BAB
16
TERDENGAR
bunyi telefon, Lamia segera
menjawabnya. Nombor itu milik empunya rumah yang sedang mereka diami.
“Sekejap. Saya dalam library,” bisik Lamia sambil
berjalan menuju ke pintu.
“Mia dekat kampus ke?” balas suara itu.
“Ha’ah. Ada apa, bang?” tanya Lamia.
“Aqmal ada? Saya call dia, tak jawab,” ucap lelaki di
hujung talian.
“Abang Aqmal kat pejabat. Ada apa cari dia?” tanya Lamia.
Adakah suaminya bermasalah dengan duit sewaan rumah ini?
“Hari tu ada saya borak dengan dia. Dia kata kalau saya
nak jual rumah ni, dia nak beli. Saya dah bincang dengan wife saya. Kami setuju
nak jual. Itu yang saya call dia semenjak pagi tadi. Tapi dia tak jawab.”
“Dia busy kut.”
“Itulah. Mungkin dia tengah meeting kut. Kalau dia ada
malam nanti, sampaikan salam saya pada dia. Minta dia call saya semula. Boleh
kita bincang apa yang perlu,” ujar lelaki di hujung talian itu.
“Okay. Nanti saya sampaikan.”
“Assalamualaikum...”
Lamia menjawab salam sebelum mematikan talian. Dia pegun
seketika memandang ke hadapan. Terang benderang wajahnya mendengar khabar itu.
Memang dia ada mendengar hasrat Aqmal untuk membeli rumah seawal yang boleh.
Bimbang dengan keadaan semasa, harga rumah yang kian meningkat.
Hampir jam enam petang barulah Lamia meninggalkan
bangunan fakulti. Jalan raya sudah benar-benar sibuk. Sambil tersekat di dalam
kesesakan lalulintas, Lamia ralit berfikir beberapa hal yang perlu diberitahu
kepada Aqmal nanti.
Tetapi sebaik sahaja sampai di hadapan rumahnya, dia
terlihat kelibat Mike sedang duduk di atas motornya.
“Mike...” sapa Lamia ceria setelah keluar dari kereta.
“Lamanya? Kau pergi mana? Penat aku tunggu kau,” ujar
Mike.
“Aku balik lambatlah, Mike. Sorry ya?” balas Lamia lantas
mendekati Mike.
“Aku dah dapatkan tiket yang kau nak tu. Kau kena beri
upah pada aku. Jauh tau nak pergi beli ni,” ujar Mike lantas menyerahkan satu
sampul nipis kepada Lamia.
Lamia menyeringai seronok. Mike sudah membawakan tiket
konsert Shila Majid yang dihajatkan benar itu. kemudian dia membuka dompetnya.
Sekeping wang 50 diberikan kepada Mike.
“Thank you so much, Mike.”
“Most welcome. Aku kena balik ni. Mama aku ajak makan
besar di rumah. abang aku bawak girlfriend dia balik. dia nak kenalkan dengan
kami.”
“Kau ajaklah Jennifer,” usik Lamia lantas ketawa. Mike
hanya mampu mencebik kecewa sebelum dia mendapatkan motornya semula.
“Aku cemburu dengan kau. Kau dah ada kereta. Aku pun nak
beli kereta juga. Tapi aku tak suka pulak. Sebab nanti lambat sampai bila jalan
jem,” bebel Mike sambil menyarungkan topi keledarnya.
“Kau belilah motorbike kalau begitu,” jawab Lamia
selamba.
“Ya jugak, kan? Pandailah kau, Mia.” Mike menyeringai
sambil meletakkan punggung di atas kusyen motornya. Lamia ketawa kecil dengan
gelagat Mike. Lamia berdiri di situ memandang Mike berlalu.
Setelah Mike berlalu, Lamia masuk ke dalam rumah.
suaminya masih belum tiba. Dia mengagak, Aqmal pulang lewat sedikit hari ini. Sempatlah
dia memasak sesuatu untuk makan malam nanti.
Memang benar telahannya. Aqmal hanya sampai di rumah
setelah jam 8 setengah malam.
“Abang kena duduk dalam bilik meeting sehari suntuk. Tak
sempat nak siapkan apa-apa kerja yang urgent,” adu Aqmal setelah duduk di sofa.
“Abang nak makan sekarang ke?” balas Lamia.
Aqmal segera mengangguk. Tidak elok menunaikan solat
dalam keadaan perut lapar. Jadi dia memilih untuk melambatkan sedikit solat
isyak.
“Mia masak apa hari ni?”
“Mia masak ringkas aja. takut tak sempat nak siap sebelum
abang balik,” jawab Lamia.
“Bolehlah. Janji ada benda nak dimakan sudahlah,” jawab
Aqmal. Tabiat suaminya Lamia sudah tahu. Aqmal tidak suka makan makanan
semalam. Biarlah masakan yang ringkas asalkan baru dimasak.
“Ayam masak goreng kunyit?” tanya Aqmal lantas tersenyum.
Dia suka masakan itu.
“Boleh?”
“Boleh sangat. Jom makan,” ajak Aqmal ceria.
Selesai makan dan solat isyak, Lamia mula menghimpit
suaminya di atas sofa, hadapan tv. Lelaki itu sibuk mencari saluran yang masih
ada siaran berita.
“Mia tak study ke malam ni?”
“Siang tadi Mia dah habiskan masa di library,” jawab
Lamia lantas tersenyum. Sesuatu yang dipegangnya segera ditunjukkan kepada
Aqmal.
“Abang...” lemak manis penuh mesra panggilan Lamia sambil
menayang sesuatu kepada suaminya.
Aqmal menoleh. Terpandangkan dua helai tiket di tangan
Lamia. “Apa ni?”
“Tiket konsert.”
Aqmal segera terpaku memandang wajah Lamia. “Kan abang
kata tak boleh? Mana Mia dapat duit beli tiket dengan harga sampai banyak ini?”
ujar Aqmal. Pada tiket itu tertera harga sekeping tiket adalah RM 150. Dua
tiket bermakna RM 300.
“Adalah duit Mia,” jawab Lamia selamba.
“Abang tak suka bila Mia tak mahu dengar cakap abang.”
“Sekali ni aja. Bukannya selalu Mia tengok konsert.
Lagipun ni bukannya macam konsert biasa. Duduk berhimpit-himpit sambil
terkinja-kinja.”
Aqmal diam. Ya, dia tahu itu. Tetapi orang seperti mereka
menghabiskan duit sebanyak untuk hiburan, itu agak luar biasa. Hairan. Dia memberi
duit belanja setiap minggu sebanyak 150 ringgit. Dari mana Lamia dapat duit
sebanyak itu untuk membeli tiket? Masakan Lamia mengikat perut semata-mata
untuk itu?
“Boleh tak, abang?”
“Yalah. Dah beli takkanlah abang nak larang juga.
Membazir ajalah duit tu,” jawab Aqmal perlahan. Keizinan diberikan dalam
keadaan hatinya tidak reda. Lamia terus memeluk lengan Aqmal.
“Terima kasih, abang. Abang pergi dengan Mia ya?”
“Abang tak minatlah, sayang.”
“Alah... habis tu takkan Mia nak pergi seorang?”
“Siapa suruh beli? Abang dah kata tak boleh. Mia beli
juga tiket tu.” Aqmal menjawab selamba.
“Takkanlah tak boleh temankan Mia. Dua jam aja.”
Aqmal kembali memandang isterinya. Serba salah. Sudahnya
dia mengangguk juga. Buatnya Lamia pergi dengan lelaki lain, haru hidup dia
nanti. Bukan main senang hati Lamia menerima persetujuan dari Aqmal.
“Dahlah. Abang dah penat ni. Jom kita naik,” ucap Aqmal
sambil melepaskan pelukan Lamia pada lengannya.
Kembang setaman hati Lamia. Moodnya bukan main baik lagi.
Sampai di atas Aqmal segera menghumban tubuhnya ke katil. Penat benar.
“Abang...” panggil Lamia.
“Ya...” Aqmal membalikkan tubuhnya untuk mencari wajah
isterinya.
“Abang ada call tuan rumah tak tadi?”
“Ada. Baru petang tadi abang bercakap dengan dia. Dia ada
call Mia ya?”
“Dia tanyakan abang. Apa dia cerita dengan abang?”
“Dia nak jual rumah ni pada abang,” jawab Aqmal perlahan.
“Abang setuju?”
Aqmal segera mengangguk. “Rumah ni dah cukup elok untuk
kita,” ujar Aqmal lembut. Lamia segera mengangguk. Rumah teres dua tingkat ini
sudah berusia sebelas tahun tetapi masih kelihatan baru.
“Abang nak kena pergi bank tentang loan.”
“Abang...” Lamia semakin menghimpit suaminya. Dengan
selamba dia meletakkan kepala di atas dada Aqmal.
“Ya...” Aqmal menyahut mesra.
“Jangan lupa letak nama Mia jugak tau,” pinta Lamia tanpa
segan silu.
“Mestilah abang letak nama Mia. Mia tak cakap pun, abang
dah terfikir begitu. Kalau ada apa-apa jadi pada abang, inilah tempat Mia untuk
teruskan hidup.”
Lamia terdiam pula. Nada itu kedengaran amat ikhlas.
Sedangkan dalam fikirannya terpeta hasrat yang menyimpang dari itu. Dia sibuk
mahu mencari jalan agar rumah ini dinamakan atas namanya. Tetapi yang
membayarnya nanti adalah Aqmal!
Tetapi... masakan dia tergamak melakukan hal sekejam itu
kepada lelaki yang begitu bersungguh menyayanginya ini?
“Selain ibu dan Mike, hanya abang seorang yang sayangkan
Mia sungguh-sungguh,” ujar Lamia perlahan.
“Mia isteri abang. Abang hanya mahu Mia jalani hidup ni
sebaik-baiknya dengan abang,” ucap Aqmal. Dia tahu kehidupan Lamia dahulu
seperti apa. Kalau boleh dia ingin memberikan segala-galanya kepada isterinya
ini agar Lamia gembira hidup dengannya.
Lamia diam tanpa balasan. Fikirannya ralit berfikir
tentang Aqmal. Aqmal langsung tidak mewarisi sifat kedekut dan tamak ayahnya
itu. Malah Aqmal terlalu percaya kepadanya.
“Mia?” panggil Aqmal lembut.
Lamia mengangkat kepala. Tunak pandangannya tertusuk lama
ke dalam dua bola mata Aqmal. Mungkin Aqmal tidak setamak Hamsan. Tetapi dia
mampu jadi lebih tamak dari itu!
“Abang milik Mia seorang. Kalau ada perempuan lain yang
cuba ganggu abang, Mia tak akan biarkan.”
“Apa Mia cakap ni?” ujar Aqmal lantas ketawa kecil.
“Mia serius ni.”
“Ya. Abang tahu, sayang. Tak ada mananya perempuan lain
nakkan abang ni.”
“Kalau ada, siaplah dia.”
“Jangan mengarut. Abang tak pernah tahu pun ada perempuan
lain yang sibuk nak rampas abang dari Mia.” Aqmal menarik isterinya lalu
dipeluknya erat.
“Kalau abang curang, siaplah abang,” rungut Lamia.
“Tidak... jangan mengarut boleh tak,” balas Aqmal
bersungguh. Belakang Lamia diusapnya lembut. Sayangnya terlalu utuh kepada
Lamia. Sehingga dia tidak terasa hendak mencari apa yang lebih sempurna kepada
wanita lain di luar sana biarpun cabarannya sentiasa ada.
“Abang sayang Mia...” ucap Aqmal perlahan. Lamia
tersenyum mendengar itu. Tubuh Aqmal dipeluknya lebih erat.
Aqmal diam memandang ke atas. Sesuatu yang dia perasan, biar
sebanyak mana ucapan cinta dan tulus hatinya, Lamia tidak pernah membalas
dengan ucapan sayang kepadanya. Tidak pernah!
“MIA,
ni duit kau...”
Lamia sekadar memandang Mika menyiat kepingan cek lalu
diberikan kepadanya. Nilai 35 ribu itu sekadar dipandang kosong. Kemudian Lamia
memandang lelaki di hadapannya itu.
“Hmm... aku dah pindahkan duit yang kau minta tu ke dalam
akaun kau. Aku nak buat simpanan dalam bentuk emas untuk sebahagian duit aku,”
ujar Lamia kepada Mike.
“Okay. Husband kau tahu ke?”
Lamia menggeleng. Mike bersandar di kerusinya sambil
merenung wajah Lamia.
“Kenapa kau nak rahsia-rahsia macam ni? Aku tak fahamlah,
Mia. Dulu kau kata, kau setakat nak tahu dia ikhlas dengan kau atau tidak. Tapi
sekarang dia husband kau.”
“Duit tu duit aku. Aku tak perlu share apa-apa dengan
dia.”
“Aku tahu. Tapi kenapa kau berahsia sangat?”
Lamia diam pula. Perangkap makan tuan. Inilah dia
namanya. Dulu dia tidak hairan kalau Aqmal dapat tahu. Kerana dia yakin dia
akan meninggalkan Aqmal sesudah semua dendamnya lunas. Tetapi sekarang dia
takut. “Aku takut kalau dia tanya dari mana aku dapat semua ni, dia akan tahu
hal yang sebenarnya.”
“Maksud kau apa? Kau takut dia tahu ayah dia tu jahat?”
“Aku takut dia tahu yang aku pun jahat sebab tipu dia
selama ni!”
“Tapi...” Mike terdiam pula. Tiba-tiba terdetik sesuatu.
“Ada apa-apa yang kau tak pernah beritahu aku ke?”
“Kalau dia pergi tanya pada bapak dia... dia akan tahu
yang aku ni pun jahat! Aku kahwin dengan dia sebab duit tu. Bukan sebab aku
sayangkan dia, Mike!”
Mike terlopong. Benar-benar terkejut mendengar itu. Lamia
resah melihat reaksi Mike. Dia tahu dia tidak sepatutnya memperlakukan Aqmal
begitu.
“Apa patut aku buat, Mike? Aku takutlah. Kalau dia dapat
tahu, nanti dia mesti marah.”
“Semakin banyak kau tipu dia, semakin teruk kau akan
rasa. Aku pun rasa teruk bila dah tahu hal ni. Kau tak sepatutnya buat macam
tu. Dia layan kau baik selama ni!” ujar Mike serius.
“Aku takut dia tak dapat maafkan aku.”
“Kau belum cuba beritahu, Mia.”
“Tak. Tak. Aku tak mahu apa yang aku ada sekarang hilang
macam tu aja,” ujar Lamia pula. Mike menghela nafas perlahan.
“Habis kau nak berahsia macam ni sampai bila?”
“Entahlah. Mungkin suatu hari nanti aku akan beritahu.
Tapi bukan sekarang,” ujar Lamia.
“Kan lebih baik kau beritahu sebelum dia dapat tahu
tentang ini dari orang lain? Bila-bila masa saja bapak dia akan buka mulut.”
“Bapak dia tak akan berani buka mulut. Dia pun takut
Aqmal tahu tembelang dia, Mike.” Lamia menyambut cepat.
“Kenapa dia takut Aqmal tahu?”
Lamia mengangkat bahu. “Aku agak dia orang tu tak sama
pendirian. Aqmal lain prinsipnya. Cara dia pun tak sama macam bapak dia.”
“Bapak dia takut dia kena pulangkan duit tu? teka Mike.
Lamia terus mengangguk.
“Okaylah. Kalau kau rasa selamat begitu, aku tak boleh
nak cakap apa.” Mike menjawab perlahan.
“Mike, apa kata kalau kita buat business?” ucap Lamia.
“Kita?”
“Ya. Kau dan aku. Kau bijak. Dah pasti kau boleh fikirkan
business apa yang mampu buat kita survive dalam keadaan ekonomi tak selalunya
stabil.” Lamia berkata sambil memandang tepat ke arah Mike.
Mike diam seketika. Ada sesetengah perniagaan yang mampu
hidup biarpun ekonomi dunia tidak stabil. Tetapi tidak tahu sejauh mana mereka
mampu mengendalikannya.
“Aku tengok sesetengah orang Cina, umur muda lagi sudah
ada business sendiri biarpun sekadar kedai kecil. Aku nak kita jadi macam tu
Mike. Sampai bila kita nak main saham aja? Ada kalanya untung. Ada kalanya
terpaksa ambil semula modal kita. Aku tak mahu hidup miskin. Aku dah serik
hidup susah, Mike.”
“Kau ingat orang yang buat business hanya untuk saja ke,
Mia? Adakalanya rugi. Adakalanya berdepan dengan bunkrup.”
“Aku tahu. Sebab itulah aku nak kita fikirkan business
yang mampu bertahan dalam apa juga keadaan,” jawab Lamia.
“Aku kena fikirkan dulu,” jawab Mike perlahan.
Lamia memandang ke arah luar kedai. Semalam dia terdengar
suaminya bersembang dengan seseorang di telefon tentang urusan pembelian kereta
yang dibuat oleh Aqmal. Dengarnya sudah selesai. Hari ini Aqmal akan pergi menguruskan
urusan itu.
Terbayang-bayag di mata Lamia. Aqmal hanya ikut segala
kehendaknya semenjak dulu. Dahulu dia suka. Sekarang dia rasa berdosa.
“Mia,” panggil Mike.
“Ya.”
“Kau rasa susah hati?”
“Entahlah...” jawab Lamia dengan keluhan perlahan. Perkahwinan
antara dia dan Aqmal terhasil akibat dari tidak berfikir panjang. Dahulu dia
bercita-cita hendak melanjutkan pengajian ke luar negara. Sekarang semua itu
harus dilupakan.
“Dahlah. Aku malaslah nak fikir semua tu,” rengus Lamia.
Lebih baik dia nikmati sahaja hari ini daripada kusut memikirkan rahsia yang
entahkan terbongkar entahkan tidak.
“Dalam business kita kena berani berhadapan dengan
risiko. Begitu jugalah dengan kita, Mia.”
“Selain kau dan ibu aku, aku hanya ada dia yang
betul-betul sayangkan aku, Mike. Aku takut Aqmal akan bencikan aku.”
“Kau boleh minta maaf pada dia. Dia mesti akan maafkan
kau sebab dia sayangkan kau.”
“Kalau dia tak mahu maafkan aku, macam mana?” sambut
Lamia. Mike terdiam pula. Dia sudah tidak tahu apa yang hendak dijawab.
Lamia memandang jam di pergelangan tangannya. Sudah jam
tiga setengah petang.
“Aku kena balik ni,” ucap Lamia lembut.
“Okay.” Mike melambai pelayan.
Usai membuat pembayaran, lelaki itu mengiringi Lamia ke
tempat parkir. “Tengok? Dia beri kau pakai kereta kesayangan dia. Tu tanda dia
benar-benar percayakan kau.”
“Aku tahu, Mike.”
“Mia, aku tak mahu kau menanggung kesilapan dari
perbuatan kau sendiri. Prinsip persahabatan kita adalah kejujuran. Sepatutnya
begitu juga kau dan dia.”
Lamia hanya diam mendengar bicara Mike.
“Kau pergilah balik. aku akan call nanti setelah urusan
yang kau mahukan tu selesai,” ucap Mike lembut.
“Terima kasih, Mike.”
Mike tersenyum sebelum menutup pintu kereta itu.
Setiba di rumah, Lamia duduk termenung di sofa.
Terfikir-fikir apa yang diucapkan oleh Mike tadi. Sungguh, dia ingin mengubah
segala kepalsuan ini. Tetapi bagaimana? Dia tidak tahu. Kerana dia tidak tahu
sebesar mana luka di hati Aqmal sekiranya lelaki itu mendapat tahu
pembohongannya selama ini.
Hanya dia mampu berharap, Hamsan akan mati cepat. Supaya
rahsia itu tidak terbongkar sampai bila-bila!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan