Ahad, 17 September 2017

ENGKAU KESUMATKU BAB 11-15

BAB 11
“MAL...” panggil si ibu lembut.
Aqmal yang baru hendak menghirup kopi segera mengangkat pandangan.
“Ya, mak.”
Maria mengerling ke arah ruang tamu. Suaminya enggan datang ke meja makan kerana Aqmal ada di situ. Susah benar hatinya dengan keadaan ini.
“Pergilah pujuk abah tu. sampai bila anak beranak nak bertelagah macam ni?” ujar Maria lembut. Aqmal memandang ke arah ruang tamu. Ayahnya sudah hendak bertolak ke pasar mininya. Maria segera pergi menghantar suaminya. Namun Aqmal tetap di meja itu. memulakan sarapan pagi.
Tidak lama kemudian Maria kembali ke meja. Bersarapan pagi bersama Aqmal.
“Bulat benar hati kamu nak beristerikan Lamia tu?”
Aqmal mengangguk. “Mal balik ni sebab itu, mak. Mal harapkan restu mak dan abah.”
Maria tunduk memandang cawan kopinya. Sudah sejuk airnya. Perit memikirkan kemungkinan demi kemungkinan. Lebih dari itu, ada masalah besar jika mereka menerima atau menolak. Menerima atau menolak, sama saja. Tetap tidak mampu melepaskan mereka dari masalah.
“Mak tak setuju?”
“Mak ikut abah. Kalau dia setuju, mak setuju, Mal.”
“Mak, hanya sebab kami sepupu mak dan abah tak setuju? Tak masuk akal, mak.”
Maria diam tidak menjawab bicara anaknya itu. Aqmal tidak tahu. Alasannya lebih besar dari itu.
“Pujuklah abah,” ujar Maria. Selebihnya dia mahu suaminya menyelesaikan masalah lama itu. Tidak mampu lagi mereka untuk menafikan kebenaran, hidup dalam kebatilan.
Aqmal menghela nafas perlahan. Sebetulnya dia dan ayahnya sudah lama tidak saling bertegur sapa. Semuanya kerana Lamia.
“Mal sungguh tak faham kenapa abah berkeras benar seolah-olah Mal dah buat salah besar,” ujar Aqmal perlahan.
“Abah ada alasan dia sendiri.”
“Alasan apa, mak?” Aqmal memandang ibunya.
“Mal pujuklah abah baik-baik,” balas Maria tanpa menjawab soalan anak sulungnya itu. Aqmal diam mendengar itu. macam ada sesuatu yang sengaja dirahsiakan oleh emaknya.
Usai bersarapan, Aqmal merajinkan diri menjenguk pasar mini milik ayahnya. Sudah semakin maju kini. Beberapa pekerja menyapa kepadanya. Aqmal menyambut mesra. Kemudian dia mencari ayahnya di belakang pasar mini itu.
“Abah...” Aqmal masuk ke pejabat kecil, tempat ayahnya bekerja. Hamsan memandang sekilas anak sulungnya itu dengan riak wajah ketat. Aqmal mendekati meja sang ayah. Namun Hamsan hanya buat tidak tahu tanpa sepatah kata pun!
“Dah lama kita tak berbual,” ucap Aqmal perlahan.
“Kalau kau nak bercakap tentang hal kau nak kahwin dengan Mia, aku tak nak dengar. Aku kata tak boleh, makanya tak boleh!” barulah suara Hamsan kedengaran. Agak keras menyatakan pendiriannya.
“Bah, tolonglah jangan buat Mal macam ni,” rayu Aqmal rendah.
“Kau nak juga teruskan, kau jangan balik jumpa aku dan mak kau lagi.”
Aqmal tersentak. Sampai begitu sekali hukuman yang diberikan kepadanya. Apakah salah Lamia sebenarnya?
“Kenapa abah layan Mia macam ni? Apa salah Mia?”
Hamsan diam sambil meneruskan kerjanya. Banyak invois yang belum disemaknya.
“Abah...” panggil Aqmal lembut.
“Kau hanya tahu balik bila nak kahwin dengan Mia. Selama ni apa kau buat di KL tu? Berkepit sana sini?”
“Sebab tulah Mal nak kahwin, bah. Salah ke? Mal sayangkan Mia.”
“Tak ada orang lain ke selain dari sepupu kau sendiri? Apa kata mak ngah kau nanti???” tekan Hamsan.
“Apa yang mak ngah nak heboh? Ini hidup Mal, bah. Keputusan Mal. Mal hanya minta restu dari abah dan mak, itu saja!” tekan Aqmal mula nak naik berang dengan kerenah ayahnya ini.
Hamsan mula bersandar ke kerusinya sambil merenung tampang anaknya dalam-dalam.
“Kau nak kahwin sangat, aku boleh carikan orang lain. Tapi bukan Lamia.”
“Mal nak kahwin dengan Mia. Abah faham ke tidak ni?” tekan Aqmal.
“Dia tukan belajar lagi? Boleh ke dia bahagikan tugas sebagai pelajar dan isteri? Jangan dia pergunakan kau untuk tanggung pengajian dia, sudahlah.” Hamsan menjawab dalam nada sinis.
“Kalau ya pun apa salahnya? Bukan itu tanggungjawab kita ke? Sampai bila kita nak mengelak dari dia?” tukas Aqmal tetap dengan pendiriannya. Hamsan terdiam mendengar bidasan anaknya itu.
“Saya tetap nak nikah dengan Mia, abah.”
“Aku wali dia. Aku tak izinkan.”
“Kami akan mohon kebenaran dari hakim untuk bernikah.”
Bum!!! Bilik itu bergema dengan bunyi hentakan tangan Hamsan di meja. Jawapan Aqmal benar-benar membuatkan Hamsan berang.
“Dah besar panjang, kau melawan cakap aku ya, Aqmal??? Kau lupa siapa yang besarkan kau selama ni???” tengking Hamsan.
“Mal tak pernah lupa. Cuma Mal nak tahu apa sebabnya abah tak izinkan Mal bernikah dengan Mia. Mal tak boleh terima alasan abah yang kami sepupu. Dalam islam tiada larangan!” balas Aqmal serius.
“Sebab aku tak suka. Kau faham ke tidak? Aku tak suka!!!” herdik Hamsan membuatkan Aqmal terdiam.
“Susahlah bercakap dengan abah ni,” keluh Aqmal lantas berpaling menuju ke pintu.
“Kau jangan teruskan Aqmal. Kau dengar cakap aku!!! kau berdegil, sesen pun harta aku kau tak akan merasa!” bentak Hamsan ketika Aqmal membuka pintu untuk keluar.
“Mal nak nikah waktu Mia cuti semesta nanti. Abah setuju atau tidak, Mal tak peduli. Simpan ajalah segala harta abah tu. Mal tak berminat.”
Hamsan menghempas tubuh ke kerusi. Anaknya ini benar-benar membuatkan dia pening kepala. Sudah berjaya menjauhkan Lamia dari keluarga ini, Aqmal pula sibuk nak bawa Lamia kepadanya semula.
“Tak guna punya anak!” desis Hamsan seorang diri. Sudahnya dia mengangkat telefon. Nombor telefon Lamia didailnya.
“Hmm... ada apa, pak long?” ucap Lamia setelah talian berjawab.
“Aku tak izinkan kau kahwin dengan anak aku.”
“Okay. Saya akan beritahu dia tembelang pak long.”
“Mia!” bentak Hamsan lantas menegakkan tubuhnya.
“Kau buat macam ni pun dah tak ada gunanya pada kau. Aku tak ada duit nak bagi kau!” ujar Hamsan keras.
“Saya tak peduli. Saya nak Aqmal.”
Turun naik dada Hamsan mendengar jawapan Lamia. Lamia ketawa kecil di hujung talian.
“Pak long ni kenapa kejam benar? Duit saya pak long tak mahu bagi. Aqmal pun pak long tak mahu bagi.”
“Kau nak aku jadikan Aqmal sebagai galang gantinya?”
“Ya.” Lamia menjawab selamba.
“Kalau aku izinkan kau bernikah dengan dia, hutang tu macam mana?”
“Tengoklah dulu...” jawab Lamia selamba.
“Lamia, kau jangan nak ugut-ugut aku!”
“Saya tak pernah lupa apa yang saya lalui selama ini. Tak cukup itu, pak long ugut ibu saya sebab duit! Saya dibuang ke rumah anak yatim macam tu saja lepas pak long ambil semuanya. Siapa yang kejam selama ni???” balas Lamia sedikit meninggi.
Hamsan menggaru kepalanya setelah mendengar ungkitan Lamia.
“Sekarang ni apa kau nak?”
“Duit saya dan Aqmal.”
“Aku tak ada duit, Mia. Kau faham ke tidak???” bentak Hamsan.
“Tipu!”
Hamsan menghela nafas perlahan. “Kau nak Aqmal sangat, kau ambiklah! Tapi jangan sebut pasal duit tu lagi. Aku tak ada duit!”
“Tamak haloba!” cemuh Lamia. Klik! Talian dimatikan Lamia begitu saja.
“Tak guna punya budak!” dengus Hamsan sambil merenung skrin telefonnya. Tubuhnya dihempas ke penyandar. Lama Hamsan berdiam sambil termenung. Fikir apa cara yang ada untuk menutup mulut Lamia daripada Aqmal.
Bengang! Hamsan bangun dari kerusinya lalu mencapai kunci kereta. tanpa berpesan kepada pekerjanya, Hamsan pulang ke rumah.
“Mana Aqmal?”
“Ada di atas. Kenapa, bang?”
“Dia nak kahwin dengan Mia, kahwinlah. Tapi aku tak mahu dia bawa balik budak tu ke sini. Nak nikah, nikah di KL sana. Aku tak mahu ambil tahu dah tentang diaorang lepas ni.”
“Beritahu ajalah dia hal yang sebenarnya. Sampai bila nak berahsia?” ujar Maria.
“Sampaikan aja apa yang aku kata tadi. Tak payah nak ajar aku!”
Maria menggeleng semata saat memandang suaminya berlalu keluar semula dari rumah.
“Degil tak kena pada tempat. Harta bukannya boleh bawa mati, bang oi...” keluh Maria seorang diri.



BAB 12

“MASUK, MAL. Ajak mak dan abah tu masuk,” ucap Naela penuh kelembutan kepada tetamunya itu. Aqmal tersenyum. Hamsan macam biasalah... tunjuk riak terpaksa. Maria segera bersalaman dengan Naela.
“Lama tak jumpa, Kak Ma.”
“Yalah. Kak Ma ni kalau tak ada orang bawa ke sini, tak adalah dapat kita jumpa,” jawab Maria lembut.
“Samalah dengan saya ni, kak.” Naela menjamah bahu wanita itu dengan senyum mesra. Mempersilakan tetamu-tetamunya itu masuk. Di dalam rumah itu segala macam hidangan sudah disiapkan oleh Naela untuk meraikan tetamu.
“Aku ni malas nak sembang panjang-panjang. Aku tak pandai. Aqmal ni dah berkali-kali minta aku datang jumpa kau, Naela. Pasal hubungan dia dan Lamia. Ikutkan aku tak setuju. Tapi aku tak boleh nak buat apa kalau dah budak-budak ni berdegil,” ucap Hamsan. Kelat. Bukan sekadar degil. Siap ugut-ugut dia lagi!
“Saya faham, Bang Asan.” Naela menjawab rendah.
“Jadi, begini ajalah. Aku tak mahu nak buat kenduri besar-besaran kat rumah aku. Tak kuasa! Aku datang sini sebagai wali, dah cukup! Habis tanggungjawab aku. Yang lain kau orang uruskan sendiri,” ujar Hamsan tanpa berbasi basa lagi.
“Yang penting nikahnya, Bang Asan. Saya pun tak mampu nak adakan majlis besar-besar,” jawab Naela tetap lembut walaupun terhiris hatinya dengan bicara Hamsan. Aqmal hanya tunduk mendengar. Malas hendak bertelagah dengan ayahnya di hadapan orang luar.
“Mia mana?” tanya Maria.
“Ada di dalam bilik tu. Sekejap ya? Saya panggilkan,” ucap Naela lantas bangun untuk mendapatkan anaknya. Hamsan sudah mula menunjukkan rasa tidak senang mahu bertentang mata dengan Lamia.
Lamia keluar lalu duduk di sebelah Aqmal. Sengaja. Supaya lelaki itu dapat melihat wajahnya dengan jelas. Lamia sempat mengerling kepada bapa saudaranya itu. Hamsan tidak sudi membalas pandangannya.
“Beritahu dia apa yang aku cakap tadi,” ucap Hamsan kepada anaknya.
“Abah setuju kita nikah tapi kita tak buat kenduri.”
“Oh... okay. Mia ikut aje. Pak long tak ada duit, kan?” sambut Lamia.
“Ha?” Aqmal menoleh kepada Lamia. Wajah Hamsan berubah di hadapan semua orang. Marak dadanya oleh rasa benci dan marah kepada Lamia.
“Mana Mia tahu?” tanya Aqmal agak terkejut dengan bicara Lamia.
“Err... Mia teka aja,” jawab Lamia sambil mengerling bapa saudaranya itu. Aqmal memandang ke arah ayahnya pula. Dari raut kelat dan ketat ayahnya, dia tahu ayahnya sedang menahan marah.
“Abang Asan, Kak Ma... marilah kita makan. Mal, ajak abah dan mak ke meja.” Naela mencelah. Cuba meredakan ketegangan antara bapa saudara dan anak buah itu.
“Bah, marilah...” ajak Aqmal lembut. Lamia hanya mencebik sendiri.
Masam kelat wajah Maria cuba menghiburkan hati tuan rumah dalam keadaan suaminya langsung tidak mahu bercakap. Sungguh dia merasa amat terseksa dengan beban ini. Kedegilan suaminya terpaksa dipikul bersama.
Selesai makan, lekas sahaja Hamsan mengajak isterinya pulang.
“Kami ni perjalanan lagi dua tiga jam. Tu yang nak balik cepat. Maafkanlah kalau ada yang tak menyenangkan, Naela.” Maria sempat berbasi basa dengan tuan rumah.
“Ish! Tak apalah, Kak Ma. Saya tak ambil hati,” jawab Naela saat bersalaman dengan wanita itu.
“Ma, cepat sikit!” panggil Hamsan. Serba tidak kena untuk terus berada di situ. Aqmal mengiringi ibunya ke kereta.
“Mal, apa-apa pun jangan lupa balik jenguk mak ya, nak?” pinta Maria penuh harap.
“Ya, mak.” Aqmal tunduk mengucup tangan ibunya. Hamsan hanya buat tidak tahu kepada anaknya. Dengan muka ketat menunggu isterinya masuk ke dalam kereta. Sakit hatinya melihat Lamia memegang tangan Aqmal tadi. Sudah tidak tahu malu agaknya, menempel dengan anak bujang orang.
“Mak cik, maafkan saya tentang ayah saya ya?” ujar Aqmal kepada Naela setelah ibu dan ayah berlalu.
“Tak apalah, Mal. Mak cik tak ambil hati. Yang penting dia sudi beri kerjasama pasal kamu berdua ni. Itu pun dah cukup. Selebihnya, biarlah Allah yang ubah hati dia,” ujar Naela lembut.
“Mia, abang nak balik ni. Saya balik dululah, mak cik.”
“Yalah.”
“Mia temankan abang,” jawab Lamia lantas mengekori lelaki itu ke kereta.
“Mia, jangan ambil hati dengan perangai ayah abang tu ya?”
“Tak apalah. Mia dah biasa,” jawab Lamia rendah. Sedih? Tidak sama sekali. Dia tahu pak longnya itu takut benar dia membuka rahsia itu kepada Aqmal.
“Pak long marahkan abang juga ke?”
“Biasalah tu. Abang memang dah lama tak bercakap dengan dia,” ujar Aqmal biasa.
“Sebab Mia ke?” tanya Lamia perlahan.
“Mungkin ayah malu pada Mia. Susah nak akui apa yang dia buat dulu tu salah,” balas Aqmal sambil membuka pintu keretanya. Lamia diam merenung lelaki itu. Aqmal memandang Lamia semula setelah menghidupkan enjin.
“Abang jalan dulu ya? Mia jaga diri. Elok-elok bawa motor nanti.”
“Bye, abang...” Lamia mengangkat tangan melambai. Aqmal sekadar memberikan senyuman sebelum menutup pintu kereta.
Lamia berdiri di tepi jalan memerhatikan kereta Aqmal berlalu. Namun agak lama Lamia berdiri di situ. Memikirkan apa pula seterusnya yang akan dibuatnya. Membiarkan sahaja haknya tenggelam dalam pelukan orang lain? Memang tidaklah!

INGIN bernikah. Tetapi Lamia tidak pernah berbuat apa-apa sebagai persediaan melainkan beberapa hal wajib yang dituntut oleh pejabat agama. Pergi menghadiri kursus kahwin, membuat ujian saringan HIV. Selebihnya diuruskan oleh Aqmal. Malah hampir keseluruhan belanja juga dikeluarkan Aqmal.
Walaupun mereka menjangkakan pernikahan itu hanya sederhana, Naela tetap mahu Lamia menempuhi hari bahagia itu seperti orang lain. Hanya yang dia tidak tahu, Lamia tidak pernah merasa teruja dengan semua itu. Watak-watak suci terus dilakonkan penuh gaya.
Tetapi Lamia lupa akan sesuatu, bila-bila masa saja, Allah mampu menggoncang pendiriannya. 




BAB 13
MAJLIS pernikahan diadakan di rumah Naela serentak dengan kenduri kesyukuran. Berpeluang mengajak teman-teman sekerja. Lamia juga tidak kurang, mengajak teman-teman sekuliah hadir pada hari bersejarahnya. Orang yang paling sibuk membantu sehingga majlis itu berlangsung, sudah tentulah Mike.
“Pukul berapa sampai kadi?” tanya jiran terdekat yang sudah berada di rumah itu semenjak awal pagi.
“Jam 10 katanya.”
Lelaki itu memandang jam di pergelangan tangan. Masih ada 20 minit. Pengantin lelaki juga belum tiba.
Namun sedang Naela sibuk melayan tetamu yang terus datang, dia terpandangkan sebuah kereta berhenti di hadapan rumahnya. Sekadar menurunkan penumpang dan pergi. Mungkin untuk mencari parkir. Lama Naela merenung wanita yang berjalan ke arahnya.
“Naela ya?” wanita itu terlebih dahulu menyapanya dan menghulurkan tangan untuk bersalam.
“Kak...”
“Kak Kiah. Kakak ipar Rasyidah. Kamu pernah datang rumah akak dulu waktu arwah meninggal.”
“Ya... saya ingat. Tapi akak dah lain benar sekarang. Saya tak cam.”
“Dah tua. Memanglah begini. Akak ni ada kencing manis.”
“Mana suami akak?”
Rokiah tersenyum sedikit sambil menunduk. “Dah meninggal lama dah.”
“Allahuakbar. Innalillah... saya tak tahu, kak.”
“Ya. Kami pun tak tahu macam mana nak beritahu. Tak tahu mana kamu duduk dengan Lamia. Mujurlah sampai kad jemputan ke rumah kami. Kalau tidak, tak tahulah bila kita nak jumpa.”
“Lamia ada di dalam, kak.”
“Naela, sebelum akak jumpa dia... akak nak cakap sesuatu pasal amanah Abang Jalil dulu. dah lama kami mencari. Tapi akak ni balu. Anak-anak pun ramai. Tak sempat nak datang sini cari dia dalam keadaan alamat pun tak ada.”
Naela hanya diam menatap raut wajah Rokiah.
“Arwah Abang Jalil ada tinggalkan duit peninggalan arwah mak si Mia untuk dia. sepatutnya akak beri pada dia lepas dia habis sekolah. Tapi kita ni dah lama benar terputus hubungan. Jadi rasanya eloklah akak cakap sekarang. Duit tu masih tersimpan dalam ASB Abang Jalil. Akak tak pernah pergi uruskan duit tu sebab Mia tak ada. Takut terpakai pula nanti. Sementelah kita dah berjumpa ni, akak nak kita selesaikan wasiat arwah Abang Jalil tu.”
Naela terpaku merenung wajah Rokiah. Sungguh, dia tidak menyangka akan mendengar semua ini hari ini.
“Akak ni takut pegang amanah orang. Dulu arwah sebelum meninggal pun dah banyak kali pesan, jangan sesiapa usik duit tu sebab duit tu bukan duit Abang Jalil. Duit tu bukan pusaka dia. Itu hak Mia. Dia hanya pegang amanah untuk Mia.”
“Arwah meninggal sakit apa, kak?”
“Sakit barah usus. Bertahun juga sakitnya. Sepanjang dia sakit, dia asyik sebut pasal Mia. Risau takut Mia hidup susah. Kami ni pun, dapat duit pusaka arwah Rasyidah, banyak habis berubat kat Abang Jalil. Pernah dia kata, kalau dia sihat, dia nak ambil bela Mia. Dia satu-satunya waris Mia yang ada sebelah Rasyidah. Tapi hajat dia tak sampai,” cerita Rokiah. Naela tidak terkata mendengar itu. Sedih di hatinya tidak tertahan.
“Saya pun bersalah juga. Saya masih ingat jalan ke kampung Rasyidah. Tapi saya tak pernah ajak Mia ke sana jenguk akak sekeluarga.”
“Tak apalah, Naela. Syukurlah Allah beri kesempatan kita jumpa hari ni. Lega sikit hati akak ni.”
“Akak datang seorang aja ke?”
“Ada anak sekali. Cari parking sekejap. Penuh kereta kat depan ni.”
“Itulah... jalan depan ni memang sempit sikit. Marilah masuk, kak. Kita jumpa Mia.”
Rokiah mengangguk. Berdebar dadanya. Sudah bertahun-tahun tidak bertemu gadis itu. Bagaimana rupanya sekarang? Naela menyelak ambang pintu kamar Lamia.
“Mia...”
Lamia yang baru siap dihias oleh mak andam segera menoleh. Terpandangkan seseorang di belakang ibunya. Wanita itu merenung lama kepadanya tanpa berkelip.
“Mari, kak.” Ajak Naela kepada Rokiah.
“Mia ingat lagi tak? Ibu pernah cerita yang arwah ibu Mia dua beradik. Mia ada pak cik di kampung halaman mak Mia.”
Lamia sekadar mengangguk.
“Ni isteri kepada arwah pak long Mia.”
Rokiah tersenyum namun wajah Lamia jelas amat terkejut. Tidak pernah tahu akan hadir hari ini, detik ini.
“Arwah pak long Mia dah meninggal. Lima tahun lepas arwah ibu Mia meninggal. Dia sakit barah usus. Hasrat terakhir dia, dia nak jumpa Mia. Tapi tak sempat,” ucap Rokiah pula. Lamia terkaku. Entah kenapa dia terasa mahu menangis.
“Kenapa tak ada orang beritahu Mia?”
“Sebab kami tak tahu di mana Mia berada selama ni. Kami tahu Mia nak bernikah hari ni sebab ibu Mia ni kirimkan kad jemputan. Dah lama mak long cari Mia,” ujar Rokiah.
Lamia bangun mendekati wanita itu. Tangannya dihulurkan namun Rokiah menarik Lamia ke dalam pelukannya.
“Mia dah besar sekarang. Dah jadi anak dara. Cantik pulak tu. Kalau pak long tengok Mia sekarang mesti dia gembira.” Air mata Rokiah gugur saat menuturkan bicara itu. Bicara itu membuatkan Lamia menangis semahu-mahunya.
“Kak Kiah, sembanglah apa yang Kak Kiah katakan pada saya tadi dengan Mia. Saya nak tengok tetamu di depan. Kejap lagi tok kadi sampai,” celah Naela.
“Yalah.” Rokiah tersenyum lembut kepada Naela.
Sepeninggalan Naela, Lamia mengajak ibu saudaranya itu duduk di birai katil. Hanya mereka berdua di dalam kamar itu.
“Dulu waktu arwah mak Mia meninggal, pak long mendapat hak pusaka sebab dia satu-satunya adik beradik yang ada. Mak long masih ingat, arwah mak Mia tak ada tinggalkan apa-apa melainkan duit simpanan dan duit pampasan. Semua tu dinamakan atas nama pak long Mia. Pak long pernah berurusan dengan penghulu kampung tentang duit tu. Katanya, separuh dari duit tu mesti diberikan kepada Mia kerana Mia juga berhak pusaka dari ibu Mia. Pak long ada tinggalkan wasiat sebelum dia meninggal. Mia nak baca surat dia?”
Lamia segera mengangguk. Rokiah tersenyum sambil membuka beg di bahunya. Sekeping surat di dalam sampul yang sudah lusuh dihulurkan Rokiah kepadanya. Penuh hati-hati Lamia membukanya. Surat itu bertaip mesin taip.
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang...
Saya memiliki sebahagian harta. Rumah tinggalan ibu bapa saya, kini milik saya. Juga sebidang tanah kebun sawit 14.4 ekar, di mukim 14, Kampung Chiku. Wang simpanan di dalam Bank Simpanan Nasional dan tabung haji.
Setelah ketiadaan saya di atas dunia ini, 50 peratus dari wang simpanan itu mestilah digunakan untuk urusan pengkebumian saya, melunaskan hutang piutang saya sekiranya ada yang menuntut, zakat dan selebihnya digunakan untuk upah haji sekiranya saya meninggal dunia sebelum sempat menunaikan haji. Dan sekiranya ada kelebihan dari wang itu, maka bakinya disumbangkan kepada mana-mana rumah anak yatim atau digunakan untuk tujuan wakaf.
Manakala rumah tinggalan saya mesti diserahkan kepada isteri saya, Rokiah Binti Sahar demi kelangsungan hidup balu dan anak-anak saya. Sebidang tanah milik saya itu mesti dibahagikan antara balu saya dan tiga anak-anak saya menurut peruntukan faraid. Saya melantik Rokiah Binti Sahar sebagai pentadbir harta bagi anak-anak saya.
Sejumlah wang bernilai 480 ribu yang terdapat di dalam akaun Amanah Saham Bumiputera, kesemuanya harus diserahkan kepada Lamia Sabiya Binti Husam, anak saudara saya sebaik sahaja dia berusia 18 tahun. Ketiadaan saya bermaksud terhentilah tanggungjawab saya untuk menjaga amanah pusaka dari arwah Rashidah Binti Ahmad. Dan saya melantik Rokiah Binti Ahmad sebagai pengendali harta dan pemegang amanah bagi pihak Lamia Sabiya Binti Husam.
Saya melarang sama sekali mana-mana waris saya merebut atau cuba membahagikan wang tersebut, kerana wang itu bukanlah pusaka dari saya. Demi Allah, sebagai wasi dan pemegang amanah tetaplah dengan hukum dan takutlah kepada Allah.
Demikianlah surat penyataan wasiat dan hibah saya disaksikan oleh saksi-saksi yang saya percaya.
Pewasiat: Jalil Bin Ahmad
Saksi: Haji Nordin Bin Bahar
Lamia kembali memandang wajah ibu saudaranya itu. teduh sekali pandangan Rokiah kepadanya.
“Nanti kalau Mia ada masa, kita akan selesaikan urusan tuntutan duit tu ya?”
Lamia tiba-tiba memeluk Rokiah. “Mia ingat pak long tak pedulikan Mia.”
“Tidak, sayang. Dulu dia pernah kata, kalau dia sihat dia akan ambil Mia tinggal dengan kami. Tapi sayangnya hasrat dia tak kesampaian. Waktu dia meninggal, sepupu-sepupu Mia semua masih sekolah. Mak long tak dapat nak cari Mia. Waktu arwah mak Mia meninggal, pak long berhasrat nak jaga Mia. Tapi keluarga ayah Mia tak bagi. Kami terpaksa ikut aja. Pernah dia telefon pak long sebelah ayah Mia. Tapi tak dapat bercakap dengan Mia. Kali kedua, mak long yang call Husam. Katanya Mia tinggal dengan mak angkat. Mak long tak tahu apa sebenarnya yang berlaku pada Mia.”
Lamia menangis lagi. Sedih benar hatinya mendengar itu. Hakikatnya dia dihumban ke rumah anak yatim lepas semua haknya diselesaikan oleh Hamsan.
“Jangan nangis. Hari ni hari bahagia untuk Mia.” Rokiah mengusap lembut pipi gadis itu.
“Mia sedih sebab selama ni Mia sangka tak ada sesiapa pedulikan Mia. Mia hidup susah dengan ibu.”
“Pak Long Husam tak jaga Mia?”
Lamia hanya menggeleng. Rokiah menghela nafas perlahan. Sudah diagaknya. Waktu dia menghubungi Husam, lelaki itu seakan-akan marah dia bertanyakan tentang Lamia. Seolah-olah tidak mahu Lamia bertemu mereka lagi.
“Mia, lepas Sani masuk universiti, mak long ada suruh dia cari Mia. Tapi tak tahu hendak cari di mana,” jelas Rokiah perlahan. Bagaimanalah untuk dia mengusahakan semua itu? dia punya ramai anak hendak dibesarkan.
“Sani?”
“Sepupu Mia. Anak mak long yang sulung. Dia ada datang. Nanti Mia jumpalah dia.” Rokiah tersenyum. Lamia mengangguk lantas tersenyum.
“Mia...” tegur Naela dari ambang pintu. Kedua-dua mereka memandang ke arah pintu.
“Aqmal dah sampai.”
Rokiah kembali memandang Lamia. Bibirnya tersenyum. “Mak long harap Mia akan jadi isteri yang baik kepada lelaki yang akan menjaga Mia selepas ni.”
Lamia sayu. Dia tunduk mengucup jemari wanita itu. Sekian lama waktu berlalu, baru hari ini hatinya merasa tenang semula.


“AQMAL AMALLUDIN BIN HAMSAN...”
“Saya,” sambut Aqmal dalam pada dia tunduk memandang bawah.
“Aku nikah akan dikau dengan Lamia Sabiya Binti Husam, berwakilwali akan Hamsan Bin Hamid kepada diriku, dengan mas kahwin 300 Ringgit Malaysia, tunai.”
“Aku terima nikah Lamia Sabiya Binti Husam dengan mas kahwin 300 Ringgit Malaysia tunai.”
“Sah?” Kadi segera bertanya kepada kedua-dua saksi yang menelinga akad nikah itu.
“Sah!” kedua-duanya memberi jawapan yang sama.
“Alhamdulillah...” sambut kadi lantas menadah tangan untuk bacaan doa.
Lamia hanya tenang mendengar upacara bersejarah itu. Tidak seperti kelaziman anak gadis lain. Dia tidak menangis. Perasaannya biasa-biasa saja. Seolah-olah tiada apa yang menyentuh hatinya dengan semua ini. Saat dia menelinga bacaan doa, sempat dia memandang bapa saudaranya itu. Hamsan hanya diam tanpa sedikit senyuman. Rela dalam terpaksa.
Usai bacaan doa, bacaan taklik diteruskan sebelum mas kahwin diserahkan kepada Lamia. Sungguh berbunga-bunga hati sang lelaki saat memandang gadis pujaannya telah selamat menjadi miliknya. Bola mata Aqmal tidak mahu lepas dari raut Lamia. Pertama kali melihat gadis ini disolek indah seperti ini.
Saat kucupannya berlabuh di dahi sang isteri, hatinya mendoakan kebahagiaan diberikan kepada penyatuan mereka berdua. Naela tersenyum bahagia. Seolah-olah telah terlepas satu beban setelah tanggungjawabnya sebagai penjaga Lamia ditunaikan. Dia yakin Aqmal mampu menjaga Lamia dan memberi kasih sayang lebih dari apa yang termampu olehnya.
Hamsan kaku saat Lamia datang bersalam dengannya. Dia hanya memandang anak saudaranya itu tunduk mengucup tangannya.
“Abah...” ucap Lamia. Namun kedengaran seperti mengejek nada Lamia di telinga Husam. Kemudian Lamia pergi menghadap ibu mentuanya pula.
“Mak.”
“Mia...” bisik Maria bahagia saat Lamia mengucup tangannya. Namun ada kesedihan yang amat dalam saat memandang bola mata Lamia. Teringat suatu masa dahulu, anak kecil ini dibawa pergi dari rumahnya. Dia hanya mampu memandang biarpun naluri keibuannya dijentik oleh rasa sedih. Kenangan yang tidak mampu dilupakan.
“Terima kasih kerana terima Mia, mak.” Lamia bersuara perlahan. Maria memeluk erat batang tubuh Lamia. Entah kenapa dia menangis.
“Mak tahu Aqmal ikhlas sayangkan Mia. Mak harap kamu berdua akan bahagia berdua,” ujar Maria perlahan.
“Terima kasih, mak,” ucap Aqmal lembut. Sempat memandang isterinya. Lamia hanya tersenyum menatap raut ibunya.
Selesai upacara keramat itu, mereka diajak makan bersama tetamu yang lain. Mike sibuk menempel di tepi Lamia saat gambar pengantin diambil.
“Mike, makan sekali dengan dia orang. Kamu tu belum makan lagi,” suruh Naela.
Kembang setaman senyuman Mike. Duduk bersama di meja pengantin. Uniknya, dia duduk di sebelah kiri Lamia. Tanda dia adalah orang yang paling dekat dengan Lamia selama ini selain Naela.
“Aku dengar kau dah jadi orang kaya baru. Jangan lupa. Kita akan melabur dalam pelaburan baru,” bisik Mike.
“Otak kau ni tak habis-habis dengan profit, kan?” desis Lamia saat dia menoleh ke kiri. Sengaja tidak mahu Aqmal mendengar semua itu.
“Mestilah. Kita belum cukup kaya,” jawab Mike juga dalam bisikan.
“Jangan cakap dengan Aqmal pasal duit tu,” bisik Lamia lagi. Mike hanya mengangguk biarpun agak kurang senang mendengar itu.
Seketika kemudian Lamia menoleh kepada suaminya. Aqmal tidak perasan dia sibuk berbisik dengan Mike sebentar tadi. mulalah dia buat-buat mesra. Lauk pengantin dikaut masuk ke pinggan Aqmal.
“Cukup, sayang. Abang dah kenyang,” tegah Aqmal saat Lamia ingin mengambil lauk lain.
“Sikitnya abang makan?”
“Abang tak berapa lapar,” jawab Aqmal. Agak kurang selesa hendak makan dalam keadaan begini. Diperhatikan orang. Manis senyum simpul Lamia. Sengaja. Kerana dia sedar Hamsan dan Maria sedang memerhatikan mereka berdua.
Sehingga ke petang, Lamia dan Aqmal sibuk melayan kehadiran tetamu. Ramai juga rakan kerja Aqmal silih berganti datang bertandang. Hanya sekitar jam lima petang barulah pihak katerer dapat memulakan kerja mengemas untuk pulang.
“Alhamdulillah... tak membazir kita hari ni. Lauk semua habis,” ucap Naela dengan senyum senang. Hanya sedikit dapat dibekalkan untuk keluarga Rokiah dan Hamsan untuk mereka bawa pulang.
“Penatlah, bu.” Lamia mengeluh. Sendi kakinya lenguh. Tumitnya sakit. Berjalan sahaja semenjak tadi. belum dapat duduk.
“Sekejap lagi rehatlah,” sambut Naela. Dia juga keletihan.
Jam enam, Hamsan mengajak isteri dan anak-anaknya pulang. Hashimah dan suaminya turut ikut sekali. Mahu pulang serentak dengan abangnya.
“Terima kasih kerana sudi datang, mak ngah.” Aqmal bersuara perlahan kepada emak saudaranya itu. Sudah bertahun-tahun wanita ini tidak ditemuinya. Hashimah sudah selesa menetap di Johor bersama suami dan anak-anaknya. Tidak lagi pulang ke kampung.
“Kenapa pulak mak ngah tak datang? Kamu tu anak buah mak ngah,” ujar Hashimah lantas menarik anak saudaranya itu untuk didakapnya.
“Jaga Mia baik-baik ya?”
“Insya-Allah, mak ngah.”
Hashimah memegang tangan Aqmal seketika. Seperti ada sesuatu yang hendak disampaikan kepada anak saudaranya itu. Namun lidahnya kelu. Tidak tahu adakah dia harus mengucapkannya.
“Kenapa, mak ngah?” tanya Aqmal hairan.
“Kamu patut tahu sesuatu yang penting. Tapi... tak apalah. Bukan sekarang,” ujar Hashimah.
“Maksud mak ngah?” kening Aqmal berkerut.
“Tak apalah. Nanti-nanti aja. Ada masa, ajaklah Mia datang ke tempat mak ngah ya?”
Aqmal hanya mengangguk. Setelah itu seorang demi seorang sepupu-sepupunya datang bersalam dan mengucap tahniah. Seketika kemudian Aqmal mencari kelibat isterinya. Lamia baru hendak keluar mendapatkan dia.
“Keluarga abang dah balik?”
“Keluarga kita,” ucap Aqmal.
“Hmm... diaorang dah balik?” tanya Lamia selamba.
“Dah.” Aqmal jawab sepatah.
“Jomlah masuk. Mia nak tolong ibu kemas rumah,” ujar Lamia lantas berpaling semula.
“Mia, esok kita balik rumah sana ya?” ucap Aqmal saat berjalan di sebelah isterinya. Lamia sekadar mengangguk.
Melihat Naela terbongkok-bongkok mengatur semula kerusi di ruang tamu, mereka segera membantu. Kemudian Aqmal membantu menyedut kekotoran di lantai menggunakan penyedus hampagas. Lamia dan ibunya mengemas di ruang makan. Menjelang malam, mereka sama-sama sudah kepenatan.
Lamia menghempas tubuhnya di atas katil. Seketika kemudian Aqmal pula masuk.
“Abang mandilah dulu. Mia nak rehat sekejap,” ucap Lamia saat Aqmal duduk di sebelahnya.
“Penat sangat ke ni?” tanya Aqmal lantas mengirai rambut isterinya.
“Penat. Tumit kaki ni sakit sangat.”
Aqmal memandang hujung kaki Lamia seketika. “Abang mandi dulu ya? jangan terus tidur. Mandi. Solat isyak dulu,” ujar Aqmal lantas bangun semula.
“Tuala ada kat dalam almari tu. Buka pintu yang sebelah sini, bang.” Lamia sekadar menunjukkan satu bahagian almari. Sudah tidak terdaya hendak bangun. Setelah mendapatkan tuala yang dimaksudkan, Aqmal segera ke kamar mandi di bahagian dapur.
Namun ketika dia masuk semula ke dalam kamar, Lamia sudah terlelap dalam keadaan terlangkup di atas tilam. Menggeleng seketika Aqmal.
“Mia...” panggil Aqmal setelah dia selesai mengenakan pakaian.
“Hmm...” Lamia terjaga semula.
“Bangun. Mandi dulu, sayang. Solat isyak. Lepas tu tidur. Sekejap aja,” pujuk Aqmal.
“Malasnya...” keluh Lamia sebelum dia bangkit juga.
Setelah isterinya meninggalkan tilam, Aqmal mendirikan solat sendirian di sudut kamar itu. Setelah dia bangkit dari sejadah, Lamia pun muncul semula. Aqmal terpaku memandang Lamia begitu selamba berkemban tuala begitu singkat. Bergegar imannya melihat sesuatu yang tidak pernah dilihatnya. Lamia pula begitu selamba seolah-olah tidak ada sesiapa di sekelilingnya saat itu.
Ketika Lamia menoleh, Aqmal buat-buat memandang ke arah lain.
“Tak suka ke?” perli Lamia dalam pada dia menyarung baju tidur berbentuk dress ke tubuhnya.
“Hmm?” Aqmal menoleh semula.
“Tak ada apa-apa,” ucap Lamia pula.
Aqmal diam sambil mendekati katil. Dia pun sudah penat. Tanpa menunggu isterinya, dia berbaring di sebelah tempat Lamia berbaring tadi. Tidak sempat Lamia habis solat, dia sudah terlena.
Namun lelaki itu terjaga apabila tubuhnya diterjah oleh seseorang. sepantas kilat dia memandang ke sebelahnya.
“Sorry. Mia ganggu abang ya?” ucap Lamia lantas menyengih.
“Abang mengantuk sangat. Tertidur,” keluh Aqmal sambil memicit kelopak matanya. Namun Lamia menarik sebelah lengan lelaki itu lalu dia meletakkan kepalanya di atas dada Aqmal tanpa segan silu. Aqmal terpana begitu sahaja. Darahnya berdesir laju.
“Peluk Mia...” bisik gadis itu dalam gemeresik nadanya.
Perlahan Aqmal membelitkan sebelah tangannya ke tubuh Lamia. Sempat ditatap mata sang isteri. Lamia sudah memejamkan mata. Lalu kucupannya dilabuhkan diubun-ubun rambut Lamia sehingga gadis itu mendongak kepadanya.
Aqmal terpaku memandang dua ulas bibir yang sedang tergadah menghakis imannya. Lamia mengangkat kepala lalu memindahkan kedudukan sehingga kepalanya hampir sama paras dengan kepala Aqmal. Spontan gadis itu melepaskan kucupan di di hujung bibir Aqmal.
Segala tindak tanduk yang cukup memancing gelora itu membuatkan Aqmal tidak mampu berkata apa-apa.
“Mia tidur ya?” bisik Lamia lantas tersenyum sebelum memejamkan matanya. Lengan lelaki itu semakin ditariknya seolah-olah mahu dipeluk dengan lebih erat. Aqmal hanya diam memerhatikan wajah yang teramat dekat dengannya.
Tetapi Lamia benar-benar terlena setelah itu. Aqmal terbiar sendirian. Bebas memerhatikan dirinya. Aqmal melepaskan helaan nafas sambil memandang atas. Dia juga kepenatan. Tetapi kemesraan Lamia membuatkan mengantuknya entah di mana kini.
Fikirannya hanya sesak dengan bayangan Lamia yang liar sebentar tadi. Tatkala Lamia sudah benar-benar lena, kepala isterinya diletakkan di atas bantal semula. Kemudian dia berbaring. Setelah itu, barulah matanya mampu lena dengan aman.



BAB 14
SEHARI selepas bernikah mereka berpindah ke rumah teres yang disewa oleh Aqmal. Sedar yang Lamia tidak suka tinggal di apartment. Jadi, dia menyewa rumah teres di SS 14, Petaling Jaya. Sedaya upaya menyediakan apa yang diinginkan oleh isterinya.
Lelaki itu mengajak Lamia bersarapan pagi di luar sahaja. Semalaman mereka sibuk mengemas. Lagipun ada sebahagian barang dapur masih belum dibeli oleh lelaki itu.
“Mia drive. Mia ada lesen, kan?” ucap Aqmal setelah mencucuh kunci.
“Tak nak. Mia tak pandai.”
“Belajar. Nanti mahirlah tu,” ucap Aqmal lembut.
“Tak naklah. Mia nervous kalau ada orang kat sebelah.”
Aqmal ketawa gelihati dengan alasan Lamia. “Habis tu abang kena duduk atas bumbung ke atau dalam but?”
Wajah Lamia berubah cemberut. “Abanglah drive.”
“Marilah. Selagi tak cuba, selagi tulah tak tahu. Abang ajarkan.”
“Esoklah. Hari ni tak ada mood,” jawab Lamia tetap mahu mengelak.
“Sinilah abang ajarkan,” ucap Aqmal semakin bersungguh.
“Taknaklah...” gerutu Lamia. Ada ke dia disuruh memandu? Manalah dia mahu. Dia hanya pernah memandu kereta ketika mengambil lesen dahulu. Dia tidak mahir dan sudah lupa.
“Sampai bila tak mahu cuba? Marilah,” pujuk Aqmal lantas menarik tangan isterinya ke tempat pemandu.
“Nanti rosak kereta abang, Mia tak tanggung ya?”
“Tidak...” ucap Aqmal lantas ketawa kecil. Sesudah Lamia masuk ke tempat pemandu, dia mengambil tempatnya pula.
“Buat apa dulu?” tanya Aqmal saat Lamia hanya pegun di kerusi.
“Masuk gear...”
“Salah!” Aqmal melepuk tangan Lamia yang cuba mencapai gear.
“Err...” Lamia memandang sekeliling. Apa ya? Dia sudah lupa.
“Dulukan cikgu belajar memandu dah ajarkan. Pertama sekali buat apa?” ucap Aqmal tetap lembut.
“Betullah masuk gear dulu,” balas Lamia bersungguh.
“Okay. Masuk gear,” balas Aqmal lantas memuncungkan mulutnya ke arah gear.
“Ke atas ke bawah, bang?” tanya Lamia. Takut hendak mencuba.
“Manalah abang tahu.”
“Err... ni gear satu,” ucap Lamia dengan yakinnya menarik gear ke bahagian hujung lalu ditolak ke atas. Namun baru dia hendak menekan minyak, enjin mati setelah dia melepaskan klac.
“Eh! Melompat!”
Aqmal tersenyum-senyum semata. Lamia terkial-kial mahu menghidupkan enjin semula. Namun sekali lagi kereta itu terlompat akibat gear tidak berada di kedudukan bebas dan klac tidak ditekan.
“Mia tak pandai. Malaslah macam ni!” Lamia mula putus asa apabila Aqmal hanya memandang sahaja. “Bukannya nak ajar. Tengok aja,” rungut Lamia sambil memandang ke luar. Aqmal ketawa gelihati melihat gelagat isterinya.
“Betulkan kerusi dulu. Sebab tu kaki susah nak kontrol klac tu,” ucap Aqmal.
“Oh ya... Mia lupa.”
“Tadi abang kata salah. Mia kata betul. Degil.”
“Tak ingatlah.” Lamia tersipu-sipu sambil membetulkan kedudukan kerusi agar kakinya dapat menekan klac dengan selesa.
“Pasang seatbelt,” arah Aqmal sambil menarik talipinggang keselamatan miliknya. Lamia ikut juga memasang ke tubuhnya.
“Freekan gear, baru hidup enjin.”
“Okay.” Satu persatu arahan suaminya diikutinya. Namun dada di dalam bergendang gemuruh.
“Tekan klac sampai habis, masuk gear satu.”
“Okay. Dah!”
“Tekan klac serentak dengan lepas pedal minyak. Lepas sikit-sikit,” beritahu Aqmal. Lamia tegak di kerusinya. Kecut perut. Dan enjinnya mati lagi sekali.
“Tak apa. Abang bukannya nak makan Mia. Cuba sekali lagi,” ujar Aqmal saat Lamia memandangnya dengan riak wajah bersalah.
Setelah dia mencuba sekali lagi, akhirnya kereta itu bergerak biarpun baru sedikit dilepaskan pedal dan klac.
“Senang, kan?” ucap Aqmal setelah kereta itu merayap perlahan untuk ke pintu pagar.
Lamia mula tersengih setelah kereta itu bergerak tanpa tersenggut-senggut di atas jalan besar. Dia mula merasa yakin. Namun bukanlah jauh benar mereka pergi sekadar untuk mendapatkan nasi lemak sebagai alas perut.
“Okay tak?” tanya Aqmal setelah kereta itu berjaya masuk ke parkir.
“Okay.” Lamia tersenyum gembira.
“Balik nanti Mia drive lagi ya?” ujar Aqmal sambil menolak pintu kereta. Lebar senyuman Lamia. Adalah peluang untuk dia memunya kereta suaminya nanti!
“Mia nak makan nasi lemak,” ucap Lamia setelah terlihat pelbagai jenis sambal untuk nasi lemak di salah satu gerai medan selera di situ.
“Mia nak kat sini?” tanya Aqmal. Lamia terus mengangguk. Perut berkeroncong tiba-tiba. Aqmal membiarkan Lamia memilih makanan di situ. Dia pula pergi menyelusuri gerai-gerai lain.
Selesai mengambil makanan Lamia memandang sekeliling. Terpandangkan suaminya sedang berdiri di gerai selang dua gerai darinya.
“Kak, bayar dulu ke?” tanya Lamia kepada tuan gerai.
Terkocoh-kocoh tuan gerai mendekati pelanggannya. Sekadar melihat apa yang diambil Lamia.
“Makanlah dulu. Air apa, dik?”
“Teh tarik.” Lamia menjawab sambil berpaling. Namun terhalang oleh batang tubuh seorang lelaki.
“Excuse me,” ucap Lamia cuba mengelak. Namun lelaki itu seperti sengaja menghalangnya.
“Nama siapa?” tanya lelaki itu.
“Tak tahu! Tepi sikit boleh tak?” jawab Lamia malas hendak melayan.
“Makanlah dulu. Abang bayarkan sayang punya nanti,” ucap lelaki itu lantas menyengih miang.
Lamia memandang tajam lelaki asing itu dari atas ke bawah. Spontan dia menunjukkan lima jarinya kepada lelaki itu. Kemudian dia melangkah ke tepi untuk mengelak dari lelaki itu.
“Apa maksudnya tu?” tanya lelaki itu kepada Lamia sambil menyengih.
“Tak nampak ke jari merah berinai tu, dik? Maknanya baru kahwin,” celah tuan gerai itu. Tidak mahu lelaki itu menganggu Lamia.
“Alamak... melepaslah.” Terteleng-teleng kepalanya memerhatikan Lamia.
Lamia hanya buat tidak tahu sahaja sambil mencari tempat duduk. Sengaja duduk di tempat yang kurang orang agar suaminya senang melihatnya di situ. Tidak lama kemudian Lamia menoleh ke sebelahnya. Aqmal sudah tiba di meja itu. Sempat dipandang pinggan Aqmal.
“Abang makan rojak mamak?”
“Nampak sedap,” jawab Aqmal lantas duduk di sebelah isterinya. Lamia mengangguk. Sebetulnya dia juga menggilai rojak mamak.
Lamia memulakan suapan nasinya. Sedap juga. Laju dia menikmati sarapan pagi.
“Abang nak try?” tanya Lamia.
Aqmal menoleh. Dia membuka mulut menerima suapan dari sudu Lamia.
“Sedap,” ucap Aqmal sepatah.
“Okay. Abang makan nasi Mia. Mia nak rojak abang tu,” ucap Lamia lantas dengan selamba dia menarik pinggan Aqmal dan pinggannya ditolak ke arah Aqmal. Kebetulan pula rojak itu memang tinggal sedikit. Cukup-cukup untuk Lamia yang sudah kenyang.
“Mia sebenarnya nak rojak abang tu, kan?”
Lamia hanya tersenyum tanpa menjawab. Sempat dia mengerling ke sebelah. Aqmal masih memerhatikan dia.
“Bijak,” desis Aqmal sambil menggeleng. Sudahnya nasi lemak Lamia yang masih banyak itu dia yang menghabiskannya. Sekejap sahaja Lamia sudah selesai menikmati baki rojak di dalam pinggan. Aqmal masih tekun menyuap. Lamia menikmati teh tariknya seketika sebelum dia bertompang kepala memerhatikan suaminya makan.
“Mia ambil banyak sangat nasi tu,” ujar Lamia lembut.
“Tengah lapar. Mata jadi tamak,” balas Aqmal selamba.
Lamia diam tidak menjawab. Ketika lelaki itu sedang tunduk menyuap nasi, dia mengusik rambut Aqmal.
“Semalam nyenyaknya abang tidur,” ujar Lamia.
“Hmm?” Aqmal menoleh sekilas sambil mengunyah. Lamia mendekatkan dirinya kepada sang suami. Tiada segan silu. Dia memaut pinggang Aqmal dengan sebelah tangannya.
Aqmal menoleh lagi. Sangkanya Lamia ingin berkata sesuatu kepadanya. Tetapi Lamia hanya memerhatikan dia makan. Senang dengan perbuatan itu. Aqmal hanya meneruskan makan tanpa menegah.
“Mia cuti lama. Apa patut Mia buat kat rumah seorang?” ucap Lamia lantas mengusik lagi rambut suaminya.
“Untunglah cuti lama. Abang ni kena pergi kerja. Buatlah apa-apa yang Mia suka. Jangan sampai terbakar rumah sudahlah,” ujar Aqmal lantas tersenyum sendiri. Lamia mencubit pinggang lelaki itu. Aqmal sekadar ketawa kecil.
“Mia kena study. Banyak lagi yang Mia belum dapat kejar,” balas Lamia perlahan.
“Abang ada banyak buku kat rumah. Mia bacalah.” Aqmal menolak pinggan yang sudah kosong sebelum mencapai tisu. Lamia sekadar mengangguk sebelum menegakkan semula tubuhnya.
“Panggil akak tu. Nak bayar ni,” pinta Aqmal. Lamia terus menoleh ke arah gerai nasi lemak tadi. kebetulan peniaganya sedang berdiri di meja lain. Segera dia melambai.
Selesai membayar harga sarapan pagi mereka, Aqmal terus mengajak isterinya pulang. Mereka sampai di rumah semula tepat jam 8 setengah pagi. Masih awal.
“Abang, tengahari nanti nak makan apa?”
“Jangan cerita pasal makan dulu. Abang tengah kenyang sangat ni,” balas Aqmal lantas menghempas punggung di sofa.
“Okay. Mia nak naik atas dulu.” Lamia berpaling untuk naik ke atas. Sesudah menukar pakaiannya, dia mengambil buku pengajiannya. Tubuhnya dihumban ke atas katil. Sambil meniarap di atas katil, Lamia menyelak buku. Minit demi minit berlalu, Lamia mula menggaru kepala. Minatnya untuk mendalami ilmu kian tumpul.
“Eee... apa bendalah ni. Serabutnya aku,” keluh Lamia sambil menyuak rambutnya ke belakang. Seterusnya dia meletakkan pena. Kepalanya dihempas ke tilam, di tepi buku-bukunya. Fikirannya penat.
Aqmal menolak pintu. Terkaku seketika di celahan pintu itu memandang Lamia sedang tertiarap di atas katil. Dengan derap perlahan, dia mendekati Lamia.
“Mia?” panggil Aqmal.
“Hmm...” jawab Lamia tanpa membalikkan tubuhnya. Tetap pegun dalam posisi sama.
Aqmal melabuhkan duduk di atas tilam tanpa putus memandang susuk tubuh isterinya. Liar matanya memandang Lamia mengenakan dress tanpa lengan hanya separas paha.
“Mia tidur ke?” tanya Aqmal lantas menyentuh betis yang terdedah. Berulang-ulang kali matanya memandang betis putih melepak itu.
Lamia hanya menggeleng. Pena dicapainya semula. Namun buku notanya diconteng tanpa mengangkat kepala. Dia hanya membiarkan biarpun tangan lelaki itu sudah naik makin ke atas. Makin liar apabila tidak dibantah.
“Mia nak study,” ucap Lamia lantas membalikkan tubuhnya menelentang pula.
Aqmal lekas-lekas menarik tangannya. Namun biji matanya melekat erat di paha Lamia. Dress yang dikenakan Lamia sudah terselak sedikit. Lamia buat-buat tidak perasan. Sengaja pula dilipat sebelah kakinya ke atas. Membuatkan kainnya makin tersingkap. Maka terkakulah Aqmal dengan mata membulat. Bukan sekadar paha mulus Lamia terdedah, kainnya pun terlopong memaparkan permandangan indah di dasarnya! 
“Mia, kain tu...err...”
“Kenapa dengan kain Mia?” tanya Lamia buat-buat tak tahu.
“Tak ada apalah,” ucap Aqmal lantas mengalihkan duduk membelakangi Lamia. Berdesir laju darahnya. Namun dia terasa ada tangan mengusap belakangnya.
“Kenapa pandang sana?” tanya Lamia.
Aqmal hanya menoleh sedikit tanpa jawapan. Lamia bangun pula lalu mendekati lelaki itu. Pinggang Aqmal dipeluknya dan tubuhnya disandar di belakang Aqmal. Sudah tiga hari menjadi isteri Aqmal, lelaki ini tidak pernah menyentuhnya. Entahkan suaminya tidak mahu atau... entahlah.
Aqmal menghela nafas perlahan. Lengan Lamia cuba dilepaskan. “Mia nak study?”
“Taklah.”
“Tadi kata nak study?”
“Itu sebelum abang datang,” balas Lamia lantas meletakkan dahu di atas bahu Aqmal.
Aqmal diam dalam pada fikirannya sudah mula tidak tenteram. Manakan dia mampu tenteram jika digoda begini? Sudah bersediakah Lamia? Ada ketikanya dia merasa ragu dengan Lamia. Seolah-olah ada satu bahagian dalam diri Lamia yang tidak menjadi miliknya.
“Mia sayangkan abang?” tanya Aqmal perlahan.
“Mestilah. Kalau tidak, kenapa Mia nak kahwin dengan abang.” Lamia menjawab mesra.
Ya, nada itu kedengaran ikhlas. Aqmal menoleh setelah melepaskan pelukan Lamia. Gadis itu lebih cepat menarik baju Aqmal sambil membaringkan tubuhnya. Kemudian buku di tepinya ditutup lalu diketepikan.
Aqmal menelan liur saat tubuh merayap naik ke atas tubuh Lamia. Lamia bukan gadis yang pemalu. Bukan juga gadis yang naif begitu saja. Gayanya begitu terbuka seperti sudah tahu apa yang perlu dibuat. Sebelum lelaki itu jejak di atas tubuhnya, dia terlebih dahulu memulaka. Baju lelaki itu ditolak naik ke atas.
Tatkala berdua dengan Aqmal, Lamia terlupa dia telah menjadi dirinya sendiri. tiada hadir raut Hamsan, tiada dendam, tiada kisah harta dunia yang ingin direbutkannya. Yang ada... hanya lelaki ini di dalam fikirannya. Hanya dia!

LAMIA tidak mampu lena biarpun terdengar dengkuran halus suami di belakangnya. Diri terawang-awangan. Fikirannya ralit memikirkan segala tindakan yang sudah dibuatnya. Semua itu tidak pernah ada dalam rancangannya.
Perlahan dia membalikkan tubuhnya ke arah Aqmal. Lama dia memerhatikan lelaki itu tidur. Bibirnya tersenyum entah kenapa. Dengkuran itu kedengaran lembut. Dada Aqmal yang berombak tenang diusap Lamia. Menatap wajah lelaki itu, hatinya tiba-tiba jadi lemah.
Lamia bangkit segera. Sudah jam 10 lebih. Sengaja dibiarkan Aqmal lena di atas katil.
Seterusnya dia mula ke dapur. Makan tengahari perlu disediakan. Tugas siapa lagi jika bukan dia? Terlihat ada ayam beku di dalam peti ais. Ayam itu belum berpotong. Lamia segera mengeluarkan ayam tersebut. Dibiarkan di dalam sinki sementara dia mencari bahan lain untuk dimasak. Terdetik di fikirannya untuk memasak sesuatu yang istimewa hari ini.
Sementara menunggu ayam beku itu mencair, Lamia mengupas bahan-bahan lain. Sudah biasa kerja di dapur. Dia tidak suka kerja berlambat-lambat. Walaupun buat sendiri, bermacam-macam kerja berjaya disudahkannya.
Ayam itu dicuci lalu bahan-bahan yang sudah siap tadi diperap bersama ayam. Sepuluh minit kemudian, ayam itu dimasukkan ke dalam ketuhar. Kemudian hidangan lain disediakan.
Hampir jam 12, Aqmal terjaga. Dia memandang sekeliling. Kamar tidur mereka hanya sepi. Perlahan dia bangkit untuk ke kamar mandi. Tubuh lesu disiram dengan air. Dia terasa segar semula. seterusnya sang suami turun ke bawah untuk mencari isterinya.
“Mia?” tegur Aqmal tatkala berada di ambang dapur.
“Abang lapar tak?” tanya Lamia ceria.
“Lapar juga. Mia masak apa? Sedapnya bau?”
“Speacial untuk abang,” jawab Lamia lantas menarik pintu ketuhar.
“Wow...” Aqmal terpaku melihat ayam sudah siap dipanggang. Mulalah tidak sabar hendak meratah ayam itu.
“Pandai Mia masak ya?” ucap Aqmal dengan senyum senang. Bahu Lamia dipautnya sambil memandang raut sang isteri.
“Kat rumah ibu kadang-kadang Mia yang memasak bila ibu kerja,” ujar Lamia. Dia sudah biasa ke dapur semenjak usia 12 tahun.
“Abang nak makan dulu atau nak tunggu zohor?”
“Mia lapar ke?”
“Belum.”
“Kita tunggu lepas zohorlah,” jawab Aqmal lantas memandang sekeliling. Masih ada bahan-bahan yang belum siap dikerjakan Lamia.
“Ni semua nak buat apa?” tanya Aqmal.
“Untuk esok. Mia suka prepare awal-awal. Nak pakai terus ambil. Tak payah susah-susah nak selongkar setiap kali nak guna,” jawab Lamia mesra. Aqmal mengangguk.
“Kita belum beli barang dapur. Nanti petang kita keluar sekejap ya?”
Lamia mengangguk teruja. “Mia ada banyak kerja nak buat. Abang nak air?”
“Tak apalah. Abang boleh buat sendiri. Mia sambung kerja Mia,” jawab Aqmal lantas melepaskan pautan pada bahu Lamia.
Lamia menanggalkan apron. Barang-barang yang sudah siap dikisar tadi segera disimpan di dalam satu bekas sebelum disumbat ke dalam peti ais. Aqmal sempat memerhatikan gelagat isterinya sambil membancuh air nescafe.
“Mia...” panggil Aqmal setelah dia selesai membuat air.
“Ya.” Lamia memandang lelaki itu. Aqmal mendekatinya. Lelaki itu mengucup pipi Lamia spontan.
“Thank’s... abang sayang Mia,” bisik Aqmal perlahan sebelum dia berlalu ke hadapan dengan muknya.
Lamia hanya diam terpaku. Dalam dirinya tertanya-tanya. Untuk apa ucapan terima kasih itu? Adakah untuk hidangan yang disediakan atau...
Lamia menyentuh pipinya dengan belakang tangan. Masih terasa hangat bibir lelaki itu di pipinya. Hati merasa terharu entah kenapa. Tidak tertolak, tidak tertahan lagi. Lamia tersandar di kabinet di belakangnya. Kelembutan lelaki itu menerajang keras tembok kepura-puraannya.
Dan dia tahu... kuasa di tangannya ini sebenarnya tidak sekuat mana untuk menepis semua itu.

MALAM itu mereka berdua menghabiskan masa di hadapan tv semata-mata. Biarpun sudah jam 10, mata masih tidak mengantuk.
“Abang, biarlah cerita tu! Jangan tukar,” marah Lamia.
“Iklan. Eh! HBO banyak movie best ni, yang. Kita tengok movie nilah.”
“Tak mahu! Orang tengah syok ni. sibuk aja tukar-tukar!” Lamia merebut semula alat kawalan jauh dari tangan Aqmal.
“Bosanlah tengok cerita tu,” rungut Aqmal. Lamia suka drama Melayu. Dia pula tidak sukakan drama. Dia lebih suka menonton filem.
“Dah nak habis. Kejaplah,” jawab Lamia. Sengaja dipegang alat kawalan jauh agar lelaki itu tidak mampu merebutnya. Aqmal tersenyum sambil menarik bahu isterinya rapat kepadanya.
“Apa yang best sangat cerita tu?”
“Biarlah. Mia suka,” rungut Lamia perlahan. Aqmal mula sibuk mengambil alat kawalan jauh itu. kemudian diletakkan jauh dari mereka.
“Janganlah...”
“Apa jangan?”
Lamia diam pula. Dia hanya diam tatkala kedua-dua tangannya digenggam Aqmal. Tiba-tiba minatnya untuk terus menonton rancangan itu menghilang. Sebaliknya bola matanya lebih senang menyapu rata seluruh wajah lelaki ini.
“Mia?” tegur Aqmal tatkala dia melihat reaksi isterinya berubah pula. Kedua-dua tangan Lamia dilepaskannya. Lamia serta merta memeluknya.
“Kenapa ni, sayang?” Aqmal ketawa kecil saat bertanya. Lamia hanya diam sambil memeluk erat tubuh lelaki itu. Tetapi beberapa detik kemudian tubuh lelaki itu ditolaknya. Tanpa kata dia bangkit dan berlalu ke arah tangga.
Aqmal tercengang. Lamia merajukkah? Liur ditelan kelat. Dia hanya mahu mengusik. Setelah mematikan tv dan memastikan pintu dikunci, Aqmal ikut naik ke atas. Pintu bilik tidur mereka ditolak tanpa menghasilkan sebarang bunyi oleh Aqmal. Dia menemukan Lamia sedang tertiarap di atas katil.
“Mia?” panggil sang suami tatkala mendekati Lamia. Lamia tidak menjawab. Memberi reaksi pun tidak.
“Mia, kenapa ni? Mia marahkan abang?”
Lamia mengalihkan pandangan saat Aqmal cuba melihat wajahnya. Sambil itu dia mengambil kesempatan mengesat pipinya yang basah dengan bantal. Tidak mahu Aqmal melihat air matanya.
“Mia nak tengok tv? Jomlah. Abang bergurau aja,” ujar Aqmal lagi. Tubuh Lamia cuba diraihnya namun Lamia tetap mengelak dari memandangnya. Aqmal kaku pula. Tidak tahu mengapa Lamia berubah laku tiba-tiba. Aqmal duduk di birai katil sambil menghela nafas perlahan. Gusar. Tidak tahu apa salahnya sehingga Lamia jadi begitu sensitif.
Sedang mereka berdua membisu, Lamia tiba-tiba bangkit pula. Sengaja menjauhi lelaki itu lalu ke bilik mandi. Aqmal hanya memandang gelagat isterinya itu. Agak lama juga Lamia berkurung di dalam kamar mandi. Aqmal hanya pegun di birai katil. Dia menoleh setelah terdengar pintu kamar mandi dibuka dari dalam.
“Mia...” tegur Aqmal lantas bangun. Namun dia tidak mendekati Lamia disebabkan Lamia sedang berkemban tuala.
Lamia hanya menayang wajah selamba sambil menghumban baju di tangannya ke dalam bakul di tepi pintu itu.
“Mia tak nak tengok tv,” ujar Lamia selamba sambil mendekati pintu bilik itu. Dan butang pada tombol itu ditekannya.
“Mia marahkan abang ke?”
“Taklah,” jawab Lamia tanpa memandang lelaki itu.
Aqmal menggaru kepalanya. Keliru. Tadi Lamia bersikap dingin. Sekarang ini macam tiada apa-apa berlaku pula. Dalam pada lelaki itu terus kaku, Lamia menyelongkar almari baju.
“Abang...”
“Ya...” Aqmal kembali memandang Lamia. Tiba-tiba Lamia menghumbang sesuatu kepadanya. Aqmal sempat menyambutnya. Setelah dibelek barulah dia perasan, itu dia punya boxer! Aqmal kembali memandang isterinya.
Lamia cukup selamba duduk di kerusi meja solek dengan tuala begitu singkat separas paha. Mulalah dia menelan liur sendirian. Adat orang baru berkahwin, mudahlah hawa nafsu terpancing. Tambah pula Lamia bukan jenis perempuan yang malu-malu kucing.
“Cepatlah tukar, abang. Jangan tidur dengan seluar tu. Mia tak suka,” tegur Lamia setelah bangun dari meja solek.
“Yalah.” Aqmal menjawab lugu. Sudahnya dia bergerak ke hujung katil. Baju tee di tubuhnya ditanggalkan. Kemudian dia mencapai tuala. Mahu ke bilik air seketika.
Usai mengenakan pakaian tidur, Lamia naik ke atas katil. Menunggu suaminya. Namun setelah Aqmal keluar dari kamar mandi, dia buat-buat memejamkan mata.
“Mia?” panggil Aqmal. Terpacak memandang isterinya sudah tergolek dengan mata terpejam.
‘Cepatnya dia tidur...’ bisik hati Aqmal. Liar matanya memandang Lamia mengenakan baju tidur yang mana berbaju dengan tidak, sama saja bentuknya! Usai menyidai tuala, Aqmal memanjat katil. Diangkatnya Lamia lalu diubah ke tengah katil. Tetapi Lamia tiba-tiba membuka mata semula.
“Ingatkan dah tidur,” ujar Aqmal.
Lamia ketawa manja. “Mia tunggu abang,” balasnya perlahan.
Aqmal berdiam sambil menatap keseluruhan wajah sang isteri. Seketika kemudian kucupannya dilabuhkan di dahi Lamia.
“Abang sayang Mia,” bisik Aqmal perlahan.
“Peluk Mia sekarang,” jawab Lamia lantas meraih tubuh sasa lelaki itu. Aqmal memeluk tubuh itu erat-erat. Namun dia terasa kian erat pelukannya, bertambah erat lagi pelukan Lamia kepadanya.

Aqmal sempat terpaku. Tetapi... rezeki masakan hendak ditolak? Lamia yang membuka tawaran. Sudah tentulah dia akan menyambutnya dengan seikhlas hati! 


BAB 15
RUTIN hidup sebagai isteri setelah hampir dua bulan menjadi isteri. Seronok juga walaupun kerap jugalah mereka berperang dalam hal yang remeh-temeh. Adatlah... dalam penyatuan dua jiwa, tidaklah semudah 1+1 jawapannya 2.
Tetapi ada ajaibnya yang Tuhan berikan kepada ikatan ijab dan kabul. Waktu yang paling menyeronokkan apabila suami pulang ke rumah. Setiap hari begitu setia Lamia menunggu Aqmal pulang dari kerja biarpun kadang kala suaminya pulang lewat.
Setiba di rumah, Aqmal terlihat isterinya sudah tertidur di sofa dalam keadaan lampu di ruang tamu tidak menyala. Hanya tv yang elok bersiaran di hadapan orang tidur.
“Mia...” tegur Aqmal lantas duduk di atas karpet.
“Mia, bangun...” panggil Aqmal sekali lagi. Rambut isterinya disuak mesra. Terpisat-pisat Lamia menggerakkan tubuhnya.
“Abang? Dah pukul berapa?”
“Sembilan setengah.”
“Abang dah makan? Mia lapar,” ujar Lamia lantas cuba bangun.
“Jom makan. Abang pun lapar,” balas Aqmal. Kasihan melihat isterinya. Dia tahu Lamia menunggunya untuk makan bersama. Mujurlah dia tidak menyambut pelawaan rakan sekerja makan di luar tadi.
“Mia masak apa ni? Wow...” Aqmal terpaku memandang hidangan di atas meja. Ikutkan hatinya mahu sahaja diterkam hidangan di atas meja.
“Pai ayam...” jawab Lamia lantas mengambil mangkuk itu. Mahu dipanaskan semula.
“Jangan lama sangat, sayang. Abang dah lapar,” ucap Aqmal sebelum Lamia menghilang di dapur.
Sekadar memanaskan pai itu selama dua minit. Kemudian dua mangkuk itu dibawa ke hadapan semula.
“Mana Mia belajar buat ni?” tanya Aqmal saat Lamia meletakkan salah satu mangkuk di hadapannya.
“Dari google,” jawab Lamia lantas ketawa kecil.
“Nampak sedap,” balas Aqmal lantas mengambil sudu. Pai itu tidak sama seperti yang dilihatnya sebelum ini. Kulit luarnya berbentuk bulat dan rangup. Isi di dalamnya ada bermacam-macam campuran sayuran dan ayam.
“Sedap tak?”
“Sedap,” sambut Aqmal lantas mengaut lagi isi dan kulit pai itu.
Lamia tersenyum senang melihat suaminya berselera. Sengaja bertukar menu kali ini. Tiada kerja di rumah, dia asyik mencari resepi untuk memasak. Syukurlah pertama kali mencuba, berjaya mendapatkan rasa sesedap ini.
Sakan Aqmal mengutip cendawan butang. Dia memang gemarkan apa saja masakan yang ada cendawan itu. semangkuk pai milik Lamia tidak habis. Aqmal sambung mengutip isi kandungan dari dalam mangkuk pai itu.
Selesai makan, Aqmal duduk bersandar di sofa. Kenyang! Seketika kemudian Lamia datang membawakan air buat suaminya. Kemudian dia duduk di sebelah Aqmal. Sambil lelaki itu menghirup airnya, dia membuka butang baju sang suami.
“Sekarang kita jarang makan di luar, kan abang?”
“Mia masak kat rumah. Nak buat makan di luar?” balas lelaki itu lantas meletakkan muk di atas meja kopi. Raut isterinya dipandang. Begitu ceria Lamia. Matanya sentiasa bercahaya.
“Mia buat apa kat rumah hari ni?” tanya Aqmal sambil mengusap rambut isterinya.
“Tak ada apa sangat. Study. Lagi dua minggu dah nak naik semesta baru,” ujar Lamia lembut. Aqmal mengangguk sedikit.
“Abang tak nak mandi?”
“Sekejap lagi. Abang nak rehat sekejap.”
“Abang, hujung minggu ni kita pergi rumah ibu nak?”
Aqmal sekadar mengangguk sambil mengambil semula muk airnya. “Mia ada call ibu? Ibu sihat?”
“Ada semalam. Ibu sihat. Kata ibu, dia dapat surat tawaran VSS.”
“Baguslah tu. Ibu Mia tu dah lebih 20 tahun kerja di sana, kan? Nilah masanya untuk dia berehat. Sekurang-kurangnya duit pampasan tu ada untuk menjamin masa tua dia. Lagipun sekarang adalah giliran Mia pulak jaga kebajikan ibu.”
“Ibu cakap nak pergi haji.” Mekar senyuman Lamia sambil dia menjadikan bahu Aqmal sebagai penyandar.
“Alhamdulillah. Bagus tu.” Aqmal menghela nafas perlahan sambil memaut bahu isterinya. Tenang hatinya mendengar semua itu.
“Oh ya... abang nak tunjuk sesuatu pada Mia.” Aqmal melepaskan pautannya. Lamia segera menjarakkan dirinya dari Aqmal. Lelaki itu membuka beg kerjanya lalu beberapa helaian kertas diserahkan kepada isterinya.
Lamia terpaku seketika. Namun kemudian dia memandang suaminya.
“Abang nak belikan Mia kereta?” tanya Lamia terkejut.
Aqmal mengangguk. “Abang tak mahu Mia pergi kampus naik motor lagi. Kawan abang salesman kat sini. Dia akan uruskan pinjaman segera. Bulanannya Mia jangan risau. Abang akan bayar,” ujar Aqmal.
Lamia memandang semula semua helaian kertas itu. “Tapi dari sini ke kampus bukannya jauh sangat.”
“Masa depan nanti mungkin Mia perlukan kereta juga. Oh ya... sebab abang yang bayar, jadi modelnya ikut kegemaran abanglah ya? Corolla Altis. Abang dah bayar dah. Abang saja aja tunjuk tu pada Mia. Buat cuci mata.”
“Abang ni!” Lamia merungut sambil menolak tubuh lelaki itu. Aqmal ketawa seronok melihat Lamia terkena dengan olahnya.
“Banyak duit abang beli kereta harga macam ni?” ujar Lamia sambil membelek kertas itu semula.
“Abang tak ada hutang kereta di bank. Jadi, senanglah abang dapat pinjaman.”
“Mana abang dapat duit buat duit muka?”
“Duit simpanan abang ada?” jawab Aqmal.
Lamia diam. Habis duit lelaki ini dikikisnya. Sudahlah ketika mereka bernikah dahulu sesen pun dia tidak ada membantu Aqmal.
“Kenapa abang tak beli kereta yang murah aja?”
“Abang tak suka tukar-tukar kereta macam tukar telefon. Abang punya prinsip memang macam ni. Abang akan beli kereta yang bagus. Harga mahal sikit tak apa. Tapi abang hanya akan beli kereta boleh bertahan lebih 10 tahun. Kawan abang yang suggest kereta ni. Jimat minyak dan mantainance. Prestasi bagus.”
Lamia mengangguk. Kertas itu dibelek buat kali terakhir sebelum dia meletakkan di atas meja.
“Mia nak kereta abang.”
“Ha?” terkedu Aqmal mendengar permintaan yang begitu berani itu.
“Mia dah biasa drive kereta tu.”
“Mana boleh. Itu kereta kesayangan abang.”
“Itu pun dah jadi kesayangan Mia.”
“Amboi... sejak bila pulak ni?”
Lamia ketawa sambil menyandarkan tubuhnya kepada lelaki itu. “Mia nak kereta tu. Abang pakailah kereta baru tu,” ujar Lamia penuh lemak manis nadanya.
Aqmal menghela nafas perlahan. Mengalah sajalah. Mitsubishi Lancer itu dibeli oleh ayahnya dari lelongan bank setelah pengguna pertamanya gagal membayar hutang di bank. Kereta itu masih elok sampai sekarang. Dia cukup menjaga dan menyayangi kereta itu.
“Jaga baik-baik kereta abang. Jangan sampai calar.”
“Ya, abang. Mia akan jaga kereta tu sama macam Mia jaga abang...” jawab Lamia gembira.
“Eh! Mana boleh samakan abang dengan kereta. Abang kena lebih.”
 “Yalah. Yalah. Janji ya? Mia nak jugak kereta tu.”
“Ya...” Aqmal memaut erat bahu Lamia. Sayang punya pasal. Mengalah sajalah!

“WAH... semenjak dua tiga hari ni dah banyak berubah ya?”
Lamia menoleh ke sebelah setelah mendengar teguran itu. Terlihat seorang gadis mungkin sebaya dengannya berjalan tidak jauh darinya. Ya... baru dia perasan. Gadis itu selalu dilihatnya sebelum ini di ruangan parkir motor. Namun mereka tidak pernah bertegur sapa.
“Berubah apa?” tanya Lamia hairan.
“Dulu selalu ke tempat motor. Sekarang parking kat depan ni aja,” usik gadis itu. Lamia ketawa kecil.
“Kereta suami saya.”
“Oh... dah kahwin?”
Lamia hanya mengangguk dengan sedikit senyuman.
“Alhamdulillah. Saya dah lama nak tanya. Tapi segan. You ni Chinese ke?”
“Taklah. Nama saya Lamia. Saya orang Melayu.”
“Oh... Mula-mula dulu saya ingat you orang Melayu. Tapi ada satu hari tu saya dengar you borak dalam Bahasa Mandarin dengan seorang student Chinese. Lagipun you pun memang ada rupa macam Cina. Maaf ya?” ujar gadis itu sopan. Segan hendak menegur Lamia kerana dia lihat Lamia lebih banyak bergaul dengan pelajar dari kaum Cina. Anehnya selama lebih dua tahun ini mereka tidak pernah bertegur sapa walaupun selalu terserempak di mana-mana.
“Tak apa. Saya sekolah Cina dulu.” Lamia tersenyum kepada gadis itu.
“Oh... patutlah pandai cakap Cina. Nama saya Irina. Saya pergi dulu. Assalamualaikum,” ucap gadis itu sambil mengangkat tangan kepada Lamia. Lamia turut membalas dengan lambaian dan jawapan salam.
Sebelum pulang ke rumah Lamia singgah membeli lauk di kedai. Malas hendak memasak. Dia ada banyak tugasan yang perlu disudahkan. Lagipun Aqmal tidak kisah samaada lauk dibeli atau dimasak di rumah. Lelaki itu tidak pernah komplen.
Setiba di rumah Lamia memeriksa telefonnya. Terpandangkan mesej dari Aqmal.
‘Yang, abang balik lambat. Makan dulu. Jangan tunggu abang.’
Lamia tersenyum sendiri sambil membalas mesej dari lelaki itu.
‘Okay.’
Usai memenuhkan lauk ke dalam mangkuk Lamia terus naik ke atas. Usai menunaikan solat asar, dia mula membuka komputer riba. Mula melayari laman-lama web untuk mencari bahan kajian. Sambil itu dia memasang lagu-lagu kegemarannya. Didengari melalui headphone. Sedar tidak sedar, maghrib sudah menjelang. Lamia berhenti untuk bersolat maghrib sekejap. Kemudian sambung semula menghadap laptop.
Ralit. Tidak sedar Aqmal sudah pulang dek kerana dia memasang alat pendengaran di telinganya dalam paras volume yang agak tinggi. Aqmal menjengah isterinya melalui celahan pintu. Sehingga dia masuk dan meletakkan beg di atas katil, Lamia masih tidak perasan kehadirannya. Kemudian dia mendekati Lamia tanpa mahu mengejutkan Lamia yang sedang membuat kerja sambil terlalak-lalak menyanyi. Tidak cukup itu, kepala digoyang-goyangkan mendengar irama jazz.
Aqmal terpaku memandang gelagat isterinya. Dengan baju longgar tapi kolarnya luas sehingga mendedahkan sebelah bahunya, Lamia mengenakan seluar jeans pendek dan ketat. Senang mendengar suara halus itu melagukan lagu Dia nyanyian Shila Majid. Dia tahu Lamia memang tergila-gilakan kebanyakan lagu dan personaliti ratu jazz itu.
“Kata demi kata jalin dengan indah. Untuk menghuraikan maksud hati. Kuberanikan diri untuk memulainya. Tapi mengapa bibirku tak dapat bergerak. Terasa berat. Oh malunya hati ini. Bilaku ingat saat itu. kami hanya saling berpandang dan terdiam terpaku. Oh bulan hanya dirimu yang menyaksikan segalanya. Oh bulan, tolonglah daku. Katakan kepadanya, kucinta dia...”
Perlahan Aqmal semakin mendekati Lamia. Bahu Lamia dicuitnya. Lamia terkejut besar sehingga menjerit agak kuat.
“Abang ni! Terkejut Mia!”
Aqmal menggeleng beberapa kali. “Dengar kuat-kuat lagu pakai benda tu. abang bagi salam pun tak dengar,” ucap Aqmal lembut.
“Mia bosan,” jawab Lamia perlahan. Malunya! Agaknya Aqmal melihat gelagatnya tadi.
“Abang tengok ke apa yang Mia buat tadi?” tanya Lamia. Fikirnya suaminya pulang lambat lagi.
“Tengoklah. Sakan menyanyi sampai kat bawah dengar suara,” jawab Aqmal lantas menanggalkan butang kemejanya satu persatu. Lamia berpaling lalu menekup wajah di permukaan meja.
“Nak malu buat apa? Abang dah tengok pun,” jawab Aqmal lantas ketawa kecil. Kadang-kala lucu dengan tabiat Lamia.
Lamia menutup komputer ribanya. Kemudian dia bangun.
“Abang dah makan?”
“Belum. Mia?”
“Belum jugak.”
“Sibuk menyanyi sampai tak ingat nak makan?” perli Aqmal lantas ketawa kecil.
“Abang ni...” Lamia mencebik. Malu mendengar perlian lelaki itu.
“Abang mandi sekejap. Lepas ni kita makan,” ucap Aqmal lantas pergi mengambil tuala miliknya.
Lamia turun ke bawah. Sementara menanti Aqmal, dia memanaskan lauk pauk yang dibelinya tadi. terpandangkan Aqmal sedang berdiri di meja makan, Lamia segera pergi mendekati suaminya.
“Abang, Mia nak cakap sesuatu.”
“Apa?” balas Aqmal lantas memandang isterinya.
“Bulan September nanti ada konsert Shila Majid kat Istana Budaya. Mia nak pergi, boleh tak?”
“Tak boleh.” Aqmal segera menjawab sambil melangkah ke arah dapur. Terkedu Lamia di situ. selalunya apa sahaja yang dia nak, Aqmal akan beri. Kali ini tidak pula.
“Mia, cepat sikit. Abang dah lapar ni.”
Lamia ke dapur. Mulalah hendak merajuk saja setelah hasrat murni tadi telah ditolak mentah-mentah oleh suaminya. Aqmal perasan isterinya sudah mula tarik muka. Namun dia hanya buat selamba.
“Mia...” tegur Aqmal. Lekas benar Lamia makan. Bercakap pun tidak mahu. Teguran Aqmal hanya dibuat pekak oleh Lamia. Terus dia ke dapur untuk mencuci pinggan. Sesudah menghabiskan nasinya, Aqmal ikut bangun.
“Sayang lauk banyak tak habis,” ucap Aqmal. Lamia diam lagi.
“Mogok dengan abang ke ni?” usik Aqmal sambil memandang isterinya sedang mencuci pinggannya. Lamia buat tidak dengar.
“Nak buat apa pergi tengok konsert tu semua? Abang tak sukalah, Mia.”
“Mia suka,” desis Lamia perlahan. Bukannya selalu pun. Itu pun salah.
“Tiket mahal. Buang duit aja,” ucap Aqmal rendah.
“Mia pakai duit Mia.” Lamia menjawab selamba.
“Abang tak suka,” putus Aqmal bersungguh. Usai membersihkan tangan dia berlalu keluar dari kawasan dapur tanda rajuk Lamia tidak ingin dilayaninya lagi jika berkaitan hal itu.
Lamia memandang tajam lelaki itu. Mulalah dia terfikir hendak menunjuk keras kepalanya pula.

“Huh! Aku nak pergi jugak!” desis Lamia. Aqmal nak marah? Apa dia peduli?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan