BAB
21
HIDUP terasa kosong sekali. Hubungan itu teramatlah dingin.
Malam itu Aqmal pulang lewat lagi. Kepulangannya tiada
sesiapa yang menyambutnya. Lamia hanya pegun di kamar biarpun belum tidur.
Aqmal duduk di hadapan tv menikmati setiap cebis kesepian
yang sedang menghuni ruangan rumah ini. Menyakitkan tetapi terpaksa ditelannya.
Penat. Sepanjang hari ke sana ke mari untuk berurusan di bank. Kerja di pejabat
terbengkalai seketika. Serabut!
Hasil yang didapatinya setelah seharian mendaki tangga
bank, dia hanya dicadangkan membuat pinjaman peribadi dalam kadar maksimum
iaitu sebanyak 70 ribu setelah diteliti segala hutang yang sudah tersedia. Menilai
harga pasaran kereta kesayangannya itu, sekitar 40 ribu sahaja. Masih tidak
cukup untuk dia memulangkan wang pusaka itu kepada Lamia.
Terjeruk dalam masalah kewangan ini, Aqmal merasa dirinya
begitu menyedihkan. Luka dihatinya kepada Hamsan kian meroyak-royak. Sudah berkali-kali
merayu kepada ayahnya agar memberikan bantuan, tidak banyak sedikit pun
jadilah! Setiap hari dia menelefon ayahnya dengan harapan abahnya itu berlembut
hati. Tetapi Hamsan tetap dengan pendiriannya. Malah dia disuruh menceraikan
saja Lamia.
Jalan terakhir yang ada... dia harus memujuk Lamia agar
mengheret ayahnya ke muka pengadilan. Hanya itu yang mampu dibuatnya. Tetapi dia
harus bersiap sedia melihat keluarga ini berpecah dan mungkin dia juga akan
dibuang keluarga.
Aqmal berbaring di sofa seketika. Lengan diletak di atas
dahi. Namun dia terlena dalam keadaan tubuh yang amat keletihan.
Lamia di atas terkebil-kebil sendiri. Berharap akan
melihat wajah Aqmal muncul di kamar itu. Tetapi sehingga ke tengah malam, dia
terus bersendirian. Perlahan Lamia bangkit dari ranjang. Dengan derap perlahan
dia turun ke bawah.
Di pertengahan tangga dia terpaku. Hatinya bergelodak
oleh rasa sedih dan marah melihat Aqmal tidur di sofa. Adakah Aqmal sengaja
mahu menghinanya dengan mengasingkan tempat tidur mereka? Tidak sudi lagi mahu
berdekatan dengannya? Tidak ingin memandang wajahnya lagi?
Sungguh tidak tertahan sakit di hatinya. Tidak cukup
Hamsan menyakiti hatinya selama ini, Aqmal juga lebih kurang sama.
Lamia serta merta berlari anak naik ke atas. Bantal lelaki
itu dikautnya lalu dibawa turun ke bawah. Sebaik sahaja sampai di hujung sofa,
bantal itu dihempasnya di atas muka Aqmal sehingga lelaki itu terkejut. Aqmal
bingkas bangun. Dia lihat Lamia berlari anak naik ke atas semula. Dan... bum!!!
Pintu ditutup kuat sehingga bunyinya menggegarkan ruangan rumah itu.
Aqmal terpaku menelan rasa sendirian. Perlahan dia
bangkit juga untuk naik ke atas. Pintu kamar itu diketuknya.
“Mia...” panggil Aqmal. Seketika kemudian pintu dibuka
Lamia. Wajahnya cukup ketat seolah-olah sudah benci benar dia kepada lelaki
itu.
Aqmal hanya diam sambil melangkah masuk ke dalam kamar. Sepatah
kata pun dia tidak menegur Lamia. Dia segera mendapatkan tuala untuk mandi dan
menukar baju.
Lamia menunjukkan kemarahan dengan menghempas tubuh ke
tilam. Selimut ditarik kasar. Aqmal perasan semua itu. Tetapi sengaja buat-buat
tidak perasan.
Setelah berpakaian, Aqmal memandang Lamia yang mengiring
membelakangi kedudukannya. Lamia masih pegun dengan mata celik memandang ke
hadapan. Biarpun sedar Aqmal berada dekat dengannya, Lamia hanya buat tidak
tahu.
“Mia, abang mahu hal pusaka tu dibawa ke mahkamah. Lebih
senang untuk Mia tuntut duit tu dari abah.” Aqmal akhirnya bersuara.
“Kalau Mia nak cara yang senang dah lama Mia buat. Abang ingat
Mia tak tahu tentang semua tu?” balas Lamia lantas berpaling ke arah Aqmal. Riak
wajah Aqmal berubah.
“Apa maksud Mia?”
Lamia bangkit pula. Riak wajah tidak berperasaan ditayang
kepada Aqmal.
“Kalau Mia nak hal tu dibawa ke mahkamah, dah lama Mia
buat. Tapi cara tu senang sangat,” ujar Lamia.
“Mia langsung tak kesiankan abang?” balas Aqmal.
“Mungkin. Semua orang hanya pentingkan perasaan sendiri.
Tak peduli kepada apa yang berlaku pada Mia semenjak dulu,” jawab Lamia
selamba. Aqmal terpaku memandang isterinya itu. Sungguh dia tidak sudah kenal
lagi siapa wanita ini sebenarnya.
“Abang buat begini demi kebaikan rumahtangga kita, Mia. Jangan
sampai rumahtangga kita runtuh demi dendam Mia pada abah. Abang...”
“Siapa kata Mia mahu membina? Semenjak awal lagi Mia
memang nak menjatuhkan,” pinta Lamia mula bercakap sesedap rasa.
“Dendam Mia pada abah, kenapa abang yang mesti pikul
bebannya, Mia? Apa salah abang? Mia, abang sayangkan Mia selama ni. Kenapa Mia
sampai hati buat abang macam ni?” sayu nada Aqmal meluahkan bicara.
“Kenapa? Pernah abang rasa hidup susah? Tak pernah, kan?
Hakikatnya abang pun ada bahagiannya dalam ketamakan tu. Duit tu semua
digunakan untuk memewahkan siapa? Buktinya, kereta abang tu. Abang belajar ke
luar negara tanpa perlu ditaja oleh orang lain. Abah mampu beri apa saja. Hidup
abang senang. Dari mana datangnya semua tu?”
“Abang minta maaf kalau Mia rasa kesusahan yang Mia lalui
selama ini abanglah penyebabnya. Abang minta maaf. Abang akan kembalikan apa
yang sepatutnya jadi milik Mia.”
“Maaf tak mampu mengembalikan apa yang dah berlaku. Maaf tak
mampu memadamkan apa yang menyakitkan dalam diri orang lain.” Lamia menjawab
tenang.
“Jadi apa yang Mia nak abang buat?”
“Entahlah...” jawab Lamia lantas tersenyum sendiri. Senyum
yang amat aneh. Sama sekali yang tidak akan dilepaskan dari genggamannya ini
adalah hidup Aqmal.
Aqmal menghela nafas perlahan. “Terpulanglah pada Mia.”
Lamia diam memandang lelaki itu berlalu dari kamar itu. Sungguh
dia sakit hati melihat reaksi sambil lewa Aqmal. Seolah-olah tiada merasa
apa-apa dari semua ini. Sebaliknya dia dihukum dengan kedinginan Aqmal.
“Anak dengan bapak sama aja!” desis Lamia benci.
AKU masih terlalu sayangkan dia. Tetapi dia...
Saban hari sesak fikirannya dengan masalah keluarganya. Baru-baru
ini dia terdengar emaknya ditampar oleh ayahnya. Emaknya meminta agar dia tidak
pulang buat sementara waktu. Puncanya wang pusaka itu.
Sedih... hatinya menangis. Hubungannya dengan Lamia juga
seperti belah menanti retak. Berminggu-minggu berlalu, mereka hidup seperti orang
asing. Lamia kian jauh darinya. Selesai semester akhir pengajiannya, Lamia
kerap menghabiskan masa dengan Mike di luar.
Kini Aqmal sudah tahu, Lamia tidak pernah mencintainya. Dia
orang yang tiada harganya kepada isteri sendiri.
‘Kasih sayang tidak mampu memadamkan luka lama...’ bisik
hati Aqmal ralat. Sedar akan hakikat itu kini.
Habis waktu berkerja, Aqmal menghabiskan masa di luar. Pulang
ke rumah untuk apa jika hanya menambah sengsara hatinya? Setelah benar-benar
keletihan barulah Aqmal pulang ke rumah. Tetapi kereta Lamia tiada di hadapan
rumah.
Setelah masuk ke dalam rumah, Aqmal memanggil nombor
isterinya. Panggilannya tidak berjawab. Aqmal menghela nafas perlahan. Agaknya Lamia
tidak bercakap dengannya. Kemudian dia memanggil nombor ibu angkat Lamia. Sekadar
hendak bertanya di mana Lamia berada sekarang. Juga tidak berjawab. Agaknya Naela
sudah tidur. Kemudian dia menghubungi Mike pula.
“Mia ada dengan kau ke, Mike?”
“Tak ada. Hari ni saya tak ada jumpa dia. Kenapa, bang?”
“Mia tak ada di rumah. Tak tahu dia ke mana.”
“Mungkin dia di rumah ibu dia.”
“Harapnya begitulah. Tak apalah. Abang cuma nak tanya itu
aja.”
“Nanti sekejap. Saya nak beritahu sesuatu.”
“Apa dia?”
“Mia ada beritahu saya yang dia nak sambung pengajian di
luar negara. Abang tahu pasal tu?”
“Tak tahu. Bila dia cakap?”
“Beberapa hari yang lepas. Saya tak tahulah dia serius ke
tidak. tapi dia kata mungkin dia nak sambung pengajian di luar negara,” ujar
Mike.
Aqmal diam. Ya. Dia tahu dahulu Lamia bercita-cita hendak
ke luar negara.
“Abang Aqmal, kalau benar begitu, dia ada kemampuan untuk
pergi. Lamia tu banyak duit, bang. Saya tahu sebab saya yang selalu uruskan
segala pelaburan dia selama ni.”
Aqmal tunduk menahan rasa hampa yang kian melaut. “Tak
apalah. Abang nak cari dia.”
“Wish you all the best, bang.”
“Thank’s, Mike.”
Sudahnya Aqmal keluar semula dari rumah. Berharap benar
Lamia berada di rumah ibu angkatnya. Tetapi setelah berada di hadapan rumah
Naela, dia tidak melihat kereta Lamia berada di sana.
Entah bagaimana, air mata Aqmal jatuh di pipi. Hidupnya ini
terasa seperti telah musnah kesemuanya.
Kesian aqmal..
BalasPadamTersepit dlm dendam antara isteri&ayah..
Lamia oh lamia..
Sampai hati buat aqmal begini..