Rabu, 7 Ogos 2013

Prologi-Janji Pada-Nya

Makan roti dengan planta,
Campur pula dengan jem kaya,
Prologi hadir membuka cerita

Inilah kisah Janji Pada-Nya.

Hari cuti umum  begini aku hanya di rumah sahaja menghabiskan masa dengan keluarga ku. Saat ini aku bagaikan dapat merehatkan diri ku apabila anak-anak ku keluar bersama Ariff untuk menggunting rambut. Imanina juga tidak ketinggalan mengikut ayahnya. Aku dengan senang lenang melayan diri ku setelah penat berpindah rumah sebelum ini. Masih belum hilang sepenuhnya kepenatan ku kerana berkemas.
“Awak termenung sahaja?” Malika menegur ku ketika aku menatap ke luar melalui pintu luncur yang sengaja ku buka.
Aku menoleh memandang Malika dengan senyuman. Aku amat senang sekali dapat melihatnya semula. Dia kami gajikan untuk menjaga anak-anak sambil membantu kerja Bibik Miah sedikit sebanyak. Inilah salah satu tanda kami menghargai Malika yang baik hati. Kata Ariff biar ke mana pun kami berpindah kami tidak akan meninggalkan Malika. Dia akan tetap dengan kami seperti satu keluarga. Saat begini mereka juga ku biarkan melepak kerana tiada kerja rumah yang perlu dilakukan lagi.
“Saya cuma memikirkan tentang sesuatu. Ada perkara yang saya tak faham selama ini. Perkara itu selalu berada di dalam fikiran saya, Malika. Tetapi semakin saya memikirkan semakin saya tiada jawapan, Malika” luah ku perlahan.
“Tentang apa?” dia bertanya lagi. Sememangnya dia tidak akan membiarkan aku kusut sendirian di dalam masalah ku. Dia selalu menjadi pendengar dan memberi pendapat sedikit sebanyak.
“Tentang suami saya. Malika awak banyak tahu mengenai Ariff sebelum ini. Awak biasa bertemu dia sewaktu saya berada di KL ini. Apa dah terjadi dengan dia selama saya takde?”
Malika diam seketika sambil memandang ke hadapan. Wajahnya tenang sahaja. Melihat wajahnya begitu aku tahu Malika memang tahu sesuatu yang aku tidak tahu.
“Dia tidak ceritakan kepada awak mengenai dirinya sebelum ini?” soal Malika cukup lembut sambil memandang ku semula.
“Hanya mengenai Pakcik Umar selebihnya saya tidak tahu. Tetapi saya nampak dia memang banyak berubah terutama sekali ada parut-parut pada dirinya. Awak tahu mengenai itu?”
“Kenapa dia tak ceritakan kepada awak ya?” Malika bagaikan bercakap dengan dirinya sendiri.
“Saya tak tahu. Ceritalah apa sebenarnya, Malika. Saya nak tahu.” desak ku amat mengharap. Aku tahu Malika mengetahuinya. Aku harap Malika dapat merungkaikan kekeliruan ku dengan jawapan yang sebenar.
Aku terus menanti Malika membuka ceritanya. Dia seperti sedang memikirkan sesuatu sebelum mula bercerita. Aku sabarkan diri untuk sebuah jawapan yang pasti.
“Sebelum ini dia memang semakin hanyut dengan dirinya apabila awak meninggalkan dia. Semenjak dari hari pertama awak pergi dia seperti sudah kehilangan arah. Saya nampak dia jadi begitu kerana melayan rasa kecewanya apabila berpisah dengan awak dan anak-anak. Saya mahu mempercayai yang dia memang mencintai awak tetapi saya juga faham yang awak juga berhak untuk bahagia. Ini bukan yang seharusnya terjadi jika kita melalui landasan yang benar. Keadaan dia bukan setakat teruk tetapi teramat teruk, puan. Beberapa hari selepas awak pulang ke Malaysia saya berhenti kerja. Saya berhenti kerja juga kerana saya sudah tidak sanggup melihat itu semua lagi.” Malika amat tenang saat melahirkan bicara.
Aku asyik memerhatikan raut Malika yang amat tenang sambil menanti dia menyudahkan ceritanya. Perasaan ku melonjak-lonjak mahu tahu apa cerita seterusnya.
“Sebenarnya dahulu suami awak pernah mengalami kemalangan jalan raya sekitar tiga minggu setelah awak kembali ke Malaysia. Parut-parut yang awak nampak itu adalah kesan dari kemalangan itu. Dia membawa kereta ketika mabuk dan kecelakaan itu terjadi. Mujurlah ketika itu dia seorang diri di dalam kereta. Ketika itu saya sudah berhenti kerja dengannya tetapi Tuan Cristopher memanggil saya kerana tiada siapa yang dapat menemankan suami awak ketika ayahnya ke pejabat. Saya akur apabila mengenangkan lelaki tua itu memang amat baik kepada saya selama ini. Beberapa minggu dia tidak sedarkan diri kerana trauma di kepalanya. Kata doktor ada bengkak pada otaknya yang membuatkan dia tidak sedarkan diri tetapi keadaan itu akan pulih juga. Selepas tujuh minggu barulah dia sedar. Waktu saya menemankan dia di hospital saya melihat dia banyak berubah. Dia hanya diam dan murung sekali. Ada juga rasa di hati saya ini untuk menelefon awak untuk memberitahu keadaan dia tetapi ayah dia tak benarkan kerana tidak mahu awak bimbang. Lagipun keadaan dia tidak begitu membimbangkan. Ayah mertua awak tidak mahu menyusahkan awak lagi. Sudah tentu awak susah hati nanti kerana ketika itu awak sedang hamil.”
Malika diam seketika. “Sekembali ke rumahnya Tuan Cristopher meminta saya menjaga makan minum Tuan Ariff sehingga dia sembuh. Selepas itu saya akan bebas untuk ke mana sahaja. Tetapi dalam pada itu suami awak hanya termenung di dalam biliknya. Ada ketikanya saya melihat dia menangis seperti orang yang hilang akal. Ada sesuatu yang dia rahsiakan daripada kami. Kerana terlalu bimbangkan keadaan dia saya akhirnya memujuk dia agar bercerita kepada saya masalah dia. Tetapi dia semacam enggan bercerita sebaliknya hanya termenung dan menangis sekali sekala.” ujar Malika tenang.
Aku terpaku memandang Malika. Tidak sangka yang Ariff kemalangan jalan raya. Aku tidak tahu langsung mengenai itu kerana tidak ada seorang pun di sana memberi tahu aku.
“Apa yang suami awak ceritakan mengenai Saudara Umar?” soal Malika kepada ku saat aku memandangnya.
“Dia kata dia mengenali Pakcik Umar ketika dia berjalan kaki balik daripada sebuah kelab. Dia terdengar laungan azan di masjid dan ketika itulah dia mengenali Pakcik Umar.”
Malika menggeleng perlahan bagaikan menidakkan apa yang ku ceritakan.
“Cerita itu tidak sepenuhnya benar, puan. Pertemuan dengan saudara Umar ketika waktu subuh itu memang benar tetapi bukan sewaktu suami awak berjalan kaki balik daripada kelab. Pertemuan itu berlaku ketika dia keluar dari rumah ketika di tengah malam. Cerita mengenai pulang dari kelab itu sebenarnya dia telah kemalangan dan telantar berbulan-bulan lamanya di hospital.” ujar Malika lembut sahaja.
“Kenapa Ariff tipu saya?” soal ku agak terkejut.
“Mungkin dia ada sebab tidak mengatakan yang dia kemalangan.” balas Malika penuh pengertian.
Aku terdiam mendengar itu. Cerita yang asalnya telah dipendekkan oleh Ariff. Memang benar dia ada minum di kelab tetapi dia tidak ada bercerita yang dia telah kemalangan selepas balik dari kelab itu. Sebaliknya dia terus memendekkan cerita sehingga ke cerita waktu subuh di masjid itu. Mengapa suami ku buat begitu?
“Malam yang dia hilang saya menyangkakan dia kembali semula ke kelab tetapi ketika itu suami puan tidak memiliki kereta dan saya nampak dompetnya juga tertinggal di rumah. Mungkin dia hanya berjalan-jalan sahaja kerana sudah berbulan dia berkurung di dalam rumah sahaja. Tetapi saya hanya ternampak dia selepas asar pada keesokan harinya. Puas saya bertanyakan dia ke mana akhirnya dia menceritakan apa yang telah berlaku.
Rupanya suami awak keluar berjalan kaki kerana dia tidak tahan dengan tekanan perasaannya. Bukan setakat itu sahaja, dia mencari seseorang yang boleh menjawab segala soalan yang selama ini terkurung di dalam dirinya. Petang itu Tuan Ariff bercerita kepada saya segala yang disimpannya sendirian. Sewaktu dia koma di hospital dahulu seperti datang satu mimpi yang berupa peringatan kepadanya. Di dalam mimpi itu dia telah melihat seseorang yang serupa seperti awak sedang duduk di bangku di dalam sebuah taman yang cukup indah. Dia kata awak kelihatan sungguh cantik berseri di dalam pakaian putih. Tetapi awak duduk di situ sambil memerhatikan sepasang manusia yang salah seorangnya kelihatan serupa seperti dia manakala wanita itu tidak jelas di penglihatan dia. Apa yang menakutkannya sepasang manusia itu berbogel tanpa seurat benang dan kemaluan mereka berdua tidak dapat dipisahkan. Mereka terjerit-jerit di situ meminta tolong sambil menghulurkan tangan kepada awak. Tetapi awak hanya mampu memandang mereka sahaja. Sewaktu mereka berdua terjerit-jerit itu datang pula seorang lelaki bertubuh besar kepada mereka membawa air di dalam bekas di tangan kanannya. Lelaki bertubuh besar itu berkata kamu akan kehausan nanti dan hanya ada air ditangannya sahaja untuk melegakan mereka berdua. Memang benar apa yang dikatakan lelaki bertubuh besar itu. Si lelaki yang menyerupai Tuan Ariff dan wanita itu merayu kehausan setelah penat melolong dan lelaki itu mengatakan ini adalah air dari neraka dan panasnya berganda-ganda daripada air panas di dunia kerana air itu dimasak dengan kayu api neraka. Air ini akan menghancurkan tekak sesiapa yang meminumnya tanpa belas kasihan. Lelaki bertubuh besar itu menundingkan tangannya kepada awak sambil berkata haram bagi wanita seperti dia meminumnya. Kata Tuan Ariff lelaki yang serupa dengan dia itu tidak mempedulikan kata-kata lelaki itu dan tetap meminta air itu. Lantas dia diberikan air itu. Sungguh menakutkan apabila air itu mencecah lidahnya kelihatan asap berkepul-kepul keluar dari mulut si lelaki itu dan dia terjerit-jerit sehingga mereput tubuh mereka berdua di situ. Tetapi selepas itu tubuh mereka kembali elok dan mereka kehausan lagi dan meminta air itu lagi. Seperti mana yang terjadi tadi begitulah yang terjadi. Kata suami awak sepasang manusia itu kelihatan seperti telah berzina dan kemaluan mereka tiba-tiba tidak dapat dipisahkan. Lelaki bertubuh besar itu berkata lagi kepada mereka berdua inilah balasan sesiapa yang suka melakukan zina dan suka melanggar perintah Allah. Azab Allah akan menanti tanpa belas kasihan untuk orang yang ingkar. Tuan Ariff kata amat menakutkan melihat lelaki dan wanita itu diazab begitu dan dia seakan merasakan setiap kali air itu masuk ke mulutnya dia juga turut merasakan siksaannya. Pesanan lelaki bertubuh besar itu juga sering berada di fikirannya. Kerana itulah dia murung selama ini kerana dia sering merasakan suatu masa nanti nasibnya akan menyerupai lelaki itu jika dia tidak memohon ampun kepada Allah.” kata Malika amat tenang dengan redup pandangannya.
Berdegup kencang dada ku mendengar itu. Itukah makna seksaan yang Ariff pernah katakan kepada ku dahulu? Aku masih ingat kata-katanya malam itu. Dia takut diseksa lagi. Inikah yang dimaksudkannya?
“Suami awak telah menemui hidayahnya, puan. Alhamdulillah.. selepas peristiwa kemalangan itu dia memang terlalu banyak berubah. Dengan Saudara Umar setiap hari dia belajar mendalami agama islam. Saudara Umar yang mengajar dia mandi taubat dan membuat solat taubat. Selama setahun lebih ini Saudara Umar juga tidak pernah jemu mengajar dia banyak perkara tentang agama islam dan mendalami isi kandungan Al Quran. Kalau dahulu malamnya dia sering menghabiskan masanya dengan wanita dan arak di kelab malam tetapi selepas dia bertemu dengan cahaya kebenaran dia sering menjadikan malamnya hanya untuk Allah. Dia selalu melakukan solat pada malam hari. Pernah juga saya mengikut dia bersolat di masjid suatu masa dahulu. Saya nampak dia bermunajat cukup lama kepada Allah. Katanya dia selalu berdoa agar dipanjangkan umurnya supaya dia dapat menunaikan janjinya kepada awak dan anak-anaknya. Dia ingin sangat kembali semula kepada awak. Tuan Ariff sudah tidak seperti dahulu lagi, puan. Dia sudah semakin matang sekarang. Dia benar-benar mahu menjadi umat islam yang sejati. Alhamdulillah, doa puan selama ini telah Allah makbulkan. Kalau saya sebagai orang gaji teramat bangga dengan dia sudah tentu puan merasakan lebih lagi kerana selama ini puanlah yang banyak bersabar dengan kerenah dia.”

Berkaca mata ku mendengar cerita Malika itu. Selama ini aku masih tidak mempercayainya sedangkan dia sudah menjadi seorang lelaki yang terbaik untuk diri ku. Alangkah kejamnya aku kepadanya. Mengapa Ariff tidak bercerita sahaja kepada ku mimpi itu? Mengapa dia membiarkan aku berfikir yang tidak-tidak mengenai dirinya sedangkan dia tahu dia tidak akan pernah melakukan perbuatan lama itu lagi. Dia lebih rela berpuasa menahan nafsu. Malahan semenjak peristiwa ‘malam itu dia tidak pernah meminta lagi. Dia sudah mendapat keinsafannya dengan cara yang tersendiri tetapi akulah yang masih gagal mengikhlaskan diri ku buat suami ku. Alangkah kejamnya aku. Benar kata Malika tadi. Ariff sudah mendapat hidayahnya.  Alhamdulillah, aku seharus bersyukur dengan anugerah Allah ini dan bukan membiarkan dia terus terumbang ambing di dalam perasangka ku kepadanya. Ya Allah! Ampunilah aku sekiranya aku khilaf akan kekuasaan MU. Sesungguhnya aku hamba MU yang lemah yang selalu alpha dengan kesesatan.

5 ulasan: