BAB
27
AWAL pagi itu Aqmal ingin ke tempat kerja seperti biasa. Pintu
pagar dibuka kuncinya. Namun ketika dia sedang terbongkok-bongkok di hadapan
pintu pagar itu, dia ternampak kelibat Lamia di hadapan pintu pagar rumahnya.
Aqmal terpaku. Lamia sedang menyengih sambil melambai
kepadanya.
“Astaghfirullah...” keluh Aqmal perlahan. Namun dia terus
membuka luas pintu pagarnya untuk segera berlalu.
Setelah kereta dikeluarkan, Aqmal kembali untuk mengunci
pintu pagar. Saat dia berpaling, terlihat Lamia sedang berjalan ke arahnya.
Aqmal berdiri memandang gelagat wanita itu.
“Abang, tolong Mia. Kereta tak boleh hidup,” ujar Lamia
penuh dengan nada manis dan manja.
Aqmal menghela nafas perlahan. Tanpa mematikan enjin
keretanya, dia segera menuju ke rumah Lamia.
“Mia tinggal kat sini sekarang,” ujar Lamia saat berjalan
di belakang Aqmal.
‘Tak tanya pun...’ jawab Aqmal sekadar dalam hati.
Bukan main laju Lamia mengejar langkah suaminya. Bukan
main bergaya dia hari ini. Dengan kemeja putih agak mengikut bentuk tubuh dan
skirt separas lutut ketat dan kasut bertumit halus, bersolek pula lain macam tebalnya.
Dengan harapan Aqmal tergoda. Tapi lelaki itu macam tidak sudi memandangnya.
Kecewa!
Aqmal cuba menghidupkan enjin kereta itu. Tetapi memang
tidak boleh. Bonet segera dibuka. Pertama yang lihat, wayar pada bateri telah
dicabut. Macam sengaja dicabut. Aqmal kembali memasangkan wayer itu kepada
bateri.
“Start...”
Lamia segera menekan butang untuk menghidupkan enjin. Dan
enjin terus menyala.
“Wayar bateri tu jangan dicabut lain kali,” ujar Aqmal
sambil menurunkan semula penutup bonet. Lamia segera mencapai tisu dari dalam
kereta.
“Mana ada Mia usik,” jawab Lamia lantas mendekati
suaminya. Tetapi Aqmal terus menjauhi Lamia. Haruman yang dikenakan Lamia
begitu pekat seolah-olah sengaja mahu menggoda naluri lelakinya.
“Tangan abang tu kotor,” ucap Lamia. Aqmal memandang
tangannya spontan. Tidaklah kotor. Dalam pada itu jemari lelaki itu sudah
dicapai Lamia. Hujung jari Aqmal dilap dengan tisu. Aqmal terpaku dengan
kelembutan sentuhan Lamia pada jemarinya. Saat terpandangkan wajah Lamia,
wanita itu turut membalas pandangannya. Cahaya pada bola mata yang hitam pekat
itu memang menggoda.
Namun Aqmal segera tersedar sesuatu. Perempuan ini
sememangnya cukup-cukup pandai menggunakan kelemahannya. Pandai bersandiwara.
Bijak memanipulasi orang sekelilingnya. Dan satu hakikat yang amat penting,
Lamia tidak pernah mencintainya selama ini. Jemarinya lekas-lekas ditarik dari
Lamia. Wanita itu dijauhinya tanpa kata.
“Abang...” panggil Lamia. Aqmal hanya menoleh tanpa
menyahut.
“Terima kasih,” ucap Lamia lembut.
Aqmal segera mengangguk dan berpaling untuk ke keretanya.
“Malam ni kita dinner sama, boleh tak?” pelawaan itu
segera dilontarkan Lamia sebelum Aqmal menjauh. Namun Aqmal hanya menonong
pergi ke arah keretanya tanpa melayan ajakan itu.
Lamia terpaku sambil mengertap bibir. Sedih. Dia rasa
seperti hendak menangis sahaja melihat Aqmal tidak mempedulikannya. Terlalu
dingin seolah-olah sudah benci kepadanya. Sudahnya Lamia hanya terkebil-kebil
memandang Aqmal memandu pergi keretanya.
“Buat tak tahu aja dengan kita!” desis Lamia sambil dia
berpaling ke arah keretanya.
Bertugas sebagai akauntan di sebuah syarikat broker
saham. Kecantikan Lamia memanglah sangat mudah menarik perhatian kumbang lain.
“Hai...” sapa seorang lelaki di dalam lif.
Lamia hanya memandang. Sengihan itu entah kenapa membikin
rasa meluat.
“You baru kat sini ke? Tak pernah nampak?”
“Hmm... baru dua minggu kat sini.” Lamia menjawab acuh
tak acuh. Setelah lif terbuka Lamia segera keluar. Lelaki itu sempat menahan
pintu lif.
“Boleh I dapatkan nombor you?”
Lamia menoleh semula. Spontan dia mengangkat jemarinya.
“Apa maksudnya tu?” lelaki itu ketawa kecil. Dia terlihat
ada cincin di jari manis yang sengaja diusik oleh ibu jari Lamia.
“Sorry. Anak dah lima. Dalam perut ni ada lagi seorang...”
jawab Lamia selamba sebelum dia kembali berjalan untuk ke pejabatnya.
Terkedu lelaki itu mendengar bicara Lamia. “Kut ya pun
tak mahu layan, tak payahlah nak bohong aku kata anak lima bagai,” keluh lelaki
itu hampa. Isteri orang rupanya! Melepas lagi!
PETANG itu Lamia lekas-lekas pulang ke rumah. Dek kerana tempat
kerjanya dekat, perjalanan ke rumah amatlah singkat. Sampai di rumah, mulalah
dia berhempas pulas berperang di dapur. Dia tahu Aqmal akan pulang sekitar jam
9 malam. Setiap hari begitu.
Menjelang waktu yang dinanti, dia mula berdiri di sebalik
pintu gelangsar. Mengintai ke rumah Aqmal penuh setia. Menunggu lelaki itu
pulang. Jam 9 sepuluh minit malam, kelibat kereta Aqmal pun tiba.
Lamia bergegas naik ke atas. Wajahnya dihias
sebaik-baiknya. Pakaian ditukar kepada yang seksi-seksi. Kemudian dia berlari
turun ke bawah. Mangkuk berisi pai ayam kegemaran Aqmal dibawa ke pintu.
Penuh lenggok lemah gemalai sebagai kaum wanita yang
tidak berdaya, dia menghampiri rumah Aqmal.
“Assalamualaikum... abang... abang...” laung Lamia dari
luar rumah. seketika kemudian dia terpandangkan seseorang menyelak langsir
pintu gelangsar.
Aqmal menghela nafas perlahan melihat kelibat Lamia di
hadapan pintu pagar. Mahu tidak mahu dia keluar juga.
“Abang dah makan? Mia bawakan pai ayam kegemaran abang
ni.”
“Abang dah makan.”
Berubah wajah Lamia. Sentap! Sampai hati Aqmal jawab
begitu. Sekurang-kurangnya jawablah belum untuk menjaga hatinya. Susah payah
dia memasak.
“Abang tak sudi ke makanan yang Mia masakkan ni?”
Aqmal mengeluh sendirian mendengar nada rendah seolah-olah
sedang berjauh hati itu. Sudahnya dia menghulurkan tangan untuk mengambil
mangkuk itu.
“Tak ajak ke Mia masuk?”
“Dah malam. Abang penat ni, Mia.”
“Sampainya hati?”
“Mia masih sudi ke nak jejak rumah yang Mia pernah
tinggalkan dulu?” ujar Aqmal separuh memerli. Lamia terdiam mendengar jawapan
yang tidak disangka itu.
“Pergilah balik. Abang nak rehat.”
“Abang, Mia nak temankan abang makan. Biarlah Mia masuk.”
Aqmal menoleh semula kepada perempuan itu. “Abang dah
biasa makan seorang diri.”
“Abang, Mia minta maaf atas segala yang berlaku pada
kita.”
“Abang penat ni, Mia. Jangan sebut pasal tu semua. Abang tak
nak dengar lagi.”
“Abang tak mahu maafkan Mia?”
“Abang maafkan Mia. Tapi abang pun sedar, hidup Mia, hak
itu ada pada tangan Mia. Bila-bila masa Mia mahu, Mia akan datang. Bila rasa
tak mahu, Mia akan pergi. Tak kisahlah apa yang akan jadi pada orang lain.”
Lamia terdiam mendengar bicara Aqmal. Lelaki itu berpaling
untuk masuk ke dalam rumah. Namun Lamia tetap pegun di situ. Tidak juga
berganjak untuk pulang. Dua kali Aqmal menyelak langsir pintu gelangsar, Lamia
masih ada di situ.
“Apa dia nak lagi?” bisik Aqmal. Resah. Bukannya dia
tidak tahu akal perempuan seorang itu. Tidak susah mengikatnya kepada Lamia.
Lamia hanya perlu menggodanya sehingga dia meniduri Lamia. Sedangkan itulah
yang paling tidak diingininya.
Melihat Lamia masih berada di hadapan rumahnya, Aqmal
keluar juga. Dia lihat Lamia menangis.
“Apa lagi yang Mia harapkan dari abang? Pergilah pada
hidup Mia. Mia dah buang abang lama dulu,” ucap Aqmal setelah berada di pintu
pagar.
“Mia cuba harap abang akan beri Mia peluang untuk
perbaiki kesilapan Mia.”
Aqmal ketawa kecil sambil menggeleng. “Susah untuk abang
terima setelah abang tahu perempuan yang abang sayang hanya mempergunakan
kelemahan abang untuk kepentingan diri dia sendiri. Tanpa abang pun Mia bahagia
dengan lelaki lain. jadi, untuk apa semua ni lagi?”
“Mia minta maaf, abang.”
“Abang maafkan Mia. Cuma pergilah balik. Abang tak akan
buka pintu ni untuk bawa Mia masuk ke dalam hidup abang semula.”
“Tak akan tak ada peluang lagi untuk Mia?”
“Mia sayangkan abang selama ni?” tanya Aqmal lantas
ketawa kecil. Lamia tunduk.
“Tipulah kalau tiba-tiba Mia kembali semula ke sini dan
meminta untuk kembali semula abang kerana sayangkan abang. Abang tak mahu
lelaki yang tak ada maruah lagi, Mia. Abang pun ada perasaan. Pergilah balik.”
“Abang...” Lamia memaut pintu pagar di hadapannya itu.
Aqmal berlalu ke pintu rumahnya. Lamia tersedu menahan duka di hatinya melihat
ketidaksudian lelaki itu untuk menerimanya semula.
Dia sesal. Kerana suatu masa dahulu, lelaki itulah yang
paling banyak menyayangi dirinya.
Alahai sedihnya..
BalasPadamMia jgn putus asa tau
Tu ler balasan dendam yg tak sudah
BalasPadamBagus Aqmal.. Cukup2 merana sebab Mia tu.. Move on Dan cari perempuan lain yang lebih baik dari Mia tu..
BalasPadam