BAB
30
“MAK...” tegur Lamia setelah masuk ke dapur. Maria menoleh.
Senyum.
“Mia tak tidur ke? Tak penat?”
“Tak mengantuk pun,” jawab Lamia lantas mendekati emak
mentuanya itu.
“Aqmal buat apa?”
“Tidur,” jawab Lamia sepatah. Lelaki itu mengadu masih
mengantuk. Mahu lena sekejap.
“Sunyi aja. Mana Mar dengan Mel?”
“Mel tolong Mar kat kedai.”
“Mak nak masak apa?”
“Gulai tempoyak. Sebelum ni Mal ada call mak, minta masakkan
gulai tempoyak.”
Lamia diam sambil memandang gulai yang sudah hampir siap
di dalam periuk itu. Bau dan rupanya memang menyelerakan.
“Mia dengan Aqmal macam mana sekarang?” tanya Maria
perlahan.
“Macam biasa aja, mak.” Lamia menjawab rendah. Malu hendak
beritahu lebih-lebih. Dia percaya emak mentuanya sudah tahu keadaannya.
“Mal ada cakap hujung bulan ni dia nak ke Dubai.”
“Ha?” Lamia terpaku. Dia tidak tahu pun tentang itu.
“Dia tak ada cakap dengan Mia pun,” ujar Lamia perlahan.
Maria lekas memandang Lamia. Nada itu segera dapat diertikannya. Rajuk. Kecil
hati.
“Berbaik-baiklah kau orang berdua. Mak tak suka kau orang
bergaduh lama-lama. Yang sudah tu sudahlah. Mia, Aqmal tu sayangkan Mia. Terlalu
sayang. Tapi Mia kena sedar sesuatu. Jangan jadikan dia sebagai orang yang
terakhir dalam hidup Mia,” ucap Maria lembut. Lamia diam mendengar bicara
wanita itu.
“Mak nak ke rumah jiran lepas ni. Menantu Hajah Juriah tu
baru bersalin. baru balik dari hospital tadi dengarnya,” ujar Maria seketika
kemudian.
“Nak ikut?”
“Tak penat ke? Malam tadi kamu tu tak tidur?”
“Mia ada tidur sekejap dalam kereta semalam. Mata ni tak
mengantuk,” jawab Lamia lantas mencapai senduk di dalam periuk. Gulai yang sedang
menggelegak itu digaulnya.
“Bolehlah matikan api tu, Mia. Kering pulak kuahnya
nanti. Pergilah siap kalau nak ikut mak. Mak nak pakai tudung sekejap.”
Lamia segera mematikan api dapur. Kemudian dia berlari
naik ke kamar. Sekadar menukar pakaian yang lebih sopan untuk ke rumah jiran.
Aqmal dilihatnya masih lena sambil memeluk bantal peluk.
“Abang...” panggil Lamia sambil tubuh lelaki itu
digerakkan sedikit. Aqmal terjaga serta merta. Segera menoleh mencari wajah
Lamia.
“Mia nak ikut mak pergi rumah sebelah ya?”
Aqmal sekadar mengangguk sebelum kembali menyambung
tidur. Lamia bangkit dari duduknya lalu keluar dari kamar itu. Rajin mengekori
emak mentuanya dek kerana bosan. Rumah itu sunyi sekali.
Kehadiran Maria dan Lamia disambut oleh Hajah Juriah.
“Ni ke isteri Aqmal? Tak pernah Aqmal bawa balik kampung.
Risau orang kampung puji bini dia cantik sangat ke apa? Simpan dalam gobok kat
rumah dia di KL nun?” ucap Hajah Juriah senang. Maria hanya ketawa kecil sambil
memandang Lamia. Merona hangat wajah Lamia mendengar seloroh wanita itu.
“Marilah masuk.”
“Anak lelaki ke perempuan, Yah?”
“Lelaki. Syukurlah. Yang sulung dah ada perempuan. Ni lelakilah
pulak,” jawab Hajah Juriah sambil membawa tetamunya itu ke dalam kamar
menantunya.
“Masuklah. Ambil berkat. Mana tahu esok giliran kamu
pulak,” ujar Hajah Juriah sambil menepuk bahu Lamia. Lamia ketawa kecil
mendengar jenaka wanita itu.
Di dalam kamar itu, Lamia berkesempatan memegang anak
kecil yang masih merah. Betapa indahnya memandang raut yang sedang lena itu.
“Comelnya, mak.”
“Baby memanglah comel, Mia. Mana ada baby tak comel. Nak tengok
baby yang paling comel, cuba beranak sendiri. Tengok muka anak tu, tak ada anak
orang lain yang lebih cantik melainkan anak sendiri,” jawab Maria sambil
tersenyum. Belum ada rezekinya menimang cucu walaupun orang sekeliling sudah
bertambah-tambah.
“Usahakanlah supaya dapat baby cepat. Seronok tau ada
anak ni. Betul cakap Acik Ma tu. Kalau baby sendiri ni, kita rasa baby kitalah
yang paling comel,” ujar si ibu kepada Lamia. Lamia ketawa kecil mendengar
bicara Nafisah.
“Insya-Allah... belum ada rezeki lagi,” jawab Lamia
perlahan.
“Tak pernah nampak Mia kat sini? Mia duduk di mana?”
tanya Nafisah kepada Lamia.
“Saya baru balik dari UK. Baru lima bulan,” ujar Lamia.
“Oh... patutlah tengok Abang Aqmal selalu balik kampung
seorang. Mia kerja di mana sekarang?” tanya Nafisah lagi. Langsung tidak tahu
menahu kisah di sebalik itu.
“Ofis dekat Mid Valley.”
“Kami menetap di Sungai Buluh. Maklumlah, suami saya tu
askar.”
Panjang bualan mereka di kamar itu. Tidak sedar ada lagi
tetamu datang.
“Ha... ni lagi seorang datang nak ambil berkat. Nafisah,
pakai tudung elok-elok. Ni Aqmal datang nak tengok budaknya.”
“Dah pakai tudung pun, mak.”
Lamia segera menoleh ke belakang. Hajah Juriah menyelak
langsir ambang pintu itu. Aqmal ikut menjengah dengan salam dan senyuman. Nafisah
menjawab mesra salam lelaki itu.
“Anak lelaki ke perempuan?” tanya Aqmal lantas melabuhkan
duduk di belakang isterinya.
“Lelaki.”
“Bak sini abang nak pegang sekejap,” pinta Aqmal kepada
isterinya. Bayi itu masih lena di dalam pelukan Lamia.
“Subhanallah... comel budaknya,” ucap Aqmal saat
memandang anak kecil itu. Ubun-ubun anak kecil itu diciumnya berkali-kali. Maria
sempat mencuit paha Lamia, menyuruh Lamia memandang gelagat Aqmal.
Lamia tersenyum sendiri melihat gelagat suaminya. Ralit
benar membelek anak kecil itu. Tiba-tiba teringat satu nyawa yang pernah berada
di dalam rahimnya. Senyumannya memudar sedikit.
Melihat anak kecil itu sudah mula terjaga Aqmal segera
memulangkan kepada Nafisah. Dia bangun untuk keluar. Tidak mahu menganggu ibu
itu menyusukan anaknya.
Setelah pulang ke rumah, Aqmal terus naik ke tingkat
atas. Pejabat kecil itu dijejakinya semula. Banyak urusan yang perlu
disudahkan. Lamia muncul tidak lama kemudian bersama muk air.
“Abang tak mahu makan ke?”
“Kejap lagi. Abang ada kerja nak buat,” balas Aqmal tanpa
memandang Lamia. Dia sibuk membuka komputer di atas meja itu. Lamia mengambil
peluang itu untuk melihat sekeliling kamar itu setelah meletakkan air suaminya
di atas meja.
“Mia dah lapar ke?” tanya Aqmal seketika kemudian. Dia bangkit
dari duduknya lalu pergi ke rak buku. Peti deposit keselamatan itu dibukanya.
“Mia tunggu abang ajalah,” ujar Lamia lantas mendekati
suaminya. Dia lebih berminat untuk melihat isi kandungan peti itu berbanding
soal makan. Aqmal mengeluarkan beberapa buku dari dalam peti itu. Kemudian peti
itu sengaja dibiarkan terbuka.
Lamia menjengah ke dalam. Terpandangkan beberapa dokumen
lain ditindih dengan tiga gumpalan duit.
“Kenapa simpan banyak cash dalam ni, bang?”
Aqmal menoleh sekilas. “Duit untuk kedai dan sekolah. Untuk
waktu kecemasan juga,” ujar Aqmal. Serta merta terimbau keadaan ketika waktu
pengkebumian arwah abahnya. Hanya keluarga ini yang tahu, mereka sebenarnya
tiada berduit ketika itu dek kerana peti deposit keselamatan itu tidak dapat
dibuka. Emaknya pula memang semenjak dari muda tidak diberi memegang wang yang
banyak. Semua keperluan pengkebumian arwah abahnya bergantung kepada duit
gajinya yang mana ketika itu... sudah tengah bulan, sudah tinggal sedikit. Selebihnya
dihulur oleh tok penghulu.
Luaran nampak kaya. Hakikatnya mereka sangat menyedihkan
waktu itu. Sebagai anak lelaki sulung, dia benar-benar merasa tertekan. Kini dia
belajar dari pengalaman. Kunci peti deposit keselamatan itu turut dikongsikan
dengan Marissa dan ibunya.
“Mia nak tengok ni ya?”
Aqmal hanya diam setelah melihat apa yang dipegang Lamia.
Lamia terpaku memandang beberapa geran tanah dinamakan atas nama Aqmal.
“Semua ni tanah abang seorang?”
“Tak. Hanya nama abang seorang. Tapi ada bahagian adik-adik
abang. Abang hanya pemegang kuasa. Kita tak letak nama semua pemilik atas
geran, Mia. Harga tanah akan turun.”
“Oh...” Lamia termangu. Kurang tahu tentang itu.
“Tanah apa ni?”
“Sawit.”
“Yang dalam envelope ni tanah siapa? Kenapa nama orang
lain?” tanya Lamia lagi.
“Tanah tu dah dijadikan sekolah tahfiz.”
“Oh...” Lamia termangu memandang gumpalan wang itu pula. Terkejut.
Patutlah dia dengar Aqmal kata wang itu untuk kegunaan sekolah. Mungkin sekolah
Tahfiz itu yang dimaksudkan Aqmal.
Seterusnya Lamia meletakkan semula semua geran tanah itu
di dalam peti deposit keselamatan. Lamia mendekati Aqmal, berdiri di tepi
kerusi lelaki itu.
“Abang buat apa?”
“Cek akaun syarikat,” ujar Aqmal perlahan. Lamia diam
memerhatikan skrin komputer itu. Namun kemudian dia lebih berminat memerhatikan
gelagat Aqmal pula. Jemarinya dikalihkan ke atas bahu Aqmal. Aqmal menoleh
sekilas.
“Selalu abang balik kampung untuk selesaikan semua ni ke?”
Aqmal mengangguk sambil kembali memandang komputer itu
semula. Namun tiba-tiba ada jemari mula meliar di tengkoknya.
“Mia...” tegur Aqmal, kurang senang diusik ketika dia
sedang sibuk.
Lamia senyum. Aqmal sudah lupa hendak marah dia agaknya. Inilah
peluang terbaik untuk dia memujuk lelaki itu. Dari sekadar mengusik tengkok,
dia mengalihkan tangan ke rambut Aqmal.
“Abang tengah kerja ni,” keluh Aqmal lantas menurunkan
semula jemari Lamia. Tetapi Lamia lebih cepat melabuhkan punggungnya di atas
paha lelaki itu. Tanpa segan silu. Malah tidak takut jika lelaki itu naik
angin.
Aqmal terpaku sebelum dia menghela nafas perlahan. Kepala
digelengkan seketika. Lamia bersandar ke tubuh lelaki itu sambil sebelah tangan
Aqmal ditarik agar melingkari pinggangnya.
“Abang marah Mia lagi tak?”
“Marah.” Aqmal menjawab sepatah. Lamia terdiam pula.
“Bila baru abang nak berhenti marah Mia?”
“Entah,” jawab Aqmal sekadar sambil lewa. Marah kononnya.
Tetapi gelagat Lamia sekadar dibiarkannya. Tidak pula ditolak Lamia dari atas
pahanya.
“Mia nak abang yang dulu,” pinta Lamia dalam nada rendah.
“Abang yang dulu tak tahu dah pergi mana,” jawab Aqmal
tanpa mengalihkan perhatian dari skrin komputer itu.
“Mia tahu dia masih ada kat sini. Dia sengaja tak mahu
dekat dengan Mia.”
Aqmal diam pula. Lamia bersandar ke tubuh lelaki itu. Kepala
dihadapkan ke arah Aqmal. Membuatkan lelaki itu mula tidak senang duduk saat
merasakan wajah Lamia begitu dekat dengan lehernya.
“Pintu tu tak kunci, Mia.”
“Abang nak Mia kunci pintu ke?”
Aqmal menghela nafas perlahan. “Jomlah kita turun makan,”
ucap lelaki itu lembut.
“Kenapa abang nak larikan diri? Mengaku ajalah yang abang
masih perlukan Mia.”
“Ya, abang perlukan Mia. Mia perlukan abang? Atau Mia
hanya perlukan abang sekarang?” perli Aqmal pantas.
“Mia dah berubah, abang. Abang masih tak percayakan Mia.”
Aqmal menghela nafas panjang. Wanita itu dibangunkannya
sebelum dia ikut bangun. Komputer itu dimatikan sebelum dia menjauhi Lamia.
“Mia sayangkan abang.”
“Kita turun. Abang nak makan,” ucap Aqmal tanpa membalas
ucapan itu. Lamia mengertap bibir menahan kehampaan. Puas lelaki itu digodanya.
Aqmal masih liar lagi kepadanya!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan