BAB
17
MASUK semester akhir, bergelut lagi dengan segala macam
tekanan pengajian. Tekanan yang kadang kala membuatkan dia rasa ingin berhenti
dan duduk di rumah saja. Lebih baik menjaga makan minum suami daripada bersusah
payah begini. Tetapi teringat semula segala kesusahan yang pernah dilaluinya
dahulu, dia pernah bertahan kerana tidak ada pilihan lain. Lamia bangkit semula
bersama semangat.
Sampai di rumah petang itu, Lamia merasa tubuhnya
teramat-amat sakit. Tidak tahu apa sebabnya. Letih dan lesu sehari dua ini
seperti tidak mampu menghilang.
Teringat suaminya akan pulang sekejap lagi,
Lamia bangkit semula untuk ke dapur. Mahu memasak. Lamia memasak nasi buat permulaan
setelah ikan di dalam peti ais dikeluarkan. Kemudian dia naik ke atas.
Seperti selalu, Aqmal tiba di rumah lewat sedikit
berbanding Lamia. Lelaki itu terus masuk setelah salamnya tidak berjawab.
Mencari Lamia. Dijengah di dapur, Lamia tiada.
“Mia...” panggil Aqmal setelah menolak pintu kamar.
“Abang...” Lamia tiba-tiba muncul dari dalam kamar mandi.
Aqmal menoleh. Betapa dia terkejut melihat Lamia memegang gumpalan tisu di
tangan yang penuh dengan darah.
“Ya Allah... Mia, kenapa ni?” lelaki itu terus pergi
menerjah.
“Mia jatuh kat dalam tu. Licin. Sakit sangat ni,” keluh
Lamia sambil memegang pinggangnya.
“Mia...” Aqmal semakin kalut. Isterinya seperti mahu
tumbang. Lekas-lekas dia mencempung Lamia lalu dibawa ke katil.
“Sakit, abang. Tak tahan...” Lamia meringis seperti mahu
menangis.
“Ya. Ya. Kita pergi hospital ya?”
Kelam kabut Aqmal mencari persalinan buat isterinya.
Lamia hanya terbaring dalam keadaan separuh mengiring. Kesakitannya semakin
mencengkam membuatkan dia tidak mampu berbuat apa-apa.
Bersusah payah Aqmal mencempung isterinya ke bawah.
Sampai di bawah, Lamia cuba berjalan sendiri tatkala Aqmal membuka pintu rumah.
Darah semakin banyak keluar di celah pahanya. Lamia menangis saat memaut lengan
Aqmal.
“Mia, jangan nangis. Kita pergi hospital.”
“Mia mengandung...” ucap Lamia entah kenapa. Dia mengagak
darah itu keluar ada sebabnya. Mata Aqmal membulat mendengar itu. Tidak
percaya. Tetapi rasanya ini bukan masa yang sesuai untuk berdebat tentangnya.
Aqmal melarikan kereta ke hospital Pantai. Itu yang
terdekat dengan kediaman mereka. Hampir sahaja dia naik darah apabila keretanya
tersekat dalam kesesakan jalan raya. Hampir dua jam Lamia diberikan rawatan
kecemasan.
Sudahnya Aqmal diberikan khabar duka oleh doktor yang
merawat. Lamia keguguran. Dia terduduk mendengar itu. terkejut. Kerana tidak
pernah tahu di dalam tubuh Lamia hadir zuriat mereka berdua. Kecewa. Sedih.
Namun reda. Lamia masih terlalu naif untuk menyedari dirinya hamil. Setelah
menghubungi Naela, Aqmal pergi menjengah isterinya. Lamia tidak sedarkan diri.
Duduk di sisi katil, Aqmal termenung memandang raut
Lamia. Agak pucat. Kasihan. Dia sedar isterinya selalu mengadu penat sehari dua
ini. Aqmal mengusap rambut wanita kesayangannya itu berkali-kali.
“Mal...”
Aqmal menoleh serta merta ke arah pintu. Naela muncul di
situ dengan riak wajah gusar. Wanita itu masuk tanpa menunggu dipelawa.
“Macam mana dengan Mia?”
“Dia masih belum sedar. Doktor kata dia lemah sangat,”
ucap Aqmal lantas kembali memandang isterinya yang masih lena.
“Macam mana boleh jadi begini, Mal?”
“Tak tahulah, bu. Saya balik ke rumah, saya nampak dia
dah berdarah teruk. Dia kata dia jatuh dalam bilik air,” jelas Aqmal perlahan.
Naela menghela nafas perlahan sambil mengelus rambut
Lamia. “Dah tak ada rezeki kamu nak dapat anak sekarang ni. Redalah, Mal.”
“Saya tak apa-apa, bu. Insya-Allah... kalau ada rezeki
yang Allah dah tentukan, akan sampai juga masa tu pada kami.” Aqmal membalas
lembut. Dia lebih mengutamakan kesihatan Lamia.
“Pucat benar ni,” komen Naela sambil duduk di sisi Lamia.
“Sehari dua ni dia nampak stress. Penat. Saya perasan. Tapi
tak ada apa yang boleh saya buat selain dari beri nasihat,” ucap Aqmal
perlahan.
Hanya setelah menjelang tengah malam barulah Lamia
tersedar semula. Tangisannya berlagu saat diberitahu keadaan sebenarnya.
“Jangan nangis. Abang tak marah Mia,” pujuk Aqmal.
Isterinya itu dipeluk erat. Sayu mendengar tangisan Lamia. Tersedu-sedu
isterinya di sebalik tubuhnya.
“Mia...” Aqmal meleraikan pelukannya. Kedua-dua belah
pipi sang isteri dipegangnya. Pipi Lamia yang basah dielus dengan ibu jari.
“Abang reda, sayang. Tak apa. Belum sampai rezeki kita
untuk ada anak. Abang nak Mia sembuh semula. Itu yang lebih penting.”
Lamia sedikit tenang mendengar itu. Abdomen separas
pinggangnya terasa sakit-sakit.
“Mia rehat ya? Jangan banyak fikir. Abang ada kat sini,”
ucap Aqmal lembut. Lamia kembali meletakkan kepala ke bantal.
“Mia minta maaf. Mia tak pernah beritahu abang. Mia dah
lama berhenti ambil ubat,” ujar Lamia perlahan. Aqmal terkebil-kebil memandang
isterinya. Seingatnya Lamia mengambil sejenis pil yang dibeli dari farmasi
untuk merancang kehadiran cahayamata. Mereka sama-sama bersetuju tentang itu
memandangkan Lamia masih dalam musim pengajian.
“Kenapa Mia berhenti ambil ubat tu?”
Lamia diam seketika. Semuanya kerana hasutan orang.
Kononnya kerap mengambil pil perancang akan menjadikan berat badannya akan
meningkat. Lumrah perempuan. Takut gemuk. Nanti suami cari lain!
“Emm... Mia tak sempat nak pergi farmasi,” jawab Lamia.
Sengaja enggan memberitahu hal yang sebenarnya.
“Lain kali cakaplah dengan abang,” balas Aqmal lembut.
Rambut sang isteri dielus penuh kasih sayang.
“Mia lupa. Busy sangat sehari dua ni.”
“Tak apalah. Benda dah jadi. Mia rehat ya?” ucap Aqmal
lantas mencapai jemari isterinya. Jemari itu digenggam erat.
“Abang maafkan Mia?”
“Bukan salah Mia. Abang tak marah, sayang.”
Lamia diam. Dia tahu Aqmal sudah tentu inginkan zuriatnya
sendiri. Tetapi dalam keadaan begini, lelaki itu memilih untuk mengalah sahaja.
Perlahan Lamia memegang sebelah pipi Aqmal. Adakah dia mampu menemui lelaki
sebaik ini di mana-mana nanti? Entah. Dia tidak tahu.
AWAL pagi itu, Lamia dikejutkan dengan kehadiran mentuanya.
Bukan sekadar ibu Aqmal, Hamsan juga datang menziarahinya. Maria memeluk Lamia.
Biarpun hampa hasratnya untuk menimang cucu, namun siapalah mereka untuk
menolak takdir?
“Mak terkejut dengar Mia jatuh,” ucap Maria saat memeluk
Lamia.
“Mia tak tahu Mia mengandung, mak.”
Maria menghela nafas perlahan sambil meleraikan pelukan.
“Mia kena jaga diri baik-baik. Orang keguguran dengan orang berpantang lepas
bersalin, lebih kurang sama aja.”
Lamia mengangguk dengan sedikit senyuman. Sempat
mengerling ayah mentuanya itu. Lelaki itu menayang wajah ketat sambil merenung
tajam kepadanya.
“Abah sihat ke?” tanya Lamia selamba. Buat-buat mesra
walaupun segunung rasa benci menghempap jemalanya.
“Sihat.” Sepatah sahaja jawapan Hamsan tanpa nada mesra.
“Mak temankan Mia sekejap ya? Mal nak ambil beg dari
dalam kereta,” ucap Aqmal.
“Yalah...” jawab Maria dengan senyum lembut buat anaknya.
Hamsan sempat memandang anaknya berlalu. Kemudian dia
memandang Lamia.
“Kau jatuh atau kau sengaja bunuh anak tu?” ucap Hamsan
penuh nada kebencian.
“Abang, sudahlah tu!” tegur Maria pantas.
“Dia ni bukannya boleh percaya. Pandai berlakon,” ujar
Hamsan lantas memandang ke arah lain. maria menghela nafas panjang.
“Tak habis-habis nak ajak berseteru. Sampai bila?”
“Biarlah, mak. Mia dah biasa. Orang takut dengan
bayang-bayang sendiri. Kenapa tak cakap macam tu depan Aqmal tadi?” jawab Lamia
selamba. Hamsan memandang Lamia semula. Betapa sakit hatinya mendengar itu.
“Kau fikir aku tak berani nak cakap?”
“Cakaplah! Cakap! Yang sakit jiwa nanti anak pak long
sendiri tau. Mia tak rugi apa pun.”
“Berani kau cakap macam ni ya, Mia?”
“Biarlah. Alang-alang menyeluk pekasam,” jawab Lamia
selamba. Sakit hati punya pasal. Soal sayang dia sudah lupa.
“Sudahlah tu kamu berdua ni! Cukuplah tu. Sampai bilalah
nak bertegang urat macam ni?” tegur Maria. Hamsan mengela nafas keras. Sakit
hatinya melihat kemesraan Lamia kepada Aqmal. Dia tahu Lamia hanya berlakon.
“Jangan dilayan abah tu, Mia. Lantakkan dia.” Maria
menarik tangan Lamia. Tidak mahu Lamia terus memandang gelagat suaminya.
Sengaja mahu mencipta pergaduhan.
Lamia menjeling benci lelaki tua itu. Hamsan memilih
untuk duduk di sofa. Tidak lama kemudian Aqmal kembali semula dengan beg
pakaian. Dan suasana tidak aman di kamar itu segera menghilang berganti dengan
lakonan gembira.
“Kalau Mal sibuk, tak boleh jaga Mia. Biarlah Mia duduk
dengan mak.”
Berderau darah Lamia mendengar cadangan emak mentuanya
itu. serumah dengan Hamsan. Memang tidaklah!
“Tak apalah, mak. Mia tak mahu tinggalkan abang seorang
kat rumah. Mia boleh jaga diri sendiri,” ujar Lamia sebelum sempat Aqmal
menjawab.
Aqmal tersenyum kepada ibunya. “Mal boleh jaga Mia, mak.
Insya-Allah... dia akan baik-baik aja,” ujar Aqmal sambil menyentuh kepala
isterinya. Susah senang pun, biarlah Lamia dengannya saja. Bukannya dia tidak
tahu Lamia tidak biasa dengan keluarganya.
“Kalau kamu kata begitu, mak ikut aja. Ada apa-apa, call
mak ya?”
“Terima kasih, mak.” Lamia membalas mesra. Sempat
mengerling Hamsan yang pegun di sofa sambil memandang tv.
“Terima kasih abah, sebab sudi datang jenguk Mia.” Bukan main
lembut lagi nada Lamia.
Hamsan menoleh. “Hmm...” itu saja yang dijawabnya. Kerana
kedengaran jelas ditelinganya. Lamia sedang mengejeknya!
BAB
18
KELOPAK mata celik semula setelah terlena entah untuk berapa
lama. Pertama yang dipandangnya susuk suaminya sedang terbongkok-bongkok
mengutip kain baju dari dalam beg yang mereka bawa pulang dari hospital
sebentar tadi.
Lamia memandang sekeliling. Kamar yang tadinya agak
bersepah. Sudah kelihatan kemas.
“Abang...”
Aqmal menoleh. “Ya, Mia dah bangun? Nak makan?” tanya
Aqmal lantas meletakkan kain baju itu di dalam almari. Dia mendekati Lamia.
Lamia menggeleng semata. “Mia tak lapar,” ucap Lamia
lembut. Sempat dia memandang jam. Sudah jam 4 petang.
“Mia okay tak ni?” tanya Aqmal sambil mengirai rambut
isterinya yang sedikit kusut. Lamia mengangguk sambil menarik baju sejuk agar
lebih rapat memeluk dirinya.
Aqmal mengalihkan duduk di atas katil. Pahanya ditepuk
lembut. Lamia memindahkan kepalanya di atas ribaan Aqmal.
“Sehari dua ni abang tengok Mia pucat aja. Abang risau,
sayang.”
“Mia tahu,” jawab Lamia perlahan. Dia sendiri perasan
itu. Wajahnya tidak bermaya. Tiada seri.
“Abang mahu Mia jaga kesihatan diri Mia. Doktor bagi Mia
cuti rehat. Mia rehat ya? jangan fikirkan hal yang lain.”
“Mia tak mahu skip kelas. Nanti Mia ketinggalan. Ni dah
last semester.”
“Mia, kesihatan kita kalau dah hilang belum tentu akan
balik semula. Soal pelajaran, peluang lain masih ada. Belum tentu Mia akan
gagal,” ujar Aqmal lembut. Lamia diam mendengar bicara Aqmal.
“Jaga kesihatan itu lebih utama untuk kita berbanding
memaksa diri buat sesuatu dalam keadaan kita tak mampu. Keadaan akan jadi lebih
buruk,” ujar Aqmal lagi.
“Mia faham, bang.” Lamia menjawab rendah. Suka saat
lelaki itu mengusap rambutnya tanpa putus.
“Nak makan? Abang ada bakarkan ikan tadi. Nasi pun abang
dah masak,” ucap sang suami lembut.
“Mia tak lapar.”
“Makanlah sikit. Pagi tadi pun Mia makan sikit sangat
waktu breakfast.”
Lamia bangkit perlahan-lahan dari atas pangkuan Aqmal.
Macam orang dalam pantang, siap berstoking bagai. Terpaksa. Dia tidak boleh
terdedah kepada hawa sejuk. Badannya akan lekas rasa sakit.
Di bawah Aqmal yang menghidangkan nasi. Selera Lamia
bagaikan dipancung terus melihat lauk. Ikan yang dibakar Aqmal hampir rentung.
“Abang lupa tutup api tadi.”
“Tak apalah. Ini pun bolehlah,” jawab Lamia sambil
tersenyum-senyum merenung ikan itu.
“Jamahlah sikit,” pinta Aqmal. Pinggan nasi didekatkan
kepada isterinya.
“Siapa yang ajar abang buat sambal ni?” tanya Lamia
sambil menunding sambal di dalam piring.
“Mak yang ajar. Takut Mia tak selera nak makan. Ni ikan
bilis dengan kelapa goreng dan sayur pegaga. Nak cuba?”
“Nak.” Lamia mengangguk. Dia lebih berselera melihat
sambal itu berbanding ikan bakar separuh rentung resipi si Aqmal. Halal
sajalah. Orang lelaki yang memasak memanglah tak sesempurna orang perempuan.
Sambal itu berjaya juga membuatkan Lamia menyuap sesuap
demi sesuap. Sedap jugalah walaupun itu resipi orang berpantang lepas bersalin.
tiada rasa garam tetapi rasa ikan bilis itu sudah cukup menaikkan rasa sedap
hidangan itu. Manalah tahu ada rezeki dia melahirkan anak, tahulah dia resipi
mana yang mampu ditelannya.
Sambil makan fikiran Lamia melayang jauh tanpa suara.
Tiada lain yang bermain dalam fikirannya. Dia terkenangkan segumpal darah yang
pernah berada di dalam rahimnya. Jika anak itu masih ada, bagaimanakah rupanya
nanti? Lamia tiba-tiba tersenyum sendiri.
“Mia...”
“Ha?” Lamia menoleh.
“Makan. Jangan mengelamun,” tegur Aqmal.
“Abang, mana perginya anak kita sekarang?” tanya Lamia
tiba-tiba.
Aqmal terpaku seketika merenung sisi wajah isterinya itu.
Entah kenapa pertanyaan itu menerbitkan sedikit kesayuan dalam hatinya.
“Insya-Allah, dia ada di syurga. Dah. Jangan fikir
banyak. Yang dah pergi, kita biarkan dia pergi. Allah ada dengan orang yang
sabar. Insya-Allah suatu hari nanti, kesedihan kita Allah akan gantikan dengan
yang lain,” ucap lelaki itu lembut.
Lamia diam mendengar bicara itu. Sebetulnya kata-kata itu
tidak mampu menawarkan hatinya. Dia selalu teringat-ingat. Lumrahkah ini? Lamia
memejamkan mata rapat-rapat sambil menghela nafas panjang. Pedih hatinya
seperti tiada penawar. Dia ingin melihat anak itu biarpun hanya untuk sekejap.
Sayangnya kehadiran anak itu tidak disedarinya. Ada kekesalan yang tidak mampu
dihindarkan.
“Mia fikir apa?” tegur Aqmal lagi. Isterinya semakin
lambat menyuap. Seolah-olah sedang termenung.
“Tak ada apa-apa.”
“Mia, cakap dengan abang.”
“Mia selalu terfikir-fikirkan anak tu. Entahlah...” Lamia
menghela nafas perlahan sebelum menyambung suapan. Hatinya seolah-olah sedang
terasa rindu. Rindu yang sangat dalam.
“Jangan fikirkan sangat, sayang. Ini semua ujian Allah.”
Aqmal mengusap belakang isterinya lembut. Cuba dimengertikan apa yang dialami
oleh Lamia. Teringat kata-kata emaknya sebelum ini. Fasa awal begini, ini semua
adalah lumrah.
“Abang tak sedih?” sayu nada Lamia mengajukan soalan itu.
“Abang sedih. Takkanlah abang tak sedih sedangkan dia pun
anak abang. Tapi abang tak mahu fikirkan. Apa yang tidak Allah izinkan jadi hak
kita, biar apa pun yang kita buat... tetap tak akan jadi hak kita.”
Lamia mengangguk akhirnya. Ya... sesuatu yang tidak
ditentukan Allah, tidak akan jadi miliknya. Begitukah juga segala harta pusaka
milik arwah ayahnya? Bukan setiap sen yang hendak direbutkannya. Sebaliknya
itulah tanda pemberian dari ayah tercinta. Sayangnya kini dirampas orang. Dia
hanya mampu menahan perasaan.
“Mia dah kenyang, bang.”
Aqmal mengangguk. Lega sedikit hatinya melihat Lamia
makan lebih banyak berbanding semalam-semalam. Sudah petang, Lamia memilih
untuk mandi.
“Jangan kunci pintu.”
“Kenapa?” tanya Lamia hairan.
“Ada apa-apa nanti, susah abang nak tolong.”
“Mia okay aja ni,” jawab Lamia lantas masuk ke dalam
kamar mandi. Tetapi pintu itu tidak dikuncinya. Memang dia sudah biasa begitu.
Mandi dengan pancuran air suam. Lega setelah dapat menyiram seluruh tubuhnya
dengan air.
Namun kemudian dia terdengar bunyi pintu dibuka dari
luar.
“Abang?”
“Ya...” dan Aqmal muncul lalu menyelak tirai kawasan
pancuran itu.
“Kenapa tengok???”
“Apa yang lama sangat? Jangan mandi lama-lama.”
“Biarlah. Mia dah lama tak kena air,” gerutu Lamia.
“Abang risau takut Mia jatuh ke... apa ke...” jawab
Aqmal.
Lamia menjeling sambil mencapai tuala. Ye ke risau dia
jatuh. Mata Aqmal bukan main liar lagi memandang dia dari atas ke bawah.
“Dah ke?”
“Dahlah. Tadi abang juga yang kata jangan mandi
lama-lama,” jawab Lamia lantas melangkah keluar dari kawasan pancuran.
“Bila abang ada. Tak apa mandi lama.” Aqmal menyeringai
tiba-tiba.
“Gatal!”
“Aduh!” begitu cepat tangan Lamia mencubit perut Aqmal. Tidak
sempat untuk ditahannya. Aqmal menerpa ke arah Lamia lalu isterinya itu
dipeluk. Pipi Lamia dikucupnya berkali-kali.
“Abang!” Lamia cuba menolak tetapi pelukan lelaki itu
kian erat.
“Abang, janganlah. Mia takut jatuh,” rengus Lamia.
Teringat bagaimana dia jatuh akibat lantai bilik air yang licin. Trauma masih
ada.
“Okaylah,” ucap Aqmal akur. Tubuh sang isteri dilepaskan
perlahan-lahan. Kemudian bahu Lamia dipautnya.
“Abang keluar dulu ya?” Aqmal mengucup pipi sang isteri
lembut.
Lamia memandang suaminya berlalu. Sempat hatinya diusik
bahagia dengan senda gurau itu.
MAKAN
tengahari bersama teman-teman
sekerja. Selesai makan, dari seramai-ramai tidak itu, masing-masing mula
bersurai untuk kembali ke pejabat. Aqmal yang paling akhir melunaskan bayaran.
Namun ketika berdiri di kaunter, dia terpandangkan kelibat seorang lelaki
sedang berdiri di luar restorannya sambil bercakap dengan seseorang.
terteleng-teleng kepala Aqmal memandang. Macam kenal.
Selesai membuat pembayaran, Aqmal terus mendekati lelaki
itu. Kebetulan pula lelaki itu sudah mahu berlalu. Tidak perasan Aqmal berdiri
dekat dengannya. Aqmal segera mencuit.
“Sani... Sani, kan?” ucap Aqmal setelah anak muda itu
berpaling ke arahnya.
“Ha’ah... Abang Aqmal ya?” balas Sani terus berubah ceria
wajahnya. Terkejut juga melihat lelaki itu.
“Hari tu kita jumpa di majlis kahwin saya dengan Mia.”
“Hei... tak sangka jumpa kat sini. Sihat, bang?” tanya
Sani lantas menghulurkan tangan kepada Aqmal. Lebar senyumannya tanda gembira
dengan pertemuan ini.
“Sihat, alhamdulillah.”
“Mia mana?” tanya Sani.
“Di kampus. Kerja di sini ke?” tanya Aqmal hairan.
“Taklah. Saya jumpa klien tadi. Ni dah nak balik.”
“Oh... ingatkan kerja dekat-dekat sini.”
“Abang kerja di mana?” tanya Sani pula.
“Bank Negara.”
“Pergh... mantap ni.” Sani tersenyum lagi.
Aqmal hanya ketawa kecil.
“Oh ya... kebetulan dah jumpa ni. Nak sampaikan pesan mak
pada Mia. Mak minta Mia balik kampung bila-bila dia free. Nak uruskan pasal
duit pusaka tu.”
“Duit pusaka?” tanya Aqmal semula.
“Duit yang pak long simpan untuk dia tu.”
“Duit apa?” tanya Aqmal mula sibuk hendak tahu.
“Duit arwah mak kandung Mia dulu. Arwah ayah yang pegang
selama ni. Hari tu mak dah cakap dengan Mia. Duit tu kami nak pulangkan pada
dia. Mak dah berurusan di ASB,” jelas Sani.
“Oh... abang tak tahu pulak pasal tu.”
“Aik? Takkan tak tahu? Itu duit pampasan arwah mak ngah
accident dulu. Ayah Mia pun dapat. Saya dengar mak cerita, arwah ayah Mia dapat
lagi banyak berbanding mak Mia,” jelas Sani.
Wajah Aqmal berubah serta merta. “Mana Sani tahu?”
“Dulu arwah ayah sama-sama pergi jumpa majikan mak ngah
dulu. Mak kata ayah abang pun ada juga. Saya tak tahulah betul ke tidak. Mak
yang cerita pada saya,” ujar Sani.
Aqmal kaku serta merta. “Berapa banyak?”
“Duit Mia tu? Banyak... ratus ribu kut. Saya tak ingat
berapa. Mak yang tahu jumlah sebenar duit tu,” ucap Sani.
“Berapa banyak yang majikan beri pada keluarga kita?”
“Sebelah abang saya tak tahulah. Sebelah kami dekat 7
ratus ribu jugalah. Itu jumlah semua termasuk insuran persendirian, perkeso dan
KWSP.”
Turun naik dada Aqmal serta merta. Jika jumlah yang
diterima oleh arwah emak Lamia sebanyak itu, bermakna ayahnya menerima lebih
banyak lagi.
“Kenapa, bang?” tanya Sani hairan melihat Aqmal seperti
tidak suka mendengar semua itu.
“Tak ada apa-apa. Nanti abang beritahu Mia.”
“Saya pergi dulu, bang. Dah lambat.”
“Ada masa kita jumpa? Ni kad abang.” Aqmal membuka
dompetnya. Sekeping kad diberikan kepada Sani. Sani sempat merenung kad itu.
“Abang kerja bahagian pelaburan?” tanya Sani setelah
membaca kad itu.
“Ya.”
“Okay. Ada masa nanti kita keluar minum,” janji Sani sambil
mengambil tangan Aqmal untuk berjabat semula. Aqmal mengangguk.
Sepeninggalan anak muda itu, Aqmal berdiri terpacak di
situ. Fikir dalam-dalam. Kusut fikirannya memikirkan apa yang sedang berlaku.
Masakan ayahnya tidak tahu tentang wang pusaka itu? Adakah Lamia juga berbohong
kepadanya? Dia mula memikirkan sesuatu.
Aqmal segera pulang ke pejabat. Sampai di biliknya dia
menyelak memori buku telefon di telefon bimbitnya. Akhirnya dia diketemukan
dengan nombor kad pengenalan ayahnya di dalam simpanannya. Kemudian dia membuka
laci. Buku tersimpan pelbagai kad perniagaan diambilnya. Satu persatu diselak
bagi mencari kad yang berkenaan.
Selama ini dia pernah terfikir untuk buat begini. Namun
tidak mampu untuk meneruskannya kerana perbuatan ini salah. Tetapi kali ini dia
nekad. Aqmal mengangkat ganggang telefon lalu mendail nombor pada salah satu
kad yang dilihatnya.
“HSBC. May I help you?” satu suara lembut menyambut
panggilan Aqmal.
“Hello... may I speak to Mr. Joseph Liu?” pinta Aqmal.
“May I know who’s on the line?”
“Aqmal Amaluddin, assistant manager from Financial
Service Deparment. Bank Negara.”
“Hold on, sir.”
“Okay.” Aqmal bersandar di kerusinya sambil menanti.
“Hello?” sapa satu suara seketika kemudian.
“Mr. Joseph. Aqmal Amaluddin, from Bank Negara.”
“What can I do for you, sir?”
Aqmal segera menyelak semula telefonnya. Kemudian sebaris
nama dan nombor diberikan kepada lelaki itu.
Namun setelah hampir lima belas minit berurusan di
talian, Aqmal diberitahu sesuatu yang mengejutkan.
“We
don’t have any client by the name, Mr. Aqmal.”
“Are
you sure?”
“I dah check dua kali. Tiada sebarang pinjaman pernah
dibuat oleh klien ini.”
Aqmal diam seketika. Mula terdetik sesuatu di hatinya. “Okay, then. Thank you for your
co-operation, Mr. Joseph.”
“Most
welcome, sir.”
Setelah ganggang diletakkan, Aqmal bangkit lalu keluar
dari kamar kerjanya. Nekad. Dia menjejaki jabatan yang menguruskan insurans.
“Aqmal?” tegur Encik Bakri setelah Aqmal masuk ke
kamarnya.
“Saya perlukan satu maklumat. Ini agak sulit.”
“Berkenaan apa?”
“Seseorang dalam keluarga saya... sudah meninggal dunia
lebih 10 tahun dulu. Saya mahu tahu segala tuntutan insurans di bawah nama
dia.”
Encik Bakri tersandar. “You tahu itu tak boleh dibuat.”
“Saya tahu. Tapi ini penting.”
“Duduklah. Cerita apa masalahnya,” pinta lelaki itu
lembut.
Aqmal segera menarik kerusi lalu duduk di hadapan meja
lelaki itu. Panjang yang hendak diceritakan.
“Keluarga saya bermasalah tentang pusaka. Saya perlu tahu
detil tentang pusaka yang ditinggalkan oleh pak cik saya.”
“Maksud you, pusaka yang tidak dituntut?”
“Mungkin telah dituntut tapi disembunyikan dari warisnya.
Warisnya adalah isteri saya.”
Lelaki itu diam seketika sambil berfikir. “Kita tak ada
simpan detil seumpama itu.”
“Tapi kita ada kuasa untuk mendapatkannya, kan?” balas
Aqmal pantas.
Encik Bakri mengangguk semata. “Tapi kita perlukan report
dari si pewaris sekiranya syarikat insuran liat bayar tuntutan, Aqmal. Baru
kita boleh rujuk kepada syarikat insuran tersebut.”
Aqmal mendekatkan diri kepada meja. “Saya perlukan
bantuan Encik Bakri. Hal ni perlu dilakukan secara rahsia.”
“Kenapa?”
“Sebab ini melibatkan maruah saya. Ayah saya adalah
pemegang amanah dan pentadbir harta pusaka itu,” ucap Aqmal rendah.
“Berat masalah ni.”
“Saya perlukan kerjasama Encik Bakri. Tolonglah saya,”
pinta Aqmal separuh merayu. Encik Bakri menghela nafas perlahan.
“I tengok apa yang I boleh buat. You beri I detil si
mati. I akan contact seseorang yang mungkin boleh bantu.”
“Terima kasih banyak, Encik Bakri. Saya akan berikan
segala maklumat yang diperlukan secepat mungkin.”
Lega hati Aqmal setelah berbual dengan lelaki itu. Yakin.
Jawapan yang dicari selama ini bakal dapat digenggamnya sedikit masa lagi.
BAB
19
“ABANG...” ceria suara Lamia menyapa suaminya sebaik sahaja masuk ke rumah. Hairan. Selalunya
suaminya pulang lebih lambat daripadanya. Tetapi hari ini Aqmal sampai dahulu.
“Ya.”
“Awal abang sampai?”
“Abang ada kerja di luar tadi. Terus balik ke rumah,” jawab
Aqmal lantas meletakkan dokumen di tangannya di atas meja kopi.
Lamia meletakkan begnya di atas sofa. Mahu ke dapur untuk
mendapatkan air.
“Abang nak air tak?”
“Boleh juga,” jawab Aqmal lantas menoleh ke arah
isterinya. Lamia sudah ke dapur.
Aqmal termenung memandang ke hadapan. Fikir cara terbaik
untuk mendapatkan kepastian dari Lamia tentang apa yang didengarinya dari Sani.
“Air, bang.”
“Macam mana Mia punya study?” tanya Aqmal.
“Okay aja setakat ni,” jawab Lamia lantas duduk di
sebelah suaminya.
“Ada apa-apa masalah Mia mesti cakap dengan abang. Jangan
cuba selesaikan sendiri,” ucap Aqmal usai menghirup air hangatnya. Lamia
sekadar mengangguk.
“Mia tak ada apa-apa rahsia nak beritahu abang?” tanya
Aqmal lagi.
“Rahsia? Tak adalah. Kenapa abang tanya macam tu?”
“Betul?” balas Aqmal lantas memandang tepat ke dalam mata
isterinya. Lamia segera mengalihkan pandangan. Buat-buat meletakkan gelasnya di
atas meja.
“Tak ada. Betul.” Lamia membalas bersungguh.
“Tentang duit pusaka dari arwah ayah Mia, apa yang Mia
nak buat untuk selesaikan masalah tu?”
“Ha? Kenapa kita bercakap pasal ni?” dada Lamia berdebar
serta merta. Mulalah dia tidak tentu arah.
“Pusaka mesti dituntut Mia. Dulu Mia kata Mia tak pernah
buat apa-apa tuntutan. Makin lama dibiarkan, makin susah nanti.”
“Mia tak tahu apa nak tuntut pun.”
“Takkanlah majikan lama arwah ayah Mia tak bayar apa-apa?
Sikit atau banyak, itu tetap duit Mia.”
“Mia malas nak fikirlah pasal tu semua, abang. Biarlah.
Mia tak kisah pun.”
Aqmal diam memandang isterinya. Lamia enggan
memandangnya. Dia tahu Lamia sedang menyembunyikan sesuatu kepadanya.
“Mia tahu... abang kahwin dengan Mia supaya nasib Mia
terbela. Bukan sebab sayang semata-mata.”
“Abang, Mia tak mahu cakap pasal tu. Please?”
“Kenapa Mia tak mahu cakap pasal tu?” ujar Aqmal.
“Mia busy sekarang. Mia tak mahu bebankan fikiran Mia
dengan tu semua,” ujar Lamia bersungguh.
“Ya? Atau ada sesuatu yang Mia tak mahu abang tahu?”
“Apa maksud abang ni??? Abang syak Mia ni jahat ke?”
suara Lamia meninggi serta merta.
“Abang tak cakap begitu pun. Abang Cuma tanya. Salah ke
abang bertanya?” jawab Aqmal selamba.
“Cara abang bertanya tu macam syak Mia yang bukan-bukan.”
“Eh! Abang tak syak Mia yang bukan-bukan. Abang cuma nak
tahu kenapa hal ini tak boleh kita bincangkan? Ada apa yang rahsia benar?” ujar
Aqmal bersungguh.
“Mana ada rahsia.”
Aqmal memandang isterinya lama sekali. Nampaknya Lamia
juga memilih untuk berbohong kepadanya. Persoalannya, kenapa Lamia perlu
berbohong kepadanya?
“Malaslah nak fikir!” balas Lamia lantas mencapai begnya.
Dia bangun meninggalkan Aqmal di situ.
Aqmal hanya menghela nafas perlahan. Dia hanya bertanya.
Lamia naik marah pula. Samaada hal itu begitu sensitif kepada isterinya. Atau
ada sesuatu yang Lamia tidak mahu dia tahu.
Buat seketika Aqmal bersendirian di ruang tamu itu sambil
menikmati airnya. Namun fikirannya terus terbang mencari jawapan yang
diingininya. Banyak persoalan sedang bersimpang siur dalam fikiran.
“Mak ngah...” bisik Aqmal serta merta setelah teringatkan
wanita itu. Mungkin ada sedikit cerita lama itu boleh dicungkil dari emak
saudaranya.
Aqmal mendapatkan telefon bimbitnya. Nombor Hashimah
dicarinya. Sebaik sahaja terjumpa, dia memberi mesej. Buat permulaan sekadar
bertanya khabar.
‘Mak
ngah sihat. Anak-anak pun sihat. Kau apa cerita?’
Aqmal tersenyum membaca mesej itu. jarang mereka
berhubung selama ini. sudah lama tidak bertemu.
‘Tak ada apa yang menarik. Mal nak sembang dengan mak
ngah kejap. Ada masa?’
Aqmal mengirimkan mesej itu.
‘Boleh aje.’
Aqmal bangkit lalu menuju ke pintu. Sempat memandang ke
arah tangga. Isterinya sedang berada di atas. Aqmal mendail nombor emak
saudaranya setelah berada di luar.
“Ada apa, Mal?” tanya Hashimah setelah terdengar suara
Aqmal di talian.
“Saja nak borak dengan mak ngah.”
“Ah! Kau jangan nak kelentonglah. Mesti ada apa-apa kau
nak cakap dengan mak ngah ni. Cakaplah,” ujar Hashimah lagi.
“Mak ngah, Mal nak tanya sikit tentang arwah pak usu
dulu.”
“Kenapa?”
“Lepas arwah pak usu meninggal, tak ada langsung ke
keluarga kita dapat duit pampasan dari majikan pak usu?”
“Kau pernah tanya abah kau?”
“Pernah. Abah cakap tak banyak. Duit tu entah di mana
sekarang.”
“Mia?”
“Mia tak mahu jawab. Entahlah... Mal rasa tak sedap
hati.” Aqmal membalas perlahan.
Hashimah menghela nafas perlahan. “Sebelum kau kahwin
dulu, abah kau pernah telefon mak ngah. Cakap pasal Mia.”
“Kenapa dengan Mia?” suara Aqmal berubah. Terkejut.
“Dia tak setuju kau kahwin dengan Mia. Tapi mak ngah
malas nak masuk campur. Itu hal keluarga kau orang.”
Kening Aqmal berkerut. Kenapa mesti abahnya bercerita
tentang itu kepada ibu saudaranya?
“Mal, kau patut tahu apa sebabnya abah kau tak suka si
Mia tu.”
“Apa sebabnya?”
“Abah kau berhutang dengan Mia duit pusaka arwah bapak
Mia. Bukan sikit, Mal. Banyak. Sebab tu dia takut benar si Mia tu dekat semula dengan
keluarga kita.”
Aqmal kaku memandang ke arah luar halaman rumahnya.
“Dulu dia hantar Mia ke rumah anak yatim supaya Mia tak
datang tuntut semua tu lagi. Tapi tiba-tiba mak angkat Mia tu nak bela Mia. Mak
ngah rasa bersalah pada Mia. Mak ngah tak dapat buat apa-apa untuk dia.”
“Berapa banyak duit tu, mak ngah?”
“Dekat lima ratus ribu. Duit jualan rumah, KWSP, insurans
yang syarikat ambil untuk setiap pekerja, perkeso dan majikan ada berikan
pampasan kepada waris pak usu sebanyak 320 ribu. Jumlah semua yang abah kau
dapat waktu tu 850 ribu. Duit rumah tu dia pulun seorang. Belah emak si Mia tak
merasa satu sen pun. Kalau tak silap mak ngah, arwah ayah Mia ada insurans
nyawa. Mak kau pernah mengadu pada mak ngah. Abah kau sibuk nak bela Mia sebab
nakkan duit tu. Mak kau susah hati. Perangai abah kau dah makin teruk. Itu yang
mak ngah nak cerita sangat pada kau. Bukan sebab mak ngah dengki sebab tak
dapat satu sen pun atau nak laga-lagakan kau dengan abah kau semenjak dulu. Mak
ngah risau kau jadi mangsa keadaan. Abah kau beritahu, Mia kahwin dengan kau
sebab nak mempergunakan kau. Lamia tu berdendam dengan abah kau, Mal.”
“Jadi Mia tahu semua ni?”
“Tahu. Dia tuntut duit tu dari abah kau sejak dulu.”
Aqmal kaku lagi. Hatinya seperti telah dibelah menjadi
dua. Serta merta terimbau di benaknya bagaimana Lamia tiba-tiba sahaja memilih
untuk mengahwininya. Kini dia tahu mengapa sesetengah sikap isterinya sukar
untuk dibacanya. Lamia perahsia.
“Pasal tu mak ngah tak tahulah kut abah kau buat cerita.
Kau tanyalah Mia sendiri. Tapi tentang duit tu, mak ngah harap abah kau pulangkanlah
semula pada yang berhak. Berdosa makan duit anak yatim ni, Mal.”
“Mal faham tu, mak ngah.”
“Mal, kau nampak apa yang buruk. Janganlah kau ikut. Abah
kau tu makan duit anak yatim, tak juga jadi jutawan. Macam tu juga semenjak
dulu. Sebab rezeki tak berkat bila kita ambil hak orang, Mal. Kau pujuklah abah
kau. Pulangkan duit Mia. Tentang kau dan Mia, pandai-pandailah kau selesaikan.
Rasional, Mal. Jangan ikutkan perasaan marah. Fahamkan apa yang mak ngah cakap
ni?”
“Ya, mak ngah. Mal faham tu.” Sedar. Lamia jadi begitu,
abahnya menjadi punca.
Selesai berbual dengan emak saudaranya, Aqmal termenung
di luar rumah pula. Satu demi satu penjelasan itu bermain di fikirannya.
Keliru. Kecil hati. Lamia menjadikannya alas kubur dek kerana dendamnya kepada
abahnya.
“Abang?”
Aqmal menoleh sedikit sebaik sahaja suaranya diterpa
panggilan Lamia.
“Kenapa abang duduk di luar?” tanya Lamia hairan. Dia
terpandangkan telefon di tangan Aqmal. Dadanya mula merasa tidak enak.
“Mia tak pernah rahsia apa-apa dengan abang?”
“Kenapa abang tanya macam ni? Abang call siapa tu?” tanya
Lamia. Aqmal diam merenung tampang isterinya.
“Abang bercakap dengan siapa tadi?” tanya Lamia lagi.
Jangan-jangan Hamsan sudah membocorkan rahsia. Lamia sudah kalut dalam diam.
Pandangan Aqmal membuatkan dia serba tidak kena.
“Mia sayangkan abang?” tanya Aqmal lantas mendekati
isterinya.
“Mestilah. Soalan apa ni?”
Aqmal kaku seketika di hadapan Lamia. Hatinya pedih.
Setiap kali dia bertanya, Lamia akan menjawab dengan jawapan ‘mestilah’ sebagai
penyedap bicara. Ringan mulutnya mahu membuka cerita yang sudah didengarinya.
Namun dia memilih untuk berhadapan dengan ayahnya terlebih dahulu. Kemudian
baru Lamia!
RESAH! Dia tetap mahu tahu siapa yang berbual dengan Aqmal
petang tadi. Ketika suaminya sudah lena, Lamia bangkit dari ranjang.
Senyap-senyap dia pergi mendapatkan telefon suaminya. Telefon itu dibawanya
keluar dari kamar tidur mereka.
Setelah berada di bawah, Lamia membuka kata kekunci
telefon Aqmal. Puas dibeleknya log panggilan terakhir. Semuanya sudah
dipadamkan Aqmal. Kemudian mesej-mesej di dalam semua aplikasi. Juga tidak apa
yang mencurigakan.
“Siapa dia call tadi ek?” ucap Lamia seorang diri. Tidak
jemu Lamia membelek satu persatu mesej yang diterima oleh Aqmal. Hanya mesej
dari kawan-kawan sekerja suaminya. Tiada apa yang penting.
“Mia...”
Lamia tersentak hebat diterpa suara suaminya. Lekas-lekas
dia menyembunyikan telefon Aqmal di sudut-sudut yang terlindung di sofa itu.
“Ya, bang.”
“Kenapa tak tidur lagi? Buat apa tu?” tanya Aqmal lantas
menapak menuruni tangga. Lamia lekas-lekas bangkit meninggalkan telefon
suaminya di situ. Segera mendapatkan Aqmal sebelum lelaki sampai ke ruang tamu.
Debar dadanya tidak tertahan.
“Mia minum air tadi. Rasa panas pulak,” ujar Lamia lantas
memaut lengan suaminya. Aqmal memandang ke arah ruang tamu seketika sebelum
ikut naik ke atas semula.
Aqmal naik semula ke atas katil. Namun dia terpandangkan
meja di tepi katilnya sudah kosong. Selalunya dia meletakkan telefon di situ
sebelum tidur. Namun dia sekadar buat tidak perasan. Mata dipejamkan sehingga
dia terlena semula.
Awal pagi itu Aqmal terjaga terlebih dahulu sebelum
Lamia. Sebaik sahaja dia membuka mata, dia terpandangkan telefon bimbitnya
sudah kembali semula ke tempat yang sama. Perlahan Aqmal memandang isterinya.
Lama wanita itu diperhatikan.
Kini dia tahu, ada sesuatu tentang Lamia yang selama ini
dia tidak pernah tahu. Lamia telah mempermainkannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan