BAB
28
MEMANG benar. Bukan senang untuk mendekati Aqmal setelah dia
begitu mudah menyingkirkan lelaki itu dari hidupnya. Hidup serba tidak kena.
Begitulah Lamia. Aqmal begitu mudah mengelak darinya. Berjiran tiada ertinya
dia mudah mendekati lelaki itu. Sama sekali tidak.
Sudahnya dia jadi pengintip tegar pula. Awal pagi itu dia
lihat Aqmal masuk ke dalam kereta sambil berbual di talian. Bukan main gembira
lagi Aqmal. Hari Sabtu begini Aqmal tidak berkerja. Jadi dia sibuk nak tahu ke
mana Aqmal pergi sementelah dia melihat Aqmal tidak mengenakan pakaian untuk ke
pejabat.
Lamia pun mulalah mengekori dengan keretanya. Tetapi puas
mengekori, Aqmal rupanya hanya ke pejabat sahaja. Lamia nekad untuk menunggu.
Rela duduk di dalam kereta selama berjam-jam sehingga dia mula kebosanan. Kerja
sebagai spy sememangnya tidak sesuai untuknya.
Jam 11 pagi kelihatan kelibat Aqmal keluar dari lobi
bangunan Bank Negara. Di sebelahnya ada seorang perempuan. Buntang luas mata
Lamia melihat wanita itu masuk ke dalam kereta Aqmal. Seterusnya Aqmal memandu
pergi.
“Dia ada perempuan lain rupanya!” desis Lamia dengan mata
membulat. Terus sahaja dia menghidupkan enjin untuk mengekori. Tetapi di
pertengahan jalan, bayang kereta Aqmal hilang dari pandangan matanya. Sudahnya
Lamia sesat entah di mana.
Hampa. Berderai air mata Lamia saat memandu pulang ke
rumah. Barulah dia tahu rasanya bila diri diduakan. Sakitnya tidak tertahan.
Sudahnya dia ke rumah ibunya. Ingin diadukan rasa hampa dan lukanya ini.
Naela ketawa pula saat mendengar luahan anaknya itu.
“Kenapa ibu ketawa ni? Apa yang lucu? Ibu tak kesiankan Mia
pun!”
“Padanlah dengan muka Mia sendiri. ni namanya kifarah.
Bila kita sakitkan hati orang, akan ada balasannya.”
Lamia mencebik hampa. Ingatkan dapatlah meminta simpati.
Dipadankan pula dengan mukanya.
“Belum apa-apa Mia dah syak yang bukan-bukan. Entah-entah
itu kawan dia tak?” ujar Naela lagi.
“Selama ni Abang Aqmal tak pernah bawa perempuan naik
kereta dia.”
“Mana Mia tahu? Mia dah lama tinggalkan dia,” jawab Naela
biasa. Lamia diam pula.
“Mia, bertanya dulu pada Aqmal. Jangan jatuhkan hukuman
membuta tuli.”
“Macam mana nak tanya? Dia bukannya nak jumpa Mia pun.
Jahat sangat Mia ni,” jawab Lamia rendah.
“Sabarlah. Bukan mudah untuk kita ambil hati orang yang
dah kita lukakan, Mia.”
“Mia tahu Mia dah buat salah. Tapi takkanlah macam ni
sekali dia layan Mia? Tiap-tiap hari Mia tertunggu-tunggu dia balik.
Kadang-kadang dia tak balik. Entah di mana dia tidur,” luah Lamia lagi.
“Mungkin Aqmal ada rumah lain.”
“Tak mungkin! Mia tahu berapa banyak gaji dia. Mia tahu
dia mampu beli rumah ke tidak.”
“Mia rasa lepas arwah abah dia meninggal, Aqmal masih
macam dulu? Berdikit-dikit hidup untuk penuhi semua keperluan Mia? Dia tak
berganti baju tak apa asalkan dapat belikan Mia buku rujukan. Mia mampu beli
rumah sampai dua tiga buah tapi Mia lebih rela susahkan Aqmal hanya untuk buku
rujukan,” leter Naela.
Lamia terdiam pula. Tunduk merenung hujung jemari
kakinya. Tersedar akan khilafnya semula. Bukan sedikit silapnya kepada Aqmal.
“Baru diuji dengan susah sikit, Mia dah mengalah macam
ni. Bertahun-tahun dia berkorban untuk Mia, dia sabar. Mia tinggalkan dia pun
dia tetap sabar. Mia, ibu tahu... susah untuk Mia lepaskan Aqmal sebab semenjak
dulu dia senang untuk dipergunakan. Dia buat apa saja untuk Mia sebab sayang.
Ibu tahu tu.”
“Mia tak dapat nak buktikan keikhlasan hati Mia kalau dia
tak berikan Mia peluang, bu.”
“Itu bayarannya, Mia. Berbeza sebelum dan selepas Mia
lukai hati orang. Mia kena terima hakikat tu.”
Lamia menekup wajahnya sambil menggeleng berkali-kali.
Sukar untuk menerima hakikat jika benar Aqmal ada pilihan lain.
“Mia tak boleh terima kalau betul Abang Aqmal cintakan
orang lain, bu. Mia nak dia jadi hak Mia seorang saja! Apa yang patut Mia buat,
bu? Dia tak mahu bercakap dengan Mia,” keluh Lamia lantas meletakkan kepalanya
di atas paha Naela.
“Mia tak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Jangan
beranggapan melulu,” jawab Naela sambil mengusap rambut Lamia. Lamia diam
sambil matanya terkerdip-kerdip beberapa kali. Fikirannya selalu terbayangkan
Aqmal.
“Mia, pertahankanlah apa yang Mia mahukan. Insya-Allah,
Aqmal akan kembali semula kepada Mia. Mata mampu menipu. Tetapi hati kita
tidak, Mia. Jangan lekas putus asa begini.”
“Terima kasih, bu.” Lamia mencapai tangan Naela. Jemari
ibu kesayangannya itu dikucupnya tanda terima kasih dan sayang.
Petang itu Lamia pulang ke rumahnya. Namun hampa hatinya
melihat kereta Aqmal masih tiada di ruangan porch. Ke mana Aqmal pergi? adakah
Aqmal pergi berhibur dengan wanita itu? Hatinya terlalu mendambakan jawapan.
Sehingga ke malam dia berlegar di ruang tamu rumahnya.
Mengintai di cermin pintu gelangsar. Hanya setelah jam menunju ke angka 11
barulah kelibat kereta Aqmal kelihatan. Lamia segera keluar dari rumahnya.
“Abang...”
Aqmal yang sedang membuka pintu pagar segera menoleh.
Terlihat Lamia mendekatinya. Aqmal kembali memandang mangga pada selak pintu
pagar yang masih terbuka.
“Ada apa?” tanya Aqmal setelah Lamia berada dekat
dengannya.
“Abang pergi mana?”
Aqmal menegakkan tubuhnya sebelum dia memusingkan
tubuhnya menghadap Lamia.
“Abang ada hal di luar. Ada apa, Mia?” soalan tadi
diulangi lagi oleh Aqmal.
“Mia tunggu abang balik...”
“Kenapa tunggu? Siapa suruh tunggu?” balas Aqmal tanpa
menunggu Lamia berkata lebih lanjut lagi.
“Abang dah bencikan Mia?”
“Apa jenis soalanlah ni.” Aqmal menggeleng sambil mendekati
keretanya semula. Lamia meminggir, membiarkan Aqmal memindahkan kereta masuk ke
kawasan rumah. Lamia ikut masuk.
“Abang, janganlah layan Mia macam ni. Mia dah cuba
perbaiki kesilapan Mia. Apa yang abang nak Mia buat lagi?” luah Lamia setelah
lelaki itu keluar dari kereta.
Aqmal diam tanpa menjawab. Barang-barang dari dalam
keretanya diambil lalu diletakkan di atas bumbung keretanya. Lamia
terkebil-kebil memandang gelagat Aqmal. Ingin saja dia bertanya tentang wanita
itu. Tetapi dia takut jawapannya akan menyakiti hatinya lagi.
“Abang, cakaplah sesuatu dengan Mia.”
“Untuk apa?” balas Aqmal sebelum barang-barang yang sudah
disusun tadi dikautnya. Sedia untuk dibawa masuk bersamanya.
“Mia nak tahu apa yang ada dalam hati abang.”
“Mia lupa abang ni siapa? Abang ni anak pak long. Abang ni
salah seorang yang menyebabkan hidup Mia susah selama ni,” jawab Aqmal.
“Mia dah buat salah, abang. Mia tak sepatutnya cakap
dengan abang macam tu.”
Aqmal ketawa kecil. Namun hatinya pedih. “Apa yang
sepatutnya Mia cakap dan apa yang sepatutnya Mia buat, itu dua perkara yang
abang harapkan semenjak dulu. Tapi Mia larikan diri. Abang terkapai-kapai
sendiri. Sehari rasa macam setahun. Ah... nak buat apa abang sebut semua ni?
Bukan ke itu matlamat Mia? Mia nak hidup abang hancur.”
Lamia terdiam mendengar bicara suaminya.
“Baliklah. Abang ada banyak kerja nak buat selain dari
bercakap tentang ini.”
“Soal kita dah tak penting lagi ke untuk abang?”
“Ya,” jawab Aqmal perlahan.
“Kalau betul abang dah bencikan Mia, kenapa abang tak
lepaskan aja Mia? Jangan buat Mia macam ni!” tekan Lamia mula terasa sebak
dengan bicara Aqmal.
“Mia nak begitu ke? Betul?” balas Aqmal bersungguh.
Lamia berpaling serta merta. Dia terasa ingin meraung
sahaja. Aqmal di hadapannya ini sudah jauh berubah. Laju kakinya berjalan untuk
kembali ke rumah.
Aqmal hanya memandang sebelum dia menggeleng sendiri. dia
tahu Lamia menangis. Tetapi dia tidak ingin pergi memujuknya. Cukuplah selama
tiga tahun ini dia memujuk hatinya sendiri.
NEKAD! Sekali itu Lamia terlihat Aqmal singgah di rumah.
Keretanya dipakirkan di luar rumah semata. Lamia ternampak wanita yang sama
berada di dalam kereta Aqmal. Aqmal keluar semula dari rumah tidak sampai lima
minit kemudian dan memandu pergi.
Lamia menjejaki kereta Aqmal dari belakang. Hatinya
benar-benar sakit. Jika benar Aqmal mencintai wanita itu, dia rela dilepaskan
Aqmal. Ketika keretanya sudah berada dekat dengan kereta Aqmal, Lamia
membunyikan hon sekuat-kuat tidak.
Aqmal terkejut lantas menoleh ke sebelah kanannya. Terkedu
dia melihat kereta Lamia sedang bersaing dengan keretanya. Malah Lamia
menghimpit keretanya membuatkan dia hampir terbabas ke tepi. Aqmal akhirnya
memberhentikan keretanya.
“Siapa tu?”
Aqmal menghela nafas perlahan sambil menarik brek tangan.
“Isteri saya.”
“Wife you?” terbeliak mata Fazira mendengar itu. Terpandangkan
seorang perempuan terburu-buru keluar dari kereta lalu mendekati tempat duduk
Aqmal. Cermin kereta itu diketuknya ganas!
“Gangsternya wife you...”
“Jangan keluar,” ucap Aqmal perlahan sebelum dia membuka
pintu kereta. Tetapi Fariza juga ikut keluar mahu mendengar pertelagahan dua
manusia itu.
“Kau!!!” Naik hantu Lamia sebaik sahaja ternampak
perempuan itu. Tidak jadi mahu menyerang Aqmal dia sibuk mahu pergi menyerang
Fariza pula. Kelam kabut Aqmal mengekori isterinya itu.
“Eh! Eh! Apa ni??? Mal, tolonggg!!!” tidak sempat Aqmal
menahan, jemari Lamia lebih lancang menarik rambut Fariza.
“Mia!!!” marah Aqmal lantas menarik isterinya menjauhi
Fariza.
“Siapa perempuan tu ha? Dah banyak kali Mia nampak dia
naik kereta abang!!!”
“Dia bos abang!!!” tekan Aqmal lantas cuba menjauhkan
isterinya dari Fariza.
“Bos tak bos! Tak tahu malu keluar dengan suami orang.
Kau tak ada kereta sendiri ke kena tumpang laki orang???” terjerit-jerit Lamia
memuntahkan kemarahannya.
“Cukup!!!” tengking Aqmal. Tubuh isterinya digegarnya
kuat. Lamia terus terpaku memandang Aqmal. Tidak pernah suaminya sekasar ini
dengannya.
“Abang marah Mia demi perempuan tu?”
“Kita dah lama berpisah. Mia yang tinggalkan abang. Mia
ingat lagi? Abang cari Mia, tapi Mia dengan lelaki lain!!! Mia ingat abang ni
patung ke???” marah Aqmal. Tubuh Lamia longlai tiba-tiba.
“Dia cuma kawan Mia.”
“Fariza bos abang, Mia. Mia memalukan abang.”
“Abang keluar dengan dia banyak kali. Jangan tipu Mia!!!”
jerit Lamia lantas menangis. Dia mahu memeluk Aqmal tetapi lelaki itu lebih
cepat meleraikan pelukannya.
“Cukuplah. Jangan bersandiwara lagi. Abang dah pulangkan
apa yang Mia nakkan. Apa lagi Mia nak dari abang???” bentak Aqmal dengan
jegilan mata kepada isterinya itu.
“Mia nak abang! Kenapa abang tak faham!!!”
“Mia nak abang? Cakap sekali lagi???” Aqmal ketawa sinis.
“Mia hanya sudi datang pada abang lepas semua yang Mia
nak Mia dah dapat. Abang ni hanya boneka aja pada Mia. Demi kehendak diri Mia,
Mia sanggup lukai hati abang. Abang tak akan mampu lupakan semua itu, Mia!”
“Mia minta maaf, abang.” Tersedu-sedu Lamia menangis.
Setiap kali dia mahu menyentuh wajah Aqmal, lelaki itu pasti mengelak.
Melihat Lamia menangis, Aqmal segera melepaskan pegangannya.
“Pergi balik!” ucap Aqmal, sedikit mengendur nadanya.
“Mia tak mahu abang pergi dengan perempuan lain!”
“Dia bos abang. Abang kena hantar dia balik ke pejabat!
Abang tak suka Mia buat macam ni!” tekan Aqmal kembali keras nadanya.
“Ceraikan Mia kalau betul abang dah tak sayang Mia lagi!
Tapi jangan seksa Mia macam ni. Abang tahu Mia tunggu abang hari-hari. Sampai
hati abang layan Mia macam ni!” jerit Lamia dalam tangisan sayunya.
Aqmal diam merenung gelagat isterinya. Ikutkan hatinya
Lamia memang sudah ditengkingnya. Tetapi dia tidak sampai hati.
“Pergi balik. Kita bincang nanti,” ucap Aqmal perlahan.
Isterinya itu dibawa semula ke keretanya.
“Jangan pergi pada dia. Mia tak mahu abang sayang orang
lain selain dari Mia. Abang, tolonglah...” rayu Lamia saat Aqmal sibuk
menariknya ke kereta.
“Dia bos abang. Mia faham ke tidak ni??? Mia nak abang
tinggal dia tepi jalan ni???” ucap Aqmal dalam nada tertahan.
“Mia sayangkan abang. Hanya abang seorang yang pernah ada
dalam hati Mia.”
“Bohong!” ucap Aqmal pantas.
“Kenapa abang tak percaya? Mia tak pernah duakan abang.
Mia tak pernah lupakan abang.”
“Cinta tu tak ada maknanya bila Mia lebih utamakan
kehendak hati Mia. Mia ada cita-cita. Cita-cita Mia tinggi. Abang ni hanya
penghalang segala apa yang Mia hendakkan. Kenapa menyesal? Mia dah buat
keputusan dulu. Mia tak peduli apa yang abang rasa. Mia kembali semula ke sini
setelah apa saja yang Mia nak, berjaya Mia kecapi. Sayangnya, hati abang ni dah
hancur, Mia!” balas Aqmal bersungguh.
Lamia menekup wajahnya sambil menggeleng berkali-kali.
Bicara Aqmal itu, biarpun benar... ibarat belati mencincang hatinya.
“Mia salah. Waktu tu Mia tak cukup berani untuk mengaku
kesalahan Mia, abang. Maafkan Mia,” ucap Lamia sambil tersedu-sedu menangis. Lelaki
itu cuba disentuhnya. Namun Aqmal memilih untuk berundur setapak dari Lamia.
“Jujurlah pada diri Mia sendiri. Kalau abang yang
tinggalkan Mia, kalau abang yang lakukan kesalahan tu... boleh Mia maafkan
abang dan terima abang semula?” ucap Aqmal sedikit tajam nadanya.
Lamia terdiam sambil menekup mulutnya. Air matanya terus
murah tanpa dapat ditahan lagi.
“Beritahulah... kalau abang yang tinggalkan Mia, adakah Mia
akan maafkan abang?”
Lamia tidak dapat menjawab pertanyaan itu.
“Datang pada abang bila Mia dah ada jawapan yang jujur. Sekarang
pergilah balik. Abang ada banyak urusan penting sekarang,” ucap Aqmal lantas
menolak isterinya masuk ke dalam kereta.
Seterusnya Aqmal kembali semula ke keretanya. Fariza
masih setia berdiri di antara pintu yang terbuka sambil memandang Aqmal dan
Lamia.
“Saya minta maaf atas apa yang dia buat tadi,” ucap Aqmal
lantas masuk ke dalam kereta.
Wanita itu hanya diam. Tidak berani mahu bertanya Aqmal
dalam keadaan riak wajah lelaki itu ketat semacam. Aqmal terus memandu
keretanya pergi dengan segala macam kekusutan di benaknya.
Luka terpendam... N nk bg lamia matang
BalasPadam