BAB
26
MASA tetap akan terus berlalu tidak menunggu sesiapa. Biar
sejauh mana manusia itu terperuk di dalam kelukaannya, masa tetap tidak akan
duduk bersamanya.
“Ibu...”
Naela memandang lama raut sang anak di hadapan matanya.
Hampa hatinya. Terlalu hampa. Namun kerana sayang dia tidak tega untuk terus
menghukum Lamia.
“Masuklah...” ucap Naela lantas berpaling semula untuk
masuk.
Lamia memandang persekitaran rumah itu. Masih tidak jauh
berbeza biarpun sudah tiga tahun dia tidak menjejaki rumah ini.
“Bila Mia balik?” tanya Naela sambil dia melabuhkan duduk
di sofa.
“Semalam,” jawab Lamia lantas mendekati wanita itu. Lamia
duduk di hujung kaki Naela. Jemari Naela dicapainya lalu dikucupnya. Air
matanya jatuh ke pipi saat mengucupi tangan Naela. Naela hanya keras bungkam
walaupun dadanya sesak oleh rasa sedih dengan dugaan hidup semenjak
kebelakangan ini.
“Kenapa Mia menangis? Ibu ingat setelah apa yang Mia
buat, Mia akan pulang dalam keadaan gembira,” ujar Naela saat dia memandang
susuk anak itu.
Lamia tidak menjawab pertanyaan itu. air matanya dikesat
dengan hujung jarinya.
“Mia, sungguh ibu tak tahu siapa sebenarnya yang berada
di hadapan ibu sekarang. Ibu didik Mia dengan agama. Tetapi inilah yang ibu
dapat. Bertahun berlalu, ibu tak mampu padamkan setiap persoalan yang ada dalam
fikiran ibu ni. Mengapa, Mia? Mengapa Mia sampai hati buat begini???”
“Mia cuma nak hak Mia semula, bu.” Lamia menjawab rendah.
Pandangannya tidak mampu diangkat kepada Naela.
“Beginikah caranya Mia dapat hak Mia? Gembirakah Mia
sekarang? Mia sakiti hati Aqmal sedangkan dia begitu setia sayangkan Mia.
Takkan tak ada sedikit pun belas kasihan Mia pada dia? Apa salah dia pada
Mia???” tekan Naela.
Lamia diam. Dia tahu dia telah mengecewakan Naela. Dia
sedar dia telah mencemarkan nama baik Naela dengan perbuatannya.
“Lepas Aqmal balik dari London dulu, dia beritahu ibu
yang Mia ada orang lain. Naif benar kamu sehingga tak tahu hukum hakam, Mia.
Naif benar kamu!” marah Naela lagi.
“Tak ada orang yang mengerti apa yang Mia rasa selama ni.”
“Allah mengerti, Mia. Ibu tahu, hak kamu tidak boleh
ditidakkan. Ya, ibu memang faham benar. Tetapi cubalah buka mata pandang
sekeliling. Memang kita susah dulu. Tapi kerana sabar akhirnya Allah gantikan
kekurangan hidup kita dengan kegembiraan yang lain. Kamu ada suami yang ikhlas
sayangkan kamu. Kamu ada duit. Kita bukannya miskin benar! Sentiasa ada Allah
berikan rezeki. Apa lagi yang kamu nakkan? Takkan tak ada biar secebis pun erti
syukur dalam jiwa kamu tu?” ucap Naela membuatkan Lamia tunduk tidak menjawab.
“Biar seteruk mana ujian yang kita lalui dulu, ibu tak
pernah ajar kamu membalas dendam kepada lelaki yang menjadi tunjang kehidupan
kamu! Kamu tipu dia hidup-hidup. Dia tak bersalah dalam hal itu, Lamia!”
“Mia sakit hati. Dia adik beradik hidup senang sedangkan
Mia...”
“Selama ni kamu kurang kasih sayang? ibu tak pernah
sayangkan kamu? Kamu minta takdir yang Allah tak berikan. Kamu tak tahu bagaimana
pula putaran hidup kamu jika kamu berada di dalam keluarga Hamsan. Syukur, Mia.
Syukur dengan apa yang dah tentukan oleh Allah. Itu yang terbaik untuk kamu!”
“Mia minta maaf, bu.”
“Pada ibu ke sepatutnya ucapan maaf tu?”
“Mia malu nak jumpa dia.” Lamia menjawab rendah.
Naela menghela nafas panjang. “Mia sedar sesuatu tak? Aqmal
tu bermusuhan dengan arwah abah dia semata-mata kerana mahu membela nasib Mia. Tapi
Mia balas sakit hati Mia pada dia. Hidup tak ketentuan sebab Mia. Beberapa
bulan lepas Mia pergi, abah dia meninggal tiba-tiba. Banyak yang dia kena lalui
demi Mia. Takkan secebis pengorbanan dia tak ada ertinya langsung pada Mia?”
Lamia tunduk menekup wajahnya. Sedih. Jangan disebut nama
Aqmal. Dia hanya ingin menangis.
Naela menghela nafas perlahan. Tanpa kata dia bangkit
untuk ke dapur. Sengaja dibiarkan Lamia memuntahkan kesedihannya di situ. Tiada
apa yang dia hendakkan lagi. Dia hanya mahu Lamia berubah, kembali kepada
fitrah sebagai seorang isteri.
“Mia tinggal di mana sekarang?” tanya Naela setelah dia
kembali membawa air ke hadapan.
“Mia ada beli rumah di Serdang,” jawab Lamia perlahan.
“Jadi, Mia menetap di sana?”
“Tak.”
“Jadi?”
“Mia ada rumah lain lagi di SS 14.”
Naela terdiam pula. Berapa banyak rumah Lamia ada?
“Jadi di Serdang tu siapa duduk?”
“Penyewa.”
“Mia sewa rumah lain di SS 14 tu?”
“Tak. Mia beli kondo.”
Tersandar Naela mendengar itu. Berapa banyak rumah yang
dimiliki Lamia sebenarnya? Banyak betul duit Lamia.
“Sebelum Mia balik sini, Mia ada hubungi Mike. Dia pun
marah dengan Mia tapi dia sudi tolong Mia dapatkan rumah yang dekat dengan
tempat kerja Mia.”
“Mia dah dapat kerja?”
“Err... belum.”
“Jadi, mana Mia tahu rumah tu dekat dengan tempat kerja?”
Lamia terdiam pula. Tersilap cakap sebenarnya. Tapi nak
cakap hal yang sebenar, dia malu!
“Dekat dengan tempat kerja atau dekat dengan rumah Aqmal?”
teka Naela dengan pandangan ekor mata. Lamia memandang Naela. Terkebil-kebil
tanpa menjawab ya atau tidak.
“Mia kena minta maaf dengan Aqmal. Jangan rasa Mia tak
salah dalam hal ni. Ada suami yang sabar begitu, hargailah. Jangan buat sesuka
hati sebab sabar dia ada batasnya, Mia. Jangan Mia sesal kemudian nanti
sudahlah. Atau Mia dah ada pilihan lain?”
Lamia cepat menggeleng. “Ibu, lelaki yang Abang Aqmal
nampak tu bukannya kekasih Mia.”
“Panggil baby bagai, bukan kekasih?”
“Dia memang panggil semua perempuan macam tu. Bukan Mia
seorang aja.”
“Jadi, Mia pun ajak semua lelaki masuk ke dalam rumah.
Sebab apa? Budaya di luar negara memang begitu? Sebab berada di luar negara,
Mia rasa Mia pun kena ikut cara orang sana walaupun itu mengundang kemurkaan
Allah?”
Lamia terdiam diperli ibunya. Tiada jawapan untuk
menegakkan benang yang basah.
“Ibu mahu Mia berubah. Kalau Mia rasa rumahtangga Mia
masih ada harganya, berubahlah. Aqmal tu suami Mia. Layaklah dia berasa marah
kalau Mia berkelakuan melebihi batasan.”
“Mia akan berubah, bu.” Lamia menjawab perlahan.
“Baguslah. Buatlah apa saja untuk raih semula kepercayaan
dia pada Mia. Hargai apa yang kita ada, Mia. Kerana Allah tak akan selalu beri
apa yang kita nak dengan mudah,” nasihat Naela lagi.
“Mia minta maaf, bu. Mia rindukan ibu.” Lamia lantas
memeluk Naela. Erat sekali.
“Ibu maafkan Mia.” Biarpun marah, kasih sayangnya kepada
Lamia tidak pernah berkurang biar sedikit pun. Marahnya kerana sayang. Hanya
mahu Lamia mengikut jalan yang benar.
SUDAH lebih sebulan pulang ke Malaysia. Pagi itu dia mendapat
satu panggilan kerja dari M&A Sdn Bhd setelah beberapa kali dia menghadiri
temuduga di beberapa syarikat kewangan. Untung sabutnya timbul. Syarikat itu
pejabatnya di Mid Valley, teramatlah dekat dari rumahnya. Namun kegembiraan
Lamia tidak lama setelah dia terbaca mesej balasan dari Aqmal setelah dia
mengajak untuk berjumpa.
‘Nak bincang pasal cerai? Topik lain abang tak mahu
bincang. Not intrested.’
Sentap! Dia terasa seperti mahu histeria saja rasanya
setelah membaca mesej itu. Semenjak dia pulang, belum sekali dia dapat bertemu
Aqmal. Entah apa badinya, setiap kali dia menanti di hadapan rumah Aqmal,
lelaki itu pastinya tidak pulang ke rumah. Entah ke mana perginya.
“Mike, aku tak mahu duduk rumah ni.”
“Kenapa pulak? Kau tak selesa di situ?” tanya Mike dari
hujung talian.
“Ha’ah... aku tak selesa. Kau boleh tak carikan aku rumah
dekat dengan rumah Aqmal?”
Tiba-tiba meledak tawa Mike di hujung talian. Sudah dapat
diteka apa sebenarnya yang merumitkan Lamia.
“Apasal kau gelak ni?”
“Tak ada apa. Aku cuma lucu dengan kau ni. Rumah kau tu cuma
1 km aja dari rumah Aqmal. Itu masih jauh? Kau tahu betapa susahnya nak
dapatkan rumah kau tu dengan harga tu?” bebel Mike. Rumah itu didapatinya dari
lelongan bank. Agak murah dari harga sebuah kondominium baru dalam keadaan
rumah itu masih elok seperti baru.
“Aku tak nampak dia. Aku tak jumpa dia, Mike! Pasal harga
aku tak kisah. Aku bayar berapa aja yang kau nak!” tegas Lamia.
“Kau dah mesej dia?”
“Dah. Dia tak jawab pun, Mike. Aku sedih ni. Dia tak
layan aku. Kau tolonglah aku.”
“Yalah. Yalah. Nanti aku contact kawan aku.”
“Tolonglah aku, Mike. Kau kan sayang aku?”
“Kau tu yang tak sayang aku. Kau tak pernah pedulikan aku
waktu kau di UK.”
“Aku dah minta maaf, kan? Kalau aku cakap dengan kau,
mestilah kau pergi bocorkan rahsia aku pada Aqmal. Sebab tu aku tak cakap. Aku minta
maaflah,” ucap Lamia rendah.
“Yalah. Beri aku masa. Aku cuba contact ejen di kawasan
kau.”
Setia sebagai sahabat. Mike pergi juga ke kawasan rumah
teres yang didiami Aqmal. Namun cerlang matanya sebaik sahaja ternampak banner
kecil di hadapan pintu pagar rumah bersebelahan dengan jiran di hadapan rumah
Aqmal. Mike segera memberhentikan keretanya di situ. Rumah itu sebelum ini sedang
dalam lelongan bank juga. Dia pernah bertanyakan kepada bank tetapi harga
permulaannya agak mahal. Mungkin kini sudah dibeli orang.
Mike segera mengeluarkan telefon dari poket seluar. Nombor
yang tertera segera didail. Seorang lelaki menjawab. Mereka berbual dalam
bahasa Mandarin. Namun usai itu, Mike mematikan enjin.
Ejen itu berjanji akan tiba di situ dalam masa sepuluh
minit lagi. Jadi dia memilih untuk menunggu. Dapatlah dia melihat keadaan dalam
rumah itu. Sebaik sahaja tiba seorang lelaki di situ, mereka segera berjabat
tangan. Mike memberitahu sahabat baiknya yang ingin menyewa di situ akan tiba
sekejap lagi.
Sambil mengelilingi rumah itu dan menanti Lamia, mereka
berbual tentang urusan sewaan. Harga sewaan RM 1100 agak mahal untuk yang
tinggal bersendirian seperti Lamia. Namun Lamia segera bersetuju sebaik sahaja
diberitahu tentang itu. Tidak mahu fikir panjang lagi. Terus ditulis cek lalu
diberikan kepada ejen itu sebagai bayaran muka.
“Kau tak kisah pasal sewa?”
“Rumah yang ada aku akan sewakan,” jawab Lamia. Dia sudah
nekad.
“Kau buat macam ni sebab Aqmal.”
“Dia sakitkan hati aku. aku ajak jumpa, dia jawab apa kau
tahu? Dia tak mahu bincang soal lain selain cerai. Dia tak berminat!”
Mike hanya ketawa kecil. “Kau yang sakitkan hati dia. Waktu
dia tergila-gilakan kau, kau buat sesuka hati pada dia.”
“Kau pun nak salahkan aku?”
“Semua orang ada perasaan, Mia.”
Lamia diam pula. Ya. Dia memang kejam kerana menyakiti
setiap orang yang dekat dengannya demi dendam itu.
“Bila kau nak bersihkan rumah ni? Hari ni aku free.”
“Sekaranglah. Kita pergi beli barang dulu. aku masuk
kerja Isnin ni. takut tak sempat nak selesaikan urusan pindah rumah.”
“Hmm... cinta punya pasal. Sanggup pindah rumah
berkali-kali. Memang cinta sejati betullah,” keluh Mike sambil menggeleng
sendiri.
“Kau janganlah perli-perli aku.”
Mike ketawa semata. “Jomlah cepat.”
Lamia mengekori Mike dengan hati yang amat girang. Jika Aqmal
tidak sudi mahu memandang wajahnya, maka dia memilih untuk berjiran saja dengan
Aqmal. Biar setiap hari Aqmal terpaksa memandang mukanya!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan