Rabu, 20 September 2017

ENGKAU KESUMATKU BAB 22

BAB 22
DI mana kan kucari ganti serupa denganmu. Tak sanggupku berpisah dan berhati patah.
“Mia pergi mana? Lima hari hilang entah ke mana, sekarang baru balik?” tanya Aqmal setelah Lamia masuk ke dalam rumah. Lamia hanya memandang sekilas sambil menapak menuju ke tangga.
“Mia? Abang risau. Berkali-kali abang call Mia tak jawab. Sekurang-kurang beritahulah abang ke mana Mia pergi.”
“Tak payah risau. Mia cuma pergi jalan-jalan...” jawab Lamia tanpa memandang lelaki itu.
“Kenapa tak beritahu abang?” tanya Aqmal sambil mengekori isterinya naik ke atas.
“Mia bosan duduk rumah.”
“Sekarang tak perlu bertanya pada abang untuk ke mana-mana?” ujar Aqmal lagi.
Lamia diam setelah masuk ke kamarnya. Beg tangannya dicampak ke atas katil. Kemudian dia memandang Aqmal. Aqmal diam saat membalas pandangan itu. Pandangan yang jelas sekali amat kosong dan tiada rasa.
“Mia nak hidup sendiri,” ucap Lamia. Aqmal terpaku memandang wajah isterinya. Mudah sungguh Lamia mengatakan itu. Tidakkah hatinya ini penting untuk dijaga?
 “Kita tak boleh terus hidup begini. Penat berpura-pura. Cinta tidak akan membawa kita ke mana-mana.”
“Siapa yang berpura-pura? Mia nak hubungan ni bawa Mia ke mana? Cakap dengan abang!” balas Aqmal.
“Mia yang berpura-pura. Maafkan Mia, abang. Mia tak mampu pandang abang setelah apa yang berlaku. Kita tak akan mampu terlepas dari semua cerita lama tu. Jadi, biarlah Mia tentukan hidup sendiri.”
Aqmal diam mendengar bicara isterinya itu. Tunduk. Sungguh kekuatannya tidak tahu sudah hilang ke mana. Penghinaan yang teramat sadis diterimanya. Lamia meminta izin untuk meninggalkannya. Sudah jatuh ditimpa tangga, beginilah hidupnya. Kehancuran hidupnya sudah bermula.
“Mia rasa hidup Mia akan lebih baik tanpa abang?”
“Perempuan ni jahat sangat. Kenapa abang peduli? Daripada kita terus saling menyakiti, lebih baik kita berpisah,” balas Lamia.
“Abang sedang berusaha untuk kembalikan apa yang sepatutnya jadi hak Mia. Berilah abang peluang, Mia.”
“Mia ada cita-cita. Sebetulnya ini semua bukan sebahagian dari impian Mia. Mia tak ingin jadi Lamia yang dulu. Mia tak pernah terdesak untuk dikasihani orang setelah apa yang Mia lakukan pada abang. Matlamat utama kita kepada perkahwinan ni tak sama.”
Aqmal cuba berkata sesuatu. Namun lidahnya kelu. Dia menjauhi Lamia. Berdiri di jendela memandang ke luar. Lama sekali pandangannya tertusuk ke sana. Namun fikirannya melayang entah di mana.
Mengapa kesilapan yang dilakukan oleh ayahnya telah dihimpun lalu diletakkan di atas bahunya kini. Dia yang paling banyak menahan sakitnya. Mengapa? Sedangkan dia terlalu sayangkan Lamia. Tiada ertikah semua itu?
Seketika kemudian Aqmal menoleh, mencari wajah isteri yang paling disayanginya itu. Tetapi memandang wajah itu, dia sedar tiada apa yang dapat menahan langkah Lamia. Tidak juga kasih sayangnya yang melaut selama ini. Aqmal berdiam. Terus berdiam sehingga bayang Lamia menghilang dari mahligai mereka ini. Lamia membawa pergi kereta kesayangannya.
Rahang dikertap erat tatkala dadanya dihukum rasa sebak yang amat sangat. Tidak. Dia tidak ingin membiarkan air mata lelakinya jatuh demi cinta. Tetapi sakitnya seperti tidak tertahan. Terperuk dia sendiri menawar luka di hatinya. Mimpikah dia? Semua ini tidak terbayang olehnya ketika dia menyambut ijab kabul dahulu.
‘Mia, kenapa kita sampai jadi begini? Apa salah abang, Mia?’ bisik hati Aqmal. Begitu mudah Lamia pergi dari hidupnya. Puncak kebahagian yang pernah dirasainya dahulu telah berakhir.
“Bangkitlah, Aqmal. Jangan kau rebah demi cubaan ini. Hidup mesti diteruskan. Meratap bagaimana pun dia tak akan kembali lagi,” bisik bibirnya sendiri. Siapa lagi yang hendak diharapkan untuk memujuk diri sendiri?
Tetapi saat dia memandang sekeliling, rumah yang pernah menjadi singgahsana bahagia antara dia dan Lamia, kini menjadi sarang duka yang paling memeritkan. Sehingga dia merasa tidak bermaya sekali.
Kalaulah termampu, ingin dicampakkan rasa cinta yang menyakitkan di dadanya ini. Kalaulah dia termampu!

“IBU minta maaf, Mal.”
Aqmal hanya diam memandang ke arah luar pagar rumah itu. Ucapan maaf itu tidak mampu menawarkan setiap cebis rasa yang menyakitkan di hatinya ini. Ironisnya, biar sekejam mana Lamia kepadanya, hatinya terus mendamba, merindukan isterinya. Bodohkah dia?
“Dia dah nekad tak mahu hidup dengan saya lagi, bu.”
“Berilah dia masa.”
Aqmal memandang ibu angkat Lamia itu. “Saya tak pernah memaksa dia. Saya beri dia ruang untuk buat pilihan. Tetapi dia pilih untuk datang dan pergi dari hidup saya begitu saja.”
Naela tunduk mendengar bicara Aqmal. Rasa bersalah kian melaut. Kesal dan marah dengan Lamia bergaung menjadi satu. Sudah dua minggu berlalu. Lamia tidak tahu di mana. Simpati melihat Aqmal, hidup serba tidak kena. Tercari-cari di mana Lamia berada.
Aqmal tunduk meraup rambutnya. Tidak tahu apa hendak dibuat dengan hidupnya ini.
“Saya balik dulu, bu.”
“Aqmal, jagalah diri baik-baik. Bersabarlah. Ibu tahu kamu lelaki yang baik. Terbaik untuk Lamia.”
“Tapi dia tak rasa begitu,” jawab Aqmal lantas bangkit. Naela mengertap bibir menahan duka mendengar jawapan Aqmal.
“Ibu, saya hanya seorang lelaki yang menyayangi perempuan yang ditakdirkan untuk saya. saya reda sekiranya Tuhan menentukan semuanya terhenti sehingga di sini. saya dah kehilangan segala-galanya, bu. Tapi saya tak pernah kesal kerana menyayangi Lamia.”
Setelah itu Aqmal memandu pergi dari rumah Naela. Namun tidak terus pulang ke rumah. Dia memakirkan kereta di restoran, tempat Mike dan Lamia selalu duduk berdua. Duduk di dalam kereta memandang ke arah meja yang sama pernah dia lihat Lamia dahulu. Meja itu kosong. Namun ruang matanya sentiasa terbayang-bayangkan gelak tawa Lamia dan Mike di situ. Tanpa sedar pandangannya kian sayu.
“Di mana kan ku cari ganti...” bisik Aqmal sendirian. Kekuatannya untuk tabah seperti telah direntap semuanya. Bukan mudah rupanya untuk menawarkan kesedihan setelah diuji dengan kehilangan.

Aqmal menghela nafas panjang. Mungkin inilah yang dirasai Lamia selama bertahun-tahun ini. Ironisnya, biar sebesar mana pengorbanan yang telah dipertaruhkan untuk menyayangi Lamia, dialah kini yang telah jauh ditinggalkan. Dialah lelaki itu! 

2 ulasan: