tepi.”
“Oh...” Lamia merenung skrin telefon itu dengan riak
lugu. Memandang semua yang ada di permukaan skrin itu.
“Mia ada laptop?” tanya Aqmal pula.
Lamia menggeleng.
“Jadi selama ni Mia pakai siapa punya untuk buat
assigment?”
“Cyber cafe banyak.”
“Abang ada laptop. Kalau Mia nak, abang boleh bagi.
Senang untuk Mia belajar. Tak payah pergi cyber cafe lagi,” ucap Aqmal lagi.
“Tak payahlah. Mia tak suka susahkan orang.” Lamia
menjawab sambil menekan-nekan skrin telefon itu. Entah apa-apa yang keluar.
“Tak susah pun. Abang pun tak guna sangat laptop,” ujar
Aqmal lembut dengan sedikit senyuman. Lamia diam. Sebetulnya dia mendengar apa
yang diucapkan Aqmal dek kerana dia sibuk merenung skrin telefon itu.
“Macam mana hidup Mia selama ni?”
Lamia segera mengalihkan pandangan kepada Aqmal. Lelaki
itu merenungnya dengan pandangan yang cukup lembut.
“Biasa aja,” ujar Lamia lantas memandang semula skrin
telefon itu. Aqmal tiba-tiba mengeluarkan telefon dari poketnya lalu diletakkan
di atas meja. Kemudian telefon di tangan Lamia diambilnya.
“Biar abang call nombor abang. Senang abang nak save
nombor Mia,” ujar Aqmal sambil dia mendail nombor telefonnya di telefon bimbit
Lamia. Kemudian dia turut menyimpan nombor miliknya di dalam telefon Lamia.
“Dah.” Aqmal mengembalikan telefon itu kepada Lamia.
“Mia, kalau abang tanya sesuatu, boleh?” ujar Aqmal lagi.
“Apa?”
“Kenapa Mia tinggalkan rumah keluarga abang dulu?”
“Bila?”
“Waktu pertama kali kita jumpa lepas bertahun-tahun kita
tak jumpa,” tambah Aqmal.
Lamia diam seketika. Hairan. Masakan Aqmal tidak tahu apa
yang berlaku waktu itu?
“Mia gaduh dengan pak long ke?” tanya Aqmal lagi.
“Entahlah. Tak ingatlah gaduh ke apa waktu tu. Dah lama,”
ujar Lamia sekadar bersahaja. Aqmal menghela nafas perlahan. Masih tiada
jawapan tanda tanya di benaknya ini. Benarkah Lamia sudah lupa? Atau mahu
berahsia?
“Abang masih ingat waktu kita kecil dulu. Mia tinggal
dengan keluarga abang. Abang ingat abang akan ada adik lagi seorang. Tetapi
tiba-tiba aja Mia dah tak ada.”
“Waktu tu Mia dihantar ke rumah anak yatim. Kalau bukan
ibu yang kutip Mia, mungkin hidup Mia tak macam ni.”
Aqmal tunduk sedikit mendengar itu. Hatinya pedih. Dia
tahu itu semua keputusan dari ayahnya. Dan dia juga tahu, keadaan itu pastinya
melukakan Lamia.
“Abang sedih dengan apa yang berlaku, Mia.”
“Nak sedih buat apa? Mia okay aja ni,” jawab Lamia lantas
memandang ke arah lain.
“Tapi abang tahu disebabkan itu Mia macam tak suka
bercakap dengan abang,” ujar Aqmal perlahan.
Lamia hanya diam memandang ke arah lain. Fikirannya
berpusar pula kepada kenangan dulu-dulu.
“Hidup Mia dan ibu susah semenjak Mia kecil lagi. Ibu
hanya seorang operator pengeluaran di kilang. Kami hidup cukup-cukup makan.
Bertahun-tahun hidup menyewa di rumah orang. Barulah ibu dapat beli rumah
sekarang. Tak macam sesetengah orang, rumah banglo. Hidup senang. Boleh buka
kedai runcit besar ala-ala pasaraya.”
Aqmal tunduk sambil menghela nafas. Dia tahu Lamia
memaksudkan keluarganya. Setelah keluarganya senang, ayahnya tidak pernah pergi
mengambil Lamia.
“Abang faham Mia kecil hati. Kalau abang ada di tempat
Mia pun abang akan kecil hati.”
“Kecil hati?” Lamia menyampuk lantas memandang semula
wajah Aqmal. Kemudian dia ketawa kecil.
“Semua tu bukan kudis lagi pada Mia. Mia dah biasa hidup
macam ni. Mia sekadar beritahu sebab abang juga yang sibuk nak tahu,” ujar
Lamia selamba.
“Mia, kesilapan ayah abang, janganlah Mia hukum pada
abang. Abang tak tahu apa-apa tentang itu,” pujuk Aqmal.
Lamia diam tanpa jawapan. Dia mampu duduk mendengar nada
lemah gemalai Aqmal. Namun hatinya sudah keras tanpa rasa. Dia hanya
terbayangkan caci maki pak longnya kepadanya. Dia dikatakan anak saudara yang
tidak mengenang budi!
“Macam mana pak long boleh jadi kaya? Abang tahu?” tanya
Lamia pula.
“Entahlah. Abang tak berapa tahu tentang itu, Mia. Waktu
tu abang kecik lagi.” Aqmal menjawab rendah.
“Abang tak pernah tanya dari mana ayah abang dapat duit?”
“Dari pinjaman bank. Itu yang abang pernah dengar abah
katakan kepada abang.” Sudah lama ayahnya membuka kedai runcit itu. Ketika dia
berusia lapan tahun. Semenjak itu kehidupan mereka boleh dikatakan senang.
Tidak pernah ada masalah kewangan.
“Kenapa Mia tanya pasal tu?”
“Tak ada apa-apa.”
“Mia, abang harap Mia akan maafkan ayah abang. Tapi abang
tak mampu paksa Mia maafkan dia. Cuma, abang harap Mia jangan bencikan abang
kerana semua tu.” Aqmal pula bersuara. Lamia diam sahaja sambil mencuit-cuit
telefon di atas meja.
“Mia, abang akan cuba perbaiki keadaan ni. Mia berhak
berada dalam keluarga ni semula. Abang bawa Mia balik kampung, nak tak?”
“Jangan!”
“Tapi kenapa?” ucap Aqmal hairan.
“Mia tak suka. Mia tak mahu.” Lamia menjawab pantas.
Aqmal menghela nafas perlahan. Dia tahu luka di hati Lamia masih menebal. Masih
enggan memaafkan ayahnya.
“Mia lebih suka macam ni aja. Mia tak ganggu hidup orang
lain dan Mia pun tak suka sesiapa ganggu Mia.”
“Termasuk abang?” teka Aqmal. Lamia memandang Aqmal. Dia
ingin menjawab ya. Tetapi renungan lelaki itu membuatkan dia merasa tidak
tergamak.
“Tak perlu susah-susah ambil tahu tentang Mia.”
“Kalau abang tetap nak ambil tahu tentang Mia?”
“Suka hati abanglah,” jawab Lamia. Malas hendak melayan
bicara Aqmal. Aqmal tunduk memandang permukaan meja. Kemudian dia memandang ke
arah kaunter barista. Pesanannya masih belum tiba. Namun dia ternampak seorang
pelayan sedang menyusun air di atas dulang.
“Kalau Mia perlukan apa-apa, call abang ya?”
Lamia hanya diam tanpa mahu menuruti kata-kata itu.
“Mia, beritahulah apa yang perlu abang buat supaya Mia
tak layan abang macam abang ni musuh Mia.”
“Musuh? Tak adalah. Mia memang macam nilah, bang.”
“Tapi dengan Mike Mia tak macam ni, kan?”
“Mike?” Lamia ketawa kecil.
“Mike rapat dengan Mia lebih dari saudara yang sepatutnya
rapat dengan Mia. Mia kenal dia semenjak sekolah rendah. Dia pernah berlapar
bersama-sama Mia waktu Mia tak ada duit nak belanja di kantin sekolah. Apa yang
abang nak cemburu?” jawab Lamia petah.
“Abang cemburu sebab abang ni sepupu Mia. Mia langsung
tak mahu beri abang peluang untuk ada dalam hidup Mia.”
Lamia diam saat pelayan tiba di tepi meja mereka. Aqmal
menghela nafas perlahan sambil memandang makanan dan minuman dipindahkan ke
atas meja mereka.
“Mia biasa makan pedas?” ucap Aqmal lembut. Lamia
memandang Aqmal mendekatkan mangkuk mi kari kepadanya. Kemudian dia mengangguk.
“Ni sambal.” Satu mangkuk kecil dibawa dekat kepada
Lamia. Buat seketika Aqmal memerhatikan Lamia menggodek mi di dalam mangkuknya.
“Kenapa pandang Mia makan? Abang makanlah,” ucap Lamia
perlahan. Tidak begitu senang diperhatikan.
“Abang memang suka tengok Mia. Mia aja yang tak tahu,”
ucap Aqmal lantas tersenyum.
“Yalah tu...” Lamia tunduk sedikit untuk menghirup kuah
kari di dalam mangkuk itu.
“Sedap tak?” tanya Aqmal.
“Sedap juga.” Lamia mengangguk sedikit.
“Abang selalu makan di kopitiam ni. Tapi bukan di sini.
Mi kari dari kopitiam ni memang abang suka,” cerita Aqmal.
“Abang kerja apa sebenarnya?” tanya Lamia.
“Junior executive di BNM,” jawab Aqmal perlahan.
“Oh...” Lamia sekadar mengangguk. Dengar bunyi eksekutif,
dia mengagak gaji sebulan Aqmal sudah pastinya banyak.
“Kenapa abang tak kerja dengan pak long?”
“Pak long tak pernah offer pun,” ujar Aqmal selamba.
“Oh... anak beranak pun nak kena tunggu offer?”
“Yalah. Itu business dia. Bukan abang ada share sekali,”
jawab Aqmal sekadar berseloroh. Lamia sekadar mendengar.
“Sebetulnya abang pun tak berapa berminat nak kerja
dengan abah. Abang lebih suka apa yang abang ada sekarang,” ujar Aqmal
perlahan.
“Bestlah. Baru habis belajar terus dapat kerja.”
“Rezeki, Mia. Allah lihat apa yang kita usahakan,” ujar
Aqmal lembut. Lamia sekadar mengangguk.
Usai makan, Aqmal mengajak Lamia beredar. Sudah petang
benar. Bimbang mereka terlewat saja nanti. Setiba di hadapan rumah Lamia, Aqmal
ikut keluar dari kereta. menghantar gadis itu ke hadapan pintu pagar.
“Ada masa nanti abang call ya?” ucap Aqmal sambil
memandang Lamia membuka kunci pagar. Lamia hanya mendengar.
“Mia...” panggil Aqmal setelah Lamia masuk ke dalam.
“Apa?”
“Err... tak ada apa-apa. Jaga diri. Abang balik dulu?”
ucap Aqmal lembut.
“Yalah.”
Lamia berdiri di hadapan pintu pagar memerhatikan Aqmal
masuk ke dalam keretanya. Setelah kereta itu berlalu, dia terus masuk ke dalam
rumah. Ibunya tiada di ruang tamu. Dia mengagak ibunya sedang dia dalam
kamarnya.
Di dalam kamar Lamia membelek telefon yang dibelikan
Aqmal. Perlu dicas untuk memenuhkan baterinya.
“Hmm... rezeki jangan ditolak. Hmm... Aqmal... Aqmal... kau
ingat aku tak mampu nak beli benda ni ke?” ucap Lamia seorang diri. Entah
kenapa, dia merasa Aqmal itu amat berguna sekali buatnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan