BAB 29
CELARU.
Sepanjang minggu itu hubungan itu kian renggang. Kian celaru.
Masalah yang ada tidak juga selesai. Lamia membawa rajuknya sendiri. Aqmal pula
tetap dengan tidak peduli. Tatkala hatinya lembut, dia mampu menjadi
selembut-lembut seorang lelaki. Tetapi apabila hatinya sudah keras. Dia sudah tidak
peduli lagi.
Namun setelah dua
minggu mereka saling tidak bercakap, Lamia kembali mendekati lelaki itu.
terlihat kelibat Aqmal pulang lebih awal dari biasa.
“Abang...” sapa Lamia.
Aqmal hanya menoleh tanpa menyahut. Bukannya dia tidak
nampak Lamia semenjak tadi.
“Awal abang balik hari ni?” tegur Lamia.
“Abang nak balik kampung malam nanti.”
Oh ya... dia terlupa minggu ini cuti umum pada hari
Jumaat dan bersambung pada hari Isnin. Sudah tentulah Aqmal akan pulang
menjenguk ibunya.
“Mia nak ikut, boleh tak?”
“Ha?” Aqmal terpaku seketika.
“Mia nak pergi pusara ayah Mia,” ujar Lamia perlahan. Disamping
itu dia ingin menjengah pusara ayah Aqmal juga.
“Betul ke? Abang gerak tengah malam nanti. Hari Ahad baru
balik sini,” balas Aqmal sekadar acuh tidak acuh.
“Betullah. Mia ikut abang ya?”
“Pukul 12,” balas Aqmal lantas membuka pintu pagar
rumahnya.
“Okay.” Lamia tersenyum serta merta. Tanpa kata, dia
berpaling untuk kembali ke rumahnya. Bukan main bersemangat lagi Lamia mengemas
pakaian ke dalam beg. Menanti detik tengah malam itu seperti berabad lamanya.
Namun ketika jam hampir ke angka dua belas, dia terdengar
suara memanggilnya dari luar. Lamia segera menjengah melalui pintu gelangsar.
“Dah siap ke belum?” tanya Aqmal dari luar pagar.
“Dah. Sekejap,” jawab Lamia lantas mengambil beg
tangannya. Lelaki itu mengambil beg pakaian dari tangan Lamia lalu dibawa ke
keretanya yang terpakir di luar pagar rumah.
“Pakai macam ni, tak sejuk ke nanti?” tegur Aqmal sambil
memandang Lamia dari atas ke bawah. Lamia hanya mengenakan blaus longgar dan
nipis di tubuhnya. Selain dari seluar jeans dan sandal bertumit.
“Selendang ada dalam beg,” jawab Lamia.
Setelah memasukkan beg pakaian Lamia ke dalam but di
belakang, Aqmal segera duduk di tempat pemandu. Lamia sudah masuk dahulu tanpa
dipelawa. Rupanya jalan menuju ke Pantai Timur agak sesak malam ini.
Namun sewaktu memandu, Aqmal merasakan ada sesuatu yang
tidak kena pada keretanya. Gear automatik kereta itu kerap bertukar tanpa sebab.
Hairan. Dia baru selesai servis enjin kereta semalam.
Perasaan aku aja agaknya... bisik hati Aqmal.
“Kenapa, abang?” tegur Lamia setelah dia perasan Aqmal
bersikap lain macam.
“Entah. Macam ada yang tak kena pada enjin,” balas Aqmal
perlahan. Dia sibuk menelinga bunyi enjin yang sudah berubah. Sekali lagi dia
merasakan gear telah bertukar sedangkan kelajuan kereta itu sekata semenjak
tadi.
Perjalanan diteruskan. Yakin. Tiada apa yang tidak kena
dengan kereta itu.
“Bos abang tu apa khabar?” tanya Lamia setelah beberapa
ketika sepi sahaja antara mereka.
“Biasa aja,” jawab Aqmal tanpa memandang Lamia.
“Dia dah bersuami ke?” tanya Lamia lagi.
“Pernah bersuami. Janda anak satu.”
“Oh... patutlah.” Lamia termangu seketika. Patutlah sibuk
menghimpit suami orang. Janda rupanya!
“Patutlah? Apa yang patutlah?”
“Patutlah suka tumpang kereta orang. Suami tak ada nak
jemput,” perli Lamia selamba. Aqmal mendengus sedikit dengan perlian itu. Malas
hendak melayan, dia diam saja.
“Abang sukakan dia ke?”
“Buat apalah tanya soalan yang menyakitkan hati sendiri?”
keluh Aqmal perlahan.
“Mia cuma nakkan kepastian. Salah ke?”
“Abang dah kata hari tu, dia tu bos abang. Abang tak ada
cakap apa-apa yang lebih dari itu. Kalau abang ada hati dengan dia, depan dia
hari tu abang dah jawab soalan Mia,” ujar Aqmal sedikit keras lontaran
perkataannya.
“Jadi, kenapa abang asyik keluar dengan dia?”
“Bila masa abang asyik keluar dengan dia?” Aqmal menoleh
seketika kepada isterinya.
“Mia nampak abang dengan dia naik kereta sama-sama. Entah
pergi mana,” rungut Lamia sambil berpeluk tubuh. Aqmal diam seketika. Cuba mengingat
semula. Rasanya tiada pula dia keluar pergi makan-makan dengan perempuan itu.
melainkan mereka ada beberapa kali pergi bertemu dengan klien di luar.
“Mana Mia tahu abang keluar dengan dia?”
“Mia nampaklah.”
“Nampaknya Mia lebih tahu dari abang. Abang tak tahu
pulak yang abang pernah keluar dengan Fariza tu,” jawab Aqmal sekadar sambil
lewa.
“Jadi, abang naik kereta dengan dia tu pergi mana?”
“Laillahaillallah... abang kerja dengan dia, Mia. Bukan pergi
bersuka ria!” tegas Aqmal mula bosan bercakap tentang itu.
“Perlu ke naik kereta sama-sama?”
Aqmal diam. Malas hendak menjelaskan panjang lebar. Tidak
ada kepentingan untuk dia menjawab tentang semua itu kepada Lamia.
“Mia jelous. Abang tak peduli pun. Mia merajuk. Abang buat
tak tahu aja.”
Aqmal hanya mendengar. Namun dalam hati dia merungut
juga. ‘Aku pulak kena pujuk dia...’
Pertengahan perjalanan, Lamia sempat terlena selama
sejam. Aqmal terkebil-kebil seorang diri. Pandangan matanya juga sudah mula
kelabu. Mengantuk. Tetapi baki perjalanan hanya tinggal dua jam lebih sahaja
untuk tiba di kampungnya.
Namun rasa mengantuk Aqmal melenyap serta merta setelah
terasa ada sesuatu telah berlaku kepada enjin kereta. tiba-tiba sahaja gear menghasilkan
bunyi yang agak kuat sehingga Lamia terjaga. Ketika ditekan pedal minyak, tiada
apa-apa tindak balas kepada gear seolah-olah kedudukan gear sedang berada pada
N. Sedangkan dia lihat gear sedang berada di kedudukan D. Dan bunyi terus
terhasil seolah-olah enjin di dalam bonet itu sedang patah riuk.
“Ah... sudah,” ucap Aqmal mula berdebar dadanya. Kereta
itu mula perlahan sehingga tiba di satu persimpangan. Aqmal membiarkan kereta
itu merayap sehingga ke tepi jalan. Mujurlah kawasan itu diterangi oleh lampu
jalan.
Gear cuba ditukarnya kepada N sebelum ditukar semula
kepada D. Tetapi setelah ditekan pedal minyak, bunyi enjin hanya mengaum tanda
gear masih berada dalam keadaan bebas.
“Masak aku macam ni...” bisik Aqmal.
“Kenapa, abang?” tanya Lamia.
“Tak tahu.” Aqmal membuka bonet enjin. Enjin kereta
dimatikan. Dia keluar untuk melihat apa yang berlaku pada enjin itu. Dengan
bantuan lampu suluh dan lampu jalan, Aqmal memeriksa minyak pada bahagian gear.
Beberapa kali dia memeriksa kehadiran minyak, namun batang pengukur aras minyak
itu kering kontang dan kelihatan hangus.
“Macam mana pulak boleh jadi macam ni? Baru semalam tukar
minyak,” keluh Aqmal seorang diri. Puas dia tertonggeng-tonggeng untuk melihat
tumpahan minyak di bawah kereta. tetapi tiada.
Sudahnya dia bangun semula sambil memandang sekeliling. Hanya
ada perhentian bas terdekat dengannya. Simpang jalan itu menuju ke sebuah pusat
pengajian tinggi.
Dalam pada Aqmal masih sibuk memeriksa enjin keretanya, Lamia
asyik memandang sekeliling. Sepi sekali. Jam segini sudah lengang jalan. Tidak
lama kemudian Aqmal masuk ke dalam kereta.
“Macam mana?”
“Tunggulah pagi nanti,” jawab Aqmal lantas memandang jam
di pergelangan tangannya. Sudah jam empat setengah pagi. Pekan Temerloh cuma
beberapa batu sahaja lagi di hadapan. Jadi dia memilih untuk menunggu sehingga
siang untuk mendapatkan mekanik.
“Kita nak tunggu sini? Apa yang rosak?”
“Gear box pecah,” jawab Aqmal lantas menutup pintu. Dia
mahu melenakan diri seketika.
“Tutup pintu tu. Abang nak tidur sekejap,” ucap Aqmal
kepada isterinya. Lamia akur juga. Aqmal menurunkan punat pada pintu. Semua
pintu terkunci.
“Janganlah tidur. Sunyinya. Seramlah.”
“Nak seram apanya? Lampu jalan tengah menyala-nyala tu,”
jawab Aqmal perlahan. Kerusi terus direbahkan sebelum dia meletakkan tangan di
atas dahi.
“Bila nak sampai kalau macam ni?”
Aqmal menoleh kepada isterinya. “Siapa suruh ikut?”
Sudahnya Lamia terkebil-kebil memandang sekeliling. Sejuk
tak usah katalah. Dalam waktu sebegini, enjin kereta sengaja dibiarkan hidup
oleh Aqmal dalam keadaan aircond menyala. Seketika kemudian Lamia memandang
suaminya. Aqmal sudah pegun di kerusinya. Tidak lama kemudian dengkuran lelaki
itu mula kedengaran.
“Sedap aja tidur. Kita ni tak boleh tidur pun,” rungut
Lamia sambil memeluk tubuhnya sendiri. Tidak tahan. Kakinya terkepit-kepit
menahan kedinginan. Sudahnya dengan muka tak malu dia merebahkan tubuhnya di
atas dada Aqmal. Terkejut lelaki itu serta merta. Aqmal mengangkat kepala.
“Sejuk...” bisik Lamia sambil meletakkan kepalanya di
atas dada lelaki itu. Sekadar mahu berkongsi kehangatan tubuh sang suami.
Aqmal mengeluh perlahan sebelum dia kembali meletakkan
kepala di penyandar dan lengannya diletakkan di atas dahi. Tetapi Lamia lebih
cepat menarik tangan lelaki itu agar memeluknya. Aqmal hanya akur begitu sahaja.
Wanita itu tidak juga dipeluknya.
“Peluk Mia, abang. Sejuk...”
Aqmal hanya diam tanpa melakukan apa yang dikehendaki
wanita itu. Matanya sudah tidak mampu lena pula dibuat oleh Lamia. Tetapi kehangatan
tubuh Lamia turut menawarkan kedinginan yang menggigit tubuhnya. Perlahan sebelah
tangannya memaut tubuh Lamia agar lebih rapat kepadanya.
Lamia tersenyum dalam pada matanya terpejam. Daripada tidak
boleh tidur, dia ikut terlena juga akhirnya.
“MIA...” lelaki itu mengalihkan kepala Lamia dari atas tubuhnya
perlahan-lahan. Namun Lamia terjaga juga.
“Abang nak solat ni,” ucap Aqmal lantas menaikkan semula
kerusinya. Kemudian dia keluar pula. Sudah lebih jam enam setengah pagi. Dia perlu
bersolat segera. Tetapi di sekelilingnya tiada surau.
Sudahnya Aqmal mengambil botol mineral dari dalam kereta.
Cukuplah untuk dia berwuduk. Kemudian dia naik ke atas bukit di tepi jalan itu
bersama sehelai sejadah. Lamia hanya memandang gelagat suaminya dari dalam
kereta.
Tidak sampai lima minit, Aqmal turun semula dari bukit
berumput di tepi jalan itu. Dia mengeluarkan telefon dari poket seluarnya. Nombor
towing trak yang tertera pada cermin keretanya segera didail.
“Abang call siapa?” tanya Lamia setelah Aqmal kembali ke
tempat duduknya. Sebelah kakinya sengaja dibiarkan di luar.
“Towing truck. Sekejap lagi sampai,” jawab Aqmal
perlahan. Matanya ralit memandang ke arah jalan raya. Hari sudah siang. Kereta sudah
banyak di atas jalan. hampir sejam juga menanti, barulah towing truk yang dinanti
tiba. Selama itu, sudah beberapa towing truk lain singgah mahu menghulurkan
khidmat. Tetapi terpaksa ditolak oleh Aqmal.
Beberapa minit berbincang, kereta itu segera diangkat
naik ke atas lori. Mereka dihantar ke Termerloh. Kira-kira 40 KM sahaja dari
tempat mereka tersadai. Dalam perjalanan itu, Aqmal sempat menelefon adik
bongsunya, meminta Syamel datang menjemput mereka di bandar Temerloh.
Setelah dihantar ke bengkel, kereta itu diperiksa.
“Aiyo... ini banyak berat. Gear box sudah habis, bos.”
“Macam mana jadi begitu?”
“Minyak tak ada. Saya tengok pada itu lidi, minyak
kering. Itu kedai lupa mahu taruk minyak. Bawah tak ada kesan minyak tumpah,”
ujar tauke bengkel tempat mereka berurusan. Aqmal hanya mampu menepuk dahi. Salah
dia juga kerana tidak periksa sebelum meninggalkan bengkel.
“Jadi sekarang macam mana you nak buat?”
“Gear box kena ganti baru, bos. Tapi itu gear box mahu
order dulu. Ambil masa dua minggu juga. Ini hari, Ahad sama Isnin kedai banyak tutup.
Ini model kereta, gear box bukan senang boleh cari di sini. Harga pun belum
tahu,” kata lelaki Cina itu.
Aqmal terdiam mendengar itu. soal harga tidak begitu
difikirkan dalam keadaan dia terdesa, sudah tiada pilihan lain. Sebaliknya soal
masa itu memang menjadi masalah. Dia tidak boleh berlama-lama di kampung
semata-mata untuk menanti keretanya siap dibaiki. Nampaknya terpaksalah dia
meminjam kereta arwah abahnya untuk sementara waktu.
“Apa macam, bos?”
“Bolehlah. Janji itu rosak you mesti repair baik-baik,”
jawab Aqmal akur akhirnya. Lamia sekadar memandang urusan suaminya dengan tauke
bengkel itu. Mujur jugalah bengkel ini buka. Kebanyakan bengkel lain tutup oleh
kerana hari ini cuti umum.
Tidak lama kemudian, Syamel muncul di situ. Terkejut dia
melihat kelibat Lamia. Dia terus mendapatkan Aqmal. Dua beradik itu sempat
melihat keadaan kereta Aqmal. Kebetulan Syamel sedang melanjutkan pelajaran di
Kolej Vokasional dalam bidang automotif. Agak mahir dengan enjin kereta.
“Mia, jom kita pergi makan,” ajak Aqmal setelah selesai
urusannya di bengkel itu.
Lamia sekadar akur. Syamel agak janggal dengan wanita
itu, langsung tidak menegur. Sekadar menikmati roti canai di kedai Melayu,
mereka duduk berbual di situ seketika. Aqmal dan Syamel yang banyak bercakap
berdua. Dari gaya lelaki itu, Aqmal sememangnya seorang abang yang suka
bertanya perkembangan adik-adiknya. Penuh kasih sayang.
Melihat itu Lamia termenung pula memandang ke luar. Suatu
masa dahulu dia juga mempunyai tempat di dalam perhatian Aqmal. Sayangnya sekarang,
semua itu sudah berlalu. Dia rasa tersisih begitu sahaja.
Perjalanan dari Bandar Temerloh ke rumah Aqmal, mengambil
masa lagi empat puluh minit. Seperti biasa, Aqmal tidak terus pulang ke rumah.
Dia singgah seketika di tanah perkuburan. Menjengah pusara abahnya tanpa pernah
merasa jemu.
Lamia mengambil selendang dari dalam beg pakaiannya
sebelum ikut ke pusara itu.
“Tu kubur arwah ayah Mia.” Aqmal menunding pusara di
sebelah pusara itu.
Lamia segera ke pusara yang ditunjukkan Aqmal. Selama ini
dia tidak pernah datang ke sini menjenguk pusara ayah kandungnya. Entah kenapa
hatinya sayu melihat pusara itu. Seketika kemudian dia memandang suaminya.
Aqmal sibuk membersihkan pusara abahnya. Daun-daun kering dialihkan dari atas
pusara itu. Jelas terbentang di hadapan matanya kasih sayang dari seorang anak.
“Kita balik?” ajak Aqmal. Matahari sudah mula bersinar
garang.
Lamia sekadar mengangguk akur. Sempat memandang pusara
ayah kandungnya. Sebekas rindu telah tertinggal di situ.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan