Sabtu, 23 September 2017

ENGKAU KESUMATKU BAB 31

BAB 31
SEKELUARGA berkumpul pada malam hari. Seronok juga. Dia tidak pernah merasa ada adik beradik. Melihat adik beradik Aqmal bergurau sesama sendiri dia tumpang bahagia. Marissa juga menerima baik kehadirannya.
Aqmal suka duduk di halaman rumah sambil menikmati kopi pada malam hari. Melihat adiknya mengerjakan kereta Naza Ria milik arwah abah mereka. Aqmal mula berminat untuk ikut ambil tahu.
“Enjin baru ke ni?”
“Ha’ah... masuk enjin Toyota 2.5 6 silinder. Enjin lama Mel dah buang.”
“Berapa ribu beli enjin?”
“5 ribu.”
“Mana dapat duit?” tanya Aqmal hairan.
“Mintak dengan mak. Campur duit gaji kat kedai sikit. Senang sikit. Tak adalah problem macam dulu dah,” jawab Syamel. Aqmal mengangguk.
“Belum ada tawaran sambung belajar?” Aqmal mula mengubah topik.
“Belum.”
“Tak try di KL?”
“Tengoklah nanti. Mel nak siapkan kereta ni dulu.”
“Jangan makin jahanam kereta ni kau buat dahlah. Abang nak pakai kereta ni  sementara kereta abang masih kat bengkel,” ujar Aqmal. Baru dia berangan hendak meminjam kereta arwah abahnya ini. Rupanya sudah dikerjakan adiknya.
“Try dulu. Takut nanti abang menyesal cakap macam tu,” ujar Syamel lantas menyeringai. Aqmal hanya mencebik sambil ikut memandang enjin kereta itu. Sudah hampir siap.
Sedang dua beradik itu tertonggeng-tonggeng membelek enjin kereta itu, Lamia keluar. Saja hendak dengar apa yang dibualkan oleh dua beradik itu.
“Bayar baliklah. Banyak duit Mel habis kat kereta ni tau.”
“Alah... berkira. Kau jugak yang lanyak kereta ni sampai jahanam,” balas Aqmal.
“Mel dah tak ada duit ni. Mak kata nanti abang pergi luar negara. Balik nanti mesti dapat banyak duit. Hulurlah sikit,” rungut Syamel. Aqmal diam sambil mengusik-usik salah satu bahagian pada enjin itu.
“Siapa lagi pergi nanti?” tanya Syamel.
“Bos abang pergi juga.”
“Janda tu?” celah Lamia. Aqmal menoleh spontan. Lamia menjeling tajam sebelum berpaling masuk ke dalam. Gelagat Lamia itu sempat dilihat oleh Syamel. Hairan.
“Apasal?” tanya Syamel hairan.
“Tak ada apalah.”
“Ha... ni mesti ada apa-apa. Kak Mia sebut pasal janda tu semua. Abang ada skandal dengan janda pulak ke? Nak kena cakap dengan mak kalau macam ni.”
“Hish! Mulut kau ni elok disumbat dengan part enjin aja!” marah Aqmal. Takut benar perkara itu terdengar oleh ibunya. Jenuh dia nak menjawab.
“Ada apa sebenarnya?” tanya Syamel.
“Orang perempuan ni kadang-kadang suka memeningkan kepala dengan benda remeh temeh,” ucap Aqmal perlahan. Termenung sambil memandang ke arah enjin bisu itu.
“Maksudnya?”
Aqmal menoleh ke belakang. Seolah-olah mahu memastikan Lamia tiada di situ.
“Kak Mia... dia mengamuk waktu abang nak hantar bos abang balik ofis. Siap bertarik rambut kat tepi jalan. Malu besar abang, Mel!”
Ironisnya Syamel tergelak lantang serta merta. “Siapa suruh angkut perempuan lain? Dah tahu perangai Kak Mia tu macam tu yang abang tempah maut siapa suruh?” ujar Syamel. gelihati pula mendengar itu. Aqmal mendecit pula.
“Tapi bagus jugaklah. Bos abang tu pun dah tak merengek-rengek, mengada-ada nak tumpang kereta abang semenjak dia kena tarik rambut dengan Kak Mia,” luah Aqmal. Kadang kala gelagat Fariza juga memeningkan kepalanya. Sering membuat dia serba salah.
“Bos abang tu okay ke?” tanya Syamel perlahan.
“Entah. Lonely kut. Perempuan tu umur lagi banyak dari abang. Dekat 40 dah.”
Syamel ketawa semacam faham apa yang dimaksudkan abangnya itu. “Habis tu pergi Dubai berdua aja dengan dia ke?”
Aqmal mengangguk. Itu juga sedikit meresahkannya. Tugasnya membuat dan mengkaji mana-mana sektor untuk pelaburan memungkinkan dia kerap bertemu dengan orang luar bersama Fariza. Bukannya dia tidak nampak Fariza kerap menghimpitnya. Tetapi dia hanya buat tidak tahu. Melayan pun tidak.
“Pandai-pandailah. Mel pun tak tahu nak cakap apa,” ujar Syamel perlahan.
Aqmal menghela nafas perlahan. “Abang nak masuk ni. kau jangan lupa bersihkan lantai ni nanti. Licin dengan minyak.”
Syamel sekadar mengangguk. Aqmal segera menjengah ke ruang tamu. Hanya Marissa ada di situ sedang menonton tv.
“Kak Mia mana?”
“Entah. Dah tidur kut?”
“Mak?”
“Dah naik. Penat katanya.”
Aqmal segera berlalu ke arah tangga. Sebaik sahaja pintu kamarnya dibuka, dia terpandangkan bantalnya bertaburan di lantai. Sudah diagaknya. Lamia sedang tunjuk protes. Aqmal masuk ke kamar mandi. Tangannya dibersihkan di sinki.
Setelah dia keluar semula, dia lihat Lamia sedang berkelubung selimut sampai ke hujung kepala. Agaknya hati tengah sakit. Tidak mahu memandang dia. aqmal menaikkan bantalnya ke atas katil sebelum dia ke almari. Mencari baju tee dan seluar tidur untuk digantikan dengan baju melayu yang tersarung di tubuhnya.
Namun dia terdengar bunyi sesuatu di belakangnya. Setelah dia menoleh, bantalnya jatuh lagi di lantai. Aqmal merenung seketika bungkusan selimut yang pegun sahaja semenjak tadi.
Usai menggantikan pakaian, Aqmal mendekati bantal itu. Dikutipnya lalu dinaikkan semula ke atas tilam. Buat seketika dia berdiri merenung gelagat Lamia.
“Tak lemas ke berkelubung macam tu?”
“Biarlah! Buat apa abang nak peduli?” balas Lamia dari bawah selimut. Sakit hati! Rasa macam hendak dicakar-cakarnya wajah Aqmal kala ini.
Aqmal menghela nafas perlahan sebelum melabuhkan duduk di birai katil. Bantalnya diatur di kepala katil sebelum dia melabuhkan tubuhnya di situ.
“Jauhlah sikit! Kata tak suka!” marah Lamia lantas menyelak selimut. Bahu lelaki itu ditolaknya.
Aqmal segera menjauhkan bantalnya sedikit jarak dari Lamia. Lamia segera meletakkan bantal sehingga bantal itu membataskan pandangan mata mereka berdua. Seterusnya tubuhnya dihempas-hempas di tilam membuatkan tilam itu bergoyang. Beberapa ketika berdiam, Lamia buat hal lagi. Bantal peluk itu ditolaknya ke tempat Aqmal.
“Sanalah sikit. Sempit!” tukas Lamia.
Aqmal bingkas mengambil bantal peluk itu lalu dicampaknya ke lantai agak kasar. Lamia terdiam melihat Aqmal sudah mula naik angin dengan perangainya.
“Apa lagi yang tak cukup? Mia nak abang tidur kat bawah ke? Baru luas sikit katil ni.”
“Orang tengah marah ni, tak faham-faham lagi ke? Pujuklah cepat! Asyik kita aja nak kena pujuk dia!” marah Lamia lantas menghempas tubuhnya ke tilam. Saat itu dia terasa ingin menangis sahaja dengan kebekuan lelaki itu.
Aqmal menghela nafas perlahan. Dia tahu Lamia hanya inginkan perhatiannya. Dia tahu semua itu. Bukannya dia tidak mengerti. Tetapi bila masanya pula Lamia ingin mengerti akan perasaannya?
“Mia...” panggil Aqmal lantas mendekatkan tubuhnya kepada isterinya itu. bahu Lamia ditariknya namun Lamia menepis kasar.
“Cukup! Jangan buat abang ni macam tunggul.”
“Selama ni abang memang suka berlagak macam tunggul pun, kan?” balas Lamia.
“Dahlah tu...” ucap Aqmal perlahan.
“Mia ni jahat. Apa pun Mia buat, semuanya tak kena pada mata abang! Biar Mia jadi gila aja, baru puas hati abang.”
“Sudah. Abang kata sudah.”
Lamia menolak tangan lelaki itu dari bahunya. Dia mahu bangun dari situ. Dia mahu menangis agar beban di hatinya ini dapat reda. Namun Aqmal menarik tangannya sehingga dia terduduk semula. lelaki itu segera memeluk Lamia erat.
“Cukup. Abang tak mahu gaduh di rumah mak,” ucap Aqmal perlahan.
Lamia menangis juga akhirnya di dalam pelukan lelaki itu. Sungguh dia tidak kuat untuk dibenci Aqmal. Tidak berdaya. Puas menangis, Lamia jadi liar pula.
“Mia...” Aqmal cuba menepis tangan Lamia saat Lamia menarik bajunya ke atas. Tetapi perempuan itu tidak peduli. Dia tahu di mana kelemahan lelaki ini. Seperti dahulu, dia akan menakluki kelemahan itu lagi.

Dan malam itu, sekali lagi Aqmal kalah kepada kuasa yang ada di tangan Lamia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan