BAB
32
SANGKA Lamia lelaki itu akan lemah akibat rayuannya. Duganya Aqmal
akan kembali menjadi suaminya yang dulu setelah dia menyerahkan tubuh badannya.
Jauh panggang dari api.
Sebal. Hubungan bertunjangkan nafsu, tidak lagi kerana
kasih sayang. Aqmal lebih banyak berdiam kebanyakan masa. Hanya hanyut dengan
keperluan dirinya sendiri. Dek kerana mereka berada di rumah keluarga Aqmal,
Lamia akur saja dengan rentak suaminya itu.
Usai sarapan pagi Aqmal keluar dengan Syamel tanpa
memberitahunya. Tahu-tahu suaminya sudah lesap entah ke mana. Tinggal dia
bersendirian dengan emak mentuanya.
“Mia, kenapa termenung?” tegur Maria tatkala dia
ternampak Lamia bersendirian merenung ke halaman rumah. Lamia menoleh. Senyuman
diberikan namun hambar. Sehambar perasaannya ini.
“Tak ada apa-apa, mak.”
“Mia tak gembira ke ada di sini?” teka Maria lantas mendekati
menantunya itu.
“Mia cuma rasa sunyi aja,” jawab Lamia perlahan.
“Mak ni dah hidup lama, Mia. Pernah rasa kecewa dengan seorang
lelaki suatu masa dulu. Riak wajah tu dah lali dengan mak.”
Lamia tunduk seketika sebelum kembali memandang emak
mentuanya.
“Abang Aqmal dah tak macam dulu.”
“Memang betul,” sambut Maria lantas membalas pandangan
Lamia.
“Sebab Mia?”
“Banyak sebabnya. Bukan Mia seorang saja puncanya,” luah
Maria perlahan.
“Sebab apa lagi?”
“Arwah abah meninggal, Aqmal tak sempat jumpa dia. Terlalu
cepat. Waktu mak beritahu dia, suruh dia balik kampung, dia tak tahu pun abah
rupanya dah tak ada. Mak tak sampai hati nak cakap. Waktu abah meninggal, dia
masih terlalu sukar nak biasakan diri hidup tanpa Mia.”
Lamia diam mendengar itu.
“Itu semua dugaan yang amat besar untuk dia, Mia. Mak tahu,
biarpun dah lama abah pergi... dia tak pernah dapat lupakan keadaan tu. Kali
terakhir dia jumpa arwah abah, arwah abah masih marah-marahkan Aqmal. Tapi mak
percaya, marah macam mana pun abah tetap sayangkan Aqmal. Cuma abah tu ego
sikit nak mengaku.”
“Mia tak pernah tahu semua tu,” ucap Lamia rendah. Sedih.
Tika itu dia lebih rela melarikan diri daripada berhadapan dengan Aqmal akan
kesalahannya.
“Mak dah banyak kali nasihatkan dia. Tak ada apa lagi
yang boleh kita buat dengan masa lalu. Masa depan nilah yang penting untuk kita
corakkan baik-baik. Aqmal anak yang baik pada mak dan abah selama ni. Mak tak
mahu masa depan dia hancur kerana masalah yang sudah selesai.”
“Mia salah seorang yang menyebabkan Abang Aqmal jadi
begitu.”
“Mia, biar apapun sebabnya, mak percaya Aqmal masih
sayangkan Mia. Mak nampak layanan dia pada Mia memang dah tak macam dulu. Tapi
sikit banyak kekurangan tu janganlah kamu berdua jadikan sebab untuk berpatah
arang. Carilah jalan penyelesaian yang lebih baik. Untuk apa kita diuji Tuhan
kalau akhirnya kita mengalah juga,” nasihat Maria lembut. Dahulu dia nampak Aqmal
selalu memanjakan Lamia. Sekarang sudah tidak lagi. Dia tahu anak lelakinya itu
masih tidak mampu memujuk rajuk di hatinya.
“Mia tak sekuat mana, mak. Kadang-kadang Mia rasa malu
terhegeh-hegeh pada orang yang dah tak sudi,” ujar Lamia perlahan.
“Kalau dia dah tak sayangkan Mia, dah lama dia lepaskan
Mia. Mia kadang-kadang orang lelaki ni suka memendam rasa. Kerana kita ni
seolah-olah macam tak peduli pada perasaan dia.”
Lamia tunduk mendengar bicara emak mentuanya. Mungkin itulah
yang Aqmal rasa selama ini. Dia hanya mementingkan kehendak dan perasaannya
sahaja. Aqmal sudah biasa mengalah semenjak dulu.
“Mak katakan pada Mia semalam, jangan biarkan dia jadi
orang terakhir dalam hidup Mia. Seharusnya dia sebahagian dari hidup Mia. Tetapi
dia merasa tidak dipedulikan selama ni,” ujar Maria lagi.
Mata Lamia berkaca saat memandang ke halaman rumah itu.
Ya, dia tahu itu. Dia pernah merasa rindukan Aqmal tetapi dia berdiam diri
kerana tidak ingin hilang apa yang sudah ada digenggamannya. Pernah dia
merasakan dia tidak akan pulang kepada Aqmal selagi dia tidak dapat menggenggam
cita-citanya. Demi itu, dia rela mengorbankan rasa sayang dan rindunya kepada
Aqmal.
“Mia, dalam rumahtangga memang akan ada masalahnya. Jangan
susah hati. Minta dari Allah jalan keluarnya. Insya-Allah, Allah akan bantu
asalkan hati kita ikhlas,” ujar Maria lantas menyentuh pundak menantunya itu. Lamia
mengangguk akhirnya kepada kata-kata ibu mentuanya itu.
“Mak nak masak ni. mak ke dapur dulu.”
Lamia ikut berpaling. Daripada dia termenung tiada
berkesudahan, lebih baik dia ke dapur menolong emak mentuanya.
“Mak, kalau Mia tanya sesuatu boleh?”
“Tanyalah, Mia.”
“Mengenai sekolah Tahfiz... semenjak bila?”
“Semenjak arwah abah tak ada. Tanah tu sebetulnya arwah
abah wasiatkan untuk Aqmal. Itulah satu-satunya tanah sebidang yang dia tidak
berkongsi dengan adik-adik yang lain. Tapi dia niat nak wakafkan atas nama abah
dan arwah ayah Mia. Sekolah tu Haji Maarof yang uruskan. Aqmal berikan duit setiap
bulan untuk kebajikan budak-budak yang belajar di situ.”
“Dari mana Abang Aqmal dapat duit?”
“Dari syarikat yang dia dan Marissa jaga sekarang. Duit
hasil sawit, duit keuntungan dari kedai yang Marissa jaga sekarang. Bahagian
dia, itulah yang dia gunakan untuk tanggung sekolah tu,” ujar Maria dengan
senyum lembut. Lamia terpana mendengar itu.
“Mia tak sangka Abang Aqmal sanggup dermakan duit dia
untuk orang lain.”
“Sifat kedekut arwah abah dulu ada juga kebaikannya untuk
anak-anak mak, Mia. Memang arwah abah yang tanggung dia belajar. Tapi abah beri
dia duit setiap bulan banyak itu aja. Cukup atau tidak, abah tak ambil tahu. Tanyalah
Marissa. Kalau dia mintak duit lebih, arwah abah tak pernah layan. Mia tahu
kenapa Aqmal sayang sangat kereta yang Mia ambil dari dia tu? Sebab itulah
satu-satunya hadiah yang abah beri pada dia bila dia berjaya dalam sesuatu. Adik-adik
lain tak pernah rasa bawa kereta tu, Mia. Dia tak bagi.”
Sekali lagi Lamia terpana mendengar itu. Sesuatu yang dia
tidak pernah tahu selama ini. Dia larikan kereta Aqmal ketika dia nekad
meninggalkan lelaki itu. Dia tahu kereta itu berharga bagi Aqmal. Tetapi tidak
tahu harganya setinggi itu.
“Mia dah buat salah pada dia,” ucap Lamia seolah-olah
bercakap dengan diri sendiri.
“Semua tu boleh dibincangkan semula, kan? Tak ada salah sesama
manusia yang tak ada maafnya, Mia.”
“Kesannya sangat teruk bila kita sakiti orang yang
terlalu baik pada kita, mak. Mia bermusuhan dengan arwah abah. Tapi Mia balas
pada orang yang sayangkan Mia.”
“Macam yang mak katakan tadi. Tak ada salah yang tak ada
maafnya. Mak tak mahu kamu berdua terus bergelut mengenang kisah yang lepas. Semua
tu dah berlalu, Mia. Kalau masih rasa sakit, carilah ubatnya.”
Benar kata-kata emak mentuanya. Jika masih rasa sakit,
haruslah dicari ubatnya. Bukannya berputus asa.
“MAK...” panggil Aqmal dari luar rumah.
“Ya.” Maria terkedek-kedek datang dari dapur ke arah
pintu hadapan.
“Barang dapur,” ucap Aqmal lantas memasukkan satu demi satu
beg plastik ke dalam rumah. Namun hanya diletakkan di muka pintu.
“Mal nak hantar barang ke sekolah ni, mak.” Aqmal kembali
memandang ibunya setelah semua beg plastik itu sudah dipindahkan dari kereta.
“Mal...”
“Ya, mak.”
“Mak tak dengar satu soalan yang patutnya kamu tanya pada
mak.”
Aqmal terpaku memandang emaknya. Tidak faham. Maria
berdiri merenung tepat tampang anaknya itu.
“Mak tak suka macam ni, Mal.”
“Apa maksud, mak?”
“Kamu pedulilah orang di luar sana. Sebaik mana pun kamu
di mata orang, tak cukup kalau kamu tak peduli orang yang patut kamu peduli.”
Wajah Aqmal berubah sedikit. Kini dia tahu apa yang
dimaksudkan ibunya.
“Mia mana, mak?”
“Jangan buat untuk jaga hati mak, Mal. Buatlah demi diri
kamu sendiri. Setiap penyakit ada ubatnya,” ucap Maria lembut.
“Ya, mak...” jawab Aqmal perlahan. Kepalanya digaru
perlahan sambil memandang sekilas ibunya itu. Agaknya Lamia ada mengadu kepada
ibunya.
“Janganlah kamu hukum dia berlebihan sangat. Dia tu
rapuh, Mal.”
“Orang yang kita bela nasib dia rupanya selama ni mahu
menghancurkan hidup kita. Mal kecil hati, mak.”
“Mak faham, nak. Tapi yang sudah tu sudahlah,” ucap Maria
lagi.
“Mal pergi dulu, mak.”
Maria hanya mengangguk sedikit. Nafas dihela panjang. Sebelum
dia mengangkut sebahagian beg plastik itu ke dapur. Namun dalam fikirannya
sesak. Hatinya risau dengan masalah Lamia dan Aqmal. Jelas di matanya Aqmal
seperti tidak pedulikan Lamia. Tidak bertanya langsung tentang Lamia.
Dua jam kemudian Aqmal pulang ke rumah sendirian. Syamel
pergi menolong kakaknya di pasar mini. Dari pintu pagar dia sudah nampak Lamia
termenung di ambang pintu.
“Mengadu apa kat mak?”
Lamia hanya diam. Tiba-tiba dia rasa nak menangis saja. Cara
Aqmal bertanya seolah-olah dia isteri yang suka mengadu domba.
“Mia cakap apa pada mak pasal kita?”
“Mia nak balik!” ucap Lamia tiba-tiba. Aqmal terpaku
memandang wajah Lamia. Mulalah rasa nak marah datang.
“Kita balik esok.”
“Abang balik esok. Mia nak balik hari ni. Mia naik bas. Abang
pun tak suka tengok muka Mia, kan? Jadi, biar Mia balik aja.”
“Mia!” desis Aqmal dengan dada turun naik menahan marah.
“Memang Mia ni teruk, mengadu pada mak. Sebab Mia dah tak
tahan. Mia tak tahu apa nak buat untuk ambil hati abang!”
Aqmal memandang ke dalam. Emaknya sedang berjalan ke arah
mereka. Lekas-lekas mengubah reaksi wajahnya.
“Mal, nak makan?” tegur Maria tanpa sedar apa yang
berlaku pada Lamia dan Aqmal.
“Ya, mak...” jawab Aqmal lembut. Jemari Lamia dicapainya.
“Masuk dalam...” ucap Aqmal bersungguh. Lamia cuba
menarik tangannya. Namun Aqmal tetap tidak melepaskannya.
“Abang kata masuk dalam,” tegas Aqmal dalam nada
tertahan. Mahu tidak mahu Lamia akur juga.
“Mak, Mal ada kerja penting nak siapkan di KL. Mal nak
kena balik petang ni,” ucap Aqmal setelah duduk di meja makan.
“Ha?” terkejut Maria mendengar itu. Segera dia memandang
Lamia. Lamia hanya terkebil-kebil mengunci mulut.
“Kereta kamu tu macam mana?”
“Mal suruh Mel pergi tengok hari Selasa nanti. Mal call
tauke bengkel tu nanti. Dah siap nanti, Mal balik ambil.”
“Yalah,” jawab Maria perlahan. Terkilan. Baru dua hari
anak dan menantunya pulang. Sudah hendak balik semula. Tetapi mungkin memang
benar Aqmal ada kerja penting yang mesti didulukan.
Jam lima petang Aqmal sudah memandu pulang ke Kuala Lumpur.
Mereka berdua lebih banyak berdiam sepanjang perjalanan. Lamia pura-pura tidur.
Namun hati terus berkata-kata sendiri.
“Abang nak semula kereta abang? Mia boleh bagi,” ucap
Lamia setelah sekian lama tiada suara antara mereka.
Aqmal hanya diam tidak menyahut. Tidak berminat untuk
mengenang tentang kereta itu semula.
“Mia minta maaf. Mia tak tahu betapa besarnya erti kereta
tu pada abang selama ni,” ujar Lamia lagi.
“Berhenti cakap pasal tu semua. Abang tak nak dengar
lagi,” balas Aqmal perlahan.
“Okay. Abang tak suka dengar suara Mia, kan?”
Aqmal menoleh ke sebelahnya. Lamia bersandar di kerusi
sambil memejamkan matanya. Sungguh hatinya sayu. Bukan semudah itu dapat
menawan lelaki ini semula. Setakat ini dia rasa dia masih tidak berjaya.
Kebekuan hubungan itu berterusan sehingga tiba di KL.
Lamia terus pulang ke rumahnya sebaik sahaja Aqmal memberhentikan kereta di
hadapan rumah. Langsung tiada kata-kata pamitan diberikan kepada sang suami.
Namun sebaik sahaja masuk ke rumahnya, dia merasakan
hidupnya kian sepi. Kian menyedihkan sehingga menyeksa jiwa. Suatu masa dulu
dia merasakan kehidupan seperti ini mampu dihadapinya. Tetapi mengapa kini,
semua ini telah menghancurkan jiwanya?
Jiwa tega mengukir luka. Tetapi tidak kuat untuk menahan
duka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan