BAB
23
HIDUP
mesti diteruskan. Itu nasihat
emaknya tatkala dia datang mengadu kesunyian hidupnya. Tidak dapat pulang
bertemu keluarga. Ayahnya tidak ingin melihat wajahnya. Jadi, dia terpaksa
sembunyi-sembunyi menjenguk ibunya.
“Mal dah cuba, mak. Tapi susah...” ucap Aqmal rendah.
Hiba hatinya dengan keadaan hidupnya ini. Sudah lima bulan berlalu. Luka di hatinya
tidak terawat. Dia tidak kisah jika Lamia tidak ingin kembali kepadanya lagi.
Tetapi dia masih terlalu inginkan ruang di dalam keluarga ini. Sayangnya,
Hamsan melayannya seperti musuh. Saat ini dia hanya dapat bertemu ibunya ketika
abahnya sibuk di pasar mininya. Dia terbuang tanpa diketahui apa salahnya
selama ini.
“Mak faham, nak. Tapi kuasa bukan sepenuhnya di tangan
kita. Sabarlah dengan dugaan ni. Mak tahu Mal kuat,” ucap Maria sambil mengusap
bahu anaknya.
Aqmal tunduk sambil membelek telefonnya. Skrin telefon
itu diusapnya sebelum dia kembali membuka ruangan aplikasi WhatsApp. Mesej
terakhir dari Lamia dibacanya tanpa jemu.
‘Maafkan
Mia, abang. Mia dah pergi jauh dari abang. Lupakanlah Mia. Mia tak mampu
berhadapan dengan abang lagi. Mia harap abang akan bertemu seseorang yang lebih
baik berbanding Mia.’
Aqmal tahu ketika Lamia memberikan kata-kata itu, Lamia
telah memilih untuk pergi jauh darinya. Agar dia tidak mampu menemui Lamia
lagi.
‘Di mana kan ku cari ganti...’ bisik hati Aqmal sedih.
Setiap kali dia membaca mesej itu, hatinya dihambat kepiluan yang amat dalam.
Maria menghela nafas panjang saat memandang wajah anak
lelakinya itu. Sedih yang hanya mampu dipendamkan. Inilah ujian. Mana mungkin
Tuhan begitu zalim membiarkan Aqmal menanggung kifarah dari kekhilafan suaminya
dahulu.
“Mak akan pujuk abah, Mal. Jangan bimbang ya?”
“Mal tak tahu abah pukul mak lagi. Biarlah, mak. Mal tak
apa-apa.” Aqmal mengangkat pandangan kepada ibunya. Sedih hatinya melihat raut
ibunya ini. Dia tahu emaknya sudah lama bersabar dengan sikap abahnya yang
keras itu.
“Mak tak suka tengok keluarga kita berpecah belah begini.
Biar sebesar mana kesilapan yang dibuat oleh anak-anak mak tak mampu nak buang
anak-anak mak. Apatah lagi membuang anak mak demi kesalahan orang lain,” ujar
Maria. Suaranya bergetar. Mungkin suaminya mudah memberi hukuman ini kepada
Aqmal. Tetapi sebagai ibu dia terlalu mendambakan kehadiran anak yang
dilahirkan dari rahimnya ini. Mengapa Hamsan tidak peduli kepada perasaannya?
Aqmal diam sambil membuang pandang. Setia ibunya kepada
seorang suami diharap mendapat reda dari Allah. Dia tahu ibunya tidak sekuat
mana. Dia sedar, tanpa ayah dan anak-anak, ibunya sebatang kara.
“Mak, janganlah risaukan Mal. Mal tak akan kalah dengan
cubaan sekecil ini. Allah bersama orang yang sabar.”
Air mata Maria jatuh. Tubuh Aqmal ditarik lalu anak itu
didakapnya erat. Tiada kata-kata dapat diberikan untuk menggambar kesedihan
hatinya atas semua ini. namun seketika kemudian Aqmal terpaksa meleraikan
pelukan ibunya. Kelibat kereta ayahnya kelihatan masuk ke kawasan rumah itu.
Hamsan terus keluar dari kereta setelah kereta
diberhentikan. Pandangan matanya terpasak kukuh kepada anaknya.
“Abah...” tegur Aqmal setelah dia bangun dari duduknya.
“Kenapa kau jejak rumah aku ni? Siapa suruh?”
“Dia datang nak jumpa saya, abang...” jawab Maria.
“Suruh dia berambus!”
“Abah, maafkan Mal kalau selama ni Mal mengecewakan abah.
Mal...”
“Baru kau sedar kau mengecewakan aku ya? Semenjak awal
kau berkawan dengan Lamia, kau dah mengecewakan aku. Sekarang padan dengan muka
kau. Perempuan jahanam tu dah tinggalkan kau bila dia dah ambil apa yang nak
pada kau!” cemuh Hamsan.
Aqmal diam. Tunduk.
“Bang, kalau Lamia nak tinggalkan Aqmal, saya tak hairan.
Kerana dia tak pernah kita besarkan selama ni. Tapi Aqmal ni anak abang. Kenapa
dia yang abang jadikan mangsa persengketaan abang dan Lamia?”
“Anak aku tak ada yang ingkar cakap aku!” balas Hamsan
lantas berlalu untuk masuk ke dalam.
“Abah...” panggil Aqmal. Cuba mendekati ayahnya. Namun
Hamsan berpaling kepadanya.
“Kau tak payah nak ambil hati aku lepas apa yang kau dah
buat. Lepas perempuan tu tinggalkan kau, kau nak minta simpati supaya aku
terima kau semula? Berambus! Aku tetap tak mahu kau balik jumpa aku!” ujar
Hamsan keras.
Langkah Aqmal terhenti tidak jauh dari abahnya. Hati yang
sedang berdarah semakin hancur luluh. Bibir terkunci tanpa perkataan. Namun
hati berkata-kata sendiri. ‘Salahkah aku? aku hanya berharap agar hak Lamia
dikembalikan. Kerana suatu hari nanti Allah akan bertanyakan semua itu.
Salahkah aku?’
“Pergi! Kau tak payah nak tunjuk muka sedih kau depan
aku. Kaulah anak yang paling tak berguna. Aku besarkan kau dengan titik peluh
aku. tapi sudahnya kau pilih untuk jadi musuh aku. Sekarang kau hiduplah
sendiri. Maria, masuk!” ucap Hamsan lalu berpaling untuk masuk ke dalam.
“Saya minta maaf, abah. Kalau abah rasa saya ni anak yang
tak berguna, saya minta maaf.”
Hamsan hanya buat tidak dengar bicara anaknya itu. Dua
bahu Aqmal jatuh melurut melihat keras hati ayahnya itu. Maria mendekati
anaknya itu. Tubuh Aqmal didakapnya.
“Sabarlah, nak. Beri abah masa ya?” ucap Maria perlahan.
Aqmal hanya diam. Seketika kemudian tubuh emaknya
dilepaskan. “Mak pergilah masuk. Mal balik dulu ya? Mak jangan bimbangkan Mal.
Mal akan bina hidup Mal semula,” ucap Aqmal rendah. Tidak mahu kerana dia
emaknya pula menjadi bahan untuk melepaskan geram ayahnya itu.
Air mata Maria bergenang saat menyentuh pipi anaknya itu.
Namun tanpa kata dia berpaling untuk masuk. Tidak mahu anak itu melihat dia
kesedihan hatinya. Lebih dari itu dia tidak mahu menangis di hadapan Aqmal.
Aqmal memandang lama pemergian ibunya. Jiwanya menangis
lagi menyaksikan satu lagi hati yang telah terkorban kerana kisah lama itu.
seketika kemudian dia berpaling untuk pergi. Tidak tahu pula bila dia akan
kembali lagi. Hanya kepada Allah dia memanjatkan doa agar diberikan
kesejahteraan kepada wanita yang telah melahirkannya selama ini.
TERDENGAR bunyi telefon berkali-kali, Aqmal bangkit juga. Skrin
telefon itu dipandang seketika. Nombor telefon ibunya tertera di skrin. Hati
Aqmal berdetak tidak sedap. Tidak pernah ibunya menelefon ketika ini.
“Mak...”
“Mal...” suara ibunya terdengar oleh Aqmal. Seperti baru
lepas menangis.
“Mak, kenapa ni?” tanya Aqmal lantas bangkit dari
ranjang.
“Belum ada berita tentang Mia?”
“Tak ada. Kenapa mak tanya tentang dia pulak ni?”
“Abah kau... baliklah sekarang. Abah kau rebah dalam
bilik air pukul 11 tadi.”
“Astaghfirullah...” jantung Aqmal berdegup kencang tidak
terkawal.
“Balik sekarang ya? Mak tunggu. Mak di hospital Kuantan
ni.”
Kelam kabut! Jatuh di bilik air saja... dia harap keadaan
abahnya baik-baik saja. Tapi dia hairan mengapa emaknya menangis tadi. Kereta
dipandu laju. Mujur juga jalan sudah lengang. Jam sudah menuju ke angka satu
pagi.
Aqmal tiba di perkarangan Hospital Besar Tengku Ampuan
Afzan ketika waktu sudah hampir menjelang subuh. Dia tercari-cari ibunya di
mana. Namun belum sempat dia menghubungi telefon ibunya, dia terlihat kelibat
adik-adiknya duduk di tembok tepi jalan agak jauh darinya. Aqmal berlari ke
arah Marissa dan Shamil segera.
Marissa bangkit dari duduk setelah terlihat Aqmal menerpa
ke arah mereka.
“Mana abah?” tanya Aqmal hairan melihat adiknya berada di
situ. Marissa menuntup mulut tidak mampu menjawab. Namun Shamel tiba-tiba
menunding ke satu arah. Aqmal memandang ke arah sana.
Dia terkaku serta merta. Di hadapan matanya ruangan
parkir untuk kereta jenazah.
“Abang, abah dah tak ada...” Marissa terus menghumbankan
dirinya ke dalam pelukan Aqmal. Aqmal masih kaku seolah-olah tidak percaya. Tidak
mungkin! Emaknya kata abahnya hanya jatuh di bilik air.
“Abah kena heart attack.”
Hati Aqmal hancur luluh mendengar itu. Satu lagi berita
yang memeritkan untuk ditelannya. Kekuatannya entah di mana. Hanya air matanya
gugur di pipi satu persatu demi menangisi nasib diri.
“Kenapa mak tak cakap dengan abang?” ucap Aqmal dalam
pada suaranya hampir tenggelam dalam rasa sebak. Sudahnya Aqmal menangis
tersedu-sedu di situ sambil memeluk dua adiknya. Ditumpahkan air matanya
sehingga dia merasa lega.
“Mak mana? Abang nak jumpa mak,” ucap Aqmal setelah
meleraikan pelukan adik-adiknya itu.
“Mak ada kat kerusi kat dalam tu. Ada bilik menunggu kat
depan tu. Pergi tunjukkan, Mel.”
Shamel akur dengan suruhan kakaknya itu. Langkah Aqmal
kian longlai saat terpandangkan emaknya duduk bersendirian di dalam sebuah
bilik. Dia dapat melihatnya dari luar.
“Mak...”
Maria mengangkat pandangan kepada anaknya itu. Air
matanya jatuh menderu sebaik sahaja terlihat wajah Aqmal. Aqmal segera
mendekati ibunya. Maria menangis saat tubuhnya didakap Aqmal.
“Abah kau dah tak ada, Mal.”
“Kenapa mak tak cakap dengan Mal tadi?”
“Mak tak sampai hati. Abah kau meninggal waktu di unit
kecemasan. Doktor tak mampu buat apa-apa lagi. Abah terkena serangan jantung...”
“Mal tak sempat jumpa abah, mak...”
Makin kuat esakan Maria mendengar luahan Aqmal. Kali
terakhir anaknya pulang ke rumah kira-kira dua bulan lalu, Aqmal dihalau oleh
suaminya. Hubungan Aqmal dan ayahnya tidak membaik sehingga ke akhir nyawa
Hamsan. Itu telah menimbulkan kekesalan di hatinya sebagai ibu. Dia tidak
tergamak memberitahu Aqmal ketika menghubungi anaknya malam tadi. Bimbang Aqmal
hilang fokus di jalan raya.
Aqmal tidak menangis kali itu. Reda dengan suratan ini
kerana setiap manusia itu akan pergi juga bila sudah sampai masanya.
“Saya nak tengok abah, mak.”
“Ada di dalam sana. Pergilah.”
Aqmal dibawa masuk ke ruangan pengurusan jenazah. Ada
ramai lelaki di dalam sana. Lama dia memandang jasad ayahnya yang sudah siap
dikafankan. Pilu hatinya tidak terucap lagi. Perlahan dia tunduk mengucup dahi
sang ayah. Air mata terasa ingin mengalir saat ada tangan mengusap bahunya.
“Sabarlah ya? Allah lebih sayangkan dia. Mak kamu kata
nak bawa balik cepat,” ucap lelaki itu. Aqmal memejamkan mata rapat-rapat. Hati
memanjatkan doa agar segala dosa-dosa ayahnya diampunkan oleh Allah. Hanya itu
yang mampu dibuatnya.
Jam sebelas pagi, jenazah Hamsan diangkat untuk dibawa ke
tanah perkuburan.
“Saya minta sesiapa yang mengenali Allahyarham Hamsan ni,
maafkanlah dia sekiranya ada berbuat salah selama hidupnya. Kalau ada dia
berhutang, ke marilah. Tuntut hutang itu sekarang supaya perjalanannya menuju
ke hadrat Allah tidak terganggu dengan urusan dunia yang masih belum selesai,”
ucap imam yang berdiri di hadapan pengusung jenazah.
Aqmal hanya diam mendengar itu. Seseorang yang diharapkan
berada di sini, tiada. Tidak tahu di mana dia berada kini.
“Kalau tak ada sesiapa yang tampil, kita teruskan ya? Al
Fatihah...”
Jenazah itu dikebumikan bersebelahan dengan pusara Husam.
Aqmal terus berdiam saat mendengar talkin dibacakan. Diri seperti tidak jejak
di bumi. Begitu banyak dugaan yang perlu ditepisnya. Sedangkan dirinya tidak
sekuat mana.
Biarpun begitu ramai orang menghulurkan tangan dan ucapan
takziah. Dia hanya mampu mendengar tanpa menjawab. Jiwanya masih terkesan
dengan pemergian tiba-tiba ini. ketika semua orang sudah pergi, Aqmal tetap
pegun di tepi pusara itu.
“Abah, maafkan Mal...” bisiknya seorang diri. Setitis air
matanya jatuh namun lekas disekanya. Payung dipacakkan di pangkal pusara itu. Seperti
mimpi. Ternyata janji Allah tidak terduga oleh manusia. Aqmal menyentuh tanda
pusara itu.
“Mal akan jaga mak baik-baik, bah. Damailah abah di sana...”
‘Ya Allah, aku mohon Engkau berikanlah belas dan
kasihan-Mu kepada ayahku ini. ampunilah dia. Tempatkanlah rohnya di kalangan
orang yang baik-baik.’
Pandangan dihalakan ke langit, namun hati Aqmal terus berkata-kata
sendiri.
Sedihnyer...
BalasPadam😢😢😢😢