BAB
20
“ENCIK
AQMAL,” tegur satu suara.
Aqmal yang ralit membaca satu dokumen segera mengangkat pandangan.
“Ni Encik Bakri bagi pada you.” Seorang wanita masuk lalu
mendekati meja Aqmal.
“Oh... terima kasih banyak.” Senyum Aqmal melebar kepada
wanita itu.
Aqmal memandang jam di pergelangan tangan. Baru jam 10
setengah pagi. Masih ada beberapa ketika sebelum mula waktu rehat dan
sembahyang Jumaat. Aqmal membelek sampul itu. Kemudian isi kandungannya dibuka.
Satu persatu muka kertas itu diteliti dan dibaca.
Namun pembacaannya kian laju seolah-olah tidak sabar lagi
hendak menuju ke muka seterusnya. Sudahnya Aqmal menyelak satu demi satu
lembaran. Sekadar mencari apa yang penting saja.
Seketika kemudian Aqmal meletakkan semula helaian kertas
itu. matanya terfokus ke hadapan sambil berfikir sendiri. Kini dia tahu emak
saudaranya tidak berbohong mengenai duit pampasan bapa saudaranya. Memang sudah
dibayar sepenuhnya. Tiada apa lagi yang tinggal.
Laporan penyata dari KWSP itu dibelek lagi oleh Aqmal.
Kemudian salinan laporan pembayaran yang telah dibuat oleh beberapa syarikat
insuran yang berbeza pula dibeleknya. Salah satunya menamakan Lamia sebagai
penerima dan wang itu sudah dibayar beberapa tahun lalu.
“Diaorang tipu aku...” desis Aqmal seorang diri. Bukan
sekadar ayahnya, Lamia selama ini berlagak seolah-olah tidak mendapat apa-apa
sedangkan hakikatnya tidak. Sejumlah besar pampasan dari salah satu syarikat
insuran telah dikreaditkan ke akaunnya.
‘Agaknya dia takut aku tamakkan duit tu,’ desis hati
Aqmal sendiri.
Kemudian Aqmal mengangkat ganggang. Membuat panggilan ke
pejabat LHDN. Dia mesti menyemak berapa jumlah cukai yang telah dibayar oleh
ayahnya. Dari situ dia akan tahu, berapa sebenarnya pendapatan yang telah
diterima oleh ayahnya dari perniagaan pasar mininya itu!
“MAL...” Maria terkejut melihat Aqmal pulang sendirian.
“Mia tak ikut? Dia sihat?” tanya Maria.
“Sihat. Mak apa khabar?” balas Aqmal lantas mencapai
tangan ibunya. Belakang tangan wanita itu dikucupnya.
“Baik. Mak sihat aja, Mal.” Maria tersenyum sambil
mengusap pipi anaknya itu.
“Abah mana?”
“Ada dalam bilik kerja dia,” jawab Maria lembut.
“Mal nak jumpa abah sekejap, mak.”
“Yalah...”
Maria sekadar memandang anaknya itu memanjat tangga untuk
naik ke atas. Namun hati terdekat sesuatu yang tidak enak dengan riak wajah
anaknya itu. Jarang Aqmal pulang mencari ayahnya. Sudah lama hubungan anak dan
ayah itu dingin. Maria akhirnya ikut naik ke atas juga. Pintu kamar kerja
suaminya ditolak.
“Apa yang kau nak marah-marah aku ni?” ucap Hamsan.
“Soal duit pusaka arwah pak su.”
Wajah Hamsan berubah sedikit. “Ada apa pasal tu?”
“Saya tahu abah tidak pulangkan duit tu pada yang
berhak.”
“Mana kau tahu semua ni???”
Aqmal mencampakkan satu sampul surat ke atas meja
ayahnya. “Tengoklah.”
Hamsan memandang sampul itu seketika. Namun kemudian dia
mengambilnya. Isi kandungannya dibuka. Namun dia tidak faham benar apa yang
tertera di atas semua helaian tu.
“Apa ni? Aku tak tahu semua ni.”
“Saya dah semak semua duit yang abah pernah tuntut. Duit
KWSP saja pun dah lebih 200 ribu. Duit insuran dan pampasan majikan, lebih 500
ribu. Duit perkeso lagi beratus-ratus ribu. Duit rumah? Duit sumbangan orang
ramai? Mana pergi semua bahagian yang patut diterima Lamia, bah?”
Hamsan ternganga sekejap memandang raut anaknya.
“Mana??? Kita mesti pulangkan semula hak dia. Berdosa besar
abah buat begini. Duit tu tidak halal untuk kita makan! Sebahagian duit tu adalah
hak dia. Harta anak yatim!”
“Kau nak tahu mana pergi duit tu semua? Tu... selama ni
yang membesar dan memewahkan kau adik beradik, itulah semua duitnya! Aku dah
tak ada duit nak bagi pada Mia.”
“Bohong! Walaupun duit tu abah guna untuk buka pasaraya
tu. Sepatutnya keuntungan yang ada, abah dah boleh bayar semula pada Mia. Mal
tahu banyak mana pendapatan kedai abah tu. Mana duit tu, abah???” tegas Aqmal.
“Eh! Kalau aku kata tak ada, tak adalah!”
“Itu duit anak yatim, abah. Kenapa abah tergamak buat
begini???”
“Kau tanya pada bini kau tu... dia dapat duit insurans
sampai lapan ratus ribu. Kenapa dia tak bahagikan? Sepatutnya dia tak tuntut
apa-apa lagi sebab dia dah dapat duit insuran nyawa bapak dia!” jerkah Hamsan.
“Itu duit bapak dia. Bapak kandung dia, abah!”
“Husam tu adik aku!!! Aku berhak setiap sen dari duit
dia.”
Aqmal terpaku dengan dada turun naik menahan getar
kemarahan. “Mal tak sangka ayah kandung Mal sanggup mengingkari amanah dari
Allah. Sedangkan pak su tu adalah adik kandung abah. Lamia adalah amanah yang
mesti dipikul. Bukan dikhianati!” ucap Aqmal tajam.
“Kau nak membebel apa guna? Aku tak akan beri. Dia dah
dapat banyak dari ayah kandung dia. Tanya bini kau sendiri. Dia dapat 800 ribu
dari duit insuran nyawa bapak dia. Itu dia tak mahu kongsi dengan aku. Apa lagi
dia nak tamak???”
“Tamak??? Bukan sepatutnya kita reda saja kerana itu
semua demi kebajikan dia sendiri. Selama ni kita tak peduli! Dia terumbang
ambing sedangkan abah bertanggungjawab ke atas kebajikan dia. Mana pergi sifat
kita sebagai manusia???” jerkah Aqmal. Hilang sudah rasa hormat kepada ayahnya
sendiri. Maria resah mendengar anak dan ayah itu saling menengking herdik.
“Ikut hukum faraid...
“Ikut hukum faraid bukan semua duit tu kita punya. Allah
beri hak faraid kepada kita ada sebabnya. Ada amanah yang perlu kita pikul.
Tapi kita hanya ambil bahagian pusaka. Kebajikan dia kita abaikan! Itu tak adil!!!”
pintas Aqmal meninggi.
“Mal... janganlah bergaduh dengan abah.” Maria semakin
resah dengan ketegangan anak dah ayah ini.
“Mal malu, mak! Lamia berdendam dengan Mal sebab abah
ambil hak dia. Kenapa mesti Mal yang tanggung kesalahan abah??? Tak adil untuk
Mal, mak!” balas Aqmal. Maria menghela nafas panjang sambil memandang suaminya.
“Tu sebabnya dulu aku tak izinkan kau nikah dengan Lamia.
Kau yang degil. Sekarang kau tanggunglah sendiri. Budak tu hanya memperbodohkan
kau sebab nak balas dendam pada aku. Dia bukannya nakkan kau sangat tapi dia
gunakan kau untuk dapat duit tu! Padan dengan muka kau. Tak mahu dengar lagi
cakap aku!”
“Abah yang buat dia jadi begitu. Abah yang pikul
kesilapan yang paling besar di sini. Kenapa, abah? Sampainya hati abah biarkan
keadaan jadi begini! Kenapa abah tipu saya selama ni??? abah tahu dia tipu saya
tapi abah tak pernah cerita dari awal. Sebab abah takut tembelang abah pun
terbongkar sama???” balas Aqmal tetap meninggi. Sedikit pun enggan mengalah
dari pendiriannya.
“Aku tak suruh kau menikah dengan Lamia. Kau yang
tergila-gilakan budak tu!” jerkah Hamsan.
“Saya akan buat tuntutan di mahkamah jika abah tak
berikan hak Lamia. Saya tak buat semua ni demi mendapatkan hati Lamia. Tapi
saya tak mahu maruah saya dipijak-pijak kerana abah mengambil hak orang!”
“Aqmal!!!” jerkah Hamsan lantas bangkit serta merta dari
kerusinya. Kolar baju anaknya itu dicekaknya penuh dengan kemarahan.
“Sia-sia aku besarkan kau! Anak tak tahu diuntung!”
“Saya hanya nak abah pulangkan hak Lamia. Abah nak
bencikan saya, bencilah.”
“Anak celaka!” Hamsan menolak Aqmal. Anak itu ditumbuknya
sehingga Aqmal terjatuh di hujung kaki ibunya.
“Abang!!! Abang ni dah gila ke? Sebab duit anak beranak
sanggup saling berbunuh???” marah Maria lantas mendapatkan anaknya.
“Duit tu hak aku. Kau orang tak payah nak ugut-ugut
aku!!! Kau nak pulangkan duit, silakan. Tapi jangan sentuh sesen pun harta
aku!!!” jerit Hamsan berang.
Pergaduhan di kamar kerja itu menarik perhatian adik-adik
Aqmal. Marissa yang paling awal sampai di situ.
“Kenapa ni, mak?” tanya Marissa. Terkejut melihat
abangnya terduduk di lantai sambil memegang mulutnya.
“Tak ada apa-apa. Kau orang keluar dari sini,” suruh
Maria. Namun Marissa terus pegun di situ.
“Kau tak dengar apa yang mak kau kata tadi???” jerkah
Hamsan kepada Marissa pula. Marissa terkejut. Lambat-lambat dia keluar juga.
Aqmal bangkit dari atas lantai. Dia ikut keluar. Enggan membuatkan pertengkaran
ini bertambah hangat.
“Mal...” Maria keluar dari kamar kerja Hamsan. Langkah
anak itu diburunya.
“Mak...”
“Mal nak buat apa, nak?”
“Tak tahulah, mak.” Aqmal menghela nafas perlahan sambil
membuang pandang.
“Mal kena berbincang dengan Mia.”
“Bincang? Kedua-duanya pun tak jujur pada Mal. Abah tipu
Mal selama ni. Mia pun sama. Berkali-kali Mal tanya pasal duit tu. Tapi dia
tipu Mal, mak!” ucap Aqmal.
“Dia jadi begitu ada sebabnya, Mal.”
“Mal tahu, mak. Tapi sampai sekarang pun dia masih nak
bersandiwara dengan Mal. Mal ni siapa? Mal ni suami dia, mak!”
Maria diam mendengar bicara anaknya itu. Rasa bersalah.
Rahsia itu membuatkan Aqmal telah menanggung kesannya.
“Mal tahu perangai abah tu macam mana, kan?”
“Tamak? Keras kepala? Tak kisah halal atau haram?” balas
Aqmal tanpa memandang ibunya.
Maria diam. Suaminya itu tidak boleh dibangkang. Dia
lekas naik marah. Soal duit, halal dan haram macam sudah dihiraukan lagi.
“Mak, Mal tak hairan kalau kita tak kaya. Selama ni kita
bukan kaya pun. Kita ni golongan biasa-biasa saja. Kita jadi seperti sekarang
selepas kita jadikan hak orang sebagai hak kita. Mal tak boleh terima, mak. Mal
ni jahil agama tapi Mal tak sanggup nak biarkan abah buat begini. Kita akan
menanggungnya di akhirat nanti, mak.”
“Mak tahu, Mal. Mak dah banyak kali cakap dengan abah kau
pasal ni. Tapi abah kau tak nak dengar cakap mak,” keluh Maria. Tertekan dengan
masalah yang sudah dijangka ini. Mana mungkin mereka boleh lari?
Aqmal menghela nafas perlahan. “Mal kena pulangkan duit
tu, mak. Mal tak mahu maruah Mal jatuh kerana sikap abah begini. Apa cara
sekalipun Mal akan bayar semula hutang keluarga ni pada Mia.”
“Mana Mal nak cari duit?”
“Tak kisahlah macam mana pun. Mal tetap akan pulangkan
duit tu.”
“Mal, bincanglah dengan abah semula.”
“Abah nak dengar cakap Mal? Mal ni anak tak guna sebab
tak mampu nak senangkan hati dia,” jawab Aqmal rendah.
Maria mengusap bahu anaknya itu. Aqmal menoleh semula
kepada ibunya.
“Mal balik dulu, mak.”
“Mal, ada apa-apa cakaplah dengan mak ya? Jangan buat
tindakan sendiri.”
“Ya, mak.” Aqmal menarik tangan ibunya lalu dikucupnya.
Maria menarik tubuh Aqmal lalu didakapnya. Sedih hatinya tidak tertahan melihat
nasib Aqmal. Namun dia sudah biasa bertahan.
“Mak, doakan Mal murah rezeki supaya dapat pulangkan
semula hak orang. Mal tak mahu kita tanggung dosa kerana semua ni, mak.”
“Mal anak yang baik. Mak percaya Allah akan bantu Mal.
Cuma mak sedih... anak mak yang kena tanggung beban ni. Mak tak dapat buat
apa-apa untuk bantu Mal,” luah Maria.
Aqmal hanya diam. Sekali lagi dia mengucup tangan wanita
itu sebelum dia berlalu tanpa memandang lagi.
LAMIA
terkejut melihat suaminya pulang
ke rumah. Sangkanya Aqmal akan bermalam di rumah orang tuanya. Hatinya merasa
tidak enak saat melihat wajah Aqmal mendung dan dia perasan ada sesuatu di
wajah Aqmal.
“Abang?” tegur Lamia setelah Aqmal masuk ke rumah.
Aqmal berdiri tidak jauh dari Lamia, memandang lama
isterinya itu. Saat itu kecewa hatinya tidak terucap. Tiada kejujuran, apalah
ertinya pernikahan ini. Dia terasa begitu asing sekali.
“Mia kahwin dengan abang sebab nakkan sesuatu. Bukan
sebab Mia sayangkan abang. Betul, kan?”
Wajah Lamia berubah serta merta. Jantungnya seperti mahu
gugur.
“Berterus terang lebih baik daripada Mia terus
berpura-pura begini.”
“Abah cakap apa dengan abang?” ucap Lamia dalam nada
pura-pura tenang.
“Abang terserempak dengan Sani beberapa minggu lalu. Dia
pesan pada Mia supaya pergi jumpa mak dia. Masih ada hutang lama yang belum
tertunai.”
“Oh... pasal tu. Mia... err... Mia tak ingat nak beritahu
abang. Mia dah lupa pun pasal tu.” Lamia senyum pura-pura. Cuba berselindung
lagi.
Aqmal memandang lama wajah isterinya itu sehingga Lamia jadi
resah.
“Siapa abang ni untuk Mia sebenarnya?”
Lamia terus menerpa mendekati suaminya. Namun Aqmal
menarik tangannya saat Lamia mahu menyentuhnya. “Kenapa abang cakap macam ni?”
“Masih nak menipu abang?” balas Aqmal dengan mata
mencerun tajam kepada sang isteri.
“Apa maksud abang? Apa abah abang cerita?”
“Kenapa Mia perlu tanya apa yang abah cerita? Apa yang
abah tahu tentang Mia?” balas Aqmal sedikit tajam. Lamia terdiam pula. Terperangkap
dalam soalan sendiri tanpa sedar.
“Masih nak berlakon?” perli Aqmal. Setiap gerak geri
Lamia cuba dibacanya. Dia sedar ada sesuatu yang sedang ditahan oleh Lamia.
“Beritahu abang apa yang benar. Abang perlu tahu, Mia.”
“Ya, memang! Mia memang berlakon selama ni. Mia memang tak
pernah cintakan abang. Mia kahwin dengan abang sekadar untuk mendapatkan apa
yang Mia nak. Memang benar,” jawab Lamia akhirnya.
Aqmal terdiam merenung tampang isterinya. Bicara itu
ibarat belati mencincang lumat maruahnya. Tetapi dia memilih untuk bertahan.
“Jangan salahkan Mia. Tanyalah ayah abang. Apa yang dia
buat dengan duit arwah ayah Mia. Apa yang dia buat pada Mia selama ni,” ujar
Lamia lagi.
“Jadi selama ni hubungan ni tak ada ertinya pada Mia?
Sikit pun tak ada? Mia kahwin dengan abang semata-mata untuk menjadikan abang
jambatan untuk dapatkan duit tu? Abang ni alas kubur kepada dendam Mia?” ucap
Aqmal tenang. Hanya tenang di luaran. Dalamnya menangis sedih melihat riak
tidak bersalah di wajah isterinya.
Lamia diam memandang suaminya.
“Berterus terang sajalah. Walaupun sakit abang perlu
tahu. Abang ni memang tak ada harganya pada Mia?”
“Mia nak hak Mia semula. Lepas tu baru kita cakap soal
hubungan kita.”
Tidak terkata Aqmal mendengar itu. Kukuh pendirian Lamia
seolah-olah tiada pahat yang dapat melenturkannya. Sedangkan dia tiada apa
untuk diberikan sebagai ganti kepada apa yang ditagih Lamia. Abahnya tidak
ingin memberikan walau sesen pun!
“Dendam Mia pada abah, turut terkena pada abang?”
“Like father like
son. Pernah dengar perumpamaan tu? Mia ambil apa saja yang abang sayang
sebagai gantinya. Tapi itu tak memadai berbanding apa yang Mia lalui selama ni.
Tak adil? Ya, memang. Hidup Mia selama ini dalam terbuang tanpa Mia tahu apa
salah Mia!” ujar Lamia dalam nada tenang. Namun getaran pada suaranya terlepas
juga.
“Mia rasa abang ni sama macam abah?”
“Entah. Mungkin,” jawab Lamia.
Aqmal berpaling dalam keadaan longlai. Entah kenapa dia
terasa seluruh dunia ini telah runtuh menghempap jemalanya. Sedih hatinya tidak
tertahan tetapi tidak tahu kepada siapa hendak diluahkan rasa ini.
Aqmal termenung di birai katil. Tiba-tiba dunia ini
terasa amat sepi sekali. Dia hanya sendirian, tidak punya apa-apa lagi yang
tinggal. Adakah benar kata Lamia, dia serupa seperti ayahnya itu? Berkali-kali
Aqmal bertanya kepada dirinya sendiri.
Tidak. Ayahnya bijak membaca keadaan. Sebaliknya dia yang
bodoh membiarkan dirinya ditipu oleh perempuan yang amat disayanginya. Mungkin dia
juga salah kerana terlalu mengikutkan perasaan cinta sedangkan keperibadian
Lamia masih belum dapat diselaminya.
“Apa yang patut Mal buat, mak...” keluh Aqmal seorang
diri. Wang sebanyak itu tidak mampu diadakan dalam masa terdekat ini demi
menyelamatkan rumahtangganya. Demi maruahnya di mata Lamia.
Teringat beberapa kenalan yang mungkin boleh membantunya
mendapatkan pinjaman di bank, Aqmal menyelok poket seluarnya. Salah satu nombor
dicarinya kemudian didail.
“Daniel, aku perlukan bantuan kau.”
“Pasal apa?”
“Personal loan?”
“Loan rumah yang kau buat baru aja diluluskan. Nak buat
loan lagi?”
“Aku... err... aku perlu jumpa kau. Kau ada masa?”
“Sekarang?”
“Ya. Sekarang.”
“Okay. Aku ada kat Subang Taipan. Kau datanglah. Aku pm
address. Aku tunggu,” jawab lelaki di hujung talian itu akur.
“Okay.”
Aqmal segera bangun untuk mencari Lamia di bawah. Namun ruangan
itu kosong.
“Mia?”
Sepi. Aqmal menjenguk di luar. Mitsubishi Lancer miliknya
sudah tiada di hadapan rumah. Aqmal terpaku di ambang pintu itu. Lamia keluar
tanpa meminta izin darinya lagi!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan