BAB
7
KETIKA pulang dari kelas, Lamia terkejut melihat Aqmal sedang
tercongok menunggu di hadapan rumahnya sambil bersandar ke keretanya. Lelaki
itu tersenyum memerhatikan Lamia memakirkan motor di hadapan pintu pagar.
“Abang buat apa kat sini?”
“Abang tunggu Mia. Abang nak bagi laptop dengan printer abang
ni pada Mia.” Aqmal membuka pintu keretanya.
“Alah... buat susah-susah aja,” ujar Lamia lantas
menanggalkan topi keledarnya. Setelah topi itu diletakkan di atas motor, dia
mendekati Aqmal.
“Laptop dengan printer ni jarang abang guna. Mia
ambillah. Tak payah pulangkan pun tak apa.”
“Betul ke ni? Alhamdulillah. Murahlah rezeki abang lepas
ni,” sambut Lamia seronok mendengar itu.
“Ada laptop dengan printer ni senang sikit Mia nak buat
assigment. Boleh terus print di rumah. Abang ada belikan dakwat printer yang
baru. Mana tahu yang lama tu dah tak boleh pakai.”
Lamia mengangguk sahaja sambil memandang objek di dalam
beg itu.
“Pandai guna?”
“Mia belajar.”
“Kalau tak pandai nak connect printer tu, minta kawan
tolong ajarkan ya?” ucap Aqmal lembut.
“Terima kasih, abang.”
“Sama-sama. Mia penat ke? Temankan abang pergi minum?”
ajak Aqmal.
“Mia hantar ni masuk sekejap.”
“Abang tolong angkat printer ni,” ucap Aqmal lantas
membuka pintu kereta sebelah belakang pula.
Sesudah motor dimasukkan ke dalam kawasan garaj, Lamia
masuk ke dalam kereta Aqmal.
“Dari tadi abang bagi salam. Tak ada sesiapa jawab. Ibu
Mia kerja sampai pukul berapa?” tanya Aqmal.
“Ibu biasa balik pukul 7,” jawab Lamia perlahan.
“Larat lagi mak cik tu kerja ya? Kagum dengan dia,” ucap
Aqmal.
“Kalau tak kerja, macam mana nak hidup? Sekarang ni semua
benda pun pakai duit.”
“Betullah tu,” sambut Aqmal.
“Kat depan ni ada gerai nasi ayam. Sedap.”
“Ye ke?” Aqmal segera memperlahankan kereta.
“Mana?” tercangak-cangak Aqmal mencari gerai yang
dimaksudkan Lamia.
“Depan sikit lagi. Tu ha...” Lamia menunding ke arah
sebelah kanan jalan.
“Kebetulan abang memang tengah lapar ni. Cantik sangatlah
ni,” komen Aqmal sambil memakirkan kereta di tepi jalan.
Di gerai itu hanya ada sepasang lelaki sedang makan
sambil berbual. Tuan gerai sudah biasa melihat Lamia. Sempat menegur dan
berbual kosong. Namun sesudah menyuap nasi ayam yang dihidangkan, Aqmal diam
membisu sambil makan. bukan main berselera lagi.
“Sedap sangat ke?”
“Sedap. Abang suka,” jawab Aqmal bersungguh. Nasi ayam
itu masih original seperti resipi asal. Tidak diubah-ubah seperti kebanyakan
yang dia makan sehingga nasinya sudah berwarna oren. Sambal nasi ayamnya juga
bukan dari sos cili semata. Dibuat dari cili sebenar dan cuka.
“Ayamnya pun banyak,” ucap Aqmal lagi.
“Kami kadang-kadang makan kat sini bila ibu dapat gaji.
Ibu pun suka nasi ayam akak ni,” ujar Lamia sambil merenung Aqmal menyuap nasi.
Aqmal mengangguk mendengar cerita Lamia.
“Mia punya study macam mana?” tanya Aqmal pula.
“Okaylah. Makin lama makin susah.”
“Memang macam tu. Lagi tinggi peringkat kita pergi lagi
besar cabarannya. Abang pun begitu dulu,” jawab Aqmal sebelum dia kembali
menyuap nasi. Lamia sekadar mendengar.
“Mia tak ada kawan-kawan lelaki ke selain Mike?” tanya
Aqmal lagi.
“Teman lelaki ke yang abang maksudkan?”
Aqmal ketawa kecil sebelum mengangguk.
“Takde orang sudi nak jadikan girlfriend pun,” jawab
Lamia sambil mencebik. Kemudian dia membuang pandang.
“Mia jadi girlfriend abang ajalah. Tiap-tiap bulan abang
bagi duit belanja.”
“Eee... taknaklah,” rengus Lamia sambil menggeleng.
Aqmal ketawa. “Apasal pulak tak nak? Nanti dah habis
belajar, Mia kahwin dengan abang.”
“Tak mainlah kahwin sepupu sendiri. Tak best langsung.”
“Mana tahu tak best?” sakat Aqmal lantas memandang Lamia.
“Tak bestlah... tak berkembang keturunan.”
“Alah... alasan tu tak terpakai untuk kita.”
“Kenapa tak terpakai untuk kita.”
“Kes kita lain. Mia dah lama jauh dari keluarga ni. Jadi,
kalau Mia kahwin dengan abang... kita boleh dekatkan semula silaturrahim yang
dah lama renggang ni,” ujar Aqmal penuh hemah.
“Tak payahlah. Mia tak nak kahwin dengan abang.”
“Kesian abang. Tak ada orang nak.”
Lamia mencebik. Tidak laku dengan ayat minta simpati
begitu. Aqmal hanya tersenyum.
“Kalau lelaki di luar sana bodoh sangat tak mahu tawarkan
diri jaga Mia, biar abang jadi pandai tawarkan diri abang untuk Mia,” ucap
Aqmal lagi.
“Taknaklah! Mia bukannya terdesak sangat sampai abang
kena tanggung makan minum Mia. Mia okay aja macam ni,” balas Lamia.
Aqmal menyudahkan suapan. Kemudian dia melambai tuan
gerai. “Kak, bungkus nasi ayam tiga.”
Lamia sekadar memandang Kak Mimah berlalu untuk menyiapkan
pesanan Aqmal. Kemudian lelaki itu memandang Lamia semula.
“Tak apa. Abang mahu Mia capai cita-cita Mia. Abang
percaya ibu Mia mesti letakkan harapan yang besar pada Mia. Gembirakanlah dia
dulu,” ujar Aqmal mula keluar dari topik itu. Dia sudah tahu, gadis seusia
Lamia masakan hendak kecoh hal cinta dan kahwin sedangkan banyak hal yang lain
belum sempat diteroka.
“Suatu hari nanti Mia nak sambung study di luar negara.”
“Abang cadangkan Mia pergi UK. Lebih tiga tahun abang kat
sana, macam-macam pengalaman abang dapat. Paling best bila dapat kerja kat
sana,” ujar Aqmal.
Lamia mengangguk. Dia memang berhajat begitu. Soal
lelaki, soal kahwin tidak pernah melintas dalam benaknya.
“Dah siap. Berapa semua, kak?” tanya Aqmal setelah
pemilik gerai hadir dengan bungkusan yang dimintanya.
“13 setengah, dik.”
Setelah memberi dua not merah, Aqmal membuka ikatan beg
plastik itu. Satu bekas polistrin diasingkan.
“Ni abang belikan untuk Mia dengan mak cik. Bawa balik
ya? malam ni tak payahlah masak dah,” ucap Aqmal lantas mengikat semula beg
plastik itu.
“Susah-susah aja. Terima kasih, bang.”
“Sama-sama. Jom abang hantar balik?”
Lamia mengangguk. Aqmal bangkit untuk mendapatkan wang
bakinya semula sementara Lamia terus ke kereta Aqmal.
“Abang takde balik kampung ke?”
“Dah balik baru-baru ni. Kenapa? Mia nak ikut ke?” balas
Aqmal lantas tersenyum.
“Taklah. Saja aja tanya.” Lamia memandang ke hadapan.
“Kenapa? Muka Mia semacam aja?” ucap Aqmal lagi.
“Pak long tahu tak abang selalu jumpa Mia?”
“Tak tahu.”
“Abang tak beritahu ayah abang tentang Mia?”
Aqmal diam pula. Dia berdeham sedikit sebelum menjawab.
“Abang lupa nak cakap sebenarnya.”
Lamia mengangguk. Percaya akan jawapan itu.
“Sini ramai orang Cina ya?” Aqmal cepat-cepat menukar
topik. Terpksa tanya soalan yang dia sudah tahu.
“India dengan Melayu pun ramai. Ada yang menyewa. Ramai
orang yang tinggal sini kerja di kilang-kilang eletronik sana,” jelas Lamia.
“Oh...” Aqmal mengangguk sedikit.
Tidak sampai lima minit kereta diberhentikan di hadapan
kediaman Lamia. Aqmal memandang ke dalam kawasan pagar. Naela masih belum
pulang.
“Mia masuk dulu ya?”
“Yalah. Kunci pintu. Ibu Mia belum balik, kan?”
“Ya. Terima kasih, bang.”
“Sama-sama,” jawab Aqmal lembut. Setelah memastikan Lamia
selamat masuk ke dalam rumah, barulah Aqmal berlalu pergi.
“Hmm... kau ajak aku kahwin ya?” ucap Lamia sambil
melabuhkan punggung di kerusi ruang tamu.
“Tengoklah nanti, kalau aku ada mood nak bermentuakan
bapak kau tu...” ucap Lamia lantas ketawa sendiri.
MUSIM berlalu pergi. Perhatian Aqmal kian utuh kepada Lamia.
Rimas yang dirasakan oleh Lamia dahulu, sudah lenyap entah ke mana. Kadang kala
perhatian Aqmal kepada seperti seorang abang membuatkan dia merasa hidupnya
cukup senang.
Daripada tidak mengenali Mike, Aqmal turut menjadi kawan
kepada pemuda Cina itu. Dan Aqmal akui, Mike itu memang baik sebagai sahabat
Lamia.
“Mia nak keluar dengan Aqmal ke?” tanya Naela setelah
melihat Lamia siap dengan pakaian elok.
“Ha’ah, bu. Mia nak cari buku.”
“Belum beli lagi ke?” tanya Naela agak terkejut. Sudah
beberapa minggu masuk semesta baru.
“Belum. Duit biasiswa tak masuk lagi.”
“Lah... kan Mia ada duit simpanan?”
“Sayang duit,” jawab Lamia selamba.
Naela menghela nafas perlahan. “Tak baik macam tu, Mia.
Untuk buku pelajaran, Mia kena utamakan beli sebab Mia mampu. Jangan sayang
duit sebab ilmu. Tak berkat nanti,” ujar Naela.
“Tengoklah nanti, bu. Mia nak pergi survey harga dulu.
Mia pergi dulu ya, bu. Tu Abang Aqmal dah sampai.”
“Yalah. Kirim salam ibu pada Aqmal ya?” ujar Naela lantas
ikut keluar bersama anaknya. Aqmal memberikan senyum sapaan kepada Naela.
“Mak cik tak mahu ikut sekali?”
“Tak payahlah. Mak cik nak rehat di rumah. Malas nak
berjalan kalau tak ada urusan,” jawab Naela lembut.
“Nak kirim apa-apa?” tanya Aqmal.
“Tak payah beli apa-apa, Mal. Kat rumah ni lauk banyak.
Nasi pun ada. Karang membazir. Si Mia pun bukannya makan sangat.”
Aqmal senyum. “Yalah. Kami pergi dulu,” ucap Aqmal
lembut.
“Kita nak pergi mana ni?” tanya Aqmal sambil menarik
talipinggang keselamatan ke tubuhnya.
“Mid Valley?”
Aqmal terus mengangguk. Dia sudah tahu yang Lamia hendak
ke kedai buku. Agak sesak suasana di Mid Valley. Mereka terus menuju ke MPH
untuk menunaikan tujuan asal ke situ. sementara Lamia sibuk dengan buku rujukan
yang hendak dibeli, Aqmal membaca buku-buku yang membawa topik kegemarannya.
Tiba-tiba dia terpandangkan buku bertajuk Ilmu Faraid Dan Perlaksanaannya.
Terus disambarnya untuk dibeli. Kemudian dia membelek buku-buku lain pula.
Sudah agak lama membiarkan gadis itu bersendirian, Aqmal kembali mendekati
Lamia.
“Kenapa tak beli?” tegur Aqmal setelah terpandangkan buku
di tangan Lamia letak semula.
“Mahal sangat,” ujar Lamia perlahan.
Aqmal belek buku itu. Harganya cecah ratusan ringgit.
Memang mahal untuk pelajar-pelajar yang bergantung hidup kepada biasiswa atau
pinjaman.
“Ambiklah. Abang bayar.” Buku itu diserahkan Aqmal kepada
Lamia.
“Tak payahlah. Mia boleh copy aja nanti.”
“Ambil. Abang bayarkan,” ucap Aqmal bersungguh.
“Nanti habis duit abang,” ujar Lamia perlahan.
“Duit boleh dicari. Ambil aja. Abang nak Mia selesa
belajar. Copy pun bukannya free. Kena keluar duit juga,” ucap Aqmal lembut.
Lamia tersenyum senang serta merta. “Terima kasih,
abang.”
“Sama-sama. Buku lain?”
“Ni ajalah. Buku ni aja yang penting,” ucap Lamia perlahan.
“Jom?” ajak Aqmal ke kaunter bayaran.
“Abang beli buku apa?” tanya Lamia saat berdiri di
sebelah Aqmal.
“NI...” Aqmal menujukkan kulit hadapan buku itu kepada
Lamia. Berubah sedikit wajah Lamia setelah membaca tajuk buku itu.
“Kenapa abang baca pasal ni?”
“Saja tambah ilmu. Benda ni jarang kita ambil tahu,”
jawab Aqmal lantas meletakkan buku yang hendak di bayar di atas kaunter. Lamia
diam sambil memandang buku itu dipegang oleh juruwang.
“Tapi abang selalu tertanya, dulu lepas arwah ayah dan
mak Mia meninggal, ada apa-apa yang ditinggalkan untuk Mia?” tanya Aqmal
setelah mereka keluar dari kedai buku itu. Aqmal mengajak Lamia ke kedai DVD
pula.
“Tak ada.”
“Takkan sikit pun tak ada? Sepatutnya majikan berikan
wang sagu hati atau pampasan. Dan pak usu kerja lama di kilang tu. Mesti ada
KWSP,” ujar Aqmal hairan. Dia selalu terfikir-fikir, bukan ke sepatutnya ada
wang pampasan diberikan kerana dia dengar arwah bapa saudaranya itu meninggal
dunia dalam kemalangan ketika pulang dari kerja.
“Entahlah. Mia tak tahu pasal semua tu.”
Aqmal diam pula. Masakan Naela pun tidak tahu? Hairan.
“Kena ada seseorang pergi tanya,” ucap Aqmal seolah-olah
bercakap dengan diri sendiri. Masakan dia? dia bukannya ada hak untuk bertanya
tentang itu kepada pihak tertentu. Yang layak hanyalah Lamia atau ayahnya.
“Abang tak pernah tanya pak long pasal ni?”
“Baru-baru ni abang ada cakap pasal tu. Pak long malas
nak datang sini urus semua tu. Orang kalau tak minat nak berbincang, abang pun
mati akal dibuatnya,” ujar Aqmal perlahan. Kata ayahnya, duit itu hanya
sedikit. Sedikit atau banyak, itu tetap hak yang perlu dituntut. Sementelah
Lamia sudah tentu perlukan wang untuk membeli buku pelajarannya.
“Abang, kita singgah sini kejap.”
Langkah Aqmal terhenti. Dia lihat kedai yang hendak
disinggahi Lamia adalah kedai butik aksesori untuk rambut perempuan.
“Mia...” Aqmal memanggil sambil dia menyeluk poket.
“Abang tunggu kat depan ni ya?” ucap Aqmal lantas
menyerahkan sekeping not 50 kepada Lamia. Lamia mengambil lalu mengangguk. Setelah
masuk ke dalam dia memandang Aqmal semula. Lelaki itu sedang berdiri memandang
ke tingkat bawah.
Sambil memilih getah rambutnya, Lamia terfikirkan apa
yang diucapkan Aqmal tentang wang peninggalan arwah orang tuanya itu. Nampak
macam Aqmal benar-benar tidak tahu.
“Abang,” panggil Lamia setelah keluar dari kedai itu.
Aqmal segera menoleh.
“Dah?” tanya Aqmal.
“Dah.”
“Jom?” ajak lelaki itu lantas tersenyum.
Namun lelaki itu tersentak sedikit saat terasa lengannya
disentuh Lamia. Lamia hanya buat selamba. Dan perbuatan gadis itu mematikan
fikiran Aqmal dari memikirkan tentang pusaka arwah Husam.
Seronok! Berada di kedai DVD bermacam-macam DVD filem
yang mereka belek.
“Abang ada banyak kat rumah. Yang ni abang dah beli.
Kalau Mia nak tengok, nanti abang pinjamkan.” Aqmal memandang DVD yang dibelek
Lamia.
“Best ke?” tanya Lamia lantas memandang lelaki itu.
“Best sampai abang ulang banyak kali,” ujar Aqmal lantas
ketawa kecil.
“Nak pinjamlah.”
“Lain kali abang bagi. Abang nak try tengok ni,” ucap
Aqmal lantas menujukkan DVD yang berada di tangannya.
“Apa tu... Queen of Katwe?”
“Jalan cerita macam best,” ujar Aqmal lantas membalikkan
ke belakang. Lamia ikut membaca apa yang tertulis di belakang itu.
“Inspiring,” komen Lamia lantas memandang Aqmal.
“Abang suka cerita yang macam ni,” balas Aqmal lembut.
“Kalau tak boring, nanti Mia pinjam.”
Aqmal ketawa lembut. “Cerita macam nilah bagus kita
tengok. Ada pengisian. Jangan asyik layan movie romance aja,” ujar Aqmal lantas
menciuit pipi Lamia.
“Eee... siapa suka tengok movie macam tu. Abanglah yang
suka. Mia tak selalu tengok movie pun,” balas Lamia sambil memasamkan mukanya.
“Jom? Abang bayar dulu. Lepas ni kita sambung jalan.”
Lamia mengangguk. Dia menunggu di hadapan gerbang masuk
ke kedai itu sementara Aqmal beratur di kaunter. Sebaik sahaja keluar, entah
kenapa Aqmal menarik tangan Lamia. Tujuannya untuk membawa ke arah yang dia
hendak pergi.
Tetapi... sudahnya tangannya digenggam Lamia tanpa mahu
dilepaskan lagi.
BAB
8
“MIKE, kau ni asyik busy aja. Apa cerita duit aku?” tanya Lamia
melalui talian itu.
“Kau free ke sekarang? Kita jumpa kat tempat biasa,”
jawab Mike.
“Ada berita baik ke, Mike?” tanya Lamia mula teruja.
“Mestilah ada. Dah dua hari aku simpan. Aku busy
sekarang. Kita jumpa petang nanti.”
“Yes! Ini yang aku sayang kau ni,” ucap Lamia benar-benar
gembira.
“Yalah kau tu. Call aku asyik tanya pasal duit. Dah macam
mata duitan,” rungut Mike. Pura-pura merajuk.
“Aku takut ibu aku tahulah, apek! Kau ni memang tak
faham,” rungut Lamia.
“Yalah. okay. Kita jumpa petang nanti. Aku ada benda nak
cerita kat kau. Jumpa nanti. Bye.”
“Bye.”
Lebar senyuman Lamia. Tidak sabar pula hendak menunggu
petang. Kebetulan pula minggu ini Aqmal tiada, pulang ke kampung. Jadi, dia
bebas hendak ke mana-mana dengan Mike.
Petang itu mereka bertemu di restoran kegemaran Mike.
Tempat dia selalu mengintai perempuan idamannya. Namun Lamia yang tiba dulu. Hampir
setengah jam Mike kelewatan dari janji mereka, barulah muncul wajahnya. Lamia
terkejut besar melihat perubahan Mike.
“Apek, apa dah jadi dengan kau?” tanya Lamia terkejut.
Mike tersengih saat berdiri di hadapan Lamia. “Handsome
tak aku?”
Lamia memandang Mike dari atas ke bawah. “Biasa aja. Cuma,
lain macam bila tengok kau bukan main smart dengan neck tie dan kemeja tu. Nampak
smartlah.”
“Aku sekarang dah ceburi bidang baru. Broker tanah. Aku
baru lepas jumpa klient.”
“Wah... hebat kawan aku,” ujar Lamia lantas tergelak.
Mike menyengih sambil menarik kerusi. Segera dia melambai pelayan.
“Bagus ke income kau sebagai broker tanah?”
“Bolehlah. Aku baru traininglah,” ujar Mike lantas
ketawa.
“Cayalah, Mike. Aku tak pernah terfikir nak buat dua tiga
kerja macam kau.”
“Sebab tu aku busy sangat. Maklumlah, aku salah seorang
belia muda Malaysia yang berjaya. Aku sahut cabaran menteri buat dua tiga
kerja. Hebatkan aku?” ujar Mike dengan hidung kembang setaman.
Lamia ketawa gelihati mendengar Mike memuji diri sendiri.
Setelah pelayan membawakan minuman buat Mike, barulah mereka berbual tentang
isu pokok.
“Aku dah dapatkan pulangan pelaburan kita. Aku nak
berikan bahagian kau,” ujar Mike lantas membuka beg bimbitnya. Lamia terkejut
melihat Mike mengeluarkan buku cek.
“Wah, majunya kau sekarang. Dah ada buku cek. Maknanya
dalam akaun bank kau ada banyak duitlah ni,” ujar Lamia.
“Kan aku dah kata aku ni belia Malaysia yang berjaya.”
Mike tersengih kepada Lamia seketika sebelum dia mengambil pen.
“Yalah kau tu, Mike.” Lamia tergelak lagi.
“Mike, kau tak mahu sambung study ke?” tanya Lamia
seketika kemudian.
“Tak mahu. Aku dah banyak duit. Nak buat apa study? Kau
ajalah study rajin-rajin. Banggakan ibu kau. Mama aku tak kisah. Asalkan aku
ada duit sendiri, cukuplah,” jawab Mike selamba.
Lamia memandang gelagat Mike. Bukan main senang hati
menulis angka 400 ribu di atas buku cek lalu disainnya. Cebisan cek itu dikoyak
lalu diberikan kepada Lamia.
“Nah! Ni duit kau,” ucap Mike.
Lamia memandang cek itu seketika. Untung juga dia percaya
cakap Mike tempohari. Dalam tempoh hampir setahun sebanyak ini keuntungan dari
pelaburan yang dibuatnya. Modalnya tidaklah sebanyak ini.
“Kau tahu orang islam kena buat pelaburan yang patuh
syariah, kan?”
“Ini pelaburan emas. Harga emas sedang naik sekarang.
Sebab tu kau untung banyak. Ada masa nanti, aku ajar kau cara nak main saham.
Simpan cek tu baik-baik. Nanti hilang.”
Lamia mengangguk. Untungnya dia ada kawan yang bijak
bistari macam Mike. Rugi Jennifer buat sombong pada Mike. Luaran selekeh tetapi
Mike memanglah pandai cari duit. Cemburu dia melihatnya.
“Aku nasihatkan kau, jangan boros walaupun untung banyak.
Itu punca kejatuhan kita, Mia. Simpan duit baik-baik. Sebab, bila kita main
saham... tak semestinya kita akan untung. Kadang kala pasaran saham turun atas
sebab-sebab tertentu. Kita kena menunggu masa yang sesuai untuk dapatkan
keuntungan kita.”
“Aku dah faham sekarang.”
“Kita mesti kaya sama-sama. Aku tak suka biarkan kawan
aku hidup susah,” ujar Mike bersungguh. Hakikatnya, dia juga bukan anak orang
Cina yang berharta. Ayahnya cuma berkerja makan gaji seperti orang lain. Cuma
dalam keluarganya, emak dan ayahnya cukup berdisiplin tentang hal kewangan.
“Ni skim MLM ke?”
“Hello... orang genius macam aku ni, tak mainlah MLM ni
semua. Pelaburan ni sah. Aku melabur melalui bank. Cuma kita kena pandai pilih
bank yang mana yang mampu menjamin profit kita.”
“Oh...” Lamia mengangguk.
“Aku beri kau sesuatu untuk kau baca ya?” ujar Mike
lantas mengeluarkan satu kertas dari dalam begnya.
“Ni aku dapat dari bank sebelum ni. Bank menjamin
pulangan yang tinggi sekiranya kita melabur dalam syarikat yang mendaftar di
bawah mereka,” ujar Mike. Lamia membaca satu persatu faedah skim pelaburan dinar
emas yang tertera di atas kertas putih itu.
“Kita melabur dalam bentuk wang. Tetapi modal pelaburan
mengikut harga satu dinar emas. Dan mereka bayar pulangan dalam bentuk emas.
Apabila harga emas naik, maka kita terus jual. Kita untung banyak.”
Lamia mengangguk berkali-kali mendengar itu. “Bagus juga
ni, Mike.”
“Tapi pelaburan ni makan masa yang banyak juga.
Bergantung kepada harga emas. Kadang kala harga emas turun. Kita kena bijak
buat keputusan dalam hal ni. tapi harga emas selalunya maintain dalam jangka
masa yang lama. Jadi, untuk pelaburan masa panjang, emas memang sangat bagus,”
ujar Mike.
“Aku dah faham.” Lamia mengangguk puas hati.
“Abang Aqmal tak ada ke?”
“Tak ada. Dia balik kampung,” ujar Lamia perlahan.
“Mia, kenapa kau berahsia dengan dia pasal semua duit
tu?” tanya Mike.
“Ada sebabnya.”
Mike diam memandang Lamia. Semenjak kebelakangan ini dia
mendengar yang Lamia dan Aqmal macam belangkas. Tetapi dia ragu. Mengapa Lamia
tidak bercerita tentang wang pusaka itu. Lamia berahsia dengan Aqmal tentang
banyak hal.
“Apa sebabnya, Mia?”
Lamia duduk bersandar memandang Mike. Mencari idea untuk
menenggelamkan soalan itu.
“Aku cuma nak tengok dia ikhlas dengan aku atau tidak.”
Mike diam mendengar jawapan Lamia. Namun setelah puas dia
memikirkannya dia mengangguk pula.
“Kau takut dia dekati semata-mata kerana nakkan duit tu?”
tanya Mike dengan renungan tepat ke wajah Lamia. Lamia terus mengangguk.
“Aku harap nanti kau akan beritahu dia hal yang sebenarnya.
Aku nampak dia betul-betul ambil berat tentang kau,” ujar Mike lagi.
“Tunggu masa yang sesuai,” jawab Lamia.
Hampir lewat petang Lamia menghabiskan masa berbual
dengan Mike di restoran itu.
“Aku kena balik ni. Ibu aku balik kejap lagi,” ujar Lamia
sambil memandang jam di pergelangan tangannya.
“Okay.” Mike mengemas barang-barangnya lalu dimasukkan ke
dalam beg.
Singgah seketika di bank untuk menunaikan ceknya. Ketika
Lamia hampir tiba di rumah, dia terserempak dengan kereta Aqmal sedang menunggu
untuk keluar simpang jalan ke rumahnya. Serta merta dia memberhentikan motor di
tepi jalan. Dia mendekati Aqmal di keretanya.
“Abang?”
“Mia ke mana? Abang mesej tak jawab pun?” tanya Aqmal
dari dalam kereta.
“Eh! Ye ke? Telefon Mia dalam beg. Mia pergi minum dengan
Mike. Bukan abang kat kampung ke? Kata nak balik esok,” ujar Lamia hairan.
“Saja balik hari ni. Abang ingat nak jumpa Mia tadi. Tapi
Mia tak ada. Abang balik dulu? Dah nak maghrib ni. Kita jumpa esok?” ujar
Aqmal. Sempat mengerling jam di dashboard keretanya.
“Okay. Sorry ya? Mia tak perasan abang mesej.”
“Tak apa,” jawab Aqmal lantas tersenyum. Satu beg plastik
di atas kerusi di sebelahnya diberikan kepada Lamia. Lamia segera menyambutnya.
Rupanya seplastik buah rambutan.
“Kat kampung musim buah. Ramai orang jual. Abang beli
untuk Mia dan ibu Mia. Mia pergilah balik,” ujar Aqmal lagi. Lamia mengangguk.
Sempat dia berdiri di tepi jalan menunggu Aqmal berlalu sebelum kembali
menunggang motornya.
Sementara menunggu ibunya pulang, Lamia membaham rambutan
itu sambil menonton tv. Sedap. Manis dengan isi yang tebal. Kemudian dia
memeriksa telefon bimbitnya. Memang benar Aqmal ada memberi mesej kepadanya.
Namun mata Lamia terpasak kepada satu mesej dari What’sApp dari nombor asing.
‘Mia,
kau jangan pergunakan Aqmal untuk dapatkan duit tu. Aku tak akan beri! Jangan
kau rapat dengan anak aku lagi!’
Turun naik dada Lamia melihat mesej itu. Perut yang penuh
membuatkan dia merasa tidak menentu dengan emosi yang kuat membantai dada!
Pandangannya terpasak ke arah kaca tv. Namun renungannya mendalam. Mula
terbayang-bayang, apa yang akan berlaku kemudian nanti.
‘MIA dah lama tak jumpa abang...’
Aqmal terpaku memandang mesej di What’sAppnya itu. Sambil
mengelap rambut dengan tuala, dia tersenyum. Sehari dua ini Lamia dirasakan
amat dekat dengannya. Kian manja. Membuatkan hati lelakinya kerap tergugah.
‘Baca
tapi tak jawab pun?’
Aqmal ketawa kecil sebelum melabuhkan duduk di sofa. Sudah
lebih seminggu Lamia tidak dilihatnya. Tidak ingin membalas mesej itu.
Sebaliknya Aqmal terus mendail nombor Lamia.
“Abang nak datang tapi takut menggangu. Mia busy buat assigment,” ucap Aqmal perlahan.
“Assigment dah
siap. Esok abang datanglah. Mia dah seminggu tak keluar. Bosan,” balas Lamia
pula.
“Mia...” panggil Aqmal tanpa memberi jawapan kepada
bicara Lamia tadi.
“Ya.”
“Mia tahukan yang abang sayangkan Mia.”
“Tahu.”
“Apa yang Mia tahu?” tanya Aqmal pula.
“Err... entahlah.” Lamia ketawa buat-buat di hujung sana.
Bimbang tekaannya tidak tepat. Selebihnya, malulah dia nak jawab terus terang.
“Mia sebahagian dari hidup abang,” ujar Aqmal. Lamia
terdiam. Nada itu kedengaran amat jujur. Membuatkan dia tidak tahu apa yang
hendak dijawabnya.
“Mia, abang peduli tentang Mia seolah-olah Mia adik
abang. Tapi hati abang tak rasa begitu. Abang tak pernah luahkan. Abang tak
mahu Mia rasa serba salah dengan abang. Tapi pendam seorang ni sakit,” ujar
Aqmal lagi.
“Semenjak bila?”
“Semenjak bila abang jadi begini? Semenjak abang jumpa
Mia dulu. Pertama kali abang jumpa Mia, abang rasa Mia orang asing kepada abang
walaupun kita sepupu. Abang tak mampu nak anggap Mia sama macam sepupu-sepupu
abang yang lain,” luah Aqmal.
Lamia diam mendengar bicara Aqmal.
“Mia, abang tak mahu Mia paksa diri terima abang lebih
dari apa yang Mia mampu. Abang faham,” ujar Aqmal lagi.
“Mia tahu abang baik pada Mia selama ni.”
“Semenjak kecil Mia dah cukup jauh dari keluarga ni. Bukan
salah Mia. Abang tak mahu Mia tersisih dari abang.”
Lamia diam. Secebis bicara itu seakan-akan telah
menggoncang pendiriannya.
“Abang datang esok ya?”
“Mia tunggu.”
Usai perbualan itu, Aqmal bersandar sambil melepaskan
keluhan. Teringat semula pertengkaran dia dan ayahnya sebelum ini. Setiap kali
dia pulang ke kampung, itu sahaja isu yang dibangkitkan ayahnya sehingga dia
rasa malas mahu pulang.
Alasan yang tidak mampu diterimanya. Abahnya tidak
merestui dia mengahwini sepupu sendiri. Penolakan tatkala hatinya tidak mampu
dipisahkan dari menyayangi Lamia dalam diam.
Pokok persoalannya, mengapa abahnya melayaninya
seolah-olah dia telah melakukan satu kesalahan yang amat berat? Dia belum
berjumpa jawapan itu!
BAB
9
SEDANG sibuk melunaskan kerjanya, Aqmal diganggu oleh bunyi
telefon. Dia memandang sekilas skrin telefon. Terpandangkan nama Lamia sebagai
pemanggil. Cepat-cepat dia menjawabnya.
“Mia?”
“Abang, boleh datang ambil Mia kat PPUM tak?”
“Mia kat hospital? Kenapa ni?” tanya Aqmal terkejut.
“Mia jatuh motor tadi. Kaki Mia bengkak teruk. Motor Mia
rosak.”
“Okay. Abang datang sekarang. Tunggu ya?”
Setelah memasukkan telefon ke dalam poket Aqmal terus
bangun lalu keluar dari pejabat. Bergegas mendapatkan keretanya. Mujurlah
keadaan jalan raya tidak tersekat oleh kesesakan. Tetapi seperti yang sudah
diagaknya, kawasan PPUM itu memang sesak dengan kenderaan terpakir di kiri
kanan jalan. Dan kenderaan beratur panjang untuk masuk ke kawasan hospital.
Ketika dia melangkah di unit rawatan kecemasan, Aqmal
terlihat Lamia sedang menunggunya di satu bangku. Terus kakinya dihalakan ke
situ.
“Dah jumpa doktor?”
“Dah. Kaki Mia kena balut,” ujar Lamia.
“Siapa hantar Mia ke sini?”
“Kawan. Dia kena balik. Ada kelas lepas ni,” ujar Lamia
rendah.
“Macam mana boleh jadi macam ni?” tanya Aqmal lantas
bercangkung di hadapan Lamia. Kaki gadis itu dibeleknya.
“Motor Mia tiba-tiba bergerak sendiri kat tempat parking.
Tak boleh nak brek. Mia dah cuba tahan tapi tak boleh. Terlanggar motor student
lain. Motor Mia pun rosak,” jelas Lamia.
“Allah... macam mana boleh jadi begitu?” Aqmal menghela
nafas perlahan.
“Motor Mia kat mana?”
“Kat kampus.”
“Biarlah dulu kat sana. Nanti abang ikhtiarkan macam mana
nak buat. Abang hantar Mia balik dulu ya?” ujar Aqmal lantas mencapai plastik
ubat di tangan Lamia.
“Jauh ke abang parking?”
“Parking penuh.”
Terhegeh-hegeh Lamia berjalan. Sudahlah kakinya tidak
mampu menyarung kasut dengan betul. Sekadar hujung kaki saja.
“Mari abang dukung.”
“Eee... tak naklah. Orang tengok.”
“Lantaklah orang nak cakap apa. Yang penting lekas sampai
kat kereta. Cepat,” ucap Aqmal bersungguh. Tangan Lamia segera dicapainya.
Lamia hanya pegun saat Aqmal menyuruh dia naik ke atas belakangnya.
“Cepatlah. Jauh lagi ni.”
“Yalah. Yalah.” Biarpun malu, ditebalkan saja wajahnya
setelah naik ke atas belakang Aqmal. Kemudian dia tutup muka. Tak mahu orang
yang lalu lalang berdekatan dengan mereka kenal dia.
Setelah sampai di kereta, Aqmal menurunkan Lamia penuh
hati-hati.
“Jaga kaki tu,” ucap lelaki itu sambil memaut bahu Lamia
dengan sebelah tangan. Sebelah tangan lagi segera menyelok poket sleknya. Lamia
masuk ke dalam kereta setelah lelaki itu membuka pintu kereta. Berkerut wajah
Lamia saat memindahkan kaki yang cedera ke tempat kaki.
“Mia dah makan ubat ke tadi?”
“Doktor ada bagi injection,” jawab Lamia perlahan.
“Abang belikan nasi dulu. Lepas tu abang hantar balik
ya?” ucap Aqmal setelah masuk ke dalam kereta. Lamia sekadar mengangguk.
“Hei, sayang abang ni... jatuh motor pulak,” keluh Aqmal.
Terkebil-kebil Lamia memandang lelaki itu menghidupkan enjin kereta. Aqmal
tersenyum sebelum menggerakkan kereta pergi.
“Abang nak beli nasi kat mana?”
“Sekitar PJ State sana.”
“Beli yang dekat dengan rumah ajalah. Mia tak rasa nak
makan. Kalau kedai yang Mia tak selalu pergi nanti Mia tak nak makan,” ujar
Lamia.
“Nak nasi ayam ke?” tanya Aqmal.
“Boleh jugak,” balas Lamia sekalian mengangguk.
“MC berapa lama tu?” tanya Aqmal lagi.
“Seminggu. Tapi Mia kena pergi kelas juga. Mia ada
presentation minggu ni.”
“Macam mana nak bawa motor dengan kaki berbungkus macam
tu?”
Lamia diam. Fikir.
“Bila presentation?” tanya Aqmal tatkala Lamia hanya
bungkam.
“Hari Jumaat.”
“Lusalah? Abang hantarkan nanti,” putus Aqmal lembut.
“Tak apa ke? Nanti lambat abang nak pergi kerja,” ucap
Lamia rendah. Dalam hati suka juga apabila lelaki itu memutuskan begitu. Dia
bukannya suka menaiki teksi. Lebih senang naik bas.
“Bukannya jauh sangat rumah kita. Lagipun nak pergi ofis,
abang boleh aja lalu depan UM tu,” ucap Aqmal. Lamia mengangguk.
“Abang dah makan ke?”
“Belum.”
“Apa kata kalau kita makan kat kedai aja?” ujar Lamia
pula. Kasihan pula dengan lelaki ini. Bersusah payah untuknya. Makan minum
sendiri pun tidak tertunai. Aqmal hanya mengangguk setuju. Bolehlah dia
menghabiskan masa bersama Lamia lebih lama lagi.
Aqmal memberhentikan kereta di gerai nasi ayam Kak Mimah.
Sudah acap kali juga mereka singgah di situ.
“Kenapa kaki tu, Mia?” tegur Kak Mimah.
“Jatuh motor,” jawab Lamia lantas tersenyum.
“Kau ni... jaga-jaga sikit bawa motor di jalan besar tu.
lori banyak. Bahaya,” ucap Kak Mimah bersungguh.
“Ya, kak.” Lamia tersengih.
Mereka duduk di sebuah meja di bawah pokok. Aqmal
memandang lengan Lamia saat gadis itu menyelak lengan bajunya.
“Siku pun luka?”
“Luka sikit aja. Doktor dah jahit dan cuci,” ucap Lamia.
“Kena rajin cuci tu.”
“Doktor ada beri ubat luka,” ucap Lamia lagi.
“Nanti petang abang pergi uruskan motor Mia. Teruk ke
rosaknya?”
“Tak tahu. Tak sempat nak tengok sangat tadi.” Dia tidak
begitu risaukan motornya. Dia risaukan motor siswa lain yang turut sama
terlibat dalam kejadian itu. Dua tiga buah motor lain telah dirempuh motornya
tadi.
“Malu Mia tadi. Ramai yang ketawakan Mia. Lucu agaknya
tengok Mia jatuh dengan motor tadi,” keluh Lamia perlahan.
“Jangan fikir sangat. Bukannya Mia sengaja,” pujuk Aqmal
sambil mengangkat dagu gadis itu. Ada sedikit calar di bawah dagu Lamia.
Sebahagian dagu Lamia juga membengkak akibat calar itu.
“Sakit.” Lamia mengalihkan tangan Aqmal.
Aqmal menghela nafas perlahan. “Jangan banyak sangat
berjalan. Lagi lambat nak baik kaki tu nanti,” pesan Aqmal. Lamia hanya
mengangguk.
“Ibu tak tahu lagi ya?”
Lamia menggeleng pula. Dia tidak mahu Naela terkejut
nanti. Naela masih di tempat kerja.
“Jom kita makan dulu. Lepas ni abang hantar balik. Mia
rehat kat rumah,” ujar Aqmal setelah terlihat tuan gerai datang membawa
hidangan.
Kunyahan Lamia tidak laju. Seleranya tidak berapa hadir.
Sekadar mengisi perut untuk dia makan ubat nanti. Aqmal memandang pinggan yang
ditolak Lamia.
“Tak habis?”
“Tak selera sangat,” ucap Lamia rendah.
“Abang bungkuskan nasi ya? Nanti kalau lapar, Mia makan.”
Lamia hanya diam. Terlalu banyak kebaikan lelaki itu hadir
untuknya. Entah kenapa hatinya mula bergoyang.
Setelah membayar harga makanan mereka, mereka kembali ke
kereta Aqmal. Lelaki itu meletakkan nasi bungkus di kerusi belakang. Kereta
dipandu pulang ke rumah Lamia. Setelah tiba di rumah, Aqmal membantu membukakan
pintu pagar dan pintu rumah. Kemudian gadis itu dibantu sehingga dapat duduk di
sofa.
“Boleh ke duduk seorang ni? Kalau tidak, abang call ibu.”
“Tak payahlah. Mia okay aja ni.” Lamia menjawab siap
dengan gelengan.
“Betul? Abang nak pergi tengok motor Mia ni. Kalau ada
apa-apa, call abang ya?” ujar Aqmal. Jemari gadis itu diambilnya. Terkedu Lamia
saat lelaki itu mengucup jemarinya.
“Abang sayang Mia. Abang nak Mia cepat sembuh.”
Lamia hanya diam menatap renungan Aqmal.
“Abang pergi dulu ya?” ucap Aqmal lagi. Lamia hanya
mengangguk tanpa kata. Terkebil-kebil matanya memandang Aqmal berjalan ke
pintu. Sempat tersenyum saat lelaki itu tersenyum kepadanya.
Tatkala bersendirian, dia memikir sendiri. Kebaikan Aqmal
saban hari entah kenapa membuatkan hatinya merasa amat pedih.
“SAKITLAH, bu...” Lamia merengek. Tidak tahan. Badannya
sakit-sakit.
“Tahanlah sikit. Ibu sapukan minyak ni.”
Lamia rasa hendak menangis. Sudahlah dia terasa hendak
demam. Seluruh badannya rasa bisa. Usai menyapukan minyak di kaki Lamia, Naela
kembali membalut kaki Lamia.
“Makan ubat ya?” pujuk Naela. Lamia cuba dibangunkan.
Risau pula melihat suhu badan Lamia agak tinggi. Panas lain macam. Sebekas air
masak dibawakan Naela kepada anaknya itu. Sesudah makan ubat tahan sakit, Lamia
dibaringkan semula. Tuala basah diletakkan di atas dahi Lamia.
Sedang sibuk dia merawat Lamia, ada bunyi orang memberi
salam di hadapan rumah. Naela bingkas bangun. Kelibat Aqmal tertera jelas di
matanya. Segera dia mencapai tudung untuk keluar.
“Mal...”
“Mia macam mana?”
“Demam pulak tu ha. Masuklah. Dia ada kat depan tv tu.”
Aqmal akur. Dari ambang pintu dia lihat Lamia terbaring
beralaskan toto.
“Mia,” sapa Aqmal setelah mendekati gadis itu.
“Mia demam,” ucap Lamia rendah.
“Ada ubat demam tak?” tanya Aqmal kepada Naela.
“Mak cik bagi ubat yang lama-lama tu aja,” ujar Naela.
“Nak pergi klinik tak? abang boleh bawakan,” pujuk Aqmal.
“Tak nak. Mia nak tidur. Sakit kepala.” Perlahan saja
jawapan Lamia.
“Kakinya bengkak teruk. Tu yang sakit sangat tu,” jelas
Naela.
“Naikkan kaki atas tinggi sikit. Tak adalah rasa kebas,”
ucap Aqmal kepada Naela. Sama-sama membantu menguruskan gadis itu. Aqmal
mengalihkan tuala basah dari atas dahi Lamia ke bawah tengkuknya.
“Letak bawah ni. Lebih cepat panasnya turun,” ucap Aqmal.
Naela sekadar mengangguk.
“Mia dah makan ke?” tanya Aqmal sambil rambut Lamia
diusapnya penuh kasih sayang. Lamia hanya menggeleng. Usahkan makan.
Membayangkan nasi pun dia tidak mahu.
“Rehat ya? Insya-Allah nanti legalah sakit tu,” ucap Aqmal
perlahan.
“Kamu dah makan
ke, Mal?”
“Dah. Tak payah susah-susah, mak cik. Saya baru aja lepas
makan. Motor Mia saya dah bawa ke bengkel. Banyak juga rosaknya. Esok baru
siap.”
“Terima kasih banyak, Mal. Dah banyak kau tolong si Mia
ni.”
“Ish! Apa pulak mak cik cakap macam tu. Saya dengan Mia
bukannya orang lain.” Aqmal tersenyum lembut. Matanya kembali memandang Lamia.
Gadis itu masih terkebil-kebil merenungnya.
Namun entah bagaimana, Lamia tiba-tiba mengambil jemari
Aqmal lalu dilekapkan ke pipinya. Kala itu, ada air mata jatuh di tubir mata
gadis itu tanpa diketahui sebabnya.
“Mia, jangan sedih. Abang tak akan tinggalkan Mia seorang
diri.”
Lamia tidak menjawabnya. Dekat tapi jauh. Lelaki ini
selalu ada dekat dengannya. Tetapi ada sesuatu di dalam dirinya yang telah
membuatkan hatinya merasa cukup jauh.
BAB
10
SEMINGGU diberikan cuti sakit, Lamia semakin pulih. Namun kakinya
masih terhencot-hencot. Setiap hari Aqmal datang menjemputnya untuk dihantar ke
kampus. Pulang dia akan menunggu Aqmal di luar kampus. Kadang kala Mike yang
datang menjemputnya. Seperti hari ini. Aqmal ada hal penting di pejabat.
Terpaksa pulang lewat.
“Mak cik, cepat!” laung Mike setelah memberhentikan motor
di hadapan perhentian bas itu. Lamia bangun lalu berjalan terhencot-hencot ke
arah Mike.
“Cepat. Nanti bas datang,” ucap Mike lantas memandang ke
belakang.
“Apek, belilah kereta. Kau kan banyak duit?” rungut Lamia
saat duduk di belakang motor Mike.
“Nanti aku belilah. Kau jangan terkejut,” ucap Mike
lantas menggerakkan motor kapcainya pergi.
“Aku terpaksa hantar kau balik terus ni. Lepas ni aku
kena jumpa klien.”
“Kau ni tak habis-habis dengan klien,” rungut Lamia dari
arah belakang.
“Masa itu duit, lorr...” jawab Mike lantas menyeringai
bahagia.
“Yalah kau tu,” jawab Lamia perlahan.
Walaupun jalan raya sesak tetapi mereka sampai lebih awal
di rumah Lamia berbanding semalam.
“Boleh tak? Nak aku hantarkan kau ke dalam?” tanya Mike
setelah Lamia turun dari motor.
“Boleh. Terima kasih, Mike.”
“Sama-sama. Nanti kalau aku free, kita pergi minum ya?”
ujar Mike lantas tersenyum kepada Lamia.
“Okay. Bye.” Jawab Lamia lantas membalas senyuman Mike.
Seperti selalu, Lamia hanya bersendirian di rumah
sementara shif bekerja Naela masih belum tamat. Lamia duduk merehatkan diri di
sofa sementara menunggu maghrib. Namun telefonnya berbunyi. Lekas-lekas mencari
telefon dari dalam begnya. Bersinar terang wajahnya saat terpandangkan nama
Aqmal di skrin.
“Abang...”
“Mia dah sampai rumah?”
“Dah. Abang kat mana?” tanya Lamia lembut.
“Kat ofis lagi. Hari ni abang balik lambat sikit.”
“Oh...” wajah Lamia berubah sedikit. Kalau boleh dia mahu
Aqmal datang malam ini.
“Mia?”
“Ya.”
“Kaki sakit lagi?” lembut nada Aqmal teralun dari hujung
talian.
“Sakit lagi.”
“Abang bawa pergi urut, nak tak?”
“Tak naklah. Hari tu doktor kata jangan urut,” ujar Lamia
rendah.
“Okaylah. Jangan ganas-ganas sangat sambil buat kerja
rumah tu,” pesan Aqmal.
“Abang,” panggil Lamia.
“Ya.” Berbunga-bunga hati Aqmal mendengar itu. Nada itu
kedengaran sangat lembut.
“Ada apa, Mia?” tanya Aqmal tatkala gadis itu berdiam
pula.
“Err... abang free tak malam ni?”
“Mia nak ajak abang keluar ke?” balas Aqmal lantas tersenyum
sendiri.
“Kalau abang balik lambat, tak apalah. Lain kali aja.”
Aqmal diam di hujung talian seketika. “Kalau kita pergi
supper macam mana? Ibu bagi tak?”
“Entahlah. Kena
tanya ibu dululah,” jawab Lamia mula kembali bersemangat mendengar pelawaan
itu.
“Nanti Whats’App abang ya?”
“Okay.”
Lamia tersenyum-senyum sendiri setelah mematikan talian. Sedang
dia termenung, bunyi kereta berhenti di hadapan rumah membuatkan Lamia terjaga
dari khayalannya. Bersusah payah dia bangkit untuk melihat.
Terkejut! Dia melihat bapa saudaranya sedang berdiri di
luar rumah memandang ke arahnya.
“Pak long?”
“Sini!” panggil Hamsan tanpa terfikir hendak menyapa
dengan salam. Terhegeh-hegeh Lamia keluar dari rumah untuk mendapatkan pak
ciknya itu.
“Aku dengar kau masih berjumpa dengan Aqmal.”
“Ya.” Lamia menjawab tenang.
Hamsan merenung lama Lamia dengan nafas menderu tanda
hendak marah.
“Kau nak apa dengan dia sebenarnya?”
“Saya nak dia...” jawab Lamia selamba.
“Kau jangan nak kurang ajar dengan aku. Aqmal tu anak
aku. kau pun tak akan boleh dapat dia tanpa kebenaran aku. kau jangan lupa, aku
ni wali kau!”
Lamia ketawa kecil tanpa emosi. “Saya nak jugak Abang
Aqmal tu. Abang Aqmal sanggup buat apa saja untuk saya. Dia sayangkan saya.
Kalau tak percaya, pak long tanyalah dia sendiri.”
“Kau jangan nak libatkan dia dalam masalah duit tu, Mia!”
Hamsan membentak sambil memaut pagar di hadapannya.
“Kenapa? Pak long takut dia tahu ke? Kenapa tak cakap aja
terus terang? Dia mesti tak tahu pak long datang sini,” ujar Lamia lantas
tersenyum sinis.
Hamsan terdiam melihat keberanian Lamia.
“Aku tak ada duit nak bagi kau. Duit tu semua aku dah
laburkan dalam perniagaan aku.”
“Jadi saya nak separuh dari keuntungannya,” ujar Lamia
pula.
“Eh! Kau tak pernah sibuk nak ambil balik harta dari
sebelah mak kau. Apasal aku seorang aja yang kena???” Hamsan membentak semakin
tinggi.
Lamia ketawa jahat. “Tunggulah giliran mereka. Sekarang saya
nak pak long beri balik hak saya.”
“Kau jangan nak main-mainkan Aqmal demi kehendak kau,
Mia. Aku beri amaran terakhir. Kau gunakan Aqmal lagi, kau jaga!”
“Pak long nak buat apa? Nak halang kami? Pergilah
beritahu anak kesayangan pak long tu supaya jangan cari saya lagi. Kalau dia
jadi hak saya, dia tak akan jadi anak pak long lagi,” ujar Lamia dengan senyum
senang.
Berubah wajah Hamsan mendengar bicara angkuh Lamia.
“Hutang tetap hutang. Kalau pak long tak mampu beri cara
baik, saya akan dapatkan dengan cara tak baik!”
“Berani kau ugut aku sekarang ya?”
“Hidup tak selalunya boleh dijadikan boneka. Saya belajar
dari pak long juga. Ah... pergilah cakap dengan Aqmal, saya ni jahat. Pergi!
dia akan datang tanya saya. Dengan senang hati saya akan ceritakan siapa yang
ajar saya jadi jahat!” jawab Lamia selamba.
“Sebelum kau mampu buat apa-apa, aku akan suruh Aqmal
balik kampung. Kerja dengan aku. Kau tak payah nak tunjuk besar kepala dengan
orang tua ni, Mia. Aku ni lebih banyak makan garam berbanding kau.”
Lamia buat-buat terlopong. Kemudian buat muka sedih.
“Janganlah macam tu, pak long. Abang Aqmal tu sungguh-sungguh sayangkan saya.
Nanti dia merana. Macam mana? Pak long janganlah kejam benar halang cinta kami.
Kalau saya dah tak tahan rindukan Aqmal, terpaksalah saya ke sana cari dia.
Bukannya saya tak tahu macam mana nak cari Aqmal. Tapi lepas tu, pak long
jangan menyesal. Aqmal hak saya seorang. Sorry, pak long.”
Hamsan bertambah berang mendengar bicara Lamia. “Buang
masa aku layan kau ni!” cemuh Hamsan lantas kembali ke keretanya. Lamia ketawa
kecil sambil berpeluk tubuh.
“Ada hati nak ugut aku,” ujar Lamia sebelum masuk ke
dalam rumah. Namun kemudian dia tergelak seorang saat terbayangkan wajah lelaki
itu tadi.
“Haila... hari nilah hari yang paling membahagiakan aku,”
ujar Lamia puas hati.
“ABANG,” panggil Lamia sambil memandang ke luar jendela kereta
Aqmal. Lelaki di sebelahnya itu segera menoleh.
“Ya.”
“Abang sayang Mia, kan?” ucap Lamia tanpa memandang
Aqmal. Entah apa yang menarik dengan kegelapan di luar sana.
“Takkan Mia tak tahu lagi?” ujar Aqmal dengan kerutan di
kening.
“Cakaplah. Abang sayang Mia tak?”
Aqmal menoleh ke sebelahnya. Lamia sedang merenungnya.
Menantikan jawapan yang sahih.
“Abang sayang Mia.”
“Macam adik atau...?”
Aqmal ketawa pula. “Tiba-tiba Mia bercakap pasal ni. Kenapa?”
“Saja nak tahu. Kadang-kadang Mia keliru.”
“Keliru dengan perasaan abang atau keliru dengan perasaan
Mia sendiri?” ujar Aqmal lembut.
“Abang tak jawab pun soalan Mia.”
“Ya. Abang sayang Mia. Semenjak dulu abang sayang Mia
lebih dari seorang adik. Tapi abang bukan jenis orang yang suka memaksa,” jawab
Aqmal bersungguh.
“Suatu hari nanti abang akan kahwin dengan Mia, kan?”
“Ya. Kalau ada jodoh dan Mia sudi jadi isteri abang.”
“Kalau Mia kata Mia sudi macam mana?”
Aqmal segera menoleh ke sebelah. Terkejut! Dua kali dia
memandang Lamia. Cuba membaca kejujuran gadis itu.
“Kenapa tiba-tiba ubah fikiran?”
“Bila masa Mia ubah fikiran?”
“Dulu abang ingat Mia tak sudi terima cinta abang,” ucap
Aqmal.
“Mia tak pernah kata macam tu. Mia cuma tak bersedia
aja,” jawab Lamia selamba. Dia pun tak ingat, pernahkah dia berkata begitu?
Aqmal diam. Enggan memanjangkan kisah itu lagi.
“Mia bersungguh ke ni?”
“Keluarga abang macam mana?” tanya Lamia rendah.
“Abang akan berterus terang dengan ayah abang,” ujar
Aqmal perlahan.
“Maksud Mia, ayah abang akan setuju ke?” tanya Lamia.
Aqmal diam pula sambil mengusap dagunya. Jawapannya dia
sudah tahu. Tetapi dia tidak tergamak untuk melepaskan kehendak hatinya. Dia
terlalu ingin memiliki Lamia.
“Kalau ayah abang menolak, Mia nak pergi jauh dari
abang.”
“Mia...”
“Semenjak dulu semua orang menolak Mia. Macam Mia ni bawa
sial dalam keluarga ni.” Lamia menggumam rendah. Dalam nada sayu.
“Mia jangan cakap macam tu. Abang tak suka,” ucap Aqmal
lantas mencapai jemari Lamia.
“Abang akan jaga Mia baik-baik,” janji Aqmal bersungguh.
“Tapi kalau keluarga abang tak suka, abang kena
tinggalkan Mia, kan?”
“Janganlah doa macam tu. Tak baik.”
“Jawab ya atau tidak.”
“Tidak!” sambut Aqmal separuh menekan suaranya. Sekalian
itu dia memandang gadis di sebelahnya.
“Selalu abang balik kampung, abang jarang cerita tentang
paklong dan mak long, Mia tahu ada sesuatu yang abang cuba sembunyikan dari
Mia.”
“Mia rasa macam tu?”
“Ya. Mia dapat agak. Abang macam mengelak cerita pasal
pak long dan mak long. Ceritalah apa yang patut Mia tahu, bang.”
“Abang tak mahu Mia fikir masalah yang lain. Semua tu
abang yang akan selesaikan.”
“Tapi Mia berhak tahu, kan?” balas Lamia separuh merayu
nadanya.
Aqmal terdiam menghela nafas perlahan. Serba salah. Dia
tidak mahu Lamia bertambah kecil hati dengan ibu dan ayahnya.
“Cakaplah, bang.”
“Mak dan ayah abang tak suka kita kawan. Semenjak awal
lagi abah dah menentang. Tapi abang tetap dengan pendirian abang,” ujar Aqmal.
Berterus terang sahaja lebih baik. Lama kelamaan Lamia akan tahu juga.
“Sebab apa? Sebab Mia ni anak yatim piatu? Miskin?”
“Bukan. Sebab kita sepupu. Abah tak suka abang kahwin
dengan kaum kerabat sendiri,” ujar Aqmal.
Tak suka anak dia kahwin dengan kaum kerabat sendiri
konon, desis hati Lamia.
“Kenapa abang tak berterus terang dari awal?”
“Abang ingat dulu Mia pun tak suka kehadiran abang. Abang
aja yang terhegeh-hegeh. Kalau abang berterus terang, agaknya sampai sekarang
pun abang tak ada harapan untuk dekati Mia.” Jawapan Aqmal membuatkan Lamia
terdiam.
“Apa jadi sekalipun, abang tetap nak kahwin dengan Mia.
Sebab abang sayangkan Mia.” Aqmal menambah lagi sambil jemari Lamia
digenggamnya erat. Kesungguhan hatinya tidak perlu dipertikaikan lagi. Tidak
pernah dia memandang wanita lain seperti mana hatinya memandang Lamia dengan
penuh keistimewaan.
“Kalau ayah abang tetap tak izinkan, macam mana?”
“Abang akan selesaikan masalah itu.”
“Mia tak mahu abang tinggalkan Mia. Selain ibu, Mia hanya
ada abang aja,” ujar Lamia rendah.
“Ya, abang tahu, sayang. Abang tak akan buat begitu pada
Mia.”
“Tapi pak long tu wali Mia.”
“Mia, memang benar ayah abang wali Mia. Tapi abah tak ada
hak yang sama macam ayah kandung Mia, boleh melarang Mia menikahi calon yang
dia tidak restu. Lagipun negara kita ada undang-undang. Kita ikut saluran
undang-undang. Ada jalan keluarnya, sayang. Jangan risau ya?” ucap Aqmal
lembut.
Lamia menghela nafas perlahan. Tanpa segan silu dia
memaut lengan Aqmal lalu kepalanya dijatuhkan di bahu sang lelaki.
“Janji... abang tak akan tinggalkan Mia? Kalau abang
mungkir janji, Mia tak akan maafkan abang,” ucap Lamia bersungguh.
“Janganlah cakap macam tu. Mia fikir terlalu jauh,” ujar
Aqmal lembut.
“Mia cuma takut kehilangan abang.”
“Ya, abang faham. Hal yang abang perlu selesaikan, biar
abang yang selesaikan. Mia tak payah fikir.”
“Mia percaya abang.” Lamia menjawab sedikit manja. Aqmal
tersenyum akhirnya. Betapa dia merasa cukup bahagia dengan keadaan ini. Tidak
sia-sia kesabarannya selama ini. Doanya telah dimakbulkan Tuhan.
“Dan Mia nak kita kahwin cepat-cepat.”
“Kenapa?” balas Aqmal hairan. Tidak dapat membaca apa
alasan Lamia tiba-tiba sahaja mahu bernikah segera.
“Sebab Mia nak jumpa abang hari-hari,” jawab Lamia
semakin manja. Cukup untuk membuat jiwa Aqmal terbuai oleh rasa cinta.
Seolah-olah dapat dibaca tindak tanduk sang gadis yang memberi maksud yang
perasaan mereka senada.
“Ibu Mia macam mana?”
“Mia belum cakap apa-apa dengan ibu.”
“Abang rasa kita perlu cakap dengan dia dulu,” balas
Aqmal. Tidak mahu terburu-buru. Hati sedang suka, sudah tentu jalan bengkok
kelihatan lurus di mata mereka.
“Mia tak rasa ibu akan membantah.”
“Ya?” balas Aqmal lantas menoleh sedikit ke tepi. Tidak
dapat memandang Lamia dek kerana gadis itu sedang menempek di bahunya.
“Ibu selalu pesan pada Mia. Jangan keluar lama-lama
sangat dengan abang. Mia tahu, ibu takut kita terlanjur.”
Aqmal diam pula. Tidak mungkin dia akan menegakkan
pendirian yang perkara itu tidak akan berlaku. Mungkin tidak akan berlaku
begitu saja. Namun lubang untuk mereka ke arah itu masih terlalu besar.
Lamia mengangkat kepala pula. Dagunya diletak di atas
bahu sang lelaki. Kemudian lengan Aqmal diusapnya penuh kemesraan. Biarpun
hanya tenang, dada di dalam bergoncang hebat.
“Mia nak kahwin dengan abang,” ujar Lamia dalam bisikan.
“Ya, sayang. Abang tahu.”
“Abang milik Mia seorang aja,” ucap Lamia lagi. Jemarinya
lelaki itu disulam penuh kemesraan. Aqmal diam. Namun bibirnya tersenyum juga
sudahnya. Bahagia mendengar sebaris bicara itu.
Kereta terus dipandu pulang. Membawa harapan, semoga
suatu hari nanti dia dapat menjemput gadis pujaan hatinya ke singgahsana
impiannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan