BAB
25
MENUNGAN Aqmal menjauh. Terlalu banyak yang telah melanda
hidupnya ini. Semua bercampur baur dalam fikirannya. Berkisarkan wang 630 ribu
itu. Masih tidak ada jawapan biarpun puas difikirkan apa yang tersirat di
sebalik tindakan abahnya.
Aqmal memandang ke langit yang berhias bintang.
Terbayangkan Lamia. Di mana dia kini?
“Abang...”
Aqmal menoleh ke belakang. Adik perempuannya datang
kepadanya lalu duduk di salah satu kerusi kosong.
“Abang menung apa?”
“Tak ada apa,” jawab Aqmal perlahan.
“Mak suruh buka kedai esok.”
Aqmal hanya diam mendengar bicara Marissa.
“Kalau Mar tanya sesuatu boleh tak?”
“Apa dia?”
“Mana Kak Mia sekarang?”
“Entahlah. Abang pun tak tahu,” jawab Aqmal dengan
keluhan kecil.
“Jadi macam mana abang nak bayar duit tu?”
“Abang boleh masukkan aja ke dalam akaun dia. Tapi abang
nak jumpa dia, Mar.”
“Abang dengan Kak Mia berpisah sebab abah, kan? Sebab
duit tu.”
“Mana Mar tahu?”
“Mar agak aja,” jawab Marissa perlahan. Dia terdengar
bicara Encik Razali itu sebelum ini. Terutama sekali tentang wang 630 ribu itu
agak aneh. Mengapa perlu diberikan wang itu segera?
“Kalau abah berhutang dengan Kak Mia, mengapa baru
sekarang abah nak beri?” ujar Marissa pula.
“Entahlah, Mia. Abang pun tak faham.” Cuma dia mampu
mengagak sesuatu dari cerita Encik Razali. Encik Razali meminta sedikit wang
diletakkan di ruangan hutang itu biarpun tiada hutang. Memudahkan waris
sekiranya ada hutang yang tidak disedari. Tiba-tiba sahaja abah mereka menulis
angka itu untuk diserahkan kepadanya.
Yang menghairankan, jika arwah abahnya memang berniat
untuk membayar kepada Lamia, mengapa meletakkan nama Aqmal sebagai penerima
wang itu? Puas difikirkan jawapannya. Tetapi tiada.
“Banyak ke duit pusaka arwah Pak Usu dulu?”
“Banyak... lebih dari...” Aqmal tiba-tiba berdiam.
Marissa memandang hairan abangnya itu. tiba-tiba sahaja abangnya bangkit dari
duduk.
“Abang nak ke mana?”
“Ofis abah,” jawab Aqmal setelah berpaling seketika.
Marissa ikut bangkit lantas mengekori abangnya.
Di dalam kamar itu, Aqmal menyelongkar semula dokumen
yang pernah diberikan olehnya kepada ayahnya dahulu. Kemudian dia mengambil
kalkulator. Segala angka yang tertera di atas kertas itu dijumlahkan lalu
dibahagi dua. Jumlah yang tertera di angka itu adalah 862.5 ribu. Bermakna,
Lamia tidak lagi berhak menuntut hutang itu dari abahnya! Kerana itulah wang
itu dinamakan ke atas namanya.
Jumlah itu hanya sedikit melebihi dari jumlah yang
diterima oleh Lamia dari syarikat insurans dahulu, yang mana wang itu tidak
dibahagikan mengikut faraid.
“Kenapa, bang? Ceritalah. Mar nak tahu,” desak Marissa
yang masih keliru.
“Ni semua penyata duit pampasan arwah pak usu lepas
kematian dia. abah terima pampasan lebih dari sejuta. Kemudian yang bahagian ni
Kak Mia terima dari syarikat insurans. Duit tu dia tak pernah bahagikan dengan
abah. Nilainya hampir sama dengan duit yang sepatutnya abah pulangkan pada dia.”
Marissa merenung setiap helaian yang ditunjukkan Aqmal. Lama
sekali semua helaian itu dibacanya untuk memahami.
“Yang ni, Kak Mia terima semua. Yang lain tu baru abah
yang terima. Jumlah semuanya bila dibahagi dua, nilainya 862 ribu. Tapi jumlah
ni sebenarnya belum termasuk rumah arwah Pak Usu yang abah jual dulu,” jelas
Aqmal.
“Tak fahamlah bab ni semua. Pening kepala, Mar.” Marissa
akhirnya menolak semua helaian kertas itu. Soal peninggalan ayahnya, dia ikut
sahaja apa yang ditentukan. Malas hendak bergaduh kerana semua itu. Memanglah
dia tidak cemburu, kerana dia anak perempuan seorang. Bahagiannya sudah memadai
untuk dirinya seorang. Syamel masih sekolah. Tidak masuk ke dalam fikirannya
tentang semua itu.
“Abang kena cari Kak Mia untuk selesaikan masalah lama
tu.”
“Ada masalah yang lebih besar dari itu?”
“Nafkah.”
Marissa terdiam memandang abangnya. Ya. Setahunya abahnya
tidak pernah menjaga Lamia selama ini. Sedangkan tanggungjawab itu dipikul oleh
abah mereka.
Aqmal bersandar di kerusi itu sambil menghela nafas
perlahan.
“Mar macam mana? Apa perancangan Mar lepas ni? Mar pun
dah habis study?”
“Entahlah. Mar belum rancang apa-apa.”
“Apa kata kalau Mar jaga pasar mini abah tu?” ujar Aqmal
pula.
“Abang?”
“Abang ada kehidupan di KL, Mar. Apa yang abah berikan
pada kita, kita terima ajalah dengan lapang dada. Abang tak mahu kita
bertelagah kerana harta dunia yang tak mampu bawa kita bawa mati.” Aqmal
membalas perlahan.
Marissa diam mendengar bicara abangnya. Namun kemudian
dia kembali memandang Aqmal. “Abang nak cari Kak Mia macam mana?”
“Entah. Abang pun tak tahu, Mar. Abang belum dapat fikir.
Nantilah. Tunggu sehari dua lagi,” jawab Aqmal perlahan. Sebetulnya Mike dan
Naela tidak tahu ke mana menghilangnya Lamia. Tetapi dia yakin Lamia tidak akan
selamanya dapat bersembunyi dari Mike atau Naela.
“Abang, Mar masuk tidur dulu ya?” pinta Marissa. Aqmal
hanya mengangguk.
Bersendirian menungannya kian menjauh. Siapa lagi yang
dikenangkan kalau bukan Lamia. Hati terus berharap akan bertemu Lamia dalam
masa yang terdekat ini. Sungguh dia rindu untuk melihat semula isterinya itu. Setiap
hari menanti moga-moga Lamia sudi menghubunginya. Tetapi dia kian hampa.
Aqmal menghela nafas perlahan. Dia ingin tabah untuk melalui
kekecewaan hatinya ini. Tetapi betapa sakitnya mengharap kepada yang tidak
sudi. Dia ingin membenci. Tetapi hati ingin terus menyayangi. Tiadakah ruang
lagi untuk mereka bersatu. Jika benar begitu, dia mohon... tunjukkanlah petanda
itu.
BOROUGH
Tube Station, London.
“Sorry, bro. Lambat.” Termengah-mengah lelaki itu saat
berdiri di hadapan Aqmal.
Aqmal tersenyum sambil merenung temannya itu. setelah
mengeluarkan dua tangannya dari poket jaketnya, dia mendakap temannya itu. Faham
dengan tugas sebagai pelajar. Terkejar-kejar.
“Kau apa khabar?” tanya Aqmal sambil memegang dua bahu
Yusri.
“Aku macam nilah. Macam mimpi tengok kau kat sini,” jawab
Yusri lantas ketawa kecil. Sudah bertahun-tahun tidak bertemu bekas rakan
sekuliahnya. Rindu dengan suasana dulu ketika mereka sama-sama di Manchester.
“Makan dulu jom?” ajak Yusri dalam nada ceria.
“Okay.”
Dua lelaki itu berjalan meninggalkan kawasan hadapan
stesyen tren bawah tanah itu. hanya berjalan kaki.
“Aku bawa kau pergi satu restoran Turki ni. Dekat sikit
kita nak pergi ke tempat yang kau nak pergi tu,” ujar Yusri. Aqmal sekadar
mengangguk. Matanya sibuk memerhatikan sekeliling.
Restoran Tas yang menghidangkan makanan Turki itu lengang
sama sekali saat mereka masuk. Sambutan pelayan sangat baik.
“Kau bila nak balik?” tanya Aqmal setelah selesai membuat
pesanan.
“Entah. Tak balik kut,” ujar Yusri lantas ketawa kecil. Dia
sudah terbiasa di sini. Sayang mahu meninggalkan negara ini.
“Orang tua kau tak bising?”
“Tak. aku buat pilihan untuk diri aku sendiri, Mal. Selagi
aku tak menyusahkan orang tua aku, diaorang okay aje,” jawab Yusri perlahan.
Aqmal mengangguk lantas memandang ke arah cermin di sisi mereka. Memerhatikan penduduk
kota berjalan kaki di kaki lima kedai.
“Siapa yang kau cari tu sebenarnya, Mal?”
“Isteri aku...” ujar Aqmal perlahan.
Wajah Yusri berubah sedikit. “Oh...”
“Kalau aku tahu dia ada dekat dengan kau, dah lama aku
contact kau,” ujar Aqmal tanpa memandang Yusri.
“Kau tak pernah cakap dengan aku yang dia isteri kau?”
Aqmal kembali memandang Yusri. Diam. Soalan itu hanya
dibiarkan tanpa jawapan.
“Aku selalu jumpa dia. Tak pernahlah tegur. Tapi memang
selalu terserempak dengan dia sebelum ni,” ujar Yusri lagi. Sempat memandang ke
sisinya. Seorang pelayan datang menghidangkan teh buat mereka.
Aqmal diam lagi. Sepi seketika meja itu dalam pada Aqmal
memikirkan bagaimana dia mendapat tahu Lamia sedang menuntut di London South
Bank University. Dia terjumpa akaun FB milik seseorang bernama L. Sabiya. Dia yakin
itu Lamia berdasarkan beberapa keping gambar. Biarpun Lamia sengaja mengaburkan
wajahnya agar tidak dikenali, dia amat kenal dengan susuk dan fesyen pakaian
yang digemari Lamia.
Lalu dia bertanya kepada kawan-kawan lama yang masih ada
di United Kingdom. Kebetulan salah seorang sahabat lamanya memberitahu Yusri sedang
melanjutkan pengajian di universiti yang sama.
“Kau dengan dia ada masalah ke?” tanya Yusri perlahan.
“Dia tinggalkan aku. Ada kisah lama yang buat kami jadi
begini,” jawab Aqmal dengan keluhan perlahan. Yusri diam sambil merenung wajah
Aqmal. Kemudian kepala digaru perlahan.
“Kalau aku beritahu kau sesuatu, kau jangan terkejut.”
“Apa?”
“Dia rapat dengan seorang lelaki. Budak sini. Aku tak
tahulah diaorang cuma kawan ke apa. Tetapi aku selalu nampak dia dengan lelaki
tu.”
Wajah Aqmal berubah sedikit.
“Aku beritahu aja. Takut kau terkejut nanti.”
“Tak apa. Aku faham. Aku dengan dia dah lama terpisah,”
jawab Aqmal perlahan. Biarpun hatinya pedih, dia tahu semua itu harus
diketepikan dahulu buat masa ini.
“Kau betul-betul tak tahu di mana dia berada selama ni?”
Aqmal hanya menggeleng dengan helaan nafas panjang. Susah
untuk menepis kelukaan yang membaluti hatinya ini.
“Apa masalahnya sampai jadi begini?”
“Panjang ceritanya, Yus. Aku takut kau bosan nanti dengar
kisah aku,” jawab Aqmal rendah.
Yusri tidak bertanya lagi. Dia tahu itu jawapan untuk
mengelak dia dari terus bertanya. Aqmal membuang pandang ke luar sana. Fikirannya
jauh merantau mencari bayang Lamia. Setiap saat tidak pernah berhenti merindui
Lamia.
“Well, aku tak ada hak untuk masuk campur hal kau dan
dia. Cuma aku harap kau selesaikan masalah kau dengan dia baik-baik,” ujar
Yusri enggan lagi mencungkil kisah Aqmal dan wanita itu. Tehnya dihirup
perlahan-lahan.
“Aku rindu masa dulu, Yus. Ketika kita di Manchester. Kita
buat apa kita suka. Pergi ke mana kita nak. Kalaulah masa boleh diundurkan,” luah
Aqmal.
“Ya? Kau selalu ikut geng-geng kita pergi travel ke? Bukan
kau kaki kerja ke?” perli Yusri lantas tergelak. Aqmal ikut ketawa. Ya. Dia
pernah berkerja di sebuah cafe selama tiga tahun. Dari situ dia mengumpul wang,
menjana kehidupan yang baik biarpun masih belajar.
“Tapi kira okaylah. Sekarang kau ada kerja mantap.”
“Hidup aku biasa-biasa aja. Kadang kala bila difikirkan membosankan
juga life aku ni. Tak ada apa yang aku buat sangat melainkan kerja... kerja dan
kerja. Semenjak abah aku tak ada, aku kena jaga mak dan adik-adik aku. Hujung
minggu aku balik kampung. Itu ajalah putaran hidup aku ni.”
“Sorry for you lost, bro.”
“Tak apalah. Aku dah lama reda, Yus. Dah dekat dua tahun
abah aku meninggal.”
“Kau dengan dia berpisah dah berapa lama?” tanya Yusri
pula.
“Dua tahun lebih dah.”
“Kau tak terfikir nak berpisah secara rasmi ke? Aku bukan
nak menghasut tapi kau kat KL, dia kat sini. Susah tu,” ujar Yusri perlahan.
“Entahlah. Kalau dia nak aku ceraikan dia, dia baliklah
jumpa aku,” jawab Aqmal rendah.
Usai makan, Yusri membawa ke sebuah kawasan kediaman apartment
lama empat tingkat.
“Rumah dia tingkat dua nombor C-04. Aku tunggu kat bawah
ajalah,” ujar Yusri sambil menepuk bahu Aqmal. Aqmal mengangguk sebelum dia
memandang ke arah bangunan dekat dengannya itu.
Berdebar dadanya. Namun digagahkan juga kakinya untuk
mendaki anak tangga satu persatu. Mudah sahaja mencari nombor apartment itu.
Aqmal berdiri seketika di hadapan pintu sebelum diangkat tangannya untuk
menekan loceng.
“Who’s that?” terdengar suara bertanya dari dalam. Aqmal
segera berdiri di kawasan yang memungkinkan orang di dalam tidak dapat
melihatnya kehadirannya di luar itu. beberapa detik kemudian, pintu dibuka dari
dalam dan seorang perempuan menjengah sebahagian tubuhnya ke luar.
Gadis itu terpaku sebaik sahaja ternampak Aqmal. Lekas-lekas
dia mengeluarkan dirinya tanpa membiarkan pintu terbuka luas. Namun Aqmal
sempat terpandangkan ruang tamu rumah itu. sepasang kaki berkasut lelaki kelihatan
di pandangan matanya sambil melunjur kaki di atas meja kopi.
“Abang?”
Aqmal diam memandang Lamia. Entah bagaimana pandangannya
berubah menjadi bening. Kosong.
“Mia apa khabar?”
“Baik. Macam mana abang tahu Mia kat sini?” tanya Lamia
yang masih kaget dengan kehadiran lelaki itu.
“Baby,
who is that?” terpa seorang lelaki
setelah pintu ditarik dari dalam.
“Shut
up! Get inside, Steve!”
bentak Lamia. Lelaki itu terkejut melihat Aqmal. Jegilan mata Lamia segera
difahami.
“Sorry
for interrupting.” Dan lelaki itu
masuk semula ke dalam tanpa memperkenalkan diri kepada Aqmal.
Aqmal tunduk sambil menghela nafas panjang. Kemudian pandangan
diangkat semula kepada Lamia. “Siapa lelaki tu?”
Lamia menelan liur tanpa dapat menjawabnya. Kelu lidahnya.
“Mia dah nekad buat begini. Tak terfikir untuk jaga
maruah diri Mia sebagai isteri?”
“Dia cuma kawan Mia.”
Aqmal membuang pandang. Hampa hatinya tidak terkata. Seterusnya
dia menyeluk poket jaketnya. Sekeping sampul surat dikeluarkan. Dipandang seketika
permukaan sampul itu. Dada terasa mahu pecah oleh rasa sedih. Ketika dia
membuat keputusan untuk datang ke sini, dia pernah berharap agar hubungan
mereka dapat dipulihkan. Tetapi rupanya memang benar memang Lamia sudah lama
meninggalkan cinta sucinya. Tiada lagi ertinya lagi.
“Abang minta maaf kerana terpaksa ambil masa yang lama
untuk pulangkan hak Mia yang ada pada abah selama ni. Abang datang demi ni. Ambillah. Ni yang Mia tagihkan selama ni,” ujar Aqmal lantas menyerahkan sampul
itu kepada Lamia.
Terketar-ketar tangan Lamia saat mengambil sampul itu. Isi
kandungannya dikeluarkan. Dia terpandangkan sekeping cek bernilai 630 ribu tertera
di atas namanya.
“Abang minta Mia halalkan segala kekurangan abah. Arwah abah
tak pernah jaga Mia waktu Mia kecil dulu. Abang akui itu kesilapan abah. Abang
pulangkan hak Mia dan abang minta maaf bagi pihak abah atas segala salah silap
dia pada Mia.”
“Arwah?” Lamia jelas terkejut mendengar itu.
“Mia tak tahu sebab tak pernah hubungi sesiapa di
Malaysia. Arwah abah dah setahun tujuh bulan tinggalkan kita. Sebab tu abang
dapat duit ni,” ujar Aqmal perlahan.
Lamia terkaku mendengar itu. Tidak tahu apa yang hendak
diucapkan dek kerana terkejut dengan berita itu.
“Bagaimana kehidupan Mia di sini?”
“Baik-baik aja.”
“Lebih baik tanpa abang?”
“Maafkan Mia. Ada sesuatu yang Mia inginkan untuk hidup
Mia, abang.”
“Abang memang tak pernah ada dalam impian Mia, kan? Selama
ini Mia pergi sekali pun Mia tak pernah hubungi abang.”
Lamia terdiam lantas menunduk.
“Tak apalah. Abang akan terima kenyataan ni, Mia. Cuma abang
nak Mia ingat, abang seorang lelaki yang ada maruah dan ada perasaan. Biar sejauh
mana Mia larikan diri suatu hari nanti Mia tetap perlu kembali untuk bertemu
abang. Jangan sesekali Mia lupa, talak di tangan abang. Dan Mia tak akan dapat
semula hidup Mia sehinggalah Mia bertemu sendiri dengan abang. Ucapkan sendiri
yang Mia mahu abang lepaskan Mia.”
Lamia terkebil-kebil memandang wajah Aqmal.
“Tak apalah. Abang tak berniat nak menganggu hidup Mia.”
“Abang, Mia minta maaf.”
Aqmal hanya diam. Tanpa kata-kata lagi dia berlalu dari
situ.
“Ke mana abang lepas ni?” tanya Lamia setelah beberapa
langkah Aqmal berlalu. Aqmal menoleh semula.
“Balik. Tiada apa lagi yang perlu abang tunggu di sini,”
ucap Aqmal perlahan.
Lamia tersandar di dinding belakangnya. Beberapa ketika
dia hanya kaku memandang cek di tangannya itu. Namun cek itu diramasnya lalu
dicampaknya entah ke mana. Dia berlari ke arah tangga. Laju anak-anak tangga
itu dituruninya.
Dia terpandangkan dua lelaki berjalan kian menjauh. Lamia
kembali mengejar.
“Abang...” jerit Lamia sambil berlari. Yusri menoleh ke
belakang. Cuba mencuit Aqmal yang masih berjalan. Namun Aqmal tidak menoleh.
“Bro...” panggil Yusri. Namun Aqmal tetap berjalan
menjauhi kawasan itu tanpa menunggu Yusri atau sesiapa saja yang memanggilnya.
“Abang...” langkah Lamia terhenti tidak jauh dari Yusri. Dia
kepenatan mengejar sedangkan lelaki itu kian jauh darinya.
“Abang...” air mata Lamia jatuh di pipi saat memandang
bayang Aqmal yang kian jauh.
Yusri terpaku memandang Lamia. Tidak tahu apa harus
dibuatnya. Sudahnya dia kembali meneruskan langkah untuk menyertai sahabatnya
tanpa mempedulikan wanita itu sedang menangis di situ.
“Abang, jangan pergi...” Dan akhirnya Lamia jatuh
terduduk di laluan pejalan kaki.
Masa ni nak sebut jer padan muka ngan mia..
BalasPadam